Ilmu, Pendidikan dan Pembinaan Kekuatan Melayu

Ilmu, Pendidikan dan Pembinaan Kekuatan Melayu Dalam Mengalami Globalisasi Dan Teknologi Komunikasi & Maklumat

OLEH:

MUHAMMAD ‘UTHMAN EL-MUHAMMADY

Insya’ Allah dalam nota ini penulis akan berbicara berkenaan dengan jangkauan ilmu, pendidikan, dan permasalahan membina kekuatan Melayu dalam erti ketamadunan—bukan hanya ethnik—dalam menghadapi globalisasi dan TMK. Penulis ini akan menyentuk perkembangan ilmu di Dunia Melayu, dengan penekanan kepada persuratan Islamnya, dan pendidikan sampai ka masakini, dengan mengambil kira perkembangan dalam bidang keislamannya dan bidang-bidang ilmu lainnya; pembinaan kekuatan Melayu itu adalah dengan mengambil kira pembinaan akal budinya, kekuatan budaya dan kemasyarakatan serta ketamadunannya.Dalam perbincangan ini juga penulis ingin mengetengahkan teori asabiah Ibn Khaldun sebagai paksi bagi menjayakan perpaduan Dunia Melayu ini, sudah tentu dengaan panduan agama Islamnya dalam faham ilmu dan nilainya.

Ilmu Dan Akal:

Tentang konsep ilmu pada Orang Melayu Muslim, kita boleh katakan bahawa ianya dipandukan oleh ajaran Islam Sunni; ilmu itu difahamkan—sebagaimana yang ada dalam teks-teks usul al-din misalnya ialah mengetahui sesuatu dengan yakin mengikut keadaannya yang sebenarnya, berdasarkan dalil yang muktabar. Kalau mengetahui sesuatu itu bukan mengikut keadaan yang sebenarnya itu bukan ilmu atau pengenalan tetapi dikatakan kejahilan. Kalaulah tentang sesuatu itu yang diketahui itu lebih banyak yang iannya daripada yang tidak itu dipanggil sangkaan; kalau lebih banyak yang bukan ianya daripada sebaliknya, itu disebut sebagai waham.Ilmu yang berkenaan dengan Tuhan disebut sebagai “pengenalan” atau ma’rifah.(1) Maka yang dituntut dalam semua perkara ialah ilmu, apa lagi Tuhan, yang merupakan objek ilmu yang paling tinggi dan mulia.Ini merupakan objek kewujudan akal manusia mengikut ajaran Islam.Nampaknya antara ulama klasik yang memberi takrifan ilmu ini ialah al-Baqillani rh dalam “al-Tamhid”nya, iaitu takrif yang bermaksud “Mengetahui apa yang boleh dimaklumi mengikut keadaan sebenarnya”. (2)Bila ditanya mengapa tidak disebut “mengetahui tentang sesuatu”, maka disebutkan oleh beliau bahawa apa yang bukan “sesuatu” yang tidak ada juga diketahui, maka kalau disebut “sesuatu” sahaja maka “yang bukan sesuatu yang tidak ada” tidak boleh diketahui, walhal ianya boleh diketahui. Maka kalau dikatakan ilmu itu tiba makna pada jiwa, maka kalau yang “datang” itu tidak benar dan tidak berdasarkan dalil yang boleh diterima, maka tidak ilmu namanya.Bila benar dan dengan berdalil, maka baharulah ilmu namanya.

Dan tentang dalil yang menjadi bukti bagi ilmu itu, dalam ajaran Islam yang diterima dalam tamadun Melayu ialah wahyu, Qur’an, Sunnah yang mutawatir, yang sahih, atau cerita yang mutawatir riwayatnya, yang tidak menasabah lagi ada kebohongan padanya, pancaindera manusia seperti penglihatan, pendengaran, sentuhan, penciuman, dan kecapan.(3) (Dengan itu menjadi berkembang pengesanannya dengan alat-alat yang boleh direka dengan perkembangann tamadun manusia dalam sejarahnya termasuklah, kalau sekarang TMK).

Ke dalam rangka fahaman yang demikian maka pemikiran akal adalah punca ilmu manusia; dan akal ini pula ada aspek-aspek perkembangannya yang menimbulkan huraian—misalnya dalam “Muqaddimah Ibn Khaldun” tentang akal nazari, yang berfikir tentang teori-teori ilmu yang bersifat spekulatif dan tinggi serta mendalam, akal tajribi atau akal pengelaman yang membuat rumusan-rumusan daripada pengelaman-pengelaman dan percubaan-percubaan (yang boleh diperpanjangkan maksudnya sampai kepada percubaan-percubaan dalam ujian-ujian yang terkawal dan tersusun seperti yang dilakukan dalam makmal); akal tamyizi, atau akal pembeza, yang boleh membezakan sesuatu dengan sesuatu yang lain samaada dealam klasnya atau dalam klas lain daripadanya. Akal yang berkembang dengan baik mencakupi banyak segi kemahiran dan pengetahuan dalam agama dan kemahiran-kemahiran lainnya serta pengetrahuan lainnya disebut sebagai akal tambahan atau al-‘aqlul-mazid.Perkembangan al-‘aqlul mazid ini berlaku melalui pendedahan ilmu dan kemahiran serta latihan-latihan dalam budaya menetap yang tinggi tahap kecerdasannya yang menguatkan dan memajukan sesuatu bangsa itu, selain daripada keimanannya dan ketaatannya kepada ajaran Tuhan dan Nabi.(4)

Kalau Syaikh Daud al-Fatani rh pula dalam “al-Warduz-Zawahir”nya beliau menyebut tentang akal, katanya ada ‘akal malaki yang ada padanya “malakah” atau bakat untuk membezakan segala perkara, ada ‘akal fa’’al yang padanya ada kekuatan pendapat membolehkannya membuat penafsiran tentang sesuatu, ada ‘akal gharizi yang membolehkan manusia mengetahui tentang perkara-perkara yang daruri bila akalnya tidak sejahtera, ada ‘akal kasbi hasil daripada kemahiran yang ada pada seseorang natijah daripada usahanya, ada ‘akal nazari (yang membolehkannya berfikir dan membuat renungan tentang ilmu dan membuat kesimpulan), ada ‘akal hayula, yaitu akal yang ada dari asal kelahiran seseorang yang berupa persediaan baginya untuk menerima perkara sebenar tentang sesuatu.Syaikh Daud rh juga menyebut ‘akal syarqi, yaitu akal Nabi saw yang terlebih mulia daripada semua akal makhluk Tuhan (“Warduz-Zawahir”, edisi Wan Muhammad Shaghir Abdullah).(5)

Dalam hubungan dengan ilmu pengetahuan dan pembangunan Dunia Melayu, kita tertarik untuk menukil pendapat ulama Nusantara terkenal di abad ke 19, iaitu Syaikh Ahmad al-Fatani rh, kata beliau dalam “Hadiqatul-Azhar”:

“Ketahui olehmu bahawasanya ahli negeri yang besar-besar yang lain daripada bangsa kita sangat me(ng)amat-amati mereka itu dengan sha’an (iaitu perkara berkenaan dengan kepentingan-p) ilmu dan bersungguh-sungguh mereka itu mengajarkan dia akan anak-anak mereka itu hingga yang perempuan mereka itu sekalipun dan me(ng)usaha mereka itu sehabis-habis usaha pada memudahkan menuntuti ilmu bagi segala-gala orang yang gemar padanya dengan sekelian jalan dan tipu hingga meringkah (iaitu mereka-reka-p) pada mengecapkan segala kitab yang boleh keluar beberapa ribu naskhah di dalam masa yang sedikit sekira-kira jikalau disurat dengtan angan di dalam masa itu nescaya belum sudah satu naskhah dan membina mereka itu akan beberapa banyak madrasah yaitu rumah tempat mengajar dan mengaji sekelian ilmu dan bagai-bagai hikmat dan kepandaian yang bergantung dengan dunia dan akhirat mereka itu.”

Kemudian kata beliau:

“Maka kasih hamba bahawa memperikan kepada kamu akan setengah barang yang berlaku pada negeri Istanbul dan Mesir dan lain daripada keduanya pada me(ng)amat-amati dengan ilmu; maka adalah raja mereka itu membinakan bagi mereka itu beberapa madrasah yang besar-besar dan dihaskan dengan segala hiasan yang sangat indah pada segala mata dan cenderung kepadanyua oleh segala hati lagi jadi bersih dengan dia cerdiknya dan gemar oleh segala akal padea menuntuti akan segala ilmunya.Demikian lagi orang yang kaya-kaya membina ,mereka itu pada tiap-tiap kampong mereka itu satu-satu madrasah atau lebih dan dihiaskan dia dengan segala iasan yang elok dan diwakafkan baginya beberapa daripada bumi atau rumah atau lainnya dan diambilkan sewanya dibelanjakan dia pada maslahat segala madrasah itu dan digaji dengan dia akan segala guru-guru yang mengajar dengan kadar yang mencukupi akan mereka itu dan disukakan dengan dia akan mereka itu yang menuntuti ilmu kecil dan besarnya dan di dalam tiap-tiap Jumu’at itu satu hari dicuba padanya akiann tiap-tiap tilmidh (murid-p) daripada mereka itu pada barang yang ia hafazkan dia dan barang yang difahamnya danb barang yang didapatrnya daripada segala masaalah danb kepandaian dan kebijakan dalam perhimpunan segala taulannya.Maka jika dapat dijawabnya dapatlah ia kepujian daripada guru-gurunya dan orang ramai-ramainya dan suka dengan dia segala hati ibu bapanya dan deapat ia perbalasan gaji yang lebih dan jika tiada dapat dijawabnya bersungguh-sungguh ia hingga dapat supaya tiada jadi malu ia antara segala kawan-kawannya dan supaya dapat gaji yang lebih seperti mereka itu maka bermegah-megahj mereka itu setengah atas setengahnyadengan elok khat (tulisan-p) dan banyak lagu dan pandai menulis dan cempat (iaityu cepat-p) ber(h)itung dan elok aturan surat kiriman dan petah membuat syair dan fasih percakapan dan pandai bertutur dengan beberapa bahasa yang lain daripada bahasa negerinya dan banyak hafaz dan bijaksana pada segala ilmu dan kepandaian dan dapat tiap-tiap seorang daripada mereka itu daripada ilmu dan kepandaian pada hal ia belu baligh umurnya barang yang tiada dapat seorang kita pada hal umurnya sudah tuha (tua).

Dalam hubungan dengan akhlak para pelajar dan kegiatan ilmiah mereka beliau menyatakan:

“dan adalah mereka itu di dalam tempat mengaji mereka itu zahir pada mereka itu baik perangai waqar (hebat dan tertib perangai-p) dan hebat dan sakinah (tenang) dan sangtat beradab antara mereka itu dan dengan guru mereka itu.Apabila masuk seorang daripada mereka itu memberi salam ia serta dengan hening dan lemah lembut ti(ng)kah lakunya dan apabila datang guru-guru yang lebih-lebih daripada mereka itu berdiri sekelian mereka itu memuliakan baginya…

Tentang budaya ilmu, berfikir dan kemahiran tinggi termasuk rekaan alat-alat baharu yang bermenafaat dalam tamadun Syaikh Ahmad rh menyatakan:

“Maka demikianlah me(ng)amat-amati ahli negeri orang dengan sy’an ilmu pada negeri mereka itu hingga masyhur bangsa mereka itu atassekelian bangsa dengan kepandaian dan bijaksana dan kepetahan dan banyak ilmu maka dengan demikian itulah dapat mereka itu merengkag (iaitu mereka cipta-p) buatkan beberapa alat yang (ber)manfa’at pada segala manusia yang boleh musafir dengan dia kepada sejauh-jauh negeri di dalam masa yang sedikit dan datang kepada mereka itu sekelian khabar-khabar daripada sejauh-jauh jajahan di dalam beberapa lahzah dan me(ng)indah-indah mereka itu akan sekelian pekerjaan serta dengan lekas dan banyak dan bertambah-tamba demikian itunengan berpanjangan masa dan dengan sebab baik percaraan (iaitu penurusan -p) dan muwafakat antara mereka serta besar hemah (iaitu tumpuan atas cita-cita mulia-p) dan halus tipu daya dan jauh helah dan alam tilik (fikir dan rancangan-p) mereka itu yang jadi sekelian itu daripada banyak pelajaran mereka itu…”

Tentang kekuatan negara dan pertahanan hasil daripada rancangan yang baik dan keberkesanan ilmu termasuk teknologi beliau menyatakan:

“(Dengan kepandaian dan kebijaksanaan serta banyak ilmu itu) maka boleh mereka itu peliharakan segala negeri dan jajahan mereka itu hingga tiada tamak padanya oleh segala seteru dan jadi mudah bagi mereka itu mengambil akan negeri orang dan meliputi mereka itu dengan ehwal dunia laut dan darat…”

Selepas membuat pengamatan tentang perkembangan ilmu pengetahuan, kepandaian dan pereancangan negera-negara maju itu, beliau menyebut cita-citanya berhubungan dengan negeri-negeri Melayu, katanya:

“Dan adalah pada hati hamba yang fakir sehabis-habis risau dan dukacita dengan sebab ihmal (tidak mengambil berat-p) dan mensia-sia bangsa kita ahli Tanah Melayu dan ahli segala tanah yang di bawah angin dan segala raja-raja mereka itu yang Muslimin yang dahulu-dahulu dan yang sekarang ini dan segala mereka yangt kaya-kaya dan (yang ada-p) kemudahan daripada mereka itu tiada memperduli mereka itu akan u(m)pama segala perkara yang tersebut itu hingga jadi kemudian daripada kemuliaan kita sekurang-kurang bangsa dengan dinisbahkan kepada segala bangsa yang lainn dan hilang segala tempat kediaman kita dan kemegahan kita maka sekelian itu dengan sebab taksir kita pada u(m)pama segala perkara itu dan sangka kita bahawa sekelian demikian itu bukan daripada pekerjaan yang bergantung dengan agama kita, maka dengan sebab itulah kita biarkan dia padahal jikalau kita tilik halus-halus nescaya nescaya (yang dimaksudkan ilmu-ilmu, kemahiran dan budaya berfikir yang disebut di atas tadi-p) adalah berambing (yaitu bersangkut paut-p) dengan segala perkara itu daripada sebesar-besar barang yang bergantung ia dengan ugama kita kerana dengan demikian itulah dapat (kita menjadi-p) kuat atas segala seteru dan kekerasan yang dengan dialah hasil (ter)pelihara akan kemegahan agama kita dan yang menjadikan dia elok pada segala mata mereka itu dan besar masyhur pada segala pendengaran mereka itu dan hebat pada segala hati mereka itu”.

Kata beliau tentang cita-citanya supaya Dunia Melayu maju dan ugamanya berjaya dengan umatnya menjadi mulia di kalangan bangsa-bangsa dunia:

“Dan adalah hamba yang hakir (hina-p) tercita-cita di dalam hati sudah beberapa lama bahawasanya Allah taala lagi akan memperdengarkan hamba dan memperlihatkan hamba di dalam masa hidup hamba ini bahawa adalah segala raja-raja Melayu yang besar-besar istimewa segala raja-raja di dadal negeri Fatani dan raja-raja Kelantan dan Trengganu dan Kedah yang amat mulia dan maha besar sekeliannya dan raja Johor (sekeliannya sekarang dalam Malaysia-p) yang masyhur dengan besar hemahnya dan raja Dali yang masyhur dengan murahnya dan adilnya menaruh mereka itu akan cemburu pada segala hati mereka itu dan membesarkan segala hemah mereka itu dan menghadapkan inayah (pertolongan dan jagaan-p) mereka itu dan menyungguh-nyungguhkan usaha mereka itu pada bahawa dijadikan segala negeri mereka itu (per)bendahraan ilmu dan perladungan kepandaian dan membukakan segala mata anak jenis mereka itu kepada memandang cemerlang kebijakan dan (ke)handalan supaya ada kemegahan (dan) kelebihan bangsa Melayu antara segala alam dan tertinggi nama mereka itu antara Bani Adam, dan bertambah-tambah kelebihan ulama mereka itu atas segala ulama dan bertambah nyata ugama mereka itu aqtas segala ugama serta deapat pula bagi segala hadrat raja-raja itu jikalau diperbuat demikian itu keredaan dearipada Allah taala dan RasulNya yang mulia pahala yangt amat besar ganda berganda kerana pahala tiap-tiap mereka yang dapat manfa’at dengan segala perbuatan itu dan pahala tiap-tiap mereka yang mempunyai kekuasaan yang menirukan perbuatan itu terbahagi dengan mereka itu selama-lamanya, dan dapat pula bagi mereka itu sebutan yan baik dan kepujiann yang elok atas lidah segala makhluk dan tersurat di dalam tarikh ulama dan buku raja-raja yang uzama (besar dan agung-p) yang berkekalan daripada masa hidup hingga Hari Kiamat”(6).

Tokoh ini yang mengarang kitab tentang ilmu-ilmu Islam dan ilmu-ilmu rasional berminat tentang sains dan teknologi (dan kalau beliau ada sekarang beliau akan meminati dan menggesakan penggunaan dan kemahiran dan pemenafaatan dalam TMK (ITC) dan lainnya ).Dalam hubungan dengan perubatan beliau menulis kitab “Tayyibul Insan fi Tibbil-Insan”, dalam pendahuluannya kata beliau:

“Dan kami harap bahawa Allah membuka akan hati seseorang akan hemah yang tinggi , maka bersungguh-sungguh ia mencubakan beberapa jenis kayu , tumbuh-tumbuhan dan lainnya daripada barang yang ada pada bumi Melayu dan mempereksakan pada yang demikian itu maka disuratkan beberapa faedahnya dan khusiatnya dan pangkat segala tabiatnya dan kaifiat isti’malnya (penggunaannya-p) seperti barang yang memperbuatkan demikiann itu oleh hukama Yunan pada masa yang dahulu dengan beribu-ribu tahun kemudian mengambil daripada mereka itu oleh hyukama Arab dengan hemah setengah daripada raja-raja anak Harun al-Rasyid maka berkekalan menta’lif (mengarangt-p) mereka itu beberapa banyak karangan maka tercawang daripada demikian itu hingga sekarang ini tibb segala tabib Fars (Orang Parsi-p) dan Hind (India-p) kemudian beratus-ratus pada demikian itu olreh segala tabib Afranj (nama am bagi Orang Barat-p) maka menambah dan merengkah (merekacipta-p) mereka itu beberapa banyak rengkahan (rekaan-p) yang ajib pada hal kita jenis Melayu aula (terlebih utama dan berhak-p) dengan demikiann itu dari kerana banyak segtala ubat-ubat itu pada bumi kita hingga adalah kenanyakan ubat-ubat mereka itu diambilkan daripada bumi kita dan kita terlebih aula pada merentahkan diri kita daripada jenis yang lain daripada kita .

“Maka bersangatanlah sayugia bagi raja-raja (atau pemerintah-p) Melayu bahawa memalingkan hemah mereka itu kepada mendapatkan barang yang tersebut dengan menyungguh-nyungguh menyuruh da menggemarkan manusia pada demikian itu dengan memudahkan jalan bagi demikian itu dan berdiri dengan belanja bagi demikian itu maka dapat baginya pahala yang jazil (teramat banyak-p) dan berkekalan baginya sebutan yang jamil (sebutan nama yang amat inda-p).

Dan beliau menulis teks ini dalam 45 halaman (edisi Wan Mohd Shaghir 2000) katanya berdasarkan kepada “…beberapa kitab yang masyhur lagi muktabar dan kami bangsakan tiap-tiap perkataan kepada mengubati kepada barang yang kami nakalkan daripadanya dengan ih. Yang daripada (kalimah Arab-p) “intaha” itu mukhtasar melainkan yang sedikit daripada barang yang kami ambilkan daripada mulut setengah daripada bohma (iaitu bomoh-p) Melayu yang kami percaya dengan katanya; dan barang yang kami terima daripada lidah guru kami yang kami mengaji ilmu ini atasnya dan kami terima ijazah daripadanya dan barang yang sah bagi kami dengan isti’mal dan tajribah (penggunaan dan percubaan-p)…”(7)

Dalam konsep ilmu yang dipandukan oleh Islam Sunni inilah maka Dunia Melayu berkembang sampai sekarang dengan memahami ilmu-ilmu sebagai ilmu-ilmu agama atau ilmu-ilmu syar’I, atau ilmu nakli, dan ilmu yang bukan bersangkut secara langsung dengan agama, dipanggil ilmu akli atau boleh disebutkan sebagai ilmu-ilmu rasional. Ini tercermin dalam sistem pendidikan kita sekarang yang membahagikan ilmu-ilmu kepada ilmu-ilmu Islam atau Pengajian Islam, atau Pendidikan Islam, atau Ilmu-Ilmu Wahyu dan ilmu bukan-wahyu.

Ilmu-ilmu yang berhubung dengan agama yang diketahui umum ialah ilmu-ilmu berhubung dengan Qur’an, Sunnah, Akidah, Fiqh atau Hukum Islam, Aqkhlak, atau Taswwuf, Sejarah, Sirah, Bahasa Arab Nahu dan Sasteranya, Falsafah Islam. Ilmu-ilmu yang lain yang bukan berkait dengan agama secara langsung ialah ilmu-ilmu Sains Tulin atau Sains Gunaan, Fisik, Kimia, Geologi, dan lainnya, termasuk ilmu-ilmu Sains Sosial dan Undang-Undang.(8)

Dalam hubungan dengan ilmu-ilmu yang selain dari ilmu-ilmu agama maka sekarang muncul pemikmiran dan usaha untuk menjayakan apa yang disebut sebagai Pengislaman ilmu-ilmu atau “The Islamization of Knowledge” yang dialu-alukan dan patut mendapat sokongan semua pihak, walaupun ada suara-suara sumbang yang muncul berkenaan dengan pemikiran yang sedemikian.

Berkenaan Dengan Melayu:

Tanpa berpanjang kalam tentang Melayu, sampai sekarang nampaknya konsep Melayu dalam perlembagaan kita yang menyebut tentang orang yang beragama Islam, yang menggunakan Bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu adalah benar dan wajar dan disahkan oleh sejarah rantau ini dan ini perlu diteruskan dari segi kefahaman dan penggunaannya. Konsep yang sedemikian ini terbayang dalam karangan-karangan Pak Hamka rh bila berbicara tentang sejarah Islam dan Umat Melayu memeluk agama Islam di rantau ini.

Pemikiran tentang Melayu dalam kalangan ulama tradisional boleh dilihat juga dalam karangan Syaikh Ahmad al-Fatani rh.Antaranya, kata beliau dalam “Tashilu Nailil-Amani” (dinukil oleh Wan Mohd Shaghir dalam “Al’alamah Syeikh Ahmad al-Fthani Ahli Fikir Islam Dunia Melayu”(9).

Maksudnya “(iaitu) kesatuan semua bangsa Melayu (jama’at al-aqwam al-Malayuwiyyah) itu nisbah kepada Milayu dengan baris di bawah (kasrah) huruf mim atau baris di atas (fat-hah) dan baris depan (dhammah) huruf ya.Mereka adalah kelompok atawa segolongan besar manusia (hum jil au sanfun ‘azim mina’n-nas) ; negeri-negeri mereka adalah sesubur-subur negeri di dunia.Ia terletak antara Negeri India dan Cina terdiri daripada kebanyakan pulau-pulau Waq Waq (terjemahan Wan Mohd Shaghir yang terpencar-pencar). Pakar ilmu geografi mengibaratkan setengah negeri-negeri mereka sebahagian daripada negeri-negeri India-Cina.Orang-Orang Hijaz (Arab) dan selainm daripada mereka menamakan mereka (Melayu) dan bangsa-bangsa dalam wilayah itu dengan sebutan Jawa.Itulah satu kelompok manusia di satu pulau di sana.Mereka itu bukan Melayu.Bahasa mereka adalah bahasa yang paling ringan (mudah) antara bahasa-bahasa penduduk wilayah ituKerana itulah maka ramai dari kalangan Orang Hijaz (Arab) menggunakan Bahasa Melayu dalam pergaulan dengan bangsa -bangsa yang berlainan yang tersebut itu yang mempunyai bahasa-bahasa yang berlainan itu.(Antara ciri-ciri mereka itu ialah-p) mereka itu kaum yang ikhlas, bertabiat lemah lembut, berperibadi baik.Sebahagian daripada ciri-ciri istimewa mereka ialah tidak terlihat di negeri mereka dan lainnya peminta (sedekah-p) walaupun keaaan mereka sendiri sangat miskin.Mereka bersikap sabar dengan cara yang baik dalam urusan mereka (husn ta’anin fil-umur) dan mereka menguasai pertukangan dan kemahran yang baik (yadun fi tahdhib al-hiraf) , menerima pembaharuan dalam kemahiran dan pertukangan (termasuk teknologi-p) (qabilah fi ibda’ as-sana’I’), dan menerima pendidikan dan ilmu pengetahuan serta tercetus fahaman (yang baik -p) di dalamnya, dan ada dalam kalangan mereka negeri-negeri yang besar , kemudian bertukar tangan di kalangan mereka yang menguasai ialah kekuasaan-kekuasaan kuffar.Semoga Al;lah memelihara negara-negara Islam daripada mereka (yang kafir ).”Amin. (10).

Pemikiran tentang identiti “Melayu” yang baharu dan menarik boleh didapati dalam tulisan Ismail Noor dan Muhammad Azaham, “The Malays Par Exellence…Warts and All” (Pelanduk Publications, 2000). Dalam tulisan tersebut dinyatakan bahawa Melayu itu ialah:

“The Malay is a practising Muslim, residing in Malaysia, whose roots go back to his ancestors of the Old Malacca Empire and of those who were the sons of the soil in the other parts of the Malay archipelago , stretching as far back in history as 3000 B.C. The Malay is endowed with a cultural heritage that has made him known as ‘the gentleman of the world’ The Malay lives in a sangunie environment that is free from the vagaries of the weather and the harshness of the natural calamities.The grace that God the Almighty has bestowed upon the Malay has moulded him into a person who follows the path of temperance, making him a gentle and considerate person.His attributes and personality are clearly reflected even in the fine art of Malay cultural dance , which is expressed in slow and graceful movements depicting his affinity with the peaceful surroundings.The Malay is also a wonderful and gracious host to his guests, and this has been depicted in the writings of not a few Westerners, at times putting him at a disadvantage position when dealing with others.But over time, he has also learned to manage his boundaries, be they physical or psychological, well. The modern Malay is suave, savvy, enterprising and values-driven.The globalised world will be his next battleground”. (11).

Ada beberapa perkara penting dan menarik dalam kenyataan yang mempunyai makna yang mencakupi di atas:

• Melayu yang mengamalkan agama Islam
• diam di Malaysia, yang akar umbi keturunannya sampai kepada mereka di tamadun Melayu Kesultanan Melaka,
• juga pribumi dalam bahagian-bahagian lain Dunia Melayu yang alamnya dalam sejarah menjangkau masa sampai 3000 S.M.
• mempunyai warisan budaya yang menjadikannya terkenal orang yang mempunyai peribadi yang bermaruah tinggi dan beradab sebagai “gentleman” di dunia
• hidupnya dalam alam sekitar tanpa gangguan-gangguan iklim yang keras
• alam sekitar tabi’I yang bukan terganggu dengan kebencanaan-kebencanaannya
• Dengan kurnia Tuhan ia menjadi peribadi yang mengawal keinginan, sabar, lemah lembut, bertimbangrasa
• Ciri-cirinya terbayang sampai ke dalam seni halus tarian budayanya yang bertertib, tidak tergesa-gesa, dan indah, menggambarkan keserasiannya dengan alam sekitar yang aman damai.
• peribadi yang melayan tamunya dengan pemurah dan baik budi, yang diungkapkan dalam karangan Orang Barat yang bukan sedikit, kadang-kadang menyebabkan ia berada dalam keadaan merugikannya dalam menghadapi orang lain.
• Dengan berlalu masa ia mendapat pelajaran bagaimana mengurus sempadan-sempadannya samaada yang fisikal atau kejiwaan
• Melayu moden beradab, berdiplomasi, canggih, bersikap keusahawanan, terpandu oleh nilai-nilai unggul
• Dunia globalisasi medan juangnya yang akan dihadapinya. .

Kalau kita hendak berbicara tentang pemerkasaan identiti Melayu ini dalam erti ketamadunan dan budaya maka konsep yang paling sentral yang boleh digunakan ialah konsep ‘asabiyyah Ibn Khaldun rh sebagaimana yang dihuraikannya dalam “al-Muqaddimah”.

Secara ringkasnya pada Ibn Khaldun walaupun ‘asabiyyah itu asalnya bermula dengan mereka yang ada hubungan ethnik, kemudian maknanya diperluas untuk merangkumi mereka yang berada bersama-sama dengan mereka yang asal itu dalam pengelaman hidup dan mati, susah dan senang; dengan itu timbul kesetiakawanan antara mereka yang menimbulkan kekuatan yang mendatangkan kekuasaan dan pemerintahan serta kejayaan dalam penjayaan agama dan hidup ketamadunan dan budaya. Beliau mempertahankan ‘asabiyah demikian dengan merujuk kepada hadth yang bermaksud “Allah tidak membangkit seorang nabi melainkan baginda berada dalam lindungan kekuatan bangsanya”. Beliau juga merujuk kepada hadith berkenaan dengan khilafah yang bermaksud:”Khalifah-khalifah itu hendaklah dari golongan Quraisy”. Beliau menafsirkan bahawa maksud Quraisy itu bukan hanya bermakna Quraisy kabilah Nabi saw tetapi maksudnya ialah mana-mana bangsa yang mempunyai rasa ‘asabiyah yang kuat sebagaimana Quraisy itu dahulunya mempunyai ;asabiyah yang kuat yang menyebabkan pimpinan mereka berjaya.(12).

Theori ‘asabiyyah Ibn Khaldun ini perlu dimenafaatkan di Dunia Melayu bermula dengan Malaysia demi untuk menimbulkan perpaduan yang kental dan kerjasama yang berkesan dalam membina budaya dan tamadun, dan bangsa-bangsa lain diajak bersama dalam kerjasama dan perpaduan sedemkian ini.Ini boleh diambil contohnya daripada usaha Nabi saw yang menyatupadukan Arab Muslimin awal itu di Madinah, kemudian mengajak pihak lain yang berlainan agama dalam “satu ummat” untuk mempertahankan Madinah bersama.

Globalisasi:

Sebagai fenomena budaya semasa ia memaksudkan keadaan yang di dalamnya kadar interaksi manusiawi sedemikian bertambah banyaknya sampai ke tahap kesan-kesan utama atau primarinya dan reaksi-reaksi yang timbul daripada provokasinya, yang menimbulkan perkembangan-perkembangan baru.(13).

Ia digerakkan oleh beberapa faktor seperti globalisasi teknologi, politik, ekonomi. Tiga penggerak utama ini memulakan proses yang kerananya maka jarak jauh segi geografi semakin kurang menjadi faktor dalam mengadakan dan meneruskan laluan sempadan negara-negara, hubungan jarak jauh dalam ekonomi, politik, dan sosio-budaya.Ini semua disebutkan sebagai globalisasi.

Maka wujudlah suasana saling hubung menghubungi dan perlu memerlukan antara golongan manusia dan kemudiannya secara potensinya bersifat menjadi laluan sempadan yangn bersifat sejagat. Secara potensi menjadikan segalanya bersifat antarabangsa dalam hubungan dan keadaan saling memerlukan, yang menimbulkan kesan-kesan demokratik, persekitaran, keselamatan, dan ada pula yang menimbulkan kesan-kesan negatifnya dari segi sosial seperti perubahan dalam sikap dan kelemahan-kelemahan dalam pentadbiran. Bagaimanapun ada pula yang positifnya dalam erti ia memasukkan semua golongan manusia ke dalam masyarakat dunia antarabangsa dan menimbulkan sistem-sistem baharu dalam pengurusan dan pentadbiran dalam sistem global dan masyarakat madani global.(14).

Antara definisinya yang boleh digunakan untuk perbandingan ialah:”Globalisasi merujuk kepada semua proses-proses yang dengannya maka manusia di seluruh dunia dihimpunkan masuk menjadi satu masyarakar dunia, masyarakat global” (Martin Albrow, 1990). Atau ia “…boleh ditakrifkan sebagai proses menjadikan intensifnya hubungan sosial seluruh dunia yang menghubungkan tempat-tempat yang jauh dengan sedemikian rupa sehingga peristiwa-peristiwa tempatan dibentuk oleh peristiwa-peristiwa (lain ) yang berlaku beberapa batu jauhnya dari tempat itu atau sebaliknya…”(Anthony Giddens, 1990).

Ciri-ciri globalisasi ini termasuklah antaranya menantarabangsakan pengeluaran, pembahagian buruh, atau tenaga, gerak perpindahan antarabangsa dari Selatan ke Utara, dan menimbulkan alam sekitar baharu yang penuh bersaing.ptroses mengantarabangsakan negara, menjadikan negara sebagai agensi-agensi dunia yang sedang melaksanakan globalisasi (Robert Cox, 1994).

Ada seginya pula yang menyebabkan globalisasi ditakrifkan sebagai “…apa yang kita sebutkan dalam Dunia Ketiga beberapa abad lamanya sebagai penjajahan (colonization)” (Martin Khor, 1995).

Globalisasi juga antara mendapat respon daripada kalangan pimpinan Malaysia yang menyebutkan bahawa apa yang diperlukan bukannya globalisasi sepenuhnya, sebagaimana yang berlaku di Barat, tetapi globalisasi yangt mengambil kira kepentingan negara masing-masing, sebab kalaulah dibiarkan globalisasi berlaku sepenuhnya maka usaha-usaha syarikat-syarikat tempatan yang memerlukan pembelaan terlebh dahulu untuk menjadi maju akan tewas, dan kepentingannya terjejas, dan akan berlakulah kegagalan. Dan disebutkan bahawa kalau dalam negara diperlukan pembelaan terhaap sesuatu golongan demi untuk mewujudkan keadilan sosial dalam negara, maka golongan lemah tidak akan mendapat pembelaan,sebab globalisasi yang dibiarkan berlaku sepenuhnya hanya menguntungkan syarikat-syarikat yang besar-besar dan kaya raya, dan syarikat-syarikat baharu yang hendak maju dalam negara-negara sedang membangun akan tewas; dengan itu yanhg kaya bertambah kaya an yang miskin bertambah miskin.(15)
Juga dimajukan pendapat bagaimana mereka yang di negara-negara maju mahu pemindahan modal sahaja secara bebas untuk menjayakan globalisasi, tetapi tenaga manusia tidak mahu dipindahkan sedemikian.Dengan itu maka bila modal luar ditarik dengan mengejut negara yang berkenaan akan menjadi bangkrup.Ini bukannya senario yang menguntungkan.(16).

Pendapat sedemikian ini perlu diberi pertimbangan antara yang paling serius dalam membina ekonomi yang adil dalam negara-negara membangun dalam menghadapi globalisasi.

Ada juga kecenderungan yang timbul untuk melihat bahawa dalam dunia globalisasi yang penuh itu maka nampaknua dunia dikontrol hanya oleh tenaga-tenaga pasaran bebas yang menyebabkan akhirnya dunia menjadi mangsa kerakusan manusiawi yang muncul melalui syarikat-syarikat gergasi multinasional yang sampai seolah-olah menjadi gergasi-gergasi yang mendominasi kerajaan-kerajaan.Dan ini menjadikanb dunia berada dalam bahaya dalam banyak segi yang asasi.

Menarik juga kenyataan-kenyataan yang perseptif oleh Chandra Muzaffar dalam “Globalisation and Religion: Some Reflections” (17) bila beliau menyebut beberapa aspek positif dan negatifnya dari globalisasi itu:

iaitu yang positifnya seperti:
• terbukti pelaburan asing secara langsung (“foreign direct investment” -FDI) yang mengurangkan kemiskinan mutlak dalam beberapa negara
• pengembangan perdagangan dan pelaburan asing yang menambahkan mobiliti sosial dan menguatkan klas menengah dalam masyarakat
• adanya setengah teknologi-teknologi maklumat dan komunikasi baru yang membantu dalam mendapatkan maklumat dari jarak jauh untuk pendidikan dan membantu rawatan pakar dalam perubatan untuk mereka yang jauh dari kota-kot besar
• menjadikan komunikasi lebih senang, cepat dan murah
• menyenangkan ahli-ahli agama dan budaya yang pelbagai saling kenal mengenali antara satu sama lain
• membolehkan manusia menunjukkan dan membuktikan simpati dan kasihan belas kepada mereka yang terkena malapetaka yang disokong oleh ajaran agama
• menonjolkan ke depan isu-isu seperti pemerintahan undang-undang, tanggungjawab awam, hak-hak manusia, dan lain-lain isu yang menyentuh pengurusan yang baik (“good governance”).
• mebantu dalam membicarakan hak-hak dan kedudukan wanita

Dan yang nregatifnya beliau sebutkan, antaranya:

• kemerusutan alam sekitar dalam wilayah Asia-Pasifik kerana kerja-kerja badan-badan korporat transnasional dan syarikat-syarikat tempatan menebang hutan-hutan dalam pembalakan
• walaupun globalisasi mengurangkan kemiskinan mutlak, kerana pros4es globalisasi jurang antara yang kaya dan yang miskin semakin meluas, kerana pembangunan yang berlaku tidak seimbang
• setengah negara terpaksa meletakkan prioriti kepada keperluan-keperluan asas seperti elektrik dan air dan pendidikan untuk semua tidak menjadi prioriti utama; soal keuntungan syarikat-syarikat besar diutamakan daripada maslahat kehidupan negara-negara miskin
• kemasukan modal asing dengan cepat dan menyemarakkan ekonomi dengan cepat boleh mendatangkan malapetaka bila modal keluar dengan cara yang cepat pula, seperti yang berlaku di Asia Tenggara dalam tahun 1997.
• Bertambahnya proses menggunakan teknologi canggih menyebabkan berlaku pengangguran termasuk di Utara
• Globalisasi menjadi budaya kepenggunaan (“consumer culture” ) dengan kesan-kesannya yan buruk
• penyamaan pakaian, musik, makanan, dan adat kebiasaan kerana pengaruh budaya luar melemahkan kekuatan dan nilai-nilai budaya yang pelbagai dalam tradisi-tradisi Asia
• pengembangan budaya pop yang dangkal dan melemahkan
• pendidikan menjadi tertupu kepada kursus-kursus dalam pengurusan dan teknikal, dan pusat-pusat pengajian memberi respon kepada pasaran dan tuntutannya
• banyaknya bahan-bahan yang tidak berguna dalam ryuang siber yang membahayakan
• hak-hak asasi manusia dan demokrasi dijadikan alat manipulasi kuasa-kuasa besar untuk faedah mereka memangsakan pihak-pihak yang lemah
• globalisasi memudahkanberlakunya jenayah-jenayah dalam penyebaran dadah dan penganaiyaan wanita dalam kegiatan-kegiatan tidak bermoral
• penyakit-penyakit juga menjadi global melaluinya

Akar umbi globalisasi di Barat:

Kita boleh membaharu ingatan kita tentang akar umbi globalisasi di Barat untuk melihat perkembangann yang berlaku sekarang dalam satu senario yang sepadu:

Antaranya ialah:

• Aliran “Pencerahan” dalam budaya Barat dengan pemisahannya antara agama dan sains, sekularisasi, rasionalisasi, dan individualisasi.
• “Pencerahan” politik dengan pembentukan negara bangsa Eropah, perkembangan undang-undang dan perjanjian-perjanjiannya;
• “Pencerahan” ekonomi dengan ekonomi wang, menyimpan buku dan akaunting, negara-negara kota perdagangan yang muncul, revolusi industri, dengan interaksinya dengan ekonomi kebangsaan;
• Pembaharuan-innovasi- dalam teknologi, revolusi dalam kenderaan, sistem komunikasi, rekaan kereta, kapalterbang, telegraf, radio, telefon, sekarang telefon mudah alih dan alat video-conferencing.
• Penyebaran “pencerahan” Barat melalui “penemuan” mereka, penjajahan, pasaran-pasaran, dokongan dan nasihat-nasihat kepada negara-negara sedang membangun;
• Akar umbinya selepas selepas Perang Dunia termasuk pemodenan budaya, pelarian politik dan ekonomi, budaya hiburan sejagat, budaya maklumat, Amerikanisasi budaya dan ekonomi;
• Pemodenan politik : hampir diterima di seluruh dunia ideologi neo-liberal pasaran campur demokrasi, pemerintahan undang-undang, yang dipanggil “soft law” global, proses-proses pembentukan rantau-rantau (“regionalization”), dan sistem UN (yang pada Jude Wanniski dalam web sitenya itu dipanggil sebagai birokrasi Amerika).
• Pemodenan ekonomi :liberalisasi ekonomi , dan revolusi digital, dengan pelakun-pelakun globalnya yang berinteraksi;
• pembaharuan -innovasi- dalam teknologi pengecilan (“miniiaturization”) barangan-barangan, dan menjadikan produk-produk tidak begfitu bersifat sebagai benda (“dematerialization of products”) , revolusi ICT dan perekaan teknologi angkasa lepas.
• Penyebaran moderniti Barat melalui pasaran-pasaran, pelancungan, dan bantuan pembangunann kepada negara-negara membangun (dengan ada pula kesan-kesan menguntungkan Barat pula secara yang banyak mendatangkan kesan negatif ke atas perkembangan jangka panjang negara yang berkenaan). Ini antara akar umbi globalisasi yang sedang berlaku sekarang ini.

Sekali lagi antara perkara-perkara positif dalam globalisasi:

• Cepatnya perhubunganm manusia kerana kenderaan baharu dan alat-alat kominikasi termasuk komputer dan internet dengan e-mailnya dan sebagainya, serta alat video-conferencing selain daripada telefon.
• Cepatnya wang boleh dipindahkan untuk menjayakan perdagangan secara elektronik;
• Cepatnya keputusan yang boleh dibuat kerana maklumat cepat sampai dan senang manusia dihubungi (denganh e-mail, video-conferencing dan sebagainya, termasuk cepatnya negara dimusnah melalui teknologi perang yang baharu sebagaimana yang boleh dilihat dalam perang di Afghanistan-pengarahan dari negara yang jauh, peristiwa pemusnahan berlaku di Afghanistan).Subhana’Allah.
• Senangnya kegiatan perekonomian dijayakan oleh syarikat-syarikat gergasi multinasional melalui alat-alat komunikasi canggih itu.
• Senangnya kegiatan pentadbiran dan pengurusan dilakukan dengan cepanya tranpa keperluan bersua muka kerana itu boleh dilalkukan melalui alat-alat canggih itu.
• Senangnya pendidikan dijayakan – samaada penyampaian ilmu atau pembelajaran dan sebagainya dilakukan melalui pendidikan jarak jauh dan yang sepertinya, tanpa kepeluan menghadiri kursus-kursus seperti biasa di pusat-pusat pengajian, semuanya berlaku secara “on-line”, sampai dikatakan ada yang mengeluarkan ijazahnya secara demikian.
• Senang dan cepatnya ulisan-tulisan dan makumat-maklumat, termasuk rajah-rajah dan grafik-grafik, dan animasi, serta video-clip, termasuk suara dan filem-filem dicapai, di downloadkan, ditelaah, dan disaksikan.
• Dengan itu kesulitan-kesulitan dari jauhnya jarak, lamanya masa, sukarnya manusia dihubungi banyak mendapat penyelesaian.
• Ekonomi berkembang dengan pesat, integrasi ekonomi senang berlaku seluruh dunia.
• Dari segi politik senang negara-negara dihubungi, dengan institusi-institusinya; demikian sebaliknya senang dilakukan kerja -kerja negatif terhadap negara-negara dunia dengan adanya alat-alat canggih itu, termasuk alat-alat untuk perisikan demi untuk mengganggu kestabilan negara-negara yang ada kepentingan negara kuat padanya.

Kebaikan-kebaikan dalam Ilmu Pengetahuan dan Pendidikan:

• Globalisasi dan TMK zaman ini mendatangkan kesan dalam ilmu dan pendidikan dalam segi membolehkan maklumat-maklumat dan pengetahuan boleh dicapai dalam laman-laman web yang berguna berkenaan dengan pelbagai ilmu pengetahuan sama ada berkenaan dengan agama atau bidang-bidang ilmu pengetahuan lainnya, termasuk sains, sastera, ilmu-ilmu sosial, dan seterusnya, apa lagi berita-berita melalui akhbar-akhbar dan majalan-majalah on-line.Gunakan sahaja enjin pencari “Yahoo.com” atau “Google.com” antara yang popular atau “Alta Vista” dan tuliskan apa yang kita kehendaki dalam kotak dialognya, tekan, kita akan dapati jawapannya yang menenaraikan punca-puncanya.Pencariannya boleh dilakukan dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu, bahkan boleh dilakukan dalam Bahasa Arab bila seseorang itun ada program Arabnya dan “browser” yang digunakan itu membantu pencarian dalam bahasa itu seperti IE5 dan seterusnya, dengan “Google.com” bila dipilih bahagian Bahasa Arabnya.Mungkin tidak lama lagi pencarian boleh dilakukan dengan bahasa Jawi.
• Kamus-kamus Inggeris dan Arabpun boleh didapati, kalau kamus Inggeris boleh diminta kamus “Webster” atau kamus “Cambridge”, atau ensiklopedia tentang istilah-istilah falsafah atau iulmu-ilmu sosial.Pencarian boleh dilakukan dalam Bahasa Melayu dan juga Bahasa Arab.
• Laman-laman web yang memperdengarkan bacaan Qur’an pun senang didapati, bahkan sampai yang membaca hadith Bukhari dengan menyebutkan baris-barisnya dengan baik pun boleh didapati, misalnya dalam laman web “al-islam.com”, juga “al-islamonline”.
• Maklumat-maklumat tentang majalah-majalah terkenal seperti “Time”, “Asia week”, “The Economist”, “al-Ahram”, dan akhbar-akhbar Melayu juga boleh didapati on-line.
• Adanya CD ROM-CD ROM dan DVD ROM berkenaan dengan pelbagai matapelajaran dalam pelbagai bahasa memudahkan penyebaran pengetahuan asalkan seseorang itu ada minat untuk mencari pengetahuan dan memenafaatkan dirinya dengan perkembangan-perkembangan yang ada.
• Adanya sarjana-sarjana dan para ulama yang mempunyai laman web mereka masing-masing yang membolehkan mereka dihubungi untuk melakukan hubungan demi kepentingan menjayakan budaya ilmu.
• Adanya buku-buku dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab dan lainnya yang boleh didownload dan dicitak untuk kepentingan penyelidikan.
• Adanya maklumat-maklumat tentang perpustakaan-perpustakaan yang besar-besar dan pusat-pusat pengajian yang boleh dihubungi on-line.
• Ringkasnya peluang untuk mendapat maklumat dan pengetahuan adalah terbuka dengan seluas-luasnya dalam semua bidang pengetahuan.Yang diperlukan ialah kemampuan menapis maklumat-maklumat dan huraian-huraian ilmu supaya seseorang itu tidak tersasul kerana salah pilih dan kerana kedangkalan fahamnya.
• Seseorang yang mempunyai persediaan yang mencukupi dalam ilmu dan kefahaman sampai boleh mendapat hikmah kebijaksanaan dalam zaman TMK ini.

Antara perkara-perkara yang memperihatinkan dalam zaman globalisasi dan TMK:

• Antaranya boleh diperhatikan setengah daripadanya sebagaimana yang dicamkan baharu-baharu ini dalam Seminar “Global Trends 2005” anjuran CSIS yang berpusat di Washington DC pada Ogos 1998(18): dalam trend pertama mereka berbicara tentang perkembangan bilangan penduduk negara dan dunia, kemudia keperluan-keperluan mereka dalam pendidikan dan kehidupan ekonomi, keperluan kepada tenaga, kehidupan sosial, perkembangan teknologi dan ekonomi, tenaga-tenaga alternatif, keselamatan negara, dan sosial.
• Dalam trend kedua dan ketiga mereka berbicara berkenaan dengan teknologi sebagai pemimpin dalam perubahan sosial, kemudian pemodenan sosio-ekonomi, dalam erti bila negara menjadi kaya ia berubah dari segi budaya, sosial dan politiknya; kemudian dibicarakan keperluan-keperluan manusiawi, perubahan dalam pengembangan demokrasi Barat, masalah undang-undang dan kawalan masyarakat, masalah etika dalam bioteknologi, tentang masyarakat yang berilmu dan bermaklumat dengan yang kurang di dalamnya, kepentingan kemahiran dalam teknologi, pendidikan tinggi, peningkatan pemikiran dalam masyarakat.
• Mereke berbicara berkenaan dengan institusi-institusi sosial, dalam semua negara dunia, birokrasi pendidikan, tentera, korporat, prinsip-prinsip demokrasi, liberalisasi, kreativiti dan innovasi.Mereka berbicara tentang timbulnya k-ekonomi.
• Dalam trend ketiga mereka berbicara berkenaan dengan ekonomi berkenaan dengan sumber tenaga manusiawi, pengurusan yang baik, penciptaan alat-alat dan bahan-bahan baru untuk perekonomian mereka, berkenaan dengan sempadan-sempadan yang semakin berkurang dan runtuh, syarikat-syarikat besar mereka perlu melihat peluang-peluang keluar negara mereka, seterusnya globalisasi ekonomi mereka.
• Mereka berbicara tentang politik mereka dan hubungannya dengan dunia luar, tentang masalah kemasyarakatan, masalah budaya termasuk apa yang disebut sebagai fundamentalisme agama, anti-intellectualism, sentimen anti sains, nasionalisme melampau, tentang kemampuan US terus menerus menjadi pimpinan dunia antarabangsa dalam bidang ekonomi, politik, strategi, dan keselamatan, dengan keupayaan teknologinya.
• Dalam Trend kelima tentang keperluan manusiawi dan tugas korporat mereka berbicara tentang timbulnya institusi-institusi baru yang memiliki otoriti menggantikan yang lama; mereka berbicara tentang cabaran-bacaran ke atas struktur keluarga; bukan sahaja di Amerika tetapi di seluruh dunia; mereka menyebut tentang menurunnya otoritas kerohanian; kemudian menurunnya negara sebagai otoriti, bukan lagi seperti zaman lampau; mereka menyebut bagaimana institusi politik terkebelakang berbanding dengan ekonomi yang lebih maju; semua ini membawa risiko: meningkatnya jenayah, merusut keluarga, hidup masyarakat, tradisi, agama, semuanya semakin menipiskan hidup sosial.
• Mereke berbicara tentang keadaan kewangan yang tidak stabil, bagaimanapun negara masih kekal wujud; dibicarakan peranan golongan korporat yang semakin menjadi kuat, juga dibicarakan individu: yang diperkasakan oleh teknologi, ia bebas, mempunyai kreativiti, innovasi, dan kemahiran yang mendatangkan kejayaan dalam ekonomi dan perdagangan;
• Tapi mereka menyebut: keperlan berkerja dalam pasukan, dalam masyarakat, keperluan membina masyarakat madani (“civil”).
• Mereka berbicara tentang keperluan asasi manusiawi mengikut Maslow: keperluan-keperluan fisiologi untuk badan, keselamatan dan keamanan; kasih sayang dan rasa terikat kepada sesuatu (“sense of belonging”), maruah diri (“self-esteem”), dan realisasi potensi diri.
• Mereka berbicara tentang jenayah di dunia maju, di Us dan negara-negara lain, pembunuhan, disebutkan bagaimana US berada di kemuncak negara yang mencatit pembunuhan dengan senjata api; dikatakan Amerika sebagai negara maju yang paling terbiasa membunuh di muka bumi (“the most murderous developed society on earth”); mereka menyebut tentang keganasan; tentang kawasan stinggan; menyebut tentang keperluan berkerja dengan negara-negara lain untuk menyelesaikan setengah masalah-masalahnya.
• Mereka membicarakan masyarakat korporat dan tugas-tugasnya dalam pendidikan dan pembangunan negara dan sosial; juga budaya generasi muda dengan hubungan tidak langsung tetapi melalui alat (“mediated relationships”) berdasarkan komputer, laman web, video dan sebagainya.Itu seperti hidup dalam alam terpisah daripada hubungan langsung secara fisikal dalam masyarakat atau keluarga.
• Mereka menyatakan keyakinan: Amerika secara uniknya terletak di kemuncak pimpinan dalam pembangunan, tanpa kuasa lain mencabarnya, mereka mempunyai kreativiti, innovasi, dan adaptability atau kemampuan untuk menyesuaikan diri untuk mendapat kepentingannya.

• Dalam trend keempat dan ke enam mereka berbicara berkenaan dengan beberapa perkara: antaranya bagaimana adanya syarikat gergasi multinasional sebanyak 40,000 yang mempunyai syarikat-syarikat rakannya hampir-hampir satu suku milion dengan penjualan mereka semuanya berjumlah lima kali ganda paras perdagangan antara negara-negara.
• Mereka menyebutkan, mengutip kenyatan Foud Ajami pengkaji tamadun Arab itu, bagaimana benda-benda yang di bawa oleh Barat ke negeri-negeri lain menjadi kebiasaan dunia; dalam erti lain yang sedang berlaku ialah Amerikanisas, yang dikatakan oleh setengah orang sebagai globalisasi.
• Mereka menyebut tentang multiculturalisme atau kepelbagaian budaya di Amerika yang dibantu pula oleh media yang dikatakan “fragmented” atau terpecah-pecah, mendokong semangat kepuakan atau “tribalism”.Maka dikatakan yang sedang berlaku ialah “tribalism within globalism”- kepuakan dalam pensejagatan- atau “globalism in tribalism”-pensejagatan dalam kepuakan dan yang satu mendokong yang lainnya.
• Bagaimanapun mereka menyatakan bahawa tamadun menjadi “globalized only on the surface of our lives” mengutip kenyataan Vaclav Havel, -kita mengalami globalisasi hanya pada permukaan luar hidup kita sahaja, tetapi isu-isu jatidiri dan psikologi kita masih berkait dengan perkara-perkara yang lebih bersifat tempatan.
• Mereka menyebut tentang ujian psikologi manusiawi -“The Test of Human Psychology”, yaitu disebutkan bagaimana manusia yang dierkasakan zaman ini dengan pelbagai teknologi dan ilmu sebagai pelakun zaman ini menghadapi cabaran-cabaran yang sedemikian besarnya, dengann tugas-tugasnya yang terlalu amat berat; disebutkanm bidang kewangan, pekerjaan dengan cabaran-cabarannya; cabaran pendidikan yang menjadi pendidikan seumur hidup; disebutkan sindrom alianasi -“alienation”, bagaimana rasa “terasing”nya manusia dalam hidup ini, terpisah daripada alam tabi’i sekelilingnya; bagaimana ia tersisih daripada matlamat hidup sebenarnya, disebutkan bagaimana ramainya manusia yang merasa “bimbang” (ada “anxiety”) dalam menghadapi hidup dunia ini.(Pada kita ini akibat daripada terputusnya hubungan manusia dengan Tuhan, agama, dan tradisi such serta hidup kerohanian dan cara hidup yang hampir dengan fitrah manusiawi sebenarnya).
• Disebutkan bagaimana adanya maklumat dan data yang terlalu amat banyak melebihi yang sepatutnya (“information overload”) , juga terlalu cepat dan laju hidup ini bergerak, dalam era internet, era virtual atau maya, sehingga semakin lama semakin kita berinteraksi dengan manusia bukan sebagai “diri” tetapi sebagai idel, atau perniagaan atau sebagai institusi;
• Dengan itu disebutkan bagaimana kita hidup dengan kesedaran berkurangnya “tempat”, berkurangnya tentang “sense of place”, kesedaran tentang kita ada mempunyai tempat secara fisikal, kerana semakin ramai manusia mengembara sentiasa, dan mereka berinteraksi antara satu dengan lain melalui media bukan secara langsung, dengan itu akar umbi seseorang dalam hubungan dengan tempat dan masyarakat menjadi terhakis, dengan akibat-akibat negatifnya.
• Maka dimajukan pertanyaan dalam persidangan yang berkenaan: Adakah keadaan ini ialah fenomena psikologi manusiawi yang dimaksimakan untuk paras interaksi dengan dunia yang seratus kali kurang kompleksnya, kurang abstraknya, kurang pelbagainya benda-benda yang ditemui berbanding dengan apa yang dihadapi ini, dan bolehkah kita berhadapan dengan halkikat sedemikian ini?
• Berkaitan dengannya pula disebutkan apa yang dpanggil sebagai “Pessimism Syndrome” akibat daripada media memberi gambaran yang terlebih buruk daripada yang lumrahnya berkenaan dengan manusia—kerana yang diambil ialah berita-berita yang bersifat sensasi, bukan yang biasa dan lumrah.Dengan itu akibatnya manusia berfikir mereka atau kesadaan hidup mereka lebih buruk lagi daripada yang sebenarnya.
• Disebutkanm juga bagaimana berlakunya perubahan tentang nilai-nilai yang asasi sebagaimana yang didapati daripada penyelidikan yang dilakukan .Tetapi dinyatakan bahawa “humjan nature is a constant”- sifat kemanusiaan itu tetap tidak berubahyang berubah ialah keutamaan yang diberikan kepada nilai-nilai.
• Dinyatakan bagaimana bila dilakukan penyelidikan tentang 60 buah masyarakat dunia berdasarkan suasana-suasana yang mewakili keadaan kebangsaan dala negara-negara berkenaan, maka didapati: nilai-nilai menunjukkan syarikat-syarikat gergasi merupakan prioriti tertinggi; bagaimanapun ada diberikan perhatian tinggi kepada kualiti hidup selain daripada fenomena bagaimana manusia tertarik kepada pelbagai macam aliran kerohanian yang ganjil-ganjil…(19).
• Kita boleh perhatikan pula bagaimana Amerika mengambil jalan mengadakan polisi hubungan luar yang bersifat lebih mementingkan kekuatan tentera untuk mengesankan pengaruhnya dalam hubungan antara bangsa selepas 11 September 2001.
• Dan motto mengesan dan menghapuskan golongan teroris atau pengganas yang ditujukan kepada umat Islaam menjadi agenda pentingnya.Berkaitan dengannya baharu sahaja negara itu menarik diri daripada perjanjian antarabangsa yang membataskan perbanyakan senjata nuklur di dunia.

Memperkuatkan Melayu di Zaman Globalisasi dan TMK:

Dalam hubungan dengan memperkuatkan kedudukan Melayu dalam menghadapi globalisasi dan zaman TMK ini ada beberapa perkara yang boleh kita fikirkan bersama antaranya ialah:

• Bagaimana Melayu yang agama Islam adalah sebahagian yang sebati dengan jatidirinya perlu mengingati dan meyakini hakikat bahawa Islam adalah agama yang ditakdirkan dari awal mula lagi untuk memperkasakan manusia dalam menghadapi globalisasi, sebab itu maka Tuhannya adalah “Tuhan sekelian alam” bukan Tuhan “kabilah kita” atau Tuhan “umat kita”.
• Berkaitan dengan itu ia perlu ingat dan yakini bahawa Nabi Muhammad s.a.w. diutuskan sebagai “rahmat untuk seluruh alam” , bukannya untuk bangsa Arab atau mana-mana bangsa terpilih sahaja, bahkan ia membawa agama Islam “untuk seluruh umat manusia”(“kaffatan lin-nas”).
• Maka Islam hendaklah diyakini oleh Orang Melayu-bersekali dengan saudara-saudaranya bangsa lain dalam umat ini bahawa hidup ini memang berbentuk sejagat, dan hidup yang bersifat sejagat ini hendaklah dijadikan medan untuk menjayakan “Kalimah Tuhan” yang mengatasi segalanya, walau apa sekalipun yang dikatakan oleh falsafah pasca modenisma. Kesenangan dalam perdagangan dan komunikasi adalah alat atau wasilah untuk menjayakan Kalam Tuhan dan menjayakan kehidupan serta tamadun sebagai khalifah Tuhan di muka bumi dan sekaligus sebagai hambaNya.Maka dengan itu Orang Melayu hendaklah membuat persiapan dalam semua segi-iman, ilmu, kemahiran, akhlak, perhubungan, teknologi, dan rangakain menjayakan rancangan-francangan yang tersusun- supaya apa yang dilafazkannya dalam doanya selepas takbir dalam sembahyang terlaksana dalam hidup, negara dan budayanya yaitu doa yang bermaksud:”Sesungguhnya sembahyangku, pengorbananku, hidupku dan matiku adalah bagi AllahTuhan yang mentadbir sekelian alam”.
• Disamping membenarkanm globalisasi dan menerimanya, serta membuat persiapan untuk menghadapinya, hendaklah ia memainkan peranannya sebagai juara yang sewajarnya dengan kemampuannya untuk membuktikan dengan penghayatan bahawa masyarakat Islam adalah membayangkan “ummat yang terbaik yang dilahirkan untuk faedah umat manusia, kamu menyuruh kepada kebaikan dan kamu mencegah kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah”.
• Maka hendaklah dijaga dan dijayakan akidah Ahlis-Sunnahnya, hidup rohaninya, akhlaknya, aturan syariat agamanya, nililai unggulnya, penghayatan peribadi-peribadi unggul dalam tamadun dan sejarahnya, Perkara-perkara yang menyentuh jatidiri yang paling intim itu tidak boleh dibenarkan terpesong kerana tenaga-tenaga pasaran bebas.Ini perjuangan yang ia mesti hadapi untuk menjaga maruah diri dan agamanya serta maruah bangsa dan tamadunnya.
• Dalam bidang pendidikan dan ilmu ia mesti menguasai ilmu-ilmu agama yang memadai untuk dirinya-kalau ia bukan spesialis atau sarjana- supaya ia boleh hidup sebagai Muslim yang komited dan berdisiplin serta hendaklah ia mempelajari cara-cara membuktikan keindahan Islam dalam hidupnya, serta mampu membuktikan keindahan itu dalam percakapan dan perbuatan serta tingkah lakunya.
• Ilmu-ilmu semasa perlu dikuasainya setinggi mungkin, demi untuk kebaikan dirinya dan bangsanya, serta negaranya, sebab mengikut teori Ibn Khaldun sesuatu bangsa itu ilmu pengetahuan dan berfikirnya menjadi unggul dan tinggi—dan ia mencapai apa yang disebut sebagai al-‘aqlul-mazid atau akal tambahan—dengan mengalami pendedahan kepada ilmu-ilmu dan kemahiran serta percubaan-percubaan dalam budaya menetap yang tinggi.Dengan itu ia menjadi kuat.
• Hendaklah Melayu diberikan pendidikan dan ilmu-ilmu saintifik dan teknologi yang memadai demi untuk menjadikan masyarakat Islam mampu bersaing, tanpa keperluan meminta ehsan pihak lain, dengan itu ia membina tamadun dan peradabannya bersekali dengan rakan-rakannya terdiri daripada bangsa-bangsa yang berlainan agama membina kehidupan dan budaya serta hidup dengan harmonis dalam kepelbagaian agama dan budaya sebagaimana yang terjamin dalam perlembagaan.
• Kesepaduan ilmu-ilmu yang difahami antara ilmu-ilmu keagamaan dan ilmu-ilmu rasional boleh dilihat contohnya sebagaimana yang ada dalam “al-Muqaddimah” ibn Khaldun rh yang patut menjadi bahan telaah yang serius dalam pendidikan negara ini untuk memberi persiapan akal bagi menerima ilmu-ilmu dalam kesepaduannya.Dengan itu akan Melayu Muslim akan mendapat pemerkasaan melalui pemenafaatan teks ini.
• Melayu Muslim perlu menunjukkan contoh perpaduan sesama Islamnya terlebih dahulu baharu ia boleh mengajak pihak lain dengan cara yang meyakinkan dalam perpaduan kebangsaan untuk menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.Ini dilakukan oleh Nabi s.a.w. bila baginda menyatupadukan Muslimin Arab dahulu dengan rakan-reakan mereka di Madinah, kemudian diadakan perjanjian dan perpaduan dengan Orang Yahudi dan lainnya yang dibebankan dengan tugas menjaga negara-kota Madinah sebagai tugas bersama.Untuk menjayakan hakikat ini maka usaha perlu dilakukan untuk menggantikan “budaya perang “(‘ a culture of war”) dalam masyarakat dengan “budaya kasihan belas” (“a culture of compassion” ) sebagaimana yang digambarkan dalam Quran dalam akhir Surah al-Fath.Sebagaimana yang saya suka selalu sebutkan bahawa teori ‘asabiyyah Ibn Khaldun perlu dijadikan asas teori menyatukan Melayu-Muslim untuk menjadi paksi perpaduan negara ini.Mereka yang terlibat dalam ilmu pengetahuan dan mereka dalam kalangan da’wah perlu menjadi “bumi menengah intelektuil dan moral” (“the intellectual and moral middle turf”) demi untuk menjayakan penyatupaduan umat secara berkesan.
• Nilai-nilai adat dan budaya yang bersesuaian dengan keyakinan dan agamanya hendaklah dijaga dan diteruskan penghayatannya sebagaimana yang terkandung dalam kata-kata terkenal:”Hidup bersendikan adat, adat bersendikan hukum dan hukum bersendikan kitab”.
• Perkara-perkara positif dalam globalisasi dan TMK hendaklah digarap dalam umat Islam dengan seperkasa mungkin sebagai rancangan nasional pada semua peringkat dan jurang antara mereka yang mengetahui dengan mereka yang tidak mengetahui TMK hendaklah dikurangkan.Kemenafaatan TKM perlu dicanangkan dengan cara seluas-luasnya dengan kerjasama semua pihak, termasuk warga pendidikan para pemimpin, aktivis masyarakat dan ulama.
• Ciri-ciri tambahan yang disebutkan dalam “Agenda Melayu” oleh Prof Dr Hashim Musa. INMIND, 2002 adalah relevan: pengembalian kepada faham alam (“world-view”) Melayu-Islam tentang Allah, alam, insan, sewajarnya; Islam sebagai “al-din” yang membina Muslim, mu’min, muhsin; keyakinan penuh kepada Allah sebagai Tuhan alam semesta dengan kelebihan yang didapati dalam hidup dengan keyakinan itu dalam masa susah dan senang; wawasan, misi, objektif, niat, dan strategi yang sah benarnya mengikut hukum agama tanpa manipulasi dan keingkaran; nilai tertinggi manusiawi mengikut akhlak yang luhur mengatasi bangsa dan warna kulit; kehidupan yang berada dalam “tawazun” antara rohani-jasmani, dunia akhirat, ilmu, maklumat dan kebijaksanaan,kemahiran, kepakaran, fardhu ain dan fardhu kifayah.
• Keperluan itu semua adalah berlaku dalam rangka epistemologi Sunni dengan akidahnya, dengan Syariatnya bermazhab Syafi’I, misalnya, ajaran rohani, akhlak dan isyarat falsafah dan pemikiran seperti dalam ajaran al-Ghazali, dan aspek-aspek ketamadunan dan budaya serta perkembangan intelektuil seperti yang diajarkan oleh ibn Khaldun rh, dengan tambahan-tambahan seperlunya dari penulisan klasik atau moden yang berguna.Dalam hubungan dengan pemikiran dalam agama maka hendaklah dikecualikan Dunia Melayu daripada pemikiran teologi dan yang berkaitan dengannya daripada cara pemahaman yang lain daripada ijma’ dalam epistemologi Sunni dan yang bersifat “divisive” apa lagi yang menimbulkan sikap kombatif dan bukan sikap “an-nasihah” dalam menghadapi waliul-amri.rtinya kerja membina umat ini dan perpaduannya ada dimensi teologi padanya selain daripada usaha-usaha lain.
• Pemerkasaan itu juga mesti berlaku dengan penyelesaian kelemahan-kelemahan yang menghantui Orang Melayu dalam beberapa perkara gejala buruk, seperti yang disebut dalam sumber yang sama, menukil pendapat Prof Dr Mohd Kamal Hassan:pegangan dan amalan hidup liberal, materialistik, sekular yang negatif, gaya hidup menunjuk-nunjuk, sindrom politik wang (yang disebut oleh ibn Khadun berlaku bila tamadun menurun), kelemahan moral (juga disebut oleh Ibn Khaldun), dengan rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya, amalan dan sikap tuan-hamba (patron-client), gejala lepak dan salah laku muda-mudi, sindrom pencapain rendah, sindrom pergantungan, sikap mengelak matematik dan sains (Ibn Khaldun menyebutkan matematik menjadikan penggemar dan orang yang mahir di dalamnya orang-orang yang cerdik dan pintar), kecenderungan hendakkan sesuatu dengan segera tidak sabar dan tekun, tidak menghargai masa dengan kegiatan-kegiatan tidak berfaedah (walhal dalam perhimpunan dibaca Surah Wal-‘Asri), keyakinan terhadap akhirat yang disalahtafsirkan sampai kurangnya amalan kebajikan kemasyarakatan, akhlak, umat, dan konsep takdir yang disalahtafsirkan, kepercayaan kepada takhayyul, gejala fitnah dan umpatan, amalan ajaran sesat.
• Boleh ditambahkan dalam senarai di atas, walaupun implikasinya sudah ada: yaitu budaya berfikir secara teratur, tersusun dan objektif yang perlu dijadikan budaya yang diamalkan dengan berkesan, dengan dimulakan dari awal lagi disekolah dan di pusat pengajian melalui latihan-latihan.Ibn Khaldun mengambil berat tentang budaya berfikir teratur dan bermatlamat ini.
• Juga boleh ditambah budaya membaca bahan-bahan yang serius dan berguna dan budaya suka membuat catitan dan menulis; orang yang terlibat dalam proses menulis adalah orang yang melibatkan diri dalam proses penyempurnaan zat insaniahnya, sekaligua ia sedang melakukan usaha membina tamadun.Perlu difikir: bagaimana berkembang tamadun ilmu kalau orang tidak serius belajar? Bagaimana boleh berkembang ilmu kalau tidak ada buku yang ditulis? Kalau tidak dibiasakan menulis bagaimanakah akan ada tulisan? Untuk menulis pula perlu ada ilmu dan pemikiran.Demikian seterusnya.
• Juga boleh ditambah budaya jimat cermat perlu dihidupkan di kalangan mereka yang hartawan selain daripada orang biasa.Pengajaran dalam buku “The Millionaire Mind”(20) yang menyebut tentang budaya milionair Amerikayang berhemat dalam berbelanja, tidak menunjukkan kemewahan hidup, berdisiplin, kasihkan nilai-nilai kekeluargaan, khidmat sosial, cekap menmgurus kejayaan mereka, demikian seterusnya yang banyak persamaannya dengan ajaran Islam tentang adab-adab mereka yang berharta, perlu menjadi panduan dalam masyarakat Islam, untuk sasana semasa, selain daripada panduan Quran dan Sunnah.
• Dalam rangka yang lebih luas Dunia Melayu perlu bersama dengan tamadun-tamadu Asia lain dalam membina kekuatan menjaga jatidiri berpaksikan nilai-nilai Asia dalam menghadapi penghakisan nilai-nilai sarwajagat yang ada dalam tamadun Asia supaya dengan itu kekuatan dan keberkesanan akan menjadi lebih mantap dalam perjuangan.Wallahu a’lam.

Nota hujung:

(1) Syakih Daud al-Fatani, “Ad-Durruth-Thamin” bahagian awalnya, juga Syaikh Zainal-Abidin al-Fatani, “Aqidatun-Najin, bahagian awalnya.

(2) “at-Tamhid”, edisi Kahirah oleh Mustafa Abd al-Raziq, bahagian mukaddimah.
(3) sumber sama.
(4) “al-Muqaddimah” oleh Ibn Khaldun, terj.Dewan Bahasa Dan Pustaka, hlm.525-526 dan halaman-halaman lainnya tentang “akal”.
(5)hlm267
(6)“Aadiqatul-Azhar”, edisi Wan Mohd Shaghir Abdullah, hlm.223
(7)hlm.4
(8)Yang boleh dilihat dalam sukatan pelajaran sekarang di sekolah-sekolah.
(9)1992, Kuala Lumpur, hlm.53-54.
(10)sumber sama.
(11)hlm xi.
(12)Ibn Khaldun, “al-Muqaddimah”, DBP, hlm.144-147
(13)Lih.laman web Drs Ruud Lubbers-definitions of globalisation_lexicon.files.html
(14)sama
(15)“Berita Harian”, 26/5/2001
(16)“Globalisation and the New Realities”, oleh Dr Mahathir Mohamad, Pelanduk Publications, 2002.
(17)Dalam”Globalisation: The Perspectives and Experiences of the Religious Traditions of Asia Pacific”, (eds) Joseph A.Camilleri & Chandra Muzaffar, International Movement for A Just World, Petaling Jaya, 1998, hlm 180-186.
(18)www.csis.org/gt2005/conf0898html;…org/gt2005/papers.html
(19)“Papers and Conferences”, Global Trends 2005.A Future Trends Conference, http://www.csis.org/gt2005/conf08146.html
(20)oleh Thomas J.Stanley, Ph.D., Andrews McMeel Publishing, Kansas City, 2001.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: