Tauliah elak penyelewengan

Oleh MOHAMMED KHUSRIN MUNAWI

BAHAGIAN Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan pelbagai program dakwah di kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam di Selangor sejak ditubuhkan 58 tahun lalu.

Bagaimanapun, sebagai sebuah negeri yang diiktiraf negeri maju pada 2005, Selangor menjadi tumpuan penduduk yang berhijrah dari negeri lain.

Malah, Selangor juga didatangi oleh rakyat dari pelbagai negara seperti Indonesia, Bangladesh, India, Pakistan, Thailand dan lain-lain. Situasi ini menyebabkan pelbagai pihak dari pelbagai negeri dan negara mendakwa mereka mempunyai kredibiliti untuk mengembangkan ajaran Islam melalui metod ceramah.

Selain itu, perkembangan ajaran salah dan fahaman yang bertentangan dengan amalan majoriti umat Islam di Malaysia semakin berkembang di Selangor dan keadaan ini amat membimbangkan.

Menyedari permasalahan ini memerlukan kawalan, JAIS melalui Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mulai 2003 menguatkuasakan Kaedah-Kaedah Tauliah Tahun 2001 yang memberi panduan mengenai proses permohonan tauliah mengajar atau berceramah di Selangor.

Pada tahun 2008, Kaedah Tauliah tersebut dipinda dan digantikan dengan PeraturanPeraturan Tauliah 2008.

Melalui Jawatankuasa Tauliah MAIS, empat kategori dikeluarkan untuk mengenal pasti penceramah atau tenaga pengajar yang berkelayakan, sesuai dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman yang mereka miliki.

Kategori-kategori tersebut merangkumi: D 1: berceramah; D 2: mengajar fardu ain atau pengajian berkitab; D 3: mengajar al-Quran dan D 4: Khas.

Individu yang berminat untuk mendapatkan tauliah dikehendaki mengisi borang permohonan dan mengemukakannya kepada pihak urus setia iaitu Bahagian Dakwah JAIS melalui Pejabat Agama Islam Daerah.

Setelah permohonan diterima, pemohon akan dipanggil menghadiri sesi temuduga bagi mengenal pasti kemahiran dan kesesuaian permohonan mereka dengan kelayakan yang dimiliki.

Bagi pemohon yang tinggal di luar Selangor, mereka disyaratkan mengemukakan tauliah mengajar atau berceramah dari negeri masing-masing terlebih dahulu sebelum melalui sesi temuduga.

Pihak urus setia akan menghantar senarai nama pemohon kepada pihak Ibupejabat Polis Kontinjen Negeri Selangor untuk tujuan tapisan keselamatan.Setelah mendapat keputusan polis, satu mesyuarat Jawatankuasa Tauliah akan dilaksanakan bagi memutuskan individu yang layak diberi tauliah dan menetapkan kategori tauliah bersesuaian dengan pemohon.

Semua penceramah dan tenaga pengajar yang telah diberi tauliah akan diberikan kemahiran dan ilmu mengenai isu semasa melalui kursus pendekatan dakwah kontemporari, muzakarah, seminar dan kursus mengenai isu semasa.

Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008 telah menetapkan kad tauliah yang diberikan kepada semua pemegang tauliah adalah berkuat kuasa tidak lebih 5 tahun.

Ini bertujuan memudahkan tapisan keselamatan dan kawalan dibuat ke atas penceramah dari semasa ke semasa.

Menurut Seksyen 6 (Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor) EPAINS 2003, MAIS merupakan pihak berkuasa utama selepas Sultan, berhubung dengan semua perkara yang berkaitan agama Islam di Selangor, kecuali perkara-perkara berkaitan dengan hukum syarak dan pentadbiran keadilan. Selanjutnya, menurut EPAINS 2003 , Seksyen 7 (1), MAIS hendaklah bertanggungjawab menggalak, mendorong, membantu dan mengusahakan kemajuan dan kesejahteraan ekonomi dan sosial masyarakat Islam di dalam Selangor selaras dengan hukum syarak.

Dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pentadbir agama dan bagi memenuhi kehendak Seksyen 7 (1) EPAINS 2003 tersebut, MAIS menggubal beberapa peraturan dan undang-undang kecil untuk memastikan tanggungjawab itu dilaksana dan dikuatkuasakan melalui agensi pelaksana iaitu Jabatan Agama Islam Selangor.

Ini termasuklah menggubal undang-undang berkaitan dengan pendidikan agama Islam dan tauliah selaras dengan kuasa yang diberi di bawah Seksyen 118 (4) EPAINS 2003. Selaras dengan seksyen tersebut, pada 20 November 2008, Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008 dikuatkuasakan dan Kaedah-kaedah Tauliah (Selangor) 2001 dimansuhkan.

Di Selangor, Seksyen 118, Bahagian X Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan bidang kuasa MAIS terhadap pendidikan agama Islam di negeri, iaitu untuk memantau dan mengawal pengajaran atau pendidikan agama di Selangor.

Pemantauan dan pengawalan ini dilaksanakan oleh Jawatankuasa Tauliah yang dilantik oleh MAIS yang terdiri daripada Setiausaha Majlis sebagai Pengerusi dan tidak lebih daripada tujuh orang ahli yang mempunyai kepakaran, pengalaman dan pengetahuan yang sesuai, termasuklah Mufti Selangor.

Majlis juga boleh membuat peraturan-peraturan berkaitan dengan permohonan dan pemberian tauliah.

Peruntukan yang berkaitan turut dikuatkuasakan di negeri-negeri lain. Antaranya Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Sarawak yang memperuntukkan wujudnya satu jawatankuasa yang diberi kuasa oleh Majlis Agama Islam Negeri untuk memberi atau menarik balik tauliah yang diberi.

Bagaimanapun di beberapa negeri, Jawatankuasa ini dikenali sebagai Jawatankuasa Pengawasan Ajaran Agama Islam.

Seksyen 118 (3) EPAINS 2003 memperuntukkan bahawa Jawatankuasa Tauliah hendaklah mempunyai kuasa untuk memberikan tauliah bagi maksud pengajaran agama Islam atau apa-apa perkara tentang agama Islam dan untuk menarik balik tauliah itu. Peruntukan ini juga sama dengan peruntukan di negeri-negeri lain.

Selanjutnya, menurut Peraturan 8, Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008, Jawatankuasa Tauliah turut mempunyai kuasa untuk menetapkan syarat atau sekatan kepada penerima tauliah.

Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 turut memperuntukkan penalti bagi kesalahan mengajar agama tanpa tauliah. Seksyen 119, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan bahawa:

1. Mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang Islam tanpa tauliah di bawah seksyen 118 adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara elama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

2. Subseksyen (1) tidaklah terpakai bagi:

n mana-mana orang atau golongan orang yang dikecualikan oleh Majlis di bawah seksyen 121 Enakmen ini; atau

n mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang agama Islam di kediamannya sendiri kepada anggota keluarganya sahaja.

Peruntukan yang sama juga turut dikuatkuasakan di negeri-negeri lain seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Sarawak di mana mereka yang mengajar agama Islam tanpa tauliah adalah merupakan suatu kesalahan dan boleh didenda atau dipenjarakan.

Terdapat perbezaan penalti di antara negeri-negeri tersebut di mana Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Johor dan Sarawak menetapkan denda maksimum sebanyak RM5,000 dan tiga tahun penjara.

Sementara Selangor dan Negeri Sembilan pula menetapkan denda maksimum sebanyak RM3,000 dan dua tahun penjara bagi kesalahan yang sama.

Perbandingan peruntukan undang-undang berkaitan yang digubal sekitar 2001 sehingga 2008 oleh negeri-negeri tersebut menunjukkan adanya usaha untuk menyeragamkan undang-undang yang dibuat oleh pihak berkuasa agama negeri-negeri melalui Sultan atau Yang di-Pertuan Negeri masing-masing.

Menurut EPAINS 2003, MAIS melalui agensinya iaitu JAIS bertanggungjawab untuk memastikan setiap orang Islam di Selangor menerima ajaran Islam yang benar dan selaras dengan hukum syarak dengan bersumberkan akidah Ahli Sunah Wal Jamaah.Ini dilaksanakan melalui program dakwah yang berterusan oleh Jabatan Agama Islam negeri-negeri.

Namun demikian, tidak dinafikan penguatkuasaan undang-undang syariah adalah cara terbaik untuk memastikan objektif tersebut dilaksanakan, kerana melalui penguatkuasaan undang-undang, memberikan kesan pematuhan dan menuntut komitmen umat Islam yang tidak bersalahan dengan hukum syarak.

Peruntukan undang-undang berkaitan dengan tauliah ini, jika dinilai secara zahirnya, seolah-olah menyekat kepada perkembangan dakwah Islam. Ia bertentangan dengan peranan agensi agama seperti MAIS dan JAIS, kerana syarat-syarat yang dikenakan terhadap penceramah mungkin mengurangkan aktiviti penyebaran syiar Islam.

Bagaimanapun, perkara ini perlu dilihat secara holistik iaitu dalam konteks menjaga agama dan akidah umat Islam.

Peruntukan ini diwujudkan untuk memastikan bahawa pengajar dan pengajaran agama yang disampaikan adalah selaras dengan dasar-dasar pihak berkuasa agama dan hukum syarak serta bersumberkan akidah Ahli Sunah Wal Jamaah.

DATUK Mohammed Khusrin Munawi ialah Pengarah, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)

dipetik dari Utusan Malaysia

Berpegang kepada Ahli Sunnah, elak Wahabi cetus konflik ummah

Oleh Muhammad Uthman El-Muhammady

KITA mulakan tulisan ini dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah, pegangan dan amalannya. Mengenai Ahli Sunnah tidak perlu kita berbicara panjang sebab ia diketahui umum. Kalau hendak disebut pun kita boleh membuat beberapa kenyataan seperti istilah itu diterima pakai oleh ulama sejak awal dengan Imam Tahawi, al-Asyari, Abu Hanifah, Imam Syafie, Baqillani, Baghdadi, al-Ghazali, al-Nawawi dan seterusnya sampai kepada Waliyullah al-Dihlawi dan Said Nursi bahkan Syeikh Hasan al-Banna dan Said Hawwa.

Bagaimanapun, boleh disebut bahawa istilah itu dalam hadis Nabi SAW yang dinukil dalam ‘al-Milal wa al-Nihal’ oleh al-Shahrastani dan juga dalam hadis al-Tabarani.

Mengenai pegangan, kita hanya boleh sebut secara ringkas iaitu Ahli Sunnah berpegang kepada Rukun Iman yang enam, Rukun Islam yang lima, berpegang kepada ajaran akidah Imam al-Asyari dan Maturidi dan yang mengikuti mereka sampai masa kini; mereka beriman mengenai Allah memiliki sifat sempurna tidak terhisab, tetapi sekurang-kurang perlu diketahui semua orang ialah sifat ada, sedia kala, kekal, tidak menyerupai semua yang baru, berdiri sendiri, Maha Esa, hidup, mengetahui, berkehendak, mendengar, melihat dan berkata-kata dengan kalam-Nya yang kadim dan azali tidak menyerupai makhluk dalam semua perkara. Zat-Nya tidak seperti zat makhluk, perbuatan-Nya tidak seperti makhluk.

 

Kalau sesiapa mengatakan ia mempunyai sifat makhluk atau menyerupai makhluk, maka ia terkeluar daripada iman. Sebab itu Imam Tahawi, Syafie, Abu Hanifdah dan seterusnya menyebut Ia tidak bertempat, tidak tertakluk oleh masa, tidak berada dalam ruang.

Tidak boleh dikatakan Tuhan berada di atas, di bawah, di kanan, atau di kiri, di belakang atau di hadapan, sebab ia tidak berpihak.

Dalam Ahli Sunnah, ayat al-Quran dan hadis nabi yang menyebut sifat Allah seperti sifat makhluk, maka disuruh kita sama ada menerima seperti asalnya (tafwidh) menyerahkan erti hakikinya kepada Allah SWT, atau mentakwilkannya dengan sifat yang layak dengan-Nya.

Ini dilakukan umpamanya oleh penghulu orang Salaf al-Tabari.

Orang Wahabi menerimanya secara literal dan hakiki, kalau disebut Tuhan ada tangan, tanganlah, kalau kaki, kakilah, kalau jari maka jarilah. Ini membawa kepada menyerupakan Allah dengan makhluk. Nauzu billahi min zalik.

Seperkara lagi mereka membahagikan tauhid kepada tiga, tauhid Rububiah, tauhid Uluhiah, dan tauhid Asma Wassifat. Setiap satunya terasing daripada yang lain. Rububiah ertinya tauhid mengakui Tuhan Pencipta Alam, Esa, Berkuasa dan lainnya, tauhid Uluhiah ertinya menyembah-Nya dan taat kepada-Nya. Maka dengan skema ini, mereka boleh berkata Abu Jahal itu ahli tauhid dan ikhlas tauhidnya lebih daripada orang yang mengucap ‘Lailahailallah’.

Dengan skema ini juga mereka mengkafirkan orang yang berdoa meminta keberkatan di makam salihin dan anbia dan bertawassul dengan mereka. Ini pula satu tajuk yang tersendiri huraiannya.

Mengenai nabi, Ahli Sunnah mengajarkan, anbia ada sifat maksum (tidak berdosa), apa lagi Nabi Muhammad SAW dan mereka mempunyai sifat benar, amanah, menyampai kebenaran, dan bijaksana; mereka manusia yang makan dan minum serta berkahwin, tetapi mereka sempurna kerana itu diturunkan wahyu kepada mereka oleh Tuhan.

Ini diikuti dengan iman mengenai malaikat, akhirat (termasuk nikmat dan azab kubur), dan qada dan qadar yang menentukan segalanya ialah Allah, manusia diperintah berusaha dan berikhtiar dalam perkara yang baik dan mengelak daripada perkara yang jahat.

Ahli Sunnah mengajarkan kewajipan mengucap syahadah dengan yakin ertinya, menjalankan sembahyang lima waktu, melakukan puasa, menunaikan zakat dan menunaikan haji bagi mereka yang berkemampuan.

Ia mengajarkan kewajipan menunaikan nazar dan sumpah. Ia mengajarkan membaca al-Quran, lebih-lebih lagi dengan mengerti ertinya, melakukan zikir mengingati Allah dan berdoa kepada-Nya. Ia mengajarkan manusia bersangka baik terhadap Allah SWT dan jangan bersangka buruk terhadapnya.

Ahli Sunnah mengajarkan bahawa dosa besar ialah sihir, mencuri, berzina, berjudi, membuat sumpah palsu, memakan rasuah, memakan riba, yang terbesar ialah syirik yang berupa dosa yang tidak terampun, melainkan sebelum mati orang yang berkenaan bertaubat dan kembali kepada tauhid. Seseorang yang beriman tidak menjadi kafir dengan melakukan dosa bagaimana besar sekalipun, ia menjadi kafir hanya kerana kufur iktikad, kata-kata atau perbuatannya seperti ia menyembah berhala, kecuali ia dipaksa seperti diancam bunuh.

Orang Wahabi boleh menghukum orang kafir kerana dosa, bahkan kerana bertawassul di kubur nabi dan yang sepertinya.

Ahli Sunnah mengajarkan bahawa amalan orang hidup sampai kepada orang mati, baik dalam rupa bacaan seperti bacaan al-Quran, bertasbih, berdoa, bersedekah, dan amalan lain asalkan diniatkan untuk orang yang mati itu; kalau anak jika tidak diniatkan pun amalan itu sampai kepada kedua-dua ibu bapanya kerana ia lahir kerana mereka. Fahaman Wahabi mengatakan amalan orang hidup tidak sampai kepada orang mati.

Ahli Sunnah Wal-Jamaah mengajarkan Muslimin wajib taat kepada ulil-amri mereka, tidak boleh derhaka atau keluar menentang mereka, melainkan mereka itu kafir. Orang Wahabi tidak sedemikian sebab itu mereka menentang dan memberontak menentang Sultan Othmaniah dan wakilnya, tetapi mereka berbaik dengan British dan Perancis seperti yang jelas dalam sejarahnya. Ahli Sunnah mewajibkan memberi nasihat yang baik dan ikhlas kepada ulil-amri bukan memberontak. Tidak ada teori memberontak dalam Ahli Sunnah.

Dalam Ahli Sunnah, ulamanya mengajarkan bidaah ada yang baik dan ada yang buruk, tetapi Wahabi mengajarkan semua bidaah tidak dibolehkan; talkin, berwirid ramai-ramai selepas sembahyang, qunut subuh, tahlil arwah, majlis Maulud Nabi dan membaca Yassin pada malam Jumaat.

Banyak lagi perbezaan antara fahaman Wahabi dan Ahli Sunnah jika mahu diperkatakan. Hakikatnya kita melihat fahaman Wahabi berlainan daripada pegangan dan amalan Ahli Sunnah dan kita tidak boleh membiarkan orang Islam di negara ini terpengaruh dengannya kerana banyak implikasi negatifnya. Berwaspadalah. Wallahualam.