Ajaran Teologi dan Tasawwuf Sheikh Yusuf Makasari

Seminar Ajaran Syeikh Yusuf Makasari di Universiti Negteri Makasar 21 Oktober 2008

بسم الله الرحمن الرحيم

نحمده ونصلى على رسوله الكريم

AJARAN TEOLOGI DAN TASAWWUF SYEIKH YUSUF MAKASARI

OLEH:

MUHAMMAD ‘UTHMAN EL-MUHAMMADY[1]

Insya’ Allah nota  sederhana ini akan cuba melihat ajaran teology  dan tasawwuf Syeikh Yusuf rh  dengan berdasarkan kepada beberapa teksnya , yang –al-hamdulillah-   dihimpunkan dan diterjemahkan isi kandungannya oleh sarjana-sarjana terkenal Indonesia seperti Tudjimah dalam bukunya ‘Syekh Yusuf Makasar Riwayat dan Ajarannya’[2], Abu Hamid, dalam bukunya ‘Syekh Yusuf Seorang Ulama, Sufi dan Pejuang’[3], dan Nabilah Lubis, dalam tulisannya ‘Syekh Yusuf Al-Taj al-Makasari’ menyingkap Intisari Segala Rahasia’[4] dan juga Syamsul Bahri dalam bukunya ‘Pemikiran Tasawwuf Syeikh Abu Mahasin Yusuf al-Taj’[5] . Tulisan ini bertujuan untuk melihat ajarannya dalam konteks arusperdana Islam, yang memang menjadi minat penulis ini, serta mengisyaratkan kepentingan ajaran itu walaupun dalam abad ke 21 ini.Ertinya, minat kita ini bukan hanya mengingatkan ajarannya dan jasanya sebagai bahan ingatan sejarah tetapi juga untuk melihat kerelevanannya, bahkan kemsetian kita memandukan diri dengannya dalam abad ini.Juga ia seharusnya dimenafaatkan bagi bagim membantu kita memahami identity intelektuil, rohani dan moral kefahaman Islam rantau ini.Ini sangat penting dan asasi sebab ia menyentuh persoalan yang paling sentral dalam budaya dan peradaban  sebab ia menyentuh epistemology yang menentukan segalanya dengan segala implikasinya.

Ringkasan Riwayat Hidupnya:[6]

Secara ringkas sahaja  disebutkan dalam  dalam tulisan ini tentang riwayat hidup Syeikh ini  berdasarkan kajian-kajian yang dilakukan oleh para sarjana yang mengkaji tentangnya :

Beliau dilahirkan pada 8 Syawal  1036H/3 haribulan Julai  1626 , yakni dua puluh tahun  selepas berlaku pengIslaman  kerajaan Goa dan Tallo oleh Abdul Makmur Khatib Tunggal, ulama dari  Minangkabau.Semenjak awal dalam hidupnya ia menunjukkan  sifat-sifat  yang menandakan keagungan peribadinya masa akan datang. Beliau menjadi peribadi yang berupa kebanggaan –dan sudah tentu rahmat- umat Islam dari dulu sampai sekarang; beliau bukan sahaja milik Orang Bugis Sulawesi  Selatan atau masyarakat Islam Afrika Selatan, dan Selon (sekarang Sri Lanka), bahkan  beliau diisytiharkan sebagai pejuang kemanusiaan dan anti-perkauman oleh Nelson Mandella pada tahun 1994  dan wira kebangsaan atau pahlawan nasional oleh Presiden Suhartoe pada  9 November 1995.[7]

Pendidikan Islamnya berjalan semenjak awal lagi di tanah Bugis.  Dimulai dengan al-Qur’an al-Karim;di pondok tempat pengajiannya di Bontoala  waktu itu dipimpin oleh ulama bernama Syed Ba’lawi bin ‘Abdullah, ulama berasal dari Yaman.Selepas berjaya  di sana ia meneruskan  pengajiannya di pondok Cikoang, kemudian seterusnya  ia disuruh oleh gurunya meneruskan pengajian ke Mekah, di Masjidil-Haram. Perjalannya menyebabkan beliau singgah di Banten, kemudian di Aceh,  kemudian  singgah pula di Yaman; di Aceh dan  di Yaman beliau menerima ijaza tarekat Naqsyabandiah ,dengan amalan-amalannya, serta silsilahnya, sampai ia diberi gelaran al-Taj, yang dipakai pada namanya sampai ke akhir hayatnya;  selepas lama berguru di Yaman dengan mengambil tarekat  dan silsilahnya- seperti  tarekat Naqsyabandiah- barulah beliau menuju ke Mekah Semenanjung Arab.Ulama-ulama yang menjadi gurunya di Yaman ialah Syeikh Muhammad Abd al-Baqi dan Syed Ali al-Zubaidy.[8] Selepas berguru dengan Syeikh Ahmad al-Qasyasyy , Mulla Ibrahim al-Kawrany dan  Hasan al-‘Ajamy, di sana juga Syeikh Yusuf dan Syeikh Abd al-Rauf Singkel menerima ijazah dan silsilah tarekat Syattariah dari gurunya Mulla Ibrahim al-Kawrany.[9] Kemudian beliau meneruskan pengajiannya di negeri Syam (Syria). Seterusnya beliau meneruskan pengajiannya di Istanbul, Turki.Kemudian beliau mengajar beberapa tahun di Mekah, terutamanya pada musim haji.

Pada tahun 1664 beliau kembali ke tanah airnya setelah marantau sekitar dua puluh tahun lamanya. Pengelamannya di tanah Arab dan Turki meyakinkannya bahawa dakwah mesti didokong oleh pemerintah, tetapi keadaan di Makasar waktu itu tidak membantu kea rah ini oleh kerana persefahaman   Belanda dengan pihak berotoritas di sana.Kemudian beliau  pergi ke Banten di mana beliau disambut dengan penuh kegembiraan oleh masyarakat dan pemerintahnya, yang waktu itu sultannya ialah Abdul Fattah yang memang menyukai ulama.Di sana ia berkahwin dengan anak perempuan Sultan dan diangkat menjadi mufti dan penasehat raja.Di sana diteruskan  dakwahnya serta ditiupnya semangat jihad menentang penjajahan.

Disamping mengajar keluarga di raja dan berdakwah kepada umum di Banten beliau menulis beberapa kitab dalam bahasa Arab seperti ‘Bidayat al-Mubtadi’, ‘al-Fawa’id’, dan ‘Zubdat al-Asrar’ [10]antara lainnya Beliau bersama-sama dengan Sultan dalam mempertahankan kerajaan Banten.Kemudian rancangan Belanda berjaya dalam peperangan menawan kerajaan  Banten, rajanya ditangkap dan diasingkan ke Batavia;bagaimanapun perjuangan menentang penjajahan  Belanda diteruskan oleh Syeikh Yusuf dengan pimpinannya sendiri untuk menjalankan jihad fi sabilillah.Perjuangan jihad Syeikh Yusuf berakhir bila ia ditangkap oleh Belanda  dengan  tipu helahnya, sikap lunaknya, dan kepura-puraan pemimpinnya memeluk Islam.Ini berlaku pada  14 Disember 1683.[11] Oleh kerana gerun terhadap pengaruhnya di Nusantara Belanda membuangkannya ke Selon (Ceylon) (sekarang Sri Lanka).Syeikh menerima hal itu dengan redha dan menganggapnya sebagai peristiwa yang ada  hikmat di sebaliknya, sesuai dengan pendiriannya sebagai seorang sufi.Di Sri Lanka berliau terus mengajar agama Islam dan mengembangkan ilmu-ilmunya kepada orang-orang tempatan Sri Lanka juga. Dengan kedudukan pelabuhannya weaktu itu yang bertaraf antarabangsa, maka Sri Langka menjadi tempat pertemuan para jemaah haji dari Nusantara dengan Syeikh Yusuf; mereka menerima nasehat-nasehat pengajaran beliau  dan meneruskan dakwah mengikut kadar kemampuan mereka.Nama beliau sedemikian terkenalnya di India sehingga Emperor Aurangzeb sangat menghormatinya.Ini mengakibatkan Emperor itu menuliks  surat kepada Kompeni Belanda supaya menjaga kepentingan Syeikh itu , kalau tidak itu menggelisahkan umat Islam di Hindustan.  Di Ceylon Syeikh Yusuf menulis beberapa buah kitab tentang ajarah agama Islam dan bimbingan kerohaniannya.

Oleh kerana bimbangkan pengaruh Syeikh Yusuf yang berkembang melalui surat-suratnya dan kitab-kitab serta dakwahnya, Belanda mengasingkannya ke Cape Town di Afrika Selatan.Maka selepas  sembilan tahun di Ceylon, pada tahun 1693 Syeikh Yusuf , waktu itu berumur 68 tahun, bersama anak isteri dan pengikutnya berhijrah ke Cape Town, Afrika Selatan dengan  kapal Belanda.Kedatangan Syeikh Yusuf ke sana berupa pemangkin dakwah islamiah yang pertama di Afrika Selatan; itu diakui oleh ahli-ahli sejarah Afrika Selatan. Jasa Syeikh  Yusuf dan peribadinya dikenang dengan penuh hormat, yang ternyata sekali pada majlis Peringatan 300 Tahun Kedatangan Syeikh Yusuf ker Cape Town  yang dihadhiri oleh YAB Dato’ Seri Najib Tun Razak

bagi pihak rumpun Melayu Nusantara.[12] Syeikh Yusuf menjalankan dakwah di sana dengan menggunakan uslub cara tasawwuf, menjalankan majlis-majlis zikir berjemaah, memberi nasehat-nasehat dan menunjukkan keunggulan peribadi; sikap baik budinya menawan Padri Kristian di sana  sehingga mereka berhubung dengannya dengan  baik dan dakwahnya tidak diganggu.Beliau meninggal dunia di sana pada 22 Zulkaedah 1109/23 Mei 1699.Kemudian atas permintaan raja dan keluarganya peninggalan mayat Syeikh Yusuf di bawa kembali ke Makasar dan dikebumikan di Lakiung, Makasar.Makam keduanya di Kota Makasar itu  berada dalam makam keluarga di raja dan ulama-ulama Makasar.Kedua-dua makamnya yang di Afrika Selatan dan di Makasar sangat dimuliakan sampai sekarang.

Teks-teks Karangan Syekh Yusuf:

Senarai karangan-karangan Syekh Yusuf sebagaimana yang disebut  oleh Tudjimah[13] ialah : ’Al-Barakah al-Sailaniyyah’, ’Bidayah al-Mubtadi’, ’al-Fawa’ih al-Yusufiyyah’ ’Hasyiah Dalam Kitab Al-Anbah’, ’Kaifiyyat al-Munghi’, ’Matalib al-Salikin’, ’Al-Nafhat al-Sailaniyyah’, ’Qurrat al-’Ain’, ’Sirr al-Asrar’, ’Surat ’, ’Taj al-Asrar’, dan ’Zubdat al-Asrar’[14].Ini kata Tudjimah adalah berdasarkan kepada ’Handlist of Arabic Manuscripts in the Library of the University of Leiden and Other Collections in the Netherlands’ himpunan oleh Voorhoeve, Leiden, 1957 pada hlm.539.Kemudian ditambah oleh beliau judul-judulnya: ’Fath Kaifiyyat al-Dhikr’, ’Daf al-Bala’, ’Hadhihi Fawa’id ’Azima al-Dhikr La ilaha Illallah’, ’Muqaddimah al-Fawa’id   Allati Ma La Budda Min al-’Aqa’id’, ’Tahsil al-’Inaya  wal-Hidaya’, ’Risala Ghayat al-Ikhtisar wa Nihayat al-Intizar’, ’Tuhfat al-Amr fi Fadilat al-Dhikr’,  ’Tuhfat al-Abrar li Ahl Al-Asrar’, ’Al-Munjiyya ’An Mudarrat al-Hija’iba’.

Senarai ini diikuti dengan penerangan yang ringkas dan berfaedah tentang isi karangan-karangan tersebut   mulai dari ’Al-Barakat Al-Sailaniyya’ sampai kepada teks ’al-Munjiyya ’An Madarrat al-Hija’iba’[15]

Nampaknya senarai naskah-naskah Syekh Yusuf  yang disebut oleh Nabilah Lubis[16] sama  seperti yang ada dalam buku Tudjimah juga.Walaupun sekali imbas seolah-olah  terdapat beberapa judul tambahan, tetapi sebenarnya ada teks itu dalam Tudjimah,  ’Zubdat al-Asrar fi Tahqiq Bad Masharib al-Akhyar’ halaman 162-177; ’Tuhfat al-Labib Bilika al-Habib’ halaman 179-186; ’Surat Ditulis  di banten 1084H/1673 M’ halaman 187-193; ’Safinat al-Najah’ di tulis di Selon (sekarang Sri Lanka) halaman 194-204;  ’al-Manhat al-Sailaniyya  fi Manhat al-Rahmaniyya’ di tulis di Selon halaman 205-213.

Dalam senarai yang di’pastikan’ mengikut Syamsul Bahri Andi Galigo[17] hasil karya Syeikh Yusuf ada 30 semuanya, seperti berikut:

1.’An-Nafahat al-S hailaniyyah fi Minhah al-Rahmaniyyah’

2.’Zubdat al-Asrar fi Tahqiq Ba’d Masharib al-’Arifin’

3.’Qurrat al-’Ain’

4.’Shurut al-’Arif al-Muhaqqiq’

5.’Taj al-Asrar   fi Tahqiq  Masharib  al-’Arifin’

6.’Tuhfat  al-Amr fi Fadilat al-Dhikr’

7.’Matalib al-Salikin li Man Qasada Rabb al-’Alaimn’

8.’Sirr al-Asrar’

9.’Tuhfat  al-Abrar li Ahl al-Asrar’

10.’Kayfiyat al-Dhikr’

11.’al-Wasiyyah al-Munjiyyah ’an Madarrat al-Hijab’

12.’Tanbih al-Mashi’

13.’Mir’at al-Muhaqqiqin’

14.Tartib al-Dhikr’

15.Fath al-Rahman’

16.’Asrar fi al-Salah fi Bayan Muqaranat al-Niyyah’

17.’al-Fawa’ih al-Yusufiyyah fi Bayan Tahqiq al-Sufiyyah’

18.’Muqaddimat al-Fawa’id allati Ma La Budda Min al-’Aqa’id’

19.Bidayat al-Mubtadi’

20.’Daf’u al-Bala’

21.’Fathu Kaifiyyat al-Dhikr’

22.’Kayfiyyat al-Nafy wa al-Ithbat an Hadith al-Qudsi’

23.’Risalah  fi Ghayat al-Ikhtisar wa Nihayat al-Intizar’

24.’Tahsil al-‘Inayah wa al-Hidayah’

25.’Habl al-Warid  li Sa’adat al-Murid’

26.’Tuhfat al-talib al-Mubtadi wa Minhat al-Salik al-Muhtadiy’

27.’Safinat al-Najah al-Mustafadah ‘an masha’ikh al-Nuqah’

28.’Tuhfat al-Rabbaniyyah’

30.’al-Barakat al-Saylaniyyah’.

Ini diikuti dengan lima lagi naskah yang dinisbahkan kepada Syeikh Yusuf.[18]

Ajaran Theologi Syekh Yusuf:

Kita boleh bermula dengan ajaran theologi beliau kerana ini masalah yang paling awal dan pokok dalam agama, iaitu masalah ’aqidah. Mungkin kita tertarik  untuk melihat tentang masalah ini dengan merujuk kepada surat Syekh Yusuf kepada Wazir Goa. Ia surat yang berbicara tentang aqidah ahl al-Sunnah wa al-jamaah. Kata beliau:

”Berkata  semua ahli sunah  wal jamaah ’Sesungguhnya Allah itu berdiri sendiri, sedang roh berdiri dengan Allah, badan berdiri dengan ruh,  lahir berdiri dengan batin,  seperti alam berdiri kerana Allah, tidak kerana tempat dan waktu.Allah pencipta segala sesuatu.

”Kata beberapa ulama: Rahmat Allah Taala dan wujudNya itu wujud wujud al-Zat dan zat itu wujud al-Sifat sifat itu wujud al-Asma,  dan asma itu wujud al-Af’al , Af’al itu wujud al-Zahir dan zahir itu wujud al-Batin , batin itu  wujud yang tidak  diketahui kecuali oleh Allah, yang Esa  seperti firman Tuhan : ’Tuhan mengetahui yang terang dan yang ghaib’[19]. Katanya lagi: ’Sirr itu bayangan wujud, ruh itu  bayangan zat, hati itu bayangan sifat badan dan bayangan asma, gerak dan diam itu bayangan af’al.Seperti firman Tuhan : Apakah engkau tidak melihat bagaimana luasnya bayangan’[20].Berkata beberapa orang sufi: jangan merasakan minuman ahli al-Tauhid   , kecuali sesudah engkau tenggelam dalam laut kufur tiga atau empat kali.Ditanya Abu Said al-Kharraz: Dengan apa engkau kenal Tuhan?Maka jawabnya: ’Dengan menyatukan dua hal yang berlawanan, iaitu saya hendak berkata huwa la huwa, la huwa, hiya la hiya hiya’.Berkata ahli sunah wal jamaah :’Alam itu wajib al-wujud bi ghairihi, tidak wajib al-wujudf binafsihi [yakni ia wajib ada dengan sebab yang lain dariinya, yakni sebab Tuhan menciptakannya, bukan wajib ada dengan dirinya sendiri, yang wajib ada dengan dirinya sendiri ialah Allah sahaja-uem]; alam itu mu’aththar bighairihi  tidak muaththir binafsihi [ertinya alam ini ada kerana fdijadikan oleh Tuhan, kesan perbuatan Tuhan, ia bukan mendatangkan kesan atas yang lain dengan dirinya sendiri, yang mendatangkan kesan dengan dirinya sendiri hanya Allah-uem]; jika ’abd itu batin ia menjadi Rabb.Jika Rabb itu lahir ia menjadi abd.Tetapi jangan dikacaukan perkara itu, sebab kalau dikacaukan itu kebinasaan orang  jahil kepada Allah.Percayalah bahawa abd itu abd, meskipun ia naik, dan Rabb itu tetap Rabb meskipun  Ia turun [Ertinya yang hamba itu tetap hamba walaupun ia meningkat setinggi manapun dari segi pendakian rohaninya, yang Tuhan itu Tuhan juga walaupun ia menunjukkan penampakan tajalliNya di bukit Tursina dalam hubungan dengan nabi Musa a.s.—uem]. Alam itu maujud, tetapi tidak berdiri sendiri.Alam itu tidak merdeka dalam wujudnya.Adapun Esa itu jauh dari dua,Maha tinggi Allah dari itu! Tuhan itu merdeka zat, sifat Asma dan Af’alNya’[21] [Ertinya alam ini ada kerana dijadikan Tuhan daripada tiada kepada ada, ia tidak merdeka, bebas wujudnya, ada  pun  Tuhan  Ia Wujud Dengan sendiriNya,  tanpa dicipta, tanpa awal adaNya dan tanpa akhir wujudNya].

Huraian Syekh Yusuf rh tentang aqidahnya boleh kita dapati dalam teksnya ’Muqaddimah al-Fawa’id Allati Ma la Budda Min al-’Aqa’id’[22]

Dalam aqidah, beliau nampaknya mengikut aliran Imam Abul Hasan al-Asy’ari rd. Ini boleh difahami daripada kenyataannya yang berikut :

Katanya: ’Kita wajib percaya bahawa Allah taala maujud dengan  wujud yang hak wujudNya, tidak seperti wujud makhluk , kerana Ia tidak ada permulaanNya dan akhirNya.Ia itu Kadim dan azali.Ia baka selamanya.Ia berdiri sendiri [tidak dijadikan oleh mana-mana kuasa, tidak bergantung kepada apa-apa untuk adanya dan meneruskan adaNya-uem]; Ia laisa kamithlihi shai [tidak ada sesuatu yang  sepertiNya], Ia itu satu, Allah itu tempat bersandar [ertinya Tempat Memohon segala keperluan, kerana Ia Maha Kaya tidak berhajat kepada apa-apa dokongan, serta Ia Maha pemberi-uem]. Ia tidak mempunyai anak dan tidak diperanakkan.Ia tidak ada apa-apa yang menyamaiNya. [Erti Surah al-Ikhlas].

Semua iktikad kembali kepada surah tersebut [yakni surah al-Ikhlas].Semua yang dapat digambarkan dengan akal atau dikhayalkan dengan fikir Allah berbeza dengan itu semua.Kita percaya juga bahawa Ia Hidup, Alim [Maha mengetahui], berkuasa, berkehendak, mendengar,  melihat, berbicara   [kembali kepada Sifat Hayat, Ilmu,  Kudrat, Iradat, Sama’, Basar, Kalam ],

”Ia mendengar tanpa telinga, melihat tanpa mata, bicara tanpa bibir dan lidah.Ia mengetahui tanpa hati, tidak ada yang menyamai  zatNya .Kita percaya juga bahawa Allah b ersama-sama kita, bahawa Ia meliputi semua bukan  seperti ma’iyyah sesuatu dengan   sesuatu yang  diketahui oleh manusia  semua [yakni bukan bersama-sama seperti kita bersama-sama  dengan kita berada berdekatan dalam ruang  seperti kita dengan kawan-kawan atau lainnya, sebab Tuhan bukan benda dan Ia tidak berada da;lam ruang seperti kita-uem].

Tentang Tuhan tidak bertempat dan tidak tertaaluk dengan masa, sebagaimana yang diajarkan dalam Ahli Sunah ,  ia menyatakan dengan jelas seperti di bawah ini:

”Kita  percaya juga , bahawa Allah Taala maujud pada tiap-tiap tempat , tiap-tiap waktu,  tidak khusus pada suatu tempat  atau zaman   [dalam ertinya wujudNya meliputi segala-galanya, tetapi tidak dalam erti Ia dikandung oleh tempat, atau Ia bertempat, atau Ia hidup dalam zaman atau masa  sebab Ia tidak tertaaluk oleh masa, kalau tidak Ia  seperti makhluk-uem].Tuhan tidak bertempat , kerana Ia maujud sebelum adanya tempat.Ia Pencipta tempat [maka Ia bukan ’duduk atas Arasy,’ dalam erti yang  segera ditanggapi oleh fikiran, sebab sebelum Arasy ada Ia  sudah sediakala ada; kemudian Ia menjadikan Arasy; kalau difahami Ia ’duduk atas Arasy’ dalam erti harfiah itu, maka sebelum ada Arasy di mana ’ia duduk’ itu? –uem].

Tentang iman yang sempurna serta  kemestian mengikut nabi SAW ia menyatakan:

”Kita percaya juga , bahawa iman yang sempurna itu: ikrar dengan lisan dan membenarkan dengan hati, mengerjakan rukunnya [yakni  rukun iman dan yang berikutnya rukun Islam]  mengikuti jejak nabi, putra Adnan Muhammad SAW .Siapa yang meninggalkan ikrar itu , ia kafir.Siapa yang meninggalkan amal, [yang diwajibkan seperti sembahyang, puasa dan sebagainya, tetapi tidak mengingkari wajibnya] ia fasik.Siapa yang tidak mengakui jejak nabi ia mubtadi [dalam erti ia mengerjakan bid’ah yang tidak ada sandaran dalam Syariat, ditolak; kalau perkara baharu yang ada sandaran pada Syariat, maka tidak ditolak]

Tentang Takdir ia membuat kenyataan   sebagaimana yang diajarkan dalam Ahli Sunah:

’Kita percaya juga bahawa baik dan buruk, keduanya dari Allah Taala dan bahawa yang baik itu atas kehendak dan kekuasaanNya.Yang buruk itu dari kemauanNya dan kekuasaanNya tetapi tidak dengan redaNya dan bukan perkaraNya. {Di sini dibezakan antara apa yang Tuhan kehendaki menunjukkan kekuasaanNya dan apa yang dikehendaki dengan redaNya sebagaimana yang diajarkan dalam Ahli sunah].

Tentang hukum ’melihat’ Allah beliau memberi penndirian Ahl.i sunah, seperti berikut:

Kita percaya juga bahawa  Allah boleh dilihat [terjemahan Tudjimah ’boleh melihat’ yang memberi erti yang berlawanan dengan pandangan Ahli sunah-uem] dengan al-basirah dalam dunia, dan di akhirat dilihat [Tudjimah ’melihat’ yang memberi erti yang berlawanan dengan Ahli sunah, sebab Allah tak ada mempunyai ’al-basirah’ ertinya matahari, dan tidak mempunyai ’al-absar’ penglihatan dengan mata –uem]   dengan  al-anbsar [ertionya pandangan dengan mata kepala].Bahawa Allah tertutup bagi akal [ertinya tak boleh difikir dengan  akal ,] seperti Ia tertutup bagi mata [ertinya tidak boleh dilihat dengan mata di dunia, hanya di akhirat Ia boleh dilihat dengan pandangan mata-uem].

Tentang berfikiran atau bersangka baik terhadap Allah, dan kedudukan nabi Muhammad SAW dan kemestian mengikutnya sebagaimana yang diajarkan   dalam Ahli Sunah beliau membuat kenyataan seperti berikut:

”Kita percaya juga    bahawa pikiran baik terhadap Allah itu wajib dan berguna bagi kita sesudah tetapnya iman dalam hati.Makhluk yang termulia itu ialah   Muhammad SAW dan ia itu pengganti  dan wakil Allah [dalam erti peribadi yang menjalankan kehendak Allah di dunia, tetapi ia makhluk, hanya diangkat menjadi rasul-uem].Allah memerintahkan kita [dalam Tudjimah ’kami’, lebih munasabah ’kita’-uem]  untuk mengikutinya lahir dan batin .Siapa yang mengikutinya akan bahagia di dunia dan akhirat.Siapa yang tidak mengikutinya [seperti golongan postmodernist yang menganggap apa yang diajarkannya mempunyai konteks sejarahnya, maka tidak relevan untuk zaman lain daripada itu-uem]tidak bahagian di dunia dan akhirat.Ketahuilah itu.”

’Kita percaya juga  bahawa semua yang datang dari Allah kepada Rasulullah itu benar ; di antaranya peringatan maut dan kubur dan lain-lain , hal seperti surga dan kenikmatannya dan neraka dengan  seksaannya.Ketahuilah itu.

Tentang manusia-manusia termulia di kalangan sahabat beliau menyatakan pendirian Ahli Sunah , yang bercdanggah dengan pendirian Syiah yang mengutuk sahabat, sebagaimana yang jelas berikutnya:

”Kita percaya juga , bahawa manusia yang mulia sesudah nabi-nabi AS itu Abu Bakar al-Siddiq, Umar, Uthman, Ali, kemudian enam orang yang baki [dalam Tudjimah ’baka’ tersilap citak],  ahli Uhud, ahli Badar, ahli Hudaibiyya, sahabat yang lain, wali-wali, Ariffin [para ahli ma’rifat yang mengenal Allah dengan pengenalan yang putus melalui pembukaan rohaniah bukan hanya setakat mengetahui pada paras ’mental’ semata-uem], salihin,  kemudian orang muslimin umum[nya].

Dalam hubungan dengan  wajib percaya kepada nabi-nabi bermula dengan Adam dan adanya para wali, dan syarat kewalian adalah  menjalan syariat, beliau membuat kenyataan sebagaimana yang ada dalam ajaran Ahli Sunah:

”Kita harus [dalam erti wajib tidak boleh tidak] percaya juga , bahawa nabi yang pertama itu Adam AS  [insan Adamiah pertama yang diajarkan Tuhan ’segala nama’ yang menyiapsediakannya  untuk tujuan khilafah dalam erti sedalamnya,  bukannya ’beruk dan kera yang disempurnakan’, maaf –uem] dan yang akhir itu Muhammad SAW .Ketahuilah itu.Kita harus percaya juga bahawa nabi-nabi AS semua terpeliharfa dari maksiat yang besar maupun yang kecil.Bukan syaratnya menjadi wali un tuk terpelihara dari maksiat .Ada  di antara wali-wali yang terpelihara dari dosa  [dikatakan mereka itu mahfuz, tetapi tidak dikatakan mereka itu maksum-uem] Syarat-syaratnya wali itu memegang teguh lahirnya syariat [Perhatikan bagaimana beliau menekankan ketaatan kepada syariat dalam ia berpegang kepada kesahihan penyaksian rohaniah dalam pengelaman wahdatul wujud-uem].Jika tidak mengerjakan syariat ia tidak dapat menjadi wali , meskipun ia dapat terbang di udara dan berjalan di atas air, memakan api dan lain-lain, yang keluar dari adat.Pada hakikatnya itu [yakni berjalan atas air dan yang sepertinya pada orang yang tidak taat kepada Syarak-uem] Istidraj dan makar dari Tuhan [Dalam Tudjimah ’makar terhadap Tuhan’ yang ertinya terbalik, sebab kita diwajibkan berjaga-jaga dan merasa takut terhadap ’makar Allah’  seperti dalam ayat yang bermaksud : ’Adakah mereka merasa aman dari makar Allah ? Kerana sebenarnya tidak ada yang merasa aman dari makar [rancangan buruk] Allah melainkan orang-orang yang rugi”[23]-uem] .Kita berlindung kepada Allah dari itu.

Dengan akidahnya mengikut Ahli Sunah kita lihat pula beliau gandingkan yang demikian itu dengan pengiktirafannya tentang  benarnya pengelaman mereka yang mengalami ’wahdatul-wujud’  [bukan sebagai akidah,  tetapi sebagi pengelaman dalam penyaksian rohaniah pada tahap tertentu yang berkenaan itu].

Hubungan akidah dengan amalan kerohanian boleh dilihat dari kata-kata Syekh Yusuf dalam ’matalib al-Salikin’. Katanya:[24]

”Orang harus [’yakni wajib] mengerjakan tiga hal: (1)tauhid; (2) makrifat; (3) ibadat.Tauhid   itu seperti pohon, makrifat itu seperti dahan dan daunnya, ibadat itu seperti buahnya,

”Jika engkau menemukan sebatang pohon, tentu engkau akan mendapatkan juga dahan dan  daunnya, dan jika engkau mendapati dahan dan diapaaunnya, tentu engkau mengharap akan mendapat menemukan buahnya.Jika engkau tidak mendapat dahan dan daunnya, tentu tidak ada buahnya.Jika engkau sampai kepada tauhis, tentu engkau akan sampai pada tempat makrifat.Jika engkau sampai ke tempat makrifat, engkau  akan sampai ke tempat ibadat.Siapa yang tidak tauhid ia kafir.Siapa yang tidak tahu akan makrifat ia jahil.Siapa yang tidak beribadat ia fasik.”[25]

Tentang  hubungan ada Allah dengan ada makhluk dan keesaan wiujud yang hakiki, serta penggunaan bandingan dengan manusia antara ruh dan jasadnya,  dalam bicara yang bukan secara theologi yang biasa dibicarakan,  Syekh Yusuf berbicara  demikian dalam ’Matalib al-Salikin’ :

”Orang-orang sufi berkata; ’Tidak ada yang  maujud dalam lahir dan batin kecuali wujud wahid [yakni satu], zat wahida dan hakika  wahda”.Benda-benda  itu ada kerana Allah dan Allah berdiri kerana zatNya.  [Beliau membandingkan itu semua   dengan wujud manusia, katanya-uem]Anggota-anggota badanmu itu bermacam-macam dan mereka itu berdiri dengan engkau dan engkau berdiri dengan zatmu.Bukankah itu ruh? Begitu pula benda-benda adanya kerana Allah, seperti adanya jasad dengan ruh.Insan disebut begitu , kerana adanya badan dan ruh, tidak kerana  ruh saja  atau badan  saja.Ilaha [yakni ’ilah’, ’Tuhan’  ]  ada tiga huruf: alif, lam, ha; alif itu isyarat Ahadiyya  [yakni peringkat Zat semata-mata zat dalam berfikir tentang adanya Tuhan], lam itu  isyarat Kamaliyya  [kesempurnaan], ha isyarat huwiah [keakuan Tuhan Sendirik Sebenarnya yang  disebut ’Huwa’   Allah dalam Surat al-Ikhlas-uem] itu satu dalam zatNya, satu dalam sifatNya, dan sifat-sifat kamalNya seperti mengetahui, mendengar, melihat, hidup, kuasa, berkehendak, dan lain-lain dari asmaNya.Berdirinya jasad itu kerana adanya ruh disemua anggota seperti adanya darah dalam badan manusia, maka ia hidup.Allah maujud dalam semua benda, maka kalau tidak ada Allah dalam  benda-benda [tetapi ingat Syekh Yusuf  rh mengatakan Allah tak bertempat –uem] tidak ada benda.Tuhan itu tidak tetap dalam suatu benda  tetapi ada di semua benda [tetapi bukan dalam erti ia  dilingkungi oleh benda  atau ia ’bertempat’ seperti benda bertempat dalam benda-uem] .Berkata Saidina Ali :’Saya tidak melihat sesuatu , kecuali saya melihat  Tuhan.Firman Tuhan [dalam ayat yang bermaksud]: Sesungguhnya perkara kami [yakni PerintahNya] ialah jika kami menghendaki sesuatu berkata ’kun’ lalu ada [benda itu]’ kerana benda-benda itu telah ada dalam ilmuNya  yang azali dalam alam ghaib, dan dikeluarkan dari alam ghaib ke alam syahadah.[Maka Tuhan menghendaki benda yang ada dalam ilmuNya yang kadim dan azali itu keluar ke alam nyata lalu Ia menghendaki yang demikian dengan perintahNya, lalu p;ada waktu itu juga berlakulah perkara itu,  wujudlah benda itu dalam alam nyata-uem] Tidak dapat digambarfkan pisahnya  ruh dengan badan sebelum mati.Jika engkau anggap ada wujud [secara hakiki-uem] selain wujud Allah maka engkau syirik dan syirik itu zalim yang besar’.[26]

Kemudian beliau kepada penerangan tentang tauhid yang kedua pada sisi orang awam, katanya dalam kitab ’Matalib al-Salikin’ yang sama:

”Tauhid yang kedua diketrahui oleh tiap-tiap muslim khusus dan umum”Huwa Allah Ahad, Allah al-samad , lam yalid wa lam yulad, wa lam yakun lahu kufuwan ahad” [Ertinya ialah Dia Allah, Allah Tempat Bergantung sekelian makhluk kerana hajat kepadaNya kerana Ia maha kaya tidak memerlukan yang lain, Ia tidak melahirkan [anak] dan Ia tidak dilahirkan, dan tidak ada yang  sama sepertiNya’.-uem] Jika air laut meluap sampai ke sungai, maka air itu akan kembali ke laut dan pada hakikatnya tidak berubah’ [Ertinmya penciptaan makhluk, secara bandingannya  seperti melimpahnya rahmat Tuhan terzahirlah makhluk daripada berada dalam ilmuNya yang kadim dan azali keluar ke alam syahadah ini, kemudian akan kembali seluruh yang wujud itu kepada hadiratNya, tidak berubah apapun, yang kelihatan berubah adalah pada lahir sahaja;  digabungkan oleh beliau di sini perbincangan theologi dengan metafisika serta dengan perlambangannya; dan perlambangan jangan diambil pengertian secara harfiahnya-uem].

Tentang hubungan aqidah dengan amalan dan realisasi hidup kerohanian Syekh Yusuf rh menyatakan dalam ’Matalib al-Salikin’ begini:

”Ibadat [yang mesti dilakukan oleh orang mukallaf  ialah ]  supaya [ia] taat kepada Wahdat al-Wujud [yakni  wujud hakiki yang satu itu, yakni Allah –uem] tidak ada yang maujud [secara hakikinya] selain Allah, satu tidak ada teman, dalam wujudNya. Ubudiayah dalam bahasa ertinya taatnya sesuatu kepadfa sesuatu  seperti taatnya anggota badanmu kepada ruhmu.Engkau tidak dapat berbuat sesuatu , kecuali dengan kemauan ruhmu.Maka pada lahirnya anggota badanmu itu abdimu dan  zatmu [yang] dipertuan.Maka zat itu ’abid’ pada lahirnya dan ’ma’bud’ pada batinnya.[Selepas daripada menyebut  badan manusia adid, yang dipertuannya ruhnya, ertinya ruh itu yang ’disembah’ oleh badan, ia pergi pula kepada pembicaraan tentang KekalNya Wujud Allah dan binasa sekelian yang lainmnya; atau pada orang arif yang dikurniakan kesedaran rohani dan pemandangan yang sohih, sekarang juga ia ’melihat’ dalam penytaksian rohaninya, bahawa semuanya sedang binasa, dan yang ’dipandang’ kekal ialah wujud Allah-uem, katanya ] Tiap-tiap sesuatu akan rosak, kecuali WajahNya, Ia yang bijaksana dan kepadaNya semua akan kembali’[27]Semua itu akan fana, yang tinggal hanya Wajah Allah Yang Maha Tinggi dan Mulia’[28]

Bahasanya sangat kemas, epigramic,  perlu diperhatikan dalam konteks bicara ahli kerohanian dan tradisinya yang  hidup, kemas, dan berdisiplin itu.

Kemudian dala, berbicara tentang orang yang ’arif, muwahhid [ahli tauhid],  yang taat sebenarnya dalam erti yang difahami di kalangan ahli rohaniah dalam Islam [dalam kalangan Ahli Sunah] ia berkata:

”Siapa yang tahu hakikat tauhid, makrifat dan ubudiyah, maka ia arif, muwahid, dan taat.Maka siapa yang ingin berjalan kepada Allah hsrus faham [ertinya wajib faham ]  kalimat ini lebih dahulu.Kemudian menjalani jalan kepada Allah dengan kaifiyya [yakni cara] yakni Salik harus bersyariah dahulu untuk menghilangkan wujud selain Allah sebagai ilmu [yakni ia mengetahui perkara ini sebagai ilmu dahulu, kemudian baharu mencapai pengelaman tentangnya selepas menjalani latihan-latihan-uem]Jika sudah sampai di situ,  ia sampai kepada menghilangkan wujudnya sendiri [yakni dalam pengelaman kerohanian bila ia mengalami benarp-benar tentang  wujud dirinya sebenarnya tidak ada sebagai wujud yang hakiki, yang hakiki wujudnya hanya Allah, terasa padanya seperti dirinya hilang-uem] dan wujud selain Allah, iyanan [yakni secara mengalaminya sendiri; ’dengan mata’ tulis Tudjimah dalam braket-uem] Kemudian ia sampai kepada fana fillah [terasa diri fana mendepani wujud Allah], dan ia tetap padaNya seperti firasy  (hewan kecil) [seperti kelkatu yang mengelilingi cahaya –uem],  yang mel;emparkan dirinya ke dalam lampu dan terbakar.[29]

Tentang hubungan hamba dengan Tuhan dalam pengelaman rohaniah berkaitan dengan fana itu dan misalan analogi dengan  kelkatu dan lampu dengan cahayanya, ia menyatakan :

”Kita bertanya: Apakah firash kita ,menjadi lampu atau menjadi tidak ada lagi? Atau kita berkata: ’ia menjadi satu dengan lampu, kerana  sebelum ia melemparkan diri ia terpisah dengan  lampu.Setelah melemparkan dirinya , ia sampai kepadanya dan menjadi satu’.Begitu al-salik sebelum  ia menghilangkan wujudnya selain Allah,Ia sampai kepadanhya dan menjadi satu’ [Satu itu pada pengelaman yamng dikecapi, tetapi dengan hamba masih hambaNya, dan Tuhan adalah Rabb baginya; dan ’binasa’ itu pada kecapan pengelaman, walhal si hamba itu masih hidup dan ada, sebab kalau sudah hilang terus  binasa maka bagaimanakah ia akan mengecapi pengelaman itu dan merasainya  lagi? –uem].

Berkenaan dengan jalan-jalan menuju ke Hadirat Tuhan yang banyak itu, ia menyatakan  jalan ’yang paling dekat sekali’; katanya:

”…yang paling dekat dan paling sampai kepadaNya ialah supaya Salik menuju ke zat Allah , tidak menoleh kepada yang lain-lain.’Katakanlah , ini jalanku. Aku panggil [manusia] kepada Allah dengan pandangan matahati; aku dan mereka yang mengikutku, dan aku bukan dalam kalangan mereka yang musyrik[30] [Tudjimah menterjemahnya ’Panggillah kepada Allah’  secara amar, walhal itu mudari’  dengan erti ’aku menyeru, memanggil’, terjemahan Tudjimah ’dengan melihat aku’ walhal ’ala basiratin’ bererti ’dengan pemandangan basirah atau matahati’ atau ’dengan berdasarkan dalil yang nyata’ –uem].

Tentang kemestian menjalani syariat dan hakikat sekaligus, Syekh Yusuf menyatakan dengan tegas sekali dalam ’al-Fawa’ih al-Yusufiyya fi Bayan Tahqiq al-Sufiyya:[31]:

”Pahamilah, yang diminta itu [yallah dan sekelian makhluk

  • pergaulan dengan manusia dengan rendah  hati [bukan takbur]
  • tidak ria
  • ikhlas
  • menunaikan hak-hak manusia dengan meletakkan sesuatu pada tempatnya
  • berbicara dengan manusia mengikut kadar kemampuan akal mereka
  • jangan berbicara tentang ilmu dengan yang bukan ahlinya
  • antara sifat wali yang disebutklan: mulia, halus, tawakal kepada Allah, reda dengan kada dan kadar,  sabar atas kebencanaan yang menimpa,  rendah hati dalam menjalankan sunah,  menyerah diri kepada Allah dalam segala perkara, syukur kepada Allah Taala
  • Tanda syukur antaranya:  memperlihatkan perhiasan dalam pakaian yang halal, bukan  haram, tidak sombong, tidak takabur,
  • Antara tanda syukur lagi: benar dalam kata-kata, kata-kata yang baik-baik
  • Nukilan hadis tentang keimanan itu menyintai saudara seperti diori sendiri
  • Nukilan ayat yang bermaksud: ’kalau kamu bersyukur Aku tambahkan niamat’
  • Antara sifat-sifat mulia: tiada keinginan untuk menjadi masyhur, menjadi terkenal, tidak takabur dan ujub, tidak iri hati dan dengki, menutup aib oreang lain, termasuk aurat mereka, menutup rahasia orang
  • Dalam ibadat [selain daripada sembahyang yang wajib] senag mengerjakan sembahyang sunat ta’khir dan takdim, melihat kepada saudara sesamanya denga hormat takzim,  tanpa sombong dan marah, meninggalkan permusuhan sesama umat Muhammad SAW
  • Antara adab-adab yang utama:  dipercayai, benar dalam kata-kata, ikhlas dalam beramal, ingin men untut ilmu, tidak menonjol diri ’khususnya pada zaman ini’[32], suka menolong saudaranya, atas dasar tlong-menolong dalam kebaikan dan taqwa,   sebutan tentang mukminin sebagai saudara  sesbagaimana yang tersebut dalam hadis,
  • Antara sifat-sifat yang disebutkan ialah kemestian bersifat adil, jangan zalim, kerana itu dilarang syariat dan hakikat; antaranya; tidak menghina orang yang fasik;
  • Nukilan prinsip: ’Tiap-tiap syariat tanpa hakikat itu batil, dan hakikat tanpa syariat itu juga kurang (atau kosong)’[33]
  • Nukilan prinsip : Siapa yang berfikih tetapintidak bertasawwuf , ia fasik, dan siapa yang bertasawwuf dan tidak berfikih ia  zindik.Siapa yang berfikih dan bertasawwuf , ia benar’.

-Sebutan seterusnya tentang kemestian berpegang kepada syariat dan hakikat ke dua-duanya.

-Selepas nukilan beberapa hadis qudsi terdapat kenyataan Syekh Yusuf berkenaan dengan mereka yang sampai kepada kesempurnaan perjalanan rohaniahnya, katanya:  ”Maka fanalah semua wujud dalam wujud Taala, maka wujud kita fana dan tidak ada yang menutupi penglihatan kita dan menghalang-halangi pendengaran kita, terang ucapan kita dan tidak menghapus keadaan kita kerana tetapnya kita dalam asalnya’ [Ini menunjukkan bahawa fana itu pengelaman yang dikecapi secara rohani dan bukan akidah; dan orangnya bukan binasa dalam erti harfiah tetapi terasa fananya dalam pengelaman; tetapi ia masih ada dan hidup; sebab itu Syeh menyebut berkenaan  dengan ’melihat’nya orang itu, ’mendengar’nya orang itu, ’terus ada’nya orang itu-uem] Sepertimana wahdatul-wujud yang bertalian dengannya; sebab itu kita lihat Syekh Yusuf rh  cergas dalam gerak dakwah dan kerohaniannya, dalam masa-masa tertentu mengambil bentuk penentangan  penjajahan [bila diperlukan itu muncul dalam hidupnya], tetapi itu semua berlaku dalam konteks pemngabdian secara rohaniah kepada Tuhan, dengan  kesedaran tentang pengelaman tauhid  yang sampai ke kemuncak atau antara kemuncaknya-uem].

-Dalam kitab ’Kaifiyyat al-Munghi wal Ithbat bil Hadith al-Qudsi’[34] terdapat bimbingan-bimbingan tentang amalan-amalan kerohanian, terutamanya tentang zikir dan tafakur.Antaranya:

-Sebutan tentang jalan orang yang taat dan terpilih dalam agama ialah jalan berzikir mengingati Allah ’tiap-tiap waktu dan dalam segala hal’[35]

-syarat taubat daripada semua dosa kecil dan besar

-keadaan diri suci lahir batin

-syarat-syarat taubat: lepasnya dari dosa;  menyesali diri kerana dosa; berlepas diri daripada dosa; minta ampun kepada yang berhak dan mengantikan apa yang diambil secara  zalim.[36]

-tentang tiga kategori zikir: zikir nafi dan ithbat: ’la ilaha illah’llah; Zikir mujarrad:Allah, Allah, Allah’ – bagi yang layak; Zikir ism isyarat ” ’Hu’ ’Hu’ ’Hu’ –bagi yang layak

-hasil zikir ’la ilaha illa’llah’  terbuka jalan mensucikan hati

-hasil zikir ’Allah, Allah, Allah’ terbuka jalan mensucikan ruh

-hasil zikir ’Hu’,’Hu’, ’Hu’   terbukanya hakikat sirr, rahasia [katakanlah: batin hati]

-zikir kedua zikir hati

-zikir ketiga zikir sirr (batin  hati)

-zikir pertama makanan lidah

-zikir kedua makanan hati

-zikir ketiga makanan  sirr;

-Atau: zikir pertama hidupnya hati

-zikir kedua hidupnya ruh

-zikir ketiga hidupnya sirr

-zikir awam: ertinya ’tidak ada yang disembah melainkan Allah’

-zikir khawas ahli tasawwuf :[selain daripada mengerti tiadak tuhan melainkan Allah], ertinya: tidak ada yang dicari, tidak ada yang dimaksud, atau dicintai pada hakikatnya, melainkan Allah;

-zikir khawwas dari yang khawwas: dari ahli nihayah: ertinya [selain daripada yang diatas-uem] ialah: tidak ada yang maujud pada hakikatnya, melainkan Allah. Kalau ditanya: bagaimanakah dikatakan bahawa alam tidak ada walhal kita lihat ada? Dijawab: ’Bagi arifin bi’Llah: istilah itu difahami oleh golongan mereka mengikut erti mereka, yakni, pada hakikatnya tidak ada yang maujud melainkan maujud yang berdiri sendiri, disebut ’wujud hakiki’, ’Wujud mutlak’ yakni Allah, kerana Ia berdiri sendiri.Semuan yang lain berdiri atas wujudNya.Yang lain itu dikatakan ’wujud majazi’, bukan ’wujud hakiki’ [ertinya bukannya dinafikan alam sebagai tidak ada langsung-uem].

-Orang al-kamal pada ilmu dan  pengelaman rohaninya] berkata:  ‚Tidak ada yang maujud melainkan Allah’ [itu pengucapan tentang pengelaman dalam penyaksian rohaniah mereka, bukan dinyatakan sebagai akidah seperti yang dibicarakan tentang sifat-sifat Tuhan dan sifat-sifat makhluk-uem].

-Diikujti dengan cara zikir : ’Engkau membuat suara dari bawah pusat, dan dari situ  meluas ke otak di dalam kepala dengan ucapan yang halus.Jika engkau mengucapkan ’ilaha’  engkau menyondongkan diri ke sisimu, kecuali pada memanjangkan ’la ianfiia’ dalam ’mubalagha’ dengan memperhatikan kasrahnya hamzah dari kalima ’ilaha’ Jika engkau mengucapkan itu, engkau berhenti sekejap dan meniadakan segala hal selain Allah .Kemudian pada perkataan ’illallah’ tetap padanya dengan memanjangkan ’lam’  dan matinya ’ha’ dengan  condong ke sisi kiridan memukul dengan keras  kepada kepala dan mulut sanubari .Ini tempatnya di bawah buah dada sebelah kiri di mana kemudian berbekas ke seluruh badan.Ini kamu kerjakan berulamng-ulang kali sehingga campur dengan darah dagingmu.Zikir tersebut harus [yakni] mesti menjadi kebiasaan bagimu, kerana  diulang-ulang, dengan pertolongan Allah Taala.Maka hati kamu kemudian menjadi [secara simbolisnya  seolah-olah seperti ] arsy Allah [dalam erti ia menjadi tempat kamu sentiasa mengingatiNya dan merasa hadhirNya dengan  kalbu kamu itu, bukan dengan anggota badan yang lain –uem].


-Lagi katanya; ’Jika ingin zikir ’Hu,Hu’  [bila sudah cukup syarat-syarat pada dirimu] dengan sukunnya ’wau’ maka wajib atasmu untuk memperhatikan maksud dan isyaratnya, iaitu: Ia itu Allah, al-Rabb, al-Ma’bud, yang Esa, al-Samad [Tempat Tumpuan keperlian sekelian makhluk secara mutlak, Ia Kadim, lagi Kekal Abadi-uem]Yang Awal [Tanpa Perrmulaan], Yang Akhir [tanpa kesudahan], yang lahir [dengan tanda-tanda sifat-sifatNya yang nboleh diperhatikan kesanNya dalam alam], yang batin  [tidak mampu ditanggapi oleh indera manusia]yang disifati dengan semua sifat yang sempurna”.[37]

-Diikuti dengan  sebutan tentang kelebihan-kelebihan rohani orang yang gemilang hatinya dengan nurf pengenalan terhadap Tuhannya dan kemesraan denganNya.

-Tentang hati dalam psikologi rohaniah, katanya: ’…yang dimaksud dengan hati iaitu hati yang hakiki, yang maknawi, iaitu daging dengan ruhnya, dan hayatnya yang  khusus bagi ahli iman.Hati maknawi itu juga disebut Arsy Allah .Kerana sabda nabi SAW : ’Hati orang mukminarsy Allah…’

-’yang dimaksud dengan ruh di sini hidupnya iman, bukan ruh dari badan.Adapun ruh dari badan itu maujud pada orang kafir dan hewan,Maka bagi orang kafir hatinya tidak ada ertinya.Ia mermpunyai bentuk hati sahaja dan hati sanubarinya hanya daging sahaja, dalam ruhnya tidak ada hayatnya, tidak ada batinnya, tidak ada rahasianya.Ia hamnay empunyai bentuk ruh , tidak hidup, tidak ada sirr sama sekali…yang dimaksud dengan sirr di sini rahasia hidup ruh, yang khusus bagi insan kamil.

Dalam teks ’al-Nafhah al-Saylaniyyah’ yang dikaji dengan telitinya oleh Syamsul Bahri Andi Galigo, serta dengan terjemahannya dan huraiannya, terdapat pengajarannya, secara ringksnya seperti berikut:

-Penekanan kepada Sifat Tuhan yang berlainan daripada sekalian makhluk, serta pengembal,ian akidah semuanya kepada isi Surah al-Ikhlas; yang kemudian adalah pendetailan tentang nas-nas asal itu.

-penyerahan kepada Tuhan tentang erti sebenarnya ayat-ayat dan hadith-hadith yang mutasyabihat.[38]

-keperluan mencari syeikh yang mursyid kalau boleh, walaupun melibatkan perjalanan yang jauh, meninggalkan anak isteri

-menyerah diri untuk ditarbiah oleh syeikh yang mursyid dengan adab-adabnya

-Keperluan kepada sikap beradab tidak menentang syeikh yang sebenar itu kalau terlihat sesuatu yang tidak menyenangkan pada segi aturan Syara’, yang akan difahami kemudiannya bila murid bersabar.

-keperluan kepada sifat harap dan takut yang seimbang

-keperluan bersikap dengan adab yang baik kepada sekalian makhluk ’dilihat dari sudut  asma’ dan sifat Allah Taala [pada pemandangan rohaniah mereka yang cerah pemandangan rohaniah dan pengelamannya-uem].Maka apabila kebaikan adab bersama makhluk dituntut dan mesti   mengikut ulama yang arif  kepada Allah Taala, tentulah lebih  penting lagi kebaikan adab bersama Allah Taala…”[39]

-kemestian redha dengan qada dan qadar

-berbaik sangka sesama manusia

-kemestian kasih kepada Allah

-kemestian zikir sentiasa  dengan nas-nasnya

-zikir mereka pada peringkat permulaan, menengah dan kesudahan

-kemudianm, selepas menyebut beberapa perkara tentang zikir dan sifat-sifat  yang mesti diamal  dinyatakan oleh beliau :’…Tetapi jalan yang paling pantas menuju Allah Taala sepertimana yang dinyatakan oleh ulama sufi , ada tiga peringkat: iaitu pertama: jalan orang-orang pilihan (’al-akhyar’)  iaitu usaha melalui ibadah dan amalan zahir yang banyak,  seperti sembahyang, puasa, tilawat al-Qur’an, haji, jihad [yang semuanya  dilakukan oleh Syeikh Yusuf  sendiri rh dalam  hidupnya  sebagaimana yang jelas dalam sejarahnya-uem] dan lain-lain, namun yang berhasil sampai kepada Allah adalah amat sedikit.Ketahuilah yang demikian itu. Kedua, jalan orang-orang yang ’mujahadah’ secara berat, dengan latihan-latihan yang kuat, seperti menggantikan akhlak yang tercela dengan akhlak yang elok, mendidilk jiwa, mensucikan hati, melapangkan ruh, dan membersihkan ’sirr’ (rahasia) .Orang yang berjaya sampai, melalui jalan ini cukup ramai, lebih ramai, dibanding dengan kumpulan pertama dengan berlipat ganda [kalau sekarang keadaannya terlalu amat berbeza sekali, golongan yang pertamapun sangat kurang-uem], .Kerana yang pertama itu hanya mengambil kira kepada zahirnya sahaja tanpa batinnya, sedang yang kedua , ia memberi perhatian lebih kepada yang batin daripada amalan zahir .Ketiga jalan orang-orang yang banyak berdhikir (’ahl al-dhikr’) dan cinta (’mahabbah’) pada Allah, zahir dan batin.Orang yang berjaya sampai , pada peringkat permulaan (’bidayah’)    daripada goplongan ini, lebih ramai dibanding dengan peringkat akhirnya (’nihayah’) , golongan ini berusaha menjaga dengan penuh perhatian , baik amalan zahir mahupun amalan batin secara keseluruhannya.Dan mereka tersendiri dalam mengkhaskan   dhikir mereka kepada Allah Ta’ala, begitu juga kecintaan mereka kepada Allah (S.W.T.) .Dan jalan-jalan yang disebutkan di atas , semuanya memiliki  sepuluh usul (asas ajaran).[40]

-Disusuli dengan  sebutan sepuluh usul[41] seperti :bertaubat daripada dosa, zuhud terhadap dunia [dengan cara yang betul].bertawakkal, bersifat dengan sifat ’qana’ah’ dengan pemberian Allah [tidak rakus], ’uzlah datripada pergaulan [yang tidak diperlukan], bertawajjuh  atau penumpuan rohaniah  kepada Allah,  sabar atas bala bencana yang menimpanya, redha dengan qada’ dan qadar, zikir lahir batin, muraqabah terhadap Allah [ertinya kewaspadaan rohani menyedari kahadhiran Ilahi, atau menyedari Allah memerhatinya setiap saat dan ketika –uem]

-disusuli dengan menyebut kedudukan bai’ah untuk perjalanan tarikat sufiah

Kajian Syamsul Bahri Andi Galigo rasa saya merupakan kajian ’indepth’ yang menghuraikan banyak masalah-masalah dalam kerangka ejaran akidah dan tasawwuf Syeikh Yusuf Makasari rh.Ia merupakan tambahan yang sangat berharga kepada kajian-kajian yang dibuat sebelumnya oleh Tudjimah, Abu Hamid, Nabilah Lubis dan lain-lain serta juga sarjana-sarjana Belanda dahulunya.

Kesimpulan:

Kesimpulan tentang Kepentingan peribadi dan ajaran Syeikh Yusuf Untuk umat masakini-ia bukan hanya setakat mengenang jasanya sebagai hero nasional mendepani penjajahan Belanda  serta pendedahan pemikiran dan ajaran rohaniah dan teologi sebagai khazanah pemikiran yang lahir dalam sejarah silam dalam abad ke 17 ; pada penulis ini kepentingan Syeikh Yusuf dalam ajarannya menunjukkan kepada kita bagaimana ulama sufi ini berdiri dalam kerangka ajaran Ahli Sunah dalam akidahnya,  yang digabungkan dengan kefahaman sufi dan amalannya serta realisasinya  yang berkesan; dengan itu lahirlah gabungan antara fahaman  Ahli Sunah  yang boleh dicontohi, dengan kesedaran rohaniah yang sahih dan teguh,  yang terjelma pula dalam aktivisme dan dakwah serta perjuangan menentang kolonialisme pada zamannya. Dia bukan sahaja milik Makasar atau Indonesia, bahkan ia milik Nusantara dan umat Islam seluruhnya yang menunjukkan kekentalan fahaman, pegangan dan peribadi yang unggul.Pada fahaman penulis ini fahaman agama yang dibawanya mampu memberi kekuatan intelektuil dan rohani bagi membantu kita mendepani gejala pemikiran, rohani dan moral masakini, selain daripada bantuan kekuatan yang kita bolah dapati dari wacana intelektuil dan rohani Islam arusperdana yang kaya itu.Allah memberi rahmat kepadanya.Wallahu a’lam.


[1] Penulis adalah Fellow Amat Utama Akademik ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun islam) UIAM, Ahli Lembaga pengarah Institut Integriti Malaysia, Ahli Jemaah pemegang Amanah Yayasan Karyawan, Mantan Pesuruhjaya SUHAKAM.

Kertas ini adalah untuk pembentangan dalam Seminar Tentang Syeikh Yusuf Makasar di Makasar pada 21 Oktober 2008

[2] Penerbit Universitas Indonesia, 2005

[3] Dengan pengantar oleh Taufik Ismail, Yayasan Obor Indonesia, 2005,

[4] Penerbitan Mizan, 1996.

[5] Terbitan USIM, (dulunya Kolej Universiti Islam Malaysia), 2004.

[6] Banyak dibicarakan oleh Abnu Hamid, op.cit.1-142 dengan ulasan-ulasan tentang kekuatan peribadi dan ilmunya; oleh Tudjimah, op. cit., 1-20; oleh Nabilah Lubis, op. cit.,15-28; oleh Syamsul Bahri Andi Galigo, dalam ‘Pemikiran Tasawwuf Syeikh Abu Mahasin Yusuf al-Taj’ terbitan Kolej Universiti Malaysia, 2004 hlm.1-26.

[7] Nabilah Lubis, op.cit., 134.

[8] Syamsul Bahri Andi Galigo,  op.cit.  hlm 6-7.

[9] Nabilah Lubis, op.cit., hlm 22.

[10] Syamsul Bahri Andi galigo, op. cit. hlm. 11.

[11] Abu Hamid, op.cit. 106.

[12] Syamsul Bahri Andi Galigo, op.cit., hlm 20-21.

[13] Tudjimah, op. cit, hlm 21-108.

[14] Yang dikaji secara khusus oleh Nabilah Lubis, yang merupakan bab V bukunya (op.cit.), hlm71-127 dengan teks Arabnya bersebelahan dengan terjemahannya.

[15] Tudjimah, op. cit. hlm.22-108..

[16] Op.cit. hlm 29-30.

[17] Op.cit.hlm.26-27

[18] Ibid.hlm.27-28.

[19] Merujuk kepada ‘alim al-ghaib wa al-shahadah –dalam al-Hasyr: 22.

[20] Merujuk kepada ayat ‘kaifa madda al-zill’  ertinya : Tidakkah engkau melihat bagaimana kekuasaan Tuhanmu? Bagaimana  Ia menjadikan bayang-bayang itu terbentang luas dan jika Ia kehendaki Ia menjadikannya tetap, (tidak bergerak dan tidak berubah)…(al-Furqan:45).

[21] Lihat Tudjimah, op.cit.hlm.72-73. Nabilah Lubis, op.cit. hlm.43.

[22] Lihat Tudjimah, op. cit.hlm 91-93.

[23] Surah al-A’raf: 99.

[24] Lihat Tudjimah, op. cit. 38.

[25] Tudjimah, op.cit., hlm 38-39.

[26] ibid., hlm.39.

[27] Merujuk kepada erti Surah al-Qasas:88.

[28] Merujuk kepada erti ayat Qur’an Surfah al-Rahman: 26-27.

[29] Dalam ‘Matalib al-Salikin’ dalam terj.dan transkripsi Tudjimah, ibid. Hlm 40.

[30] Nampaknya ini berdasarkan surah Yusuf: 108.Terjemahan penuh ayat itu ialah : ‘Katakanlah [wahai Muhammad] Ini jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata.Dan aku menegaskan :maha suci Allah, dan bukanlah aku dai   golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain” (Yusuf: 108 terj.’Pimpinan al-Rahman’ , Kuala Lumpur, terbaru, tetapoi tanpa tarikh.Bandingkan dengan terjemahan dalam ‘Al-Qur’an dan Terjemahannya’ Yusuf:108 demikian : ‘Katakanlah: Inilah jalan (agama)ku aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan hujjah yang nyata,.Maha Suci Allah, dan aku tidak termasuk orang-orang yang musyrik’ (terbitan Mujamma’ Khadim al-Haramain, edisi 1971, Medinah Munawwarah.

[31] Tudjimah, op.cit. 27 dst.

[32] Al-Fawa’ih al-Yusufiyyah dalam Tudjimah,  ibid., hlm 29.

[33] Ibid.hlm 30.Dari: الشريعة بلا حقيقةعاطلة * الحقيقة بلا شريعة باطلة

[34] Dalam Tudjimah, ibid, hlm.31-38

[35] Ibid.hlm.31-32.

[36] Ibid. 32.

[37] Tudjimah, hlm 35-36.

[38] Syamsul Bahri Andi Galigo, ‘Pemikiran Tasawwuf Syeikh Abu Mahasin Yusuf al-Taj’ hlm53.

[39] Ibid. hlm 53-59.

[40] Ibid, 77.

[41] Ibid. 77-78.

Dikirim dalam Uncategorized. 1 Comment »