Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani

Pendahuluan

Perbicaraan kali ini masih berkisar kepada penulisan manuskrip ulama Asia Tenggara yang ditinjau dari pelbagai peringkat. Perbicaraan mengenainya juga secara tidak langsung merupakan kesimpulan daripada ulama-ulama yang telah diperkenalkan dalam ruangan ini sejak tahun 2005.

Adapun peringkat-peringkat penulisan tersebut penulis membahagikannya kepada 10 peringkat. Sebelumnya telah dibicarakan peringkat pertama hingga keenam, maka diteruskan pula dalam ruangan ini peringkat selanjutnya hingga peringkat yang terakhir.

Peringkat ketujuh

Peringkat Ketujuh ini dimulai dengan kemunculan Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, yang sebenarnya penulisan beliau dimulai dalam lingkungan Peringkat Keenam lagi. Kemunculan beliau mendahului beberapa orang gurunya kerana beliau mula menulis sejak berusia 15 tahun.

Karyanya yang pertama dapat dimasukkan dalam kategori peringkat keenam, ditulis dalam bentuk nazam berjudul Nazam Nur al-Anam, diselesaikan tahun 1287 H/1870 M. Manuskrip nazam tersebut hanya ada sebuah yang lengkap, yang dimiliki oleh Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia (PMMPNM) nombor kelas MS 764. Manuskrip yang tidak lengkap adalah salinan Tok Kelaba yang ada dalam simpanan penulis.

Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani menulis bukan dalam bahasa Melayu sahaja, tetapi juga dalam bahasa Arab. Jumlah semua karya beliau ialah 183 judul.

Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani termasuk guru kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Beliau juga menghasilkan beberapa karya di antaranya ialah Mawahib al-Makkiyah, diselesaikan tahun 1296 H/1879 M.

Dua manuskrip judul ini tersimpan di Muzium Islam Pusat Islam Malaysia (MIPIM) dan dua buah manuskrip pula tersimpan di PMMPNM. Dua edisi cetakan judul ini telah ditemui, sebuah edisi cetakan Mekah dan sebuah cetakan Bombay, kedua-dua edisi itu ditashih oleh Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

Karya beliau yang membicarakan tentang batu permata diberi judul Raudh al-Zawahir, hanya sebuah manuskrip saja judul ini yang telah dijumpai, iaitu tersimpan di MIPIM.

Mengenai perbicaraan nasab Nabi Muhammad SAW beliau susun kitab berjudul Ad-Durr al-Munazhzham, diselesaikan tahun 1312 H/1894 M. Judul ini pernah diterbitkan. Beberapa karya Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani yang dianggap nadir yang ada dalam simpanan penulis ialah Fatwa Jawab Soal Zakat, Fatwa Zikir Roh dan lain-lain.

Keseluruhan karya Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani dalam senarai penulis adalah 12 judul.

Saudara sepupu Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, seorang ulama yang sangat terkenal ialah Sheikh Muhammad bin Ismail al-Fathani, juga menghasilkan beberapa karya.

Ulama besar yang berasal dari Patani pada peringkat ini pula ialah Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani, digelar dengan Tuan Minal.

Semua yang tersebut pernah diterbitkan berupa cetakan dan masih beredar di pasaran kitab. Adapun yang berupa manuskrip ialah Risalat Sembahyang Jum’at, nombor kelas MS 111 dan Tahqiq al-Kalam, nombor kelas MS 167, kedua-duanya adalah koleksi PMMPNM. Keseluruhan karya Tuan Minal yang ada dalam senarai penulis adalah lapan judul.

Peringkat murid ulama-ulama Patani tersebut yang banyak menghasilkan karangan di antaranya ialah Tok Kelaba. Mengenai karyanya dapat dirujuk kepada Jurnal Filologi Melayu jilid 2, 1993, hlm. 47-54.

Sahabat Tok Kelaba al-Fathani yang juga menghasilkan beberapa judul karya, yang telah dijumpai ada lima judul, di antaranya: Minhaj al-Qawim Pada Menyatakan Hisab dan Taqwim, diselesaikan tahun 1310 H/1892 M. Karya terakhir yang telah dijumpai ialah Al-Futuhat al-Ilahiyah, diselesaikan tahun 1317 H/1899 M.

Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku Abdur Rahman al-Fathani yang pernah menjadi Sheikh al-Islam Selangor termasuk ulama Patani yang banyak menghasilkan karya, sama ada dalam bahasa Arab mahupun bahasa Melayu.

Keseluruhan karya Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani yang ada dalam senarai penulis adalah 10 judul.

Ulama yang berasal dari Kelantan yang mewakili peringkat ketujuh ini ialah Sheikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani. Beliau adalah saudara ipar kepada Tuan Tabal, juga guru dan ayah saudara kepada Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

Sheikh Wan Ali Kutan menghasilkan beberapa buah karya, yang terawal ialah Al-Jauhar al-Mauhub wa Munabbihat al-Qulub, yang merupakan syarah Matn Lubab al-Hadits karya Syeikh Jalaluddin as-Suyuthi yang terkenal, diselesaikan tahun 1306 H/1888 M, dan karya yang terakhir ialah Majma’ al-Qashaid wa al-‘Awaid, diselesaikan tahun 1320 H/1902 M. Keseluruhan karya Sheikh Wan Ali al-Kalantani yang ada dalam senarai penulis adalah tujuh judul.

Ulama yang berasal dari Aceh dalam peringkat ketujuh ialah Sheikh Ismail bin Abdul Muthallib al-Asyi.

Keseluruhan karya beliau yang ada dalam senarai penulis adalah empat judul.

Ulama yang berasal dari Palembang pula ialah Sheikh Fakhruddin. Karya beliau ialah Syarh Fath ar-Rahman diselesaikan pada 16 Syaaban 1297 H. Salah sebuah manuskrip judul ini ditemui di Pontianak, Kalimantan Barat, penulis telah serahkan kepada PMMPNM, dengan nombor kelas MS 1731.

Ulama Palembang yang lain ialah Sheikh Muhammad Azhari bin Abdullah al-Falimbani. Di antara karya yang dihasilkan ialah ‘Aqaid al-Iman, diselesaikan tahun 1309 H/1891 H. Sebenarnya ada sebuah karya beliau yang tahunnya jauh lebih awal iaitu ‘Athiyat ar-Rahman, diselesaikan tahun 1259 H/1843 M.

Namun, oleh sebab tahun 1259 H/1843 M yang dinyatakan dalam cetakan itu sangat jauh jaraknya dengan karya-karyanya yang lain, maka sangat diragui tentang kesahihannya.

Karya Sheikh Muhammad Azhari Palembang yang terakhir ialah Bidayat ar-Rahman, diselesaikan tahun 1324 H/ 1906 M.

Ulama yang berasal dari Minangkabau ialah Sheikh Ahmad Khatib bin Abdul Latif al-Minankabawi. Beliau menghasilkan karya dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu.

Ulama yang berasal dari Riau-Lingga ialah Sheikh Muhammad bin Muhammad Yunus Lingga, digelar dengan Qus bahasa Melayu pada zamannya. Karya yang pernah dihasilkan adalah empat judul. Dua judul di antaranya yang terawal ialah Daqaiq al-Akhbar, diselesaikan pada 20 Muharam 1312 H/1893 M, Nashihat Ahl al-Wafa, diselesaikan pada 11 Syawal 1312 H/1894 M, dan yang terakhir ialah Hadiqat ar-Raihan, diselesaikan tahun 1313 H/1895 M.

Ulama yang berasal dari Pontianak ialah Sheikh Uthman bin Syihabuddin al-Funtiani. Karya terawal ialah Taj al-‘Arus, diselesaikan tahun 1304 H/1886 M. Karya terakhir tiga judul yang diselesaikan dalam tahun 1324 H/1906 M ialah: Irsyad al-‘Ibad, Nur al-Anwar, dan Fath al-Mutafakkirin.

Keseluruhan karya beliau lagi ialah Sheikh Husein bin Sulaiman al-Funtiani, yang menghasilkan tiga karya, iaitu: Bab al-Jum’ah, diselesaikan tahun 1316 H/1898 M, Tuhfat al-Raghibin, diselesaikan tahun 1319 H/1901 M, dan Nuz-hat ath Tharaf, diselesaikan tahun 1321 H/1903 M.

Peringkat kelapan

Peringkat Kelapan dimulai dengan keterlibatan ulama-ulama serta tokoh-tokoh dunia Melayu menyalurkan pemikirannya dalam penulisan majalah-majalah yang mereka asaskan. Mengenai ini bermula dengan majalah Al-Imam di Singapura mulai terbit 1 Jamadilakhir 1324 H/Julai 1906 M. Mudir yang pertama ialah Sheikh Muhammad al-Kalali.

Pada keluaran berikutnya Rejab 1324 H/Ogos 1906 M, dinyatakan nama pengarangnya Sheikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi. Diikuti majalah Al-Munir oleh ulama-ulama Minangkabau. Terbitan pertama majalah Al-Munir di Padang pada 11 April 1911 M. Majalah yang paling lama dapat bertahan ialah majalah Pengasuh, diterbitkan oleh Majlis Ugama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, bermula bulan 11 Julai 1918 M hingga sekarang.

Ketua pengarang majalah Pengasuh yang pertama ialah Tok Kenali. Beliau bertugas sebagai Ketua Pengarang Pengasuh mulai keluaran pertama hingga bilangan 32, tahun kedua 9 Oktober 1919 M. Selain menulis dalam majalah, ulama-ulama pada peringkat kelapan ini juga menulis risalah-risalah agama Islam.

Peringkat kesembilan

Penulisan abad ke 20-21 M, pada abad ini tradisi penulisan mengalami perubahan besar disebabkan berbagai-bagai masalah. Terutamanya menggunakan tulisan Melayu/Jawi, digunakan juga tulisan Rumi/Latin.

Peringkat kelapan bolehlah kita anggap dimulakan menjelang Indonesia merdeka (1945), iaitu sesudah perang dunia yang kedua, hingga sekarang ini. Tokoh ulama yang muncul sebagai penulis pada peringkat kesembilan ini sangat ramai dan karya yang dihasilkan sangat banyak dalam berbagai-bagai disiplin keilmuan.

Di antara mereka seumpama Prof. Dr. Hamka, Prof. Dr. M. Hasbi Ash-Shidqi, Haji Abu Bakar Aceh, dan ramai lagi.

Mengenai mereka dan karya-karya yang demikian banyak belum dibicarakan dalam artikel yang ringkas ini.

Peringkat kesepuluh

Peringkat Kesepuluh ini adalah melibatkan kerja-kerja penulis yang berusaha mengumpul dan mendokumentasikan seluruh aktiviti ulama-ulama dunia Melayu dari Peringkat pertama hingga ke peringkat kesembilan.

Hasil kajian tersebut bertujuan disebarkan kepada masyarakat dalam berbagai-bagai bentuk dan coraknya, mulai dengan keklasikkan keasliannya hingga dalam bentuk perkembangan moden sekarang ini.

Penulisan pertama penulis bermula tahun 1390an Hijrah/1970-an Masihi, lebih kurang 100 tahun setelah kebangkitan perjuangan Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani (Peringkat Ketujuh).

Semua program mengenai ini sudah disusun sejak lama, tetapi pada awal perjuangan pelaksanaan tersekat-sekat kerana belum mendapat tajaan yang padu dan mantap yang saling mengerti ke arah yang dicita-citakan.

Sangat banyak rintangan yang ditempuh, kesabaran dan tawakal dijadikan modal yang paling utama untuk hasil yang dimaksudkan. Walau bagaimana pun mulai tahun 1990, sekelian rintangan nampaknya telah sirna. Hingga kini (2006 M) semua usaha berjalan lancar, telah banyak buku mengenai penyelidikan dapat diperkenalkan.

Penulis menghasilkan ratusan judul karya dalam pelbagai koleksi, antaranya adalah koleksi Transliterasi Kitab, koleksi kertas kerja ulama, koleksi Pengenalan Bersiri, koleksi Biografi Ulama Asia Tenggara, koleksi Kitab Arab dan Melayu/Jawi, koleksi Kitab Wakaf, koleksi surat dan pelbagai dokumen, koleksi Artifak Warqah, maklumat berupa manuskrip, gambar dan lain-lain.

Koleksi karya ilmiah adalah artikel dalam Utusan Malaysia, Berita Harian, Majalah Dian, Dewan Budaya, Dakwah, Al-Islam, dan Kiblat. Namun, untuk judul-judul penuhnya tidak dapat disebutkan selengkapnya dalam ruangan yang terbatas ini.

dipetik dari:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 32 other followers

%d bloggers like this: