Mufti Pahang Sokong Tindakan JAIS

KUANTAN – Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Othman menyokong tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menahan bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin ketika menyampaikan ceramah agama di sebuah banglo di Selangor.

Katanya, Dr Mohd Asri didakwa cuba mengelirukan masyarakat Islam melalui pertikaian mengenai amalan-amalan sunat yang dilakukan umat Islam sebelum ini, di dalam ceramah yang disampaikan.

“Pahang sudah menyedari perkara berkenaan dan tahun lalu, Jaip tidak membenarkan tokoh ulama (Dr Mohd Asri) itu mengadakan ceramah, di sini atas dasar itu.

“Kita tidak mahu masyarakat terkeliru dengan ceramah yang disampaikan mengenai amalan-amalan sunat yang sering dilakukan sebelum ini dan beliau seharusnya menghormati amalan yang diamalkan setiap negeri,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini semalam.

Abdul Rahman berkata, itu tidak bermakna setiap penceramah perlu mendapat tauliah terlebih dahulu sebelum menyampaikan ceramah di negeri.

“Selagi mereka tidak mempertikaikan perkara sedemikian, tidak timbul masalah dalam soal tauliah atau tidak. Yang penting, Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) memandang serius isu berkenaan bagi mengelak berlaku kekeliruan terhadap fahaman dan amalan yang dilakukan.

“Kita mempunyai amalan yang dilakukan mengikut dalil yang sahih merujuk kepada kitab yang diperakui.

“Kita juga tidak mempertikaikan ilmu yang beliau ada, namun pendekatan yang digunakan itu, menggambarkan beliau mahu memecah-belah masyarakat dengan isu sensitif dalam ceramah yang disampaikan,” katanya.

Katanya, Jaip juga sudah mengenal pasti beberapa pihak yang mempunyai niat seumpama itu ketika menyampaikan ceramah di negeri ini.

“Jaip sedang mengawasi pihak yang berkemungkinan cuba menyebarkan fahaman yang cuba mengelirukan masyarakat Islam dan penguat kuasa Jaip juga sudah bersedia untuk mengambil tindakan yang sewajarnya sekiranya pihak berkenaan meneruskan aktivitinya.

“Saya berharap, masyarakat peka dan tidak keliru sekiranya terdapat pihak yang tampil dan cuba menyampaikan dakwah bertujuan untuk mengelirukan dan mempertikaikan amalan yang diamalkan sebelum ini,” katanya.

Kenapa Dr Asri ditahan oleh JAIS?

tulisan seorang Hamba Allah yang dikirim melalui emel:

Komen ringkas saya ia adalah satu tindakan yang betul dan saya menghormati tindakan JAIS dan memuji keberanian JAIS ditengah-tengah masyarakat yang sedang keliru dengan isu ini dan sebahagiannya terjebak dalam kesilapan.

Sebabnya Dr Asri telah menimbulkan rasa keresahan dalam masyarakat, menimbulkan perbalahan, ketegangan hanya kerana alasannya mahu membenteras bidah dan khurafat dalam masyarakat.Malangnya apa yang dilakukan oleh Dr Asri itu adalah pada perkara yang memang berlaku kekhilafan atau perbezaan pendapat dalam masyarakat.

Dr Asri, sebagai seorang yang mempunyai kedudukan dalam masyarakat, iaitu sebagai seorang ilmuan dan bekas Mufti, tidak seharusnya menongkah arus dalam perkara-perkara yang khilaf.

Beliau bukan hanya menongkah arus dengan masyarakat, tetapi tidak sependapat dengan Majlis Mufti Malaysia, sebuah organisasi agama yang tertinggi dalam Negara kita di mana beliau mengeluarkan pendapat yang bercanggah dengan Majlis Mufti, menyelar mereka dalam media terbuka.

Dr Asri tidak melakukan sesuatu yang melanggar hukum Allah seperti melakukan perkara haram, tetapi kedudukannya yang tinggi itu iaitu sebagai bekas Mufti sudah cukup untuk dianggap bersalah apabila melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan keresahan dalam masyarakat, apalagi kalau tulisan atau syarahannya itu menyebabkan perpecahan dalam masyarakat.

Sebagai contoh, serangan beliau terhadap amalan membaca talqin kepada orang yang mati, beliau menyatakan bidah. Bacaan talqin bukan bidah, ada hadith berkenaan perkara tersebut iaitu Laqqinu mautakum.

Yang ulama berbeza pendapat ialah bila bacaan itu dilakukan: ada yang mengatakan sebelum mati kerana perkataan mauta itu bermakna orang yang hendak mati; sebahagian yang lain pula mengatakan mauta itu selepas mati kerana makna mauta juga orang yang telah mati (kata plural). Atas kefahaman itulah ulama berbeza pendapat, tetapi Dr Asri mengambil pendekatan untk memaksa pendapatnya kepada perkara yang khilaf ini.

Jadi kenapa Dr Asri menimbulkan kegawatan dalam masyarakat terhadap perkara yang memang khilaf ini? Ini satu contoh, banyak lagi contoh-contoh lain seperti qunut solat subuh, wirid selepas sembahyang, doa selamat dan lain-lain lagi yang merupakan adalah perkara khilaf dalam perkara pecahan (furu) yang sepatutnya Dr Asri yang mempunyai kedudukan tinggi dalam masyarakat TIDAK membesarkannya.

Beliau sepatutnya mengambil saranan shekh Yusof al-Qaradawi dalam kitabnya iaitu PERBEZAAN PENDAPAT YANG DIHARUSKAN DAN PERPECAHAN YANG DICELA. Sayangnya Dr Asri memilih untuk mencela perbezaan dan mengharuskan perpecahan demi untuk menegakkan perkara yang umat berbeza pendapat padanya.

Beliau sepatutnya tidak memberi ruang kepada gerakan seperti Sisters in Islam untuk bergerak di Malaysia, tetapi berlaku sebaliknya beliau membenarkan SIS ini menjadi salah sebuah organisasi yang menyokongnya! !

Dr Asri perlu diheret semula supaya balik ke pangkal jalan. Tindakan JAIS adalah tindakan yang betul, pada pandangan saya. Semasa beliau ditangkap, orang kenamaan yang ada seperti YB Saari Sungaib dan Dr Zuraidah bukan dari golongan ilmuan agama; mereka hanya insan biasa yang masih tercari-cari kebenaran. Andainya semasa beiau ditangkap, ada tokoh-tokoh agama bersamanya, maka saya akan membela Dr Asri.

Tindakan beliau berkonfrantasi dengan hampir semua mufti di Negara ini adalah satu tindakan yang tidak boleh sama sekali dilihat sebagai tindakan yang betul. Beliau sebenarnya telah tersasar jalan. Saya harap JAIS konsisten dalam tindakannya. JAIS perlu berani untuk berkata NO walaupun kepada YAB Perdana Menteri. YAB Perdana Menteri harus menyerahkan kepada mereka yang arif dalam ugama untuk menguruskan kes Dr Asri ini. Parti-parti politik pula tidak harus mengambil kesempatan dalam isu ini untuk mengeksploitasi keadaan demi untuk meneguk political mileage kepada kumpulan mereka.

Bagi saya, inilah masanya untuk pihak berkuasa memberi kata dua kepada Dr Asri: kembali kepangkal jalan atau menghadapi tindakan.

Sekian pandangan saya. Wassalam,

 

‘Krisis’ agama rugikan umat

dipetik dari Utusan Malaysia
Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN

MELIHAT kepada apa yang berlaku antara Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan bekas Mufti Negeri Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, boleh disimpulkan sebagai isu yang amat membimbangkan.

Sebabnya, polemik ini menambah sengsara umat Islam atau pun orang Melayu. Episod Melayu berpecah akibat perbezaan fahaman politik belum pun selesai, kini kita berhadapan dengan ‘krisis’ dalam bab agama.

Entahlah, apa lagi yang boleh menjadi ‘payung’ kepada umat Islam, kalau dalam bab agama yang suci ini pun kita bercelaru.

Dalam hal ini, yang pastinya gawat dan keliru adalah orang awam. Demikian juga golongan yang sedang ‘mencari’ agama melalui pengajian bukan secara formal di masjid, surau dan sebagainya.

Apa pun isunya, kegawatan ini perlu segera diselesaikan agar umat Islam tidak keliru sehingga membawa kepada perpecahan dan menjadikan umat Islam makin lemah.

Ingatlah firman Allah SWT: “Taatlah kamu kepada Allah dan Rasulnya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati, sesungguhnya Allah berserta orang yang sabar.” (al-Anfaal: 46).

Pada masa yang sama, kita harus berlaku adil kepada JAIS dalam penguatkuasaan tauliah kepada penceramah agama di Selangor.

Yang pasti, tauliah itu berniat baik. Ia bagi memastikan penceramah berlandaskan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dan bersandarkan kepada mazhab Imam Syafie.

Ini bertepatan dengan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 Mac 1996, Sidang Majlis Keselamatan Negara pada 17 Oktober 1996 dan mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan Hal Ehwal Islam Malaysia Ke 27 pada 24 Jun 1997. Kesemua itu memutuskan bahawa hanya akidah ASWJ menjadi pegangan umat Islam di Malaysia. Mana-mana ajaran yang bercanggah dengan fahaman dan amalan ASWJ dilarang dan disekat penyebarannya.

ASWJ berpegang kepada empat sumber utama hukum dalam Islam iaitu al-Quran, sunnah, ijmak ulama dan qias. Pegangan tauhid di atas jalan Imam Abu Hassan al-Asyaari atau disebut fahaman al-Asya’irah.

Walaupun mazhab utama yang diamalkan adalah mengikut Imam Syafie tetapi penggunaan mazhab lain seperti Imam Hambali, Hanafi dan Maliki turut dibenarkan dalam keadaan tertentu.

Ini terkandung dalam Perkara 54 qaul muktamad yang diikuti dalam mengeluarkan fatwa dalam Undang-undang Negeri Selangor, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) 2003.

Dalam mengeluarkan apa-apa fatwa di bawah Seksyen 48 atau memperakukan apa-apa pendapat di bawah Seksyen 53, Jawatankuasa Fatwa hendaklah pada lazimnya mengikut qaul muktamad Mazhab Shafie.

Bagaimanapun, jika berpendapat dengan mengikut qaul muktamad Mazhab Syafie suatu keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam akan terhasil, Jawatankuasa Fatwa boleh mengikut qaul muktamad Mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali.

Perkara berkaitan tauliah ini pula adalah di bawah perkenan Duli Yang Mulia Sultan sebagai Ketua Agama atau ulil amri negeri masing-masing. Dengan kata lain, mematuhi arahan tersebut juga bermakna kita mematuhi arahan pemerintah.

Dalam aspek yang lain, kita juga tidak mahu tradisi menuntut ilmu agama secara informal ini terbantut akibat ‘krisis’ yang berlaku ini.

Semenangnya, pengajian agama di Malaysia terutama di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur kini semakin mendapat perhatian umat Islam.

Kuliah-kuliah sama ada pada waktu zuhur, maghrib, duha dan subuh Ahad sentiasa dipenuhi oleh para jemaah yang dahagakan ilmu.

Di sinilah pentingnya penceramah yang bertauliah supaya ilmu yang disampaikan itu bertepatan dan tidak bercanggah dengan ASWJ dan mazhab Syafie yang dominan di negara kita.

Kebimbangan paling besar adalah jika berlaku penyelewengan akidah terutama di kalangan mereka yang bergelar ‘ustaz dan ustazah’. Sebabnya, penyelewengan oleh golongan ‘agama’ lebih buruk kesannya terhadap akidah dan amalan masyarakat berbanding kerosakan yang berlaku jika ia disampaikan oleh golongan bukan agamawan.

Pada masa yang sama, sebahagian besar jemaah yang mengikuti kuliah di masjid dan surau adalah orang awam. Justeru adalah penting memastikan kuliah tersebut mematuhi ASWJ terutama dalam membicarakan hal berkaitan ilmu tauhid.

Sehubungan itu, ada baiknya diadakan muzakarah atau seminar bagi menjelaskan kepada masyarakat awam di negara kita apakah itu fahaman ASWJ dan bentuk fahaman lain yang perlu ditolak.

Jangan dibiarkan masyarakat awam terus tertanya-tanya dan keliru apakah ajaran Islam sebenarnya yang perlu mereka ikuti.

Negara mempunyai ramai ulama dan cendekiawan Islam yang mampu merungkaikan permasalahan ini supaya isu ini tidak lagi menjadi barah dalam masyarakat.

Kita tidak mahu hanya gah pada bilangan atau kuantiti umat Islam sahaja tetapi tidak ada kualiti. Lihatlah apa yang berlaku kepada umat Islam di Palestin yang diganyang oleh zionis tetapi kita hanya mampu ‘memandang’.

Jumlah umat Islam yang berbilion di seluruh dunia tidak cukup menggerunkan musuh-musuh Islam. Inilah yang digambarkan melalui hadis Nabi SAW: “Hampir tiba masanya kamu akan diserbu oleh bangsa-bangsa lain, sebagaimana orang-orang lapar mengadap hidangan di dalam jamuan”. Sahabat bertanya, “apakah semua itu berlaku disebabkan oleh jumlah kami yang sedikit?”

Rasulullah SAW menjawab: “Bahkan ketika itu jumlah kamu amat ramai, tetapi ramainya kamu tidak lebih dari seumpama buih di permukaan banjir. Allah akan mencabut dari hati musuh-musuh kamu rasa gerun mereka terhadap dirimu, dan dimasukkan ke hatimu penyakit al-wahan”. Seorang sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, apakah al-wahan itu?” Jawab Rasulullah SAW: “Al-wahan ialah cinta dunia dan takut menghadapi maut.” (riwayat Abu Daud daripada Sauban).

PENULIS ialah Pengarang Agama Utusan Malaysia.