Kesatuan Iman, Ilmu dan Amal Dalam Kehidupan Umat Islam Semasa

Teks Ucapan dasar Presiden sempena Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia ke 3 pada 29hb Mac 2008

dipetik dari: http://muafakatmalaysia.wordpress.com/2009/01/09/kesatuan-iman-ilmu-dan-amal-dalam-kehidupan-umat-islam-semasa-beberapa-isu-dan-cabaran/

*******************************************************************

Kesatuan Iman, Ilmu dan Amal Dalam Kehidupan Umat Islam Semasa: Beberapa Isu dan Cabaran[1]

Profesor Emeritus Datuk Osman Bakar, PhD

President MUAFAKAT

Bismillahi al-Rahman al-Rahim,

Alhamdulillahi Rabb al-‘alamin

Wa salatu wassalamu ‘ala ashrafi al-anbiya’i wal-mursalin

Sayyidina Muhammad

Wa ‘ala alihi wa sahbihi ajmain

Assalamu alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh

1. Sebagai sebuah tajuk perbincangan, isu kesatuan iman, ilmu dan amal adalah suatu yang biasa sahaja. Isu ini bukan isu baru. Ia adalah isu lama. Dalam dekad 1970an, iaitu dekad awal kebangunan semula Islam di Malaysia, pertubuhan-pertubuhan Islam seperti ABIM dan PKPIM mengadakan banyak seminar, bengkel, program tamrin dan program-program lain yang seumpamanya di mana salah satu tajuk utama yang dibincangkan ialah persoalan hubungan antara iman, ilmu dan amal. Dahulu dan sekarang, isu ini juga tidak dianggap sebagai isu yang berbau kontroversi dan yang boleh mengundang kontroversi. Tanggapan atau persepsi umum terhadap isu ini ialah bahawasanya ia merupakan isu yang mudah dan jelas. Oleh kerana tajuk ini sudah berulang kali dikupas dengan panjang lebar oleh banyak pihak, maka dibuat andaian bahawa tidak ada lagi perkara-perkara baru dan istimewa untuk ditokok tambah kepada ilmu dan pandangan yang telah dihidangkan kepada kita selama ini.

2. Dalam ucapan ini saya mengambil pendirian yang agak berbeza berhubung dengan isu kesatuan iman, ilmu dan amal. Saya kuat berpendapat bahawa ada banyak baikmya isu ini diulang-ulang perbincangannya dan kita boleh sahaja menyumbang idea-idea baru kepada perbincangan ini dari masa ke semasa. Memang benar bahawa isu ini isu lama dan isu yang lumrah diperkatakan. Tetapi tidak ada salahnya isu ini dikupas dan dihuraikan berulang kali. Malah adalah elok kita memberi perhatian berat dan yang berterusan terhadapnya. Ini adalah kerana memang sifat isu ini untuk terus menerus diperkatakan. Isu ini mempunyai pertalian langsung dan pertalian rapat dengan soal keperluan manusia yang menetap dan berkekalan, iaitu keperluan yang bersifat keruhanian dan yang bersifat akliah atau keintelektualan dan kecendikiawanan. Yang dimaksudkan dengan keperluan ruhani dan akli ini ialah makanan untuk santapan hati kalbu dan akal.

3. Iman atau akidah yang hakiki, ilmu yang bermanfaat seperti yang didoakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan amal yang saleh adalah santapan sebenar hati kalbu dan akal manusia. Iman selainnya, iaitu segala kepercayaan yang berlawanan dengan keenam-enam rukun iman, bukanlah santapan sebenar hati kalbu dan akal manusia. Contohnya, konsep ketuhanan yang menyeleweng daripada ajaran tawhid, faham kebendaan (materialisme), faham komunisme dan Marxisme, dan faham evolusionisme. Harus disedari bahawa aliran utama pemikiran sains masa kini adalah berteraskan faham materialisme. Faham komunisme dan Marxisme mungkin semain pudar di Eropah barat tetapi ia masih popular di Amerika Latin. Faham evolusionisme yang mempercayai kononnya manusia berasal daripada haiwan dan agama adalah hasil pemikiran manusia diterima oleh banyak pihak di Barat sebagai agama.

4. Ilmu yang tidak bermanfaat, iaitu ilmu yang tidak mendatangkan apa-apa kebaikan kepada diri jasmani dan diri ruhani manusia, juga bukan santapan sebenar hati kalbu dan akal mausia. Contohnya, ilmu kebal, ilmu hitam, ilmu awet muda yang berbahaya, ilmu senjata kemusnahan awam (“weapons of mass destruction”) seperti senjata nuklear dan senjata kimia dan ilmu untuk mengklon haiwan dan manusia. Amal dan perbuatan di luar amal saleh, iaitu amal yang bertentangan dengan syariat Islam, juga tidak dapat diterima sebagai santapan sebenar hati kalbu dan akal manusia.

5. Iman yang menyeleweng, ilmu yang tidak bermanfaat, amal dan perbuatan yang membawa dosa, semua itu tidak mendatangkan apa-apa kebaikan kepada hati kalbu dan akal manusia. Sebaliknya, semua itu akan menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan hati kalbu dan hati seseorang. Oleh yang demikian, adalah mustahak bagi kita semua untuk saling ingat mengingati dan saling nasihat menasihati tentang kesatuan dan keharmonian iman, ilmu dan amal. Kalaulah dewasa ini sering sahaja kita nasihat menasihati sesama kita tentang kebaikan pemakanan seimbang (“balanced diet”) kepada tubuh badan kita, maka adalah lebih wajar lagi bagi kita untuk nasihat menasihati tentang “pemakanan keruhanian seimbang” (“balanced spiritual diet”) dan juga “pemakanan akliah dan intelektual seimbang” (“balanced intellectual diet”). Nasihat menasihati tentang kesatuan dan keharmonian iman, ilmu dan amal adalah sebahagian penting daripada apa yang disebutkan di dalam al-Qur’an, surah al-‘asr, sebagai “wa tawasau bi’l-haqq” (“berpesan-pesan dengan kebenaran”). Kebenaran konsep kesatuan iman, ilmu dan amal adalah suatu natijah penting ajaran tawhid. Lambang terbaik kebenaran kesatuan ini ialah ibadat solat. Dalam ibadat solat yang ditunaikan dengan sempurna kita dapat menyaksikan ketiga-tiga unsur iman, ilmu dan amal dalam “aksi” sehingga menampakkan kesatuan dan keharmoniannya. Ciri-ciri mukmin yang disenaraikan di dalam Surah al-Mu’minun (23: 1-9) adalah di antara dalil-dalil nakli yang nyata yang menunjukkan kebenaran prinsip kesatuan iman, ilmu dan amal.

6. Haruslah disedari bahawa penghayatan kebenaran kesatuan iman, ilmu dan amal merupakan salah satu rahsia keunggulan agama Islam yang melayakkan agama yang termulia ini dan yang kita cintai ini dengan sebenar-benar kecintaan dipanggil sebagai agama tawhid yang hakiki. Penghayatan kebenaran yang sama adalah juga rahsia keunggulan umat Islam sebagai umat tawhid. Atas sebab kebenaran kesatuan iman, ilmu dan amal inilah maka umat Islam di zaman kegemilangan terlepas daripada konflik antara sains dan agama dan terlepas daripada tanggungjawab mencipta beberapa bentuk teknologi yang boleh dan telah pun memusnahkan umat manusia dan alam sekitar. Kita berbangga dari segi moral kerana bukan ahli sains dan teknologi Muslim yang bertanggungjawab mencipta teknologi senjata kimia dan senjata nuklear.

6. Kita semua, terutama yang sudah sekian lama terdedah kepada konsep kesatuan iman, ilmu dan amal dan yang menghayatinya dengan baik, harus mengambil pendekatan yang kreatif dan producktif terhadap isu tersebut. Ada sekurang-kurangnya tiga perkara yang patut ditekankan dalam pendekatan ini. Perkara pertama, adalah menjadi kewajipan bagi mereka yang telah diberi ni’mat oleh Allah s.w.t. sehingga mampu memahami dan menghayati konsep ini dengan baik untuk menjelaskan kepentingan konsep ini kepada pihak lain yang atas sebab-sebab tertentu masih belum memahami dan menghayatinya. Saya percaya bahawa kebanyakan ahli MUAFAKAT mampu untuk menjalankan kewajipan ini kerana mereka telah sekian lama dibekalkan dengan ilmu yang relevan dengan tugas tersebut. Menerusi penjelasan prinsip kesatuan ini kita ingin menekankan betapa pentingnya penghayatannya kepada usaha untuk melahirkan individu Muslim yang beriman, berilmu dan bertakwa. Dengan kata lain, insan Muslim yang di sisi Allah dan di sisi umat adalah benar-benar insan yang berkualiti tinggi. Bagi memungkinkan penjelasan berkenaan dilaksanakan dengan berkesan maka amatlah perlu prinsip kesatuan iman, ilmu dan amal diterjemahkan ke dalam program pendidikan untuk keluarga, untuk sekolah, untuk pusat pengajian tinggi dan untuk apa juga institusi masyarakat yang berperanan untuk mendidik masyarakat. MUAFAKAT perlu menjadikan penterjemahan prinsip kesatuan iman, ilmu dan amal kepada program pendidikan untuk pelbagai kelompok daripada keluarga hinggalah kepada universiti sebagai salah satu aktivitinya yang terpenting dalam agenda perjuangannya.

7. Perkara kedua yang perlu ditekankan ialah soal menjadikan prinsip kesatuan iman, ilmu dan amal sebagai panduan dan kayu ukur untuk mengesan, memeriksa dan menilai kesihatan tubuh badan umat Islam. Tumpuan khusus kita di sini ialah kepada umat Islam di Malaysia. Kita sedia maklum bahawa dalam masa kebelakangan ini semakin bertambah masalah dan isu moral yang melanda masyarakat Islam. Dalam ucapan Presiden sempena Mesyuarat Agung Tahunan tahun lalu saya telah pun menyenaraikan sebilangan masalah besar yang terpaksa dihadapi oleh masyarakat Islam. Di antaranya ialah fenomena murtad, masalah keruntuhan keluarga seperti yang dibayangkan oleh peningkatan kes perceraian dan penderaan terhadap kanak-kanak, merebaknya gejala rasuah, peningkatan jenayah dan semakin berleluasanya budaya memuaskan hawa nafsu di kalangan remaja. Dan pada pilihan raya umum ke-12 baru-baru ini kita telah digemparkan pula dengan sinario politik tidak menentu tentang masa depan kuasa politik Melayu-Islam. Dalam konteks perbincangan kita di sini, kita perlu bertanya adakah timbulnya semua masalah ini pada peringkat yang cukup membimbangkan disebabkan oleh penghayatan prinsip iman, ilmu dan amal pada tahap yang sangat lemah di kalangan masyarakat Islam kita.

8. Sikap negatif dan buruk yang diperlihatkan oleh segolongan masyarakat Islam hari ini, kelakuan dan perbuatan mereka yang jelas bertentangan dengan syariat Islam, cara berfikir mereka yang tidak ada bezanya dengan cara berfikir golongan sekular di Barat semuanya menunjukkan bahawa pegangan agama Islam mereka longgar dan bermasalah. Jenis dan kualiti amal mencerminkan jenis dan kualiti iman dan ilmu. Amal saleh mencerminkan penghayatan iman sebenar dan penghayatan ilmu yang berjiwakan iman. Amalan maksiat dan tak bermoral pula mencerminkan iman yang lemah atau menyeleweng dan juga mencerminkan penghayatan ilmu yang tidak berjiwakan iman yang sebenar. Sekiranya inilah punca sebenar kemerosotan moral di kalangan semakin ramai orang Islam dalam berbagai lapangan hidup, iaitu daripada golongan ahli politik hinggalah kepada para penganggur yang menjadi penjenayah kecil-kecilan, maka kita perlu memeriksa apa sudah terjadi pada sistem pendidikan kita dan apa sudah terjadi pada sistem pemerintahan kita.

Seperti yang telah saya sebutkan sebentar tadi keberkesanan penghayatan prinsip iman, ilmu dan amal tercermin pada keberkesanan sistem pendidikan. Oleh sebab itu kita telah menganjurkan agar perlaksanaan prinsip ini diterjemahkan ke dalam bentuk sistem pendidikan pada setiap peringkat, baik yang bersifat formal mahu pun yang tidak. Hal sebaliknya juga adalah benar. Kegagalan sistem pendidikan untuk melahirkan insan yang berakhlak adalah berpunca daripada kegagalan melaksanakan pendidikan yang berasaskan prinsip kesatuan iman, ilmu dan amal. Tentang apa yang sudah terjadi pada sistem pemerintahan kita pula, seperti kegagalannya untuk mewujudkan masyarakat yang lebih aman, adil dan berakhlak mulia, keputusan pilihan raya baru-baru ini semacam menunjukkan bahawa rakyat Malaysia telah pun memberi jawapan kepada soalan tersebut. Rakyat mahu melihat wujudnya masyarakat yang lebih aman, lebih adil dan saksama dan lebih berakhlak mulia. Tetapi cita-cita murni ini masih perlu dihayati. Masih banyak masalah dan persoalan yang perlu diselesaikan. Kita ingin menegaskan di sini bahawa penghayatan prinsip kesatuan dan keharmonian iman, ilmu dan amal adalah kunci untuk membuka pintu kejayaan menyelesaikan masalah-masalah kemanusiaan yang berleluasa, yang pada pandangan kita adalah punca sebenar tercetusnya pelbagai masalah masyarakat dan negara.

9. Apakah implikasi politik pasca pilihan raya kepada masa depan Islam di Malaysia? Ini merupakan salah satu isu mendesak yang perlu ditangani oleh masyarakat Islam. Tiada syak lagi bahawa MUAFAKAT perlu memainkan peranannya secara aktif. Saya sendiri berpendapat bahawa politik pasca pilihan raya telah membuka gelanggang dan ruang baru untuk Islam. Gelanggang baru ini boleh membuka peluang baru dan peranan baru bagi badan-badan NGO Islam mengenengahkan Islam kepada masyarakat bukan Islam. Secara khususnya saya merujuk kepada peluang baru yang dijana oleh penyertaan PAS dalam barisan pembakang dan kelompok Islam dalam PKR. Tetapi gelanggang baru ini juga membawa banyak risiko untuk Islam. Dalam kes ini juga, MUAFAKAT khususnya dan badan-badan Islam lain amnya perlu memahami risiko-risiko ini dan seterusnya bekerjasama untuk menangani isu-isu yang berkaitan dengan risiko-risiko tersebut.

10. Mungkin MUAFAKAT sendiri perlu mengkaji semula perspektifnya dalam melihat politik Islam di Malaysia kerana biasanya kita melihat pergolakan politik negara dalam hubungannya dengan Islam menerusi kacamata sistem politik yang didominasi oleh UMNO. Ternyata bahawa dengan kemunculan dua pakatan berbilang kaum dan agama dalam sistem politik negara selepas pilihan raya yang lalu, satu di pihak pemerintah dan satu lagi di pihak pembangkang, kita perlu memikirkan perspektif baru yang akan membolehkan kita menangani isu-isu keislaman dengan lebih berkesan. Apa pun, kita tidak rela melihat kuasa politik umat Islam di negara ini jatuh merosot. Sejak zaman berzaman para ulamak dan cendikiawan Islam kita telah menegaskan bahawa bagi menegakkan agama Islam dalam masyarakat dan negara kita memerlukan kuasa politik. Oleh itu, kita bukan sahaja akan mempertahankan kuasa politik Islam yang sedia ada, malahan kita akan memperkukuhkannya lagi. Sehubungan dengan ini, MUAFAKAT akan bekerjasama dengan semua badan Islam bagi memastikan bahawa susunan baru politik Malaysia tidak akan merugikan umat Islam. Khususnya, kita akan mempertahankan sistem beraja Malaysia sebagai salah satu institusi negara yang boleh mempertahankan kepentingan Islam di negara kita.

10. Perkara ketiga yang perlu ditekankan ialah kewajaran kita untuk melihat cabaran-cabaran semasa daripada luar negara yang boleh menggagalkan penghayatan prinsip kesatuan iman, ilmu dan amal. Ada banyak cabaran luar yang perlu dihadapi. Di antara yang terpenting ialah peranan media massa dalam memperkembangkan budaya hawa nafsu (“sensate culture”) yang berpunca daripada dasar kebudayaan terbuka; aspek-aspek negatif ideologi dan amalan demokrasi Barat; saintisme dan teknologisme sebagai ideologi yang melihat sains dan teknologi sebagai alternatif kepada agama sebagai penyelesai masalah masyarakat; dan aliran falsafah pluralisme yang akan benar-benar menguji keimanan dan kesetiaan kaum Muslimin kepada Islam.

11. Kita seharusnya menumpukan perhatian kepada semua cabaran ini. Sekarang ini kita tidak mempunyai jawapan yang jelas kepada cabaran-cabaran ini. Tetapi sekurang-kurangnya kita yakin bahawa dalam tradisi Islam kita memiliki khazanah ilmu yang kaya raya untuk membantu kita memecah kebuntuan pemikiran umat dewasa ini. Kita juga menaruh keyakinan bahawa dengan izin Allah dengan berpandukan tradisi ilmu dan hikmah Islam kita akan ditunjukkan jalan untuk mengatasi cabaran-cabaran yang sedang melanda umat.

12. Akhir kata, saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pihak sekretariat yang diketuai oleh Setia Usaha Agung kerana telah berkerja kuat bagi menjayakan Mesyuarat Tahunan MUAFAKAT ke-3, kepada semua yang hadir dari dekat dan jauh, kepada Profesor Madya Dr Zaid Ahmad selaku penceramah khas kita pagi ini, dan kepada semua pihak yang telah menyumbang kepada program kita hari ini. Kita berdoa kepada Allah s.w.t. agar kita diberi tawfik dan hidayah dan sentiasa mendapat perlindungan dan pertolonganNya. Wassalamu alaikum warahmatullahi wa barakatuh, wa bihi nasta’in.



[1] Ucapan Presiden MUAFAKAT di Mesyuarat Agung Tahunan MUAFAKAT di Kulliyyah Ekonomi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pada 29 Mac 2008 bersamaan 8 Rabiulawal 1429.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 32 other followers

%d bloggers like this: