Prinsip al-Quran wajar jadi asas penyatuan ummah di Malaysia

Temubual Ustaz Muhammad Uthman El-Muhammaddy dengan Berita Harian (2 Ogos 2009):


Dr Muhammad Uthman el-Muhammady

TIDAK sah membicarakan soal perpaduan bangsa tanpa membabitkan Umno dan Pas, dua parti politik Melayu terbesar di Malaysia. Ketika Umno menghulurkan tangan untuk berbincang mengenai isu itu, pemimpin Pas ada yang positif, ada yang membantah keras. Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat pula bagai sudah ‘berpatah arang, berkerat rotan’ sehingga ke peringkat mengeluarkan kenyataan ‘pergi jahanam kepada Umno’. Wartawan Berita Minggu, AHMAD NAIM TAHIR mendapatkan pandangan tokoh pemikir terkemuka yang juga Felo Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), Dr Muhammad Uthman el-Muhammady mengenai isu ini.

DALAM konteks perpaduan bangsa di Malaysia, tentunya tulang belakang penggerak ialah Umno dan Pas. Namun, ketika Umno menghulurkan salam perpaduan, pemimpin Pas, terutama Nik Aziz menentangnya. Apa pendapat Dr.

Itu bercanggah dengan al-Quran yang menyebut orang mukmin bersaudara. Kita tahu orang Umno dan orang Pas semua mukmin dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah. Orang mukmin bersaudara dan tamadun Melayu pun tahu (hubungan) orang Melayu tak putus… bak air yang dicincang akan bertaut juga, carik bulu ayam akan bercantum juga. Jadi, pendirian (Nik Aziz) itu mungkin dia buat dalam satu keadaan yang terpengaruh dengan sesuatu ingatan yang pedih dan yang menghiris hati, tetapi itu tidak boleh mengubah hakikat ajaran al-Quran, ajaran hadis Nabi dan ajaran ulama sebab haram kita tak pergi dan datang antara orang mukmin lebih daripada tiga hari kecuali ada sebab yang diharuskan oleh syarak. Saya berasa tidak diharuskan oleh syarak supaya kita berkelahi, apa lagi bila ia menyebabkan nasib ummah dan agama menjadi semakin parah seperti yang boleh kita lihat perkembangannya dalam media sekarang.

Pendirian itu mempengaruhi kelompok pengikut dalam Pas kerana taraf Nik Aziz sebagai ahli agama dipandang begitu tinggi, walaupun beliau kadangkala menggunakan perkataan atau rujukan yang tidak sepatutnya untuk menegakkan pendirian itu.

Saya fikir orang kita ada pelajaran dan boleh berfikir. Jika ada orang bercakap kasar dengan kita, kita jawab dengan bahasa lembut dan mengajak dia kepada perkara yang betul. Misalnya, jika ada orang kata jahanam, laknat… kita jawab adalah lebih baik diganti jahanam dan laknat itu dengan doa yang mendatangkan berkat, nanti orang yang nak dilaknat itu berubah jadi orang baik hingga jadi kawan selepas bermusuh beberapa waktu, jadi kawan yang rapat seperti diajar al-Quran sebab al-Quran ajar kita membalas yang pedas dan yang keras itu dengan yang baik.

Barangkali banyak perkara berjalan dalam masyarakat, mungkin juga pengaruh dan sentimen orang ramai yang melonjak-lonjak, yang mempengaruhinya… mungkin dia ingat itulah yang dikehendaki oleh orang ramai, maka dia pun berasa patut buat begitu. Barangkali jika dia berfikir lebih jauh, dari segi kebaikan umat, mungkin pada masa akan datang, agaknya perkara yang berlainan patut disebut. Kemudian dia patut fikir juga mengenai pihak luar negara yang sedang cari peluang untuk merosakkan hubungan sesama Islam. Jadi, jika kita ambil jalan seperti orang sekarang kata ‘cool’, saya berasa insya-Allah keadaan akan jadi bertambah baik, apa lagi jika ia membabitkan sarjana Islam atau ulama. Kita tak mahu sarjana yang pentingkan diri, memaksa pendapat peribadinya ke atas orang ramai sampai jika orang fikir cara lain, dia marah. Bukan sarjana macam itu yang kita mahu.

Ada kelompok dalam masyarakat yang menyamakan sikap pemimpin Pas yang menolak usaha perpaduan dengan Umno itu sebagai angkuh, takbur dan sombong. Kita kena kembali kepada prinsip al-Quran yang menyebut apabila dua saudara berkelahi, kena damaikan. Itu kewajipan. Prinsip amnya setiap penyakit ada ubat, termasuk perpecahan. Dulu kita bersatu padu menyelesaikan masalah komunis… ulama, umarak dan orang kaya bersatu untuk selesaikan masalah penjajahan, kita berjaya gagalkan program McMichael (Malayan Union). Jika ada fahaman yang boleh menyebabkan kita berpecah, kita buangkan. Misalnya, jika ada yang lain daripada Ahli Sunnah seperti pemikiran Syed Qutb yang menganggap kita boleh mencanggahi ulul amri, memberontak supaya kerajaan jatuh… dalam Ahli Sunnah, ini haram. Berdasarkan kepada imam-imam, semua kata tak boleh, beribu (imam) kata tak boleh, tapi datang seorang pemikir yang kata boleh, tiba-tiba dibuang orang alim yang beribu tahun itu, termasuk imam, mengambil pendapat beberapa orang pemikir yang boleh dibilang dengan jari sebelah tangan sebagai autoriti mantap… ini mencengangkan saya.

Bagaimana pula dengan tuduhan, kata kesat dan gelaran dilemparkan kepada pihak yang dimusuhi sehingga ia turut mempengaruhi pengikutnya.

Barangkali kita boleh rujuk kepada apa yang diajar Nabi Muhammad SAW. Baginda bersabda: “Aku dihantar bukan untuk melaknat orang”. Macam Nabi Musa, patut Baginda berkata, kesatlah sebab bertemu dengan Firaun, bukan dengan pengikut saja. Jika dikatakan orang berilmu, kita patut sampaikan kepada dia mesej bahawa lebih baik menjaga imej ahli ilmu, kita kembali kepada model ahli ilmu. Kita disuruh menjaga mulut, percakapan dan gunakan bahasa beradab dan tinggi. Kita diingatkan supaya jadi manusia paling baik tabiat dan penggunaan mulutnya, termasuk tidak celupar, tidak maki hamun dan sebagainya.

Kita kena mendidik orang ramai supaya kembali kepada ajaran Ahli Sunnah, menghormati ulul amri dalam negara, iaitu Yang di-Pertuan Agong, Sultan dan mereka yang diberi watikah. Sebab jika kita kata tak sah watikah itu kerana sekular seperti sesetengah orang bercakap, adakah bermakna mufti yang dilantik itu tak sah fatwanya, jika orang ikut tak sah amalnya. Kadi yang dilantik bila menikahkan orang atau buat keputusan, tak sah keputusannya. Jurunikah yang menikahkan orang juga tak sah, maka anak haramlah berkeliaran. Kita kembali kepada Ahli Sunnah… bagaimana kita berinteraksi dengan ulul amri. Jika ulul amri buat keputusan kita wajib taat, tak boleh derhaka, jika derhaka kena taubat. Ketua dalam parti tidak boleh jadi ulul amri seperti khalifah zaman dulu sehingga membatalkan kerangka atau struktur kuasa dalam negara dari segi syariat.

Bagi saya sebagai penuntut pemikiran Islam dan juga cuba memahami pemikiran Barat, ia mengaibkan saya… saya tak berniat nak tuduh apa-apa, tetapi aiblah apabila saya dapati tuduhan terhadap ulul amri ini tidak betul. Tuduh ulul amri dan satu segmen daripada ummah dengan satu pendirian yang memang dari segi intelektualnya tak masuk fahaman yang betul. Saya tak suka guna perkataan kesat untuk merujuk perkara ini, saya panggil ia sebagai ‘intellectual atau spiritual barbarism’.

Punca penentangan itu kerana tuduhan terhadap kerajaan sekarang sebagai sekular, tidak melaksanakan undang-undang Islam. Ada juga tuduhan lebih kesat, parti pemerintah itu kafir.

Tuduhan sekularisme itu sebenarnya dalam erti kata lain kafirlah, walaupun dia tidak kata kafir sebab semua unsur sekularisme adalah kufur, agama tak ada tempat, hanya untuk peribadi saja. Jadi aturan agama yang bersangkut dengan harta, nikah kahwin atau sebagainya tidak adalah sebab ia bersangkut dengan masyarakat. Kita kena jernihkan keadaan ini dengan cara penuh kerahiman, bukan dengan cara bermusuh, tetapi dengan dakwah bersifat intelektual dan beradab seperti saya selalu sebut bila Allah hantar Nabi Musa dan Nabi Harun kepada Firaun, Tuhan suruh Musa dan Harun berkata kepada Firaun dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan dia takut kepada Tuhan dan dapat pengajaran. Maknanya jika kita nak suruh sampai mesej, kena sampaikan dengan bahasa yang bagus, beradab, lembut… baru berkesan. Jika main hentam nak berlawan, bukan nak ajak kepada Tuhan. Jadi budaya beradab, politik berdisiplin, budaya politik dalam kerangka diajar Islam tiada maki hamun, tiada menggelar orang, apa lagi melaknat, mengata orang masuk jahanam (neraka), sedangkan lepas sembahyang kita doa semua mukmin masuk syurga.

Politik kita seperti al-Ghazali kata, satupadukan orang, bermuafakat mencapai cita-cita untuk kebaikan bersama. Taallul atau ijtimak bermakna kita rapatkan hubungan, bertemu dan muafakat, jangan amalkan budaya politik murahan, maknanya politik yang menyebarkan gelaran negatif yang boleh membawa kesan sangat parah. Misalnya menuduh ulul amri dalam Malaysia mengamalkan sekularisme. Kenapa tuduhan ini timbul, mungkin selepas mereka membaca buku Sheikh Yusof Qardawi atau Syed Naguib. Jika tuduh kerajaan kita mengamalkan sekularisme, itu menunjukkan dia (pihak yang menuduh) tidak ambil takrif sekularisme daripada punca asal yang autentik, bukan yang dihuraikan oleh orang kemudian yang diambil sebagai satu fakta. (rujuk buku Principles of Secularisme, karya Holyoake terbitan 1870 di London).

Jika tengok takrif asal (sekularisme) dan huraiannya dalam buku, English Secularisme, kita dapat kesimpulan agama dinyahkan daripada semua ruang kehidupan awam… tiada dalam tentera, polis, pelajaran, di universiti, sekolah, maktab, Parlimen, pejabat… tiada langsung agama. Apakah ini sedang dibuat ulul amri Malaysia, maksud ulul amri persepakatan Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu dan pemimpin yang diberikan watikah. Kita perlu mengajak rakyat Malaysia supaya sedar, haram tuduhan ini, termasuk di bawah ‘buhtanun’, maknanya tuduhan palsu yang sangat berat untuk merosakkan imej ulul amri. Ia mengganggu politik yang waras dalam negara kita sehingga nak berdamai pun, sesetengah orang tak mahu kerana dia fikir sekularisme sedang berjalan.

Kita tidak boleh sebut kelemahan ulul amri di depan orang ramai… dalam Ahli Sunnah, itu haram. Kita kena amalkan ‘addinunnasihah’ atau dengan nasihat, jika tidak dengar kita buat lagi sebab al-Quran pun larang keburukan disebut dengan nyata atau terbuka kecuali oleh orang terkena zalim, itupun dengan syarat disebut kepada pihak berkenaan (orang yang menzalimi) untuk menyelesaikan keadaan, bukan untuk menjatuhkan. Jadi ajaran al-Quran ini kita tidak pakai. Betul (pemerintah) ada kelemahan, tetapi dunia ini bukan syurga, ada kelemahan manusia, tetapi dalam kerangka Ahli Sunnah ini, berkembang tamadun dan dalam kerangka inilah berkembangnya kebesaran dan kalam Tuhan sampai ke hari kiamat. Tuhan menjamin jamin ajaran Ahli Sunnah yang sebenar akan kekal terus.

3 Respons to “Prinsip al-Quran wajar jadi asas penyatuan ummah di Malaysia”

  1. Muhammad Kamal Says:

    Istilah `mukmin’ yang digunakan dengan sebegitu wewenang dirangkumkan kepada UMNO dan PAS amatlah mengelirukan. Orang-orang mukmin adalah bersaudara.Jika berlaku sampai sedemikian perpecahan antara UMNO dengan PAS, ini bukan gambaran orang mukmin. Ini masalah orang Melayu yang beragama Islam. Firman Allah Taala:
    ‘Di antara manusia ada yang mengatakan:”Kami beriman kepada Allah dan Hari Kemudian”, pada hal sesungguhnya mereka itu bukan orang-orang beriman’ – Al Baqarah: 8.
    Firman Allah Taala:
    ‘dan bahawa (yang Kami perintahkan) ini adalah jalanKu yang lurus, maka ikutilah dia; dan janganlah kamu mengikut jalan-jalan (yang lain) kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalanNya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertakwa’ (Al Anaam:6:153)
    Inlah masalah UMNO.Selesa dengan sekularisme, kapitalisme, materialime dll. Maka sukarlah untuk dapat takwa dan iman yang murni.UMNo tidak mahu ikut jalan yang lurus yang menjadi cit-cita PAs kalau mentadbir negara.
    Oleh kerana itulah jangan gunakan istilah mukmin sembarangan. Firman Allah Taala:
    “Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir” – Al-Maidah:5:44
    Inilah tanda istilah mukmin tidak lagi sesuai bagi UMNO.
    Perhatikanlah budaya hidup yang UMNO tegakkan:
    ’Akan datang sesudahmu suatu kaum yang memakan makanan dunia yang baik-baik dan berwarna, mereka mengenderai unta yang cantik dan berwarna-warna, mengahwini wanita tercantik dan berwarna-warna, memakai kain yang tercantik dan berwarna-warna. Mereka mempunyai perut yang tiada kenyang dari makanan yang sedikit.Mempunyai nafsu yang tidak merasa cukup dengan yang banyak, mereka berhenti di atas dunia berpagi dan bersore hari kepada dunia, mereka mengambil dunia itu menjadi Tuhan yang disembah, tidak Tuhan yang disembah mereka sendiri. Mereka mengambil Tuhan selain Tuhan mereka. Kepada urusan dunia mereka berkesudahan.Mereka mengikut hawa nafsunya. Maka cita-cita Muhammad bin Abdullah, bagi siapa yang mendapati zaman itu dari sesudah, sesudah kamu dan di belakang, belakang kamu, bahawa ia tidak memberi salam kepada mereka.Tidak mengunjungi orang-orang sakit mereka.Tidak turut menghantar jenazah-jenazah mereka.Dan tidak memuliakan orang besar mereka.Maka siapa yang berbuat demikian, nescaya ia telah menolong menghancurkan Islam”, Ihya Ulumiddin Jld.5 hal.104

  2. Muhammad Kamal Says:

    Assalamualaikum
    Ustaz yang amat kami hormati, alamat blog kami seperti tertera di atas.
    Kami memohon maaf andaikata komen kami menyentuh jiwa, tapi pandangan hidup kami dan pegangan kami adalah tersurat dan tersirat di dalam blog kami.
    Demi agama Allah dan RasuNya dan kebaikan ummah Islam yang sangat keliru dan bercelaru, kami persembahkan blog kami ini.
    Seandainya Ustaz ada perbezaan pandangan silalah kita mengadakan muzakarah ilmiah melalui blog ini dan KANZUN MAHFIYYAN. Kami bersedia untuk tunduk kepada kebenaran di sisi Allah dan RasulNya seandainya kami tersilap.


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: