Tokoh Enggan Mohon Tauliah Dibidas

KUALA LUMPUR: Beberapa tokoh agama Islam kesal dengan sikap segelintir tokoh agama yang menganggap mereka kebal dan tidak perlu mendapatkan tauliah untuk menyampaikan ceramah agama.

Sambil menganggap golongan itu sebagai takbur, mereka berpendapat populariti, kedudukan dan kelayakan bukan ‘lesen besar’ untuk menyampaikan ceramah kerana mereka terikat dengan undang-undang.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata peraturan yang dikuatkuasakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) adalah satu keperluan dan diselaraskan di seluruh negara selepas persetujuan Majlis Raja-Raja.

Katanya, adalah wajar peraturan itu dihormati dan dipatuhi sebagai tanda menjunjung kedaulatan undang-undang dalam prinsip Rukun Negara.

“Sistem pentauliahan bertindak sebagai mekanisme kawalan terhadap mana-mana pihak yang cuba menghidupkan amalan dan ajaran sesat.

“Saya tidak nampak kenapa peraturan seperti itu tidak boleh dipatuhi dan mereka yang enggan mendapatkan tauliah adalah mereka yang takbur. Doktor dan peguam juga perlu mendapat tauliah sebelum dibenarkan berkhidmat.

“Walaupun seseorang dianggap intelektual, dia tidak seharusnya sengaja melanggar undang-undang. Dalam isu ini, Jais hanya menunaikan tanggungjawab dan mereka mempunyai asas membuat tangkapan kerana ada peruntukan. Salah atau tidak, itu isu berbeza dan mereka boleh dibicarakan,” katanya semalam.

Beliau mengulas kenyataan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang mempertikaikan tindakan Jais menahannya kerana berceramah tanpa tauliah kerana menganggap dirinya bukan orang asing di negara ini dan pandangan beliau boleh dibaca dalam akhbar perdana selain mengajar di Universiti Sains Malaysia (USM).

Felo Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), Dr Muhammad Uthman El-Muhammady, berkata semua pihak perlu kembali kepada prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menetapkan Sultan Selangor sebagai ulil amri bagi rakyat negeri itu.

Katanya, rakyat wajib taat kepada baginda sebagai ulil amri dan kuasa yang diturunkan kepada Jais untuk melaksanakan tugas dalam bidang agama.

Beliau berkata, jika seorang tokoh agama menganggap dirinya berpengetahuan, matang serta beradab, maka lakukan dakwah secara intelektual, berdisiplin, beradab dan mengikut saluran sah tanpa provokasi, sensasi atau menangguk di air keruh yang akhirnya memakan diri.

“Kita kembali pada prinsip menyerahkan sesuatu kepada pihak berkuasa. Kita mengawal diri dengan disiplin dan adab secara berkesan untuk melihat isu selesai mengikut syarak,” katanya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, berkata tindakan Jais tidak wajar dipertikai kerana mengikut enakmen negeri berkenaan.

Katanya, kekeliruan berlaku kerana orang yang ditahan adalah bekas mufti sedangkan hampir semua negeri menguatkuasakan sistem pentauliahan bagi membendung pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan amalan, fahaman dan ajaran sesat.

“Kini ramai penceramah luar negara juga datang memberi ceramah dan jika tiada sistem pentauliahan, akan ada ajaran yang menyeleweng dan menyesatkan umat Islam. Ilmu dan kedudukan seseorang sehingga pernah menjadi mufti bukan lesen besar untuk memberi ceramah tanpa kebenaran,” katanya.

Mashitah turut mendedahkan beberapa penceramah termasuk bergelar datuk yang muncul di televisyen dan mendakwa graduan Universiti Al-Azhar sebenarnya gagal dalam pengajian mereka.

Sehubungan itu, beliau mengesyorkan stesen penyiaran mewajibkan semua penceramah mendapatkan pentauliahan daripada pihak berkuasa agama negeri.

Pendakwah bebas dan perunding motivasi, Datuk Md Daud Che Ngah pula berkata, akidah umat Islam lebih mudah diseleweng jika sistem pentauliahan tidak dilaksanakan.

Bagaimanapun, katanya, jabatan agama Islam wajar memberikan tauliah tanpa memilih bulu kerana ia boleh menyekat dakwah dan usaha meningkatkan syiar Islam.

“Dalam kes Dr Asri, beliau wajar disiasat untuk menentukan kesahihan dakwaan termasuk mengembangkan fahaman Wahabi,” katanya.

Kenyataan Media Ustaz Uthman El-Muhammady

Bismillah al-hamdulillah wassolatu wassalam ‘ala Rasulillah

Dalam berdepan dengan masalah yang dihadapi ini (tentang kes penangkapan bekas mufti Perlis oleh JAIS) pada hemat saya: kita perlu kembali kepada prinsip  Islam dalam Ahlissunnah wal-jamaah yang ertinya ialah: bahawa Yang Duli Yang  Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor Darul Ehsan adalah ulil-amri bagi rakyat negeri  ini, maka  wajib kita taat kepadanya sebagai ulil-amri dan kuasa  diturunkan kepada JAIS untuk melaksanakan tugas dalam bidang agama, ia oleh itu wajib ditaati.

2. Juga kita kembali kepada prinsip menyerahkan sesuatu kepada otoritas dan kepakaran yang ditugaskan secara sah untuk menanganinya

3. Kita mengawal diri  dengan disiplin  dan adab secara berkesan untuk melihat perkara yang dihadapi itu berjalan dan menjadi selesai mengikut proses aturan Syara’ dan adat yang sah tanpa menggangunya

4. Akhirnya kalau seseorang itu merasakan dirinya  mempunyai pengetahuan dan kematangan serta beradab maka ia  lakukan tugas al-din al-nasihat secara intelektuil dalam bahasa yang berdisiplin dan beradab mengikut salurannya yang sah, dengan tidak terpengaruh oleh sentimen kepentingan diri, tanpa melakukan provokasi,  mencari sensasi, atau menangguk di air yang keruh, yang kemudiannya, akhirnya akan memakan diri  sendiri, baik pada individu  kelompok  atau institusi.

Wallahu a’lam.

-Muhammad Uthman El-Muhammady Fellow Amat Utama Akademik Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam dan juga Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia

3 November 2009