Mari Kita Alunkan Sekali Lagi Lagu Ini

بسم الله الرحمن الرحيم

نحمده ونصلى على رسوله الكريم

Mari Kita Alunkan Sekali Lagi Lagu Ini

*

Rakan, mari kita alunkan lagu ini kembali

Lagu penghimpun hati-akal Melayu zaman bahri

Alunan mendidik raja ulama hulubalang anak negeri

Pembentuk tamadun beradab berbudi tinggi

Perkasa melahirkan Pasai Melaka Acheh dan Inderagiri

Ala’ al-Din Tun Perak, Bendahara Tun Tuah anak buah dalam negeri

Kita perdengarkan alunan hal akal budi

*

Perwira gagah perkasa sarat ilmu beramanah tinggi

Raja penaung umat, penyayang, umpama payung terdiri

Pembesar penjaga rakyat jelata dalam siasah ta’ terperi

Ulama makhdum maulana lebai pengasuh budi

Negeri selamat rakyat sejahtera agama tegak terdiri

*

Ahli sastera pujangga bermadah mendidik penyayang

Ilmuwan lunak bicara suara mengalun menerawang

Merentas abad menyeru insan berakal panjang

Menjaga maruah agama budi bicara jangan hilang

Raja pembesar rakyat jelata bawaan terbilang

Agar bangsa terus kekal dalam gemilang

*

Rakan, perdengarkan lagi sekali kiasan ibarat tinggi

Madah pujangga zaman beradab harum semerbak bak setanggi

Bahasa lunak indah makna dalam menusuk sanubari

Terelak bicara kasar makian bising kaum tak berbudi

Yang hanya memandang wang dan bangunan tinggi

Tak terkawal maruah bangsa kekuatan boleh pergi

*

Rakan, perdengarkan kata setia, dalam kebenaran

Perlambangan dalam Fansuri di Barus dengan kiasan

Nurud-Din al-Raniri wacana hukum gandingan ma’rifatul-adyan

Laut bicara wahyu dari ‘Abdul Rauf dalam huraian

Penghimpun wacana sepadu ‘Abd al-Samad dalam penjelasan

Syaikh Ahmad dalam hukum, pegangan dan kemajuan

*

Keperkasaan kesetiaan Tun Tuah dalam negeri

Mempertahan umat raja institusi seterupun ngeri

Bersama bendahara mahir siasah bijak bistari

Tamadun bangsa selamat terkawal lagi berseri

Hilang, malang bila dimusnah khianat si Feringgi

Mendendam memusnah raja lagi anak negeri

Rakan, peringatkan kepadaku wacana bijak bistari ini

Bicara Tun Perak, Tun Mutahir, siasah penyelamat kini

Matang hatta mendidik raja berbudi tinggi

Pelaksana keadilan memayungi rakyat dalam negeri

Berganding sama maulana makhdum bijak bistari

Seteru datang tak terlintas menyerang negeri

*

Perdengarkan lagi bicara kebenaran kesetiaan kasih sayang

Dari kisah indah pemberi pengajaran agar ta’ hilang

Bahasa indah dalam pengucapan bersinar umpama bintang

Memandu anak bangsa berupaya terus terbilang

Pengingat hati-akal seperti si haus tandus di padang

Supaya terjaga maruah bangsa nama nenek moyang

*

Rakan, apa itu ma’rifat wali sembilan?

Ampuh rohani mendepani ancaman zaman?

Masih itu diperlukan bagi mendepani globalisasi zaman

Terpandu bersama nilai dan keyakinan

Bersama harga diri kesejahteraan dan kebenaran

Erat kerjasama anak Hawa dan Adam dalam keturunan

*

Rakan perdengarkan lagu merdu bicara Sunni

Jambatan keemasan rohani ilmu alam Islami

Menghubung Dunia Melayu dan Wacana Sunni

Sarwajagat terbilang di medan ilmu Islami

Menautkan hubungan Muslim dunia Melayu masakini

Rumpun Melayu Islami bercantum kembali

*

Mari kita perkasakan kembali wacana kebenaran ini

Kita cantum kembali fikrah berkecai menyimpang kini

Nan terubah dari panduan sarwajagat wacana Sunni

Kembali ke paksi intelektuil asal kita sejak zaman bahri

Kita menangkan kebenaran Qurani mendepani masakini

Menguat kembali asas tamadun kita sekarang ini

*

Kita perteguhkan benteng intelektuil rohanian iman

Membina kekuatan kembali mendepani kemelut pegangan

Menggabung ilmu syarie dengan pengetahuan zaman moden

Penuh kebijaksanaan dalam kerangka pendoman

Sunni dalam pandangan mahir masakini berketrampilan

Memancar kembali peradaban dengan izin Tuhan.

*

*

Gubahan Lebai Kembara Dunia Melayu

Muhammad ‘Uthman El-Muhammady di UKM sempena Seminar Antarabangsa sastera Melayu ke VIII pada 6 Julai 2004.

*Bait-bait tambahan sempena seminar reformasi pemikiran anjuran YADIM di Bandung pada 18 Oktober 2008 di Hotel Savoy Homann, Bandung.

Ini bertujuan supaya kerangka intelektuil -rohaniah arusperdana itu diperteguhkan semula.Amin.

12 Zulkaedah 1429/10 Nov  2008

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: