Pemurnian Tasawwuf Oleh Imam Al-Ghazali

pernah disiarkan di laman lama pada Oktober 2002

*********************

بسم الله الرحمن الرحيم

نحمده ونصلى على رسوله الكريم

PEMURNIAN TASAWWUF OLEH IMAM AL-GHAZALI

OLEH:

MUHAMMAD ‘UTHMAN EL-MUHAMMADY

Insya’ Allah dalam nota ini akan dibicarakan bagaimana Imam al-Ghazali rd yang terkenal sebagai mujaddid abad ke-lima Hijrah atau abad ke dua belas Masihi itu memperjuangkan kedudukan tasawwuf sehingga ia menjadi ilmu Islam yang teguh kedudukannya dalam senarai ilmu-ilmu Islam yang muktabar, serta amalan tasawwuf menjadi amalan yang amat dihormati sebagai dimensi kerohanian murni Islam berpaksikan al-Qur’an dan Sunnah.

Beliau bertanggungjawab memurnikan tasawwuf daripada unsur-unsur yang merosakkan kemurniannya. Antara yang paling nyatanya ialah sebagaimana yang beliau huraikan dalam “manifesto kerohaniannya” yang teragung yaitu Ihya’ ‘Ulumi’d-Din yang sangat popular itu.

Kedudukan beliau yang agung dalam ummat ini jelas bila beliau diakui sebagai mujaddid pada zamannya, tanpa dipertikai lagi, sama seperti ‘Umar ibn ‘Abd al-‘Aziz dan Imam Shafi’i untuk zaman mereka masing-masing, sebagaimana yang dinyatakan oleh Dr Yusuf al-Qaradawi.

Riwayat hidupnya secara ringkas*

Sebelum daripada dibicarakan perkara-perkara lain eloklah dibicarakan riwayat hidupnya secara ringkas untuk memberi gambaran berkenaan dengan alam di mana beliau dilahirkan dan perkembangan peribadinya yang utama itu. Beliau ialah Abu Hamid Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Ta’us Ahmad al-Tusi al-Shafi’I yang terkenal secara umumnya dengan nama al-Ghazali, yang dilahirkan pada 450 Hijrah/1058 Masihi di Tabaran, satu daripada dua buah kota kecil di Tus, sekarang dalam kawasan Meshed di Khurasan.

Beliau bukannya ulama yang tersohor pertama dalam keluarganya, kerana datuk saudaranya bernama abu Hamid al-Ghazali (men.435 H/1043 M) merupakan seorang ahli ilmu kalam dan ahli fiqh yang terkenal; mungkin beliau ini menjadi contoh ikutan bagi orang muda yang berhemah tinggi itu.

Semenjak awal lagi beliau terdedah kepada pengaruh amalan-amalan dan ilmu tasawwuf, ayahandanya seorang yang beramal dengan amalan tasawwuf yang sangat warak, mengikut laporan al-Subki, sehingga dikatakan ia hanya makan dari hasil usaha tangannya sendiri, dan beliau selalu bersama dengan mereka yang alim.

Imam Ghazali rh yang yatim itu dididik oleh sufi yang menjadi sahabat ayahandanya, bersekali dengan saudaranya Ahmad. Semenjak masa kanak-kanaknya Imam al-Ghazali mempelajari ilmu kalam dan fiqh, mula-mulanya dalam kota kecil kelahirannya dengan Shaikh Ahmad ibn Muhammad al-Radhkhani al-Tusi, kemudian beliau pergi melanjutkan pengajiannya di Jurjan di bawah didikan Imam abu Nasr al-Isma’ili.

Ibn ‘Asakir menyebutkan bahawa Imam al-Ghazali mengambil ilmu tentang hadith al-Bukhari daripada Abu Sahl Muhammad ibn Ahmad al-Hafsi, dan antara syaikh-syaikhnya yang lain dalam ilmu hadith ialah Nasr ibn ‘Ali ibn Ahmad al-Hakimi al-Tusi, ‘Abd Allah ibn Muhammad ibn Ahmad al-Khawari, dan Muhammad ibn Yahya ibn Muhammad ibn Suja’i al-Zawzani dan seterusnya.

Sewaktu dalam perjalanan pulang dari Jurjan ada kisah yang menarik tentang Imam ini yang berkisar bagaimana beliau dirompak. Bila para perompak itu meninggalkannya, beliau mengikuti mereka, tetapi beliau diberi amaran agar tidak mengikuti mereka itu kalau tidak beliau akan mati. Lalu beliau meminta dengan nama Allah supaya dikembali kertas-kertas yang mengandungi catitan-catitan pelajarannya kerana kertas itu tidak ada gunanya untuk mereka. Bila ditanya tentang kertas apa yang ada dalam beg itu beliau menjawab bahawa itu mengandungi catitan-catitan ilmunya yang didengarinya yang kerananya beliau jauh mengembara. Perompak itu ketawa dan bertanya “bagaimana kamu memperolehi ilmu mereka bila kami ambil kertas itu maka kamu tidak berilmu lagi”. Ini suatu yang aneh berlaku. Bagaimanapun catitan-catitannya diserahkan kembali. Apabila beliau kembali ke Tus lepas itu, imam al-Ghazali mengambil masa tiga tahun menghafal semua catitan-catitan yang dipelajarinya itu.

Setelah beliau kembali dari Jurjan dan berada di Tus buat beberapa waktu, mungkin di waktu ini beliau mempelajari tasawwuf di bawah Shaikh Yusuf al-Nassaj dan mungkin juga melakukan latihan-latihan kesufian. Sewaktu berumur lebih kurang dua puluh tahun beliau pergi melanjutkan pelajarannya ke Maktab Nizamiyyah di Nishapur untuk berguru kepada Imam al-Haramain iaitu Abu al-Ma’ali al-Juwaini, yang merupakan guru generasi yang keempat dari Imam al-Ash’ari sendiri dalam akidah ajaran Imam itu. Dalam akademi itu beliau mempelajari ilmu-ilmu seperti usul al-din, fiqh, falsafah, logik, ilmu-ilmu sains tabi’I, tasawwuf dan lainnya.

Imam al-Haramain memberi kepada para pelajar kebebasan berfikir dan kebebasan mengeluarkan pendapat mereka, dan mereka digalakkan dalam mengambil bahagian dalam perdebatan dan perbincangan tentang pelbagai jenis persoalan yang dihadapi. Dalam perdebatan-perdebatan dengan rakan-rakannya Imam al-Ghazali menunjukkan kemampuan berfikir yang luas dan tajam, dan ia mempunyai kebolehan yang tinggi dalam kepetahan berhujah yang ini terbukti kemudiannya dalam tulisan-tulisannya seperti Tahafut al-Falasifah.

Tidak lama kemudiannya beliau berkesempatan memberi kuliah kepada rakan-rakannya, dan membuat penulisan. Beliau merupakan seorang yang berfikir secara kritilal dan bebas merdeka; sewaktu beliau menjadi pelajar di Nizamiyyah di Nishapur beliau merasa tidak berpuas hati dengan pegangan yang dimilikinya, dan membebaskan dirinya daripada cara bertaklid semata dalam pegangan agama.

Sewaktu di Nishapur beliau menjadi murid kepada ulama sufi abu ‘Ali al-Fadl ibn Muhammad ibn ‘Ali al-Farmadhi; daripada guru sufi inilah beliau lebih banyak lagi mempelajari ilmu berkenaan dengan pengetahuan dan amalan kesufian. Al-Farmadhi itu sendiri adalah murid kepada bapa saudara beliau sendiri dan juga murid al-Qushairi (men.465/1074) yang terkenal itu. Beliau mengamalkan juga amalan-amalan kezahidan yang ketat di bawah bimbingan beliau ini; sebagaimana yang disebutkan oleh beliau sendiri keadaannya tidaklah sampai ke tahap boleh mendapat inspirasi murni ‘dari alam tinggi”.

Waktu itu juga beliau merasa tidak puas hati dengan pemikiran secara falsafah yang dihadapinya itu termasuk apa yang diterima secara otoriti dalam hubungan dengan usul al-din. Tekanan dalam tasawwuf tentang hubungan yang rapat dan mesra dengan Tuhan menjadikan imam utama ini lebih tidak berpuas hati lagi dengan huraian falsafah dalam usul al-din itu. Al-Farmadhi meninggal pada tahun 477 /1074 M dan Imam al-Haramain meninggal di tahun 478 H/1085 M. Waktu itu Imam al-Ghazali berumur dua puluh lapan tahun; ianya masih sangat bertenaga, dan namanya masyhur dalam alam Islam.

Beliau pergi ke istana Nizam al-Mulk wazir Malikshah (memerintah waktu itu 465 H/1072-485 H/1092 M) dan berada dalam kalangan para ahli ilmu kalam dan fuqaha di istana beliau itu. Nizam al-Mulk itu seorang wazir yang memberi galakan kepada perkembangan ilmu-ilmu, sains, sastera, dan menghimpunkan sekelilingnya para ulama dan ilmiawan yang terkenal dan mempunyai ilmu yang mendalam. Beliau biasa mengadakan majlis-majlis perbincangan ilmiah dan al-Ghazali mendapat namanya yang terkenal kerana kebolehan debatnya yang sangat baik.

Ilmu pengetahuan al-Ghazali berkenaan dengan fiqh, usul al-din, dan falsafah sedemikian dikagumi oleh Nizam al-Mulk sehingga beliau dilantik sebagai professor Usul al-Din di Nizamiyyah itu (diasaskan pada tahun 458–460 H/1065-67 M) di Baghdad pada tahun 484H/1091M. Waktu itu beliau berumur tiga puluh empat tahun. Ini merupakan kemuliaan yang sedemikian tinggi di alam Islam, dan beliau itu diangkat kepada jawatan yang sedemikian sewaktu umur sedemikian muda, yang tidak pernah orang lain dilantik kepada jawatan sedemikian sewaktu bermur semuda itu.

Beliau sedemikian berjaya sebagai professor di Akademi itu; kuliahnya yang sedemikian cemerlang dan kedalaman ilmu pengetahuannya serta kejelasan huraiannya menarik semakin ramai para pelajar atau pendengar kepadanya, termasuk mereka dari kalangan para sarjana yang terkenal di zaman itu. Dengan segeranya ramai mereka mengiktirafi kefasihan, kedalaman pengetahuan, dan kemampuan beliau sebagai pembicara ilmu, dan kemudiannya beliau dikirakan sebagai ahli usul al-din yang teragung dalam tradisi Asha’irah. Maka beliau diminta nasihat dalam perkara-perkara keagamaan dan siasah dan beliau menimbulkan pengarah yang sebanding dengan pengaruh pegawai-pegawai negara yang tertinggi.

Beliau mencapai kejayaan tertinggi sebagai ulama dilihat dari segi keduniaan lahiriahnya, tetapi dari segi batinnya beliau mula mengalami krisis intelektuil dan kerohanian yang amat mendalam. Rasa syaknya dan menyoal semua perkara yang ada dahulunya pada beliau mula menimbulkan dirinya semula dan beliau sampai bersikap kritikal terhadap mata-mata pelajaran yang diajarkannya sendiri. Beliau merasa kekosongan dalam huraian-huraian yang berupa helah-helah di kalangan para fuqaha. Sistem huraian di kalangan ahli ilmu kalam tidak merupakan keyakinan secara ilmu dan intelektuilnya. Beliau menentang huraian mereka yang memberi penekanan yang berlebihan tentang perkara-perkara doktrinal, kerana yang demikian membawa agama menjadi lingkungan sistem ortodoksi dan berupa sebagai soal-jawab yang dangkal sahaja; perbalahan-perbalahan di kalangan para mutakalimun berupa perakara-perkara soal-jawab tentang pegangan agama yang tidak ada hubungan sebenar dengan kehidupan manusia dengan agamanya.

Sekali lagi beliau menumpukan dirinya kepada penelitian tentang falsafah secara bersungguh-sungguh dan menyeluruh, dan beliau mendapati bahawa pegangan dan keyakinan tidak boleh dibinakan atas pemikiran semata-mata. Akal ada peranannya pada tahap-tahap tertentu, tetapi akhirnya Kebenaran Yang Terakhir memang tidak boleh dicapai dengan akal fikiran. Dengan menyedari tentang batasan-batasan pemikiran dalam hubungan dengan teologi, beliau berada dalam rasa syak berkenaan dengan ilmu dan pegangan lalu beliau merasa tidak tenang jiwanya dan hatinya. Beliau merasa beliau berada dalam kedudukan yang tidak sebenar.

Akhirnya beliau mendapat kesedaran bahawa jalan yang sebenarnya ialah jalan tasawwuf yang membawa manusia kepada kebenaran yang sebenarnya melalui pengalaman rohaniah yang sahih. Beliau telahpun mempelajari ilmu tasawwuf secara teori dan bahkan ada juga melakukan amalan-amalannya; tetapi beliau belum lagi mara ke dalam pengalamannya secara yang sangat jauh. Dia memikirkan bahawa kalaulah beliau menumpukan dirinya kepada perjalanan kesufian melalui ciri-ciri kezuhudan, serta menekuni amalan-amalan spiritual, berserta dengan tafakur yang mendalam, beliau berkemungkinan akan mencapai nur yang sedang dicari-carinya.

Tetapi yang demikian ini melibatkan beliau meninggalkan kerjaya ilmiah yang cemerlang dan kedudukan keduniaan yang sedemikian tinggi itu. Beliau terasa juga runtunan untuk mendapat kemasyhuran dan kehebatan dirinya dalam kehidupan. Tetapi runtunan untuk mencari kebenaran terlalu amat kuatnya. Beliau merasakan bahawa beliau memerlukan keyakinan yang menetap pada pegangan, yang diperkuatkan lagi dengan pemikirannya tentang kedatangan maut. Beliau berada dalam konflik pemikiran dan perasaan sedemikian selama enam bulan lamanya mulai dari bulan Rajab 488H/ Julai 1095.

Beliau menjadi merusut kesihatan badannya dan pemikirannya juga amat terganggu; selera makannya dan penghadamannya hilang sampai suaranyapun tidak ada lagi. Maka senanglah baginya untuk melepaskan jawatannya sebagai professor  lalu ia meninggalkan kota Baghdad pada bulan dhul-Qa’idah 488 H/ November 1095 M, secara lahirnya beliau menunjukkan bahawa beliau sedang hendak menunaikan fardhu haji; beliau meminta saudaranya Ahmad menggantinya memberi pengajaran kepada orang ramai dalam  masa pemergiannya itu; sebenarnya beliau menjalankan ‘uzlah sebagaimana yang diajarkan oleh para ulama sufi demi untuk mencapai kedamaian fikiran dan hati serta keselamatan untuk rohnya sendiri.

Beliau menyedekahkan semua harta miliknya melainkan bahagian-bahagian tertentu yang diamanahkan untuk perbelanjaan keluarganya, kemudian beliau terus pergi ke Syria.

Selama dua tahun lamanya beliau berada dalam ‘uzlah (tahun 488 H/1095 M ) di salah sebuah daripada menara-menara masjid Umayyah di Damsyik; kemudian beliau pergi ke Jerusalem untuk menjalankan ‘uzlah lagi di mana beliau melakukan tafakur yang mendalam di Masjid ‘Umar dan Qubbat al-Sakhr (The Dome of the Rock). Selepas daripada melawat makam Nabi Ibrahim a.s. di Hebron, beliau melaksanakan hajinya ke Makkah dan pergi ke Madinah. Itu diikuti dengan amalan ber’uzlah di tempat-tempat yang mulia dan masjid-masjid, serta mengembara di padang-padang pasir. Selepas daripada sebelas tahun berada dalam pengembaraan beliau kembali ke kota kelahirannya Tus, dalam tahun 499 H/1105 M.

Berkenaan dengan pengalaman-pengalamannya mengikut apa- apa yang berlaku selepas beliau meninggalkan kota Baghdad, tidak ada apa-apa yang diberitahu olehnya kepada kita. Apa yang diberitahu ialah bagaimana adanya perkara-perkara yang tidak boleh dihuraiakan yang terlalu banyak yang berlaku kepadanya dalam bentuk ilham-ilham sewaktu beliau berada dalam masa ‘uzlahnya itu. Pengalaman-pengalaman itu nampaknya membawa sebagai natijahnya kepada beliau menerima otoritas Nabi s.a.w. dan tunduk dengan sepenuhnya kepada kebenaran-kebenaran yang diwahyukan dalam al-Qur’an.

Antara tanda-tanda awal tentang beliau memberi pembelaan terhadap akidah Ahlis-Sunnah wal-jama’ah (yang memang dahulunya memang beliau memberi pembelaan terhadapnya, tetapi sekarang pembelaan itu diberikan selepas daripada berlaku sesuatu yang boleh disebut sebagai pengesahan secara kerohanian tentang kebenaran-kebenaran itu) ialah penulisannya berjudul ar-Risalah al-Qudsiyyah yang digubah sewaktu beliau berada dalam ‘uzlahnya di Jerusalem, mungkin sebelum 492 H/1099 M sebab pada bulan Sya’ban tahun tersebut Jerusalem ditawan oleh tentera  Salib. Ini dimasukkan ke dalam bab ke tiga kitab teragungnya Ihya’ ‘Ulumi’d-Din dalam bab berkenaan dengan dasar-dasar ‘Aqidah; di dalam kitab itu beliau mencatitkan apa yang dipelajarinya dalam masa beliau ber’uzlah sambil melakukan latihan-latihan kerohanian dan menjalankan tafakur yang mendalam itu.

Dalam masa pengembaraan itu beliau terus menerus mengarang kitab-kitab selain daripada Ihya’ ‘Ulumi’d-Din dan dari semasa ke semasa beliau kembali memberi pengajaran kepada para muridnya. Beliau merasakan bahawa ia mempunyai peranan untuk menyelamatkan agama daripada aliran kezindikan dan kekufuran dan beliau mengarang kitab-kitab untuk menegakkan akidah Ahl al-Sunnah wal-jama’ah sebagaimana yang jelas daripada bahagian akidah dalam Ihya’ ‘Ulumi’d-Din dan kitab-kitab lain seperti al-Iqtisad fi’l-I’tiqad; beliau juga mengarang kita tentang kesesatan Batiniyyah dalam kitabnya al-Fad’ih al-Bataniyyah dan juga kesesatan dan kekufuran dalam kitab Faisalat al-Tafriqah bainal-islam wa’z-zanadiqah. Beliau juga meneruskan pemerhatiannya terhadap hadith-hadith Nabi s.a.w.

Bila beliau kembali ke Tus beliau meneruskan hidup ‘uzlahnya serta tafakkur yang diamalnya; bagaimanapun Fakhr al-Mulk anak lelaki Nizam al-Mulk yang memberi lindungan kepadanya, yang waktu itu menjadi wazir kepada Sultan Sanjar menggesa beliau menerima jawatan professor ilmu akidah di Maktab Maimunah Nizamiyyah di Nishapur yang beliau setujui akhirnya, dengan perasaan hati yang berat; tetapi beliau tidak lama bertugas di sana dan kemudiannya kembali ke kota kelahirannya lagi dan membina madrasah di mana beliau memberi pengajaran di sana berkenaan dengan usul al-din dan tasawwuf.

Kemudiannya bila beliau disuruh oleh wazir al-Said mengajar pula dan Nizamiyyah di Baghdad, beliau membuat pilihan untuk menetap di Tus; di sana beliau hidup dengan aman dengan para muridnya; hidupnya dipenuhi dengan pendidikan dan ibadat kepada Allah sehingga beliau meninggal dunia pada 14 Jamadil-Akhir tahun 505 H/19 Disember 1111 M dengan kitab hadith atas dadanya, kata kisahnya.

Ibn al-Jawzi meriwayatkan dalam kitab al-Thabat ‘Inda al-Mamat kisah yang didapatinya daripada Ahmad saudara Imam al-Ghazali bahawa “pada Hari Isnin (14 Jamadil-Akhir) pada waktu masuk Subuh saudaraku Abu Hamid mengambil wudu’nya, sembahyang Subuh, kemudian berkata: ‘Bawa kepadaku kain kafanku’; beliau mengambil kain itu, menciumnya dan meletakkannya pada matanya, sambil berkata: ‘Kami mendengar dan taat dengan penuh persediaan untuk hadhir ke Hadhrat Tuhan, Raja (Yang Maha Berkuasa)’; kemudian beliau melunjurkan kakinya, mengadap kiblat,dan meninggal dunia sebelum matahari naik’.

Diceritakan bahawa Shaikh Abul-hasan al-Shadhili rd bermimpi bahawa ia melihat Nabi s.a.w. menunjukkan Imam Al Ghazali kepada nabi Musa dan ‘Isa, sambil bertanya kepada kedua mereka, ‘Adakah terdapat orang alim yang bijaksana dalam umat anda berdua?’, jawab keduanya tidak ada.

Dalam hayatnya beliau menyedari bahawa beliau mesti bertanggungjawab untuk menghadapi aliran ilhad atau kekufuran yang sedang muncul pada waktu itu menyanggahi ajaran Islam berdasarkan Qur’an dan Sunnah sebagaimana yang ada dalam Ahlis-Sunnah wal-jama’ah. Kerana itu beliau memberi pembelaan terhadap akidah Ahlis-Sunnah wal-jamaah dalam teks-teks karangannya.

Antara kita-kitab karangannya yang disebut dalam catitan al-Zabidi dan Ibn al-Subki ialah:

  • Empat buah kitab dalam bidang fiqh mazhab Shafi’I; iaitu yang besar al-Basit, yang sederhana besarnya al-Wasit, dalam tujuh jilid, dan yang ringkas dalam dua jilid, iaitu al-Wajiz; yang diringkaskan dalam al-Khulasa. Al-Wasit diberi syarahnya dan juga diringkaskan isinya antaranya oleh Imam Nawawi dalam kitab Rawdah al-Talibin.
  • Empat buah kitab berkenaan dengan usul al-fiqh, al-Mankhul, yang dikarang waktu gurunya Imam al-Haramain masih hidup, Shifa’ al-Ghalil fi Masa’il (atau Masalik) al-Ta’lil; al-Maknun; dan al-Mustashfa. Kitabnya yang boleh disebut sebagai ensiklopedianya tentang metodologi punca-punca Shari’ah pendapatnya yang terakhir dalam bidangnya, ialah al-Mustashfa, yang banyak kali diterbitkan di Mesir dan lainnya. Kitab ini dikarangnya selepas daripada beliau keluar daripada ‘uzlah dan bersuluk serta tafakkur.
  • Ihya’ ‘Ulum al-Din, antara kitabnya yang terakhir.
  • Al-Imla’ ‘ala Mushkil al-Ihya’ yang di dalamnya beliau memberi jawapan terhadap setengah persoalan-persoalan yang diperkatakan berkenaan dengan kitab Ihya’ dalam zaman hidupnya. Kitab ini juga dipanggil dengan judul al-Ajwibah al-Muskita ‘an al-As’ilah al-Mubhita.
  • Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, sekarang tidak ada lagi;
  • Jawahir al-Qur’an;
  • Al-Arba’un fi’t-Tauhid, asalnya bahagian daripada Jawahir al-Qur’an;
  • Al-Asma’ al-Husna;
  • Al-Ma’akhidh berkenaan dengan perkara-perkara khilaf antara ahli hukum Islam;
  • Tahsin al-Ma’akhidh, sebagai sharah bagi al-Ma’akhidh;
  • Kimiya’ as-Sa’adah, atau Rahsia Kebahagiaan, asalnya ditulis dalam Farsi;
  • Lubab al-Muntakhal, berkenaan dengan kaedah-kaedah perbahasan;
  • Al-Iqtisad fi al-I’tiqad, yang dalamnya beliau membuat kenyataan: ”Golongan yang menafsir ayat-ayat dan hadith-hadith secara zahir lafaznya (al-Hashawiyyah) menegaskan ada arah bagi Allah manakala dalam masa yang sama mengawal diri mereka daripada mengosongkan Tuhan daripada Sifat-SifatNya (ta’til), dengan itu mereka terjatuh (ke dalam kesalahan) menjadikan Allah seperti para makhluk (tashbih). Allah Taala mengurniakan kejayaan kepada Ahl al-Sunnah dalam menetapkan kebenaran. Mereka mengakui matlamat yang sebenar dan yang layak dalam menetapkan kaedah mereka (dalam menetapkan akidah-p) dan mereka memahami bahawa arah dinafikan dan ditolak bagi Allah kerana itu bergantung dengan jisim-jisim dan mengikutinya, manakala memandangNya ditetapkan dengan teguhnya kerana itu secara langsungnya menuruti ilmu dan melayaninya sebagai bahagian yang menyempurnakannya”.
  • Mi’yar al-Nazar
  • Mihakk al-nazar
  • Bayan al-Qaulain, berkenaan dengan dua kaul Imam Shafi’i.
  • Al-Mustazhiri, penolakan terhadap faham Batiniyah;
  • Qawasim al-Batiniyyah, sebuah lagi penolakannya.
  • Tahafut al-falasifah, yang menyatakan terkeluarnya para ahli falsafah daripada keimanan, yang diberikan responsnya oleh qadhi Andalus iaitu Ibn Rushd al-Maliki dengan bukunya Tahafut al-Tahafut;
  • Al-Maqasid fi Bayan I’tiqad al-Awa’il, yang terkenal juga sebagai Maqasid al-Falasifah.
  • Asrar Mu’amalah al-Din;
  • Asrar al-Anwar al-Ilahiyyah bi al-Ayat al-Matluwwah;
  • Akhlaq al-Abrar wa al-Najat Min al-Ashrar;
  • Asrar Ittba’ al-Sunnah;
  • Asrar al-Huruf wa al-Kalimat;
  • Bayan Fada’ih al-Ibahiyyah, yang menentang mereka yang tidak percaya kepada Tuhan;
  • Bada’i’ al-Sani’;
  • Tanbih al-Ghafilin;
  • Talbis Iblis, nama kitab yang kemudiannya digunakan oleh Ibn al-Jawzi untuk menentang al-Ghazali;
  • Khulasah al-Rasa’il ila ‘Ilm al-Masa’il, ringkasan kitab fiqh al-Mukhtasar karangan al-Muzani;
  • Al-Risalah al-Qudsiyyah fi ‘Ilm al-Kalam;
  • Al-Sirr al-Masun sebuah kitab berkenaan dengan doa-doa atau bacaan-bacaan dari ayat-ayat Qur’an dalam menghadapi musuh;
  • Sharah Da’irah ‘Ali ibn Abi Talib, juga terkenal sebagai Nukhbah al-Asma’;
  • ‘Aqidah al-Misbah;
  • ‘Unqud al-Mukhtasar, ringkasan bagi ringkasan Imam al-Haramain terhadap kitab Mukhtasar oleh Muzani;
  • Rasa’il (terdiri daripada surat-surat) yang diterbitkan dalam suatu jilid dalam tujuh bahagian, terdiri daripada:
  1. Al-Hikmah fi Makhluqat Allah-Subhanahu wa Taala; Miu’raj al-Salikin;
  2. Rawdat al-talibin wa ‘Umdah al-Salikin (dalam tasawwuf dan tauhid); Qawa’id aql-‘Aqa’id fi al-tauhid yang dimasukkan ke dalam kitab Ihya’ sepenuhnya; Khulasah al-Tasanif fi al-Tasawwuf yang di dalamnya beliau mentakrifkan tasawwuf sebagai “Ketahuilah bahawa tasawwuf itu dua perkara; bersifat benar dengan Allah Yang Maha Berkuasa dan berakhlak baik dengan manusia. Sesiapa yang mengamalkan dua perkara ini ia seorang sufi. Sifat benar dengan Allah ertinya seseorang hamba itu memutuskan habuan bagi nafsunya dalam menjalankan suruhan Tuhan. Berakhlak baik dengan orang ramai ialah tidak mengutamakan tuntutan diri sendiri ke atas tuntutan mereka sejauh mana tuntutan mereka itu berjalan dalam lingkungan hukum Syara’. Sesiapa yang bersetuju dengan amalan bercanggah dengan Syara’ atau yang menentangnya ia tidak mungkin menjadi orang tasawwuf, dan kalau ia mendakwa (ia orang tasawwuf) maka ia berbohong” (Terjemahan daripada catitan Dr G.F. Haddad dari Laman “Al Ghazalil Website” – petikan asal dari http://www.sunnah.org/history/Scholars/imam_alghazali.htm).
  3. Al-Qistas al-Mustaqim; Minhaj al-‘Arifin; al-Risalah al-Laduniyyah; Faisal al-Tafriqah (fi al-Takfir); Ayyuhal Walad, asalnya tertulis dalam Farsi;
  4. Mishkat al-Anwar; Risalah al-Tayr; al-Risalah al-Wa’ziyyah; Iljam al-‘Awwam ‘an ‘Ilm al-kalam; al-Mad-nun bihi ‘ala Ghairi ahlihi; al-Ajwibah al-Ghazzaliyyah fi al-Masa’il al-Ukhrawiyyah;
  5. Bidayah al-Hidayah; Kimiya’ as-Sa’adah; al-Adab fi al-Din; al-Kashf wa al-Tabyin fi Ghurur al-Khalq Ajma’in;
  6. Sirr al-‘Alamain wa Kashf ma fi al-Darayn; al-Durrah al-Fakhirah fi Kashf ‘Ulum al-Akhirah;
  7. Qanun al-Ta’wil; al-Ahadith al-Qudsiyyah; al-Munqidh Min al-Dalal; di dalam kitab ini beliau membuat kenyataan: “Jalan tasawwuf terdiri daripada usaha membersihkan hati daripada segala yang lain daripada Allah. Saya membuat kesimpulan bahawa orang-orang tasawwuf adalah orang-orang yang menuntut dalam Jalan Tuhan, dan perangai mereka adalah perangai yang terbaik sekali, dan adab-adab mereka adalah adab-adab yang paling bersih; mereka telah menyucikan hati mereka daripada segala yang lain daripada Allah dan mereka menjadikannya sebagai jalan-jalan bagi berlalunya sungai-sungai mengalir, yang membawa ilmu atau ma’rifah tentang Allah.”
Fatawa, yang di dalamnya beliau membuat kenyataan:

“Soalan: Apakah jawapan yang perlu diberikan kepada orang yang menganggap sembahyang sebagai jalan untuk mencapai ibadat yang sebenarnya, dan pengenalan sebenar terhadap Allah, sehingga bila ia mencapai yang kedua itu ia merasa tidak lagi perlu sembahyang, walaupun ia memang masih juga melakukan sembahyang?

Jawapan: Orang yang terpedaya ini mestilah sedar bahawa ibadat yang sebenar dan pengenalan terhadap Allah adalah matlamat-matlamat sembahyang, tetapi bukan itu sahaja matlamatnya. Sebagaimana juga keadaannya kata-kata yang dilafazkan dan yang tertulis dan bacaan-bacaan untuk menjaga diri (al-ruqyah) ada kesan yang tertentu dalam mengawal orang daripada ular – sebenarnya, ke arah menundukkan jin-jin dan setan-setan; dan sebagaimana juga dengan doa-doa yang disampaikan kepada kita dalam bentuk-bentuk puitis menarik khidmat dari para malaikat sebagai jawapan bagi doa-doa orang-orang yang berdoa, fikiran manusia tidak terjangkau untuk memahami cara dan ciri yang sebenar bacaan-bacaan ini, yang boleh difahami hanya melalui kuasa seorang nabi, bila para nabi itu ditunjukkan makna itu semua dalam lauh al-Mahfuz; demikian pula bentuk-bentuk amalan sembahyang yang menjadikan orang ruku’ dan sujud dua kali, dengan bilangan-bilangan (tasbih-tasbih dan bacaan-bacaannya), serta ayat-ayat Qur’an yang tertentu, yang dibaca, dengan panjangnya secara tertentu dan juga bilangannya, waktu matahari naik, tengahhari, dan waktu matahari jatuh, ada mempunyai kesan tertentu  bagi menenangkan ular yang bersarang dalam dada manusia dan menimbulkan ular banyak kepalanya pula, (ini bahasa perlembangan-p) yang menyamai bilangan perangai dirinya, yang menggigit dan memagutnya dalam kubur (dalam alam barzakh-p) bahayanya merebak pergi kepada rohnya pula, sebagaimana yang diisyaratkan oleh nabi dalam sabdanya – Allah memberi rahmat dan kesejahteraan kepadanya – ‘Naga dengan sembilan puluh sembilan kepala diberi berkuasa dalam kubur orang yang tidak beriman, yang melakukan sekian sekian perbuatan ’Maka banyaklah naga yang demikian dalam tabiat kejadian manusia, dan tidak ada yang boleh menundukkannya melainkan kewajipan-kewajipan yang ditentukan oleh Tuhan”

Berkenaan dengan Imam al-Ghazali:

Ibn al-Subki menyebut kenyataan dari orang-orang yang sezaman dengan Imam al-Ghazali:

  • Imam al-Haramain berkata: “Al-Ghazali adalah laut yang menghilangkan dahaga”.
  • Murid al-Ghazali bernama Imam Muhammad ibn Yahya ibn Mansur al-Naysaburi al-Shahid menyatakan: “Beliau adalah Shaf’I yang kedua”.
  • Asa’ad al-Mihani menyatakan: ”Tidak ada orang yang mencapai ilmu seperti al-Ghazali, juga tidak ada yang mencapai kelebihannya melainkan orang yang mencapai atau hampir-hampir mencapai kesempurnaan pada akalnya:”

Ibn al-Subki membuat huraian: “Aku sukakan kenyataan sedemikian ini, kerana orang yang hendak melihat kepada tahap pencapaian orang yang berada di atas daripadanya dalam ilmu, ia memerlukan kepada akal dan kefahaman yang dalam. Saya mendengar syaikh dan imam (Syaikh al-Islam Taqi al-Din al-Subki) berkata: ‘Tidak ada orang yang mengetahui pangkat orang lain dalam ilmu melainkan orang yang sama setaraf dengan orang itu, dan yang mengenalinya secara peribadi, dan ia mengenalinya hanya setakat apa yang diizinkan untuknya mengetahui tentangnya’.”

Pemurniaan tasawwuf oleh Imam al-Ghazali rd:

  • Antaranya ialah pemurnian aqidah daripada pengaruh-pengaruh yang menyesatkan. Kerana itu al-Ghazali rd memberi jawapan kepada akidah-akidah yang sesat dan menyesatkan: Mu’tazilah, Jabariyyah, Khawarij, Syi’ah, Batiniyyah, golongan ahli falsafah; semuanya adalah dengan tujuan membina hidup kerohanian atau tasawwuf yang benar atas asas akidah yang hak. Sebab itulah pada bahagian awal Ihya’nya selepas berbicara tentang ilmu beliau memaparkan akidah Ahlis-Sunnah wal-jamaah, mengikut aliran Imam Abul-Hasan al-Asya’ari. Demikianlah akidah yang hak ini mendapat pembelaan dalam teks-teks beliau seperti Al-Iqtisad fil-I’taqad, Faisalut Tafriqah, Fada’ih al-batiniyyah, dan lainnya.
  • Antaranya beliau membersihkan amalan-amalan rohaniah mengikut rangka Qur’an dan Sunnah, serta mengikut Imam al-Shafi’I rd. Ini jelas dalam beliau memberi huraian berkenaan dengan amalan-amalan ibadat seperti sembahyang, puasa, zakat, haji, membaca Qur’an, mengamalkan wirid dan zikir dan seterusnya, dengan tafakkur dan lainnya. Dengan ini amalan tasawwuf berjalan dalam rangka ajaran kerohanian sebagaimana yang ada dalam fiqh imam mujtahid.
  • Tambahan ialah beliau memberi makna-makna kerohanian di sebalik amalan-amalan seperti sembahyang, puasa, zakat dan haji di bawah apa yang beliau sebut sebagai “asrar” dan adab-adab dengan maksud-maksud di sebaliknya. Misalnya dalam hubungan dengan ibadat sembahyang beliau mahukan orang yang melakukan sembahyang mengamalkan enam sifat batin, selain daripada rukun tiga belas sembahyang itu dengan amalan-amalan yang sunatnya. Amalan batin yang beliau kehendaki itu ialah memahami apa yang dibaca (‘al-tafahhum”), hadir hati dalam melakukan ibadat dan jangan lalai (‘hudur al-qalb”), takut kepada Tuhan (“al-khauf”), merasa dan menyedari keagungan dan kehebatan serta kemuliaan Tuhan (“al-ta’zim”), harapkan rahmat dana penerimaan Tuhan (“al-raja’ “), dan akhirnya malu, yaitu malu kerana kekurangan-kekurangan diri dalam ibadat (‘al-haya’). Dengan adanya dimensi rohani dalam ibadat maka amalan itu memperkasakan rohani manusia dan berkesan dalam membentuk peribadinya, bukan ia setakat melakukan amalan secara mekanikal semata, walaupun itu memang sah amalannya.
  • Dengan yang demikian Imam al-Ghazali menggabungkan pertimbangan hukum fiqh dan pertimbangan rohani atau tasawwuf; dengan itu teguhlah kedudukan tasawwuf dalam senarai ilmu-ilmu Islam, dan jadilah fiqh sebagai ilmu yang menjaga kemaslahatan ummat, bukannya berupa sistem mengadakan helah-helah supaya manusia tidak perlu sangat mentaati hukum Syara’ sebab para fuqaha pandai membuat helah-helah.
  • Dalam bahagian akhir jilid tiga kitab Ihya’ Imam Ghazali berbicara berkenaan dengan “ghurur” atau keadaan manusia terpedaya. Beliau menyebut bagaimana manusia itu mesti mengelak dirinya daripada terpedaya dalam mengamalkan agama supaya ia tidak sia-sia hidupnya di alam yang kekal nanti. Antara keadaan terpedaya itu disebutkan oleh beliau seperti berikut:
  • Antara mereka yang paling kuat terpedaya ialah mereka yang tidak membawa iman; maka hidup mereka dalam kegelapan rohaniah kerana tidak ada panduan. Panduan hanya boleh didapati dengan sebenar-benarnya bila orang itu membawa iman dan hiduplah ia dalam ibadat menjayakan keimanan yang diyakininya.
  • Antara mereka yang terpedaya itu ialah mereka yang merasa dirinya memadai dengan ilmu-ilmu setakat menyentuh amalan-amalan lahiriah sahaja tanpa mempedulikan aspek-aspek yang batin dalam amalan hidup. Maka Imam al-Ghazali rd mengutip kata-kata ulama yang dahulu-dahulu yang bermaksud “Sesiapa yang tidak ada baginya habuan daripada aspek yang batin daripada ilmu ahli tasawuf, maka dibimbangkan ia itu mati dalam kejahatan akhir hayatnya. Dan yang sehabis kurang sekali daripada habuan ilmu demikian ialah menyerahkan hal itu kepada mereka yang ahlinya jangan dibantah”. Imam al-Ghazali menyebutkan pula bahawa kalau seseorang itu mengetahui ilmu yang batin dalam tasawwuf tetapi ia tidak berusaha untuk memperbaikkan dirinya dan amalannya serta hatinya, maka ia terpedaya juga. Hendaklah keadaan ini dijauhi.
  • Antara mereka yang dibimbangkan binasa ialah orang-orang yang merasa memadai dengan amalan-amalan lahiriah sebagai orang-orang yang taat kepada aturan-aturan hukum agama. Orang yang demikian merasa memadai sebagai orang-orang yang salih dan mengamalkan agama, walhal ia tidak peduli untuk membersihkan diri daripada sifat-sifat yang keji seperti riya’ (yaitu melakukan amal kebajikan dalam agama untuk mendapat sanjungan orang ramai atau untuk menjadi masyhur), ujub iaitu rasa tercengang dengan kebaikan diri sendiri, takbur membesarkan diri atas orang lain; demikian seterusnya.
  • Antara mereka yang binasa dan terpedaya ialah orang-orang yang meringan-ringankan peraturan Syara’ berkenaan dengan cara masuk ke dalam amalan yang dikehendaki Allah. Ini kerana sikap memandang rendah kepada ilmu, kononnya dikatakanya ilmu ini kulit luar sahaja; yang penting ialah yang batin.
  • Antara orang-orang yang binasa walaupun mereka beramal ibadat ialah orang-orang yang mengamalkan amalan-amalan seperti sembahyang, puasa dan lainnya, tetapi mereka memandang remeh kepada perbuatan mengumpat kepada orang lain serta dengki terhadap mereka.
  • Secara terang Imam Ghazali menyebut di kalangan mereka yang menisbahkan diri kepada tasawwuf menjadi binasa kerana mereka mengambil berat tentang resmi dan pakaian seperti orang-orang tasawwuf dengan kain yang mereka pakai, dan tabiat mereka seperti ahli zikir. Beliau mahu supaya selain daripada resmi lahiriah dan kerja-kerja atau cara hidup lahiriah seperti orang sufi perlulah dijaga adab-adab batinnya.
  • Golongan yang menisbahkan mereka kepada tasawwuf juga ialah orang-orang yang mengaku mempunyai pengetahuan yang tinggi-tinggi seperti aspek-aspek mukasyafah termasuk ilmu tentang Tuhan dan sifat-sifatNya dengan dalamnya tetapi ia mencuaikan amalannya dalam mentaati Tuhan dan menjalankan aturan agamaNya dengan ikhlas.
  • Antaranya disebutkan orang-orang yang terpedaya ialah orang-orang yang menganggap Syara’ itu adalah tidak penting kerana ia aspek lahiriah tidak inti bagi agama. Ini bagi agama ia huraian tentang perkara-perkara yang tinggi-tinggi dan mereka ini menghafal kata-kata istilah yang tinggi-tinggi untuk menonjolkan diri sebagai orang-orang tasawwuf yang mencapai darjat yang tinggi, walhal itu adalah hafalan saja
  • Dalam Faisalah at-Tafriqah Imam Ghazali menyebut tentang mereka yang meringan-ringankan aturan Syara’ seperti orang-orang Zindik.
  • Kita boleh melihat kekuatan tasawwuf dalam huraian Imam al-Ghazali berdasarkan kepada sifat-sifat keutamaan rohaniah terdiri daripada pelbagai sifat yang perlu diperjuangkan kejayaannya dalam nafsu atau diri batin manusia. Sifat-sifat itu antaranya ialah: taubat, syukur, sabar, takut, harap, zuhud, faqir, tawakkal, tauhid, mahabbah dan syauk kepada Tuhan, niat yang baik, keikhlasan, sifat benar, muraqabah, muhasabah, mengingati maut.
  • Sifat-sifat yang mesti dibuang daripada jiwa manusia antaranya ialah: kegelojohan nafsu perut dan kelamin, kebinasaan lidah, (berkata-kata tentang perkara yang tidak berfaedah, berbantah-bantah, memberat-berat diri untuk menggunakan bahasa berperhiasan, suka memaki, melaknat, mempersenda-sendakan orang, dan lainnya, mengumpat, mengadu orang), bercakap orang awam berdalam-dalam berkenaan dengan Tuhan, sifat marah, berseteru, dengki dan dendam, kegilaan kepada hidup dunia, bakhil, tamak haloba, riya, suka kepada kemasyhuran, kasihkan pangkat, takabur, ujub atau tercengang dengan kebaikan diri.
  • Dalam tasawwuf Imam al-Ghazali ada aspek yang menyentuh hubungan manusia dengan Tuhan dalam pengalaman rohaniah sampai seolah-olah manusia merasa dirinya seperti tidak ada yang sebenar-benar ada hanya Tuhan. Ini boleh dikesankan dalam perbincangannya tentang “mahabbah” atau kasih, kejinakan atau “al-uns”, serta hal tauhid. Aspek yang satu lagi ialah bagaimana beliau menyebut Tuhan dengan Sifat-sifatNya yang sempurna dan sediakala (qadim); ini seperti yang disebut di kalangan sufiah: “Tuhan kekal sebagai Tuhan walaupun ia tajalli (seperti tajalli di bukit Tursina) dan hamba kekal hamba walaupun ia meningkat makamnya.” Berhubung dengan ini maka kita boleh memandang bahawa akidah itu akidah juga Tuhan adalah Yang menjadikan, Yang Kekal dan Sediakala, manusia adalah makhluk, yang baharu. Hanya kita perlu sebutkan bahawa pengalaman ahli-ahli rohani dalam sejarah Islam adalah pengalaman yang benar dan kita menerimanya.
  • Dalam tasawwuf Imam al-Ghazali terdapat penghayatan akidah Ahlis-Sunnah sampai ke kemuncaknya, dengan perlaksanaan amalan berdasarkan fiqh imam mujtahid yang diikuti oleh orang yang berkenaan; amalan rohaninya pula adalah terdiri daripada amalan-amalan yang diakui ulama, serta dengan penekanan ke atas sifat-sifat keutamaan yang baik (‘asl-fada’il), dan pengikisan dari jiwa sifat-sifat yang buruk (‘al-akhlak almadhmumah’); pengiktirafan ada terhadap pengalaman rohani yang sahih yang sampai kepada tahap bahawa orang yang berkenaan itu sampai mengalami bahawa wujud yang sesungguhnya adalah Tuhan dan wujud hamba adalah wujud yang bukan hakiki, walaupun memang ia “real” pada paras alam benda.
  • Dalam rangka akidah yang sedemikian ini selaraslah akidah manusia di Dunia Melayu dan akidah ini hendaklah dikawal dan diteruskan supaya ia bersemarak; janganlah dibiarkan akidah lain berkembang di kalangan orang Dunia Melayu ini supaya aliran Ahl al-Sunnahnya tetap segar. Antaranya hendaklah jangan dibiarkan berkembang di Dunia Melayu ini pegangan seperti yang ada dalam ajaran Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab yang sampai menuduh Nabi Adam a.s. syirik, Syaikh al-Busiri dalam ‘al-Burdah”nya dikatakan syirik, dikatakan mengucap syahadah dengan tahu maknanya, dengan berikrar, dengan menyeru kepada Tuhan belum menjadikan selamat nyawa dan harta, berdoa di kubur wali sampai dikatakan syirik dan kafir, mengikut imam mujtahid sebagai orang bertaklid sama seperti Orang Ahlil-Kitab mengambil rahib-rahib dan ahli agama mereka sebagai “tuhan-tuhan selain Allah”.

Wallahu a’lam.

————————————————–

* Sumber-sumber tentang riwayat hidup Imam al-Ghazali rd banyak terdapat di laman web “al-Ghazali’s website”: www.muslimphilosophy.com/gz/default.htm; antaranya:

At-Tabaqat al-Shafi’iyyah al-Kubra, oleh Imam Taj al-Din al-Subki (1327-1370), ed.’Abd al-Fattah Muhammad al-Juluyy dan Mahmud Muhammad al-Tanahi, jld. VI.cetakan pertama, Isa al-Babi al-halabi, Kahirah, hlm.191-227;
Siyar A’lam al-Nubala’, Imam al-Dhahabi,
Tibyan Kathib al-Muftari, Ibn ‘Asakir,
Shadharat al-Dhahab,
Wafayat al-Wafayat
Mir’at al-Jinan
al-Bidayah wa al-Nihayah oleh Ibn Kathir
“The Life of al-Ghazali with special reference to his religious experiences and opinions”, D Black MacDonald, (JAOS).1887,
“Al-Ghazali: Life and Works” oleh Massimo. Campanini (e-teks),
“Al-Ghazali: Philosophy and Works”, oleh K. Nakamura, dari Routledge Encyclopedia of Philosophy,
The faith and Practice of Al-Ghazali” artikel oleh Montgomery Watt,
Al-Ghazali: A standard web biography and review of his works” oleh G.F.Haddad,
Syarah Ihya’ (Ithaf al-Sadat) oleh Murtadha al-Zubaidi, mukaddimah jld I hlm 1-55
M.Saeed Shaeik, M.A. “al-Ghazali”, bab XXX, bahagian awal tentang Imam ini, termasuk riwayat hidupnya dalam “History of Muslim Philosophy”, di bawah “al-Ghazali Life and Works”, dlm http://www.muslimphilosophy.com/gz/articles/hmp-4-30.htm.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 32 other followers

%d bloggers like this: