Ajaran Teologi dan Tasawwuf Sheikh Yusuf Makasari

Seminar Ajaran Syeikh Yusuf Makasari di Universiti Negteri Makasar 21 Oktober 2008

بسم الله الرحمن الرحيم

نحمده ونصلى على رسوله الكريم

AJARAN TEOLOGI DAN TASAWWUF SYEIKH YUSUF MAKASARI

OLEH:

MUHAMMAD ‘UTHMAN EL-MUHAMMADY[1]

Insya’ Allah nota  sederhana ini akan cuba melihat ajaran teology  dan tasawwuf Syeikh Yusuf rh  dengan berdasarkan kepada beberapa teksnya , yang –al-hamdulillah-   dihimpunkan dan diterjemahkan isi kandungannya oleh sarjana-sarjana terkenal Indonesia seperti Tudjimah dalam bukunya ‘Syekh Yusuf Makasar Riwayat dan Ajarannya’[2], Abu Hamid, dalam bukunya ‘Syekh Yusuf Seorang Ulama, Sufi dan Pejuang’[3], dan Nabilah Lubis, dalam tulisannya ‘Syekh Yusuf Al-Taj al-Makasari’ menyingkap Intisari Segala Rahasia’[4] dan juga Syamsul Bahri dalam bukunya ‘Pemikiran Tasawwuf Syeikh Abu Mahasin Yusuf al-Taj’[5] . Tulisan ini bertujuan untuk melihat ajarannya dalam konteks arusperdana Islam, yang memang menjadi minat penulis ini, serta mengisyaratkan kepentingan ajaran itu walaupun dalam abad ke 21 ini.Ertinya, minat kita ini bukan hanya mengingatkan ajarannya dan jasanya sebagai bahan ingatan sejarah tetapi juga untuk melihat kerelevanannya, bahkan kemsetian kita memandukan diri dengannya dalam abad ini.Juga ia seharusnya dimenafaatkan bagi bagim membantu kita memahami identity intelektuil, rohani dan moral kefahaman Islam rantau ini.Ini sangat penting dan asasi sebab ia menyentuh persoalan yang paling sentral dalam budaya dan peradaban  sebab ia menyentuh epistemology yang menentukan segalanya dengan segala implikasinya.

Ringkasan Riwayat Hidupnya:[6]

Secara ringkas sahaja  disebutkan dalam  dalam tulisan ini tentang riwayat hidup Syeikh ini  berdasarkan kajian-kajian yang dilakukan oleh para sarjana yang mengkaji tentangnya :

Beliau dilahirkan pada 8 Syawal  1036H/3 haribulan Julai  1626 , yakni dua puluh tahun  selepas berlaku pengIslaman  kerajaan Goa dan Tallo oleh Abdul Makmur Khatib Tunggal, ulama dari  Minangkabau.Semenjak awal dalam hidupnya ia menunjukkan  sifat-sifat  yang menandakan keagungan peribadinya masa akan datang. Beliau menjadi peribadi yang berupa kebanggaan –dan sudah tentu rahmat- umat Islam dari dulu sampai sekarang; beliau bukan sahaja milik Orang Bugis Sulawesi  Selatan atau masyarakat Islam Afrika Selatan, dan Selon (sekarang Sri Lanka), bahkan  beliau diisytiharkan sebagai pejuang kemanusiaan dan anti-perkauman oleh Nelson Mandella pada tahun 1994  dan wira kebangsaan atau pahlawan nasional oleh Presiden Suhartoe pada  9 November 1995.[7]

Pendidikan Islamnya berjalan semenjak awal lagi di tanah Bugis.  Dimulai dengan al-Qur’an al-Karim;di pondok tempat pengajiannya di Bontoala  waktu itu dipimpin oleh ulama bernama Syed Ba’lawi bin ‘Abdullah, ulama berasal dari Yaman.Selepas berjaya  di sana ia meneruskan  pengajiannya di pondok Cikoang, kemudian seterusnya  ia disuruh oleh gurunya meneruskan pengajian ke Mekah, di Masjidil-Haram. Perjalannya menyebabkan beliau singgah di Banten, kemudian di Aceh,  kemudian  singgah pula di Yaman; di Aceh dan  di Yaman beliau menerima ijaza tarekat Naqsyabandiah ,dengan amalan-amalannya, serta silsilahnya, sampai ia diberi gelaran al-Taj, yang dipakai pada namanya sampai ke akhir hayatnya;  selepas lama berguru di Yaman dengan mengambil tarekat  dan silsilahnya- seperti  tarekat Naqsyabandiah- barulah beliau menuju ke Mekah Semenanjung Arab.Ulama-ulama yang menjadi gurunya di Yaman ialah Syeikh Muhammad Abd al-Baqi dan Syed Ali al-Zubaidy.[8] Selepas berguru dengan Syeikh Ahmad al-Qasyasyy , Mulla Ibrahim al-Kawrany dan  Hasan al-‘Ajamy, di sana juga Syeikh Yusuf dan Syeikh Abd al-Rauf Singkel menerima ijazah dan silsilah tarekat Syattariah dari gurunya Mulla Ibrahim al-Kawrany.[9] Kemudian beliau meneruskan pengajiannya di negeri Syam (Syria). Seterusnya beliau meneruskan pengajiannya di Istanbul, Turki.Kemudian beliau mengajar beberapa tahun di Mekah, terutamanya pada musim haji.

Pada tahun 1664 beliau kembali ke tanah airnya setelah marantau sekitar dua puluh tahun lamanya. Pengelamannya di tanah Arab dan Turki meyakinkannya bahawa dakwah mesti didokong oleh pemerintah, tetapi keadaan di Makasar waktu itu tidak membantu kea rah ini oleh kerana persefahaman   Belanda dengan pihak berotoritas di sana.Kemudian beliau  pergi ke Banten di mana beliau disambut dengan penuh kegembiraan oleh masyarakat dan pemerintahnya, yang waktu itu sultannya ialah Abdul Fattah yang memang menyukai ulama.Di sana ia berkahwin dengan anak perempuan Sultan dan diangkat menjadi mufti dan penasehat raja.Di sana diteruskan  dakwahnya serta ditiupnya semangat jihad menentang penjajahan.

Disamping mengajar keluarga di raja dan berdakwah kepada umum di Banten beliau menulis beberapa kitab dalam bahasa Arab seperti ‘Bidayat al-Mubtadi’, ‘al-Fawa’id’, dan ‘Zubdat al-Asrar’ [10]antara lainnya Beliau bersama-sama dengan Sultan dalam mempertahankan kerajaan Banten.Kemudian rancangan Belanda berjaya dalam peperangan menawan kerajaan  Banten, rajanya ditangkap dan diasingkan ke Batavia;bagaimanapun perjuangan menentang penjajahan  Belanda diteruskan oleh Syeikh Yusuf dengan pimpinannya sendiri untuk menjalankan jihad fi sabilillah.Perjuangan jihad Syeikh Yusuf berakhir bila ia ditangkap oleh Belanda  dengan  tipu helahnya, sikap lunaknya, dan kepura-puraan pemimpinnya memeluk Islam.Ini berlaku pada  14 Disember 1683.[11] Oleh kerana gerun terhadap pengaruhnya di Nusantara Belanda membuangkannya ke Selon (Ceylon) (sekarang Sri Lanka).Syeikh menerima hal itu dengan redha dan menganggapnya sebagai peristiwa yang ada  hikmat di sebaliknya, sesuai dengan pendiriannya sebagai seorang sufi.Di Sri Lanka berliau terus mengajar agama Islam dan mengembangkan ilmu-ilmunya kepada orang-orang tempatan Sri Lanka juga. Dengan kedudukan pelabuhannya weaktu itu yang bertaraf antarabangsa, maka Sri Langka menjadi tempat pertemuan para jemaah haji dari Nusantara dengan Syeikh Yusuf; mereka menerima nasehat-nasehat pengajaran beliau  dan meneruskan dakwah mengikut kadar kemampuan mereka.Nama beliau sedemikian terkenalnya di India sehingga Emperor Aurangzeb sangat menghormatinya.Ini mengakibatkan Emperor itu menuliks  surat kepada Kompeni Belanda supaya menjaga kepentingan Syeikh itu , kalau tidak itu menggelisahkan umat Islam di Hindustan.  Di Ceylon Syeikh Yusuf menulis beberapa buah kitab tentang ajarah agama Islam dan bimbingan kerohaniannya.

Oleh kerana bimbangkan pengaruh Syeikh Yusuf yang berkembang melalui surat-suratnya dan kitab-kitab serta dakwahnya, Belanda mengasingkannya ke Cape Town di Afrika Selatan.Maka selepas  sembilan tahun di Ceylon, pada tahun 1693 Syeikh Yusuf , waktu itu berumur 68 tahun, bersama anak isteri dan pengikutnya berhijrah ke Cape Town, Afrika Selatan dengan  kapal Belanda.Kedatangan Syeikh Yusuf ke sana berupa pemangkin dakwah islamiah yang pertama di Afrika Selatan; itu diakui oleh ahli-ahli sejarah Afrika Selatan. Jasa Syeikh  Yusuf dan peribadinya dikenang dengan penuh hormat, yang ternyata sekali pada majlis Peringatan 300 Tahun Kedatangan Syeikh Yusuf ker Cape Town  yang dihadhiri oleh YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak

bagi pihak rumpun Melayu Nusantara.[12] Syeikh Yusuf menjalankan dakwah di sana dengan menggunakan uslub cara tasawwuf, menjalankan majlis-majlis zikir berjemaah, memberi nasehat-nasehat dan menunjukkan keunggulan peribadi; sikap baik budinya menawan Padri Kristian di sana  sehingga mereka berhubung dengannya dengan  baik dan dakwahnya tidak diganggu.Beliau meninggal dunia di sana pada 22 Zulkaedah 1109/23 Mei 1699.Kemudian atas permintaan raja dan keluarganya peninggalan mayat Syeikh Yusuf di bawa kembali ke Makasar dan dikebumikan di Lakiung, Makasar.Makam keduanya di Kota Makasar itu  berada dalam makam keluarga di raja dan ulama-ulama Makasar.Kedua-dua makamnya yang di Afrika Selatan dan di Makasar sangat dimuliakan sampai sekarang.

Teks-teks Karangan Syekh Yusuf:

Senarai karangan-karangan Syekh Yusuf sebagaimana yang disebut  oleh Tudjimah[13] ialah : ’Al-Barakah al-Sailaniyyah’, ’Bidayah al-Mubtadi’, ’al-Fawa’ih al-Yusufiyyah’ ’Hasyiah Dalam Kitab Al-Anbah’, ’Kaifiyyat al-Munghi’, ’Matalib al-Salikin’, ’Al-Nafhat al-Sailaniyyah’, ’Qurrat al-’Ain’, ’Sirr al-Asrar’, ’Surat ’, ’Taj al-Asrar’, dan ’Zubdat al-Asrar’[14].Ini kata Tudjimah adalah berdasarkan kepada ’Handlist of Arabic Manuscripts in the Library of the University of Leiden and Other Collections in the Netherlands’ himpunan oleh Voorhoeve, Leiden, 1957 pada hlm.539.Kemudian ditambah oleh beliau judul-judulnya: ’Fath Kaifiyyat al-Dhikr’, ’Daf al-Bala’, ’Hadhihi Fawa’id ’Azima al-Dhikr La ilaha Illallah’, ’Muqaddimah al-Fawa’id   Allati Ma La Budda Min al-’Aqa’id’, ’Tahsil al-’Inaya  wal-Hidaya’, ’Risala Ghayat al-Ikhtisar wa Nihayat al-Intizar’, ’Tuhfat al-Amr fi Fadilat al-Dhikr’,  ’Tuhfat al-Abrar li Ahl Al-Asrar’, ’Al-Munjiyya ’An Mudarrat al-Hija’iba’.

Senarai ini diikuti dengan penerangan yang ringkas dan berfaedah tentang isi karangan-karangan tersebut   mulai dari ’Al-Barakat Al-Sailaniyya’ sampai kepada teks ’al-Munjiyya ’An Madarrat al-Hija’iba’[15]

Nampaknya senarai naskah-naskah Syekh Yusuf  yang disebut oleh Nabilah Lubis[16] sama  seperti yang ada dalam buku Tudjimah juga.Walaupun sekali imbas seolah-olah  terdapat beberapa judul tambahan, tetapi sebenarnya ada teks itu dalam Tudjimah,  ’Zubdat al-Asrar fi Tahqiq Bad Masharib al-Akhyar’ halaman 162-177; ’Tuhfat al-Labib Bilika al-Habib’ halaman 179-186; ’Surat Ditulis  di banten 1084H/1673 M’ halaman 187-193; ’Safinat al-Najah’ di tulis di Selon (sekarang Sri Lanka) halaman 194-204;  ’al-Manhat al-Sailaniyya  fi Manhat al-Rahmaniyya’ di tulis di Selon halaman 205-213.

Dalam senarai yang di’pastikan’ mengikut Syamsul Bahri Andi Galigo[17] hasil karya Syeikh Yusuf ada 30 semuanya, seperti berikut:

1.’An-Nafahat al-S hailaniyyah fi Minhah al-Rahmaniyyah’

2.’Zubdat al-Asrar fi Tahqiq Ba’d Masharib al-’Arifin’

3.’Qurrat al-’Ain’

4.’Shurut al-’Arif al-Muhaqqiq’

5.’Taj al-Asrar   fi Tahqiq  Masharib  al-’Arifin’

6.’Tuhfat  al-Amr fi Fadilat al-Dhikr’

7.’Matalib al-Salikin li Man Qasada Rabb al-’Alaimn’

8.’Sirr al-Asrar’

9.’Tuhfat  al-Abrar li Ahl al-Asrar’

10.’Kayfiyat al-Dhikr’

11.’al-Wasiyyah al-Munjiyyah ’an Madarrat al-Hijab’

12.’Tanbih al-Mashi’

13.’Mir’at al-Muhaqqiqin’

14.Tartib al-Dhikr’

15.Fath al-Rahman’

16.’Asrar fi al-Salah fi Bayan Muqaranat al-Niyyah’

17.’al-Fawa’ih al-Yusufiyyah fi Bayan Tahqiq al-Sufiyyah’

18.’Muqaddimat al-Fawa’id allati Ma La Budda Min al-’Aqa’id’

19.Bidayat al-Mubtadi’

20.’Daf’u al-Bala’

21.’Fathu Kaifiyyat al-Dhikr’

22.’Kayfiyyat al-Nafy wa al-Ithbat an Hadith al-Qudsi’

23.’Risalah  fi Ghayat al-Ikhtisar wa Nihayat al-Intizar’

24.’Tahsil al-‘Inayah wa al-Hidayah’

25.’Habl al-Warid  li Sa’adat al-Murid’

26.’Tuhfat al-talib al-Mubtadi wa Minhat al-Salik al-Muhtadiy’

27.’Safinat al-Najah al-Mustafadah ‘an masha’ikh al-Nuqah’

28.’Tuhfat al-Rabbaniyyah’

30.’al-Barakat al-Saylaniyyah’.

Ini diikuti dengan lima lagi naskah yang dinisbahkan kepada Syeikh Yusuf.[18]

Ajaran Theologi Syekh Yusuf:

Kita boleh bermula dengan ajaran theologi beliau kerana ini masalah yang paling awal dan pokok dalam agama, iaitu masalah ’aqidah. Mungkin kita tertarik  untuk melihat tentang masalah ini dengan merujuk kepada surat Syekh Yusuf kepada Wazir Goa. Ia surat yang berbicara tentang aqidah ahl al-Sunnah wa al-jamaah. Kata beliau:

”Berkata  semua ahli sunah  wal jamaah ’Sesungguhnya Allah itu berdiri sendiri, sedang roh berdiri dengan Allah, badan berdiri dengan ruh,  lahir berdiri dengan batin,  seperti alam berdiri kerana Allah, tidak kerana tempat dan waktu.Allah pencipta segala sesuatu.

”Kata beberapa ulama: Rahmat Allah Taala dan wujudNya itu wujud wujud al-Zat dan zat itu wujud al-Sifat sifat itu wujud al-Asma,  dan asma itu wujud al-Af’al , Af’al itu wujud al-Zahir dan zahir itu wujud al-Batin , batin itu  wujud yang tidak  diketahui kecuali oleh Allah, yang Esa  seperti firman Tuhan : ’Tuhan mengetahui yang terang dan yang ghaib’[19]. Katanya lagi: ’Sirr itu bayangan wujud, ruh itu  bayangan zat, hati itu bayangan sifat badan dan bayangan asma, gerak dan diam itu bayangan af’al.Seperti firman Tuhan : Apakah engkau tidak melihat bagaimana luasnya bayangan’[20].Berkata beberapa orang sufi: jangan merasakan minuman ahli al-Tauhid   , kecuali sesudah engkau tenggelam dalam laut kufur tiga atau empat kali.Ditanya Abu Said al-Kharraz: Dengan apa engkau kenal Tuhan?Maka jawabnya: ’Dengan menyatukan dua hal yang berlawanan, iaitu saya hendak berkata huwa la huwa, la huwa, hiya la hiya hiya’.Berkata ahli sunah wal jamaah :’Alam itu wajib al-wujud bi ghairihi, tidak wajib al-wujudf binafsihi [yakni ia wajib ada dengan sebab yang lain dariinya, yakni sebab Tuhan menciptakannya, bukan wajib ada dengan dirinya sendiri, yang wajib ada dengan dirinya sendiri ialah Allah sahaja-uem]; alam itu mu’aththar bighairihi  tidak muaththir binafsihi [ertinya alam ini ada kerana fdijadikan oleh Tuhan, kesan perbuatan Tuhan, ia bukan mendatangkan kesan atas yang lain dengan dirinya sendiri, yang mendatangkan kesan dengan dirinya sendiri hanya Allah-uem]; jika ’abd itu batin ia menjadi Rabb.Jika Rabb itu lahir ia menjadi abd.Tetapi jangan dikacaukan perkara itu, sebab kalau dikacaukan itu kebinasaan orang  jahil kepada Allah.Percayalah bahawa abd itu abd, meskipun ia naik, dan Rabb itu tetap Rabb meskipun  Ia turun [Ertinya yang hamba itu tetap hamba walaupun ia meningkat setinggi manapun dari segi pendakian rohaninya, yang Tuhan itu Tuhan juga walaupun ia menunjukkan penampakan tajalliNya di bukit Tursina dalam hubungan dengan nabi Musa a.s.—uem]. Alam itu maujud, tetapi tidak berdiri sendiri.Alam itu tidak merdeka dalam wujudnya.Adapun Esa itu jauh dari dua,Maha tinggi Allah dari itu! Tuhan itu merdeka zat, sifat Asma dan Af’alNya’[21] [Ertinya alam ini ada kerana dijadikan Tuhan daripada tiada kepada ada, ia tidak merdeka, bebas wujudnya, ada  pun  Tuhan  Ia Wujud Dengan sendiriNya,  tanpa dicipta, tanpa awal adaNya dan tanpa akhir wujudNya].

Huraian Syekh Yusuf rh tentang aqidahnya boleh kita dapati dalam teksnya ’Muqaddimah al-Fawa’id Allati Ma la Budda Min al-’Aqa’id’[22]

Dalam aqidah, beliau nampaknya mengikut aliran Imam Abul Hasan al-Asy’ari rd. Ini boleh difahami daripada kenyataannya yang berikut :

Katanya: ’Kita wajib percaya bahawa Allah taala maujud dengan  wujud yang hak wujudNya, tidak seperti wujud makhluk , kerana Ia tidak ada permulaanNya dan akhirNya.Ia itu Kadim dan azali.Ia baka selamanya.Ia berdiri sendiri [tidak dijadikan oleh mana-mana kuasa, tidak bergantung kepada apa-apa untuk adanya dan meneruskan adaNya-uem]; Ia laisa kamithlihi shai [tidak ada sesuatu yang  sepertiNya], Ia itu satu, Allah itu tempat bersandar [ertinya Tempat Memohon segala keperluan, kerana Ia Maha Kaya tidak berhajat kepada apa-apa dokongan, serta Ia Maha pemberi-uem]. Ia tidak mempunyai anak dan tidak diperanakkan.Ia tidak ada apa-apa yang menyamaiNya. [Erti Surah al-Ikhlas].

Semua iktikad kembali kepada surah tersebut [yakni surah al-Ikhlas].Semua yang dapat digambarkan dengan akal atau dikhayalkan dengan fikir Allah berbeza dengan itu semua.Kita percaya juga bahawa Ia Hidup, Alim [Maha mengetahui], berkuasa, berkehendak, mendengar,  melihat, berbicara   [kembali kepada Sifat Hayat, Ilmu,  Kudrat, Iradat, Sama’, Basar, Kalam ],

”Ia mendengar tanpa telinga, melihat tanpa mata, bicara tanpa bibir dan lidah.Ia mengetahui tanpa hati, tidak ada yang menyamai  zatNya .Kita percaya juga bahawa Allah b ersama-sama kita, bahawa Ia meliputi semua bukan  seperti ma’iyyah sesuatu dengan   sesuatu yang  diketahui oleh manusia  semua [yakni bukan bersama-sama seperti kita bersama-sama  dengan kita berada berdekatan dalam ruang  seperti kita dengan kawan-kawan atau lainnya, sebab Tuhan bukan benda dan Ia tidak berada da;lam ruang seperti kita-uem].

Tentang Tuhan tidak bertempat dan tidak tertaaluk dengan masa, sebagaimana yang diajarkan dalam Ahli Sunah ,  ia menyatakan dengan jelas seperti di bawah ini:

”Kita  percaya juga , bahawa Allah Taala maujud pada tiap-tiap tempat , tiap-tiap waktu,  tidak khusus pada suatu tempat  atau zaman   [dalam ertinya wujudNya meliputi segala-galanya, tetapi tidak dalam erti Ia dikandung oleh tempat, atau Ia bertempat, atau Ia hidup dalam zaman atau masa  sebab Ia tidak tertaaluk oleh masa, kalau tidak Ia  seperti makhluk-uem].Tuhan tidak bertempat , kerana Ia maujud sebelum adanya tempat.Ia Pencipta tempat [maka Ia bukan ’duduk atas Arasy,’ dalam erti yang  segera ditanggapi oleh fikiran, sebab sebelum Arasy ada Ia  sudah sediakala ada; kemudian Ia menjadikan Arasy; kalau difahami Ia ’duduk atas Arasy’ dalam erti harfiah itu, maka sebelum ada Arasy di mana ’ia duduk’ itu? –uem].

Tentang iman yang sempurna serta  kemestian mengikut nabi SAW ia menyatakan:

”Kita percaya juga , bahawa iman yang sempurna itu: ikrar dengan lisan dan membenarkan dengan hati, mengerjakan rukunnya [yakni  rukun iman dan yang berikutnya rukun Islam]  mengikuti jejak nabi, putra Adnan Muhammad SAW .Siapa yang meninggalkan ikrar itu , ia kafir.Siapa yang meninggalkan amal, [yang diwajibkan seperti sembahyang, puasa dan sebagainya, tetapi tidak mengingkari wajibnya] ia fasik.Siapa yang tidak mengakui jejak nabi ia mubtadi [dalam erti ia mengerjakan bid’ah yang tidak ada sandaran dalam Syariat, ditolak; kalau perkara baharu yang ada sandaran pada Syariat, maka tidak ditolak]

Tentang Takdir ia membuat kenyataan   sebagaimana yang diajarkan dalam Ahli Sunah:

’Kita percaya juga bahawa baik dan buruk, keduanya dari Allah Taala dan bahawa yang baik itu atas kehendak dan kekuasaanNya.Yang buruk itu dari kemauanNya dan kekuasaanNya tetapi tidak dengan redaNya dan bukan perkaraNya. {Di sini dibezakan antara apa yang Tuhan kehendaki menunjukkan kekuasaanNya dan apa yang dikehendaki dengan redaNya sebagaimana yang diajarkan dalam Ahli sunah].

Tentang hukum ’melihat’ Allah beliau memberi penndirian Ahl.i sunah, seperti berikut:

Kita percaya juga bahawa  Allah boleh dilihat [terjemahan Tudjimah ’boleh melihat’ yang memberi erti yang berlawanan dengan pandangan Ahli sunah-uem] dengan al-basirah dalam dunia, dan di akhirat dilihat [Tudjimah ’melihat’ yang memberi erti yang berlawanan dengan Ahli sunah, sebab Allah tak ada mempunyai ’al-basirah’ ertinya matahari, dan tidak mempunyai ’al-absar’ penglihatan dengan mata –uem]   dengan  al-anbsar [ertionya pandangan dengan mata kepala].Bahawa Allah tertutup bagi akal [ertinya tak boleh difikir dengan  akal ,] seperti Ia tertutup bagi mata [ertinya tidak boleh dilihat dengan mata di dunia, hanya di akhirat Ia boleh dilihat dengan pandangan mata-uem].

Tentang berfikiran atau bersangka baik terhadap Allah, dan kedudukan nabi Muhammad SAW dan kemestian mengikutnya sebagaimana yang diajarkan   dalam Ahli Sunah beliau membuat kenyataan seperti berikut:

”Kita percaya juga    bahawa pikiran baik terhadap Allah itu wajib dan berguna bagi kita sesudah tetapnya iman dalam hati.Makhluk yang termulia itu ialah   Muhammad SAW dan ia itu pengganti  dan wakil Allah [dalam erti peribadi yang menjalankan kehendak Allah di dunia, tetapi ia makhluk, hanya diangkat menjadi rasul-uem].Allah memerintahkan kita [dalam Tudjimah ’kami’, lebih munasabah ’kita’-uem]  untuk mengikutinya lahir dan batin .Siapa yang mengikutinya akan bahagia di dunia dan akhirat.Siapa yang tidak mengikutinya [seperti golongan postmodernist yang menganggap apa yang diajarkannya mempunyai konteks sejarahnya, maka tidak relevan untuk zaman lain daripada itu-uem]tidak bahagian di dunia dan akhirat.Ketahuilah itu.”

’Kita percaya juga  bahawa semua yang datang dari Allah kepada Rasulullah itu benar ; di antaranya peringatan maut dan kubur dan lain-lain , hal seperti surga dan kenikmatannya dan neraka dengan  seksaannya.Ketahuilah itu.

Tentang manusia-manusia termulia di kalangan sahabat beliau menyatakan pendirian Ahli Sunah , yang bercdanggah dengan pendirian Syiah yang mengutuk sahabat, sebagaimana yang jelas berikutnya:

”Kita percaya juga , bahawa manusia yang mulia sesudah nabi-nabi AS itu Abu Bakar al-Siddiq, Umar, Uthman, Ali, kemudian enam orang yang baki [dalam Tudjimah ’baka’ tersilap citak],  ahli Uhud, ahli Badar, ahli Hudaibiyya, sahabat yang lain, wali-wali, Ariffin [para ahli ma’rifat yang mengenal Allah dengan pengenalan yang putus melalui pembukaan rohaniah bukan hanya setakat mengetahui pada paras ’mental’ semata-uem], salihin,  kemudian orang muslimin umum[nya].

Dalam hubungan dengan  wajib percaya kepada nabi-nabi bermula dengan Adam dan adanya para wali, dan syarat kewalian adalah  menjalan syariat, beliau membuat kenyataan sebagaimana yang ada dalam ajaran Ahli Sunah:

”Kita harus [dalam erti wajib tidak boleh tidak] percaya juga , bahawa nabi yang pertama itu Adam AS  [insan Adamiah pertama yang diajarkan Tuhan ’segala nama’ yang menyiapsediakannya  untuk tujuan khilafah dalam erti sedalamnya,  bukannya ’beruk dan kera yang disempurnakan’, maaf –uem] dan yang akhir itu Muhammad SAW .Ketahuilah itu.Kita harus percaya juga bahawa nabi-nabi AS semua terpeliharfa dari maksiat yang besar maupun yang kecil.Bukan syaratnya menjadi wali un tuk terpelihara dari maksiat .Ada  di antara wali-wali yang terpelihara dari dosa  [dikatakan mereka itu mahfuz, tetapi tidak dikatakan mereka itu maksum-uem] Syarat-syaratnya wali itu memegang teguh lahirnya syariat [Perhatikan bagaimana beliau menekankan ketaatan kepada syariat dalam ia berpegang kepada kesahihan penyaksian rohaniah dalam pengelaman wahdatul wujud-uem].Jika tidak mengerjakan syariat ia tidak dapat menjadi wali , meskipun ia dapat terbang di udara dan berjalan di atas air, memakan api dan lain-lain, yang keluar dari adat.Pada hakikatnya itu [yakni berjalan atas air dan yang sepertinya pada orang yang tidak taat kepada Syarak-uem] Istidraj dan makar dari Tuhan [Dalam Tudjimah ’makar terhadap Tuhan’ yang ertinya terbalik, sebab kita diwajibkan berjaga-jaga dan merasa takut terhadap ’makar Allah’  seperti dalam ayat yang bermaksud : ’Adakah mereka merasa aman dari makar Allah ? Kerana sebenarnya tidak ada yang merasa aman dari makar [rancangan buruk] Allah melainkan orang-orang yang rugi”[23]-uem] .Kita berlindung kepada Allah dari itu.

Dengan akidahnya mengikut Ahli Sunah kita lihat pula beliau gandingkan yang demikian itu dengan pengiktirafannya tentang  benarnya pengelaman mereka yang mengalami ’wahdatul-wujud’  [bukan sebagai akidah,  tetapi sebagi pengelaman dalam penyaksian rohaniah pada tahap tertentu yang berkenaan itu].

Hubungan akidah dengan amalan kerohanian boleh dilihat dari kata-kata Syekh Yusuf dalam ’matalib al-Salikin’. Katanya:[24]

”Orang harus [’yakni wajib] mengerjakan tiga hal: (1)tauhid; (2) makrifat; (3) ibadat.Tauhid   itu seperti pohon, makrifat itu seperti dahan dan daunnya, ibadat itu seperti buahnya,

”Jika engkau menemukan sebatang pohon, tentu engkau akan mendapatkan juga dahan dan  daunnya, dan jika engkau mendapati dahan dan diapaaunnya, tentu engkau mengharap akan mendapat menemukan buahnya.Jika engkau tidak mendapat dahan dan daunnya, tentu tidak ada buahnya.Jika engkau sampai kepada tauhis, tentu engkau akan sampai pada tempat makrifat.Jika engkau sampai ke tempat makrifat, engkau  akan sampai ke tempat ibadat.Siapa yang tidak tauhid ia kafir.Siapa yang tidak tahu akan makrifat ia jahil.Siapa yang tidak beribadat ia fasik.”[25]

Tentang  hubungan ada Allah dengan ada makhluk dan keesaan wiujud yang hakiki, serta penggunaan bandingan dengan manusia antara ruh dan jasadnya,  dalam bicara yang bukan secara theologi yang biasa dibicarakan,  Syekh Yusuf berbicara  demikian dalam ’Matalib al-Salikin’ :

”Orang-orang sufi berkata; ’Tidak ada yang  maujud dalam lahir dan batin kecuali wujud wahid [yakni satu], zat wahida dan hakika  wahda”.Benda-benda  itu ada kerana Allah dan Allah berdiri kerana zatNya.  [Beliau membandingkan itu semua   dengan wujud manusia, katanya-uem]Anggota-anggota badanmu itu bermacam-macam dan mereka itu berdiri dengan engkau dan engkau berdiri dengan zatmu.Bukankah itu ruh? Begitu pula benda-benda adanya kerana Allah, seperti adanya jasad dengan ruh.Insan disebut begitu , kerana adanya badan dan ruh, tidak kerana  ruh saja  atau badan  saja.Ilaha [yakni ’ilah’, ’Tuhan’  ]  ada tiga huruf: alif, lam, ha; alif itu isyarat Ahadiyya  [yakni peringkat Zat semata-mata zat dalam berfikir tentang adanya Tuhan], lam itu  isyarat Kamaliyya  [kesempurnaan], ha isyarat huwiah [keakuan Tuhan Sendirik Sebenarnya yang  disebut ’Huwa’   Allah dalam Surat al-Ikhlas-uem] itu satu dalam zatNya, satu dalam sifatNya, dan sifat-sifat kamalNya seperti mengetahui, mendengar, melihat, hidup, kuasa, berkehendak, dan lain-lain dari asmaNya.Berdirinya jasad itu kerana adanya ruh disemua anggota seperti adanya darah dalam badan manusia, maka ia hidup.Allah maujud dalam semua benda, maka kalau tidak ada Allah dalam  benda-benda [tetapi ingat Syekh Yusuf  rh mengatakan Allah tak bertempat –uem] tidak ada benda.Tuhan itu tidak tetap dalam suatu benda  tetapi ada di semua benda [tetapi bukan dalam erti ia  dilingkungi oleh benda  atau ia ’bertempat’ seperti benda bertempat dalam benda-uem] .Berkata Saidina Ali :’Saya tidak melihat sesuatu , kecuali saya melihat  Tuhan.Firman Tuhan [dalam ayat yang bermaksud]: Sesungguhnya perkara kami [yakni PerintahNya] ialah jika kami menghendaki sesuatu berkata ’kun’ lalu ada [benda itu]’ kerana benda-benda itu telah ada dalam ilmuNya  yang azali dalam alam ghaib, dan dikeluarkan dari alam ghaib ke alam syahadah.[Maka Tuhan menghendaki benda yang ada dalam ilmuNya yang kadim dan azali itu keluar ke alam nyata lalu Ia menghendaki yang demikian dengan perintahNya, lalu p;ada waktu itu juga berlakulah perkara itu,  wujudlah benda itu dalam alam nyata-uem] Tidak dapat digambarfkan pisahnya  ruh dengan badan sebelum mati.Jika engkau anggap ada wujud [secara hakiki-uem] selain wujud Allah maka engkau syirik dan syirik itu zalim yang besar’.[26]

Kemudian beliau kepada penerangan tentang tauhid yang kedua pada sisi orang awam, katanya dalam kitab ’Matalib al-Salikin’ yang sama:

”Tauhid yang kedua diketrahui oleh tiap-tiap muslim khusus dan umum”Huwa Allah Ahad, Allah al-samad , lam yalid wa lam yulad, wa lam yakun lahu kufuwan ahad” [Ertinya ialah Dia Allah, Allah Tempat Bergantung sekelian makhluk kerana hajat kepadaNya kerana Ia maha kaya tidak memerlukan yang lain, Ia tidak melahirkan [anak] dan Ia tidak dilahirkan, dan tidak ada yang  sama sepertiNya’.-uem] Jika air laut meluap sampai ke sungai, maka air itu akan kembali ke laut dan pada hakikatnya tidak berubah’ [Ertinmya penciptaan makhluk, secara bandingannya  seperti melimpahnya rahmat Tuhan terzahirlah makhluk daripada berada dalam ilmuNya yang kadim dan azali keluar ke alam syahadah ini, kemudian akan kembali seluruh yang wujud itu kepada hadiratNya, tidak berubah apapun, yang kelihatan berubah adalah pada lahir sahaja;  digabungkan oleh beliau di sini perbincangan theologi dengan metafisika serta dengan perlambangannya; dan perlambangan jangan diambil pengertian secara harfiahnya-uem].

Tentang hubungan aqidah dengan amalan dan realisasi hidup kerohanian Syekh Yusuf rh menyatakan dalam ’Matalib al-Salikin’ begini:

”Ibadat [yang mesti dilakukan oleh orang mukallaf  ialah ]  supaya [ia] taat kepada Wahdat al-Wujud [yakni  wujud hakiki yang satu itu, yakni Allah –uem] tidak ada yang maujud [secara hakikinya] selain Allah, satu tidak ada teman, dalam wujudNya. Ubudiayah dalam bahasa ertinya taatnya sesuatu kepadfa sesuatu  seperti taatnya anggota badanmu kepada ruhmu.Engkau tidak dapat berbuat sesuatu , kecuali dengan kemauan ruhmu.Maka pada lahirnya anggota badanmu itu abdimu dan  zatmu [yang] dipertuan.Maka zat itu ’abid’ pada lahirnya dan ’ma’bud’ pada batinnya.[Selepas daripada menyebut  badan manusia adid, yang dipertuannya ruhnya, ertinya ruh itu yang ’disembah’ oleh badan, ia pergi pula kepada pembicaraan tentang KekalNya Wujud Allah dan binasa sekelian yang lainmnya; atau pada orang arif yang dikurniakan kesedaran rohani dan pemandangan yang sohih, sekarang juga ia ’melihat’ dalam penytaksian rohaninya, bahawa semuanya sedang binasa, dan yang ’dipandang’ kekal ialah wujud Allah-uem, katanya ] Tiap-tiap sesuatu akan rosak, kecuali WajahNya, Ia yang bijaksana dan kepadaNya semua akan kembali’[27]Semua itu akan fana, yang tinggal hanya Wajah Allah Yang Maha Tinggi dan Mulia’[28]

Bahasanya sangat kemas, epigramic,  perlu diperhatikan dalam konteks bicara ahli kerohanian dan tradisinya yang  hidup, kemas, dan berdisiplin itu.

Kemudian dala, berbicara tentang orang yang ’arif, muwahhid [ahli tauhid],  yang taat sebenarnya dalam erti yang difahami di kalangan ahli rohaniah dalam Islam [dalam kalangan Ahli Sunah] ia berkata:

”Siapa yang tahu hakikat tauhid, makrifat dan ubudiyah, maka ia arif, muwahid, dan taat.Maka siapa yang ingin berjalan kepada Allah hsrus faham [ertinya wajib faham ]  kalimat ini lebih dahulu.Kemudian menjalani jalan kepada Allah dengan kaifiyya [yakni cara] yakni Salik harus bersyariah dahulu untuk menghilangkan wujud selain Allah sebagai ilmu [yakni ia mengetahui perkara ini sebagai ilmu dahulu, kemudian baharu mencapai pengelaman tentangnya selepas menjalani latihan-latihan-uem]Jika sudah sampai di situ,  ia sampai kepada menghilangkan wujudnya sendiri [yakni dalam pengelaman kerohanian bila ia mengalami benarp-benar tentang  wujud dirinya sebenarnya tidak ada sebagai wujud yang hakiki, yang hakiki wujudnya hanya Allah, terasa padanya seperti dirinya hilang-uem] dan wujud selain Allah, iyanan [yakni secara mengalaminya sendiri; ’dengan mata’ tulis Tudjimah dalam braket-uem] Kemudian ia sampai kepada fana fillah [terasa diri fana mendepani wujud Allah], dan ia tetap padaNya seperti firasy  (hewan kecil) [seperti kelkatu yang mengelilingi cahaya –uem],  yang mel;emparkan dirinya ke dalam lampu dan terbakar.[29]

Tentang hubungan hamba dengan Tuhan dalam pengelaman rohaniah berkaitan dengan fana itu dan misalan analogi dengan  kelkatu dan lampu dengan cahayanya, ia menyatakan :

”Kita bertanya: Apakah firash kita ,menjadi lampu atau menjadi tidak ada lagi? Atau kita berkata: ’ia menjadi satu dengan lampu, kerana  sebelum ia melemparkan diri ia terpisah dengan  lampu.Setelah melemparkan dirinya , ia sampai kepadanya dan menjadi satu’.Begitu al-salik sebelum  ia menghilangkan wujudnya selain Allah,Ia sampai kepadanhya dan menjadi satu’ [Satu itu pada pengelaman yamng dikecapi, tetapi dengan hamba masih hambaNya, dan Tuhan adalah Rabb baginya; dan ’binasa’ itu pada kecapan pengelaman, walhal si hamba itu masih hidup dan ada, sebab kalau sudah hilang terus  binasa maka bagaimanakah ia akan mengecapi pengelaman itu dan merasainya  lagi? –uem].

Berkenaan dengan jalan-jalan menuju ke Hadirat Tuhan yang banyak itu, ia menyatakan  jalan ’yang paling dekat sekali’; katanya:

”…yang paling dekat dan paling sampai kepadaNya ialah supaya Salik menuju ke zat Allah , tidak menoleh kepada yang lain-lain.’Katakanlah , ini jalanku. Aku panggil [manusia] kepada Allah dengan pandangan matahati; aku dan mereka yang mengikutku, dan aku bukan dalam kalangan mereka yang musyrik[30] [Tudjimah menterjemahnya ’Panggillah kepada Allah’  secara amar, walhal itu mudari’  dengan erti ’aku menyeru, memanggil’, terjemahan Tudjimah ’dengan melihat aku’ walhal ’ala basiratin’ bererti ’dengan pemandangan basirah atau matahati’ atau ’dengan berdasarkan dalil yang nyata’ –uem].

Tentang kemestian menjalani syariat dan hakikat sekaligus, Syekh Yusuf menyatakan dengan tegas sekali dalam ’al-Fawa’ih al-Yusufiyya fi Bayan Tahqiq al-Sufiyya:[31]:

”Pahamilah, yang diminta itu [yallah dan sekelian makhluk

  • pergaulan dengan manusia dengan rendah  hati [bukan takbur]
  • tidak ria
  • ikhlas
  • menunaikan hak-hak manusia dengan meletakkan sesuatu pada tempatnya
  • berbicara dengan manusia mengikut kadar kemampuan akal mereka
  • jangan berbicara tentang ilmu dengan yang bukan ahlinya
  • antara sifat wali yang disebutklan: mulia, halus, tawakal kepada Allah, reda dengan kada dan kadar,  sabar atas kebencanaan yang menimpa,  rendah hati dalam menjalankan sunah,  menyerah diri kepada Allah dalam segala perkara, syukur kepada Allah Taala
  • Tanda syukur antaranya:  memperlihatkan perhiasan dalam pakaian yang halal, bukan  haram, tidak sombong, tidak takabur,
  • Antara tanda syukur lagi: benar dalam kata-kata, kata-kata yang baik-baik
  • Nukilan hadis tentang keimanan itu menyintai saudara seperti diori sendiri
  • Nukilan ayat yang bermaksud: ’kalau kamu bersyukur Aku tambahkan niamat’
  • Antara sifat-sifat mulia: tiada keinginan untuk menjadi masyhur, menjadi terkenal, tidak takabur dan ujub, tidak iri hati dan dengki, menutup aib oreang lain, termasuk aurat mereka, menutup rahasia orang
  • Dalam ibadat [selain daripada sembahyang yang wajib] senag mengerjakan sembahyang sunat ta’khir dan takdim, melihat kepada saudara sesamanya denga hormat takzim,  tanpa sombong dan marah, meninggalkan permusuhan sesama umat Muhammad SAW
  • Antara adab-adab yang utama:  dipercayai, benar dalam kata-kata, ikhlas dalam beramal, ingin men untut ilmu, tidak menonjol diri ’khususnya pada zaman ini’[32], suka menolong saudaranya, atas dasar tlong-menolong dalam kebaikan dan taqwa,   sebutan tentang mukminin sebagai saudara  sesbagaimana yang tersebut dalam hadis,
  • Antara sifat-sifat yang disebutkan ialah kemestian bersifat adil, jangan zalim, kerana itu dilarang syariat dan hakikat; antaranya; tidak menghina orang yang fasik;
  • Nukilan prinsip: ’Tiap-tiap syariat tanpa hakikat itu batil, dan hakikat tanpa syariat itu juga kurang (atau kosong)’[33]
  • Nukilan prinsip : Siapa yang berfikih tetapintidak bertasawwuf , ia fasik, dan siapa yang bertasawwuf dan tidak berfikih ia  zindik.Siapa yang berfikih dan bertasawwuf , ia benar’.

-Sebutan seterusnya tentang kemestian berpegang kepada syariat dan hakikat ke dua-duanya.

-Selepas nukilan beberapa hadis qudsi terdapat kenyataan Syekh Yusuf berkenaan dengan mereka yang sampai kepada kesempurnaan perjalanan rohaniahnya, katanya:  ”Maka fanalah semua wujud dalam wujud Taala, maka wujud kita fana dan tidak ada yang menutupi penglihatan kita dan menghalang-halangi pendengaran kita, terang ucapan kita dan tidak menghapus keadaan kita kerana tetapnya kita dalam asalnya’ [Ini menunjukkan bahawa fana itu pengelaman yang dikecapi secara rohani dan bukan akidah; dan orangnya bukan binasa dalam erti harfiah tetapi terasa fananya dalam pengelaman; tetapi ia masih ada dan hidup; sebab itu Syeh menyebut berkenaan  dengan ’melihat’nya orang itu, ’mendengar’nya orang itu, ’terus ada’nya orang itu-uem] Sepertimana wahdatul-wujud yang bertalian dengannya; sebab itu kita lihat Syekh Yusuf rh  cergas dalam gerak dakwah dan kerohaniannya, dalam masa-masa tertentu mengambil bentuk penentangan  penjajahan [bila diperlukan itu muncul dalam hidupnya], tetapi itu semua berlaku dalam konteks pemngabdian secara rohaniah kepada Tuhan, dengan  kesedaran tentang pengelaman tauhid  yang sampai ke kemuncak atau antara kemuncaknya-uem].

-Dalam kitab ’Kaifiyyat al-Munghi wal Ithbat bil Hadith al-Qudsi’[34] terdapat bimbingan-bimbingan tentang amalan-amalan kerohanian, terutamanya tentang zikir dan tafakur.Antaranya:

-Sebutan tentang jalan orang yang taat dan terpilih dalam agama ialah jalan berzikir mengingati Allah ’tiap-tiap waktu dan dalam segala hal’[35]

-syarat taubat daripada semua dosa kecil dan besar

-keadaan diri suci lahir batin

-syarat-syarat taubat: lepasnya dari dosa;  menyesali diri kerana dosa; berlepas diri daripada dosa; minta ampun kepada yang berhak dan mengantikan apa yang diambil secara  zalim.[36]

-tentang tiga kategori zikir: zikir nafi dan ithbat: ’la ilaha illah’llah; Zikir mujarrad:Allah, Allah, Allah’ – bagi yang layak; Zikir ism isyarat ” ’Hu’ ’Hu’ ’Hu’ –bagi yang layak

-hasil zikir ’la ilaha illa’llah’  terbuka jalan mensucikan hati

-hasil zikir ’Allah, Allah, Allah’ terbuka jalan mensucikan ruh

-hasil zikir ’Hu’,’Hu’, ’Hu’   terbukanya hakikat sirr, rahasia [katakanlah: batin hati]

-zikir kedua zikir hati

-zikir ketiga zikir sirr (batin  hati)

-zikir pertama makanan lidah

-zikir kedua makanan hati

-zikir ketiga makanan  sirr;

-Atau: zikir pertama hidupnya hati

-zikir kedua hidupnya ruh

-zikir ketiga hidupnya sirr

-zikir awam: ertinya ’tidak ada yang disembah melainkan Allah’

-zikir khawas ahli tasawwuf :[selain daripada mengerti tiadak tuhan melainkan Allah], ertinya: tidak ada yang dicari, tidak ada yang dimaksud, atau dicintai pada hakikatnya, melainkan Allah;

-zikir khawwas dari yang khawwas: dari ahli nihayah: ertinya [selain daripada yang diatas-uem] ialah: tidak ada yang maujud pada hakikatnya, melainkan Allah. Kalau ditanya: bagaimanakah dikatakan bahawa alam tidak ada walhal kita lihat ada? Dijawab: ’Bagi arifin bi’Llah: istilah itu difahami oleh golongan mereka mengikut erti mereka, yakni, pada hakikatnya tidak ada yang maujud melainkan maujud yang berdiri sendiri, disebut ’wujud hakiki’, ’Wujud mutlak’ yakni Allah, kerana Ia berdiri sendiri.Semuan yang lain berdiri atas wujudNya.Yang lain itu dikatakan ’wujud majazi’, bukan ’wujud hakiki’ [ertinya bukannya dinafikan alam sebagai tidak ada langsung-uem].

-Orang al-kamal pada ilmu dan  pengelaman rohaninya] berkata:  ‚Tidak ada yang maujud melainkan Allah’ [itu pengucapan tentang pengelaman dalam penyaksian rohaniah mereka, bukan dinyatakan sebagai akidah seperti yang dibicarakan tentang sifat-sifat Tuhan dan sifat-sifat makhluk-uem].

-Diikujti dengan cara zikir : ’Engkau membuat suara dari bawah pusat, dan dari situ  meluas ke otak di dalam kepala dengan ucapan yang halus.Jika engkau mengucapkan ’ilaha’  engkau menyondongkan diri ke sisimu, kecuali pada memanjangkan ’la ianfiia’ dalam ’mubalagha’ dengan memperhatikan kasrahnya hamzah dari kalima ’ilaha’ Jika engkau mengucapkan itu, engkau berhenti sekejap dan meniadakan segala hal selain Allah .Kemudian pada perkataan ’illallah’ tetap padanya dengan memanjangkan ’lam’  dan matinya ’ha’ dengan  condong ke sisi kiridan memukul dengan keras  kepada kepala dan mulut sanubari .Ini tempatnya di bawah buah dada sebelah kiri di mana kemudian berbekas ke seluruh badan.Ini kamu kerjakan berulamng-ulang kali sehingga campur dengan darah dagingmu.Zikir tersebut harus [yakni] mesti menjadi kebiasaan bagimu, kerana  diulang-ulang, dengan pertolongan Allah Taala.Maka hati kamu kemudian menjadi [secara simbolisnya  seolah-olah seperti ] arsy Allah [dalam erti ia menjadi tempat kamu sentiasa mengingatiNya dan merasa hadhirNya dengan  kalbu kamu itu, bukan dengan anggota badan yang lain –uem].


-Lagi katanya; ’Jika ingin zikir ’Hu,Hu’  [bila sudah cukup syarat-syarat pada dirimu] dengan sukunnya ’wau’ maka wajib atasmu untuk memperhatikan maksud dan isyaratnya, iaitu: Ia itu Allah, al-Rabb, al-Ma’bud, yang Esa, al-Samad [Tempat Tumpuan keperlian sekelian makhluk secara mutlak, Ia Kadim, lagi Kekal Abadi-uem]Yang Awal [Tanpa Perrmulaan], Yang Akhir [tanpa kesudahan], yang lahir [dengan tanda-tanda sifat-sifatNya yang nboleh diperhatikan kesanNya dalam alam], yang batin  [tidak mampu ditanggapi oleh indera manusia]yang disifati dengan semua sifat yang sempurna”.[37]

-Diikuti dengan  sebutan tentang kelebihan-kelebihan rohani orang yang gemilang hatinya dengan nurf pengenalan terhadap Tuhannya dan kemesraan denganNya.

-Tentang hati dalam psikologi rohaniah, katanya: ’…yang dimaksud dengan hati iaitu hati yang hakiki, yang maknawi, iaitu daging dengan ruhnya, dan hayatnya yang  khusus bagi ahli iman.Hati maknawi itu juga disebut Arsy Allah .Kerana sabda nabi SAW : ’Hati orang mukminarsy Allah…’

-’yang dimaksud dengan ruh di sini hidupnya iman, bukan ruh dari badan.Adapun ruh dari badan itu maujud pada orang kafir dan hewan,Maka bagi orang kafir hatinya tidak ada ertinya.Ia mermpunyai bentuk hati sahaja dan hati sanubarinya hanya daging sahaja, dalam ruhnya tidak ada hayatnya, tidak ada batinnya, tidak ada rahasianya.Ia hamnay empunyai bentuk ruh , tidak hidup, tidak ada sirr sama sekali…yang dimaksud dengan sirr di sini rahasia hidup ruh, yang khusus bagi insan kamil.

Dalam teks ’al-Nafhah al-Saylaniyyah’ yang dikaji dengan telitinya oleh Syamsul Bahri Andi Galigo, serta dengan terjemahannya dan huraiannya, terdapat pengajarannya, secara ringksnya seperti berikut:

-Penekanan kepada Sifat Tuhan yang berlainan daripada sekalian makhluk, serta pengembal,ian akidah semuanya kepada isi Surah al-Ikhlas; yang kemudian adalah pendetailan tentang nas-nas asal itu.

-penyerahan kepada Tuhan tentang erti sebenarnya ayat-ayat dan hadith-hadith yang mutasyabihat.[38]

-keperluan mencari syeikh yang mursyid kalau boleh, walaupun melibatkan perjalanan yang jauh, meninggalkan anak isteri

-menyerah diri untuk ditarbiah oleh syeikh yang mursyid dengan adab-adabnya

-Keperluan kepada sikap beradab tidak menentang syeikh yang sebenar itu kalau terlihat sesuatu yang tidak menyenangkan pada segi aturan Syara’, yang akan difahami kemudiannya bila murid bersabar.

-keperluan kepada sifat harap dan takut yang seimbang

-keperluan bersikap dengan adab yang baik kepada sekalian makhluk ’dilihat dari sudut  asma’ dan sifat Allah Taala [pada pemandangan rohaniah mereka yang cerah pemandangan rohaniah dan pengelamannya-uem].Maka apabila kebaikan adab bersama makhluk dituntut dan mesti   mengikut ulama yang arif  kepada Allah Taala, tentulah lebih  penting lagi kebaikan adab bersama Allah Taala…”[39]

-kemestian redha dengan qada dan qadar

-berbaik sangka sesama manusia

-kemestian kasih kepada Allah

-kemestian zikir sentiasa  dengan nas-nasnya

-zikir mereka pada peringkat permulaan, menengah dan kesudahan

-kemudianm, selepas menyebut beberapa perkara tentang zikir dan sifat-sifat  yang mesti diamal  dinyatakan oleh beliau :’…Tetapi jalan yang paling pantas menuju Allah Taala sepertimana yang dinyatakan oleh ulama sufi , ada tiga peringkat: iaitu pertama: jalan orang-orang pilihan (’al-akhyar’)  iaitu usaha melalui ibadah dan amalan zahir yang banyak,  seperti sembahyang, puasa, tilawat al-Qur’an, haji, jihad [yang semuanya  dilakukan oleh Syeikh Yusuf  sendiri rh dalam  hidupnya  sebagaimana yang jelas dalam sejarahnya-uem] dan lain-lain, namun yang berhasil sampai kepada Allah adalah amat sedikit.Ketahuilah yang demikian itu. Kedua, jalan orang-orang yang ’mujahadah’ secara berat, dengan latihan-latihan yang kuat, seperti menggantikan akhlak yang tercela dengan akhlak yang elok, mendidilk jiwa, mensucikan hati, melapangkan ruh, dan membersihkan ’sirr’ (rahasia) .Orang yang berjaya sampai, melalui jalan ini cukup ramai, lebih ramai, dibanding dengan kumpulan pertama dengan berlipat ganda [kalau sekarang keadaannya terlalu amat berbeza sekali, golongan yang pertamapun sangat kurang-uem], .Kerana yang pertama itu hanya mengambil kira kepada zahirnya sahaja tanpa batinnya, sedang yang kedua , ia memberi perhatian lebih kepada yang batin daripada amalan zahir .Ketiga jalan orang-orang yang banyak berdhikir (’ahl al-dhikr’) dan cinta (’mahabbah’) pada Allah, zahir dan batin.Orang yang berjaya sampai , pada peringkat permulaan (’bidayah’)    daripada goplongan ini, lebih ramai dibanding dengan peringkat akhirnya (’nihayah’) , golongan ini berusaha menjaga dengan penuh perhatian , baik amalan zahir mahupun amalan batin secara keseluruhannya.Dan mereka tersendiri dalam mengkhaskan   dhikir mereka kepada Allah Ta’ala, begitu juga kecintaan mereka kepada Allah (S.W.T.) .Dan jalan-jalan yang disebutkan di atas , semuanya memiliki  sepuluh usul (asas ajaran).[40]

-Disusuli dengan  sebutan sepuluh usul[41] seperti :bertaubat daripada dosa, zuhud terhadap dunia [dengan cara yang betul].bertawakkal, bersifat dengan sifat ’qana’ah’ dengan pemberian Allah [tidak rakus], ’uzlah datripada pergaulan [yang tidak diperlukan], bertawajjuh  atau penumpuan rohaniah  kepada Allah,  sabar atas bala bencana yang menimpanya, redha dengan qada’ dan qadar, zikir lahir batin, muraqabah terhadap Allah [ertinya kewaspadaan rohani menyedari kahadhiran Ilahi, atau menyedari Allah memerhatinya setiap saat dan ketika –uem]

-disusuli dengan menyebut kedudukan bai’ah untuk perjalanan tarikat sufiah

Kajian Syamsul Bahri Andi Galigo rasa saya merupakan kajian ’indepth’ yang menghuraikan banyak masalah-masalah dalam kerangka ejaran akidah dan tasawwuf Syeikh Yusuf Makasari rh.Ia merupakan tambahan yang sangat berharga kepada kajian-kajian yang dibuat sebelumnya oleh Tudjimah, Abu Hamid, Nabilah Lubis dan lain-lain serta juga sarjana-sarjana Belanda dahulunya.

Kesimpulan:

Kesimpulan tentang Kepentingan peribadi dan ajaran Syeikh Yusuf Untuk umat masakini-ia bukan hanya setakat mengenang jasanya sebagai hero nasional mendepani penjajahan Belanda  serta pendedahan pemikiran dan ajaran rohaniah dan teologi sebagai khazanah pemikiran yang lahir dalam sejarah silam dalam abad ke 17 ; pada penulis ini kepentingan Syeikh Yusuf dalam ajarannya menunjukkan kepada kita bagaimana ulama sufi ini berdiri dalam kerangka ajaran Ahli Sunah dalam akidahnya,  yang digabungkan dengan kefahaman sufi dan amalannya serta realisasinya  yang berkesan; dengan itu lahirlah gabungan antara fahaman  Ahli Sunah  yang boleh dicontohi, dengan kesedaran rohaniah yang sahih dan teguh,  yang terjelma pula dalam aktivisme dan dakwah serta perjuangan menentang kolonialisme pada zamannya. Dia bukan sahaja milik Makasar atau Indonesia, bahkan ia milik Nusantara dan umat Islam seluruhnya yang menunjukkan kekentalan fahaman, pegangan dan peribadi yang unggul.Pada fahaman penulis ini fahaman agama yang dibawanya mampu memberi kekuatan intelektuil dan rohani bagi membantu kita mendepani gejala pemikiran, rohani dan moral masakini, selain daripada bantuan kekuatan yang kita bolah dapati dari wacana intelektuil dan rohani Islam arusperdana yang kaya itu.Allah memberi rahmat kepadanya.Wallahu a’lam.


[1] Penulis adalah Fellow Amat Utama Akademik ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun islam) UIAM, Ahli Lembaga pengarah Institut Integriti Malaysia, Ahli Jemaah pemegang Amanah Yayasan Karyawan, Mantan Pesuruhjaya SUHAKAM.

Kertas ini adalah untuk pembentangan dalam Seminar Tentang Syeikh Yusuf Makasar di Makasar pada 21 Oktober 2008

[2] Penerbit Universitas Indonesia, 2005

[3] Dengan pengantar oleh Taufik Ismail, Yayasan Obor Indonesia, 2005,

[4] Penerbitan Mizan, 1996.

[5] Terbitan USIM, (dulunya Kolej Universiti Islam Malaysia), 2004.

[6] Banyak dibicarakan oleh Abnu Hamid, op.cit.1-142 dengan ulasan-ulasan tentang kekuatan peribadi dan ilmunya; oleh Tudjimah, op. cit., 1-20; oleh Nabilah Lubis, op. cit.,15-28; oleh Syamsul Bahri Andi Galigo, dalam ‘Pemikiran Tasawwuf Syeikh Abu Mahasin Yusuf al-Taj’ terbitan Kolej Universiti Malaysia, 2004 hlm.1-26.

[7] Nabilah Lubis, op.cit., 134.

[8] Syamsul Bahri Andi Galigo,  op.cit.  hlm 6-7.

[9] Nabilah Lubis, op.cit., hlm 22.

[10] Syamsul Bahri Andi galigo, op. cit. hlm. 11.

[11] Abu Hamid, op.cit. 106.

[12] Syamsul Bahri Andi Galigo, op.cit., hlm 20-21.

[13] Tudjimah, op. cit, hlm 21-108.

[14] Yang dikaji secara khusus oleh Nabilah Lubis, yang merupakan bab V bukunya (op.cit.), hlm71-127 dengan teks Arabnya bersebelahan dengan terjemahannya.

[15] Tudjimah, op. cit. hlm.22-108..

[16] Op.cit. hlm 29-30.

[17] Op.cit.hlm.26-27

[18] Ibid.hlm.27-28.

[19] Merujuk kepada ‘alim al-ghaib wa al-shahadah –dalam al-Hasyr: 22.

[20] Merujuk kepada ayat ‘kaifa madda al-zill’  ertinya : Tidakkah engkau melihat bagaimana kekuasaan Tuhanmu? Bagaimana  Ia menjadikan bayang-bayang itu terbentang luas dan jika Ia kehendaki Ia menjadikannya tetap, (tidak bergerak dan tidak berubah)…(al-Furqan:45).

[21] Lihat Tudjimah, op.cit.hlm.72-73. Nabilah Lubis, op.cit. hlm.43.

[22] Lihat Tudjimah, op. cit.hlm 91-93.

[23] Surah al-A’raf: 99.

[24] Lihat Tudjimah, op. cit. 38.

[25] Tudjimah, op.cit., hlm 38-39.

[26] ibid., hlm.39.

[27] Merujuk kepada erti Surah al-Qasas:88.

[28] Merujuk kepada erti ayat Qur’an Surfah al-Rahman: 26-27.

[29] Dalam ‘Matalib al-Salikin’ dalam terj.dan transkripsi Tudjimah, ibid. Hlm 40.

[30] Nampaknya ini berdasarkan surah Yusuf: 108.Terjemahan penuh ayat itu ialah : ‘Katakanlah [wahai Muhammad] Ini jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata.Dan aku menegaskan :maha suci Allah, dan bukanlah aku dai   golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain” (Yusuf: 108 terj.’Pimpinan al-Rahman’ , Kuala Lumpur, terbaru, tetapoi tanpa tarikh.Bandingkan dengan terjemahan dalam ‘Al-Qur’an dan Terjemahannya’ Yusuf:108 demikian : ‘Katakanlah: Inilah jalan (agama)ku aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata,.Maha Suci Allah, dan aku tidak termasuk orang-orang yang musyrik’ (terbitan Mujamma’ Khadim al-Haramain, edisi 1971, Medinah Munawwarah.

[31] Tudjimah, op.cit. 27 dst.

[32] Al-Fawa’ih al-Yusufiyyah dalam Tudjimah,  ibid., hlm 29.

[33] Ibid.hlm 30.Dari: الشريعة بلا حقيقةعاطلة * الحقيقة بلا شريعة باطلة

[34] Dalam Tudjimah, ibid, hlm.31-38

[35] Ibid.hlm.31-32.

[36] Ibid. 32.

[37] Tudjimah, hlm 35-36.

[38] Syamsul Bahri Andi Galigo, ‘Pemikiran Tasawwuf Syeikh Abu Mahasin Yusuf al-Taj’ hlm53.

[39] Ibid. hlm 53-59.

[40] Ibid, 77.

[41] Ibid. 77-78.

Advertisements
Dikirim dalam Uncategorized. 1 Comment »

Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani

Pendahuluan

Perbicaraan kali ini masih berkisar kepada penulisan manuskrip ulama Asia Tenggara yang ditinjau dari pelbagai peringkat. Perbicaraan mengenainya juga secara tidak langsung merupakan kesimpulan daripada ulama-ulama yang telah diperkenalkan dalam ruangan ini sejak tahun 2005.

Adapun peringkat-peringkat penulisan tersebut penulis membahagikannya kepada 10 peringkat. Sebelumnya telah dibicarakan peringkat pertama hingga keenam, maka diteruskan pula dalam ruangan ini peringkat selanjutnya hingga peringkat yang terakhir.

Peringkat ketujuh

Peringkat Ketujuh ini dimulai dengan kemunculan Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, yang sebenarnya penulisan beliau dimulai dalam lingkungan Peringkat Keenam lagi. Kemunculan beliau mendahului beberapa orang gurunya kerana beliau mula menulis sejak berusia 15 tahun.

Karyanya yang pertama dapat dimasukkan dalam kategori peringkat keenam, ditulis dalam bentuk nazam berjudul Nazam Nur al-Anam, diselesaikan tahun 1287 H/1870 M. Manuskrip nazam tersebut hanya ada sebuah yang lengkap, yang dimiliki oleh Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia (PMMPNM) nombor kelas MS 764. Manuskrip yang tidak lengkap adalah salinan Tok Kelaba yang ada dalam simpanan penulis.

Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani menulis bukan dalam bahasa Melayu sahaja, tetapi juga dalam bahasa Arab. Jumlah semua karya beliau ialah 183 judul.

Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani termasuk guru kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Beliau juga menghasilkan beberapa karya di antaranya ialah Mawahib al-Makkiyah, diselesaikan tahun 1296 H/1879 M.

Dua manuskrip judul ini tersimpan di Muzium Islam Pusat Islam Malaysia (MIPIM) dan dua buah manuskrip pula tersimpan di PMMPNM. Dua edisi cetakan judul ini telah ditemui, sebuah edisi cetakan Mekah dan sebuah cetakan Bombay, kedua-dua edisi itu ditashih oleh Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

Karya beliau yang membicarakan tentang batu permata diberi judul Raudh al-Zawahir, hanya sebuah manuskrip saja judul ini yang telah dijumpai, iaitu tersimpan di MIPIM.

Mengenai perbicaraan nasab Nabi Muhammad SAW beliau susun kitab berjudul Ad-Durr al-Munazhzham, diselesaikan tahun 1312 H/1894 M. Judul ini pernah diterbitkan. Beberapa karya Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani yang dianggap nadir yang ada dalam simpanan penulis ialah Fatwa Jawab Soal Zakat, Fatwa Zikir Roh dan lain-lain.

Keseluruhan karya Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani dalam senarai penulis adalah 12 judul.

Saudara sepupu Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, seorang ulama yang sangat terkenal ialah Sheikh Muhammad bin Ismail al-Fathani, juga menghasilkan beberapa karya.

Ulama besar yang berasal dari Patani pada peringkat ini pula ialah Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani, digelar dengan Tuan Minal.

Semua yang tersebut pernah diterbitkan berupa cetakan dan masih beredar di pasaran kitab. Adapun yang berupa manuskrip ialah Risalat Sembahyang Jum’at, nombor kelas MS 111 dan Tahqiq al-Kalam, nombor kelas MS 167, kedua-duanya adalah koleksi PMMPNM. Keseluruhan karya Tuan Minal yang ada dalam senarai penulis adalah lapan judul.

Peringkat murid ulama-ulama Patani tersebut yang banyak menghasilkan karangan di antaranya ialah Tok Kelaba. Mengenai karyanya dapat dirujuk kepada Jurnal Filologi Melayu jilid 2, 1993, hlm. 47-54.

Sahabat Tok Kelaba al-Fathani yang juga menghasilkan beberapa judul karya, yang telah dijumpai ada lima judul, di antaranya: Minhaj al-Qawim Pada Menyatakan Hisab dan Taqwim, diselesaikan tahun 1310 H/1892 M. Karya terakhir yang telah dijumpai ialah Al-Futuhat al-Ilahiyah, diselesaikan tahun 1317 H/1899 M.

Tengku Mahmud Zuhdi bin Tengku Abdur Rahman al-Fathani yang pernah menjadi Sheikh al-Islam Selangor termasuk ulama Patani yang banyak menghasilkan karya, sama ada dalam bahasa Arab mahupun bahasa Melayu.

Keseluruhan karya Tengku Mahmud Zuhdi al-Fathani yang ada dalam senarai penulis adalah 10 judul.

Ulama yang berasal dari Kelantan yang mewakili peringkat ketujuh ini ialah Sheikh Wan Ali bin Abdur Rahman Kutan al-Kalantani. Beliau adalah saudara ipar kepada Tuan Tabal, juga guru dan ayah saudara kepada Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

Sheikh Wan Ali Kutan menghasilkan beberapa buah karya, yang terawal ialah Al-Jauhar al-Mauhub wa Munabbihat al-Qulub, yang merupakan syarah Matn Lubab al-Hadits karya Syeikh Jalaluddin as-Suyuthi yang terkenal, diselesaikan tahun 1306 H/1888 M, dan karya yang terakhir ialah Majma’ al-Qashaid wa al-‘Awaid, diselesaikan tahun 1320 H/1902 M. Keseluruhan karya Sheikh Wan Ali al-Kalantani yang ada dalam senarai penulis adalah tujuh judul.

Ulama yang berasal dari Aceh dalam peringkat ketujuh ialah Sheikh Ismail bin Abdul Muthallib al-Asyi.

Keseluruhan karya beliau yang ada dalam senarai penulis adalah empat judul.

Ulama yang berasal dari Palembang pula ialah Sheikh Fakhruddin. Karya beliau ialah Syarh Fath ar-Rahman diselesaikan pada 16 Syaaban 1297 H. Salah sebuah manuskrip judul ini ditemui di Pontianak, Kalimantan Barat, penulis telah serahkan kepada PMMPNM, dengan nombor kelas MS 1731.

Ulama Palembang yang lain ialah Sheikh Muhammad Azhari bin Abdullah al-Falimbani. Di antara karya yang dihasilkan ialah ‘Aqaid al-Iman, diselesaikan tahun 1309 H/1891 H. Sebenarnya ada sebuah karya beliau yang tahunnya jauh lebih awal iaitu ‘Athiyat ar-Rahman, diselesaikan tahun 1259 H/1843 M.

Namun, oleh sebab tahun 1259 H/1843 M yang dinyatakan dalam cetakan itu sangat jauh jaraknya dengan karya-karyanya yang lain, maka sangat diragui tentang kesahihannya.

Karya Sheikh Muhammad Azhari Palembang yang terakhir ialah Bidayat ar-Rahman, diselesaikan tahun 1324 H/ 1906 M.

Ulama yang berasal dari Minangkabau ialah Sheikh Ahmad Khatib bin Abdul Latif al-Minankabawi. Beliau menghasilkan karya dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu.

Ulama yang berasal dari Riau-Lingga ialah Sheikh Muhammad bin Muhammad Yunus Lingga, digelar dengan Qus bahasa Melayu pada zamannya. Karya yang pernah dihasilkan adalah empat judul. Dua judul di antaranya yang terawal ialah Daqaiq al-Akhbar, diselesaikan pada 20 Muharam 1312 H/1893 M, Nashihat Ahl al-Wafa, diselesaikan pada 11 Syawal 1312 H/1894 M, dan yang terakhir ialah Hadiqat ar-Raihan, diselesaikan tahun 1313 H/1895 M.

Ulama yang berasal dari Pontianak ialah Sheikh Uthman bin Syihabuddin al-Funtiani. Karya terawal ialah Taj al-‘Arus, diselesaikan tahun 1304 H/1886 M. Karya terakhir tiga judul yang diselesaikan dalam tahun 1324 H/1906 M ialah: Irsyad al-‘Ibad, Nur al-Anwar, dan Fath al-Mutafakkirin.

Keseluruhan karya beliau lagi ialah Sheikh Husein bin Sulaiman al-Funtiani, yang menghasilkan tiga karya, iaitu: Bab al-Jum’ah, diselesaikan tahun 1316 H/1898 M, Tuhfat al-Raghibin, diselesaikan tahun 1319 H/1901 M, dan Nuz-hat ath Tharaf, diselesaikan tahun 1321 H/1903 M.

Peringkat kelapan

Peringkat Kelapan dimulai dengan keterlibatan ulama-ulama serta tokoh-tokoh dunia Melayu menyalurkan pemikirannya dalam penulisan majalah-majalah yang mereka asaskan. Mengenai ini bermula dengan majalah Al-Imam di Singapura mulai terbit 1 Jamadilakhir 1324 H/Julai 1906 M. Mudir yang pertama ialah Sheikh Muhammad al-Kalali.

Pada keluaran berikutnya Rejab 1324 H/Ogos 1906 M, dinyatakan nama pengarangnya Sheikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi. Diikuti majalah Al-Munir oleh ulama-ulama Minangkabau. Terbitan pertama majalah Al-Munir di Padang pada 11 April 1911 M. Majalah yang paling lama dapat bertahan ialah majalah Pengasuh, diterbitkan oleh Majlis Ugama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, bermula bulan 11 Julai 1918 M hingga sekarang.

Ketua pengarang majalah Pengasuh yang pertama ialah Tok Kenali. Beliau bertugas sebagai Ketua Pengarang Pengasuh mulai keluaran pertama hingga bilangan 32, tahun kedua 9 Oktober 1919 M. Selain menulis dalam majalah, ulama-ulama pada peringkat kelapan ini juga menulis risalah-risalah agama Islam.

Peringkat kesembilan

Penulisan abad ke 20-21 M, pada abad ini tradisi penulisan mengalami perubahan besar disebabkan berbagai-bagai masalah. Terutamanya menggunakan tulisan Melayu/Jawi, digunakan juga tulisan Rumi/Latin.

Peringkat kelapan bolehlah kita anggap dimulakan menjelang Indonesia merdeka (1945), iaitu sesudah perang dunia yang kedua, hingga sekarang ini. Tokoh ulama yang muncul sebagai penulis pada peringkat kesembilan ini sangat ramai dan karya yang dihasilkan sangat banyak dalam berbagai-bagai disiplin keilmuan.

Di antara mereka seumpama Prof. Dr. Hamka, Prof. Dr. M. Hasbi Ash-Shidqi, Haji Abu Bakar Aceh, dan ramai lagi.

Mengenai mereka dan karya-karya yang demikian banyak belum dibicarakan dalam artikel yang ringkas ini.

Peringkat kesepuluh

Peringkat Kesepuluh ini adalah melibatkan kerja-kerja penulis yang berusaha mengumpul dan mendokumentasikan seluruh aktiviti ulama-ulama dunia Melayu dari Peringkat pertama hingga ke peringkat kesembilan.

Hasil kajian tersebut bertujuan disebarkan kepada masyarakat dalam berbagai-bagai bentuk dan coraknya, mulai dengan keklasikkan keasliannya hingga dalam bentuk perkembangan moden sekarang ini.

Penulisan pertama penulis bermula tahun 1390an Hijrah/1970-an Masihi, lebih kurang 100 tahun setelah kebangkitan perjuangan Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani (Peringkat Ketujuh).

Semua program mengenai ini sudah disusun sejak lama, tetapi pada awal perjuangan pelaksanaan tersekat-sekat kerana belum mendapat tajaan yang padu dan mantap yang saling mengerti ke arah yang dicita-citakan.

Sangat banyak rintangan yang ditempuh, kesabaran dan tawakal dijadikan modal yang paling utama untuk hasil yang dimaksudkan. Walau bagaimana pun mulai tahun 1990, sekelian rintangan nampaknya telah sirna. Hingga kini (2006 M) semua usaha berjalan lancar, telah banyak buku mengenai penyelidikan dapat diperkenalkan.

Penulis menghasilkan ratusan judul karya dalam pelbagai koleksi, antaranya adalah koleksi Transliterasi Kitab, koleksi kertas kerja ulama, koleksi Pengenalan Bersiri, koleksi Biografi Ulama Asia Tenggara, koleksi Kitab Arab dan Melayu/Jawi, koleksi Kitab Wakaf, koleksi surat dan pelbagai dokumen, koleksi Artifak Warqah, maklumat berupa manuskrip, gambar dan lain-lain.

Koleksi karya ilmiah adalah artikel dalam Utusan Malaysia, Berita Harian, Majalah Dian, Dewan Budaya, Dakwah, Al-Islam, dan Kiblat. Namun, untuk judul-judul penuhnya tidak dapat disebutkan selengkapnya dalam ruangan yang terbatas ini.

dipetik dari:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

Saiyid Muhammad Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus

PERBINCANGAN pada kali ini masih berkisar berkaitan ulama-ulama Asia Tenggara dari sudut penulisan manuskrip yang ditinjau dari pelbagai peringkat zaman. Sebelum ini telah dibicarakan dari peringkat pertama sehingga keenam. Peringkat keenam adalah antara peringkat zaman yang banyak dihasilkan penulisan-penulisan manuskrip oleh ulama-ulama yang ada pada zaman tersebut. Antaranya Sheikh Daud al-Fathani, Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani Bukit Bayas, Sheikh Muhammad bin Khatib Langien dan beberapa lagi. Maka pada kali ini disambung lagi kepada beberapa ulama yang belum selesai dibicarakan lagi, dan masih pada peringkat keenam.

Kesinambungan Peringkat Keenam

Dalam peringkat keenam ini, ulama-ulama yang berasal dari Terengganu juga menghasilkan karya. Ada tiga ulama Terengganu yang perlu disebutkan di sini, iaitu: Saiyid Muhammad bin Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus, atau lebih popular dengan sebutan Tukku Tuan Besar.

Manuskrip karyanya yang terawal ditulis pada tahun 1250 H/1834 M, tentang sanad Dalail al-Khairat. Manuskrip-manuskrip yang lain ialah: mengenai hadis memakai serban, ditulis tahun 1267 H/1850 M, Salasilah Ratib al-Haddad, ditulis tahun 1267 H/1850 M.

Karya beliau yang paling terkenal Kanz al-Ula, sebuah manuskrip judul ini, tetapi tidak lengkap, telah penulis serahkan kepada Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia (PMMPNM).

Manuskrip itu adalah tulisan tangan nenek penulis, Hajah Wan Siti Saudah binti Sheikh Abdullah al-Fathani, yang diselesaikan salinannya tahun 1324 H/1906 M. Salinan tersebut diberi bernombor kelas MS 1101. Karya beliau yang terkenal pula ialah Jauhar as-Saniyah, belum diketahui di mana manuskripnya tersimpan. Keseluruhan karya beliau dalam senarai penulis sebanyak 11 judul.

Ulama Terengganu yang kedua pada peringkat ini ialah Saiyid Ahmad bin Saiyid Muhammad al-Aidrus, digelar dengan Tukku Melaka, gelar yang lain ialah Tuan Saiyid Embun Terengganu. Manuskrip terawal yang telah dijumpai bertarikh 1256 H/ 1840 M, judul Terjemah Muqaddimah dan Doa Dalail al-Khairat, koleksi Muzium Islam Pusat Islam Malaysia.

Manuskrip yang tersebut adalah asli tulisan tangan beliau. Manuskrip asli tulisan tangan beliau yang ditemui pula ialah Al-Fawaid fi ash-Shalat wa ‘Awaid, diselesaikan pada malam Sabtu, bulan Safar, 1264 H/1847 M. Tukku Melaka sendiri menyerahkan manuskrip karyanya itu kepada Sheikh Muhammad bin Ismail Daudi al-Fathani, diserahkan pula kepada Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani untuk ditashih dan diterbitkan berupa cetakan.

Manuskrip tersebut pernah penulis miliki berupa pusaka dan kemudian diserahkan kepada PMMPNM. Dicatat dengan nombor kelas MS 1103. Karya Tukku Melaka yang ditulis agak akhir dapat dimasukkan ke dalam kategori peringkat ketujuh, ialah Hidayat al-‘Awam fi Bayan Hukm Syarb ad-Dukhan, diselesaikan tahun 1293 H/1876 M, membicarakan haram tembakau.

Manuskrip judul ini hanya ditemui sebuah sahaja, berupa salinan yang dilakukan di Sungai Cincin, Selangor. Manuskrip tersebut tersimpan di Muzium Islam Pusat Islam Malaysia.

Karya Tukku Melaka yang terakhir judul Kumpulan Wirid dan Doa, diselesaikan tahun 1295 H/1878 M. Keseluruhan karya Tukku Melaka dalam senarai penulis ada tujuh judul.

Ulama Terengganu yang ketiga dalam peringkat ini ialah Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf bin Abdul Qadir, berasal dari Kemaman, Terengganu, meninggal dunia di Kampung Pusin, Yala. Memulakan kariernya di Sungai Tok Gali, Pujut, Patani, tahun 1235 H/1819 M (membuat salinan sebuah kitab perubatan. Salinan tersebut ada dalam simpanan PMMPNM nombor kelas MS 1292. Salinan beliau yang terakhir tahun 1291 H/1874 M, judul Kanz al-Minan karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Manuskrip mengenai ini juga dalam simpanan PMMPNM nombor kelas MS 1240.

Ulama yang berasal dari Minangkabau yang muncul dalam Peringkat Keenam ialah Sheikh Ismail bin Abdullah al-Minankabawi dan Sheikh Muhammad Shalih bin Muhammad Murid Rawa. Karya Syeikh Ismail Minangkabau yang ada dalam senarai saya sebanyak sembilan judul.

Di antaranya yang ada disebut tarikh selesai penulisan ialah Ar-Rahmat al-Habithah fi Zikr Ism az-Zat wa ar-Rabithah, diselesaikan tahun 1269 H/1825 M, Nazhm as-Silsilah, diselesaikan tahun 1270 H/1854 M. Manuskrip mengenai ini ada dalam simpanan penulis.

Sebuah manuskrip mengenai Tarekat Syaziliyah karya Sheikh Ismail Minangkabau tersimpan di Muzium Islam Pusat Islam Malaysia. Manuskrip berbentuk syair dalam bahasa Arab tersimpan di PMMPNM. Karya beliau yang lain yang cukup terkenal ialah Kifayat al-Ghulam.

Karya Sheikh Muhammad Shalih Rawa yang telah dijumpai ada empat buah; semuanya ditulis tahun 1272 H/1855 M. Yang terpenting di antaranya Fath al-Mubin, syarah hadis 40 Imam Nawawi yang disyarah dalam bentuk fiqh.

Ulama yang berasal dari Sambas, Kalimantan Barat yang hidup dalam Peringkat Keenam ialah Sheikh Ahmad Khatib bin Abdul Ghaffar al-Sambasi (wafat 1280 H/1863 M atau pendapat lain 1289 H/1872 M). Karya beliau hanyalah yang berupa imlak kepada murid-muridnya, judul Fath al-‘Arifin yang sangat popular di kalangan pengikut Tarekat Qadiriyah dan Tarekat Naqsyabandiyah dunia Melayu.

Antara yang sempat diterbitkan atas tashih dan usaha Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani ialah yang berasal daripada imlak kepada Sheikh Muhammad bin Ismail bin Abdur Rahim al-Bali. Tarikh naskhah 1295 H/1878 M, cetakan pertama di Matba’ah al-Miriyah al-Kainah Makkah tahun 1305 H/1887 M.

Ada lagi manuskrip yang lebih awal yang tidak sempat diterbitkan berupa cetakan iaitu imlak kepada Haji Muhammad bin Sheikh Abdus Samad al-Kalantani, tarikh 1294 H/1877 M.

Manuskrip ini telah menjadi milik PMMPNM yang diperoleh daripada penulis. Penulis pula memperolehnya daripada pusaka peninggalan Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

Karya Sheikh Ahmad Khatib Sambas yang lain ialah Fatwa Perihal Jum’at. Manuskripnya ada dalam simpanan penulis.

Salah seorang murid Sheikh Ahmad Khatib Sambas yang terkenal ialah Sheikh Nawawi al-Bantani, yang digelar oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani dengan Imam Nawawi Tsani. Ulama yang berasal dari Banten, Jawa Barat itu penulisannya dalam dua peringkat, iaitu Peringkat Keenam dan Peringkat Ketujuh.

Oleh sebab lebih banyak karya yang dihasilkan dalam Peringkat Keenam, maka dimasukkan ke dalam Peringkat Keenam ini. Karya beliau semuanya ditulis dalam bahasa Arab melebihi 100 judul, tetapi dalam senarai penulis hanya 44 judul sahaja.

Karya terawal yang telah ditemui judul Targhib al-Musytaqin, diselesaikan tahun 1284 H/1867 M. Bererti beliau mula masuk ke medan penulisan dalam usia 54 tahun kerana beliau lahir tahun 1230 H/1814 M. Bererti pula beliau menghasilkan karya melebihi 100 judul itu diselesaikan dalam jangka waktu 30 tahun kerana Sheikh Nawawi al-Bantani wafat tahun 1314 H/1897 M.

Karya terakhir yang terdapat kenyataan tahun yang telah dijumpai ialah Nashaih al-‘Ibad, diselesaikan hari Khamis, 21 Safar 1311 H/1893 M. Oleh sebab masih banyak karya Sheikh Nawawi al-Bantani yang belum dijumpai dan banyak juga karya yang tidak terdapat kenyataan tahun selesai penulisan, maka tahun berapa sebenarnya beliau mulai melakukan penulisan dan tahun terakhir penulisan belum diketahui dengan pasti.

Hidup sezaman dengan Sheikh Nawawi al-Bantani ialah Saiyid Utsman Betawi, yang terkenal sebagai Mufti Betawi. Penulisan dilakukan dalam Peringkat Ketujuh dan Kelapan. Karya pertama muncul dalam kategori Peringkat Ketujuh, iaitu Jawaz Ta’addud al-Jum’ah, diselesaikan tahun 1286 H/1869 M.

Karya yang terakhir yang diketahui tahun selesai penulisan termasuk dalam kategori Peringkat Kelapan, iaitu Taftih al-Maqalatain, diselesaikan tahun 1313 H/1895 M. Karyanya terdiri beberapa bahasa iaitu Arab, Melayu Betawi, Sunda dan Jawa. Karya beliau dalam senarai penulis ada 36 judul, sedangkan karya keseluruhan difahamkan sebanyak 109 judul.

Seorang ulama Sumbawa yang barangkali sebaya umur dengan Sheikh Nawawi al-Bantani dan Saiyid Utsman al-Batawi ialah Sheikh Muhammad Zainuddin bin Muhammad Badawi al-Sumbawi. Karyanya tidak dapat dipastikan apakah termasuk dalam kategori Peringkat Ketujuh atau pun Peringkat Kelapan kerana karya-karya yang telah dijumpai tidak terdapat catatan tahun selesai penulisan.

Karya-karya ulama Sumbawa ini yang telah diketahui ialah Siraj al-Huda dan Minhaj al-Salam, kedua-dua banyak kali diterbitkan dan masih beredar di pasaran kitab. Karyanya berjudul Tuhfat al-Qudsiyah sampai sekarang masih belum dijumpai.

Keturunan Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari yang berpindah ke Kedah mendapat zuriat yang menjadi ulama ada beberapa orang, di antara mereka ada menghasilkan karya. Dalam kategori peringkat keenam ialah Syeikh Muhammad Thaiyib bin Syeikh Mas’ud al-Qadhi al-Banjari.

Dua buah karya beliau yang telah dikenalpasti, iaitu Miftah al-Jannah dan Bidayat al-Ghilman fi Bayan Arkan al-Iman. Tarikh selesai penulisan Miftah al-Jannah terdapat tiga maklumat yang berbeza-beza. Cetakan Matba’ah al- Miriyah Mekah tahun 1321 H dinyatakan bahawa selesai mengarang tahun 1247 H, cetakan tahun 1328 H dinyatakan selesai pada 16 Syawal 1255 H, cetakan Matba’ah Mustafa al-Baby al-Halaby Mesir tahun 1342 H, dinyatakan diselesaikan pada 16 Syawal 1274 H.

Barangkali yang betul bahawa Miftah al-Jannah itu diselesaikan tahun 1274 H/1867 M. Adapun Bidayat al-Ghilman, diselesaikan tahun 1297 H/1819 M. Sebuah manuskrip judul ini tersimpan di Muzium Islam Pusat Islam Malaysia nombor kelas MI 49.

Ulama yang berasal dari Kelantan pula yang dapat dimasukkan ke dalam kategori peringkat keenam ada dua orang, iaitu: Haji Ahmad bin Muhammad Yusuf bin Abdul Halim. Manuskrip karyanya ialah Durr al-Hisan, diselesaikan tahun 1282 H/1868 M, tersimpan di Muzium Islam Pusat Islam Malaysia, nombor kelas MI 725.

Manuskrip karya beliau yang lain, yang membicarakan fiqh, judul tidak jelas, diselesaikan tahun 1287 H/1870 M, tersimpan di PMMPNM nombor kelas MS 780.

Seorang lagi ulama Kelantan ialah Haji Abdus Samad bin Muhammad Shalih, yang lebih popular dengan sebutan Tuan Tabal. Sebahagian besar karyanya dapat dimasukkan ke dalam kategori Peringkat Keenam dan ada di antaranya diselesaikan dalam kategori Peringkat Ketujuh.

Karya-karya Tuan Tabal ialah: Munabbih al-Ghafilin, diselesaikan tahun 1285 H/1868 M, diikuti dengan Jala’ al-Qulub, diselesaikan tahun 1287 H/1870 M. Kedua-duanya membicarakan tasauf. Manuskrip Jala’ al-Qulub tersimpan di PMMPNM nombor kelas 557.

Karya-karya Tuan Tabal yang lain ialah Kifayat al-‘Awam, diselesaikan tahun 1295 H/1878 M. Manhat al-Qarib adalah karya Tuan Tabal yang paling tebal daripada karya-karyanya yang lain.

Penutup

Maka selesai perbicaraan mengenai penulisan-penulisan manuskrip yang dihasilkan oleh ulama-ulama yang dikategorikan pada peringkat keenam ini.

Selanjutnya pada ruangan akan datang akan dibicarakan peringkat-peringkat selanjutnya, iaitu peringkat ketujuh hingga yang terakhir peringkat kesepuluh.

dipetik dari:http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

Sheikh Abdus Samad al-Falimbani

Koleksi tulisan ALLAHYARHAM WAN MOHD. SAGHIR ABDULLAH

At-targhib wa at-tarhib li bai ‘iwa asy-syira – karya penting mengenai tata cara perniagaan dalam Islam pada abad 18-19 M.


MAKLUMAT yang dibicarakan pada artikel kali ini adalah kesinambungan daripada tajuk-tajuk sebelumnya, iaitu berkaitan penulisan-penulisan manuskrip ulama-ulama Asia Tenggara yang dibahagikan kepada 10 peringkat. Adapun perbicaraan pada peringkat pertama hingga keempat telah selesai dibicarakan. Maka pada kali ini diteruskan pula perbicaraan pada peringkat kelima dan sebahagian peringkat keenam.

Peringkat Kelima

Penulisan abad ke 18-19, dijumpai manuskrip-manuskrip karya ulama-ulama Palembang, Banjar, Patani, Aceh, Sumbawa dan dari tempat-tempat lainnya. Ulama yang berasal dari Palembang yang paling terkenal ialah Sheikh Abdus Samad al-Falimbani. Sebagaimana telah disebutkan bahawa karya beliau terawal adalah Zahrat al-Murid, 1178 H/1764 M.

Dua karya Sheikh Abdus Samad al-Falimbani yang paling popular ialah Hidayat as-Salikin dan Siyar as-Salikin. Nama lain untuk Hidayat as-Salikin ialah as-Salikin, diselesaikan tahun 1192 H/1778 M, yang merupakan terjemahan kitab Bidayat as-Salikin karya Imam al-Ghazali dengan tambahan-tambahannya yang cukup banyak.

Beberapa manuskrip yang dijumpai memang ada yang memakai judul Bidayat as-Salikin, tetapi jumlahnya jauh lebih sedikit berbanding manuskrip yang memakai nama Hidayat as-Salikin.

Cetakan mutawal karya Sheikh Abdul Samad al-Falimbani itu digunakan judul Bidayat as-Salikin dilakukan pada tahun 1287 H/1870 M, dicetak menggunakan tulisan litografi (huruf batu) di Mekah dan Singapura. Yang diberi kepercayaan pengurusan cetakan di Singapura ialah Tengku Yusuf bin Tengku Ibrahim Terengganu tetapi belok litografnya semuanya diproses di Mekah. Setelah Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani lebih memperkemaskan lagi media cetak dengan menukar huruf litografi (huruf batu) kepada huruf klise timah, maka barulah digunakan judul yang satu lagi, iaitu Hidayat as-Salikin.

Menurut Sheikh Ahmad al-Fathani, kitab Hidayat as-Salikin adalah merupakan kitab Melayu/Jawi yang pertama sekali dicetak di Mesir. Adapun karya Sheikh Abdus Samad al-Falimbani judul Siyar as-Salikin adalah karyanya yang terbesar yang terdiri empat jilid.

Sebahagian besar kandungannya merupakan terjemahan Ihya’ ‘Ulum ad-Din karya Imam al-Ghazali dengan tambahan-tambahan yang cukup banyak. Dimulai penulisan tahun 1194 H/1780 M dan diselesaikan tahun 1203 H/1788 M. Manuskrip Siyar as-Salikin juga terdapat dalam simpanan Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia (PMMPNM).

Kitab Siyar as-Salikin yang diproses untuk cetakan yang pertama di Mekah berasal dari manuskrip koleksi Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahman al-Fathani, iaitu naskhah yang beliau gunakan untuk mengajar dan telah ditashihkannya. Manakala akan dicetak dan ditashih sekali lagi oleh Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

Sheikh Abdus Samad al-Falimbani juga menterjemahkan kitab Mi’raj, diselesaikan tahun 1201 H/1786 M. Manuskrip tentang ini hanya terdapat sebuah dalam simpanan PMMPNM nombor kelas MS 1079.

Keseluruhan karya Sheikh Abdus Samad al-Falimbani yang telah dijumpai adalah sebanyak 12 judul, beberapa buah judul yang nadir di antaranya ada dalam simpanan penulis.

Ada dua orang ulama besar dunia Melayu yang berasal dari Banjar (Kalimantan Selatan) sahabat Sheikh Abdus Samad al-Falimbani. Kedua-duanya yang menghasilkan karangan, ialah Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari dan Sheikh Muhammad Nafis bin Idris al-Banjari.

Karya Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari yang terawal ialah Tuhfat al-Raghibin, diselesaikan tahun 1188 H/1774 M, disusul dengan Luqthatul ‘Ajlan, diselesaikan tahun 1192 H/1778 M, disusul dengan Sabil al-Muhtadin, diselesaikan tahun 1195 H/1780 M, disusuli Risalat Qaul al-Mukhtashar diselesaikan tahun 1196 H/1781 M.

Keseluruhan karya Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari yang telah diketahui 17 judul. Keempat-empat judul yang tersebut semuanya telah dijumpai manuskrip salinannya.

Yang paling terkenal di antara karya Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari ialah Sabil al-Muhtadin. Kitab ini juga ditashih dan kemudian diperjuangkan penerbitannya oleh Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani.

Ulama besar

Karya Sheikh Muhammad Nafis bin Idris al-Banjari yang paling terkenal ialah Ad-Durr an-Nafis diselesaikan tahun 1200 H/1875 M. Karya-karya beliau yang lain yang telah dijumpai ialah Majmu’ al-Asrar li Ahli Allah al-Athyar atau nama yang lain Majmu’ as-Sarair, judul terjemahan dalam bahasa Melayu menurut pengarangnya sendiri ialah Perhimpunan Sekelian Rahsia.

Karya beliau yang lain pula ialah Penjelasan Huruf-huruf Abjad Dalam al-Quran, Ilmu Haqiqat Yang Sebenar-benar, dan Masalah Orang Yang Dijadikan Imam. Pada risalah yang terakhir itu tercatat selesai menulisnya waktu Dhuha 8 Ramadan 1245 H/1829 M. Kitab Ad-Durr an-Nafis cetakannya yang mula-mula sekali dilaksanakan oleh Mathba’ah al-Miriyah bi Bulaq Mesir al-Mahmiyah, tahun 1302 H/1884 M.

Untuk pelaksanaan, pencetakannya telah ditashih dan diusahakan oleh Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Ada sebuah manuskrip yang merupakan syarah untuk kitab Ad-Durr an-Nafis ini ialah Ad-Durrah an-Nafisah fi Bayan al-Wahdah fi al-Af’al wa al-Asma’ wa ash-Shifat wa az-Zat al-Muqaddasah. Manuskrip ini hanya dijumpai sebuah sahaja.

Manuskrip yang dijumpai dinyatakan mulai penulisan pada waktu Dhuha, hari Jumaat, 15 Rabiulakhir 1239H/19 Disember 1823M dan selesai pada tengah malam Isnin, 9 Muharam 1240H/3 September 1824M.

Adapun Majmu’ al-Asrar tidak dikenal oleh masyarakat Melayu secara umum kerana belum pernah diterbitkan. Manuskripnya pula adalah sangat nadir belum banyak dijumpai, setakat ini baru dijumpai tiga buah manuskrip sahaja. Sebuah dalam simpanan Muzium Islam Pusat Islam, bukan merupakan tulisan asli pengarang tetapi adalah salinan Muhammad Zain bin Hasan. Selesai melakukan penyalinan pada waktu zuhur, hari Sabtu, 21 Syaaban 1355 H/1936 M. Nombor kelas MI 24.

Pada zaman yang sama dengan kemunculan karya-karya Sheikh Abdus Samad al-Falimbani dan Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari, terdapat sebuah kitab tajwid yang ditulis tahun 1193 H/1779 M, judul Mir-at al-Quran fi Tahshil Ma’rifat Ahkam at-Tajwid li Malik al-Wahhab, disingkat Mir-at al-Quran saja.

Penyusunnya bernama Sheikh Ibnu Mu’thi bin Sheikh Muhammad Shalih al-Jawi. Tidak diketahui dari mana beliau berasal, tetapi dalam dugaan barangkali berasal dari Patani atau Kelantan.

Manuskrip salinan judul itu sangat banyak diperoleh, tersimpan di Muzium Islam Pusat Islam, PMMPNM dan dalam simpanan individu. Walaupun manuskripnya sangat banyak diperoleh, namun dipercayai kitab tajwid itu belum pernah diterbitkan berupa cetakan. Melihat kepada tahun penulisannya, 1193 H/1779 M, dipercayai kitab tersebut adalah merupakan kitab tajwid yang pertama dalam bahasa Melayu.

Ulama besar yang berasal dari Patani, yang tidak asing lagi bagi masyarakat Melayu yang hidup pada zaman ini ialah Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Dalam tahun 1193 H/1779 M itu telah muncul karya beliau dalam bahasa Arab. Tetapi karya-karyanya yang ditulis dalam bahasa Melayu muncul pada tahun 1200an hijrah. Oleh sebab itu mengenai beliau dimasukkan ke dalam kategori ulama dunia Melayu peringkat keenam.

Peringkat Keenam

Masih termasuk dalam lingkungan abad ke 18-19, tetapi agak kebelakang sedikit dari Sheikh Abdus Samad al-Falimbani dan Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari ialah Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Beliau adalah tokoh ulama yang paling produktif, baik dibandingkan dengan penulisan sebelum, sezaman mahupun sesudah beliau.

Karya-karya beliau sesudah tahun 1190an hijrah dimulai tahun 1204 H/1789 M dan berakhir 1259 H/1843 M. Ada lagi maklumat hingga tahun 1263 H, bahkan maklumat terakhir hingga tahun 1295 H Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani masih menulis. Walau bagaimanapun yang telah dianggap sahih adalah hingga tahun 1259 H/1843 M, tahun-tahun sesudahnya masih dalam tahap penelitian.

Keseluruhan karya Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani adalah 101 judul, tetapi yang pernah penulis senaraikan berjumlah hanya 66 judul sahaja. Menurut tertib susunan tahun penulisan dalam bahasa Melayu, dimulai dengan Kifayat al-Muhtaj, diselesaikan tahun 1204 H/1789 M, tetapi kitab ini yang diketahui umum berdasarkan cetakan adalah diselesaikan tahun 1224 H/1809 M. Disusul dengan Faraid Fawaid al-Fikr fi al-Imam al-Mahdi, diselesaikan tahun 1215 H/1800 M.

Judul ini adalah nadir kerana baru ditemui tiga buah salinan saja. Sebuah dalam simpanan PMMPNM nombor kelas MS 652, tidak lengkap, yang lengkap ada dalam simpanan penulis, dan sebuah lagi disimpan oleh seorang ulama di Patani, juga lengkap.

Ada tiga karya yang diselesaikan oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam tahun 1233 H/1817 M itu, satu buah mengenai fiqh diberi judul Tuhfat al-Raghibin fi Suluk Thariq al-Muttaqin, juzuk yang ke-2, dan yang kedua mengenai tasauf, tanpa menyebut nama judul. Kedua-duanya adalah naskhah nadir. Mengenai ilmu tasauf hanya dua manuskrip saja dijumpai.

Pertama adalah koleksi PMMPNM nombor kelas MS 666. Kedua pula diperoleh 11 April 1993 di Betong, Patani bekas dimiliki oleh Tuan Guru Haji Abdul Mubin bin Muhammad Thaiyib al-Jerimi al-Fathani, iaitu guru kepada Sultan Ahmad, Sultan Pahang.

Sheikh Daud bin Abdullah al- Fathani muncul sebagai seorang penulis kitab fiqh Mazhab Syafie yang pertama lengkap sekalian babnya, iaitu yang berjudul Hidayat al-Muta’allim, diselesaikan tahun 1244 H/1828 M.

Karya beliau juga yang terlengkap mengenai usuluddin dalam Mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah, iaitu yang berjudul Ward al-Zawahir, diselesaikan tahun 1245 H/1829 M. Karya beliau yang paling tebal ialah Furu’ al-Masail yang dimulai penulisannya tahun 1254 H/1838 M dan diselesaikan tahun 1257 H/1841 M.

Ulama Patani yang berhijrah ke Terengganu, yang mempunyai hubungan kekeluargaan dekat dengan Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, dan hidup sezamannya ialah Sheikh Abdul Qadir bin Abdur Rahim al-Fathani Bukit Bayas.

Sebuah karya beliau yang dapat dicatatkan dalam artikel ini ialah At-Targhib wa at-Tarhib li Bai’i wa asy-Syira, diselesaikan tahun 1234 H/1818 M. Manuskrip yang ditemui hanya dua buah sahaja, sebuah koleksi Muzium Islam Pusat Islam nombor kelas MI 128.

Sebuah lagi salinan muridnya Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf Terengganu, penyalinan diselesaikan tahun 1236 H/1820 M. Saudara kandung beliau ialah Sheikh Abdullah bin Abdur Rahim al-Fathani. Beliau ini menghasilkan dua buah karya, iaitu sebuah tidak beliau sebut nama judulnya, diselesaikan tahun 1257 H, disalin tahun 1263 H, nama penyalin tidak tercatat.

Taj al-Muluk

Manuskripnya ada dalam simpanan penulis. Sebuah lagi diberi judul Hadits al-Muhimmah, disalin oleh Muhammad Yusuf ibnu Encik Ali Cenak di rumah Sheikh Daud bin Ab-dullah al-Fathani di tempat yang bernama Bab ad-Du’a tahun 1272 H/1856 M. Judul ini banyak kali dicetak dan masih beredar di pasaran kitab.

Ulama Patani yang lain, juga hijrah ke Terengganu ialah Sheikh Wan Hasan bin Wan Ishaq al-Fathani. Karya beliau ialah Hidayat al-Mukhtar, diselesaikan tahun 1249 H/1833 M dan Aiyuha al-Walad, diselesaikan tahun 1266 H/1850 M. Saudara kandung Sheikh Wan Hasan al-Fathani ialah Sheikh Wan Ali bin Ishaq al-Fathani menyusun sebuah naskhah mengenai Tariqat Samaniyah yang diberi judul Silsilah Ratib dan Kaifiyatnya.

Seorang tokoh perempuan yang terpelajar yang berasal dari Patani bernama Wan Maryam menghasilkan beberapa buah karya, dua karyanya yang telah dijumpai tercatat tahun selesai penulisan 1259 H.

Karya yang pertama diberi judul Majmu’ Wan Maryam al-Fathani dan yang kedua mengenai hadis 40. Kedua-kedua manuskrip itu dimiliki oleh individu di Patani tetapi penulis pernah diberikan kepercayaan dari pemiliknya untuk menyemak dan mencatat data mengenainya.

Ulama-ulama Aceh yang muncul dalam peringkat keenam, di antara mereka ialah: Sheikh Muhammad bin Khatib Langien. Karya-karya beliau yang telah dijumpai Dawa’ al-Qulub, diselesaikan tahun 1237 H/1821 M, Asrar ad-Din li Ahl al-Yaqin, Mi’raj as-Salikin dan Ku-us al-Muhaqqiqin, semuanya terkumpul dalam nombor kelas MS 1044 koleksi PMMPNM. Sezaman dengan beliau ialah Sheikh Muhammad bin Abdullah Ba’id yang menghasilkan karya berjudul Hukm al-Jarh, diselesaikan tahun 1236 H/1820 M, tetapi manuskripnya belum dijumpai, namun pernah diterbitkan berupa cetakan.

Kemudiannya disusul pula oleh seorang ulama Aceh yang terkenal beliau ialah Sheikh Abbas Kutakarang, seorang ulama ahli astrologi. Manuskrip karyanya yang telah dijumpai ialah Kitab al-Qunu’ liman Ta’ththuf, diselesaikan tahun 1259 H/1843 M, membicarakan hukum penyembelihan. Di Muzium Islam Pusat Islam tersimpan tiga buah manuskrip kitab tersebut, iaitu MI 220, MI 513 dan MI 670.

Di PMMPNM juga tersimpan beberapa buah manuskrip judul itu. Karya Sheikh Abbas Kutakarang yang lain ialah Siraj azh-Zhalam, diselesaikan tahun 1266 H/1849 M, membicarakan hisab dan falakiyah. Kitab judul ini pernah diterbitkan dalam kumpulan kitab yang dinamakan Taj al-Muluk yang diusahakan penerbitannya oleh Sheikh Ismail bin Abdul Mutalib al-Asyi. Keseluruhan karya Sheikh Abbas Kutakarang dalam senarai saya sebanyak lima judul.

Ulama yang berasal dari Sumbawa yang hidup sezaman dengan Sheikh Abbas Kutakarang ialah Sheikh Muhammad Ali bin Abdul Rasyid bin Abdullah al-Qadhi al-Jawi al-Sumbawi. Karyanya yang telah dijumpai hanya sebuah iaitu Al-Yawaqit wa al-Jawahir, diselesaikan tahun 1243 H/1827 M. Merupakan terjemahan karya Sheikh Abdul Wahhab al-Sya’rani.

Kandungannya mengenai hadis tentang seksaan orang yang berdosa besar, dan tentang syurga dan neraka. Manuskrip judul ini telah dijumpai di Pahang bekas dimiliki oleh Haji Abdul Mubin bin Muhammad Thaiyib al-Jerimi al-Fathani, iaitu guru Sultan Abdullah al-Mu’azzam Syah bin Sultan Ahmad, Sultan Pahang.

Manuskrip tersebut telah diserahkan oleh salah seorang keturunan ulama itu kepada penulis dan penulis telah menyerahkannya kepada PMMPNM (tahun 1993). Kitab Al-Yawaqit wa al-Jawahir karya ulama yang berasal dari Sumbawa itu pernah diterbitkan berupa cetakan dan sampai sekarang masih beredar di pasaran kitab.

Penutup

Disebabkan keterbatasan ruangan, maka perbicaraan mengenai artikel kali ini terpaksa dilanjutkan dalam ruangan yang seterusnya.

Peringkat keenam adalah antara peringkat yang banyak menghasilkan penulisan-penulisan manuskrip. Maka peringkat ini perlu kepada perbicaraan yang panjang, dan belum dapat dibicarakan sepenuhnya. Oleh itu, kesinambungan mengenainya disambung pada selanjutnya.

dipetik dari:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1027&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

Prolifik Sheikh Abdul Rauf Ali al-Fansuri

PERBICARAAN pada artikel kali ini masih berkisar kepada penulisan-penulisan kitab yang ditinjau dari pelbagai peringkat. Adapun sebelumnya telah disebutkan dari peringkat pertama hingga ketiga. Namun perbicaraan dalam peringkat ketiga tersebut belum dapat dihabiskan sepenuhnya, maka dalam ruangan ini disambung kembali pada peringkat ketiga dan juga peringkat keempat.

Kesinambungan Peringkat Ketiga

Ulama Aceh yang tak kurang pentingnya dengan ketiga-tiga ulama yang tersebut itu ialah Sheikh Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri (1001 H/1592 M-1105 H/1693 M). Beliau ini juga menghasilkan karangan yang banyak.

Dalam buku Khazanah Karya Pusaka Asia Tenggara jilid 1 telah penulis senaraikan karya beliau sebanyak 25 judul. Tetapi setelah buku itu diterbitkan, ditemui pula tiga judul baru iaitu: Aghmadh as-Sail, Kanz al-Insaniyi dan Durrat al-Baida’ Tanbihan li al-Nisa’. Kandungan kitab Aghmadh as-Sail membicarakan ilmu tauhid. Hanya dijumpai sebuah saja dan tersimpan di Muzium Islam Pusat Islam Malaysia.

Kanz al-Insaniyi dan Durrat al-Baida’ kedua-duanya tersimpan di Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia (PMMPNM) masing-masing dengan nombor kelas MS 1530 dan MS 1625.

Seperti yang pernah disebut oleh penulis dalam artikel-artikel sebelumnya, bahawa Sheikh Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri adalah tokoh ulama dunia Melayu yang pertama menterjemah dan mentafsirkan al-Quran secara lengkap 30 juzuk ke dalam bahasa Melayu. Ia diberi judul Turjuman al-Mustafid, dalam percakapan lebih popular dengan judul Tafsir Baidhawi.

Dalam sejarah yang diceritakan secara bersambung, bahawa sebenarnya terjemahan dan tafsir tersebut tidak sempat diselesaikan oleh Sheikh Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri, tetapi disambung penyelesaiannya oleh seorang murid beliau bernama Baba Daud al-Jawi bin Ismail al-Jawi bin Agha Mustafa al-Rumi. Datuk nenek Baba Daud al-Jawi berasal dari Rom, kemudian berpindah ke Turki seterusnya ke Aceh. Salah seorang keturunannya berpindah ke Patani, yang kemudian mendapat seorang zuriat yang menjadi ulama bernama Sheikh Daud bin Ismail al-Fathani.

Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani itulah yang menyimpan manuskrip asli Turjuman al-Mustafid hasil penulisan gabungan Sheikh Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri dan Baba Daud bin Agha Ismail al-Jawi itu. Manuskrip asli itulah yang diserahkan oleh Sheikh Daud bin Ismail al-Fathani kepada saudara sepupu dan gurunya Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Maka kemudiannya manuskrip itu ditashih untuk diterbitkan.

Pada semua edisi cetakan Turjuman al-Mustafid dicantumkan nama tiga orang pentashih iaitu Sheikh Ahmad al-Fathani, Sheikh Daud al-Fathani dan Sheikh Idris al-Kalantani.

Peringkat murid Sheikh Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri yang tersebar di pelbagai tempat dalam dunia Melayu juga menghasilkan karya. Di antara karya-karya mereka telah dijumpai manuskripnya atau sekurang-kurangnya dapat dikesan judulnya. Di antaranya ialah yang berasal dari negeri Bugis-Makasar, Sheikh Yusuf Tajul Khalwati (1036 H/1626 M-1699 M).

Sebahagian besar karyanya ditulis dalam bahasa Arab dan dalam bahasa Bugis, yang mana dalam bahasa Bugis ditulis dalam aksara Bugis. Setakat ini, hanya sebuah karya beliau yang ditulis dalam bahasa Melayu telah ditemui. Manuskrip dalam bahasa Melayu itu diperoleh dari Sri Langka.

Karya bahasa Melayu

Dipercayai Sheikh Yusuf menghasilkan karya dalam bahasa Melayu itu ketika beliau menjalani hukuman pembuangan oleh penjajahan Belanda di Sri Lanka itu. Manuskrip tersebut dalam simpanan PMMPNM dalam nombor kelas MS 423. Semua karya Sheikh Yusuf Tajul Khalwati yang telah diketahui judulnya sebanyak 22 judul. Beberapa buah manuskrip karyanya dalam bahasa Arab ada dalam simpanan penulis.

Seorang ulama yang menjalankan aktiviti di Jawa Barat yang hidup sezaman dengan Sheikh Yusuf Tajul Mankatsi tetapi agak kebelakang sedikit ialah Sheikh Abdul Muhyi Karang Pamijahan. Beliau ini juga meninggalkan beberapa buah karya yang ditulis dalam bahasa Melayu dan kemungkinan juga pernah menulis dalam bahasa Sunda.

Sebuah manuskrip karya beliau yang membicarakan Martabat Tujuh ada dalam simpanan penulis. Dalam nombor kelas MI 839 koleksi Muzium Islam Pusat Islam Malaysia, di beberapa tempat ada menyebut nama Sheikh Abdul Muhyi Karang Pamijahan, yang seolah-olah naskhah itu dinukil daripada sebuah karya ulama sufi itu. Manuskrip MI 839 itu ditulis dalam bahasa Melayu, disalin di Pulau Pinang.

Sezaman dengan Sheikh Abdul Muhyi Karang Pamijahan ialah Sheikh Abdul Malik bin Abdullah Terengganu (1650 M-1149 H/1739 M) atau lebih dikenali Tok Pulau Manis.

Shafie bin Abu Bakar banyak membicarakan tentang Tok Pulau Manis itu, demikian juga mengenai karya-karya ulama Terengganu itu. Semua karya Tok Pulau Manis yang disebut oleh Shafie Abu Bakar dalam banyak tulisan adalah cukup jelas, kecuali hanya sebuah iaitu judul Syarh Hikam Melayu, yang diragui penulis sebagai karya Tok Pulau Manis.

Salah sebuah karya Tok Pulau Manis pernah disalin oleh Tok Kelaba al-Fathani, iaitu yang berjudul Kifayah. Salinan tersebut ada dalam simpanan PMMPNM nombor kelas MS 517.

Sheikh Abdul Mubin

Sezaman dengan Tok Pulau Manis Terengganu ialah Sheikh Abdul Mubin bin Jailan al-Fathani. Dipercayai lebih dulu sedikit daripada Tok Pulau Manis Terengganu, diperkirakan beliau adalah sahabat Sheikh Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri.

Mengenai ini dibuktikan dengan sebuah manuskrip karyanya yang diselesaikan oleh penyalinan anak beliau Sheikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani terdapat tarikh tahun 1121 H/1709 M. Karya tersebut tidak jelas judulnya, tetapi kandungannya adalah membicarakan ilmu tauhid dan hubungannya dengan tasauf falsafi. Manuskrip yang asli ada dalam simpanan penulis tetapi tidak lengkap.

Sheikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani menghasilkan beberapa karya. Di antaranya kitab Manhal ash-Shafi fi Ramz Ahl ash-Shufi. Manuskrip yang tersebut ada dalam simpanan PMMPNM nombor kelas MS 693, manuskrip berasal daripada milik Wan Abdullah ibnu Muhammad Saman al-Fathani, yang berasal dari Kampung Perongngok.

Selain itu ada lagi karya beliau yang berjudul Mir-at al-Haq, judul terjemahan menurut Sheikh Abdur Rahman Pauh Bok sendiri ialah Cermin Yang Sebenar-benarnya. Salah sebuah salinan judul tersebut ada dalam simpanan penulis.

Pada awal tahun 1994, penulis memperoleh beberapa risalah manuskrip yang berasal daripada karya Sheikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani, sebuah merupakan salinan Ibnu Qaim Abdul Samad yang berjudul Wasiat Syeikh Abdur Rahman Kepada Muridnya Tuan Haji Ibnu Abdul Mubin, tanpa dinyatakan tarikh.

Sebuah merupakan imlak salasilah tarekat Samaniyah kepada muridnya Ahmad ibnu Muhammad Shalih dan Abdul Samad. Manuskrip yang penulis peroleh itu adalah merupakan salinan, yang pada akhir salinan itu dicatat tarikh wafat Ahmad ibnu Muhammad Shalih itu pada malam Arba’, empat likur hari bulan Rejab tahun 1258 H.

Peringkat Keempat

Penulisan abad ke-17-18 M dijumpai karya-karya ulama yang berasal dari Aceh, Patani, Palembang dan Banjar. Ulama Aceh yang begitu menonjol pada peringkat keempat ini ada dua orang.

Kedua-dua beliau ialah Sheikh Faqih Jalaluddin bin Kamaluddin al-Asyi dan anak beliau sendiri bernama Sheikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi.

Karya Sheikh Faqih Jalaluddin Aceh yang terawal ialah Hidayat al-‘Awam, diselesaikan pada tahun 1140 H/1727 M. Disusuli dengan Manzhar al-Ajla ila Martabat al-A’la, diselesaikan tahun 1152 H/1739 M.

Karyanya yang terbesar berjudul Safinat al-Hukkam, mulai melakukan penulisan kitab tersebut pada tahun 1153 H/1740 M. Manuskrip kitab itu tebal 502 halaman dengan ukuran yang bertulis 16 x 10 cm, purata 21 baris setiap muka surat. Karyanya yang terakhir ialah Hujjah Balighah ‘ala Jama’ah Mukhashamah, diselesaikan tahun 1158 H/1745 M.

Memperhatikan tahun kemunculan karya, ternyata karya anak beliau Sheikh Muhammad Zain bin Sheikh Faqih Jalaluddin Aceh lebih dulu muncul daripada karya ayahnya sendiri. Karya terawal Sheikh Muhammad Zain Aceh tercatat tahun 1114 H/1702 M, judul ‘Ilm al-Tauhid.

Dalam jarak waktu yang begitu jauh dari tahun 1114 H/1702 M itu muncul pula karya beliau Bidayat al-Hidayah, diselesaikan tahun 1170 H/1757 M. Manuskrip Bidayat al-Hidayah cukup banyak dijumpai, berpuluh buah tersimpan di Muzium Islam Pusat Islam dan PMMPNM dan tempat-tempat lainnya, termasuk simpanan individu.

Kitab ini adalah merupakan kitab tauhid dalam bahasa Melayu yang tertua yang masih beredar di pasaran kitab. Karya Sheikh Muhammad Zain Aceh yang terakhir, yang terdapat tahun penulisannya, ialah Kasyf al-Kiram, diselesaikan tahun 1171 H/1757 M.

Selain judul-judul yang disebutkan, terdapat lagi beberapa buah karyanya tanpa menyebut tahun penulisan. Semua karyanya yang telah dijumpai dan pernah penulis senaraikan sebelumnya iaitu terdapat lapan judul.

Ulama yang berasal dari Patani yang hidup sezaman dengan Sheikh Muhammad Zain Aceh ialah Sheikh Abdullah bin Abdul Mubin al-Fathani. Karya beliau yang ditemui hanya sebuah, judul Tanbih al-Ghafilin, diselesaikan tahun 1184 H/1770 M. Beberapa manuskrip kitab yang membicarakan hadis targhib dan tarhib itu terdapat dalam simpan PMMPNM dan Muzium Islam Pusat Islam Malaysia. Kitab tersebut juga terdapat pelbagai edisi cetakan dan masih beredar di pasaran kitab sampai sekarang.

G.W.J. Drewes berpendapat bahawa ada seorang ulama yang berasal dari Palembang bernama Sheikh Syihabuddin bin Abdullah al-Jawi. Sebuah manuskrip judul Syarh ‘Aqidat al-Iman terdapat nama pengarangnya Sheikh Syihabuddin al-Haji bin Abdullah al-Jawi.

Kitab itu diselesaikan tahun 1162 H/1748 M. Manuskrip yang telah dijumpai adalah merupakan salinan yang dilaksanakan oleh Mahmud bin Muhammad Yusuf bin Abdul Qadir Terengganu, penyalinan diselesaikan tahun 1260 H/1844 M. Salinan tersebut dalam simpanan PMMPNM nombor kelas MS 1522.

Manuskrip yang telah ditemui itu tidak memberikan sebarang maklumat bahawa pengarangnya berasal dari Palembang yang disebut hanyalah ‘al-Jawi’ saja.

Oleh itu penulis tidak berani menentukan kebenaran pendapat bahawa Sheikh Syihabuddin al-Haji bin Abdullah al-Jawi itu berasal dari Palembang walaupun pendapat Drewes itu telah disokong oleh banyak sarjana, termasuk beberapa orang yang berasal dari Palembang yang membicarakannya dalam Seminar Masuk dan Berkembangnya Islam di Sumatera Selatan.

Walaupun karya terawal Sheikh Abdus Samad al-Falimbani adalah Zahrat al-Murid yang diselesaikan tahun 1178 H/1764 M dan Risalat Yang Haram Kahwin Dengannya yang diselesaikan tahun 1179 H/1765 M, namun beliau tidak dimasukkan ke dalam kategori ulama dunia Melayu peringkat keempat, tetapi akan lebih banyak dibicarakan dalam ulama peringkat kelima.

Demikian halnya dengan sahabatnya Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari yang karya terawalnya Tuhfat al-Raghibin tahun 1188 H/1774 M. Kedua-duanya dimasukkan ke dalam ulama peringkat kelima disebabkan karyanya yang terkenal adalah dalam lingkungan peringkat kelima bukan dalam lingkungan peringkat keempat.

Penutup

Maka selesai perbicaraan mengenai penulisan-penulisan manuskrip pada peringkat ketiga dan keempat tersebut.

Pada artikel sebelumnya telah dinyatakan bahawa penulis membahagikan kepada 10 peringkat penulisan, maka selebihnya iaitu selain peringkat pertama hingga keempat akan diteruskan dalam ruangan yang lainnya.

dipetik dari: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1020&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

Manuskrip Islam dunia Melayu

KEBANYAKAN ulama Asia Tenggara di antaranya ada yang berperanan atau berpengaruh bukan untuk peringkat Asia Tenggara atau dunia Melayu saja, tetapi juga berperanan di peringkat antarabangsa.

Mengenai ini dapat kita bicarakan bahawa sangat ramai yang diberikan kelayakan mengajar di Masjidil Haram, Mekah, mengarang dalam bahasa Arab, menjadi imam dan khatib di Masjidil Haram, Mekah dan pemikiran yang dapat digunapakai oleh masyarakat Islam antarabangsa.

Nama mereka tetap masih diketahui oleh masyarakat Islam di seluruh Asia Tenggara kerana karya-karya mereka adalah merupakan kitab-kitab ‘turas Islami’ yang masih diajar. Mereka adalah penyambungan sanad/salasilah pengajian Islam tradisional Asia Tenggara.

Sebelum ini terdapat banyak siri-siri mengenai ulama Asia Tenggara yang telah penulis perkenalkan. Berdasarkan siri-siri ulama tersebut, maka dibahagikan pula kesemuanya kepada beberapa peringkat dengan berdasarkan karya-karya yang dihasilkan oleh mereka. Oleh itu, secara tidak langsungnya artikel pada kali ini merupakan kesimpulan siri-siri ulama yang pernah dikeluarkan, yang dilihat melalui penulisan-penulisan manuskrip.

Berdasarkan penyelidikan, penulisan meletakkan 10 peringkat perjuangan penulisan Islam oleh ulama Asia Tenggara. Namun penulis perkecilkan menjadi tiga kelompok ulama yang paling terkenal, ialah:

i) Kelompok yang terdiri daripada senarai nama: Sheikh Hamzah al-Fansuri, Sheikh Syamsuddin Sumatra-i, Sheikh Nuruddin ar-Raniri, dan Sheikh Abdur Rauf bin Ali al-Fansuri, semuanya di Aceh. Sheikh Yusuf Tajul Khalwati al-Mankatsi (Bugis), Sheikh Abdul Malik bin Abdullah Terengganu, dan Sheikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani, dan ramai lagi.

ii) Kelompok yang terdiri daripada senarai nama: Sheikh Abdus Samad al-Falimbani, Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Sheikh Ismail bin Abdullah al-Minankabawi dan Sheikh Ahmad Khatib as-Sambasi, dan ramai lagi.

iii) Kelompok yang terdiri daripada senarai nama: Sheikh Nawawi al-Bantani, Sheikh Muhammad bin Ismail al-Fathani, Sheikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani, Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, Sheikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga, Sheikh Ahmad bin Abdul Latif al-Minkabawi dan Sheikh Muhammad Muktar bin ‘Atarid Bogor, dan ramai lagi.

Peringkat penulisan ulama/tokoh Islam dunia Melayu

Penulisan Islam yang dilakukan oleh tokoh-tokoh ulama dunia Melayu adalah serentak dengan kedatangan Islam di rantau ini. Tahun berapa dan siapa sebagai pelaku pertama dalam penulisan yang berasal dari dunia Melayu sampai sekarang belum diketahui secara pasti.

Apa yang jelas terdapat batu bertulis yang dijumpai di Terengganu dan prasasti-prasasti di kubur-kubur yang dijumpai di pelbagai tempat di dunia Melayu yang membentang dari Cam (dalam Kemboja) hingga kepulauan Indonesia.

Mengenai batu bertulis dan prasasti tidak perlu dibicarakan di sini kerana sudah cukup banyak diketahui dan dibicarakan oleh para pengkaji lain. Artikel ini hanya cuba memperkenalkan pelbagai peringkat/tahap penulisan Islam dunia Melayu yang berupa risalah dan kitab saja, merupakan hasil penelitian yang penulis lakukan memakan masa yang agak lama. Untuk hal yang tersebut dihuraikan sebagai yang berikut:

Peringkat Pertama

Sebuah manuskrip dalam bahasa Arab berjudul Bahr al-Lahut karya Sheikh Abdullah Arif ada dalam simpanan penulis, manuskrip tersebut berasal dari peninggalan Sheikh Yusuf Tajul Mankatsi (Tajul Khalwati) yang berasal dari Makasar. Dipercayai manuskrip itu adalah salinan ulama Bugis yang meninggal di Afrika Selatan yang cukup terkenal itu.

Walaupun dalam manuskrip yang tersebut tidak disebut tahun berapa selesai penulisannya, namun disebabkan maklumat mengenai Sheikh Abdullah Arif dalam Seminar Masuk dan Berkembangnya Islam di Sumatera Utara pada tahun l960an ada dibicarakan tentang Sheikh Abdullah Arif (1177 M) di Aceh, tahun 1177 M, bererti memberikan maklumat bahawa risalah Bahr al-Lahut ditulis lebih dulu dari tahun 1177 M itu.

Dalam penyelidikan penulis, ternyata Sheikh Abdullah Arif berada di Aceh sekitar tahun 560 H/1165 M. Bererti penulisan dilakukan dalam lingkungan tahun 560 H/1165 M – 1177 M.

Terakhir sekali pada 30 Mei 1995, penulis terbaca pula kedatangannya pada tahun 506 M (1111 M), yang disebut oleh Dr. Azyumardi Azra dalam buku Jaringan Ulama (1994:29-30) dengan menyebut rujukan R.H. Djajadiningrat, Kesultanan Aceh, terjemahan T. Hamid, Banda Aceh: Depertemen P & K, 1982.

Selain risalah Bahr al-Lahut dalam bahasa Arab itu, terdapat lagi risalah Bahr al-Lahut terjemahan dalam bahasa Melayu. Dipercayai terjemahan Bahr al-Lahut karya Sheikh Abdullah Arif dalam bahasa Melayu tersebut telah ada dalam zaman kebesaran kesultanan Melayu-Melaka lagi.

Naskhah terjemahan telah dijumpai beberapa buah, di antaranya tersimpan dalam koleksi Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia (PMM-PNM)

Peringkat Kedua

Berdasarkan maklumat pada peringkat pertama tersebut bahawa penulisan berupa risalah atau kitab keislaman dunia Melayu telah dilakukan pada abad ke 12 Masihi (dinyatakan sebagai Peringkat Pertama berdasarkan penulisnya Sheikh Abdullah Arif berada di Aceh sekitar tahun 505 H/1111 M hingga tahun 1177 M).

Barangkali sejak kemunculan Bahr al-Lahut, penulisan berjalan terus, tetapi judul karya dunia Melayu pada abad ke l2 hingga abad ke l4 selama lebih kurang 300 tahun belum dikenal pasti. Maka Peringkat Kedua dimulai abad ke l5-l6, judul karya yang dapat dikesan ialah Sia-sia Berguna dan Tarikh Fathani. Kedua-duanya adalah karya Sheikh Shafiyuddin al-Abbasi al-Fathani.

Kandungan kitab Sia-Sia Berguna membicarakan ilmu perubatan yang ditulis dalam bahasa Melayu. Tarikh Fathani pula membicarakan sejarah beberapa kerajaan Melayu yang dimulai perbicaraannya dengan kerajaan Langkasuka.

Karya tersebut ditulis dalam bahasa Arab. Sungguhpun judulnya dapat diketahui, namun manuskrip mengenainya hingga sekarang belum dijumpai.

Perlu penulis nyatakan di sini bahawa berdasarkan sebuah salasilah keturunan Sheikh Shafiyuddin disebutkan bahawa beliau telah sampai di satu tempat di Paya Patani pada tahun l400 M. Atas keberhasilannya menyebarkan agama Islam di Patani lalu beliau memperoleh gelaran Tok Raja Faqih. Kubur beliau terdapat di Kampung Sungai Pandan, Patani.

Peringkat Ketiga

Peringkat ketiga ini memasuki era abad ke l6-l7 M, dijumpai manuskrip-manuskrip karya ulama-ulama Patani, Kedah dan Aceh. Karya yang berasal dari ulama Patani ialah Tarikh Fathani karya Sheikh Faqih Ali bin Wan Muhammad al-Abbasi al-Fathani. Beliau adalah cucu Sheikh Shafiyuddin/Dato’ Sri Raja Faqih, penyusun Tarikh Fathani dalam bahasa Arab yang telah disebut pada peringkat kedua.

Ada pun Tarikh Fathani/dalam bahasa Melayu karya Sheikh Faqih Ali adalah merupakan terjemahan Tarikh Fathani karya Sheikh Shafiyuddin yang di dalam bahasa Arab itu, tetapi menurut keterangan Sheikh Faqih Ali al-Fathani sendiri bahawa beliau telah membuat tambahan-tambahan yang banyak.

Tarikh Fathani karya Sheikh Faqih Ali al-Fathani manuskrip aslinya tidak dijumpai lagi, yang dijumpai hanyalah merupakan salinan yang dilakukan oleh seorang ulama terkenal. Beliau ialah Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Penyalinan diselesaikan pada tahun 1228 H/1813 M.

Karya ulama Patani yang lain dalam peringkat ketiga ini ialah karya Faqih Wan Musa al-Fathani. Karya beliau Ilmu Manthiq dan Ilmu Sharaf diselesaikan pada tahun 1002 H/l593 M, kedua-duanya ditulis dalam bahasa Arab, tetapi pada beberapa halaman terdapat catatan-catatan yang ditulis dalam bahasa Melayu. Manuskrip asli karya beliau yang tersebut ada dalam simpanan penulis.

Antara karya Faqih Wan Musa yang lainnya ialah berjudul As-Shawab fil Bayan, tahun selesai penulisan tidak diketahui. Manuskripnya tidak ditemui, maklumatnya diketahui hanyalah berdasarkan karya Sheikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani, iaitu seorang ulama Patani yang muncul agak kemudian daripada Sheikh Faqih Wan Musa al-Fathani.

Dijumpai maklumat biodata Faqih Wan Musa al-Fathani bahawa beliau hidup sezaman dengan Sheikh Abdul Mubin bin Jailan al-Fathani yang juga mengarang kitab tasauf. Tetapi karya beliau itu tidak sempat diselesaikan, manuskrip yang ditemui diberikan kenyataan bahawa ia diselesaikan oleh anak beliau Sheikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani.

Ulama yang berasal dari Kedah Darul Aman dalam peringkat ketiga hanya diperoleh maklumat seorang saja, beliau ialah Ahmad bin Aminuddin al-Kadi (Kedah). Sebuah risalah berjudul Ilmu Tauhid yang disalin oleh beliau dinyatakan tarikh 1032 H/l629 M. Terdapat tiga buah salinan yang menggunakan nama beliau tersimpan di PMM-PNM, sebuah di antaranya adalah dari koleksi penulis.

Ada pun ulama-ulama yang muncul di Aceh pada abad ke 16-17 sangat ramai, mereka ialah: Sheikh Hamzah al-Fansuri, Sheikh Syamsuddin al-Sumatra-i, kedua-duanya muncul dengan perbahasan tasauf yang mendalam, iaitu tasawuf ketuhanan.

Dalam informasi penelitian yang penulis lakukan, tersenarai karya Sheikh Hamzah al-Fansuri sebanyak 13 judul dan Sheikh Syamsuddin al-Sumatra-i pula sebanyak 24 judul.

Pada tahun 1991, PMM-PNM memperoleh judul-judul baru karya Sheikh Syamsuddin al-Sumatra-i, semuanya 12 judul, antaranya Risalah Jawami’ al-‘Amal.

Sebuah judul yang ada dalam koleksi penulis ialah Taukid al-‘Uqud, jadi semuanya 13 judul. Keseluruhan judul itu adalah nadir atau langka yang berkemungkinan tidak tersimpan di tempat-tempat lain.

Ulama yang berasal dari India tetapi menjalankan aktiviti penulisan di Aceh ialah Sheikh Nuruddin al-Raniri. Beliau mempunyai karangan yang banyak, dianggap tokoh ulama yang mula-mula menulis ilmu fiqh rubu ibadat dalam bahasa Melayu judul Ash-Shirat al-Mustaqim, penulisan dimulai tahun 1044 H/1634 M, selesai tahun 1054 H/1644 M.

Manuskrip kitab tersebut beberapa buah di antaranya tersimpan di PMM-PNM, Muzium Islam Pusat Islam Malaysia, dan tempat-tempat lainnya.

Karya Sheikh Nuruddin al-Raniri yang telah diketahui sebanyak 34 judul, sebagaimana pernah penulis sebutkan dalam artikel-artikel sebelum ini.

Salah seorang murid Sheikh Nuruddin al-Raniri bernama Megat Sati Ibnu Amir Sulaiman menyusun sebuah kitab yang diberi judul Syarab al-‘Arifin li Ahl al-Washilin.

Judul ini adalah nadir hanya ditemui tiga buah manuskrip saja. Satu manuskrip di antaranya tersimpan di Muzium Islam Pusat Islam Malaysia. Satu manuskrip dalam simpanan penulis, dan satu manuskrip lagi dipunyai oleh seorang tuan guru di negeri Chaiya.

Penutup

Adapun perbicaraan dalam peringkat ketiga ini belum selesai dibicarakan, maka mengenai peringkat ini disambung pula dalam artikel-artikel selanjutnya.

Disebabkan keterbatasan ruangan ini, maka peringkat-peringkat lainnya juga tidak dapat disebutkan secara sekali gus dan akan dilanjutkan pada ruangan lain.

dipetik dari:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1013&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

Kerangka Spiritual dan Pembentukan Akhlak – Panduan AhlisSunnah Wal Jama’ah

di bentang di Seminar Kerangka Teologis dan Kerohanian AhlisSunnah di Hotel Homann, Bandung, Indonesia 19hb Okt 2008

بسم الله الرحمن الرحيم

نحمده ونصلى على رسوله الكريم

KERANGKA SPIRITUAL DAN PEMBENTUKAN AKHLAK:

PANDUAN AHLISSUNNAH WALJAMA’AH[1]

OLEH:

MUHAMMAD ’UTHMAN EL-MUHAMMADY[2]

Tujuan kertas ini ialah untuk memberi gambaran tentang panduan Ahlissunnah wal-Jamaah dalam bidang kehidupan kerohanian dan juga pembentukan akhlak yang merupakan paksi dalam kehidupan beragama umat ini.Ini yang merupakan hakikat hidupnya di dunia dan alam abadinya. Kerangka ini melibatkan akidahnya, panduan akhlaknya, hidup rohaniahnya, serta kerangka hukum Syariat yang menjadi panduan menyeluruhnya.Termasuk ke dalam pembicaraan ini ialah beberapa gambaran tentang insan, hubungannya dengan Tuhannya dan juga alamnya, samaada alam dunianya dan juga alam abadinya. Mungkin akan tersentuh juga sedikit pernbincangan tentang realiti pemikiran modern yang terpaksa dihadapi oleh Muslimin dalam menjayakan hidup rohaniah dan akhlaknya itu

Hidup Kerohanian dan Akhlak Paksi Dalam Agama:

Hakikat hidup kerohanian dan akhlak berupa paksi dalam hidup beragama jelas sekali kedudukannya dari panduan Qur’an sendiri yang menyatakan realiti itu dalam doa Nabi Ibrahim a.s. yang membawa kepada lahirnya umat ini, (ربنا وابعث فيهم رسولا منهم يتلو عليهم أياتك ويعلمهم الكتاب والحكمة ويزكيهم انك أنت العزيز الحكيم) (yang bermaksud): Wahai Tuhan! Utuskanlah di kalangan mereka seorang rasul yang akan membaca kepada mereka ayat-ayat Engkau, dan mengajarkian kepada mereka Kitab dan Hikmah kebijaksanaan (Sunnah), dan yang menyucikan mereka (dari kesyirikan dan kekejian akhlak) , sesungguhnya Engkau Maha Tinggi dalam Kekuasaan lagi Maha Bijaksana”[3]. ’Yuzakkihim’ atau ’membersihkan mereka’ itu memberi pengertian yang sedalam-dalamnya berkenaan dengan kedudukan hidup kerohanian dan akhlak. Puji-pujian Allah taalah terhadap peribadi nabi Muhammad salla’Llahu ’alaihi wa sallam juga jelas menunjukkan bagaimana paling pentingnya kedudukan hidup kerohanian dan akhlak ini.Ayatnya (وما خلقت الجن والانس الا ليعبدون) bermaksud : Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepadaKu’[4] Juga hakikat ini jelas daripada ayat (الذى خلق سبع سموات ومن الارض مثلهن يتنزل الامر بينهن لتعلموا ان الله على كل شيء قدير وان الله على كل شيء علما )yang bermaksud: ’Dialah Yang menjadikan tujuh lapis langit dan bumi seperti itu juga, turun Perintah antara itu semua supaya kamu mengetahui bahawa Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu dan bahawa Allah Maha meliputi segalanya dengan IlmuNya”.[5]Kemudiannya hadith-hadith tentang Isra’ Mi’raj sebagaimana yang dicatitkan oleh Tafsir ibn Kathir dalam hubungan dengan huraian tentang maksud ayat pertama Surah Bani Isra’il menunjukkan dengan cara yang paling gemilang sekali bahawa hidup kerohanian dan akhlak merupakan perkara yang pokok dalam agama ini, dan ini hakikat yangt paling penting dalam ajaran Ahlissunnah waljamaah.

Dalam tafsir Qur’an dalam kalangan Ahlissunnah, huraian berkenaan dengan ’wa yuzakkihim’ –dan ia menyucikan mereka – ini dhuraikan dengan baiknya oleh al-Baidawi termasuk hasyiahnya oleh Syeikh Zadeh]

Dalam Surah al-Baqarah ayat 30 dinyataan bahawa penciptaan Adam sebagai khalifah itu diikuti dengan ayat (وعلم أدم الاسماء كلها)yang bermaksud :Dan Allah mengajarkan kepada Adam segala nama”[6]

Dalam hasyiah Zadeh pada Baidhawi[7], berkenaan dengan Adam dijadikan khalifah itu, katanya : ‘Maksudnya ialah Adam alaihissalam itu khalifah, iaitu khalifah Allah pada bumi …dalam mengimarahkan bumi dan menjalankan siasah umat manusia serta menyempurnakan sifat-sifat jiwa mereka (ertinya membersihkan jiwa dan diri mereka daripada sifat-sifat yang jahat) (عمارة الارض وسياسة الناس وتكميل نفوسهم وتنفيذ أمره فيهم )

Dan disebutkan oleh al-Baidhawi itu bukan kerana Allah memerlukan kepada yang demikianm itu, tetapi itu adalah untuk manusia.

Syeikh Zadeh dalam komentarnya menyatakan : Seolah-olahnya Allah berfirman kepada para malaikat itu :Wahai para malaikat sesungguhnya Aku akan menjadikan di bumi khalifah yang akan berada di kalangan mereka menjalankan hukumKu antara ahli bumi dan menzahirkan HukumKu ; dan firman Allah yang menguatkan erti ini ialah firmanNya kepada Daud as (bermaksud): Sesungguhnya Kami jadikan engkau wahai Daud sebagai khalifah di bumi, oleh itu putuskanlah hukum antara manusia dengan sebenarnya,’ Ia men jadikan Daud as sebagai khalifahNya bagi menghukumkan penduduk bumi dengan hukum yang hak. [8]

Tentang ayat 31 Surah al-Baqarah , berkenaan dengan Adam as diajarkan semua nama-nama oleh Tuhan, kata Baidhawi[9] : ertinya bahawa Allah menjadikan Adam as itu daripada bahagian-bahagian yang berlainan dirinya itu dan kekuatan-kekuatan yang berbeza-beza yang menjadikan beliau itu tersedia untuk mencapai pelbagai jenis (pengetahuan yang boleh) dicapai terdiri daripada perkara-perkara jenis yang boleh ditanggapi oleh akal (al-maqulat), pancaindera (al-mahsusat), melalui daya khayal (yang murni) (al-mutakhayyalat) , melalui sangkaan waham (yang murni ) (al-mauhumat) dan Ia mengilhamkan kepada Adam itu pengetahuan tentang zat-zat segala perkara (‘all substances’) dan keistimewaan-keistimewaannya, (selain daripada) nama-namanya, dan dasar-dasar semua ilmu pengetahuan dan kaedah atau aturan-aturan pertukangan dan ketrampilan serta cara-cara alatnya (menjalankan tugasnya) (من المعقولات والمحسوسات والمتخيلات والموهومات والهمه معرفة الاشياء وخواصها واسماوءها وأصول العلوم وقوانين الصناعات وكيفية الاتها )

Tentang hakikat tersiap sedianya insan dengan pelbagai ciri dan sifat itu serta kemampuan dan potensinya kata Syeikh Zadeh :’Maka terhasillah bagi manusia itu dengan kadar pelbagai susunan badannya dengan unsur-unsurnya perbuatan-perbuatan yang berlain-lainan (jenisnya) antaranya, dengan perbuatan-perbuatan yang berlainan itu seperti menulis, menjahit, berniaga, dan lain-lain kemahiran (al-sina’at) , dan tiap-tiap satu daripadanya itu tidak ada pada malaikat, kerana mereka tidak ada tubuh badan yang tersusun daripada pelbagai juzuk yang berlainan yang timbul daripadanya kekuatan-kekuatan jasmani yang berlain-lainan , berserta dengan indera-indera lahiriah dan indera-indera batin; dengan itu tidak ada pada malaikat itu pencapaian-pencapaian yang berlain-lainan itu. Maka perkara yang terkesan dengan pancaindera itu tidak boleh dicapai melainkan khususnya oleh makhluk yang mempunyai hajat dan kerja-kerja hidup badaniah ; dan itu tidak dilakukan melainkan oleh makhluk yang tersusun kejadiannya seperti susunan insan terdiri padanya daripada kekuatan-kekuatan badaniah, yang berlainan, dan tidak layak memegang martabat khilafah di bumi itu melainkan makhluk yang terhimpun secara menyeluruh pada dirinya semua kekuatan-kekuatan insaniah dan kemalaikatan . [10]

Tentang potensi-potensi yang ada pada manusia yang ajaib itu, Syeikh Zadeh menghuraikannya lagi : Potensi-potensi itu (untuk mencapai pelbagai ilmu teori atau amali serta ketrampilan itu) tidaklah tinggal sebagai potensi sahaja, bahkan kesempurnaannya terzahir jelas menjadi kenyataan (dalam kehidupan manusia di dunia ) bila Adam diilhamkan dengan pengetahuan tentang zat segala sesuatu, yakni hakikat-hakikatnya (rupanya hakikat-hakikat boleh dicapai mengikut pandangan Syeikh Zadeh) yang tiap-tiap satu daripadanya itu berlainan daripada yang lain daripadanya, serta pengetahuan tentang apa-apa yang khusus tentang sifat-sifat sesuatu dan faedah-faedah serta bahaya-bahayanya, dengan pengetahuan tentang nama-namanya, yakni nama-nama yang diguna untuk menyebutnya, serta dasar-dasar cawangan-cawangan pengetahuan (معرفة أصول العلوم) yakni kaedah-kaedahnya yang am (atau universal), dan kaedah-kaedah pertukangan-pertukangan atau kemahiran-kemahiran , yakni perkara-perkara yang bersifat sarwajagat (الامور الكلية) yang diperlukan dalam kemahiran-kemahiran (termasuk teknologi) dan kepandaian.[11]

Yang dikatakan kerangka hidup kerohanian itu ialah ajaran dan amalan yang menyentuh kehidupan manusia dalam menjayakan dan menjaga identiti rohaniahnya yang menjadi paksi bagi dirinya.Kalau kita merujuk kepada psikologi rohaniah sebagaimana yang dihuraikan oleh Imam al-Ghazali rd dalam ’Ihya’nya, kita dapati ada empat istilah yang digunakan bagi melafazkan identiti kerohanian mmanusia. Istilah-istilah itu ialah al-qalb, al-nafs, al-’aql, dan al-ruh.[12] Pada Imam al-Ghazali rd inilah yang merupakan zat insaniah itu sebenarnya; badan itu adalah sebagai ’sarang’ sementara bagi rohnya itu sewaktu berada dalam alam dunia ini.

Misalnya yang dikatakan ’qalb’ itu atau hati ialah daging yang berupa seperti buah sanaubar yang berada di kiri dada manusia; bagaimanapun yang ditumpukan dalam hati dalam erti yang dimaksudkan ini ialah hati bangsa rohaniah yang berkait dengan hati yang b erfisat fisikal itu; beliau menyatakan bahawa inilah yang dimaksudkan oleh nabi salla’Llahu alaihi wa sallah ; Sesungguhnya dalam dada anak Adam itu ada segumpal daging, kalau ia sejahtera maka sejahteralah seluruh diri orang yang berkenaan dan kalau ia rosak maka rosaklah seluruh diri orang yang berkenaan itu; ia adalah hati (ala wa hiya al-qalb’).

Yang dimaksudkan al-nafs itu ialah jiwa manusia, yang katanya yang menyebab ia ada perasaan dan keinginan; tetapi katanya yang ditumpukan dalam perbincangan yang dikehendaki ini ialah sesuatu yang bersifat kerohanian yang ada pada ’nafs’ atau jiwa itu; inilah segi yang diambil kira dengan sehabis-habis seriusnya dalam perbincangan tentang tang gungjawab manusia dalam agama.Aspek kerohanian yang berkenaan dengan al-nafs ini ialah zat bukan benda yang halus dan yang dinisbahkan kepada Tuhan yang ada pada manusia (latifah rabbaniyyah au ruhaniyyah); inilah paksi manusia yang sebenarnya; inilah yang dimaksudkan dalam Qur’an dalam ayat (قد أفلح من زكاها وقد خاب من دساها)(yang bermaksud): Berjayalah orang yang membersihkan jiwanya dan rugilah orang yang mengotorkannya”[13];

Istilah ’al-’aql’ memaksudkan, secara ringkasnya keupayaan batin yang ada pada diri manusia yang menyebabkan ia memahami ilmu pengetahuan dan makna-makna serta erti-erti dalam perkataan dari percakapan manusia ataupun apa-apa yang disebutkan dalam nas-nas agama yang datang dari Tuhan Pencipta alam.

Satu lagi ialah istilah ’al-ruh’ yang merujuk kepada sesuatu yang ada pada manusia yang menyebabkan ia hidup, dan itu berkait dengan darah dan perjalanannya; selain dari itu Imam al-Ghazali rd menyatakan bahawa yang dimaksudkan dalam istilah roh yang dikehendaki ini ialah zat yang bukan kebendaan dalam diri manusia itu yang menyebabkan ia boleh mengalami perhampiran dengan Tuhan dan bermesra denganNya.

Akhirnya, pada beliau ke –empat-empat istilah itu walaupun dalam segi-segi tertentu boleh memberi erti yang berlain-lainan, pada hakikatnya dari segi yang dikehendaki di sini ia merujuk kepada entiti yang sama sahaja; ia adalah zat bukan benda atau zat kerohanian yang halus yang dinisbahkan kepada Tuhan; dialah yang merupakan ’aku’ yang sebenarnya dalam manusia. Inilah zat kerohanian, yang dinisbahkan kepada Tuhan yang menjadi tempat tuju kepada percakapan-percakapan atau perinbtah-perintah dalam agama, sama ada wahyu Tuhan ataupun kenyataan dari Nabi salla’Llahu ’alaihi wa sallam.

Paksi kerohanian manusia ini adalah zat yang datang dari alam Perintah Tuhan, (’alam al-amr), bukannya dari alam ciptaan (alam al-khalq) yang ada benda-benda ciptaan Tuhan padanya.Dari segi ontologisnya alam amr itu alam yang ’rapat’ dengan Tuhan, alam khalq itu ’jauh’ dariNya. Badan manusia datang dari alam al-khalq, rohaninya datang dari alam al-amr.Di dunia ini kedua-dua unsur itu tergabung dalam diri manusia untuk menjayakan hidupnya sebagai hamba Tuhan dan khalifahNya.[14]

Maka hidup kerohanian manusia ialah hidup yang menjayakan dan menyuburkan dirinya yang rohaniah ini, disertakan dengan perlaksanaan hidup jasmaninya, yang menjadi kerangka untuk hidup rohaniah itu; itulah yang menentukan harga diri, kejayaan hakiki, dan erti hidupnya yang hakiki dalam hubungan dengan dirinya sendiri, dengan makhluk lain dan, di atas sekeliannya, hubungannya dengan Tuhannya. Kegemilangan dan kebahagiaan hidupnya yang hakiki terletak pada kejayaan hiodupnya yang sedemikian.

Panduan Dalam Aqidahnya:

Hidup kerohanian dalam erti yang demikikan sudah tentu berlaku dalam kerangka akidah yang sohih sebagaimana yang ada dalam Ahlissunnah wal-jamaah. Sebab itu ditekankan perkara-perkara pokok dalam rukun iman, sebagaimana yng dijelaskan dalam permulaan Surah al-Baqarah dan ayat-ayat yang seterusnya yang membahagi-bahagikan manusia ke dalam kategori-kategori mereka yang beriman, yang kafir dan yang munafik; mereka yang selamat dengan tugas-tugas rohaniahnya dan akhlak serta hukumnya ialah orang-orang yang beriman dan beramal solih dan bertaqwa.Ini jelas dari ayat-ayat (ذلك الكتاب, لا ريب فيه , هدى للمتقين, الذين يؤمنون بالغيب ويقيمون الصلاة ومما رزقنهم ينفقون, والذين يؤمنون بما أنزل اليك وماأنزل من قبلك وبالاخرة هم يوقنون, أولئك على هدى من ربهم وأولئك هم المفلحون) yang bermaksud:

”Ini Kitab (Qur’an) yang tidak ada keraguan padanya; bimbingan bagi mereka yang bertaqwa (iaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan sembahyang, dan membelanjakan {pada Jalan Allah] apa yang Kami kurniakan sebagai rezeki kepada mereka, dan mereka beriman kepada apa yang diturunkan kepada Engkau wahai Muhammad dan apa yang diturunkan kepada mereka sebelum engkau, dan mereka yakin tentang hari akhirat.Mereka itulah orang-orang yang berada dalam hidayat dan mereka itulah orang-orang yang berjaya .”[15]

Hakikat kehidupan rohaniah dan akhlak mesti berasaskan akidah yang sahih ini dinyatakan lagi dalam ayat yang bermaksud: ”Bukanlah mengadap wajahmumu ke timur dan ke barat itu kebaktian [sendirinya], akan tetapi sesungguhnya kebaktian itu ialah kebaktian orang yang beriman kepada Allah, hari kemudikan, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi, dan memberi harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan bantuan), dan orang-orang yang meminta sedekah, dan(memerdekakan) hamba-sahaya, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, dan orang-orang yang menepati janjinya bila ia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan , penderitaan dan dalam peperangan,.Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya), dan mereka itulah orang-orang yang bertaqwa”.[16]

Mereka adalah orang-orang yang mempunyai keimanan yang sohih dalam Ahlissunnah, sebagaimana yang jelas dari hadith-hadith tentang perpecahan umat kepada 73 itu, dan pernyataan ijma’ tentang ini dalam ’Maqalat’ oleh al-Asy’ari rd, ’Aqidah Tahawiyyah’ oleh al-Tahawi, ’Al-Fiqhul-Akbar’ oleh Imam Abu Hanifah, ’Al-Tamhid’ oleh al-Baqillani, ’al-Farq Bainal-Firaq’ oleh al-Baghdadi, ’al-Milal wa al-Nihal’ oleh Syahrastani, ’al-Iqtisad fil-I’tiqad’ oleh al-Ghazali, demikianlah sampai kemudiannya ke zaman Syah Waliyullah al-Dihlawi, sebagaimana yang ternyata dalam ’al-Khair al-Kathir’nya antara lainnya, dan ’al-Aqa’id’ oleh Hasan al-Banna (kalau hendak disebutkan bentuk popularnya). Ini semua menunjukkan kemestian akidah Ahlissunnah sebagai kerangka untuk kehidupan rohaniah dan akhlak yang diakui.Hidup rohaniah yang berkembang dalam rangka akidah inilah yang berlaku keberkesanannya sebagaimana yang dikehendaki, yang di luar daripadanya berlaku dalam kerangka yang diragui penerimaan dan keberkesanannya.

Panduan Hidup Rohaniahnya:

Sebagaimana yang disebutkan di atas, kerangka keimanan dalam akidah Ahlissunnah adalah kemestian yang wajib dipenuhi; hidup rohaniah dan akhlak yang berlaku dalam rangka ini diterima dan berkesan operasinya. Maka dalam rangka inilah mesti berkembangnya hidup kerohanian dan akhlak umat yang beriman.

Apakah hidup kerohanian itu? Hidup kerohanian itu ialah hidup yang menyuburkan dan menjayakan manusia bermula dengan dirinya sendiri, paksi dirinya, iaitu jiwanya (al-nafs), hatinya (al-qalb), akalnya (al-’aql) dan rohnya (al-ruh). Sebagaimana yang boleh dilihat dalam kitab ’Ihya’ ’Ulum al-Din’[17] diri manusia yang sebenar itu ialah apa yang diungkapkan oleh istilah-istilah ini; walaupun dari segi penekanan-penekana tertentu ke empat-empat istilah ini menunjukkan kelainan erti[18], pada hakikatnya semuanya merujuk kepada zat manusia yang satu itu sahajlah, ’raja’ yang dimaksudkan dalam hadith sohih, bila ia sejehtera maka sejahtera diri manusia seluruhnya, kalau rosak rosaklah manusia seluruhnya; ia adalah kalbu; ia zat kerohanian, yang bukan benda, yang dinisbahkan kepada Tuhan, yang menjadi tumpuan kepada suruhan agama; ia adalah keakuan manusia yang sebenarnya.

Hakikat ini berkait dengan hakikat manusia yang ditiupkan ke dalam dirinya ’roh’ dari ciptaan Tuhan, sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat yang bermaksud : ”Maka bila Aku membentuk tubuh badannya dan kelengkapan dirinya]nya dengan sempurna dan menghembuskan ke dalam dirinya roh yang Aku ciptakan untuknya, maka kamu hendaklah sujud kepadanya (wahai para malaikat).[19]Peniupan roh insaniah ini memuliakannya, sehingga disuruh malaikat sujud kepadanya sebagai sujud memuliakannya bukan sujud ibadat kepadanya. Ini pula berkaitan dengan ayat yang menyebutnya sebagai diciptakan untuk menjadi khalifah di muka bumi dan diajarkan kepadanya nama-nama segala benda.[20] Dalam hasyiah Syeikh Zadeh terhadap tafsir Baidawi disebutkan bahawa pengajaran nama-nama oleh Tuhan inilah yang menyiapsediakan Adam-umat manusia- untuk mengambil bahagian dalam semua jenis dan cara mengetahui (all manner of knowing).Maka tersedialah dia-secara potensinya- untuk mengambil bahagian dalam cara mengetahui secara teori, amali, yang berfaedah, yang mudarat, yang kekal abadi, yang sementara, mengetahui yang akli, yang khiyali, yang rohani, jasmani, dan seterusnya. Inilah yang merupakan persiapan diri insan untuk mengambil bahagian dalam pembentukan hidup rohaniah dan akhlak yang setingginya. Dan ia mencapai perhampiran dengan Tuhannya melalui ianya mengamalkan sifat-sifat yang tinggi-tinggi dan mulia-mulia dengan mengambil pengajaran daripada erti-erti pada nama-nama Tuhannya Sendiri.[21]

Maka dalam hidup kerohaniannya ia melakukan ibadat seperti sembahyang dengan menyempurnakan syarat-syarat, rukun-rukun, juga adab-adabnya lahirnya dan batinnya. Ia menyempurnakan rukun-rukun takbir, niat, qiyam, ruku’, sujud, dan seterusnya sampai kepada salam.Ia menyempurnakan bacaan-bacaannya; tasbih-tasbih dan tahmid-tahmidnya; Ia tadabbur tentang erti-erti bacaan-bacaannya demikian seterusnya.Ia ada tama’ninahnya dan khusyu’nya yang menjadi satu daripada syarat-syarat kejayaan hakikinya sebagaimana yang disebut dalam surah al-Mukninun itu (’Berjayalah mereka yang khusyu’ dalam sembahyangnya…yang mengelak daripada yang sia-sia…yang bersih hidup kelaminnya, yang menunaikan amanah-amanah dan janjinya…yang menjaga sembahyangnya…mereka mewarisi Syurga Firdaus dst.[22]

Ia melakukan puasa dan menunaikan zakatnya dengan cara yang ada dalam hukum Syara’ pada Ahlissunnah, serta ia menunaikan syarat-syarat, rukun-rukun, adab-adabnya, dengan niat yang betul dan ikhlas; dengan demikian berjayalah ia dalam hidup kerohaniannya.

Demikian pula ia melakukan zikir dan wirid-wirid serta doa-doanya; maka hiduplah ia dalam jaringan suara dan gelombang suci bacaan Qur’an, wirid, zikir dan doa seolah-olah seperti bernang ikan dalam air dan terbang burung diangkasa. Harmonislah ia dengan alam semesta yang berada dalam tasbih dan zikir dengan bahasanya sendiri memuji dan membesarkan Tuhan sebagaimana yang dinyatakan oleh Qur’an dalam ayat yang bermaksud :Apa yang ada di langit dan di bumi (semuanya) bertasbih mengagungkan Tuhan Raja Yang Maha Suci, Maha Tinggi Dalam kekuasaanNya, lagi Maha Bijaksana”.[23]

Dalam ayat lain pula terdapat kenyataan yang bermaksud: ”Bertasbih kepadaNya apa yang ada di tujuh petala langit dan bumi; dan tidak ada sesuatu [dalam alam semesta] melainkan ia bertasbih memujiNya, tetapi kamu tidak memahami tasbih mereka.Sesungguhnya Ia Maha Penyantun lagi Maha Mengampuni.”[24] Demikianlah seterusnya realiti tentang alam semesta dengan ibadatnya yang tersendiri masing-masingnya. Maka bila manusia sebagai khalifah Tuhan dan hambaNya melakukan ibadat ia harmonis dengan alam ini; maka ini pula harmonis dengan ibadatnya yang berupa sebagai ringkasan bagi ibadat sekelian makhluk Ilahi.Tentang ibadat manusia sebagai ikhtisar ibadat sekelian makhluk ini –khususnya sembahyang- ini menjadi tajuk yang selalu diulang-ulang oleh pendakwah agung Turki itu , iaitu Cbadiuzzaman Sa’id Nursi rh.[25]

Panduan Pembentukan Akhlaknya:

Panduan atau kerangka pembentukan akhlak dalam Ahlissunnah ialah usaha dan proses yang berlaku dalam panduan Qur’an, Sunnah, ijma’ dan pengelaman mereka yang muktabar dalam pembentukan akhlak. Antara teks panduan yang paling terkemuka dalam Ahlissunnah waljamaah ialah Ihya’ ’Ulumiddin oleh Imam al-Ghazali rd.

Dalam kitab ini yang dibahagikan bahagn-bahan perbincangannya ke dalam empat jilid besar, dibicarakan ilmu, kepentingannya, akidah dan kepentingannya, ibadat-ibadat dan kepentingannya, dengan syarat-syarat rukun dan adab-adabnya lahir batin.

Dalam pembahagian ilmu-ilmu dibahagikan ilmu kepada ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah yang sangat asasi pembahagiannya itu.Dihuraikan ilmu-ilmu fardhu kifayah yang bersangkut dengan cawangan-cawangan yang penting untuk pembangunan dan kejayaan hidup masyarakat, negara dan umat. Prinsip yang demikian masih perlu dipakai sampai sekarang.

Dihuraikan di dalamnya aqidah Ahlissunnah waljamaah, dan disebutkan di dalamnya aqidah yang bercanggah dengannya demi untuk menjaga umat dalam aqidah yang sahih dan benar.Pendeknya al-Ghazali rd terkenal dengan jasanya mempertahankan aqidah Ahlissunnah dalam mendepani akidah-akidah yang menyeleweng, sesat., kufur dan seterusnya beliau memberi jawapan kepada kesilapan-kesilapan falsafah zamannya.Panduannya dalam bidang ini kekal diperlukan sampai sekarang, dan kerangkanya boleh digunakan bagi mendepani pemikiran-pemikiran yang menyesatkan masakini, baik yang datang dari Barat atau dari dalam masyarakat Islam sendiri.Biografi intelektuilnya dalam ’al-Munqidh’ dengan jelas memberi bokti kepada kita tentang fahamannya yang tajam dan tepat tentang soal-soal intelektuil zamannya. Demikian juga kitabnya ’Tahafut al-Falasifah’ dan ’Maqasid al-Falasifah’ itu.

Dalam hubungan dengan ibadat seperti sembahyang, puasa, zakat dan haji, membaca Qur’an dan berwirid beliau memberi penerangan yang memadai tentang itu semua dengan menyentuh soal-soal rukun dan syarat, soal adab-adab zahir dan batin dan huraian-huraian berkenaan dengan maksud-maksud ibadat itu semua.Itu semuanya menyempurnakan hidup akhlak manusia dan kerohaniannya.Panduan demikian kekal kepentingannya sampai sekarang.

Dalam menyentuh soal-soal amalan seperti sembahyang misalnya, beliau bukan sahaja menerangkan kepentingan syarat-syarat rukun yang wajib dan sunatnya, bahkan beliau menyentuh misalnya keperluan kepada: adanya hadhir hati, dan seterusnya, wacana Ghazali dalam ibadat, tentang keperluan mengerti makna bacaan-bacaan di dalamnya, merasa takut kepada Tuhan di dalamnya, merasai takzim terhadapNya, menumpukan harapan setingginya kepadaNya dan merasai malu terhadapNya.Ini melengkapkan kesempurnaan sembahyang zahir dan batin. Demikianlah dengan ibadat-ibadat lainnya.

Dalam soal membentuk akhlak manusia beliau berbicarakan pembentukannya dan perlaksanaannya dalam hidup berkeluarga, berjiran, bersahabat, bergaul dalam masyarakat, dalam berjual beli, bahkan dalam melaklukan profesi dan dalam bermusafir.Beliau sampai berbicara tentang akhlak dalam mendengar syair dan bunyi-bunyian dan musik dalam kitab al-sama’ jilid ke dua Ihya’.

Di Nusantara ini dibicarakan dengan panjang lebar dan nyata oleh Syeikh ’Abd al-Samad al-Falimbani rh dalam ’Sayr al-Salikin’nya yang terkenal itu. Dalam jilid pertama dibicarakan soal ilmu, akidah Ahlissunnah , dan ibadat-ibadat, dalam jilid kedua dibicarakan amalan-amalan di bawah tajuk adat, termasuk makan minum, berusaha, bermusafir, dan seterusnya.Dalam jilid ketiga dibicarakannya sifat-sifat yang membinasakan jiwa dan roh manusia; dalam jilid keempat dibicarakan sifat-sifat yang menyelamatkannya. Huraian ethika rohaniahnya kekal relevan sampai sekarang. Termasuk ke dalam bahagian ini ialah cara-cara mengubah diri ke arah kebaikan semakin lama semakin tinggi melalui tahap-tahap yang boleh diamalkan oleh semua orang, baik yang berada dalam tarekat sufiah atau orang yang tidak berada dalam tarekat sufiah.

Dalam membentuk akhlak beliau berbicara tentang psikologi rohaniah yang memberi gambaran tentang jiwa manusia dengan khazanah kekayaan batin sebagai potensinya, dan bagaimana khazanah kekayaan lahir dan batin diri manusia ini dijadikan modal yang paling bernilai bila akhlak terbentuk dengan baiknya. Misalnya beliau memberi gambaran tentang sifat-sifat yang jahat yang mencacatkan wajah manusia : takabur, dengki, marah, dendam, gila pangkat dan harta, serta kemasyhuran nama, tamak haloba, ria dan takbur, suka kepada pujian demikian seterusnya; diberikannya penjelasan tentang jeleknya sifat-sifat itu dan bagaimana caranya menghapuskan sifat-sifat jahat itu dengan pengetahuan, latihan amalan dan tafakur. Ini semua masih kekal keperluan manusia kepadanya dan usaha menghapuskannya.Penjelasannya menunjukkan pengamatan psikologis yang sangat halus, tepat serta tajam.Generasi sekarang masih memerlukan panduan ini, walau apa juga yang dibicarakan oleh pemikiran modernis dan pascamodernis.

Kerangka Umum Hukum Syariat Yang Merangkumi Segalanya:

Memang dalam Islam segala-galanya berjalan dalam kerangka Syariat yang tidak boleh dipertikaikan lagi.Semua perkara termasuk di bawah hukum yang lima tanpa kecuali: hukum wajib, sunat, harus, makruh, dan haram. Ini terang bagi semua mereka yang mempunyai pengetahuan tentang Islam.

Insan Dengan Tuhannya dan Alamnya

Dalam ajaran Ahlissunnah hubungan manusia dengan Tuhan boleh dilihat dari beberapa dimensinya: umpamanya dimensi manusia sebagai hamba Allah yang wajib taat kepada titah perentahNya, sama ada perintah yang wajib atau perintah tentang yang haram, yang harus, sunat, atau makruh.

Ia adalah khalifah Tuhan di muka bumi, dalam erti ia diamanahkan untuk mengimarahkan bumi ini dengan menjalankan kehendakNya dalam semua aspek kehidupannya, daripada membina hidup peribadi sampai kepada kehidupan kolektif , budaya dan ketamadunan. Dalam segi yang lebih lagi daripada itu, ia adalah wakil atau jurubicara sekelian makhluk dengan kedudukannya, sifat-sifatnya yang mempunyai rin gkasan bagi sifat-sifat makhluk seluruhnya; dengan itu kedudukannya adalah kedudukan seperti titik tengah bulatan alam semesta; sebab itu bila ia melakukan hidup ubudiahnya dan kerohaniannya ia mempunyai implikasi mewakili sekelian makhluk semuanya. Perlaksanaan tugas rohaniahnya adalah ’mewakili’ sekelian makhluk. Sebab itu dinyatakan dalam haditi sahih bahawa alam ini kiamat atau hancur bila tidak ada lagi yang menyatakan ’Allah, Allah, Allah’.

وَلِمُسْلِمٍ ” لَا تَقُوم السَّاعَة عَلَى أَحَد يَقُول اللَّه اللَّه ” وَهُوَ عِنْدَ أَحْمَد بِلَفْظِ ” عَلَى أَحَد يَقُول لَا إِلَه إِلَّا اللَّه

Riwayat Muslim: Tidak berdiri kiamat atas seorang yang berkata ’Allah, Allah, Allah, pada riwayat Ahmad lafaznya ’atas seorang yang berkata ’la ilaha illah’llah’

(Hadis Muslim dan hadis riwayat Ahmad dinukil dalam Fath al-Bari dalam syarahanya tentang hadith al-Bukhari no 6540 di bawah tajuk ’zuhur al-fitan’ dalam berbicara tentang fitnah akhir zaman)

Bahkan alam ini dijadikan dengan matlamat untuk melaksanakan ’taskhir’ untuknya, sebagaimana yang ternyata dalam ayat-ayat yang menyebutkan ’taskhir’ alam semesta baginya, apa yang ada di langit dan di bumi di’taskhir’ baginya; matahari, bulan dan bintang di ’taskhir’ untuknya; lautan dan sungai-sungai semuanya di ’taskhir’ untuknya[26]. Tujuannya supaya ’taskhir’ alam untuknya ini digunakan bagi menjalankan kehendak Tuhan di alam ini, mengamalkan hukum-hukumNya, juga menyatakan kebesaran Ilahi. Sebab itu ternyata dalama ayuat yang bermaksud: ’Dialah yang menjadikan tujuh lapis langit dan bumi seperti itu juga; turun Perintah antara semua itu supaya kamu mengetahui bahawa Allah berkuasa atas segala sesuatu dan bahawa Ia meliputi segala sesuatu dalam IlmuNya’.[27]

Dari dimensi yang lain pula ia disuruh supaya membentuk peribadinya berdasarkan kepada pengajaran yang didapati daripada erti-erti yang ada dalam nama-nama dan sifat-sifat Tuhannya.kalau Tuhan maha mengetahui, ia dikehendaki menjadi hamba yang berilmu; kalau Tuhan adalah adil maka ia dituntut untuk menjadi hamba dan khalifah yang adil; kalau Tuhan adalah kuat, ia dituntut membina yang kuat sebagai hamba dan khalifahNya dalam berhadapan dengan kejahatan damn kepalsuan dalam atau di luar dirinya. Kalau Tuhan Maha halus tadbirNya dan DiriNya, manusia disuruh membina peribadi yang halus dan tadbir urus yang halus sifatnya dengan keberkesanannya, demikian seterusnya; kalau Tuhan Maha mengasihani manuisia sebagai hamba dan khalifahNya disuruh supaya berlaku kasihan belas terhadap makhluk. Ini antaranya dihurai dalam hubungan dengan kenyataan yang terkenal ( تخلقوا باخلاق الله) yang bermaksud ’Binalah peribadimu [dengan mengambil pengajaran ] mengikut akhlak-akhlak Allah’. Bagaimanapun Tuhan adalah Tuhan, manusia adalah manusia, makhluk dan hambaNya bahkan khalifahNya di muka bumi.

Maka pada manusia alam adalah tempatnya berusaha, beriman, beramal, dan menyatakan kehambaannya dan kekahalifahannya. Alam adalah untuknya menjalankan amar makruf dan nahi munkar; alam adalah tempat ujiannya supaya akhirnya ia bertemu dengan Tuhannya sebagai nafs al-mutma’innah atau yang hampir dengan sifat itu; tetapi jangan sebagai pengkhianat atau penderhaka. Alam adalah tempatnya menempah kejayaan menggunakan alam sebagai ’ladang untuk akhirat’nya. Alam juga adalah ’tempat’ ia melihat sifat-sifat Tuhan dan perbuatan-perbuatanNya, kerana alam ini menunjukkan kepada Sifat-sifat, Nama-nama dan perbuatan Tuhan, sebagaimana rumah atau mahligai yang tersergam dan indah menunjukkan tuan yang mahir membina mahligai atau rumahnya. Dengan memerhatikan rumah atau mahligai yang indah sampai ke tahap ’zauq’ penuh penghayatan, lama-lama seolah-olah tidak terlihat lagi mahligai atau rumah, yang terlihat adalah pernyataan sifat-sifat, nama-nama, dan perbuatan tuannya dan pembuatnya yang sedemikian mahir dan penuh hikmat kebikjaksanaannya.

Kerangka fahaman ini masih relevan dan diperlukan sekarang secara dharuri –tidak boleh tidak-untuk menyelamatkan manusia daripada menjadi mangsa sifat rakusnya dan hasil-hasil perbuatan tangannya sendiri yang mencelakakan[28]. Na’udhu billahi min dhalik.

Insan Dalam Ahlissunnah Waljamaah Mendepani Cabaran pemikiran Modern

Insan dalam Ahli Sunnah waljamaah –termasuk insan di Dunia Melayu-berhadapan dengan pemikiran modern dan pascamodern dengan penuh keyakinan tentang kerangka hidup rohaniah dan moralnya yang keabsahannya dan kelangsungannya terjamin oleh nabi SAW sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith sahih ( لاتزال طائفة من أمتى ظاهرين على الحق حتى تقوم الساعة لايضرهم من خالفهم ) yang bermaksud ’Terus menerus akan ada dalam umatku ini golongan yang tertonjol menang dalam kebenaran sampai berdirinya kiamat; mereka yang menyalahi golongan ini tidak memudaratkan mereka’[29]. Asas kekuatan kerangka ini adalah Qur’an dan Sunnah sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith yang bermaksud:’Kamu tidak akan tersesat selama-lamanya selagi kamu berpegang kepada dua perkara :Kitab Allah dan Sunnah rasulnya’ yang terhurai mengikut ijma’ mereka yang ahli dalam umat ini, sebagaimana yang disepakati dalam Ahlissunnah waljamaah.

Pemikiran modern dan pascamodern[30] dengan elemen-elemennya tidak mampu memusnahkan kerangka Ahlissunnah ini yang sudah bertahan lima belas abad ini; ia akan terus menerus bertahan selama mana manusia memahaminya dan berpegang kepadanya; nampaknya inilah kerangka yang paling stabil dalam sejarah dunia sampai sekarang.Muslimin di Nusantara dan seluruh dunia mesti kembali kepada kerangka ini, yang pada wajah amnya penulis yang dhaif ini menyebutkan : ia terdiri daripada wacana agung (’grand narratives’_) yang suci yang dihuraikan oleh para imam seperti al-Asy’ari dan al-Maturidi rd dalam akidah, Imam Syafie dan lain-lain imam mujtahidi dalam hukum Syara’, al-Ghazali rd dan yang sepertinya dalam hidup akhlak, kerohanian dan falsafah [kalau dalam zaman moden abad ke 20 penulis ini memasukkan Said Nursi rh ke dalamnya], dan ibn Khaldun rh dalam bidang budaya dan peradaban [dalam zaman moden ini diikuti oleh Malik bennabi].Dengan kerangka ini-dengan tambahan-tambahan dari perkembangan mutakhir yang diperlukan dalam perkembangan budaya- Muslimin dalam Ahlisunnah boleh mendepani apa-apa falsafah dan aliran sekalipun; ia akan menang dan mencapai kebahagiaan yang hakiki dan kejayaannya.Yang diperlukan ialah kesediaan untuk memahami dengan ikhlasnya dan menerima wacana ini dan meyakininya serfta beramal dengannya. Kejayaan akan terjamin.Amin.Wallahu a’lam.


[1] Untuk pembentangan di Bandung dalam Seminar Serantau Tentang Reformasi Pemikiran anjuran Bersama YADIM dan Golongan Islam Moderat Indonesia, pada 17 Oktober 2008

[2] Penulis adalah Fellow Amat Utama Akademik, ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam), IIUM, Ahli Lembaga Pengarah IIM, Ahli Pemegang Amanah Yayasan Karyawan,

[3] Al-Baqarah:129.

[4] Al-Dhariyat:56.

[5] Al-Talaq:12.

[6] Al-Baqarah: 31.

[7] Jld I hlm. 241

[8] Ibid. jld 1 hlm 241)

[9] Jld I hlm 248

[10] Hashiah Syeikh Zadeh pada Tafsir al-Baidhawi, jilid I hlm. 247-248. Syeikh Zadeh ialah Muhammad bin Musleh al-Din Mustafa al-Qaujawi Muhyi al-Din al-Hanafi terkenal sebagai Syeikh Zadeh al-Mudarris al-Rumi (di Turki), men. 951 Hijrah.

[11] Ibid. jld.I hlm 249

[12] Lihat Imam al-Ghazali rd dalam ‘Ihya’ ‘Ulum al-Din’, jld III, bab a’a’ib al-qalb’ dan huraian-huraiannya.

[13] Surah al-Syams, ayat…

[14] Bila Tuhan hendak menjadikan Adam Ia berfirman (maksudnya) ‘Sesungguhnya Aku akan jadikan seorang khalifah di bumi’ (al-Baqarah: 30).

[15] Al-Baqarah:1-5.

[16] Al-Baqarah: 177.

[17] Jilid III tentang ‘ajaib al-qalb’.

[18] Misalnya kalau diberi penekanan kepada potensi umumya baik segi mengatahui ilmunya, perasaannya, keinginannya,juga kerohaniannya, disebut sebagai hati atau kalbu; kalau diberi penekanan kepada aspek memahami ilmunya disebut sebagai akal; bila ditekankan aspek kemesraan atau kehampiiran dengan Tuhan disebut roh, kalau ditekankan aspek keinginan dan perasaan maka disebut sebagai jiwa atau nafs; tetapi ia adalah zat yangh sama itu juga.

[19] Al-Hijr:29.

[20] Surah al-Baqarah, 30-31..

[21] Kalau Tuhan Maha Mengetahui, ia mestilah menjadi hamba yang berilmu, kalau Tuhan Maha Adil, ia mesti berlaku adil, kalau Tuhan Maha Pemaaf, hendaklah ia pemaaf, demikian seterusnya mengikut erti-erti dari pengajaran tentang nama-nama dan sifat-sifatNya.

[22] Al-Mu’minun:1-11.

[23] Al-Jumuat:1.

[24] Al-Isra: 44.

[25] Misalnya dalam kitabnya ‘al-Kalimat’ terj.Ihsan Qasim al-Salihi, Sozler, Istanbul, Turki, 1992 terutama kalimah-kalimah awalnya.

[26] Ayat-ayat ‘sakhkhara lakum’ –Ia men’taskhirkan’ atau menundukkan untuk faedah kamu – seperti : taskhir matahari, bulan, sungai, malam dan siang ,dan seterusnya dalam Surah Ibrahim: 32, 33; taskhir lautan dengan niamat-niamat isinya supaya kamu bersyukur : al-Nakhl:14; taskhir untuknya apa yang ada di bumi dan kapal –al-Hajj: 65; taskhir langit dan bumi dengan isi keduanya-Surah Luqman:20, dengan niamat zahir dan batin.Dan banyak lagi ayat-ayat taskhir itu. Lihat ‘Fath al-Rahman oleh al-Maqdisi, hlm.210.

[27] Al-Talaq:12.

[28] Akhlak atau moral dalam abad ke 21 pun tidak boleh terlepas dari etika dalam Ahlissunnah berdasarkan kepada Quran dan Sunnah.Misalnya ini boleh diperhatikan pada etika atau moral yang dirangka oleh John Baines dalam bukunya ‘Morals in the Twenty-First Century’ yang tidak boleh mengelak, terpaksa mengakui nilai-nilai sebagaimana yang diajarkan dalam Islam (dan dihuraikkan dalam Ahlisunnah waljamaah.)

[29] Dalam memberi syarah terhadap al-Bukhari hadis no. 6767

‏ ‏لا يزال طائفة من أمتي ظاهرين حتى يأتيهم أمر الله وهم ظاهرون

dinukilnya hadith (لا تقوم الساعة إلا على شرار الناس)

[30] Perbincangan tentang modernity secara falsafah yang terbaik dibicarakan oleh Rene Guenon dalam ‘The Crisis of the Modern World’ dan ‘The Reign of Quantity and the Signs of the Times’, nampaknya sampai sekarang tanpa tara; berkenaan dengan pascamodernisme, penulis ini ada membuat beberapa pengamatan dalam monograf berjudul ‘Pascamodernisme dan Islam: Satu pandangan Awal, (lihat sumber-sumbernya) Monograf 3, terbitan Akademi kajian Ketamadunan, Kompleks Dar al-Hikmah, Kajang, 2004.Beberapa pengamatan penulis tentang elemen-elemen falsafah dalam modernity dibicarakan dalam esseinya ‘Islam dan Kebudayaan’ risalah terbitan DBP, 1989.