Akal Ubudiah Bagaimana Menjayakannya – Beberapa Catitan Awal

بسم الله الرحمن الرحيم

نحمده ونصلى على رسوله الكريم

AKAL UBUDIAH BAGAIMANA MENJAYAKANNYA – BEBERAPA CATITAN AWAL

Oleh: MUHAMMAD ‘UTHMAN EL-MUHAMMADY

Catatan yang sangat sederhana ialah sebagai nota awal berkenaan dengan akal ubudiah dalam suluhan cahaya ajaran Qur’an, sebagaimana yang dapat dilihat dalam tradisi wacana arus perdana Islam. Penulis bukan menggambarkan ini sebagai pengamatan yang lengkap, tetapi sebagai renungan-renungan awal tentang tajuk ini.

Kita boleh bermula dengan menyebut ayat Qu’ran dalam Surah ali Imran:

{ إِنَّ فِي خَلْقِ ٱلسَّمَاوَاتِ وَٱلأَرْضِ وَٱخْتِلاَفِ ٱلْلَّيْلِ وَٱلنَّهَارِ لآيَاتٍ لأُوْلِي ٱلأَلْبَابِ }

Sesungguhnya dalam kejadian langit dan bumi serta silih bergantinya malam dan siang ada tanda-tanda [yang menunjukkan Maha mengetahuiNya dan Maha berkuasaNya Tuhan] pada mereka yang berakal tinggi (ulil-albab) (Surah Ali Imran:190)… dan seterusnya.

Ayat ini menunjukan pencerahan dalaman yang berlaku dalam diri dengan menyebut perkara-perkara yang menunjukkan kepada tauhid, sifat–sifat ketuhanan, keagungan dan kehebatanNya. (al-tauhid, al-ilahiyyah, al-kibriya’, al-jalal).

Dalam hubungan dengan ayat ini ibn ‘Umar rd berkata kepada Siti ‘Aisyah rd:

Beritahu kepada hamba perkara yang paling ajaib sekali yang bonda lihat pada Rasulullah s.a.w.; bonda Aisyah menangis, lama tangisnya. Kemudian ia berkata:

Semua perkara pada baginda adalah ajaib. (Kullu amrihi ’ajabun)

Pada suatu malam baginda datang kepadaku, kemudian baginda berkata kepadaku: Aisyah, bolehkan anda izinkan kepadaku pada malam ini untuk beribadat kepada Tuhanku? Aku menjawab: Wahai Rasulullah, hamba suka berada hampir dengan tuan hamba, dan hamba suka kepada apa yang tuan hamba sukai, hamba izinkan tuan hamba [beribadat kepada Tuhan]. Maka bagindapun berdiri pergi ke bekas menyimpan airnya (daripada kulit) yang ada dalam rumah itu, baginda berwudhu’, tidak banyak air yang dicurahnya itu, kemudian baginda berdiri dan melakukan sembahyang, baginda membaca Qur’an [dalam sembahyang itu] dan mula menangis, kemudian ia mengangkat tangannya, ia menangis lagi, sehingga aku melihat air matanya mengenai bumi, kemudian Bilal datang untuk menyuarakan azan bagi mendirikan sembahyang Subuh, maka dilihat oleh Bilal baginda menangis itu. Kata Bilal: Wahai Rasulullah, Adakah tuan hamba menangis walhal Allah telah mengampunkan bagi tuan hamba doa yang terdahulu dan apa yang datang kemudian? Sabda baginda: ’Wahai Bilal, tidakkah patut aku menjadi hamba yang bersyukur?’ Kemudian baginda bersabda: Bagaimanakah aku tidak menangis walhal telah diturunkan Allah pada malam ini (ayat inni fi khalqissamawat wal-ard…) kemudian baginda bersabda: Binasalah orang yang membaca ayat itu dan tidak berfikir tentangnya. Dan diriwayat (juga hadith itu dengan bentuk begini) Binasalah orang yang memamah-mamahnya dengan mulutnya tetapi tidak berfikir tentangnya (lakaha baina fakkaihi wa lam yata’ammal fiha). Dan diriwayatkan daripada ’Ali rd bahawa Nabi s.a.w. biasa berdiri pada malam hari selepas tidurnya, baginda bersiwak, kemudian melihat langit dan berkata: Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi…

Riwayat itu ialah  seperti di bawah ini:

اعلم أن المقصود من هذا الكتاب الكريم جذب القلوب والأرواح عن الاشتغال بالخلق الى الاستغراق في معرفة الحق، فلما طال الكلام في تقرير

الأحكام والجواب عن شبهات المبطلين عاد الى إنارة القلوب بذكر ما يدل على التوحيد والإلهية والكبرياء والجلال، فذكر هذه الآية. قال ابن عمر: قلت لعائشة: أخبريني بأعجب ما رأيت من رسول الله صلى الله عليه وسلم، فبكت وأطالت ثم قالت: كل أمره عجب، أتاني في ليلتي فدخل في لحافي حتى ألصق جلده بجلدي، ثم قال لي: يا عائشة هل لك أن تأذني لي الليلة في عبادة ربي، فقلت: يا رسول الله إني لأحب قربك وأحب مرادك قد أذنت لك. فقام الى قربة من ماء في البيت فتوضأ ولم يكثر من صب الماء، ثم قام يصلي، فقرأ من القرآن وجعل يبكي، ثم رفع يديه فجعل يبكي حتى رأيت دموعه قد بلت الأرض، فأتاه بلال يؤذنه بصلاة الغداة فرآه يبكي، فقال له: يا رسول الله أتبكي وقد غفر الله لك ما تقدم من ذنبك وما تأخر، فقال: ” يا بلال أفلا أكون عبدا شكورا ” ، ثم قال: ” ما لي لا أبكي وقد أنزل الله في هذه الليلة: { إِنَّ فِي خَلْقِ ٱلسَّمَـٰوَاتِ وَٱلأَرْضَ } ” ثم قال: ” ويل لمن قرأها ولم يتفكر فيها ” وروي: ويل لمن لاكها بين فكيه ولم يتأمل فيها. وعن علي رضي الله عنه: أن النبي صلى الله عليه وسلم كان إذا قام من الليل يتسوك ثم ينظر الى السماء ويقول: إن في خلق السموات والأرض

.Disebutkan oleh Imam Fakhr al-Razi rh: Bila Tuhan memerintah orang yang beriman “maka ingatlah kepadaKu”, “Sebutlah namaKu” dengan ibadat-ibadat, dan “bersyukurlah kepadaKu” dengan apa-apa yang bertalian dengan syukur itu, disebutkan pula, berikutnya apa yang membantu ke arah menjayakan kedua-duanya, maka diperintahkan ( واستعينوا باالصبر والصلاة انها لكبيرة الا على الخاشعين ): “minta tolonglah kamu untuk menjayakannya dengan sabar dan mendirikan sembahyang”; dikhaskan sebutan kedua itu kerana di dalamnya ada perkara-perkara yang membantu dalam menjayakan ibadat-ibadat;

Sabar ialah memaksakan diri (jiwa) menanggung perkara-perkara yang tidak disukai kerana Allah taala dan menjadikannya tetap atas menanggung kesukaran dan mengelak daripada gelisah tidak sabar; sesiapa yang berkuasa menanggung disiplin diri dan hatinya dengan bersifat demikian, maka senang baginya melakukan amalan taat dan menanggung kesukaran melakukan ibadat, mengelak daripada yang terlarang.

Dalam hubungan dengan jihad dan tetap atasnya ([الأنفال: 45 ) { إِذَا لَقِيتُمْ فِئَةً فَٱثْبُتُواْ }

Tentang tetap dalam sembahyang dan doa dengan jiwa yang teguh di dalamnya dinyatakan dalam Qur’an

{ وَمَا كَانَ قَوْلَهُمْ إِلاَّ أَن قَالُواْ ربَّنَا ٱغْفِرْ لَنَا ذُنُوبَنَا وَإِسْرَافَنَا فِى أَمْرِنَا وَثَبّتْ أَقْدَامَنَا وٱنصُرْنَا عَلَى ٱلْقَوْمِ ٱلْكَـٰفِرِينَ }

[آل عمران: 147].

Maka meminta tolong dengan melakukan sembahyang ialah melalui sembahyang dengan cara merendah diri di dalamnya, tunduk menghina diri kepada Yang disembah, dengan ikhlas keranaNya; wajib ditumpukan himah dan hati atas yang demikian, dalam membaca ayat-ayat dan zikir-zikirnya, mentadabur makna-maknanya, janji balasan baiknya, balasan yang sebaliknya kerana kederhakaan, peransang atas kebaikan dan ketaatan, dan amaran menakutkan daripada kejahatan. Sesiapa yang melalui jalan yang demikian dalam sembahyang maka senanglah baginya untuk menanggung kesusahan dalam melakukan amalan-amalan baik lainnya. Kerana itu dinyatakan (innassolata tanha ‘anil fakhsha’ wal-munkar) ( ان الصلاة تنهى عن الفحشاء والمنكر) (Surah Ankabut:45)

Sebab itu kita melihat para peribadi utama bergegas melakukan sembahyang bila ada sesuatu yang mengejutkan.

Kemudian Allah berfirman إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِينَ

Sesungguhnya Allah berserta dengan mereka yang sabar, yakni Ia memberi pertolongan kepada mereka kerana sikap mereka yang demikian. Dan firmanNya:

] فَسَيَكْفِيكَهُمُ ٱللَّهُ وَهُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ } [البقرة: 137[

Maka seolah-olah Allah memberi jaminan bagi mereka bahawa bila mereka meminta pertolongan untuk mencapai kejayaan atas taat dengan sabar dan melakukan sembahyang bahawa Tuhan menambahkan kepada mereka taufik, jalan yang betul dan tepat, serta mengurniakan bantuan-bantuan dari Sifat Maha lemah lembutNya itu sebagaimana firmanNya:

{ وَيَزِيدُ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ٱهْتَدَواْ هُدًى }

Dan Allah menambahkan bimbingan [lagi] kepada mereka yang mengikut jalan yang benar itu[مريم: 76] ( (Tafsir ‘Futuh al-Ghaib’ oleh Fakhr al-Razi rh dalam:

http://altafsir.com/Tafasir.asp?tMadhNo=0&tTafsirNo=4&tSoraNo=2&tAyahNo=153&tDisplay=yes&UserProfile=0)

Imam Fakhr al-Razi menyebutkan ayat yang sama dalam Surah al-Baqarah:164. Ayatnya ialah:

‏{‏إن في خلق السماوات والأرض واختلاف الليل والنهار والفلك التي تجري في البحر بما ينفع الناس وما أنزل الله من السماء من ماء فأحيا به الأرض بعد موتها وبث فيها من كل دابة وتصريف الرياح والسحاب المسخر بين السماء والأرض لآيات لقوم يعقلون‏}‏

Sesungguhnya dalam kejadian langit dan bumi dan pergantian malam dan siang serta kapal yang belayar di laut dengan apa yang mendatangkan faedah bagi umat manusia dan hujan yang diturunkan dari langit dan menjadikan hidup dengannya bumi selepas matinya, dan berkembang di dalamnya tiap-tiap jenis binatang yang melata di bumi, serta pergantian angin dan awan yang ditundukkan antara langit dan bumi (dalam tadbir Ilahi) ada padanya tanda-tanda (Kebesaran dan Hikmah kebijaksanaan Tuhan) bagi mereka yang menggunakan akal. (Surah al-Baqarah: 164).

Fakhr al-Razi rh menyebutkan bahawa bila digabungkan dalil-dalil dalam al-Baqarah dan ali-Imran ini maka jumlahnya ialah lapan: langit, bumi, malam dan siang.

Dalam hubungan dengan ayat-ayat ini kata imam ini: mata hati yang batin (suwaida’ al-basirah) itu berfungsi seperti mata hitam; sebagaimana hitam mata itu tidak mampu untuk mencakupi secara meliputi dua perkara dalam pandangannya, bahkan bila matanya memandang kepada sesuatu benda maka tidak bolehlah dalam keadaan itu matanya memandang benda yang lain pula, demikian pula di sini bila akal manusia itu menghalakan tumpuannya kepada sesuatu yang ma’kul (tanggapan atau idea) maka dalam hal itu tidak boleh ia menghalakan tumpuan akal itu kepada ma’kul yang lain lagi. Berdasarkan kepada realiti demikian ini, maka bilamana akal itu lebih banyak sibuknya dengan tertumpu kepada ma’kulat-ma’kulat yang berlainan, maka terhalangnya daripada meneliti secara meliputi perkara-perkara taakulat dan idrakat (perkara-perkara yang difahami oleh akal dan yang dicapai dalam pengilmuannya itu) lebih banyak lagi, maka berdasarkan kepada yang demikian ini, seseorang yang menuju kepada Allah mestilah pada tahap permulaannya ia memperbanyakkan dalil-dalil; maka bila kalbu itu mendapat pencerahan dengan mengenal Allah, jadilah kesibukannya dengan dalil-dalil itu berupa sebagai hijab yang menghalang daripada tenggelam kalbunya dalam mengenal Allah. Maka orang salik pada awal mulanya memperbanyakkan dalil-dalil, dan bila terpancar nur dalam kalbunya jadilah ia mensedikitkan dalil-dalilnya pula.

إذا عرفت هذه القاعدة، فذكر في سورة البقرة ثمانية أنواع من الدلائل، ثم أعاد في هذه السورة ثلاثة أنواع منها، تنبيها على أن العارف بعد صيرورته عارفا لا بد له من تقليل الالتفات الى الدلائل ليكمل له الاستغراق في معرفة المدلول، فكان الغرض من إعادة ثلاثة أنواع من الدلائل وحذف البقية، التنبيه على ما ذكرناه، ثم إنه تعالى استقصى في هذه الآية الدلائل السماوية وحذف الدلائل الخمسة الباقية، التي هي الدلائل الأرضية، وذلك لأن الدلائل السماوية أقهر وأبهر، والعجائب فيها أكثر، وانتقال القلب منها الى عظمة الله وكبريائه أشد، ثم ختم تلك الآية بقوله: { لّقَوْمٍ يَعْقِلُونَ } وختم هذه الآية بقوله: { لأُوْلِى ٱلأَلْبَـٰبِ } لأن العقل له ظاهر وله لب، ففي أول الأمر يكون عقلا، وفي كمال الحال يكون لبا، وهذا أيضا يقوي ما ذكرناه، فهذا ما خطر بالبال، والله أعلم بأسرار كلامه العظيم الكريم الحكيم.

Beliau menyatakan lagi bahawa dalam surah al-Baqarah itu ada lapan dalil, dalam surah ali Imran ada tiga dalil, ini menjadi peringatan kepada pengajaran bahawa orang yang arif itu selepas ia menjadi arif, maka ia perlu tidak berpaling kepada banyak dalil-dalil demi untuk menyempurnakan penenggelamannya dalam mengenali apa yang ditunjukkan oleh dalil-dalil (ma’rifah al-madlul); inilah tujuan mengulangi tiga dalil dalam surah ali Imran dan membuang yang baki itu., yang terdiri daripada dalil-dalil ‘kebumian’ itu. Ini ialah kerana dalil-dalil ‘langit’ lebih kuat dan gemilang, dan perkara-perkara ajaibnya lebih banyak. Maka berpalingnya kalbu daripada itu semua pergi kepada keagungan dan kehebatan Ilahi (‘azamatillahi wa kibriya’ihi) adalah lebih kuat, kemudian diakhiri ayat ini dengan ‘mereka yang menggunakan akal’ dan diakhiri ayat dalam surah ali Imran ini dengan mereka yang berakal tinggi (ulil-albab), kerana akal itu ada zahir baginya dan ada lubb pula; maka pada tahap awal itu ia adalah akal, dan pada tahap sempurnanya ia menjadi ‘lubb’ atau inti.( لأن العقل له ظاهر وله لب، ففي أول الأمر يكون عقلا، وفي كمال الحال يكون لبا )

(Dalam: http://altafsir.com/Tafasir.asp?tMadhNo=0&tTafsirNo=4&tSoraNo=3&tAyahNo=190&tDisplay=yes&Page=2&Size=1)

Kemudian Imam Fakhr al-Din al-Razi rh menyebut huraiannya berkenaan dengan ayat yang berikutnya:

{ ٱلَّذِينَ يَذْكُرُونَ ٱللَّهَ قِيَاماً وَقُعُوداً وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ ٱلسَّمَاوَاتِ وَٱلأَرْضِ رَبَّنَآ مَا خَلَقْتَ هَذا بَاطِلاً سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ } * { رَبَّنَآ إِنَّكَ مَن تُدْخِلِ ٱلنَّارَ فَقَدْ أَخْزَيْتَهُ وَمَا لِلظَّالِمِينَ مِنْ أَنْصَارٍ }

Iaitu mereka yang menyebut nama-nama Allah waktu berdiri, duduk dan sewaktu berbaring atas lambung mereka, dan berfikir tentang kejadian langit dan bumi (lalu berkata dengan penuh kesedaran selepas berfikir) Tuhan kami, tidaklah Engkau jadikan ini semua dengan sia-sia, Maha suci Engkau (daripada apa-apa yang tidak layak dengan maha SempurnaNya Zat dan Sifat-SifatMu), selamatkanlah kami daripada Neraka (Surah Ali ‘Imran:191).

(Penulis ini hendak menyebutkan: akal ubudiah di sini memuncak dengan kesedaran, dari alam dunia ini sampai ia ke alam yang abadi dalam ‘tauhidic intellectuality’nya). Ayat berikutnya ialah (Tuhan kami, sesungguhnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka (kerana kederhakaannya) maka Engkau menghinakannya dan mereka yang zalim itu tiada pembantu bagi mereka).

Kata Imam Fahr al-Din al-Razi rh:

اعلم أنه تعالى لما ذكر دلائل الإلهية والقدرة والحكمة وهو ما يتصل بتقرير الربوبية ذكر بعدها ما يتصل بالعبودية، وأصناف العبودية ثلاثة أقسام: التصديق بالقلب، والإقرار باللسان، والعمل بالجوارح، فقوله تعالى: { يَذْكُرُونَ ٱللَّهَ } إشارة إلى عبودية اللسان، وقوله: { قِيَـٰماً وَقُعُوداً وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ } إشارة الى عبودية الجوارح والأعضاء، وقوله: { وَيَتَفَكَّرُونَ فِى خَلْقِ ٱلسَّمَـٰوَاتِ وَٱلأَرْضِ } إشارة الى عبودية القلب والفكر والروح، والانسان ليس إلى هذا المجموع، فإذا كان اللسان مستغرقا في الذكر، والأركان في الشكر، والجنان في الفكر، كان هذا العبد مستغرقا بجميع أجزائه في العبودية، فالآية الأولى دالة على كمال الربوبية، وهذه الآية دالة على كمال العبودية، فما أحسن هذا الترتيب في جذب الأرواح من الخلق الى الحق، وفي نقل الأسرار من جانب عالم الغرور الى جناب الملك الغفور

Maksudnya lebih kurang: Ketahuilah bahawa bila Allah menyebutkan dalil-dalil ketuhanan, kekuasaan dan hikmahNya, iaitu apa yang membawa kepada penetapan rububiyyahNya, ia menyebut pula selepasnya apa-apa yang berhubung dengan ubudiyyah terhadapNya. Dan ubudiyyah itu ada tiga kategori:

a. tasdiq atau membenarkan dengan hati,

b. ikrar atau pengakuan dengan lidah, dan

c. amalan dengan anggota badan (al-tasdiq bil-qalb, wa al-iqrar billisan, wa al-‘amal bil-jawarih).

Maka ayat ‘yadhkuruna’Llah itu mengisyaratkan ubudiyyah pada lidah, ayat ‘qiyaman wa qu’udan wa ‘ala junubihim’ menunjukkan ubudiyyah anggota badan, dan ‘wa yatafakkaruna fi khalqissamawati wal-ard’ itu menunjukkan ubudiyyah kalbu, fakir dan roh; dan insan itu tidak lain melainkan terdiri daripada tiga himpunan ini; maka bila manusia itu lidahnya tenggelam dalam zikir, anggota badannya dalam syukur, dan akalnya dalam fikir (wa al-janan fi’l-fikr) maka hamba Tuhan ini tenggelam dengan seluruh bahagian dirinya dalam pengabdian (ubudiyyah), maka ayat yang pertama menunjukkan kesempurnaan rububiyyah, dan ayat ini pula menunjukkan kesempurnaan ubudiyyah, maka alangkah indahnya susunan tertib berkenaan dengan peri tertariknya arwah daripada penciptaan Tuhan kepada al-Haq (yang mencipta segala), perpindahan asrar (batin hati) daripada alam al-ghurur tempat penuh ujian dan penipuan, ke hadhrat al-malik al-Ghafur, Tuhan raja Hakiki Yang Maha Pengampun.

Dalam: (http://altafsir.com/Tafasir.asp?tMadhNo=0&tTafsirNo=4&tSoraNo=3&tAyahNo=191&tDisplay=yes&UserProfile=0)

Dalam Surah ali Imran: 190-191 ini nampaknya disebutkan pengembangan akal tafakur (rational, syllogistic intellect) dan akal ubudiah (contemplative intellect) dengan sebaiknya yang melahirkan ulul-albab itu. Kedua-dua jenis akal ini perlu dikembangkan bersama untuk melahirkan manusia yang beriman dan beramal soleh, yang terpandu peribadinya oleh kebijaksanaan tertinggi dari segi teori (hikmah nazariyyah, iaitu iman) dan kebijaksanaan amali (hikmah amaliyyah), amal soleh, ketaqwaan.

Kalau kita cuba cerakinkan:

Akal tafakur dalam erti akal yang rasional itu terdiri daripada beberapa perkara seperti:

  • Berfikiran tajam
  • Berfikiran secara teratur, sistematis
  • Berfikir mencapai matlamat, tahap demi tahap
  • Berfikir secara deduktif
  • Berfikir secara induktif

Contoh:

Berfikir tentang memerlukan bumbung – pergi ke belakang kepada dinding, tiang – pergi ke belakang lagi kepada asas atau tapak bangunan – pergi ke belakang lagi, penulis ini tambah kepada contoh ibn Khaldun – keperluan memilik tanah. Dari tahap 1 ke tahap 4.

Bermula tindakan:

Tindakan bermula daripada tahap terakhir dalam fikir – iaitu membeli tanah, kemudian ke 2 menyediakan tapak, kemudian ke 3 menyediakan dinding dan tiang – kemudian ke 4 membuat bumbung dan meletakkannya di atas tiang dan dinding. Siap kerja dan rancangan.

Kata ibn Khaldun setengah orang berfikir 3 tahap, setengah 4, setengah lima, demikian seterusnya mengikut kematangan akal masing-masing.

Bila dilatih akal manusia menjadi tajam dan beroperasi secara berkesan, dibahagikannya kepada beberapa bahagian: akal tamyizi, akal pembeza yang membezakan antara sesuatu dengan yang lain, daripada yang bersifat kebendaan kepada yang bersifat maknawi.

Akal tajribi, akal pengalaman, yang mendapat faedah dengan pengalaman dan percubaan yang dilalui, dengan dicamkannya apa yang berfaedah dan apa yang tidak dan sebagainya.

Akal nazari, akal teori, akal yang mampu membuat huraian teori yang mengaitkan sesuatu dengan yang lain-lainnya sampai tercapai huraian tentang sesuatu secara sistematis.

Akal amali, akal yang mahir dalam kerja-kerja praktikal melalui latihan-latihan yang diperlukan, sampai berjaya orang yang berkenaan.

Akal mazid (al-’aqlul mazid) akal tambahan, additional intelligence, iaitu perhimpunan kepandaian kelas tinggi dalam sesuatu setting budaya kekotaan yang canggih yang memajukan sesuatu umat dalam pengetahuan-pengetahuan dan kemahiran-kemahiran tinggi. (Kalau sekarang boleh disebutkan teknologi tinggi)

Dalam wacana ibn Khaldun ini dikaitkan pula dengan pembentukan ’malakah’: malakah imaniyyah’ dalam soal iman, ’malakah ubudiyyah’ dalam soal ubudiyyah, ’malakiyyah khuluqiyyah’ malakah dalam akhlak yang terlatih dengan baik, ’malakah sina’iyyah’ malakah pertukangan atau kemahiran, ’malakah lughawiyyah’ malakah dalam penguasaan bahasa, demikian seterusnya, sehingga menjadilah manusia yang berkenaan itu mempunyai kemahiran dalam bidangnya seolah-olah seperti berenang dalam air pada ikan dan terbang di angkasa pada burung.

Sebelum menyebut tentang berfikir Imam Ghazali rd menyebut tentang akal: akal yang mula-mula berupa naluri membezakan antara haiwan dan manusia, kemudian akal dalam anak-anak yang berkembang seperti sinaran cahaya subuh, dengan kesedarannya tahap demi tahap, kemudian akal dalam lelaki dewasa yang membawa kepada ilmu amali dan teori, kemudian akal yang ada pada orang yang paling matang, yang menjadikannya memahami persoalan-persoalan sampai ke hujungnya, yang membawa kepada pengawasan diri yang tinggi.

Perkembangan akal mantiki Imam Ghazali rd boleh dilihat dalam ’al-Munqiudh’, ’Tahafut al-falasifah’, ’Maqasid al-Falasifah’ dan ’Mi’yar al’’Ilm’ antara lain-lainnya.

Imam Ghazali rd menyebut berfikir dalam ’Ihya’ yang bercabang-cabang seperti ranting pokok kayu – mulai dua, menjadi empat, menjadi lapan, menjadi enam belas demikian seterusnya melalui proses fikir yang digariskannya dalam ’kitab tafakur’ jilid 4 ’Ihya’nya.

Pembentukan akal ubudiyyah Imam al-Ghazali rd boleh dilihat dalam huraiannya berkenaan dengan sembahyang dengan tahap-tahapnya, puasa dengan huraian-huraiannya, haji dengan huraian tentang kesedarannya, bacaan Qur’an dengan memahami maksud-maksudnya, wirid-wirid dan doa-doanya.

Sebagai contohnya dalam sembahyang boleh diingatkan beberapa perkara seperti berikut:

  • Doa Nabi Ibrahim yang mencahayai alam itu doa:

رَبَّنَا وَابْعَثْ فِيهِمْ رَسُولًا مِنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِكَ وَيُعَلِّمُهُم ُالْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَيُزَكِّيهِمْ إِنَّكَ أَنْتَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

Ertinya: Wahai Tuhan kami! Utuskanlah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membaca kepada mereka ayat-ayat (firman)Mu, dan yang mengajar kepada mereka isi kandungan Kitab (al-Qur’an) serta hikmah kebijaksanaan, dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa Lagi Maha Bijaksana. (Al-Baqarah 129)

  • Ayatnya lagi:

وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ وَإِنَّهَا لَكَبِيرَةٌ إِلَّا عَلَى الْخَاشِعِينَ

Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mendirikan sembahyang, dan sesungguhnya sembahyang itu berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. (Al-Baqarah 145)

  • Antara ayat-ayat tentangnya lagi ialah Al-‘Ankabut 45.

وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا لَا نَسْأَلُكَ رِزْقًا نَحْنُ نَرْزُقُكَ

وَالْعَاقِبَةُ لِلتَّقْوَى

Dan perintahlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepada kamu (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu. Dan ingatlah kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.

  • Antara ayat tentangnya lagi ialah:

اتْلُ مَا أُوحِيَ إِلَيْكَ مِنَ الْكِتَابِ وَأَقِمِ الصَّلَاةَ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَىعَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَلَذِكْرُ اللَّهِ أَكْبَرُ وَاللَّهُ يَعْلَمُ مَاتَصْنَعُونَ

Bacalah serta ikutilah (wahai Muhammad) apa yang diwahyukan kepadamu dari al-Qur’an dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun), sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan munkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedah dan kesannya dari segalanya); dan ingatlah Allah mengetahui apa yang kamu lakukan. (Al-‘Ankabut 45)

  • Disebut sifat-sifat utama kaum yang dikurniakan kedudukan yang teguh memerintah di muka bumi ayatnya:

الَّذِينَ إِنْ مَكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَوَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنْكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ

Iaitu mereka (yakni umat islam) yang jika Kami berikan kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang kejahatan dan perbuatan yang munkar, dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan. (Al-Hajj.41)

  • Tentang ayat ini dalam ‘Tafsir ibn Kathir’ dinyatakan:

وَقَالَ عَطِيَّة الْعَوْفِيّ هَذِهِ الْآيَة كَقَوْلِهِ ” وَعَدَ اللَّه الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَات لَيَسْتَخْلِفَنّهُمْ فِي الْأَرْض ” وَقَوْله ” وَلِلَّهِ عَاقِبَة الْأُمُور ” كَقَوْلِهِ تَعَالَى وَالْعَاقِبَة لِلْمُتَّقِينَ وَقَالَ زَيْد بْن أَسْلَم وَلِلَّهِ عَاقِبَة الْأُمُور وَعِنْد اللَّه ثَوَاب مَا صَنَعُوا .

Kata ‘Atiyyah al-‘Aufi: Ayat ini adalam seperti ayat (yang bermaksud): Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dari kalangan kamu dan yang melakukan amalan solih bahawa Ia akan benar-benar memberi kekuasaan memerintah kepada kamu di muka bumi (hi hujungnya ‘sebagaimana Ia telah memberikan kekuasaan memerintah kepada mereka yang dahulu daripada kamu), dan ayat (yang bererti) dan bagi Allah kesudahan semua perkara adalah seperti ayat (yang bermaksud): Dan kesudahan (yang baik) adalah bagi mereka yang bertaqwa.

(http://quran.al-islam.com/Tafseer/DispTafsser.asp?nType=1&bm=&nSeg=0&l=arb&nSora=22&nAya=41&taf=KATHEER&tashkeel=0)

  • Yang berjaya yang mencapai kejayaan sebenarnya, terdapat ayat-ayat seperti berikut:

• قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَا الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ

• وَالَّذِينَ هُمْ لِلزَّكَاةِ فَاعِلُون َوَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ إِلَّا عَلَى أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ

• فَمَنِ ابْتَغَى وَرَاءَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْعَادُونَ وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُون َوَالَّذِينَ هُمْ عَلَى صَلَوَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ

Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman; iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; iaitu mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan yang sia-sia; dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan membayar zakat dan lainnya); dan mereka yang menjuaga kehormatannya; kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya, maka sesungguhnya mereka tidaklah tercela; kemudian sesiapa yang mengingini selain daripada demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas; dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya; dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya; mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi; yang akan mewarisi syurga Firdaus; kekal mereka di dalamnya. (Al-Mu’minun: 1-11)

  • yang mempunyai makna-makna yang sedemikian  dengan beberapa tambahan lagi ialah seperti berikut:

إِنَّ الْإِنْسَانَ خُلِقَ هَلُوعًاإِذَا مَسَّهُ الشَّرُّ جَزُوعًاوَإِذَا مَسَّهُ الْخَيْرُ مَنُوعًاإِلَّا الْمُصَلِّينَ الَّذِينَ هُمْ عَلَى صَلَاتِهِمْ دَائِمُونَ وَالَّذِينَ فِي أَمْوَالِهِمْ حَقٌّ مَعْلُومٌ لِلسَّائِلِ وَالْمَحْرُوم ِوَالَّذِينَ يُصَدِّقُونَ بِيَوْمِ الدِّينِ وَالَّذِينَ هُمْ مِنْ عَذَابِ رَبِّهِمْ مُشْفِقُونَ إِنَّ عَذَابَ رَبِّهِمْ غَيْرُ مَأْمُونٍ وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ إِلَّا عَلَى أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ فَمَنِ ابْتَغَى وَرَاءَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْعَادُونَ وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ وَالَّذِينَ هُمْ بِشَهَادَاتِهِمْ قَائِمُونَ وَالَّذِينَ هُمْ عَلَى صَلَاتِهِمْ يُحَافِظُونَ أُولَئِكَ فِي جَنَّاتٍ مُكْرَمُونَ

Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila dia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah. Dan apabila dia beroleh kesenangan, dia sangat bakhil kedekut. Kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang. Iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya. Dan mereka (yang menentukan bahagian) pada harta-hartanya, menjadi hak yang termaklum. Bagi orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta). Dan mereka yang percayakan hari pembalasan (dengan mengerjakan amal-amal yang soleh sebagai buktinya). Dan mereka yang cemas takut daripada ditimpa azab Tuhannya. Kerana sesungguhnya azab Tuhan mereka, tidak patut (bagi seseorangpun) merasa aman terhadapnya. Dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau kepada hambanya, maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas. Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya. Dan mereka yang memberikan keterangan dengan benar lagi adil (semasa mereka menjadi saksi). Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya. Mereka (yang demikian sifatnya) ditempatkan di dalam Syurga dengan diberikan penghormatan. (Al-Ma’arij.19-35.)

  • Bersuci: bersuci itu pula ada kategori-kategorinya, sebagaimana yang diajarkan oleh imam al-Ghazali rd dalam mazhab Syafie. Beliau menyebutkan dalam kitab ‘Ihya’nya [Ihya’ ‘Ulum al-din, Mustafa al-babi al-Halabi, 1358/1939, jilid I hal. 131] bahawa bersuci (al-taharah) itu ada empat kategorinya; bersuci zahir badan daripada hadath dan najis; bersuci anggota badan daripada berbuat salah dan dosa; kemudian bersuci hati daripada sifat-sifat yang buruk dan jahat seperti dengki, takbur dan yang sepertinya, dan menghiasinya dengan sifat-sifat mulia, kemudian yang tertinggi sekali, bersuci batin hati -al-sirr- daripada apa yang selain daripada Allah.Katanya ini taharah anbia dan siddiqin. Matlamat yang penghabisan sekali bagi batin hati -al-sirr- ialah supaya tersingkapnya kehebatan Allah dan keagungannya kepada orang yang beribadat kepadaNya (Jalal Allah wa ‘azamatihi). [Ibid.jilid I hal. 131]
  • Hendaklah pengetahuan dan amalan tentang bersuci ini dicapai dengan cermat dan betul dan amalannya hendaklah dilaksanakan dengan betul supaya ia sah, dan akhirnya amalan bersuci ini menjadi tabiat kedua bagi diri. Ia menjadi ’malakah taharah’, kalau boleh dikatakan demikian; ini boleh dicapai memalui pengajian, mendengar pengajaran, telaah kitab-kitab yang diakui, dan mengamalkannya kali demi kali sehingga menjadi sebati dengan diri.
  • Demikian juga ’taharah’ dalam erti yang lebih jauh lagi itu: taharah anggota badan daripada perbuatan derhaka dan maksiat, taharah hati daripada sifat-sifat yang tercela, akhirnya, bagi orang yang beruntung, taharaih batin-hati -al-sirr- daripada tertumpu kepada yang lain selain daripada Allah. Ini taharah anbia dan siddiqin kata Imam al-Ghazali rd.
  • Selain daripada ’sah rukun tiga belas’ itu dalam mazhab Syafie, maka sayugialah orang yang sembahyang itu menjayakan ’adab batin yang enam perkara’ itu supaya dengan itu terjaminlah sifat khusyu’ dalam sembahyang itu. Dan mengikut Sureah al-Mu’minun ayat yang kedua, itu syarat kejayaan yang sebenarnya dalam hidup. Syarat-syarat yang lain disebut kemudian seperti: mengelak daripada kesia-siaan, membayar zakat, kehidupan kelamin yang terkawal bersih, menjaga amanah dan janji, kemudian disebut menjaga amalan sembahyang.
  • Enam adab yang batin itu ialah: hadhir hati bahawa kita berada dalam sembahyang, tidak tertumpu kepada yang lain. Sebagaimana badan terarah ke arah kiblat, itu kiblat badan, maka kalbu atau ingatan tumpuan hati ialah kepada Allah, itu kiblat kalbu. Dengan itu hendaklah dalam sembahyang itu sama-sama tercapai kejayaan mengadap ke arah kiblat badan dan kiblat hakiki bagi kalbu. Dengan itu bila dilafazkan ’Allahu akbar’ benar-benar itu tertuju kepada Allah. Pada waktu merasai kebesaran Allah itulah diniatkan sembahyang itu dengan niat yang tersebut seperti: Aku sembahyang fardhu zohor empat rakaat kerana Allah”. Jangan ingat dalam hati ’Allah Maha Besar’ sebagai yang disangka oleh setengah pihak, itu bukan niat sembahyang, itu terjemahan Allahu akbar. Terjemahan itu tidak diperlukan sebab rasa kebesaran Allah ada dalam hati sebelum daripada lafaz ’Allahu akbar’, lafaz ’Allahu akbar’ itu sebenarnya terjemahan apa yang sudah terasa dalam hati; itu tidak perlu diterjemah lagi. Dalam masa itulah diniatkan niat sembahyang itu sebagaimana yang diuhuraikan oleh ulama iaitu kasad melakukan sesuatu serentak dengan perbuatannya. Ini berdasarkan hadith ’innamal-a’malu bi’nniyat: Sesungguhnya amalan itu dikira serentak, sekali gus dengan perbuatan melakukannya. Dalam hadith itu ’ba’nya ialah ’ba’ al-musahabah’ yang menunjukkan makna keserentakan. (قصد الشىء مقترنا بفعله)
  • Imam Ghazali rd menerangkan cara-cara mencapai kejayaan dalam sembahyang dengan membetulkan perlaksanaan rukun-rukun dan syarat-syarat serta adab-adabnya, yang disebut oleh beliau sebagai ’al-asrar’ atau ’rahsia-rahsia. Beliau menerangkan bahawa cara mencapai kekhusyukan – yang disebut sebagai syarat orang yang benar-benar berjaya dalam Surah al-Mu’minun ayat kedua – sifat hati tertumpu ke hadhrat Allah, tetap tumpuannya, konsentrasinya, dan anggota badan pula tetap, tenang dalam masa melakukan rukun berkenaan, ialah dengan mengamalkan enam adab seperti berikut:
    • Hadhir hati
    • Faham
    • Takut
    • Ta’zim
    • Harap
    • Malu
  • Pertamanya dengan ada hadhir hati dalam sembahyang itu, yakni hati ingat benar-benar hal ia dalam sembahyang mengadap Allah Yang Maha Besar, Maha Tinggi, Maha Menyaksi. Keduanya ia memahami apa-apa yang dibacanya dalam sembahyang. Ia bermula dengan mengingati niat sembahyang, kemudian erti bacaan doa iftitah. Dalam iftitah diingatkan ia mengadap Tuhan, Yang menjadikan langit dan bumi, ia beragama Islam tunduk kepada Tuhan; ertinya orang Islam ialah orang lain selamat daripada lidah dan tangannya, baharulah itu Islam sebagaimana yang disebut dalam hadith. Kemudian ia mengingatkan wajah hatinya mengadap Tuhan, kemudian sembahyang dan pengorbanannya dalam hidup adalah kerana Allah, kemudian aktivitinya dalam hidupnya kerana Allah, matinya kerana Allah. Ingatan-ingatan dan konsentrasi akal, hati dan roh kepada makna-makna ini akan membentuk peribadi yang sungguh bersih dan perkasa untuk dikurniakan sifat khusyu’ oleh Tuhan. Dan sifat inilah yang dituntut atas hati manusia, atau akal ubudiahnya. (Ertinya kita boleh perhatikan bahawa dalam Islam akal atau hati itu untuk mencapai dua keperkasaan: keperkasaan ubudiah dalam mengingati Allah, kedua keperkasaan dalam berfikir secara betul, tepat, mencapai natijah atau matlamat, atau rasional dan ’syllogistic’, mampu membuat kenyataan-kenyataan yang betul dan tepat berdasarkan kepada kenyataan-kenyataan yang betul dan tepat sebelumnya.
  • Qur’an menggabungkan dua aspek keperkasaan akal-hati itu dalam ayat tentang zikir dan tafakur. Ayat itu ialah:

إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِلَآيَاتٍ لِأُولِي الْأَلْبَ ابِالَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَى جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَفِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang, adatanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Surah Ali ‘Imran 190, 191)

  • (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka.

Dalam ayat ini tergabung keperkasaan akal ubudiah (akal kontemplatif yang khusyuk kepada Tuhan) dan akal tafakur yang rasional, berfikir dalam suasana mentauhidkan Allah, dalam intelektualiti ketauhidan (‘tauhidic intellectuality’).


Istilah (‘tauhidic intellectuality’) yang saya gunakan dalam ceramah ringkas tidak lama sebelum ini di hadapan para ilmuwan di USM, dan ini boleh diakses dalam laman web
http://www.geocities.com/traditionalislam/TauhidicIntellectuality.htm

  • Dalam peradaban Islam kita boleh melihat dua aspek akal dan roh ini dimanifestasikan dalam diri Rasulullah s.a.w., para Sahabat seperti Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali – Allah meredhai mereka amin, dan lainnya, kemudian para tabi’in, kemudian para ulama zaman kemudian seperti Syafie, dan lainnya, Imam al-Ghazali
  • Yang membicarakan akal kontemplatif dalam ‘Ihya dan ‘Kimiya al-saadah’ serta ‘Mishkatul-Anwar’nya, kemudian membicarakan analisis falsafah dalam ‘Tahafut al-Falasifah’nya. Demikian juga mereka di zaman kemudian seperti ibn Khaldun yang memahami dua aspek akal ini, dan terbentuk kedua-duanya dalam dirinya sendiri, demikian pula pada ibn Sina terbentuk kedua-duanya sebagaimana yang boleh dilihat dalam ‘al-Qanun fi’t-Tib’nya dan juga dalam ‘Al-Isharat wa at-Tanbihat’ yang pada bahagian kemudian dalam kitabnya beliau membicarakan hidup kerohanian. Dalam hidupnya sendiri bila ia menghadapi masalah ia sembahyang dan mendapat bimbingan rohani dalam menyelesaikan masalah-masalah keilmuannya. Demikian juga peribadi seperti Fakhru’d-Din al-Razi, dan kemudiannya Syah Waliyu’llah dari Delhi yang terbentuk intelektualitinya mengikut paradigma yang sedemikian.
  • Keduanya, katanya hendaklah seseorang itu memahami apa yang dibacanya; kemudian ia merasai kebesaran Tuhan dengan kalbu dan akalnya; kemudian ia merasai kehebatan Tuhannya; kemudian ia berharap kepada Tuhannya; akhirnya ia merasa malu kepada Tuhannya kerana banyak taksirnya dalam melakukan amalan-amalan dan pembentukan sikap yang dikehendaki olehNya. Inilah antaranya ramuan-ramuan bagi pembentukan kekhusyukan dalam sembahyang yang menjayakan manusia secara hakiki. Dengan usaha melaksanakan sembahyang seperti ini akan tercapailah akal ubudiyyah atau akal kontemplatif itu.
  • Gugusan makna dalam sembahyang: sebanyak gugusan makna dari amalan-amalan sembahyang yang membentuk akal kontemplatif yang dikehendaki itu, berserta dengan akal yang tajam, bila ia dimanafaatkan sebaiknya.
  • Mula dengan azan mengingati kebesaran Allah
  • Mengingati kebenaran pengakuan syahadah menyambung janji asal menjadikan Tuhan sebagai Rabb
  • Seruan untuk datang mendirikan sembahyang
  • Seruan datang kepada kejayaan hakiki
  • Ulangan Tuhan Maha Besar
  • Ulangan tiada tuhan melainkan Allah, hakikat teragung dalam seluruh yang maujud.
  • Penyucian badan daripada kekotoran dan najis
  • Kesedaran tentang perlu membuang kemaksiatan dari anggota badan
  • Membuang kemaksiatan dari kalbu dan jiwa
  • Memberi tumpuan kepada hadrat Tuhan dengan batin hati
  • Takbir dengan kesan merasai kebesaran Tuhan pada permulaan sembahyang
  • Amalannya kerana Allah.
  • Mengadap wajah kalbu kepada Tuhan, badan mengadap ke arah Kiblat
  • Pengakuan sembahyang, hidup mati kerana Allah.
  • Basmalah: memulakan semua kegiatan dengan Nama Tuhan (Surah al-’Alaq memerintah  demikian, ayat mula-mula diturunkan)
  • Memuji Allah atas sekelian niamat
  • Menyebut kasih sayang Tuhan
  • Menyebut hari kemudian, maka mesti bersedia untuk hisab, memperbaiki diri
  • Memohon jalan hidup yang lurus, perlu memperbetul diri dengan hakikat ini
  • Mengakui ubudiah kepada Tuhan semata-mata
  • Menyerah diri, memohon pertolongan Tuhan (dengan harap dan yakin)
  • Mengingati jalan manusia utama dalam seluruh tamadun: para nabi, siddiqin, syuhada dan solihin sebagai ’role model’ bukan lain
  • Mengelak diri daripada jalan mereka yang sesat
  • Mengelak jalan mereka yang dimurkai Tuhan (dari al-fatihah dan iftitah). Mohon perkenan dengan yakin dan harap yang penuh.
  • Menegaskan tidak menyembah apa yang musyrikin sembah
  • Menegaskan kuffar tidak menyembah apa yang disembah oleh mu’minin
  • Bagi si mu’min agamanya dengan yakin, mereka yang kuffar dengan agama mereka (si muslin jangan tergugat, teguh dengan jalan kebenarannya , tetapi beradab dengan pihak lain, jangan terhakis keimanannya) (kandungan surah al-kafirun)
  • Ulangan al-fatihah dengan mesej dan ingatannya dalam rakaat kedua, ketiga atau keempat)
  • Mengingati kebesaran Allah pada tiap-tiap gerak berpindah rukun
  • Tunduk ruku’ menandakan tunduk kepada kebesaran Tuhan, dengan tasbihnya, menghayati ertinya
  • Kalau dalam sembahyang Subuh: permintaan untuk mendapat hidayat, afiat, sihat, perlindungan, keberkatan, jagaan daripada keburukan takdir atas diri, Dia yang menentukan, tidak ada yang ditentukan atasNya, tidak hina orang yang dilindungiNya, tidak mulia orang yang dimusuhiNya, Maha Berkat Allah dan Maha Tinggilah Ia, kepadaNya segala puji atas apa yang ditentukanNya, minta ampun kepadaNya …
  • Bangkit i’tidal, menyebut Allah mendengar orang memujiNya, lalu ia memujiNya, puji memenuhi langi dan bumi dan bahkan apa yang ada selain daripadanya
  • Tunduk sujud, ke tempat paling rendah, tanah, tempat asalnya, tempat kembalinya, asal bagi dirinya, seolah-olah fana dirinya, hina dinanya, Tuhan dengan Maha KetinggianNya dengan KetuhananNya
  • Tasbih sujud dan penghayatan ertinya pada akal dan kalbu serta jiwa dan roh
  • Bangun kepada julus antara dua sujud, memohon kepadaNya keampunan, kerahiman, menyempurnakan cacat celanya, kemaafan daripadaNya, dan yang sepertinya
  • Sujud lagi, kerendahan dirinya, kembali ke bumi asal dirinya, tempat kembalinya
  • Bangun kepada rakaat seterusnya
  • Atau mengingati permohonan untuk berlindung dengan Tuhan Pencipta Pecahnya Hari Siang – dengan kemungkinan-kemungkinannya
  • Daripada kejahatan makhluk ciptaanNya
  • Daripada kejahatan yang datang dengan jelmaan gelap malam
  • Daripada kejahatan ahli sihir yang menghembus pada simpulan-simpulan melakukan sihir-alam kejiwaan yang jahat dan gelap
  • Daripada kejahatan pendengki (kandungan al-Falaq)
  • Atau memohon perlindungan-dengan kerendahan hati-kepada Tuhan manusia
  • Raja Manusia (berkuasa atas segala-galanya)
  • Yang disembah oleh manusia
  • Daripada bisikan-bisikan syaitan Khannas
  • Yang berbisik ke dalam dada manusia (membawa kejahatan dan kepalsuan)
  • Dari kalangan manusia dan jin (kandungan Surah an-Nas)
  • Menegaskan Allah Maha Esa – terhunjam ke dalam akal, hati, jiwa keEsaan Tuhan, semua di bawah tadbirnya
  • Maha Kaya Kekal Abadi, semua berhajat kepadanya secara mutlak, walaupun yang tidak menyedarinya, walaupun atom-atom yang tak bernyawa
  • Tidak melahirkan dan tidak dilahirkan, bukan dua tiga, bukan menyerupai makhluk
  • Tidak ada yang kufu denganNya – tauhid mutlak tanpa tara – diulang-ulang untuk keberkesanan dalam kalbu, akal, jiwa. Kebenaran teragung dalam faham alam mu’min. (Surah al-Ikhlas)
  • Mengingati Pokok Tin, dan Zaitun (terkait dengan agama terdahulu)
  • Mengingati Tur sina –nabi Musa a.s. , syariatnya, keagungannya
  • Negeri Aman-Mekah tempat asal nabi s.a.w.
  • Manusia tercipta dalam sebaik-baik kejadian
  • Tetapi risiko kejatuhan terlalu besar, mermusnahkan kejadian yang sebaik-baik itu
  • Melainkan yang berlindung di bawah iman dan amal solih – kebijaksanaan pada ilmu dan pegangan, kebijaksanaan pada amalan dan perbuatan
  • Kebaikan berterusan
  • Jangan membohongi agama (kebenaran abadi untuk manusia)
  • Allah hakim yang seadil-adilnya  (wat-Tin)
  • Atau: bersumpah dengan waktu Dhuha’ (lambang kemunculan cahaya, kebenaran)
  • Malam yang sunyi (untuk tafakur, ketenangnan, musyahadah, zikir, dll)
  • Tuhan tidak benci, tidak meninggalkan (para hambaNya, maka berharaplah)…
  • Yang akhir lebih baikk dari permulaan, perjuangan akan mencapai kemenangan, atau akhirat adalah lebih baik (dunia alat penyampai kepada kesempurnaan akhirat, maka jangan dukacita, jangan putus harap)
  • Tuhan akan memberi kurnia, hati akan puas (pada nabi khusus, pada mu’minin umum)
  • Manusia yatim (segi kerohaniannya) kemudian Tuhan melindungiNya…(khusus pada nabi, umum pada mu’minin sebagai pengajaran)
  • Manusia dalam mencari-cari, Tuhan memberi pertunjuk (khusus pada nabi, umum pada mu’minin)
  • Manusia kekurangan, Tuhan memberi kecukupan (rohani jasmani) khusus pada nabi umum pada mu’minin.
  • Jangan menindas yang yatim, buat baik kepadanya
  • Yang meminta jangan diherdik, beradablah
  • Sebut dan ingat niamat Tuhan (wad-Dhuha)
  • Istighfar, minta ampun lepas sembahyang (istighfar)
  • Fatihah, ertinya yang mencakupi kebenaran Kitab, faham alam, nilai, ilmu (Fatihah)
  • Mengingati Tuhan Kesejahteraan, Punca Kesejehteraan, semua kembali kepada Negeri Sejahtera, Syurga…Amin
  • Berlindung daripada Syaitan
  • Membaca ayat Kursi: Tiada Tuhan melainkan Dia, Maha Hidup, Berdiri Sendiri, Tanpa lalai menjaga alam kedua-duanya
  • Langit bumi semua milikNya
  • Syafaat hanya dengan izinNya
  • IlmuNya Masha meliputi segala-di hadapan dan di belakang sekalian makhluk
  • KursiNya meliputi langit bumi
  • Tidak lalai daripada menjaga segalanya (maka kita yakin dengan jagaanNya) (Ayat Kursi)
  • Subhana’Llah 33 kali
  • Al-hamdulillah 33 kali
  • Allahu akbar 33 kali
  • La ilaha illa’lah
  • Mulai doa dengan basmalah
  • Al-hamdulillah
  • Solawat kepada nabi memohon rahmat, kemudiaan, kesejahteraan…kembali semuanya kepada diri pula
  • Minta ampun
  • Memohon kebaikan dunia dan akhirat
  • Solawat dan salam
  • Al-hamdulillah … (Doa selepas sembahyang, Tuhan sedia memakbulkan doa selepas sembahyang)—dengan ini terbina akal ubudiah, akal kontemplatif, selain daripada akal rasional untuk berfikir secara baik dan berkesan serta teratur.
  • Dalam doa diminta keampunan, kesejahteraan, perlindungan, jagaan daripada kufur dan maksiat, kecukupan rezeki, zuriat yang bertakwa, ilmu yang bermanafaat, rezeki halal, dan seterusnya, kebaikan dunia dan akhirat, lindungan daripada musuh…
  • Akal rasional menguatkan akal kontemplatif, akal kontemplatif menguatkan akal rasional dan seterusnya, kuat-menguatkan, membentuk akal yang seimbang, berfikir, berzikir, khusyu’, beradab, berfaham dalam, demikian seterusnya.
  • Tentang sembahyang berjemaah pula, terdapat padanya fadhilat melebihi sembahyang seorang dengan dua puluh kali ganda atau dua puluh lima kali ganda atau dua puluh tujuh kali ganda sebagaimana yang ada dalam riwayat al-Bukhari seperti berikut. (Sahih al-Bukhari, syarah Fath al-Bari ‘al-adhan’ bab fadhilah solah al-jamaah 609)

Orang yang berjaya membentuk akal ubudiah selain daripada akal rasionalnya adalah orang yang berbahagia, dijamin Allah kesejahteraannya yang abadi. Dan dalam hidup dunia orang yang mempunyai kekuatan itu boleh menghadapi sepuluh kali ganda bilangan musuh, kalau penuh dengan persediaan dan mempunyai kesabaran dalam ertinya yang merangkumi, tetapi bila masa lemah masih boleh berhadapan dengan mereka yang dua kali ganda bilangannya. (Al-Anfal: 65). Ertinya orang-orang mukmin yang mempunyai akal ubudiah ini bila ia membuat persediaan yang memadai akan membuahkan kelebihan dua kali ganda daripada pihak lain, walaupun ia dalam keadaan lemah. Maka hendaklah aspek akal ubudiah ini diberikan tempatnya yang sewajarnya, dalam kita membentuk modal insan yang paling mahal ini.

Dengan itu hendaklah setiap orang yang beriman mendapatkan pendedahan untuk dirinya supaya ia mempunyai pengetahuan yang cukup baik tentang sembahyang, kepentingannya, syarat-rukun serta adab-adabnya, supaya dalam menjalankan sembahyangnya itu ia mencapai ’malakah ubudiha’, berserta dengan ’malakah imaniyyah’, malakah khuluqiyyah, serta mendapat kekuatan daripada akal ubudiyyah atau kontemplatif serta akal tafakur yang sangat digalakkan oleh Qur’an dan Sunnah. Inilah ’tiang agama’ dan ’kepala sekalian ibadat’ yang disebutkan dalam hadith; tamadun akan merusut dan musnah bila manusia mula meninggalkan sembahyang. Sebab itu ulil-amri dan ibu bapa wajib memastikan mereka yang di bawah tadbir urusnya menunaikan sembahyang demi kesejahteraan mereka yang berkenaan, masyarakat dan bahkan negara.

Wallahu a’lam.

Pada:30 Sep 2006

Semakan & tambahan:4 Dis 2007

Dikirim dalam Uncategorized. 1 Comment »

Satu Respons to “Akal Ubudiah Bagaimana Menjayakannya – Beberapa Catitan Awal”

  1. Video: Akal Ubudiah Bagaimana Menjayakannya « Blog Traditional Islam Says:

    […] Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) pada 4 Disember 2007. Teks penuh boleh diakses di sini – klik Like this:LikeBe the first to like this post. Dikirim dalam Uncategorized. Label: akal ubudiah. […]


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: