Memeriksa Kembali Konsep Peradaban Dalam Membina Negara-Bangsa Dalam Menghadapi Alaf Baharu

بسم الله الرحمن الرحيم
نحمده ونصلى على رسوله الكريم

Memeriksa Kembali Konsep Peradaban Dalam Membina Negara-Bangsa Dalam Menghadapi Alaf Baharu
OLEH:
MUHAMMAD ‘UTHMAN EL-MUHAMMADY

Nota ini berminat, insha’ Allah, untuk meneliti kembali secara ringkas, padat, dan sederhana, sebagai usaha awal, konsep peradaban yang ada, dengan ciri-cirinya dari segi intelektuil, spiritual, etika, dan kebendaan, secara keseluruhan, “gestalt”, serta dengan penekanannya kepada “adab” yang sepatutnya merangkumi segala; ianya dilihat pula dalam konteks membina identiti negara-bangsa baharu dalam era atau alaf baharu, dengan pemandangan yang mengambil kira kemungkinan-kemungkinan cabaran dalam alaf baharu itu, yang sudah tentu akan dilalui oleh mereka yang ada pada masanya.

Perhatian juga akan diberikan terhadap persiapan-persiapan yang perlu dibuat dan langkah-langkah yang perlu diambil demi untuk membina negara-bangsa yang mampu menghadapi, dengan izin Ilahi, suasana-suasana dan kemungkinan-kemungkinan serta cabaran-cabaran alaf baharu itu, dengan itu akan terbina setakat termampu ciri-ciri “khaira ummatin” yang menyelamatkan dari segi kerohanian dan kebendaannya.

Beberapa istilah berkenaan dengan peradaban dan yang berkaitan

Kata nama “adab” dalam Bahasa Melayu, yang daripadanya didapati istilah “peradaban”, maksudnya “budi bahasa, budi pekerti yang halus, sopan, kesopanan”. “Beradab” pula maksudnya “kebudayaan, tamaddun, kemajuan (jasmani dan rohani); “memperadabkan” maknanya “memberi adab, memberi kebudayaan, memajukan” seperti yang jelas dari ungkapan “memperadabkan bangsa-bangsa yang terkebelakang”.(1).

Dalam “Kamus Besar Bahasa Indonesia”(2) maknanya hampir sama. “Adab” ertinya “kesopanan; kehalusan dan kebaikan budi pekerti; akhlak: (seperti dalam ungkapan) ‘orang yang tinggi adabnya’”. “Beradab” maknanya “mempunyai adab;sopan; baik budi bahasanya”; juga ertinya “telah maju tingkat kehidupan lahir batinnya: (seperti yang jelas dalam ungkapan ‘bangsa-bangsa yang telah beradab’”. “Memperadabkan” maknanya “mengusahakan supaya beradab; meningkatkan taraf hidup; membudayakan, (seperti dalam ungkapan) ‘memperadabkan suku-suku bangsa yang terasing’”.

Makna-makna yang hampir sama boleh didapati dalam “Kamus Umum Bahasa Indonesia”(3).

“Peradaban” dalam “Kamus Dewan”(4) maknanya “kebudayaan, tamaddun, kemajuan (jasmani dan rohani), seperti yang terdapat dalam ungkapan “jangan membuang yang halus dan tinggi yang terdapat dalam peradaban Barat”.

Dalam “Kamus Besar Bahasa Melayu Utusan”(5) “peradaban” maknanya hampir sama juga iaitu “kebudayaan, tamaddun, kultur, kemajuan (rohani dan jasmani), kecerdasan (lahir dan batin). Juga kamus ini menyebut sama “keadaban, peradaban” dengan erti “kesopanan, kesusilaan, adat istiadat yang baik, ketinggian tingkat kecerdasan (lahir dan batin), kehalusan dan kebaikan tuturkata/tingkah laku, kehalusan dan kebaikan budi pekerti /budi bahasa”.

Dalam “Kamus Besar Bahasa Indonesia”(6) “peradaban” ertinya “kemajuan (kecerdasan, kebudayaan), lahir batin;” juga ertinya “hal yang menyangkut sopan santun, budi bahasa, dan kebudayaan suatu bangsa.”

Istilah “adab” yang menjadi asas bagi kata “peradaban” dalam Bahasa Melayu itu, dalam Bahasa Arabnya(7) sebagaimana antaranya jelas daripada nota Lane dalam “Lane Lexicon” mengandungi beberapa pengertian: mengajar disiplin dalam berfikir dan gerak geri juga mempunyai sifat-sifat yang mulia dan tinggi pada pemikiran dan jiwa seseorang; memberi atau mendapat pendidikan yang baik; menjadi halus budi bahasa; halus dalam berbahasa.

Pengertian-pengertian adab yang menyentuh akhlak, kerohanian dan pencapaian budaya ini terdapat penggunaannya dalam teks-teks perkamusan klasik seperti “Tajul ‘Arus”, “al-Qamus al-Muhit”, “al-Misbah al-Munir”, dan lainnya.

Dalam hubungan dengan “adab” yang dicatit sepuluh tahun lalu, penulis ini menyebutkan” (dengan menukil pendapat almarhum Prof Ismail al-Faruqi) ‘adab’ itu dimaksudkan sebagai ‘culture’ atau kebudayaan yang dikehendaki itu. Dalam hubungan, dengan ini, kita boleh sebutkan hadith Nabi s.a.w. yang bermaksud “Tuhan telah memberikan kepadaku pendidikan adab – addabani Rabbi – Dan Ia telah memperbaik atau menyempurnakan pendidikan adab itu terhadapku”.

Dan “adab” yang dimaksudkan di sini ialah adab dalam pengertian yang paling luas yang merangkumi kemampuan meletakkan sesuatu itu pada tempatnya yang sewajarnya, iaitu sifat yang timbul daripada kedalaman ilmu dan disiplin seseorang. Sifat yang demikian bila disebarkan ke dalam masyarakat dan kehidupan budaya akan menimbulkan kesan yang menyeluruh dalam kehidupan kolektif.

Kesedaran tentang adab dalam pengertian yang menyeluruh demikian terbayang dengan nyatanya walaupun dalam tajuk kitab seperti “Adab ad-Dunya wad-Din” karangan al-Mawardi rh; dan huraian tentang kehidupan yang beradab dalam tamaddun atau peradaban itu terdapat dalam karangan terbesar Imam al-Ghazali rd iaitu “Ihya’ ‘Ulumi’d-Din”nya.(8).

Jelas dari sini bahawa peradaban dalam Bahasa Melayu terkandung di dalamnya pencapaian yang tinggi dari segi akliah, akhlak, kerohanian, pengetahuan, budaya, serta kehalusan akal, rasa, budi dan ilmu, lahir batin yang ada pada sesuatu bangsa. Dalam konteks demikian tidak terfikir oleh kita adanya peradaban yang manusia di dalamnya mempunyai akhlak yang rendah dan hina. Secara implikasinya seolah-olah tanpa adab yang dihayati peradaban dengan kegemilangan lahiriahnya adalah sebenarnya bukan peradaban.

Istilah yang paling sama dengan peradaban ialah tamaddun atau tamadun.(9). Dalam “Kamus Dewan” ianya diertikan “kebudayaan, kemajuan, peradaban”. Bertamaddun ertinya “beradab, bersopan santun, berkemajuan” juga menunjukkan peradaban atau budaya dan kemajuan bersebati dengan sopan santun dan adab yang tinggi. Dalam “Kamus Besar Bahasa Indonesia”, kata “tamadun” bererti “peradaban, kebudayaan, kemajuan; bertamadun ertinya beradab, berkebudayaan, berkemajuan”.(10).

Ertinya dalam perkamusan Arab telah dicatit oleh penulis ini pada tahun 1989 dalam kertas bertajuk “Kebudayaan Dalam Pandangan Islam” anjuran DBP untuk Wacana Kebudayaan tahun itu.

Sekadar mengingati kembali sebahagian daripadanya boleh dicatit kembali: Kalimat ini datang dari kata dasar “madana, yamdunu, mudunan” bermakna datang (ke sebuah bandar), dengan harf “bi” bermakna menduduki sesuatu tempat; “maddana” pula bermaksud membina bandar atau kota-kota; ataupun menjadi kaum yang mempunyai peradaban atau peradaban, civilization. “Madinah” dengan bentuk jamak “mudun” “mudn” atau “mada’in” bermakna bandar atau kota.

Dengan ini tamaddun bermakna keadaan hidup sosial yang terkedepan. Kalimat ini juga mempunyai kata-dasar yang sama dengan “din” agama, yang dibicarakan dalam nota penulis tentang kebudayaan yang tersebut.(11).

Dalam Bahasa Inggeris, istilah yang menyamai peradaban yang kita maksudkan ialah sudah tentu “civilization”. Sebagaimana yang tercatit dalam Kamus “Webster’s Encyclopedic Unabridged Dictionary of the English Language”(12) “civilization” ertinya “Peringkat masyarakat manusia maju terkedepan yang di dalamnya tahap yang tinggi dalam budaya, sains, industri dan pemerintahan telah dicapai; (atau) golongan manusia atau bangsa yang telah mencapai keadaan yang sedemikian; (atau) jenis budaya, masyarakat dan seterusnya pada sesuatu tempat tertentu atau masa atau kumpulan yang tertentu (yang mencapai tahap yang tinggi itu); (atau) seni kemahiran atau proses mencapai peradaban demikian atau menjadi bangsa yang mempunyai peradaban demikian; (atau) kehalusan dan ketinggian dalam kegiatan budaya; kehalusan dan ketinggian dalam berfikir dan kemampuan menilai kegiatan budaya tinggi; (atau) kota-kota atau kawasan-kawasan yang didiami orang secara amnya berbeza daripada kawasan yang tidak begitu didiami orang, atau kawasan-kawasan hutan liar; (atau) kemudahan-kemudahan zaman moden dan alat-alatnya, yang dimungkinkan oleh sains dan teknologi.”

Istilah-istilah lain yang dibicarakan itu seperti “hadarah”, “millah” dan seterusnya tidak akan dibicarakan di sini.

Yang penting dalam bahagian ini ialah bagaimana penggunaan istilah “peradaban” dalam bahasa Melayu itu terkandung di dalamnya ketinggian dan kehalusan serta ke dalaman pencapaian tamadddun yang merangkumi semua segi seperti bidang intelektuil, pengetahuan, kerohanian, akhlak, kejiwaan, kemasyarakatan, pentadbiran, sains dan teknologi. Di dalamnya penghayatan adab dalam pengertian yang meluas itu mendominasi ertinya yang lain. dalam kata-kata lain ianya konsep yang mencakupi aspek-aspek “ideational” yang menyentuk ide-ide, “institutional” yang menyentuh institusi-institusi, dan “axiological” yang yang menyentuh pembentukan dan penghayatan nilai-nilai dan prinsip-prinsip dalam peradaban.

Penekanan kepada akhlak atau moral sebagai faktor penentu dalam peradaban, yang memang disepakati oleh kita dalam Islam, diberikan dengan nyata sekali di Barat antara yang modernnya oleh Albert Schweitzer dalam bukunya yang klasik itu iaitu “Civilization and Ethics”.(13) Penekanannya sedemikian rupa sehingga tertulis di dalamnya bahawa kualiti peradaban itu bukan terletak pada barang-barang rekaan dalam peradaban – walaupun ianya penting sebagai alat-alat untuk kesenangan hidup manusia – tetapi tenaga akhlak atau moral yang kuat yang ada dalam peradaban itu.

Tentang Peradaban moden

Tanpa mengulangi apa-apa yang disebutkan oleh penulis tahun 1989, kita boleh teruskan perbincangan kita dengan melihat kepada persoalan yang kita hadapi ini. Antaranya, dalam melihat fenomena peradaban Richard Heinberg dalam kertasnya yang dibentangkan dalam mesyuarat tahunan yang ke 24 bagi Persatuan Antarabangsa dalam Kajian Perbandingan Peradaban di University Wright, Dayton, Ohio, Jun 15, 1995 (14) menyebut beberapa perkara yang membimbangkan (disturbing) dalam peradaban semasa: bagaimana kita dalam zaman ini sedang “membunuh” planet bumi, bahaya kemusnahan alam sekitar, dengan lautan sedang mati, penduduk manusia sedang bertambah secara yang membimbangkan berbanding dengan kemampuan bumi untuk menampungnya yang berkurang, lapisan ozon yang sedang menghilang, iklim global yang menunjukkan keadaan tidak stabil yang membimbangkan. Katanya kalau tidak diambil tindakan pembetulan yang cepat dan berkesan dalam lima puluh tahun nanti ramai dari penduduk dunia dalam banyak tempat akan berada dalam keadaan kehidupan penuh dengan kesulitan sehingga dengan itu kehidupan suku-suku liar dalam belentara yang tidak tersentuh oleh tamaddun akan berupa seperti syurga layaknya berbanding dengan mereka yang hidup dalam tamaddun.

Beliau menyebut bagaimana manusia dalam tamaddun seolah-olah ketagihan “dadah” iaitu dadah yang datang dalam bentuk wang, barangan-barangan kilang, petrol, dan tenaga elektrik. Katanya kita ini menjadi lemah tidak bermaya tanpa dadah ini, dengan itu maka kita memandang mana-mana ancaman ke atas pembekalannya sebagai ancaman ke atas kehidupan dan kewujudan kita sendiri.

Dengan itu senang sahaja kita ini dimanipulasikan dengan keinginan kita (untuk mendapat lebih lagi benda-benda tadi) atau takut (apa yang ada pada kita akan diambil oleh pihak lain) – oleh kepentingan-kepentingan perdagangan dan politik yang berkuasa; dan pihak-pihak perdagangan dan siasah ini katanya telah mempelajari banyak perkara dan mempunyai pengalaman yang banyak dalam bidang ini dan mereka tahu bagaimana keinginan-keinginan dan ketakutan-ketakutan kita itu boleh diorkestrakan untuk mencapai matlamat keuntungan dan penguasaan ke atas kita yang mereka kehendaki.

Katanya lagi, kalau kita diberitahu bahawa pengeluaran atau produksi dadah kita ini melibatkan perhambaan, pencurian, pembunuhan, ataupun apa yang senada dengannya dari segi ekologi, kita cuba tidak mempedulikan cerita itu supaya kita tidak berhadapan dengan nilai ganda dan kesulitan dalam pemikiran kita – antara apa yang kita suka dengan apa yang memudaratkan di dalamnya.

Beliau berfikir – dan nampaknya ini disokong oleh banyak pihak, semenjak beberapa tahun timbulnya usaha dari The Club of Rome dengan buku laporannya yang terkenal “Limits to Growth” bahawa oleh kerana peradaban kita sekarang ini “patently ecologically unsustainable in its present form” – “secara nyata dari segi ekologinya dalam bentuknya yang ada sekarang ini tidak membantu dalam meneruskan kewujudan alam sekitar dengan tenaga-tenaga dan bahan-bahannya” – maka mereka yang akan datang kemudian darripada kita dalam beberapa dekad ini akan hidup secara yang berlainan sekali daripada kita samaada itu berlaku secara pilihan atau secara terpaksa. Dengan itu maka beliau melakukan kritikan ke atas peradaban yang ada ini.

Beliau membentangkan persoalan tentang apa yang kita telah lakukan selama ini secara yang tidak memuaskan atau secara tidak berfikir dan tidak dipandu oleh pemikiran yang baik dan apa pula yang kita boleh lakukan secara yang lebih baik daripada dahulu pada masa sekarang ini.

Ini membawa beliau kepada apa yang disebutkannya sebagai “Primitivism” yang katanya sebagai pemikiran falsafah dibentangkan oleh Lao Tze, Rousseau, dan Thoreau, juga para pemikir pra-Socrates, dan ahli-ahli fikir dan teologi Yahudi dan Kristian (tidak disebutnya Muslimin) dan beberapa ahli fikir “anarchist” teori social abad ke 19 dan ke 20 yang menyatakan pilihan yang lebih baik untuk hidup sederhana yang dekat kepada alam sekitar.

Ini kemudiannya membawa beliau kepada keadaan kesihatan kaum pra-pertanian yang secara amnya hidup secara lebih sihat tanpa faktor-faktor yang menimbulkan kanser, sakit jantung, strok, kencing manis, emfisma (sakit paru-paru yang menyebabkan kesukaran bernafas), hypertension (tekanan darah yang membahayakan), dan cirrhosis (sirosis, sakit hati yang berat dan boleh membinasakan) yang semuanya itu membawa kepada 75% kematian dalam bangsa-bangsa dan negara-negara industri.

Dari segi pemakanan dan riadah hidup secara pra-pertanian jelas lebih baik daripada bangsa-bangsa pertanian dan mereka yang ada dalam peradaban. Sambil menyembut beberapa perkara yang menakjubkan dalam menyelamatkan nyawa oleh antibioik moden, beliau menyebut pula timbulnya mikrob yang jenis kalis antibiotik pula, yang menimbulkan ketakutan para pegawai kesihatan tentang kemungkinan timbulnya wabak yang tidak pernah timbul dahulu daripada ini dalam abad mendatang(15).

Dalam hubungan dengan ubat-ubatan beliau menyebut tentang kepentingan herba, dan ubat-ubat moden yang sintetik dipilih bukan sangat kerana ianya lebih berkesan atau selamat tetapi kerana lebih mendatangkan keuntungan dalam perusahaan. Beliau menyebut tentang masa hadapan dalam profesi penyembuhan terletak arahnya pada apa yang dipanggilnya “attitudinal and natural therapies” – bergantung kepada sikap dan juga bahan-bahan penyembuhan yang natural atau asli.

Dalam hubungan dengan hidup kerohanian – yang beliau ambil kira sebagai bahagian yang tidak boleh ditinggalkan – di bawah tajuk kecil “Spirituality – Raw or Cooked?” beliau sampai kepada pendapat perlunya dibezakan antara“true primitive spirituality”, kita katakanlah “hidup kerohanian yang murni dan asal” daripada yang lainnya – pada beliau ini memaksudkan sifat-sifat spontan dalam kebaikan, saling bantu-membantu, sikap menggalakkan adanya kepelbagaian yang memang natural, kasih kepada alam tabi’I, kasihan belas kepada pihak lain.yang penting padanya ialah roh (atau keadaan kesedaran seseorang), bukan bentuk rupa seperti nama, ideologi, dan teknik-teknik.

Tentang agama juga beliau membuat kenyataan yang memberansangkan katanya bahawa bila kita berhenti daripada melihat peradaban secara teori dalam evolusi budaya dan melihatnya sebagai satu daripada bentuk-bentuk organisasi sosial pada wakti itu kita boleh melihat mengapa agama boleh bersifat “membebaskan, mencerahkan, dan memperkasakan bila ianya berpegang secara kosisten kepada cita-cita asalnya” (liberating, enlightening, and empowering when it holds consistently to primitivist ideals). Tetapi katanya pula “atau meruntuhkan, dan menekankan, bila ianya dijadikan untuk berkhidmat kepada kepentingan-kepentingan kekuasaan.”(16).

Dalam hubungan dengan bidang ekonomi dalam peradaban moden beliau menyebut (selain daripada perbezaannya dengan perekonomian sederhana pra-peradaban di mana hubungan adalah sederhana dan langsung tentang setiap perkara seperti tanah dan kediaman serta makanan dikongsi bersama dan keperluan bersama ditunaikan, oleh itu mereka hidup dalam senang) tentang dua “tiang”nya: iaitu innovasi atau pembaharuan bidang teknologi dan keduanya pasaran.

Teknologi yang dimaksudkan itu termasuk semua perkara daripada alat pembajak sampai kepada reaktor nukleur – semuanya itu alat untuk mengeluarkan tenaga dan bahan-bahan secara lebih berkesan dan licin daripada alam semulajadi; tetapi dengan itu timbul kesibukan manusia hanya dengan masa lalu dan akan datang dan dengan itu masakini menjadi hilang dalam pemandangan; kelicinan dan keberkesananan (efficiency) dalam produksi mendominasi nilai-nilai lain dalam hidup manusiawi, dan ini diringkaskan dan dilambangkan dalam kilang – tempat kerja yang semuanya otomatik – dan pekerja hanya menjadi “penambah” kepada mesin, menjadi hamba kepada jam dan gaji.

Pasaran pula berupa alat atau jalan bagi peradaban menyamakan apa yang tidak sama melalui alat penukaran; maka kita menjadi terbiasa memberi nilai segalanya dengan wang, dengan itu hilang daripada kita keunikan tiap-tiap sesuatu itu. Sebenarnya, apakah nilai seekor haiwan? Atau sebuah gunung? Atau satu jam dalam hidup seorang manusia?

Pasaran memberi nilai dan harga secara angka – wang – mengikut bekalan dan permintaan. Setakat mana kita percaya bahawa nilai-nilai demikian mempunyai makna yang sebenarnya, maka kita hidup dalam dunia yang mengalami desakralisasi yang sudah hilang sensititiviti kita tentang kedudukan dan nilai sebenarnya, tanpa hati dan rohnya lagi.

Kita boleh melihat setengah daripada jalan-jalan keluar daripada sangkar perekonomian kita yang memusnahkan ekologi dan yang mendekadensikan atau meruntuhkan manusia ini dengan memeriksa bukan sahaja hidup primitif tetapi juga cadangan-cadangan mereka yang seperti E.F. Schumacher, dengan pengalaman-pengalaman masyarakat “utopian” yang di dalamnya wang dan teknologi terpinggir secara wajar dan juga hidup para individu yang secara sukarela memilih hidup yang sederhana.

Bagi Muslimin, saya menambah, mereka berupaya untuk melihat kembali ajaran-ajaran perekonomian Islam dengan pelbagai prinsip dan aturan Shariatnya yang mementingkan unsur-unsur halal, kerjasama yang berkesan, ketelusan, keadilan, persaudaraan, dan keberkatan hidup yang dijalankan atas dasar ajaran agama yang berlaku secara ikhlas dan bukan kepura-puraan.

Dalam hubungan dengan hidup politik dalam peradaban, beliau menyebut bagaimana akhirnya negara menjadi fokus kuasa memaksa, dan keganasan memuncak dalam abad ke 19 dan ke 20 dalam bentuk kolonialisme, fascisme dan Stalinisme. Dan katanya, walaupun negara industri yang demokratik berfungsi pada asasnya sebagai alat “multinational corporate-style colonial oppression and domestic enslavement” – dengan warga-warga negaranya hanya diberii pilihan antara birokrat-birokrat profesional yang mewakili parti-parti politik dengan agenda yang berlainan untuk memajukan kuasa korporat.

Dalam hubungan dengan soal ini dibentangkan walaupun ada reaksi terhadap pemikiran “anarchism” yang menganggapnya sebagai kegagalan dari segi praktikalnya, di pihak lain pula ada ahli-ahli teori seperti Tom Peters dan Peter Senge yang mencanangkan transformasi organisasi-organisasi yang bersifat hierarkikal dan birokratik supaya lebih bersifat desentralisasi, otonom, dan spontan. Nampaknya disebutkan bahawa transformasi yang demikian sedang berlaku – dengan sendirinya – dalam korporasi-korporasi multinasional yang disebut sebagai “tulang belakang peradaban industrial”.

Alam Tabi’I dan Peradaban

Dalam hubungan dengan tajuk ini dibentangkan bagaimana manusia dalam peradaban mempunyai sikap anthroposentrik – mementingkan kepentingan manusiawi sebagai kepentingan pusat – dalam “world-view”nya tentang alam ini. Dan minat mereka adalah utilitarian terhadap alam sekitar, ianya bernilai kerana ada faedah praktikal kepada manusia – walaupun pada paras memandangnya sebagai tempat untuk berkhemah atau untuk rekreasi !

Yang berlainan pula dibentangkan sikap kaum primitif yang memandang alam tabi’I sebagai sesuatu yang mempunyai makna secara intrinsiknya. Disebutkan bagaimana dalam banyak budaya ada larangan terhadap membunuh haiwan dan menebang pokok-pokok tanpa sebab yang bermakna.

Dinyatakan pula bagaimana pandangan alam yang bersifat ekosentrik – yang bersifat menjaga alam sekitar dan sistemnya secara bermakna – berlainan daripada sikap anthroposentrik tadi. Akibatnya maka manusia dalam peradaban sekarang sedang melakukan apa yang tidak munasabah iaitu memusnahkan sistem mendokong dan mengasuh alam sekitar itu sendiri yang ianya mendokong hayat semuanya: antaranya pengurusan haiwan yang dipelihara untuk makanan dan diproseskan oleh kilang-kilang mengikut standard tertentu; pemusnahan tanah; pencemaran air dan udara; pemusnahan spesis haiwan liar; dan semua ini didokumentasikan dengan baik. Akibat yang demikian mungkin timbul hanya dengan adanya cara berfikir yang mengasingkan kemanusiaan daripada konteks alam tabi’inya dan menafikan nilai dan harga alam tabi’I yang bukan-manusiawi.

Berhubung dengan usaha-usaha kompensasi akibat kehilangan yang dialami kerana hubungan yang negatif dengan alam sekitar seperti psikotherapi, riadah, program pemakanan, percutian, dan industri hiburan, serta program kebajikan masyarakat nampaknya bersifat hanya mengurangkan sedikit sahaja daripada keparahan bahananya dalam hidup ketamadunan. Harganya terlalu mahal; sifatnya hanya sebagai “palliative” dan bukan menyelesaikan masalah sebenarnya.

Dengan semua langkah-langkah yang diambil seperti: usaha mencanangkan makanan yang lebih natural, program riadah, herbalisme, dan therapi-therapi lainnya yang ada juga baiknya; dengan psikologi yang cuba mendapatkan kembali apa yang disebut sebagai “primitive psyche” atau “jiwa yang murni dan asal”; dengan mencari “visi” tentang “diri yang di dalam” untuk menyembuhkan peradaban yang “sakit”, mungkin setengahnya ada kesannya, tetapi tidakkah elok ditanya: tidakkah lebih baik kalau manusia berhenti daripada menimbulkan masalah-masalah itu sendirinya?

Selepas melihat pro dan kontra masalah-masalah di atas antara hidup dekat dengan alam tabi’I dan menjaga alam sekitar dan hidup dalam peradaban yang banyak kemudaratan-kemudaratannya, beliau sampai kepada kesimpulan bahawa, bagaimanapun kita tidak memutar kembali jam ke belakang. Beliau menyatakan bahawa kita berada pada satu titik dalam sejarah di mana kita bukan sahaja boleh tetapi kita juga mesti memilih antara semua unsur-unsur masakini dan masalalu dalam budaya dan peradaban manusia dan mengambil apa-apa yang bersifat paling membantu kemanusiaan dan bersifat “sustainable”.

Dengan langkah itu pada beliau banyak yang boleh dikembalikan terdiri daripada beberapa sifat seperti kebebasan, ketabiian (atau kesemulajadian) dan keadaan spontan dalam hidup; dan ianya boleh mengambil bentuk-bentuk baharu dalam budaya dan peradaban dengan akar-akarnya ada daripada masalalu yang paling jauh dalam sejarah manusia. Untuk ungkapan “kembali kepada” beliau menggantikannya dengan ungkapan “kembali di atas jalan yang sepatutnya” (back on track)(17).

Antara kriteria yang menjadi ukuran untuk menentukan sesuatu itu patut diteruskan atau tidak beliau menyebutkan faktor “ecological sustainability”, iaitu keadaan sesuatu itu bersifat dapat mengekalkan dan memberi tenaga penerus kepada alam sekitar atau tidak. Segala kegiatan yang kita lakukan yang mendatangkan kemudaratan yang paling minima itulah yang dipilih. Dan kriteria keduanya ialah apakah dari kegiatan-kegiatan itu ada yang paling menguatkan dan menjayakan – dan bukannya meruntuhkan – martabat manusia dan kebebasannnya?

Disamping membuat kritikan terhadap peradaban dan menyebut beberapa langkah yang membantu dalam penerusan peradaban dari segi-segi yang positifnya beliau menukil kenyataan Lewis Mumford:

“the invention and keeping of the written record, the growth of visual and musical arts, the effort to widen the circle of communication and economic intercourse far beyond the range of any local community: ultimately the purpose to make available to all [people] the discoveries and inventions and creations, the works of art and thought, the values and purposes that any single group has discovered.”

“penciptaan dan penyimpanan catatan tertulis, pertumbuhan seni visual dan musik, usaha untuk memperluaskan ruang komunikasi dan hubungan ekonomi jauh melintasi jangkauan jauh mana-mana kawasan tempatan: akhirnya matlamat untuk menjadikan penemuan-penemuan, ciptaan-ciptaan dan hasil-hasil karya, usaha-usaha kerja seni dan pemikiran, nilai-nilai dan tujuan-tujuan yang ditemui oleh mana-mana kumpulan sampai dan boleh dimanfaatkan oleh semua [orang]”(18).

Disebutkan beberapa perkara yang positif yang tidak boleh dinafikan: keselesaan hidup, peluang untuk berfikir mengikut pemikiran ahli-ahli fikir agung seperti Plato atau Thoreau, peluang boleh mengembara jauh, dan hidup di bawah lindungan sistem undang-undang, dengan beberapa hak-hak yang dijamin, semuanya jelas.

Penulis membuat catatan tentang pemikiran Richard Heinberg ini kerana ianya mengandungi beberapa cabaran dan masalah peradaban yang dirasai semua dalam budaya sekarang; dan ianya berupa respon baharu tentang masalah ini.

“The Clash of Civilizations-Pertembungan Peradaban-Peradaban”

Huntington dalam “The Clash of Civilizations”(19) membuat beberapa kenyataan yang menarik berkaitan dengan hubungan antara peradaban. Antaranya ialah seperti berikut:

  • Bagaimana dengan timbulnya pentas sarwajagat sesuatu tamaddun itu para ahlinya menjadi “buta” pemandangannya dengan apa yang disebut oleh Arnold Toynbee sebagai “the mirage of immortality”- “fatamorgana keabadian”, yang menyebabkan mereka merasa mereka tidak akan rosak dan musnah, menganggap dirinya bentuk terakhir masyarakat manusia; dialami oleh tamaddun Abbasiyah, Rom, dan seterusnya. Masyarakat yang menganggap sejarahnya sudah berakhir sedang hendak mengalami keruntuhan.
  • Pihak Barat menganggap peradabannya berada dalam klas sendirinya, dan perkembangannya mungkin mengakhiri kemungkinan perkembangan peradaban lain.
  • Huntington menganggap peradaban Barat tidak terkeluar sedikitpun secara bermakna daripada bentuk-bentuk perkembangan dan evolusi peradaban yang berlaku dalam sejarah. Berkaitan dengan itu beliau menyebut tentang “Islamic Resurgence” – Kebangkitan Semula Islam – dan keadaan dinamik ekonomi Asia yang menunjukkan bagaimana peradaban lain juga sedang hidup baik dan sekurang-kurangnya secara potensi sedang mengancam Barat (“alive and well and at least potentially threatening to the West”). Beliau menyebut tentang mungkin berlakunya perang yang melibatkan Barat dengan negara-negara “paksi” (core states) peradaban lain walaupun bukan mesti berlaku secara tidak boleh dielakkan, ianya boleh berlaku.
  • Secara alternatif: secara beransur-ansur dan tidak regular kemerosotan peradaban Barat yang bermula pada awal abad ke 20 boleh berterusan beberapa dekad dan mungkin beberapa abad akan datang.
  • Atau Barat boleh mengalami penghidupan semula (revival) dan menjadikan terbalik pengaruhnya yang semakin berkurang dalam medan perhubungan antara bangsa-bangsa, dan meneguhkan semula kedudukannya sebagai pemimpin yang peradaban lain mengikut dan menirunya.
  • Dengan menukil pendapat Carrol Quigley beliau menyebut tujuh tahap perkembangan peradaban Barat: peradaban itu mula mengambil bentuknya antara 370 Masihi dan 750 melalui percampuran antara unsur-unsur budaya Klasik, Semitik, Saracen, dan bangsa-bangsa “barbarian”. Zaman bermula pembentukannya (“kehamilannya”) berlaku dari pertengahan abad ke 8 Masihi sampai ke akhir abad ke 10, diikuti dengan gerakan naik turun, antara peringkat-peringkat perkembangan dan konflik. Nampaknya sekarang Barat sedang keluar daripada konflik. Ianya seolah-olah zon keamanan.
  • Barat sedang membentuk sesuatu miliknya seperti empayar sarwajagat dalam bentuk kompleks berupa konfederasi, federasi, regim, dan institusi-institusi kerjasama lainnya, yang pada paras peradaban berupa komitmennya kepada politik yang bersifat demokratik dan plural.
  • Barat mewujudkan sesuatu yang kemudiannya akan dipandang sebagai “zaman keemasan” natijah (mengikut Quigley) daripada: “absence of any competing units within the area of civilization itself, and from the remoteness or even absence of struggles with other societies outside it”. – “tidak adanya mana-mana unit yang bersaing dengannya dalam arena peradaban itu sendiri, dan daripada jauhnya, atau bahkan tidak adanya perjuangannya dengan masyarakat-masyarakat luar daripadanya”.
  • Ianya berupa zaman kemakmuran yang timbul daripada “the ending of internal belligerent destruction, the reduction of internal trade barriers, the establishment of a common system of weights, measures, and coinage, and from the extensive system of government spending associated with the establishment of a universal empire” – “berakhirnya pemusnahan akibat perang dari dalam, pengurangan halangan-halangan perdagangan dalaman, penjayaan sistem yang sama dalam pertimbangan, pengukuran, dan matawang, dan daripada sistem pembelanjaan kerajaan yang meluas yang berkait dengan penjayaan empayar sarwajagat”.
  • Selepas menyebut bagaimana kemusnahan peradaban bermula dari dalam – dengan bermulanya keruntuhan dalaman dalam segi-segi ekonomi, sosial, siasah, ketenteraan, keagamaan dan seterusnya – kemudian ianya diserang dan jatuh dimajukan persoalan adakah peradaban Barat, selain daripada cabaran-cabaran luarannya, mampu menghentikan dan menjadikan terbalik pula proses -proses kemerusutan dalamannya (internal processes of decay).
  • Mengikut telahan Quigley dalam bukunya The Evolution of Civilizations: An introduction to Historical Analysis, Indianapolis, Liberty Press, 1979; mula pertama diterbitkan oleh Macmillan dalam tahun 1961, hh.164-166 tamadun Barat akan berakhir wujudnya mungkin sebelum 2000. Nampaknya itu belum lagi berlaku. Mengikut telahannya peradaban baharu dari China dan India akan mengambil tempat peradaban yang dimusnahkan oleh Barat. Kemudian ia akan mengancam Barat dan peradaban Orthodox.
  • Diakui oleh Huntington: pada pertengahan 90an, Barat mempunyai banyak ciri-ciri yang dikenalkan sebagai ciri-ciri peradaban matang yang hampir kepada kemusnahan: ekonomi Barat lebih kaya dari yang lain, tetapi rendah kadar pertumbuhannya, kadar simpanannya, pelaburannya, khususnya bila dibanding dengan masyarakat-masyarakat Timor Asia. Konsumpsi individu dan kolektif mengatasi pembentukan kebolehan-kebolehan untuk mencapai kekuasaan ekonomi dan ketenteraan masa depannya. Pertumbuhan penduduk secara natural rendah, khususnya berbanding dengan negara-negara Islam; tidak berlaku akibat-akibat yang memalapetakakan kerananya. Ekonomi Barat sedang berkembang;orangt-orang Barat secara amnya lebih senang dan kaya; Barat masih menjadi pemimpin dalam penyelidikan saintifik dan innovasi teknologi;
  • Yang lebih signifikan daripada ekonomi dan demografi ialah masalah keruntuhan moral, budaya bunuh diri, keadaan tidak bersatu padu dalam politik Barat. Tentang keruntuhan moral, yang selalu disebut:
  1. Bertambahnya kegiatan antisocial – jenayah, dadah, keganasan amnya;
  2. Keruntuhan keluarga, bertambahnya perceraian, anak luar nikah, kehamilan mereka dalam belasan tahun;
  3. kekurangan keahlian dalam persatuan-persatuan sukarela – terutamanya di USA
  4. lemahnya etika kerja, bertambahnya kesukaan memuaskan nafsu sendiri;
  5. berkurangnya iltizam kepada pengajian dan ilmu serta kegiatan intelektuil,di Amerika jelas dalam rendahnya kejayaan para pelajar dalam pengajian
  • Budaya Barat dicabar oleh mereka dalam masyarakat-masyarakat Barat sendiri. Cabaran dari pendatang-pendatang luar dari peradaban-peradaban lain yang menolak asimilasi dan terus dengan pegangan dan nilai-nilai asal mereka. Muslimin di Eropah. Hispanics di Amerika; Di Eropah peradaban lemah kerana agama Kristian menjadi lemah. Di Amerika identiti Baratnya diserang oleh intelektuil yang berbicara di bawah tajuk kepelbagaian budaya – multiculturalism- yang melemahkan identiti Barat di Amerika dengan warisan peradaban Baratnya dan “American Creed”nya. Dengan keruntuhan identiti budaya ini Amerika akan lemah, Barat akan lemah, demikian seterusnya.
  • Dalam November 1994 ditegaskan keperluan adanya “Masyarakat Atlantic” (An Atlantic Community) dengan empat dasar: pertahanan dan keselamatan terkandung dalam NATO; “kepercayaan yang dikongsi bersama tentang perlaksanaan undang-undang (rule of law) dan demokrasi berparlimen”; “kapitalisme liberal dan kebebasan perdagangan”; dan “warisan budaya Eropah yang dikongsi bersama yang datang dari Greece dan Rom melalui Renaissance sampai kepada nilai-nilai, kepercayaan-kepercayaan yang dikongsi bersama, dan peradaban abad kita ini”.
  • Kalau Amerika Utara dan Eropah memperbaharui hidup moral mereka, membina peradaban di atas persamaan budaya mereka, membentuk hubungan mesra politik dan ekonomi secara integrasi, untuk menambahkan lagi kerjasama mereka dalam bidang keselamatan melalui NATO, mereka boleh menjanakan tahap ketiga dalam kemakmuran ekonomi dan pengaruh politik Euroamerican.
  • Dalam kaitan dengan soal hubungan Barat dengan dunia amnya ada beberapa perkara yang ditegaskan oleh Huntington:
  1. keperluan para negarawan memahami kepentingan identiti budaya yang berpunca daripada ciri etnik, kebangsaan, keagamaan dan peradaban
  2. perlu diakui, katanya, signifikan yang asasi sebagai garis pemisah antara Peradaban Barat Kristian di satu pihak, dan Orthodoxy (Kristian di Timur) dan Islam di satu pihak lainnya. Mereka yang tidak mengiktiraf garis pembahagian pokok itu akan mengalami kegagalan.
  3. Perjanjian-perjanjian seperti NATO, JAST, ABM dan lainnya yang bertalian dengan Perang Dingin dan kepentingan-kepentingan lain perlu disemak sesuai dengan kepentingan politik dan ekonomi serta budaya yang menguntungkan Barat dan Amerika Utara. Ini berhubungan dengan Russia, China, dan lainnya.
  4. Dalam dunia di mana adanya konflik etnik dan pembenturan peradaban kepercayaan Barat tentang sarwajagatnya budaya Barat menimbulkan persoalan: ianya palsu; bertentangan dengan nilai moral; ianya berbahaya. Dinukilnya kata-kata Michael Howard, bermaksud: “anggapan orang Barat yang biasa didapati bahawa kepelbagaian budaya adalah satu perkara pelik dalam sejarah yang dengan segeranya dihakiskan oleh budaya dunia yang dialami bersama, berorientasikan Barat, budaya dunia bersifat Anglophone, membentuk nilai-nilai asasi kita itu sebenarnya tidak betul”.
  5. Barat tidak boleh memaksakan budayanya ke atas pihak lain kerana itu berlawanan dengan ajaran moral; hanya bila ia berkuasa atas semua boleh itu berlaku. Dalam suasana bilamana budaya Asia dan Islam semakin lebih menonjolkan relevannya budaya mereka secara universal, orang-orang Barat akan dapat menghargai lebih-lebih lagi hubungan antara universalism dan imperialism.
  6. menyebarkan budaya Barat secara universal dalam dunia adalah berbahaya sebab ianya mungkin menimbulkan perang antara peradaban antara negara-negara paksi (core states) dan berbahaya sebab mungkin ianya membawa kepada kekalahan Barat.
  • Untuk menjaga dan meneruskan peradaban Barat dalam berhadapan dengan kuasa Barat yang sedang menurun maka Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah dinasihatkan oleh Huntington supaya:
  1. mencapai lebih besar integrasi politik, ekonomi, dan ketenteraan, dan mengkoordinasikan polisi-polisi mereka untuk mengecualikan di dalamnya negara-negara dari peradaban lain mengeksploitasikan kelainan-kelainan antara mereka;
  2. untuk memasukkan ke dalam Persatuan Eropah dan NATO negara-negara di Eropah Tengah, iaitu negeri-negeri Visegrad, republik-republik Baltik, Slovania, dan Croatia
  3. menggalakkan “Pembaratan” Amerika Latin, dan sejauh mana yang mungkin, merapatkan hubungan negara-negara Amerika Latin dengan Barat
  4. mengawal (restrain) pembangunan kuasa tentera konvensional dan tidak konvensional bagi negara-negara Islam dan negara-negara Sinik (di bawah tamaddun China)
  5. memperlambatkan hanyutnya Jepun jauh dari Barat dan ke arah akonodasi dengan China
  6. menerima Russia sebagai negara paksi Orthodoxy dan kuasa serantau yang besar dengan kepentingan-kepentingan yang sah dalam bidang keselamatan sempadan-sempadan selatannya
  7. menjaga kedudukan Barat yang mengatasi peradaban-peradaban lain dalam bidang teknologi dan ketenteraan
  8. paling penting sekali, mengiktirafi bahawa campurtangan Barat dalam peradaban-peradaban lain mungkin merupakan punca keadaan tidak stabil yang paling berbahaya dan punca konflik sejagat dalam dunia pelbagai peradaban seperti sekarang.
  • Selepas berbicara tentang senario kemungkinan peperangan, dan akhir perang itu, dan kesan-kesannya dalam peradaban, serta perkembangan identiti negara-negara dengan nilai-nilai moral dan budayanya, Huntington berbicara tentang naik-turun peradaban. Akhirnya beliau menyebut pendapat Lester Pearson dalam tahun 1950an yang memberi amaran bahawa umat manusia sedang bergerak dan berkembang memasuki “suatu zaman bilamana peradaban-peradaban yang berlainan terpaksa belajar untuk hidup bersama sebelah menyebelah dalam keadaan saling tukar-menukar (apa yang boleh), saling mempelajari dari yang lain, saling mempelajari sejarah, cita-cita, seni, dan budaya orang lain, saling kaya mengayakan hidup masing-masing. Alternatifnya, dalam hidup dunia yang kecil yang tersesak ini, ialah salah faham, ketegangan, pertentangan, dan malapetaka. Masa depan kedua-duanya untuk keamanan dan peradaban terletak pada persefahaman dan kerjasama di kalangan pemimpin-pemimpin politik, kerohanian, dan intelektuil dari peradaban-peradaban besar dunia. Dalam pembenturan peradaban-peradaban Eropah dan Amerika akan bertahan, bertahan bersama-sama atau berasingan. Dalam pembenturan yang lebih besar, “pembenturan yang sungguh-sungguh” yang bersifat global, antara Peradaban dan sifat barbarian atau kebiadaban, peradaban-peradaban dunia yang besar, dengan kejayaan-kejayaannya yang kaya raya dalam agama, seni, sastera, falsafah, sains, teknologi, moral, dan kerahiman, akan bertahan bersama-sama atau secara berasingan. Dalam zaman yang sedang menjenguk wajah itu, pembenturan-pembenturan peradaban berupa ancaman terbesar bagi keamanan dunia dan susunan kehidupan yang teratur peringkat antarabangsa berdasarkan kepada peradaban merupakan kawalan yang paling tepat dan yakin untuk mengawal supaya tidak berlakunya perang dunia(20).

Moga-moga Allah mengizinkan keamanan terkawal dalam dunia antarabangsa dengan adanya sikap kerjasama dan hormat-menghormati antara pelbagai peradaban dunia yang ada ini. Allahumma amin.

Negara bangsa dalam menghadapi alaf baharu

Selepas berbicara tentang ciri-ciri peradaban dari segi intelektuil, kerohanian, sosial, politik dan seterusnya, dan melihat beberapa pandangan tentang peradaban Barat dan hubungannya dengan peradaban dunia yang lain, kita boleh bericara dengan ringkasnya pembinaan negara bangsa dalam menghadapi alaf baharu, dalam konteks pandangan kita tentang peradaban. Antaranya ialah seperti berikut:

  • Negara bangsa yang kita kehendaki ialah negara bangsa Malaysia yang berpaksikan kepada beberapa faktor pusat (core factors): berteraskan bangsa Melayu yang bersatu padu dalam pegangannya kepada agama Islam dengan ajaran dan amalan Ahlis-Sunnah wal-Jama’ah, dengan akidahnya yang jelas terhadap rukun-rukun imannya dengan pegangan yang kuat dan yakin, yang menentukan identitinya menghadapi serangan pegangan dan world-view yang berlainan samada dalam bentuk lama atau moden, yang dari luar negara atau dari dalam. Ini paksi peradabannya.
  • Berpaksikan hidup kerohanian dan akhlak yang nyata yang menentukan identitinya yang tidak berbelah bagi, yang terjamin keselamatan dan kebenarannya, dan yang menjamin perpaduan dengannya,
  • Berpaksikan disiplin hidup mengikut peraturan Shariat Islamnya yang diamalkan dalam hubungan dengan Tuhannya dan hubungan kekeluargaannya, kemasyarakatan, kejiranan, dan hidup kebangsaannya.
  • Berpaksikan kepada ketuanan Melayu Islam sebagai pihak yang paling menentukan dalam suasana politik negara yang berkembang dalam rantau ASEAN dengan kerjasama yang erat menjaga kepentingan serantau dalam hubungan antarabangsa selain daripada menjaga kepentingan masing-masing negara sebagai jiran yang di dalamnya takdirnya terdapat peradaban-peradaban besar dunia dengan agama-agama besarnya.
  • Berpaksikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, dengan rakyatnya mempunyai kemampuan dalam bahasa-bahasa lain seperti Inggeris untuk urusan pengetahuan dan hubungan antarabangsa, juga saling kenal-mengenal budaya yang berlainan dan menjaga keharmonian hidup dalam negara yang satu.
  • Peradaban Islam sebagai asas perkembangan peradaban di negara kita berserta dengan memberi ruang kepada perkembangan peradaban lain dalam kepelbagaian budaya dalam negara,
  • Dan bila disebut peradaban Islam ertinya dengan mengambil kira pengertiannya yang luas yang mencakupi bidang-bidang intelektuil, kerohanian, akhlak dan moral, kemasyarakatan dan siasah serta sains dan teknologi semaksima mungkin dalam konteks keperluan negara.
  • Negara bangsa yang mempunyai perasaan kebangsaan dalam konteks ajaran Islam, dan dengan mengambil kira konsep ummah yang Muslimin di dalamnya merupakan ahli-ahlinya walau di mana sekalipun ia berada. Ertinya konsep kebangsaan itu tidak bercanggah dengan konsep ummah.
  • Negara bangsa yang membangun ekonomi yang adil dan samarata peluang ekonominya dan agihan hartanya, tanpa ada penindasan atau penzaliman yang terjamin pada sisi undang-undang.
  • Negara bangsa yang menerima unsur-unsur Barat yang positif dan menolak yang negatif dengan mengambil kira panduan Islam dalam perkara yang berkenaan, dan mereka yang non-Muslim mengambil panduan dari peradaban mereka.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: