Prolifik Sheikh Abdul Rauf Ali al-Fansuri

PERBICARAAN pada artikel kali ini masih berkisar kepada penulisan-penulisan kitab yang ditinjau dari pelbagai peringkat. Adapun sebelumnya telah disebutkan dari peringkat pertama hingga ketiga. Namun perbicaraan dalam peringkat ketiga tersebut belum dapat dihabiskan sepenuhnya, maka dalam ruangan ini disambung kembali pada peringkat ketiga dan juga peringkat keempat.

Kesinambungan Peringkat Ketiga

Ulama Aceh yang tak kurang pentingnya dengan ketiga-tiga ulama yang tersebut itu ialah Sheikh Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri (1001 H/1592 M-1105 H/1693 M). Beliau ini juga menghasilkan karangan yang banyak.

Dalam buku Khazanah Karya Pusaka Asia Tenggara jilid 1 telah penulis senaraikan karya beliau sebanyak 25 judul. Tetapi setelah buku itu diterbitkan, ditemui pula tiga judul baru iaitu: Aghmadh as-Sail, Kanz al-Insaniyi dan Durrat al-Baida’ Tanbihan li al-Nisa’. Kandungan kitab Aghmadh as-Sail membicarakan ilmu tauhid. Hanya dijumpai sebuah saja dan tersimpan di Muzium Islam Pusat Islam Malaysia.

Kanz al-Insaniyi dan Durrat al-Baida’ kedua-duanya tersimpan di Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia (PMMPNM) masing-masing dengan nombor kelas MS 1530 dan MS 1625.

Seperti yang pernah disebut oleh penulis dalam artikel-artikel sebelumnya, bahawa Sheikh Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri adalah tokoh ulama dunia Melayu yang pertama menterjemah dan mentafsirkan al-Quran secara lengkap 30 juzuk ke dalam bahasa Melayu. Ia diberi judul Turjuman al-Mustafid, dalam percakapan lebih popular dengan judul Tafsir Baidhawi.

Dalam sejarah yang diceritakan secara bersambung, bahawa sebenarnya terjemahan dan tafsir tersebut tidak sempat diselesaikan oleh Sheikh Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri, tetapi disambung penyelesaiannya oleh seorang murid beliau bernama Baba Daud al-Jawi bin Ismail al-Jawi bin Agha Mustafa al-Rumi. Datuk nenek Baba Daud al-Jawi berasal dari Rom, kemudian berpindah ke Turki seterusnya ke Aceh. Salah seorang keturunannya berpindah ke Patani, yang kemudian mendapat seorang zuriat yang menjadi ulama bernama Sheikh Daud bin Ismail al-Fathani.

Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani itulah yang menyimpan manuskrip asli Turjuman al-Mustafid hasil penulisan gabungan Sheikh Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri dan Baba Daud bin Agha Ismail al-Jawi itu. Manuskrip asli itulah yang diserahkan oleh Sheikh Daud bin Ismail al-Fathani kepada saudara sepupu dan gurunya Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Maka kemudiannya manuskrip itu ditashih untuk diterbitkan.

Pada semua edisi cetakan Turjuman al-Mustafid dicantumkan nama tiga orang pentashih iaitu Sheikh Ahmad al-Fathani, Sheikh Daud al-Fathani dan Sheikh Idris al-Kalantani.

Peringkat murid Sheikh Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri yang tersebar di pelbagai tempat dalam dunia Melayu juga menghasilkan karya. Di antara karya-karya mereka telah dijumpai manuskripnya atau sekurang-kurangnya dapat dikesan judulnya. Di antaranya ialah yang berasal dari negeri Bugis-Makasar, Sheikh Yusuf Tajul Khalwati (1036 H/1626 M-1699 M).

Sebahagian besar karyanya ditulis dalam bahasa Arab dan dalam bahasa Bugis, yang mana dalam bahasa Bugis ditulis dalam aksara Bugis. Setakat ini, hanya sebuah karya beliau yang ditulis dalam bahasa Melayu telah ditemui. Manuskrip dalam bahasa Melayu itu diperoleh dari Sri Langka.

Karya bahasa Melayu

Dipercayai Sheikh Yusuf menghasilkan karya dalam bahasa Melayu itu ketika beliau menjalani hukuman pembuangan oleh penjajahan Belanda di Sri Lanka itu. Manuskrip tersebut dalam simpanan PMMPNM dalam nombor kelas MS 423. Semua karya Sheikh Yusuf Tajul Khalwati yang telah diketahui judulnya sebanyak 22 judul. Beberapa buah manuskrip karyanya dalam bahasa Arab ada dalam simpanan penulis.

Seorang ulama yang menjalankan aktiviti di Jawa Barat yang hidup sezaman dengan Sheikh Yusuf Tajul Mankatsi tetapi agak kebelakang sedikit ialah Sheikh Abdul Muhyi Karang Pamijahan. Beliau ini juga meninggalkan beberapa buah karya yang ditulis dalam bahasa Melayu dan kemungkinan juga pernah menulis dalam bahasa Sunda.

Sebuah manuskrip karya beliau yang membicarakan Martabat Tujuh ada dalam simpanan penulis. Dalam nombor kelas MI 839 koleksi Muzium Islam Pusat Islam Malaysia, di beberapa tempat ada menyebut nama Sheikh Abdul Muhyi Karang Pamijahan, yang seolah-olah naskhah itu dinukil daripada sebuah karya ulama sufi itu. Manuskrip MI 839 itu ditulis dalam bahasa Melayu, disalin di Pulau Pinang.

Sezaman dengan Sheikh Abdul Muhyi Karang Pamijahan ialah Sheikh Abdul Malik bin Abdullah Terengganu (1650 M-1149 H/1739 M) atau lebih dikenali Tok Pulau Manis.

Shafie bin Abu Bakar banyak membicarakan tentang Tok Pulau Manis itu, demikian juga mengenai karya-karya ulama Terengganu itu. Semua karya Tok Pulau Manis yang disebut oleh Shafie Abu Bakar dalam banyak tulisan adalah cukup jelas, kecuali hanya sebuah iaitu judul Syarh Hikam Melayu, yang diragui penulis sebagai karya Tok Pulau Manis.

Salah sebuah karya Tok Pulau Manis pernah disalin oleh Tok Kelaba al-Fathani, iaitu yang berjudul Kifayah. Salinan tersebut ada dalam simpanan PMMPNM nombor kelas MS 517.

Sheikh Abdul Mubin

Sezaman dengan Tok Pulau Manis Terengganu ialah Sheikh Abdul Mubin bin Jailan al-Fathani. Dipercayai lebih dulu sedikit daripada Tok Pulau Manis Terengganu, diperkirakan beliau adalah sahabat Sheikh Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri.

Mengenai ini dibuktikan dengan sebuah manuskrip karyanya yang diselesaikan oleh penyalinan anak beliau Sheikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani terdapat tarikh tahun 1121 H/1709 M. Karya tersebut tidak jelas judulnya, tetapi kandungannya adalah membicarakan ilmu tauhid dan hubungannya dengan tasauf falsafi. Manuskrip yang asli ada dalam simpanan penulis tetapi tidak lengkap.

Sheikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani menghasilkan beberapa karya. Di antaranya kitab Manhal ash-Shafi fi Ramz Ahl ash-Shufi. Manuskrip yang tersebut ada dalam simpanan PMMPNM nombor kelas MS 693, manuskrip berasal daripada milik Wan Abdullah ibnu Muhammad Saman al-Fathani, yang berasal dari Kampung Perongngok.

Selain itu ada lagi karya beliau yang berjudul Mir-at al-Haq, judul terjemahan menurut Sheikh Abdur Rahman Pauh Bok sendiri ialah Cermin Yang Sebenar-benarnya. Salah sebuah salinan judul tersebut ada dalam simpanan penulis.

Pada awal tahun 1994, penulis memperoleh beberapa risalah manuskrip yang berasal daripada karya Sheikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani, sebuah merupakan salinan Ibnu Qaim Abdul Samad yang berjudul Wasiat Syeikh Abdur Rahman Kepada Muridnya Tuan Haji Ibnu Abdul Mubin, tanpa dinyatakan tarikh.

Sebuah merupakan imlak salasilah tarekat Samaniyah kepada muridnya Ahmad ibnu Muhammad Shalih dan Abdul Samad. Manuskrip yang penulis peroleh itu adalah merupakan salinan, yang pada akhir salinan itu dicatat tarikh wafat Ahmad ibnu Muhammad Shalih itu pada malam Arba’, empat likur hari bulan Rejab tahun 1258 H.

Peringkat Keempat

Penulisan abad ke-17-18 M dijumpai karya-karya ulama yang berasal dari Aceh, Patani, Palembang dan Banjar. Ulama Aceh yang begitu menonjol pada peringkat keempat ini ada dua orang.

Kedua-dua beliau ialah Sheikh Faqih Jalaluddin bin Kamaluddin al-Asyi dan anak beliau sendiri bernama Sheikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin al-Asyi.

Karya Sheikh Faqih Jalaluddin Aceh yang terawal ialah Hidayat al-‘Awam, diselesaikan pada tahun 1140 H/1727 M. Disusuli dengan Manzhar al-Ajla ila Martabat al-A’la, diselesaikan tahun 1152 H/1739 M.

Karyanya yang terbesar berjudul Safinat al-Hukkam, mulai melakukan penulisan kitab tersebut pada tahun 1153 H/1740 M. Manuskrip kitab itu tebal 502 halaman dengan ukuran yang bertulis 16 x 10 cm, purata 21 baris setiap muka surat. Karyanya yang terakhir ialah Hujjah Balighah ‘ala Jama’ah Mukhashamah, diselesaikan tahun 1158 H/1745 M.

Memperhatikan tahun kemunculan karya, ternyata karya anak beliau Sheikh Muhammad Zain bin Sheikh Faqih Jalaluddin Aceh lebih dulu muncul daripada karya ayahnya sendiri. Karya terawal Sheikh Muhammad Zain Aceh tercatat tahun 1114 H/1702 M, judul ‘Ilm al-Tauhid.

Dalam jarak waktu yang begitu jauh dari tahun 1114 H/1702 M itu muncul pula karya beliau Bidayat al-Hidayah, diselesaikan tahun 1170 H/1757 M. Manuskrip Bidayat al-Hidayah cukup banyak dijumpai, berpuluh buah tersimpan di Muzium Islam Pusat Islam dan PMMPNM dan tempat-tempat lainnya, termasuk simpanan individu.

Kitab ini adalah merupakan kitab tauhid dalam bahasa Melayu yang tertua yang masih beredar di pasaran kitab. Karya Sheikh Muhammad Zain Aceh yang terakhir, yang terdapat tahun penulisannya, ialah Kasyf al-Kiram, diselesaikan tahun 1171 H/1757 M.

Selain judul-judul yang disebutkan, terdapat lagi beberapa buah karyanya tanpa menyebut tahun penulisan. Semua karyanya yang telah dijumpai dan pernah penulis senaraikan sebelumnya iaitu terdapat lapan judul.

Ulama yang berasal dari Patani yang hidup sezaman dengan Sheikh Muhammad Zain Aceh ialah Sheikh Abdullah bin Abdul Mubin al-Fathani. Karya beliau yang ditemui hanya sebuah, judul Tanbih al-Ghafilin, diselesaikan tahun 1184 H/1770 M. Beberapa manuskrip kitab yang membicarakan hadis targhib dan tarhib itu terdapat dalam simpan PMMPNM dan Muzium Islam Pusat Islam Malaysia. Kitab tersebut juga terdapat pelbagai edisi cetakan dan masih beredar di pasaran kitab sampai sekarang.

G.W.J. Drewes berpendapat bahawa ada seorang ulama yang berasal dari Palembang bernama Sheikh Syihabuddin bin Abdullah al-Jawi. Sebuah manuskrip judul Syarh ‘Aqidat al-Iman terdapat nama pengarangnya Sheikh Syihabuddin al-Haji bin Abdullah al-Jawi.

Kitab itu diselesaikan tahun 1162 H/1748 M. Manuskrip yang telah dijumpai adalah merupakan salinan yang dilaksanakan oleh Mahmud bin Muhammad Yusuf bin Abdul Qadir Terengganu, penyalinan diselesaikan tahun 1260 H/1844 M. Salinan tersebut dalam simpanan PMMPNM nombor kelas MS 1522.

Manuskrip yang telah ditemui itu tidak memberikan sebarang maklumat bahawa pengarangnya berasal dari Palembang yang disebut hanyalah ‘al-Jawi’ saja.

Oleh itu penulis tidak berani menentukan kebenaran pendapat bahawa Sheikh Syihabuddin al-Haji bin Abdullah al-Jawi itu berasal dari Palembang walaupun pendapat Drewes itu telah disokong oleh banyak sarjana, termasuk beberapa orang yang berasal dari Palembang yang membicarakannya dalam Seminar Masuk dan Berkembangnya Islam di Sumatera Selatan.

Walaupun karya terawal Sheikh Abdus Samad al-Falimbani adalah Zahrat al-Murid yang diselesaikan tahun 1178 H/1764 M dan Risalat Yang Haram Kahwin Dengannya yang diselesaikan tahun 1179 H/1765 M, namun beliau tidak dimasukkan ke dalam kategori ulama dunia Melayu peringkat keempat, tetapi akan lebih banyak dibicarakan dalam ulama peringkat kelima.

Demikian halnya dengan sahabatnya Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari yang karya terawalnya Tuhfat al-Raghibin tahun 1188 H/1774 M. Kedua-duanya dimasukkan ke dalam ulama peringkat kelima disebabkan karyanya yang terkenal adalah dalam lingkungan peringkat kelima bukan dalam lingkungan peringkat keempat.

Penutup

Maka selesai perbicaraan mengenai penulisan-penulisan manuskrip pada peringkat ketiga dan keempat tersebut.

Pada artikel sebelumnya telah dinyatakan bahawa penulis membahagikan kepada 10 peringkat penulisan, maka selebihnya iaitu selain peringkat pertama hingga keempat akan diteruskan dalam ruangan yang lainnya.

dipetik dari: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1020&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: