Penggunaan kalimah Allah

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

Utusan Malaysia – 10 Januari 2010

SEMINGGU dua ini, negara amnya dan masyarakat Islam khasnya hangat membicarakan tentang penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama selain Islam. Ruangan ini turut terpanggil untuk cuba menjernihkan fahaman dalam isu ini.

Terutama apabila ada juga tokoh dan individu Islam yang mengeluarkan pandangan mempertahankan keputusan mahkamah tinggi baru-baru ini yang membenarkan satu penerbitan Kristian Katholik untuk menggunakan kalimah Allah.

Apabila menimbangkan boleh atau tidak sesuatu itu dilakukan di sisi Islam, kaedah syarak menuntut kita mengenal-pasti hukum asal perkara tersebut serta turut memahami realiti sebenar atau situasi yang melatari sesuatu perbuatan atau isu.

Dalam ruang yang terbatas ini, kami akan membentangkan beberapa hujah di sebalik pandangan yang mengharamkan penggunaan kalimah Allah oleh agama-agama selain Islam.

Di dalam al-Quran sendiri terdapat beberapa ayat yang membawa larangan dan peringatan tentang menyalah-gunakan nama Allah.

Allah SWT berfirman yang maksud-Nya: Tuhan yang mencipta dan mentadbir langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya; oleh itu, sembahlah engkau akan Dia dan bersabarlah dengan tekun tetap dalam beribadat kepadanya. Adakah engkau mengetahui sesiapa pun yang senama dan sebanding dengan-Nya? (Maryam: 65)

Ayat ini ditafsirkan oleh para ulama dengan beberapa tafsiran:

lDi dalam kitab Tafsir Hadaiq al Rauh wa al Raihan H: 187 ayat ini ditafsirkan dengan maksud: Adakah kamu mengetahui, wahai Muhammad! Bagi Tuhan Yang Maha Suci ada perkongsian pada namaNya (pada menamakan-Nya dengan lafaz al Jalalah atau dengan Tuhan tujuh petala langit dan bumi. Ayat istifham (soalan) ini didatangkan dengan tujuan ingkar, iaitu maknanya: Sesungguhnya Allah itu tidak ada baginya misal atau bandingan sehingga Dia boleh disekutukan dalam ibadah dan dari sini akan melazimkan nama ini tidak khusus bagi Allah. Apabila ternafinya sekutu bagi Allah, maka layaklah Allah itu di-Esakan dalam ibadah dan dikhususkan baginya.

lPendapat kedua mengatakan maknanya: Adakah kamu mengetahui seseorang yang dinamakan dengan Allah selain Allah. Atau, nama yang lain dari nama yang Allah sendiri namakan bagi diri-Nya.

lPendapat ketiga mengatakan maknanya: Adakah kamu mengetahui seseorang yang layak dengan kesempurnaan nama-nama dan sifat-sifat yang layak bagi Allah.

lPendapat keempat mengatakan maknanya: Adakah kamu mengetahui nama yang lebih agung daripada nama yang unggul ini. Atau, nama-Nya diterbitkan dari sesuatu seperti nama-nama makhluk-Nya.

Sesungguhnya Allah itu tiada satu pun yang menyerupai-Nya. Ia adalah nama yang hanya menunjukkan kepada Zat Tuhan yang tertegak pada-Nya sifat-sifat.

Sama seperti isim alam yang lain yang menunjukkan kepada apa yang dinamakan tanpa diambil daripada mana-mana nama. Ia adalah nama yang diungguli oleh Allah, yang dikhususkan bagi diri-Nya dan disifatkan bagi Zat-Nya.

Ia didahulukan dari nama-nama-Nya yang lain dan nama-nama-Nya yang lain bersandar kepada nama ini dan semua nama yang datang selepasnya adalah sifat bagi-Nya dan bersangkutan dengannya.

Nama-nama Allah

Nama-nama Allah SWT yang lain disifatkan sebagai nama-nama Allah SWT yang lain dan kebiasaannya hanya dikenali dengan disandarkan kepadanya (Allah).

Oleh itu disebut, ia adalah nama-nama Allah dan tidak disebut ia adalah nama-nama al Sabur, al Ghafur, al Jabbar dan sebagainya.

Demikian juga keIslaman seseorang itu tidak akan sempurna melainkan dengan menyebut nama yang satu ini. Ia tidak menerima sebarang gantian dan tidak disebut nama gantiannya yang lain.

Misalnya dengan mengucapkan dalam syahadah dengan kalimah, “Tiada Tuhan melainkan al Ghaffar, atau al Rahim atau al Jabbar dan sebagainya.

Hanya yang digunakan dan disebut adalah, “Tiada Tuhan melainkan Allah”. Inilah juga yang disebut oleh al-Quran dan hadis kerana ia adalah nama yang paling menunjukkan kepada hakikat makna Ilahiyyah dan dikhususkan baginya.

Ia juga adalah nama yang tidak memerlukan kepada nama-nama yang lain untuk diperkenalkan tetapi nama-nama yang lain itu dikenali dengan disandarkan kepadanya.

Perkataan Allah itu sudah mencukupi bagi pertuturan dan zikir (sebutan) tanpa perlu disifatkan dan di takhalluq (disifatkan manusia dengan sifat-Nya).

Allah telah menegaskan di dalam Kitabnya yang mulia: Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-nama-Nya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan. (al-A’raaf: 180)

Berdasarkan ayat di atas, terdapat beberapa pendapat ulama tentang maksud mulhid:

Berkata Mujahid: Mulhid ialah orang yang menamakan Allah sebagai bapa dan berhala-berhala mereka sebagai tuhan-tuhan dan seumpamanya.

Berkata Ibnu Abbas makna (Yulhidun) ialah mendustai.

Berkata Qatadah: Maknanya mensyirikkan Allah.

Berkata al Khattabi: Salah dalam menamakan Allah dan menyimpang dari nama-Nya yang sebenar adalah Mulhid. (Al Bahr al Muhit fi al Tafsir jld 5 H: 232)

Maksud ayat ini, Allah Yang Maha Suci, bukan yang lain-Nya, mempunyai nama-nama yang sebaik-baiknya dan seagung-agungnya bagi menunjukkan kepada sebaik-baik dan semulia-mulia nama-Nya.

Merujuk kepada ayat-ayat di atas, kita boleh menyimpulkan bahawa nama-nama Allah, apatah lagi kalimah Allah itu sendiri sebagai nama yang khusus bagi Allah SWT bukanlah boleh digunakan sewenang-wenangnya dan tanpa batasan.

Pelbagai hujah lain yang mendokong larangan penggunaan kalimah Allah ini datangnya dari pelbagai sudut termasuk bahasa, falsafah dan seumpamanya.

Oleh kerana kesuntukan ruang, kami mengesyorkan dua tulisan yang memuatkan hujah-hujah ini secara lebih panjang.

Ia boleh didapati dengan mudah di Internet iaitu makalah bertajuk ‘Antara Nama dan Hakikat’ oleh Md. Asham Ahmad serta makalah ‘Hujah Menolak Penggunaan Kalimah Allah oleh Kristian’ oleh Mohd. Aizam Mas’od.

‘Bermain’

‘Bermain’ hujah dan dalil berkaitan isu ini sebenarnya bukanlah urusan orang awam dan mereka yang bukan berkeahlian.

Oleh itu kita harus bersyukur kerana sebenarnya sudah ada suatu keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam isu ini yang bertarikh 7 Mei 2008.

Keputusan fatwa ini jelas mengkhususkan penggunaan kalimah Allah bagi orang Islam. Kami dimaklumkan bahawa hanya empat negeri sahaja yang belum mewartakan keputusan fatwa ini sebagai fatwa rasmi negeri.

Perlu juga diingat bahawa terdapat beberapa keputusan Kabinet mengenai larangan yang sama.

Dari segi undang-undang perlembagaan dan sivil pula, Perkara 11(4) telah membolehkan negeri-negeri di Malaysia meluluskan Enakmen Kawalan Pengembangan Agama di kalangan orang Islam.

Undang-undang yang telah diluluskan di 10 negeri ini jelas melarang penggunaan kalimah Allah dan beberapa kalimah lain oleh agama selain Islam.

Kita tidak menafikan bahawa mungkin masih ada perbezaan pandangan di kalangan segelintir para ulama dan ilmuwan Islam tentang hal ini.

Namun bukankah hujah-hujah yang melarangnya seperti yang sebahagiannya kami nukilkan di sini menuntut kita lebih berhati-hati dan berwaspada dalam isu ini?

Apatah lagi jika diinsafi bahawa kita sekarang bukannya membicarakan isu-isu cabangan dalam agama yang lebih rendah kedudukannya.

Isu yang kita bahaskan ini melibatkan adab kita dengan Allah Rabbul Jalil.

Jika kita tidak berhati-hati kita boleh tergelincir hingga berlaku kurang beradab dan hormat kepada Allah, Tuhan sekelian alam.

Rasulullah SAW ada berpesan dalam suatu hadis yang dianggap antara hadis-hadis induk dalam Islam bahawa, Perkara yang Halal itu jelas dan perkara yang haram itu jelas. Dan di antara kedua-duanya ada perkara-perkara yang Syubhah yang tidak diketahui hakikatnya oleh kebanyakan manusia. Dan sesiapa yang menjauhi perkara Syubhah maka dia telah benar-benar menjaga kesucian agamanya dan maruahnya. Seumpama pengembala yang membawa ternaknya ke sempadan kawasan larangan. Sangat dibimbangi akan termasuk ke dalamnya. (riwayat Imam Bukhari dan selainnya serta termasuk dalam himpunan Hadis 40 oleh Imam al-Nawawi)

Lalu kita ingin tanyakan, bukankah dalam isu ini yang melibatkan hak dan adab dengan Allah SWT kita lebih-lebih wajar menjauhi batas-batas syubhat kalaupun ada di kalangan kita tidak meyakini pengharamannya secara pasti?

Berasaskan semangat ini dan berbekalkan fatwa, undang-undang dan keputusan yang sedia ada marilah kita sekalian umat Islam di Malaysia mempersatukan saf dalam mengambil pendirian dalam hal ini.

Maslahah ummah amat jelas memerlukan sikap ini sedangkan maslahah untuk membenarkan penggunaan kalimah Allah bagi agama yang lain dalam konteks Malaysia sangatlah kabur dan rapuh.

Umat Islam yang cintakan kesepaduan dan kekuatan ummah seharusnya mengenepikan perbezaan pandangan yang terlalu akademik dalam isu ini dan mengutamakan perkiraan maslahah ini.

Semoga Allah SWT membuka jalan penyelesaian dan keselamatan bagi kita semua dalam menghadapi persoalan ini. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: