Imam bukan Wahabi ditukar?

Arahan pertukaran beberapa orang imam di Perlis baru-baru ini telah mencetuskan tanggapan mengenai kemungkinan wujudnya usaha untuk memperluaskan fahaman ‘Sunnah Perlis’ atau ‘Salafi’ yang pada masyarakat umum, dikenali sebagai Wahabi.

Walaupun negeri-negeri di Malaysia mengamalkan Mazhab Syafie dalam pengamalan fekah masing-masing, tetapi Perlis merupakan satu-satunya negeri yang tidak terikat dengan mana-mana mazhab, sebaliknya menggunapakai hujah yang terkuat daripada keempat-empat mazhab utama bagi mengeluarkan sesuatu hukum.

Perdebatan agama sentiasa tercetus di negeri itu ekoran terdapat fatwa dan pengamalan fekah yang berbeza diamalkan dalam fahaman ‘Sunnah Perlis; antaranya seperti melaungkan azan hanya sekali untuk solat Jumaat, tidak membaca talqin untuk jenazah, tidak membaca doa qunut dalam solat Subuh, manakala bacaan bismillah sebelum bacaan al-Fatihah dalam solat, dibaca secara perlahan, berbanding yang diamalkan dalam Mazhab Shafie.

Walaupun Perlis menerima ‘Sunnah Perlis’ atau ‘Salafi’ dalam undang-undang tubuh negeri itu, tetapi sejak 40 tahun lalu, ia tidak dikuatkuasakan. Ia juga diterima sebagai tidak bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Bagaimanapun, sehingga ini Malaysiakini difahamkan sebahagian besar atau 65 peratus daripada kira-kira 100 masjid di Perlis, tidak mengamalkan ‘Sunnah Perlis’ tersebut kerana mereka berpegang sepenuhnya kepada ajaran Mazhab Shafie.

Malaysiakini juga difahamkan bahawa dua imam di sebuah masjid di Kangar itu – Masjid Al-A’la Behor Temak – yang tidak mengamalkan fahaman ‘Sunnah Perlis’ – telah menerima surat arahan pertukaran pada 18 Ogos lalu.

Menurut sumber, fahaman ‘Sunnah Perlis’ atau ‘Salafi’ itu mula digiatkan kembali apabila Dr Mohd Asri Zainul Abidin menjadi mufti Perlis.

Sumber itu juga mendakwa, mufti sekarang Dr Juanda Jaya, turut meneruskannya.

‘Tidak beri alasan pertukaran’

Menurut sumber tersebut, dalam surat yang ditandangani pengarah JAIPs, Malik Hussin, itu juga tidak menyatakan sebab pertukaran itu dengan jelas, tetapi sebaliknya memberikan alasan ia merupakan penyelarasan dan penyusunan semula imam di Perlis.

“Sekarang mereka mula dengan Masjid Al-A’la Behor Temak dulu, nak tengok respons (masyarakat) dulu,” katanya sambil menambah, dua lagi masjid di Kangar, Masjid Behor Empiang dan Masjid Jalan Guar Syed Alwi bakal menjadi sasaran seterusnya.

“Mereka sudah pergi dan maklumkan kepada masjid-masjid tersebut,” kata sumber itu lagi.

Menurutnya, fahaman tersebut tidak pernah dikuatkuasakan sepanjang Datuk Alim Panglima Mat Jaya Hussin menjadi mufti selama 22 tahun di negeri itu sebelum ini.

Manakala Dr Mohd Asri pula hanya mengeluarkan “fatwa” supaya ajaran itu diikuti, tanpa mengambil tindakan menukarkan imam masjid.

Difahamkan, sebagai tanda bantahan, ketiga-tiga imam masjid di Behor Temak itu meletakkan jawatan pada 31 Ogos, walaupun hanya dua daripada mereka yang terbabit dalam pertukaran tersebut.

Penduduk hantar memo

Beberapa penduduk setempat juga membantah arahan pertukaran JAIPs dan telah menghantar surat rayuan bertarikh 14 September lalu dan memorandum bantahan yang ditandatangani kira-kira 200 penduduk. Ia diposkan kepada JAIPs Sabtu lalu.

Difahamkan juga, beberapa tokoh dalam majlis agama negeri itu dan NGO – Institut Sunnah Perlis – dikaitkan sebagai usaha menggiatkan pengembangan fahaman tersebut.

Di segi sejarahnya, aliran Wahabi diasaskan oleh Muhamad Abdul Wahab di Arab Saudi pada 1701 dan popular di Arab Saudi, Kuwait, Qatar, Somalia, Algeria, Palestin dan Mauritania.

Di Malaysia, ia mula dikembangkan oleh tokoh-tokoh yang dikenali sebagai gerakan Kaum Muda yang mendapat pendidikan agama di Timur Tengah sebelum kemerdekaan negara pada 1957.
Aliran itu dikembangkan daripada pandangan-pandangan Ibnu Taimiyyah – tokoh pembaharuan Islam pada abad kelima selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW – yang membawa idea menyucikan agama dengan kembali kepada ajaran al-Quran dan Sunnah, menggalakkan ijtihad dan menolak bid’ah dalam Islam.

Petikan dari Malaysiakini.com Bahasa Melayu

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: