Penulisan hadis tokoh ulama nusantara

MAKAM Sheikh Ibnu Hajar Al-Asqalani seorang ulama masyhur dalam bidang ilmu hadis.



sumber: Utusan Malaysia – 9 Mac 2009

TOKOH-tokoh ulama yang dibicarakan ini masih lagi berkisar tentang keterlibatan mereka dalam penulisan ilmu hadis. Sebelumnya, telah diperkenalkan beberapa ulama-ulama Nusantara yang juga menghasilkan penulisan-penulisan sedemikian, antaranya iaitu: Sheikh Abdullah Bin Abdul Mubin al-Fathani, Sheikh Daud Bin Abdullah al-Fathani, Sheikh Nawawi al-Bantani, Sheikh Wan Ali Kutan Kelantan, dan Sheikh Ahmad al-Fathani.

Kesinambungan daripada itu, dibicarakan pula sebahagian lagi tokoh ulama yang juga terlibat dalam penulisan ilmu tersebut. Perlu dijelaskan bahawa sekelian tokoh ulama yang dibicarakan berkaitan penulisan hadis ini pernah diperkenalkan secara khusus sebelumnya. Namun perbicaraan ini pula hanya tertumpu pada penulisan hadis dan perkembangannya.

Penulisan Hadis

lSheikh Ahmad LinggaUlama yang berasal dari Riau-Lingga yang menghasilkan beberapa buah karangan ini nama lengkapnya ialah Sheikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga. Salah sebuah daripada karangannya ialah mengenai hadis yang diberinya judul Nashihatu Ahlil Wafa ‘ala Washiyatil Mushthafa, yang diselesaikan di Mekah, pada hari Sabtu, 11 Syawal 1312 H/1895 M. Ia merupakan terjemahan wasiat Nabi Muhammad SAW kepada Saidina Ali Karamahullahu Wajhah yang pertama dalam bahasa Melayu.

lSheikh Utsman PontianakNama lengkap beliau ialah Sheikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani al-Banjari, merupakan salah seorang ulama yang berasal dari Pontianak, berketurunan ulama Banjar, yang juga menghasilkan beberapa buah karangan.Karangan beliau mengenai hadis ialah Irsyadul ‘Ibad Penjaga Dan Bekal Hari Akhirat, disingkat Irsyadul ‘Ibad, yang diselesaikan tahun 1324 H/1906 M, juga dicetak dalam tahun itu oleh Matba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah. Kitab tersebut adalah terjemahan daripada kitab Munabbihat ‘alal Isti’dadi li Yaumil Ma’ad karya Sheikh Ibnu Hajar al-‘Asqalani. Irsyadul ‘Ibad merupakan terjemahan secara lengkap kitab tersebut yang dilakukan oleh Sheikh Utsman Pontianak, kitab yang sama pernah diterjemahkan oleh Sheikh Ahmad al-Fathani tetapi hanya dipilih beberapa hadis saja. Pilihan hadis dari kitab Sheikh Ibnu Hajar al-Asqalani oleh Sheikh Ahmad al-Fathani itu dimuat pada beberapa halaman Hadiqatul Azhar. Kitab yang sama juga pernah dibahas oleh Sheikh Nawawi al-Bantani yang diberi judul Nashaihul ‘Ibad yang telah dibicarakan sebelumnya.

lSheikh Mahfuz At-TarmasiUlama yang berasal dari Termas ini menghasilkan beberapa kitab dalam bahasa Arab, karyanya dalam bentuk yang tebal. Nama lengkapnya ialah: Sheikh Muhammad Mahfuz ibnu al-‘Allamah al-Haji Abdullah ibnu al-Allamah al-Haji Abdul Mannan at-Tarmasi. Lahir tahun 1285 H/1868 M di Termas, Jawa Tengah. Dalam karyanya judul Kifayatul Mustafid lima ‘Ala minal Asanid, disingkat Kifayatul Mustafid membicarakan berbagai-bagai sanad. Pada halaman 10 sehingga halaman 19, khusus membicarakan sanad-sanad ilmu hadis mulai beliau, gurunya, hingga kepada yang lebih atas.Mengenai Al-Jami’ Shahih Bukhari pula, beliau khatam sebanyak empat kali, belajar kepada beberapa ulama dengan sanad yang berbeza-beza. Beliau pelajari hadis tersebut kepada Saiyid Abu Bakar Syatha (1266 H/1849 M-1310 H/1892 M), melalui sanad Saiyid Ahmad bin Zaini Dahlan (1231 H/1815 M-1304 H/1886 M) hingga sampai kepada Imam Bukhari. Kitab hadis yang sama beliau belajar kepada Saiyid Husein ibnu Saiyid Muhammad al-Habsyi. Saiyid Husein al-Habsyi belajar kepada ayahnya Saiyid Muhammad bin Saiyid Husein al-Habsyi melalui sanad Sheikh Umar bin Abdul Karim bin Abdur Rasul al-Athar hingga sampai kepada Imam Bukhari. Beliau juga belajar kitab Shahih Muslim, Sunan Ibnu Majah, Musnad Imam Abi Hanifah, Musnad Imam Syafi’ie, Musnad Imam Ahmad bin Hanbal, Mukhtasar Abi Jamrah, Asy-Syifa’, Al-Arba’un an-Nawawiyah, Asy-Syamail juga kepada Saiyid Abu Bakar Syatha yang tersebut. Sunan Abi Daud dan Muwaththa’ Imam Malik kepada Saiyid Muhammad Amin Ridhwan al-Madani di Madinah.Sunan Tarmizi dan Sunan Nasai. kepada Sheikh Muhammad Sa’id Babshail, dan lain-lain yang belum disebutkan. Semua penerimaan ilmu hadis itu dibicarakan dengan sanad sampai kepada pengarang sesuatu kitab itu, sanad-sanad itu ada yang sama dan ada yang berbeza-beza pengambilannya. Karya Sheikh Muhammad Mahfuz Termas tentang hadis yang agak besar ialah Manhaj Zawin Nazhar, yang pernah dicetak berkali-kali di Mekah dan Surabaya.

lSheikh Husein KedahUlama keturunan Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari yang berdomisil di Kedah ini tercatat nama pada karya-karyanya ialah Sheikh Husein Nashir bin Muhammad Thaiyib al-Mas’udi al-Banjari al-Qadhi. Nama popular disebut Tuan Husein Kedah. Di antara karya-karyanya yang banyak terdapat sebuah karya hadis yang diberi judul Terjemah Hadis Jawahirul Bukhari. Belum diketahui tahun berapa karya ini beliau selesaikan kerana yang terdapat pada penulis hanya juzuk yang pertama sama. Cetakan pertama oleh Al-Maktabah Az-Zainiyah, Taiping, Perak, 1350 H. Pada mukadimah, Tuan Husein Kedah menyebut bahawa beliau terjemahkan daripada segala lafaz Hadis Jawahiril Bukhari dan sebahagian daripada Syarh al-Qastalani yang telah disebarkan oleh ulama Mesir moden, iaitu Sheikh al-Allamah Mustafa Muhammad Imarah al-Masriyah daripada kitab Hadiqatul Ahadisil Bukhari, lebih 700 hadis yang sahih sekeliannya. Tuan Husein menyebut judul sebenar terjemahannya itu dengan Tazkir Qabailil Qadhi fi Tarjamatil Bukhari. Hadis-hadis yang dibicarakan di dalam kitab ini sebahagian besarnya adalah sama dengan yang terkandung dalam Mukhthasar Ibnu Abi Jamrah. Terjemahan kitab ini juga terdapat dalam bahasa Melayu yang diusahakan oleh Mustafa Abdur Rahman Mahmud, 1369 H/1950 M yang diberi kata pengantar oleh Sheikh Abdullah Fahim.Walau bagaimanapun, susunan dan model terjemahan kedua-dua kitab tersebut adalah tidak sama. Terjemahan Mustafa Abdur Rahman Mahmud lebih banyak merujuk kepada Hasyiyah ‘ala Mukhtashar Ibnu Abi Jamrah lil Bukhari oleh al-Alim al-Allamah Sheikh Syinwani yang pernah dinobatkan sebagai Sheikhul Islam Universiti Al-Azhar.

lSheikh Utsman Jalaluddin Al-KalantaniUlama yang berasal dari Kelantan ini adalah murid Tok Kenali. Daripada sekian banyak karya beliau, dijumpai juga bahasannya mengenai hadis. Dalam karyanya berjudul Mathali’ul Anwar wa Majami’ul Azhar, disingkat Mathali’ul Anwar. Juzuk yang pertama merupakan bahasan asal-usul ilmu-ilmu keislaman. Mulai halaman 33 pula membahas ilmu-ilmu hadis. Bahasan ini sangat menarik kerana beliau membandingkan dengan aliran mazhab dalam satu segi. Pada segi yang lain beliau membela mazhab fiqh, yang sebenarnya; tokoh-tokoh terutama imam yang empat orang sebagai Mujtahid Muthlaq adalah tidak terlepas daripada keterlibatan mereka daripada sumber al-Quran dan hadis. Syeikh Utsman Jalaluddin al-Kalantani memulakan penulisan hadisnya dengan memperkenalkan 10 yang dianggap sebagai orang pertama menghimpunkan (menulis) hadis, mereka ialah:- Imam Malik bin Anas di Madinah- Abdullah bin Abdul Aziz bin Juraih di Mekah- Sufyan ats-Tsauri di Kufah- Hammad bin Salamah di Basrah- Sai’id bin Abi ‘Arubah – Husyaim bin Basyir di negeri Wasit- Abdur Rahman Auza’i di Syam- Ma’mar bin Rasyid di Yaman- Abdullah bin al-Mubarak di Khurasan- Jarir bin Abdul Hamid di negeri Raiy

lMenurut beliau, “Dan adalah demikian itu di dalam kurun yang kedua, maka ialah tahun 145H”. Sheikh Utsman Jalaluddin al-Kalantani, menyebut pula thabaqat ulama hadis sesudah itu dengan kemunculan dua tokoh, iaitu:- Abu Abdullah Muhammad bin Ismail al- Bukhari, wafat 256 H-Muslim bin al-Hajjaj an-Nisaburi, wafat 261 H.

lSelanjutnya, kata beliau, “… dan mengaranglah seumpamanya empat orang”:- Abu Daud Sulaiman bin Asy’ab Sijistani, wafat 275 H- Abu Isa Muhammad bin Isa as-Sulami, wafat 279 H- Abu Abdullah Muhammad bin Yazid Qazwini (Ibnu Majah), wafat 273 H- Abu Abdur Rahman Ahmad bin Sa’id Nasa’i, wafat 303 H.

lKarya enam orang yang tersebut dikenali dengan Kitabus Sittah (Kitab yang enam). Menurut beliau pula, tidak dapat dinafikan bahawa untuk memastikan sesuatu hadis benar-benar sahih adalah melalui liku-liku yang sangat sukar, kecuali apabila bersungguh-sungguh membuat penelitian terhadapnya. Oleh itu terjadilah perdebatan pada hadis dalam dua perkara:- Adakah hadis itu suatu asal daripada segala asal bagi menjalankan syariat yang dibangsakan kepada Islam, lagi yang menyempurnakan bagi Quran yang mulia.- Apabila kita berkata bahawasanya hadis itu ialah asal, maka apalah jalan bagi kita memegangnya.

lKedua-dua kemusykilan di atas dijawab oleh Sheikh Utsman Jalaluddin bahawa pada kemusykilan yang pertama, “Maka bahawasanya [ada] kaum meninggallah oleh mereka itu akan hadis-hadis sekaliannya dan menyimpan oleh mereka itu di atas Quran jua”. Kemusykilan yang kedua, menurut beliau, bahawa Imam Syafie dalam Al-Umm, suatu bab pada juzuk yang ketujuh akan tanda bagi bab berbantah-bantahan. Dilihat bahawa Sheikh Utsman Jalaluddin tidak sependapat dengan golongan yang tidak mahu menggunakan qias dan istihsan. Ini sangat jelas pada tulisan beliau, “Sungguhnya adalah segala sahabat dan tabien itu apabila tiada mendapat oleh mereka itu akan nas di dalam Quran dan tiada di dalam hadis Nabi SAW nescaya bersandarlah mereka itu kepada barang yang mendengar oleh mereka itu akan dia pada fikiran ijtihad…””Dan sungguhnya segala yang beramal dengan qias dan istihsan itu ialah salaf yang soleh-soleh daripada yang besar-besar daripada segala sahabat seperti Saiyidina Umar pada daur yang pertama, dan Ibnu Abbas pada daur yang kedua, dan Rabi’ah dan Ibrahim Nakha’ie pada tabien. Maka betapalah kaum kami meninggal akan qias dan istihsan? Adakah kaum kami terlebih alim daripada mereka itu?Sebab-sebab Sheikh Utsman Jalaluddin menulis kalimat di atas adalah pada zaman itu mulai hangatnya perselisihan pendapat (khilafiyah) di seluruh Asia Tenggara, maka timbullah istilah “Kaum Tua” dan “Kaum Muda”. Golongan Kaum Tua berpegang kepada salah satu mazhab, terutamanya Mazhab Syafie, sedang Kaum Muda mendakwa hanya berpegang kepada al-Quran dan hadis sahaja. Apabila kita teliti, segolongan besar manusia hanyalah pengakuan saja berdasarkan al-Quran dan hadis, yang sebenarnya hanyalah berpegang dengan kehendak diri sendiri atau nafsu semata-mata. Hanya pengakuan saja berdasarkan al-Quran dan hadis, sedangkan pengetahuan yang menyeluruh mengenai kedua-duanya itu belum dikuasai sepenuhnya. Maka pengakuan demikian adalah satu pembohongan semata-mata atau tertipu dengan diri sendiri. Sangat ramai ulama terdahulu yang pengetahuannya sangat luas dan mendalam termasuk ahli dalam hadis seperti Imam Nawawi, Sheikh Ibnu Hajar dan lain-lain sedangkan mereka tidak juga berlepas daripada mazhab. Oleh itu, semua ulama tradisional Asia Tenggara sungguhpun mereka sangat dalam pengetahuannya tentang hadis, namun mereka tetap berpegang kepada Mazhab Syafie dalam fiqh, Ahlus Sunnah wal Jamaah aliran Sheikh Abu Hasan al-Asy’ari dan Abu Mansur al-Maturidi dalam akidah, mengikut ulama-ulama sufi yang muktabar dalam amalan tasawuf dan tarekat.

lSheikh Idris Al-MarbawiUlama yang berasal dari Perak ini, sangat terkenal dengan kamus Arab-Melayunya, iaitu Qamus al-Marbawi. Ilmu yang paling banyak diperolehnya adalah daripada Tok Kenali Kelantan. Karyanya yang berupa hadis yang terkenal ialah Bahrul Mazi, yang judul lengkapnya Bahrul Mazi li Syarh Mukhtashar Shahihit Tarmizi. Karyanya tersebut adalah terjemahan kitab Shahih Tarmizi, serta disyarah oleh Sheikh Idris bin Abdur Rauf al-Marbawi tersebut. Terjemahan Shahih Tarmizi secara lengkap ini adalah merupakan yang pertama sekali dilaksanakan dalam bahasa Melayu. Bahrul Mazi adalah merupakan karya besar yang terdiri daripada 22 jilid yang sudah diterbitkan. Maklumat ringkas tentang keseluruhan jilid kitab tersebut pernah dibicarakan sebelum ini dalam perbicaraan yang khusus mengenainya.

3 Respons to “Penulisan hadis tokoh ulama nusantara”

  1. Liza Says:

    I follow your blog for quite a long time and must tell that your posts are always valuable to readers.

  2. Bro Zul Says:

    assalamu’alaikum

    Saya ingin mengambil artikel-artikel di blog ini untuk dipaparkan di dalam blog htpp://jomfaham.blogspot.com

    Terima kasih ya/


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: