Jawapan Komen Muhammad Kamal

Assalamu alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh

Saudara

Maka selepas lebai Jawi ini membaca komen (di https://blogtraditionalislam.wordpress.com/wp-admin/comment.php?action=editcomment&c=30) itu terlintas pada hatinya lalu dia mula berkata-kata dengan nafsunya sendiri: “Sayang, rujukan kepada kitab ‘Ihya’  yang menyuruh kita menggunakan kitab itu  untuk mencerminkan diri sendiri (sebagaimana yang disebut oleh Imam Ghazali rd di awal kitabnya) wahai nafsuku, dan menjayakan tazkiyah, engkau terlupa wahai nafsuku kepada tazkiyyah kamu sendiri, lalu mencari-cari objek untuk menggunakan kitab itu, atau sebahagian daripada isi untuk ‘menembak’ orang yang kamu sangka musuh, mungkin dengan melupakan musuh yang sebenar, sama ada musuh batin atau musuh zahir,  musuh bangsa manusia atau bangsa sayaitan dan jin. Saya berbisik kepada nafsu sendiri ‘Sebanyak mana sudah kamu membersih diri kamu sehingga kamu sekarang menjadi bersih pada rasa kamu dan  mendapat otoriti  untuk menghukum orang, dan kamu rasa terlepas selamat ‘guaranteed’ di hadapan Allah? Tidakkah kamu ingat  wahai nafsuku bahawa Tuhan amat murka kepada orang yang menganggap diri bersih? ‘Jangan kamu manganggap dirimu sudah bersih, Allah lebih mengetahui tentang orang yang bertaqwa  53:32’?  Maka siapa yang ingin mendengar percakapan saya dengan ‘ego’ saya ini  saya boleh berkongsi juga  dengannya.

“Kemudian wahai nafsuku,  tentang saudara-saudara kita orang yang beriman, adakah kamu terlupa bahawa imam-imam Ahlissunnah semuanya ijma’ melarang kita mengatakan ahli kiblat sebagai tanggal imannya, atau masuk ke dalam kufur-nau’dhu billahi min dhalik- kecuali kita lihat betul-betul kufurnya, tanpa syak, dan bukan mangagak sahaja?”

Saya berbisik lagi kepada nafsu saya yang engkuh ini, kadang-kadang Berjaya saya mengawalnya, kadang-kadang tidak.Wahai nafsu: Adakah kamu mengatakan sesuatu itu  dengan ilmu betul-betul atau dengan mengagak-ngagak sahaja? Ingatlah amaran Tuhan bermaksud ‘Janganlah kamu ikut apa yangt kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya, sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan kalbu semuanya akan dipertanggungjawabkan’ (al-isra’: 36  ) Wahai nafsuku: tahukah kamu apa itu erti ‘materialisme’? Yang erti hakiki falsafahnya ialah tidak ada hakikat melainkan benda sahaja? Tahukah kamu wahai nafsuku apa itu ‘sekularisme’ yang kamuy sebut-sebut itu ? Adakah kamu tahu dengan yakin daripada punca-puncanya  supaya apa yang kamu kata itu bukan hanya tuduhan yang tidak boleh dipertanggungjawabkan? Wahai nafsuku, bercermatlah, sebab orang yang beriman itu walau ia berdosa besar ia tidak terkeluar daripada agama Islam, lain kalau ia kafir betul sebagaimana yang dinyatakan oleh imam-imam Ahlissunnah berdasarkan Qur’an, Sunnah dan ijma’? Lebih selamat kita tersilap ringan dalam mempersalahkan orang daripada terlajak berat melakukan demikian,  sebab parah tanggungannya.’ Demikian saya berbisik dengan  diri sendiri bila terlihat surat itu  sampai tak tergamak saya menyatakan apa-apa yang lain lagi.Wassalam.’

Dari al-faqir ilallah Muhammad Uthman El-Muhammady  9-08-09

Advertisements

Keperibadian Ahli Hadis

dipetik dari Utusan Malaysia

makam imam Bukhari yang terletak di Khartank, Samarkand.


Imam Al-Syafie

Nama lengkap Imam al-Syafie adalah Abdullah Muhammad ibn Idris al-Shafi’e. Lahir di Ghazzah, Palestin pada tahun 150H/767M dan wafat pada tahun 204H/820M. Beliau dibesarkan dalam sebuah keluarga yang miskin.

Bapanya wafat ketika Imam al-Shafi’e berumur dua tahun dan ketika berusia sembilan tahun beliau berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran.

Karya imam ulung ini antara lain: al-Risalah, al-Qiyas dan Ikhtilaf al-Hadith. (al-Shurbasi, Ahmad, 1991, al-A’immah al-arba’ah)

Imam al-Syafie selalu menjadikan al-Quran dan hadis nabi sebagai landasan dan sumber hukumnya. Dalam hal ini beliau berkata, “Jika kalian mendapati sunnah nabi, maka ikutilah dan janganlah kalian berpaling dengan mengambil pendapat yang lain.”

Imam al-Shafi’e pernah berpesan: “Kamu semua hendaklah mendampingi orang-orang yang mempelajari hadis. Sesungguhnya mereka ialah orang yang paling tepat amalannya dalam kalangan manusia”.

Meskipun terkenal sebagai ulama fiqh dalam mazhab al-Shafi’e, keahlian Imam al-Syafi’e dalam ilmu hadis turut terserlah apabila beliau turut meletakkan syarat hadis sahih dan memberikan penjelasan mengenai kesahihan sebuah hadis.

Menurutnya, sebuah hadis dinilai sahih apabila perawinya taat melaksanakan ajaran agama, jujur dalam menyampaikan berita, tidak mengubah susunan kronologi periwayat sanad hadis, memahami erti dan maksud yang terkandung dalam hadis yang diriwayatkannya.

Perlu juga diketahui perubahan lafaz sekiranya terjadi, menghafal redaksi hadis yang diriwayatkan, dabit dari segi ingatan dan tulisan, lafaz dan makna tepat seperti sewaktu menerima dari gurunya dan sekiranya hadis diriwayatkan oleh perawi yang lain maka lafaznya tidak berbeza.

Kriteria kesahihan sanad hadis yang dikemukakan oleh -Imam al-Shafi’e turut menjadi kriteria Imam al-Bukhari dan Imam Muslim. Mereka tidak secara maknawi menetapkan syarat-syarat tersebut tetapi ia dirumuskan oleh para ulama sesudah mereka melalui penelitian terhadap kitab-kitab mereka.

Para ulama mendapat kedudukan yang tinggi dalam Islam kerana ilmu. Bukannya kerana kedudukan, atau latar belakang keturunan mereka. Ketekunan dan usaha gigih yang disumbangkan oleh tokoh-tokoh di atas meletakkan diri mereka antaranya sebagai perawi dan ulama hadis terulung.

Imam al-Bukhari

Nama beliau ialah Muhammad ibn Ismail ibn al-Mughirah ibn Bardizbah al-Bukhari al-Ju’fi. Beliau memeluk Islam melalui al-Yaman al-Ju’fi dan digelar sebagai al-Imam al-hafiz dan lebih dikenali dengan panggilan al-Bukhari. Beliau lahir di Bukhara pada bulan Syawal tahun 194H.

Imam al-Bukhari mempunyai karya besar dan agung dalam bidang hadis iaitu kitab beliau yang diberi nama al-Jami’ atau disebut juga al-Sahih atau Sahih al-Bukhari.

Ketinggian nilai kitab ini terserlah apabila beliau sangat teliti ketika memuatkan hadis-hadis sahih di dalamnya. Para ulama menetapkan bahawa kitab karangan beliau merupakan kitab yang paling sahih setelah kitab suci al-Quran.

Kedudukan Sahih al-Bukhari diakui oleh semua ulama sebagaimana kata Ibn Taimiyyah, “Tidak ada kitab di bawah naungan langit ini kitab yang paling sahih setelah al-Quran, kecuali Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim.

Ketakwaan dan kesolehan Imam al-Bukhari merupakan sisi lain yang tidak wajar dilupakan. Berikut diketengahkan pernyataan para ulama tentang ketakwaan dan kesolehan beliau agar dapat dijadikan teladan.

Abu Bakr ibn Munir berkata: “Aku mendengar Abu Abdillah al-Bukhari berkata, “Aku berharap bahawa ketika aku berjumpa Allah, aku tidak dihisab dalam keadaan menanggung dosa ghibah (mengumpat).”

Abdullah ibn Sa’id bin Ja’far berkata: “Aku mendengar para ulama di Basrah mengatakan, “Kami tidak pernah menjumpai di dunia ini orang seperti Muhammad ibn Ismail dalam hal makrifat (keilmuan) dan kesolehan.”

Imam al-Bukhari wafat pada 30 Ramadan tahun 256H ketika beliau mencapai usia 62 tahun. Jenazah beliau dimakamkan di Khartank, nama sebuah kampung di kota Samarkand.

Seiring tokoh-tokoh ahli hadis lelaki di atas, jika ditelusuri khazanah sejarah peradaban Islam ketika ilmu-ilmu hadis disampaikan secara sistematik, penglibatan dan sumbangan perawi wanita nyata diperakui sehingga tidak ada lagi dakwaan yang mengatakan bahawa wanita diabaikan dan penglibatan mereka hanya sebagai suatu hal yang sia-sia.

Aisyah Binti Abu Bakr Al-Siddiq

Ummu al-Mukminin Aishah binti Abi Bakr ibn Quhafah r.a merupakan nama yang paling penting dalam periwayatan hadis Rasulullah SAW.

Sahabiyyah ini merupakan seorang perawi hadis dan keunggulannya dalam penyebaran hadis diakui oleh para sahabat Rasulullah SAW. Ribuan hadis diterima secara langsung oleh Aisyah r.a dari Nabi SAW.

Kewibawaan Aisyah sebagai tokoh hadis dan periwayat hadis terserlah apabila isteri kesayangan baginda ini meriwayatkan hadis daripada baginda dan kebanyakannya berkaitan tentang kehidupannya bersama baginda SAW. (2,210 hadis dikeluarkan oleh para imam al-Kutb al-Sittah, 5,965 hadis dikeluarkan oleh para imam al-Kutb al-tis’ah, 316 hadis riwayatnya termuat dalam kitab Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim dan hadis yang diriwayatkan Aisyah r.a secara bersendirian dari Rasulullah SAW sebanyak 138 hadis).

Aisyah r.a sentiasa bersikap kritis dalam mencari dan mempertahankan kebenaran pada saat wahyu atau sabda baginda disampaikan. Sebagai contoh, dalam kitab Fath al-Bari, Ibn Hajar mengupas kritikan (naqd al-hadith) Aishah terhadap Abu Hurairah mengenai kisah dua orang lelaki dari Bani ‘Amir telah datang menemui Aishah dan mengatakan bahawa Abu Hurairah berkata Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud ketidakberuntungan itu dalam tiga perkara iaitu kuda, perempuan dan rumah.

Aishah mendengar lalu menjernihkan situasi dan pemahaman hadis lantas berkata, “….apa yang telah Abu Hurairah katakan hanyalah merupakan amalan masyarakat jahiliah yang suka melakukan amalan bertenung nasib dari tiga hal tersebut”.

Ibn Hajar menjelaskan, kritikan Aishah ke atas Abu Hurairah tidak bermaksud mengingkari riwayat Abu Hurairah. Sebaliknya menerangkan bahawa ia merujuk kepada iktikad atau kepercayaan dalam masyarakat jahiliah. (al-Asqalani, Ahmad ibn Ali ibn Hajar, Fath al-Bari Sharh Sahih al-Bukhari, Qawluhu Bab Ma Yuzkaru Min Shu’m al-Faras, jil. 6, hlm. 61)

Justeru, amat wajar dan tidak menjadi suatu yang mustahil sekiranya Aisyah r.a menjadi tempat bertanya sebarang kemusykilan hadis dan mediator hadis kebanyakan para sahabat, para kibar tabien r.a dan umat Islam seluruhnya.

Lestari Hadis Tanda Cinta Rasulullah

Sebagai kesimpulan, keperibadian tokoh-tokoh hadis di atas dilihat saling tidak tumpah seperti visualisasi keperibadian Islam yang dianjurkan oleh baginda SAW.

Keahlian dan keilmuan mereka dalam ilmu hadis merupakan hasil dari pemikiran dan pemahaman yang mendalam merentasi pelbagai disiplin ilmu (naqd al-hadith, al-jarh, ruwat al-hadith, ‘ilal al-hadith, fiqh, tafsir, tauhid al-tibb, al-syi’r).

Mereka bukan dari sebuah kejumudan pemikiran dan pemahaman terhadap sesuatu nas yang hanya mendepankan pendapat manusia semata-mata sebagai rujukan dan panduan membelakangkan (mengabaikan) dua sumber utama umat Islam iaitu al-Quran dan al-sunnah.

Melihat senario yang berlaku dalam komuniti Muslim Malaysia masa kini, komitmen masyarakat terhadap pengajian al-Quran dan penubuhan institusi-institusi pengajian al-Quran semakin giat dilakukan.

Senario ini tidak salah dan amat dianjurkan, namun apa yang dibimbangi adalah tahap keseriusan komuniti Muslim memberi perhatian atau komitmen dalam pengajian hadis dan perkembangannya seimbang dan seiring dengan al-Quran dirasakan amat kurang berbanding komitmen mereka terhadap pengajian al-Quran.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Aku telah tinggalkan kepada kamu perkara yang sekiranya kamu tetap berpegang teguh kepadanya maka kamu tidak akan sesat buat selama-lamanya iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunnahku”. (riwayat al-Hakim dalam kitab al-Mustadrak).

Justeru, perlu perhatian serius dan komitmen tinggi badan kerajaan dan swasta agar memperbanyakkan institusi atau pusat kajian hadis bagi melahirkan generasi al-hadis pencinta Rasulullah SAW seumpama Aisyah r.a, Abu Hurairah r.a, al-Imam al-Syafi’e dan al-Imam al-Bukhari.

Prinsip al-Quran wajar jadi asas penyatuan ummah di Malaysia

Temubual Ustaz Muhammad Uthman El-Muhammaddy dengan Berita Harian (2 Ogos 2009):


Dr Muhammad Uthman el-Muhammady

TIDAK sah membicarakan soal perpaduan bangsa tanpa membabitkan Umno dan Pas, dua parti politik Melayu terbesar di Malaysia. Ketika Umno menghulurkan tangan untuk berbincang mengenai isu itu, pemimpin Pas ada yang positif, ada yang membantah keras. Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat pula bagai sudah ‘berpatah arang, berkerat rotan’ sehingga ke peringkat mengeluarkan kenyataan ‘pergi jahanam kepada Umno’. Wartawan Berita Minggu, AHMAD NAIM TAHIR mendapatkan pandangan tokoh pemikir terkemuka yang juga Felo Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), Dr Muhammad Uthman el-Muhammady mengenai isu ini.

DALAM konteks perpaduan bangsa di Malaysia, tentunya tulang belakang penggerak ialah Umno dan Pas. Namun, ketika Umno menghulurkan salam perpaduan, pemimpin Pas, terutama Nik Aziz menentangnya. Apa pendapat Dr.

Itu bercanggah dengan al-Quran yang menyebut orang mukmin bersaudara. Kita tahu orang Umno dan orang Pas semua mukmin dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah. Orang mukmin bersaudara dan tamadun Melayu pun tahu (hubungan) orang Melayu tak putus… bak air yang dicincang akan bertaut juga, carik bulu ayam akan bercantum juga. Jadi, pendirian (Nik Aziz) itu mungkin dia buat dalam satu keadaan yang terpengaruh dengan sesuatu ingatan yang pedih dan yang menghiris hati, tetapi itu tidak boleh mengubah hakikat ajaran al-Quran, ajaran hadis Nabi dan ajaran ulama sebab haram kita tak pergi dan datang antara orang mukmin lebih daripada tiga hari kecuali ada sebab yang diharuskan oleh syarak. Saya berasa tidak diharuskan oleh syarak supaya kita berkelahi, apa lagi bila ia menyebabkan nasib ummah dan agama menjadi semakin parah seperti yang boleh kita lihat perkembangannya dalam media sekarang.

Pendirian itu mempengaruhi kelompok pengikut dalam Pas kerana taraf Nik Aziz sebagai ahli agama dipandang begitu tinggi, walaupun beliau kadangkala menggunakan perkataan atau rujukan yang tidak sepatutnya untuk menegakkan pendirian itu.

Saya fikir orang kita ada pelajaran dan boleh berfikir. Jika ada orang bercakap kasar dengan kita, kita jawab dengan bahasa lembut dan mengajak dia kepada perkara yang betul. Misalnya, jika ada orang kata jahanam, laknat… kita jawab adalah lebih baik diganti jahanam dan laknat itu dengan doa yang mendatangkan berkat, nanti orang yang nak dilaknat itu berubah jadi orang baik hingga jadi kawan selepas bermusuh beberapa waktu, jadi kawan yang rapat seperti diajar al-Quran sebab al-Quran ajar kita membalas yang pedas dan yang keras itu dengan yang baik.

Barangkali banyak perkara berjalan dalam masyarakat, mungkin juga pengaruh dan sentimen orang ramai yang melonjak-lonjak, yang mempengaruhinya… mungkin dia ingat itulah yang dikehendaki oleh orang ramai, maka dia pun berasa patut buat begitu. Barangkali jika dia berfikir lebih jauh, dari segi kebaikan umat, mungkin pada masa akan datang, agaknya perkara yang berlainan patut disebut. Kemudian dia patut fikir juga mengenai pihak luar negara yang sedang cari peluang untuk merosakkan hubungan sesama Islam. Jadi, jika kita ambil jalan seperti orang sekarang kata ‘cool’, saya berasa insya-Allah keadaan akan jadi bertambah baik, apa lagi jika ia membabitkan sarjana Islam atau ulama. Kita tak mahu sarjana yang pentingkan diri, memaksa pendapat peribadinya ke atas orang ramai sampai jika orang fikir cara lain, dia marah. Bukan sarjana macam itu yang kita mahu.

Ada kelompok dalam masyarakat yang menyamakan sikap pemimpin Pas yang menolak usaha perpaduan dengan Umno itu sebagai angkuh, takbur dan sombong. Kita kena kembali kepada prinsip al-Quran yang menyebut apabila dua saudara berkelahi, kena damaikan. Itu kewajipan. Prinsip amnya setiap penyakit ada ubat, termasuk perpecahan. Dulu kita bersatu padu menyelesaikan masalah komunis… ulama, umarak dan orang kaya bersatu untuk selesaikan masalah penjajahan, kita berjaya gagalkan program McMichael (Malayan Union). Jika ada fahaman yang boleh menyebabkan kita berpecah, kita buangkan. Misalnya, jika ada yang lain daripada Ahli Sunnah seperti pemikiran Syed Qutb yang menganggap kita boleh mencanggahi ulul amri, memberontak supaya kerajaan jatuh… dalam Ahli Sunnah, ini haram. Berdasarkan kepada imam-imam, semua kata tak boleh, beribu (imam) kata tak boleh, tapi datang seorang pemikir yang kata boleh, tiba-tiba dibuang orang alim yang beribu tahun itu, termasuk imam, mengambil pendapat beberapa orang pemikir yang boleh dibilang dengan jari sebelah tangan sebagai autoriti mantap… ini mencengangkan saya.

Bagaimana pula dengan tuduhan, kata kesat dan gelaran dilemparkan kepada pihak yang dimusuhi sehingga ia turut mempengaruhi pengikutnya.

Barangkali kita boleh rujuk kepada apa yang diajar Nabi Muhammad SAW. Baginda bersabda: “Aku dihantar bukan untuk melaknat orang”. Macam Nabi Musa, patut Baginda berkata, kesatlah sebab bertemu dengan Firaun, bukan dengan pengikut saja. Jika dikatakan orang berilmu, kita patut sampaikan kepada dia mesej bahawa lebih baik menjaga imej ahli ilmu, kita kembali kepada model ahli ilmu. Kita disuruh menjaga mulut, percakapan dan gunakan bahasa beradab dan tinggi. Kita diingatkan supaya jadi manusia paling baik tabiat dan penggunaan mulutnya, termasuk tidak celupar, tidak maki hamun dan sebagainya.

Kita kena mendidik orang ramai supaya kembali kepada ajaran Ahli Sunnah, menghormati ulul amri dalam negara, iaitu Yang di-Pertuan Agong, Sultan dan mereka yang diberi watikah. Sebab jika kita kata tak sah watikah itu kerana sekular seperti sesetengah orang bercakap, adakah bermakna mufti yang dilantik itu tak sah fatwanya, jika orang ikut tak sah amalnya. Kadi yang dilantik bila menikahkan orang atau buat keputusan, tak sah keputusannya. Jurunikah yang menikahkan orang juga tak sah, maka anak haramlah berkeliaran. Kita kembali kepada Ahli Sunnah… bagaimana kita berinteraksi dengan ulul amri. Jika ulul amri buat keputusan kita wajib taat, tak boleh derhaka, jika derhaka kena taubat. Ketua dalam parti tidak boleh jadi ulul amri seperti khalifah zaman dulu sehingga membatalkan kerangka atau struktur kuasa dalam negara dari segi syariat.

Bagi saya sebagai penuntut pemikiran Islam dan juga cuba memahami pemikiran Barat, ia mengaibkan saya… saya tak berniat nak tuduh apa-apa, tetapi aiblah apabila saya dapati tuduhan terhadap ulul amri ini tidak betul. Tuduh ulul amri dan satu segmen daripada ummah dengan satu pendirian yang memang dari segi intelektualnya tak masuk fahaman yang betul. Saya tak suka guna perkataan kesat untuk merujuk perkara ini, saya panggil ia sebagai ‘intellectual atau spiritual barbarism’.

Punca penentangan itu kerana tuduhan terhadap kerajaan sekarang sebagai sekular, tidak melaksanakan undang-undang Islam. Ada juga tuduhan lebih kesat, parti pemerintah itu kafir.

Tuduhan sekularisme itu sebenarnya dalam erti kata lain kafirlah, walaupun dia tidak kata kafir sebab semua unsur sekularisme adalah kufur, agama tak ada tempat, hanya untuk peribadi saja. Jadi aturan agama yang bersangkut dengan harta, nikah kahwin atau sebagainya tidak adalah sebab ia bersangkut dengan masyarakat. Kita kena jernihkan keadaan ini dengan cara penuh kerahiman, bukan dengan cara bermusuh, tetapi dengan dakwah bersifat intelektual dan beradab seperti saya selalu sebut bila Allah hantar Nabi Musa dan Nabi Harun kepada Firaun, Tuhan suruh Musa dan Harun berkata kepada Firaun dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan dia takut kepada Tuhan dan dapat pengajaran. Maknanya jika kita nak suruh sampai mesej, kena sampaikan dengan bahasa yang bagus, beradab, lembut… baru berkesan. Jika main hentam nak berlawan, bukan nak ajak kepada Tuhan. Jadi budaya beradab, politik berdisiplin, budaya politik dalam kerangka diajar Islam tiada maki hamun, tiada menggelar orang, apa lagi melaknat, mengata orang masuk jahanam (neraka), sedangkan lepas sembahyang kita doa semua mukmin masuk syurga.

Politik kita seperti al-Ghazali kata, satupadukan orang, bermuafakat mencapai cita-cita untuk kebaikan bersama. Taallul atau ijtimak bermakna kita rapatkan hubungan, bertemu dan muafakat, jangan amalkan budaya politik murahan, maknanya politik yang menyebarkan gelaran negatif yang boleh membawa kesan sangat parah. Misalnya menuduh ulul amri dalam Malaysia mengamalkan sekularisme. Kenapa tuduhan ini timbul, mungkin selepas mereka membaca buku Sheikh Yusof Qardawi atau Syed Naguib. Jika tuduh kerajaan kita mengamalkan sekularisme, itu menunjukkan dia (pihak yang menuduh) tidak ambil takrif sekularisme daripada punca asal yang autentik, bukan yang dihuraikan oleh orang kemudian yang diambil sebagai satu fakta. (rujuk buku Principles of Secularisme, karya Holyoake terbitan 1870 di London).

Jika tengok takrif asal (sekularisme) dan huraiannya dalam buku, English Secularisme, kita dapat kesimpulan agama dinyahkan daripada semua ruang kehidupan awam… tiada dalam tentera, polis, pelajaran, di universiti, sekolah, maktab, Parlimen, pejabat… tiada langsung agama. Apakah ini sedang dibuat ulul amri Malaysia, maksud ulul amri persepakatan Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu dan pemimpin yang diberikan watikah. Kita perlu mengajak rakyat Malaysia supaya sedar, haram tuduhan ini, termasuk di bawah ‘buhtanun’, maknanya tuduhan palsu yang sangat berat untuk merosakkan imej ulul amri. Ia mengganggu politik yang waras dalam negara kita sehingga nak berdamai pun, sesetengah orang tak mahu kerana dia fikir sekularisme sedang berjalan.

Kita tidak boleh sebut kelemahan ulul amri di depan orang ramai… dalam Ahli Sunnah, itu haram. Kita kena amalkan ‘addinunnasihah’ atau dengan nasihat, jika tidak dengar kita buat lagi sebab al-Quran pun larang keburukan disebut dengan nyata atau terbuka kecuali oleh orang terkena zalim, itupun dengan syarat disebut kepada pihak berkenaan (orang yang menzalimi) untuk menyelesaikan keadaan, bukan untuk menjatuhkan. Jadi ajaran al-Quran ini kita tidak pakai. Betul (pemerintah) ada kelemahan, tetapi dunia ini bukan syurga, ada kelemahan manusia, tetapi dalam kerangka Ahli Sunnah ini, berkembang tamadun dan dalam kerangka inilah berkembangnya kebesaran dan kalam Tuhan sampai ke hari kiamat. Tuhan menjamin jamin ajaran Ahli Sunnah yang sebenar akan kekal terus.