Signifikan Ulama Kelantan Dalam Konteks Nusantara

بسم الله الرحمن الرحيم

نحمده ونصلى على رسوله الكريم

Signifikan Ulama Kelantan Dalam Konteks Nusantara[1]

Oleh:

Muhammad ‘Uthman El-Muhammady[2]

Signifikan mereka:

Signifikan para ulama ini boleh dilihat dari segi apa yang telah berlaku dalam masyarakat dan sejarah, dalam pandangan hidup orang ramai dan amalan mereka, secara peribadi dan kolektif, dalam kiraan jangka pendek dan juga jangka panjang.

Dalam sejarah nampaknya signifikan mereka adalah dalam penerusan wacana arusperdana Islam yang memberi huraian dan pegangan tentang Tuhan, alam, manusia dan alam yang kekal abadi-serta hubungan antara kesemuanya itu dengan manusia dan manusia dengan semua itu, berpaksikan kepada tauhid; mereka menegaskan tugas manusia sebagai khalifah dan hamba Allah dan alam abadi tempat kesudahan yang menentukan kebahagiaan yang hakiki. Mereka yang memberi kesedaran supaya manusia tidak derhaka kepada Tuhan dan taat lepada aturan-aturan Syaraknya, juga berakhlak dengan akhlak yang mulia dalam hubungan dengan manusia, sesama Islam dan dengan mereka yang bukan Islam. Juga mereka mengajarkan kemuliaan ilmu sama ada ilmu syariyyah dan juga ilmu akliah yang berguna. Mereka adalah ulama yang mengikut jejak anbia yang membekalkan kepada umat ilmu Ahlissunnah wa al-Jamaah dalam akidah tauhid, fiqh, tasawwuf, tafsir Quran dan qiraat, ilmu hadith, sejarah Islam, sirah, dan perubatan (al-tib), antara lainnya. Merekalah yang menjadikan pemikiran orang Melayu kekal dalam Ahlissunnah wal Jamaah dan tidak bersimpang siur, dan dalam kerangka kefahaman Islam yang sedemikian mereka boleh menerima perubahan yang mendatangkan kebaikan.

Inilah nampaknya kerangka kefahaman ilmu Islam yang menjadikan orang Melayu kekal dengan pemikiran arusperdananya. Setakat ini perkembangan lain adalah perkembangan perpinggiran yang tidak mampu menggugat kerangka pemikiran dan kefahaman yang teguh ini. Antara mereka yang diperhatikan dalam perbincangan ringkas ini ialah mereka yang berikutnya.

Wan ‘Ali Kutan: sekitar 1837-1913

Namanya Wan ‘Ali bin Haji ‘Abd al-Rahman bin ‘Abd al-Ghafur, dilahirkan di Kampong Kutan, tidak jauh dari Kota Bharu, Kelantan. Beliau ‘telah mencapai taraf seorang ulama’ yang menjadi tempat tumpuan para ‘ulama’ dan para pelajar yang mengunjungi Makkah untuk mempelajari agama, sama ada dari Kelantan, atau dari Jawi (Malaysia, Petani, Indonesia) umumnya. (‘Tokoh Ulama Semenanjung Melayu’, 1 hal.177).

Selepas berjaya dalam pelajarannya di Makkah beliau mengajar di Masjidil-Haram yang terkenal sebagai pusat pengetahuan itu; di situlah datangnya para pelajar dari Dunia Islam untuk menerima ilmu-ilmu Islam dalam pelbagai bidang; beliau dapat menguasai Bahasa Arab dan Bahasa Melayu sehingga boleh menterjemahkan kitab-kitab dan mengarangnya dalam Bahasa Melayu.

Oleh kerana kealimannya maka To’ Kenali datang belajar kepadanya; demikian juga dengan tokoh-tokoh seperti Tok Kemuning, Tok Bachok, Haji Muhammad bin Muhammad Said ((Dato’ Laksmana Kelantan) dan Haji Nik Mahmud bin Ismail (Dato’ Perdana Kelantan). Mereka ini kembali ke tanah air kemudiannya sebagai pelopor kemajuan , pembangunan dan penulisan di Kelantan kerana kemudiannya Dato’ Laksmana bersekali dengan Tok Kenali menerbitkan majalah ‘Pengasuh’ yang masih ada sampai sekarang. (Tokoh Ulama Semenanjung Melayu,1.178).

Antara karangan-karangan Tuan Wan Ali Kutan ialah ‘al-Jauharul-Mauhub’, berkenaan dengan pengajaran targhib wa tarhib, ‘Zuhratul-Murid’ berkenaan dengan tauhid, ‘Majma’ al-Qasa’id’ yang mengandungi kasidah-kasidah seperti al-burdah, oleh al-Busiri, al-qasidah oleh Abu Madyan al-Maghribi, termasuk qasidah ‘Abd al-Qadir al-Jilani antara lainnya,  dan ‘Lam’atul-Aurad’ yang terkenal dengan pelbagai wirid dan doa.    (ibid.)

To’ Wan ‘Ali Kutan adalah ‘…sebagai dynamo untuk melahirkan pengarang-pengarang Kelantan seperti Tok Kenali, Datok Laksmana, Dato’ Perdana dan lain-lain ulama’ (ibid.1.188). Pengaruh ilmu Islam dan cara berfikir dari pendidikan  di Haramayn berkembang di Kelantan dan sekitarnya melalui usaha beliau.

Syeikh Wan Ahmad Petani (al-Fatani) (1856-1908)

Nama beliau dimasukkan di sini kerana jasanya mendidikan generasi ulama Kelantan yang kemudiannya menaburkan bakti mereka di tanah air.Beliau ialah Syaikh atau Tok Guru Wan Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa al-Malayuwi al-Fatani, berasal dari keturunan Arab di Hadhramaut, disebut sebagai mempunyai keturunan  berkait dengan Saidina Abbas bin ‘Abd al-Muttalib, dilahirkan di Kampong Jambu Petani pada tahun 1272/1856. Selepas mempelajari ilmu-ilmu Islam di Petani beliau pergi ke Makkah dan mempelajari ilmu-ilmu Islam di sana  dengan ulama-ulama Arab yang terkenal dan  juga dengan ulama Dunia Melayu seperti Wan Ali Kutan.

Antara para gurunya di Mekah ialah Syeikh Ahmad bin Zaini Dahlan, Syeikh Muhammad bin Sulaiman (Syeikh Hasbullah),  Syeikh Nik Dir Petani, Syeikh Wan Muhammad Ali Kutan, dan Syeikh Nik Mat Kecil Petani.  (‘Tokoh Ulama Semenanjung Melayu’, 1.hal.140). Beliau termasuk putera Melayu yang melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar.

Antara keistimewaannya ialah beliau relajar ilmu kimia; juga ia mempelajari ilmu perubatan dibimbing oleh Syeikh al-Tabib  Abd al-Rahman al-Kabili seorang ahli perubatan yang berasal dari India. Penulis makalah ini ada membuat ulasan tentang bukunya ‘Tayyibul-Ihsan fi Tibbi’l-Insan’ dalam persidangan antarabangsa tentang sains di ISTAC tidak lama  sebelum ini.

Beliau ulama yang mentashihkan kitab-kitab Melayu antara lainnya seperti  Hidayatul-Salikin cetakan Mesir 1298/1881, Sabil al-Muhtadin cetakan Makkah dan Mesir 1300/1883 dan Sabil al-Muhtadin cetakan Istanbul, Turki 1302/1885 (‘Tokoh Ulama Semenanjung Melayu’ 1, 143),  selain daripada kitab-kitab lainnya  seperti ‘Sair al-Salikin’ itu.)

Antara keistimewaannya ialah beliau menggemari sejarah  seperti sejarah kemasukan Islam di negeri-negeri Melayu dan kepulauan Melayu, termasuk juga  sejarah perjuangan Petani.Beliau juga pakar dalam mengupas syair-syair. (ibid.1.143).Beliau menulis kitab-kitab dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Arab.  Beliaulah yang mendidik Dato’ Perdana Kelantan dan To’ Kenali, yang kemudiannya melahirkan pula ulama-ulama lain yang menjayakan pendidikan Islam  di Kelantan dan menimbulkan pengaruh-pengaruh sekitarnya.

Pondok Tok Kenali di Kubang Kerian, Kota Bharu Kelantan.(1870-1933).

Tok Kenali adalah ulama ulong Kelantan  sehingga namanya menjadi buah mulut Muslimin. Selepas mempelajari ilmu-ilmu Islam di Kelantan, beliau pergi ke Mekah dan Mesir. Beliau disayangi oleh gurunya Syeikh Ahmad al-Fatani yang terkenal sebagai tokoh yang mendidikan  sedemikian  ramai ulama di Dunia Melayu. Sewaktu beliau membuka pondoknya dan memberi pengajaran di Pondok Kenali,  murid-murid datrang dari pelbagai negeri untuk menerima asuhannya.

Dalam riwayat hidupnya dalam buku ‘Tokoh Ulama Semenanjung Melayu’ jilid 1 hal.259 disebutkan bahawa ‘Walaupun To’ Kenali tidak meninggalkan hasil-hasil karya yang besar dalam mana-mana bidang pengajian  Islamiah, namun jasa beliau yang paling besar ialah kejayaannya melahirkan satu angkatan ulama’ yang memegang obor pengajian tinggi Islam  bukan  [hanya] di negeri Kelantan dan Malaya (nama ‘Malaysia’ waktu itu) , malah di Thailand, Kemboja dan Indonesia di separuh pertama abad ke dua puluh’.Beliau juga telah berjaya membawa kemuncak pengajian tatabahasa Arab , nahu sarf, balaghah dan ‘arudh di dalam sistem pelajaran pondok di negeri ini (Kelantan).Keahlian beliau dalam bidang-bidang ini merupakan legenda di kalangan ahli-ahli ilmu di zaman itu.Dalam kebanyakan waktu beliau mengajar tanpa (memegang) kitab’. Inilah keahlian ulama Kelantan ini yang menyebabkan namanya harum semerbak di Dunia Melayu ini  sampai sekarang.Ini adalah selain daripada peribadinya sendiri yang terkenal dengan kezuhudan dan kewarakannya.

Berhubungan dengan jasanya ini jelas dalam kenyataan dalam biografinya dalam sumber yang sama (jilid 1 hal.366).Dinyatakan bahawa ‘Tuk Kenali sentiasa dirundingi oleh sahabatnya  Dato’ Perdana  (yakni Ketua Menteri Kelantan waktu itu) bukan sahaja dalam persoalan-persoalan agama , malah dalam persoalan-persoalan umum ‘ kerana disamping sifatnya sebagai ulama’ besar , beliau juga terkenal mempunyai pandangan-pandangan yang tajam dalam bidang kemasyarakatan dan siasah.Di zaman merekalah tertubuhnya Majlis Ugama Islam (Negeri Kelantan) (1915),  terbukanya Madrasah al-Muhammadiyyah (1917) dan terlancarnya majalah ‘Pengasuh’ (1918) .Seluruhnya masing-masing memain peranan yang penting dalam kemajuan umat Islam di Kelantan’Kalau dikirakan ‘pengaruh’nya maka ke tiga-tiga ‘institusi’ itu mengesankan pengaruh itu di luar daripada Kelantan, sebagaimana yang dikesankan daripada pengaruh To’ Kenali sendiri.(Huraian panjang berkenaan dengan kepentingan To’ Kenali dan jasanya ditulis oleh pengarang ini dalam Bahasa Inggeris dalam artikelnya ‘To’ Kenali (Muhammad Yusof) and Sunni Scholarship’ dalam ‘Monograph on Selected Malay Intellectuals’,ed.Mohamad @Md.Som Sujimon,  UIAM, 2003, hal.39-85, artikel yang paling panjang dalam Bahasa Inggeris tentang beliau)

Konsep pembaharuan yang dilaksanakan oleh ulama’ seperti Tok Kenali ini ialah pembaharuan dalam soal-soal kemasyarakatan dan pendidkikan yang berjalan dalam kerangka ilmu Ahlissunnah  wal-Jamaah dengan metodologinya; sebab itu perkembangan yang berlaku di Kelantan tidak menimbulkan ketegangan dalam pemikiran umat.

Tok Selehong (sekitar 1871-1935)

Beliau ialah Haji Abdul Rahman bin Haji Uthman bin Senik, yang kemudiannya terkenal dengan gelaran ‘Tok Selehong’. Selepas melanjutkan pelajarannya di Mekah dan mendapat pelajaran daripada ulama terkenal di sana, beliau kembali ke Kelantan dan membuka pondoknya sendiri.Beliau ulama yang mempunyai kemasyhuran kerana ilmu pengetahuannya yang disebarkan kepada para pelajarnya yang membina pondok-pondok mereka  di Kampong Selehor, Tumpat.Mereka datang dari Petani, Kemboja, Palembang, Jawa, Siak, dan negeri-negeri di Malaysia. Beliau ulama sezaman To’ Kenali yang paling terkenal. (Tokoh Ulama Semenanjong Melayu, 1, hal.293).

Pondok Haji Ali  Pulau Pisang (1899-1968) Jalan Semut Api, Kota Bharu, Kelantan :

Beliau mendapat pelajaran Islamnya di Kelantan kemudian di Makkah.Selepas beberapa lama menekuni pengajian beliau kembali ke Kelantan.Selepas mengajar di Pondok Kenali, Kubang Kerian, Kota Bharu Kelantan, Haji Ali membuka pondoknya di Pulau Pisang. Beliau terkenal sebagai pakar ilmu saraf dan nahu ; oleh kerana ia terkenal dengan  kealimannya dan kewarakannya maka ramai murid-murid yang mempelajari ilmu dengan beliau datang dari beberapa negeri seperti negeri-negeri Semenmenanjong misalnya dari Perak, Kedah, dan Kelantan, dan Negeri Sembilan, termasuk kemudiannya juga yang datang murid-murid dari Banjar, Sumatera, Brunei, dan  Kemboja (2.hal.171). Dengan kedatangan Jepun, kesulitan-kesulitan hidup menyebabkan murid-murid pulang ke kampong, dan pusat pengajiannya Madrasah al-Falah di Pulau Pisang menjadi kosong.  (2.171).

Antara murid-muridnya  yang muncul berkhidmat dalam masyarakat ialah seperti yang menjadi mufti (seperti Hj Ismail Yusoff akhirnya sebagai mufti Kelantan),  yang menjadi ilmuan dan pengarang serperti Dato’ Yusoff Zaky Yaacob (yang juga menjadi ketua pengarang majalah ‘Pengasuh’),  Haji Abdullah Nasution (yang menjadi pengarang tafsir Quran dan pengasas pondok di Kedah), Haji Yaacub bin Haji Hasan (yang menjadi setiausaha majlis fatwa Kelantan), Haji Abdul Wahid Sungai Udang Melaka yang menjadi pengasas Sekolah Arab Sungai Udang Melaka,  Haji Yaacub Ishak yang menjadi pengasas pondok Berangan, Tumpat, Kelantan, Ustaz Azhari Melor dan lain-lainnya yang menjadi pemimpin-pemimpin masyarakat dan pembawa ajaran agama dari pengajarannya.(jilid 2 hal 1755-175).

Pondok Bunut Payong:

Syeikh Bunut Payong  Abdullah Tahir( 1897-1961)

Pusat pengajian ini terkenal sebagai ‘al-Madrasah al-Ahmadiah Bunut Payong, Kota Bharu Kelantan’ , masyhur  sebagai ‘pusat pengajian pondok yang terbesar dan tertinggi di Kelantan’ (Tokoh Ulama Semenmanjong Melayu’ 2, hal.59);pada masa gemilangnya   terkumpul di sana murid-murid seramai 800 orang lebih kurangnya, yang datang dari pelbagai negeri seperti neger-negeri di Semenanjung, Indonesia, Kemboja, dan Thailand  (jld.2,hal. 59);  kawasannya dipenuhi dengan pondok-pondok sekitar 500 buah semuanya.

Antara factor-faktor kejayaan pondok itu ialah: disiplin yang rapi dan kemas, misalnya para pelajar tidak dibenarkan berambut panjang, berseluar, dan keluar merayau-rayau di malam hari.Gurunya Tuan Haji  Abdullah Tahir  dengan dibantu olehg adindanya Tuan Haji Mokhtar tidak jemu-jemu menggunakan masa untuk mengajar agama menggunakan teks-teks klasik Islam.(2.hal.59). Ramai murid-muridnya mempelajari agama tingkat tinggi seperti Haji Bahauddin Sumatra , Haji Othman Perlis, (Pak Man Bukit Besar Kedah), Man Pahang, Haji Husain Rahimi (Kelantan), Mat Junoh Binjai, Kota Bharu Kelantan, dan lainnya.

Jasa Pondok Bunut Payong boleh dilihat daripada senarai para ulama terbitannya  seperti Haji Yahya Joned Kedah, Tuan Guru Haji Abdullah Nasution, Kedah,    Tuan Guru Haji Othman Haji Yunus Bukit Besar Kedah, Tuan Guru Abdul Wahid Melaka, Tuan Guru Haji Hasanuddin , Temerloh, Tuan Guru Haji Abdul Rahman bin Ibrahim , Temerloh, Pahang,  dan seterusnya termasuk Tuan Guru Haji Md.Salleh bin Hj.Haron, Kemboja, Tuan Guru Haji ‘Abdul Aziz Pasir Tumboh (yang membukan pondoknya sendiri di Pasir Tumboh), Tuan Guru Hj Mustafa Pasir Tumboh (dua beradek membukan pondok Pasir Tumboh); demikian seterusnya.(ibid.2, 61).

Ini hanya berupa beberapa nama yang sangat sedikit untuk menunjukkan semaraknya pengajian Islam di Kelantan dan berkembang pengaruhnya di Nusantara. Buku penting tentang ulama’ –Tokoh Ulama Semenanjung Melayu jilid 1 dan 2 – mencatit mereka ini dengan menunjukkan jasa-jasa  dan penulisan mereka.

Majalah Pengasuh:

Majalah ‘Pengasuh’ yang diasaskan oleh Tok Kenali tahun 1918 itu merupakan satu daripada usaha-usaha besar dalam pengembangan pemikiran Islam di Kelantan,  yang membawa aliran pembaharuan dalam kerangka fahaman ilmu Ahlissunnah wal-Jamaah.Ia mahu supaya pengetahuan Islam dalam ajaran it terus kekal dan berjalan berserta dengan pembaharuan-pembaharuan pendidikan dan kemasyarakatan berlaku di dalamnya.Makalah-makalah di dalamnya bukan  sahaja mengandungi pengajaran-pengajaran dalam ilmu-ilmu Islam, bahkan ia mengandungi saranan-saranan yang berguna dalam pengetahuan berkenaan dengan ilmu-ilmu umumnya. Ia  sedemikian terkedepannya sehingga ada artikel-artikel  dari Ensiklopedia Britannica yang diterjemahkan di dalamnya(edisi 1911 Brit. Itu dibeli  waktu itu dengan harga 480 rial  waktu itu); ada di dalamnya antaranya artikel –artikel yang bersifat  teknikal.Sampai sekarang  majalah ini terus hidup dan  memberi khidmat baktinya kepada para pembaca, walaupun kadang-kadang isi kandungannya dan kualitinya boleh dipertingkatkan lagi untuk menjayakan misinya yang berguna itu. Ia majalah yang berdiri untuk menjayakan ajaran dahulu yang kekal dan sahih dengan pembaharuan yang mendatangkan faedah kepada umat. Ia melambangkan faedah yang dimunafaatkan daripada gerakan  seperti yang  dilakukan  oleh Syeikh Muhammad ‘Abduh di Mesir dengan apa yang dipertahankan oleh Syeikh Yusuf Nabhani  di Beirut.Dan memang Syeikh Ahmad Fatani dan Tok Kenali menyedari kebaikan-kebaikan daripada usaha-usaha yang dilakukan  itu. Sebab itu pembaharuan yang berlaku di Kelantan adalah pembaharuan yang tidak sama berbanding dengan apa yang berlaku di tempat-tempat lain dengan gerakan reformasinya  yang mencetuskan kontroversi Kaum-Tua-Kaum-Muda itu.

Perubatan Tradisional

Nampaknya setakat sekarang walaupun dalam perubatan tradisional nama Kelantan adalah nama yang tertonjol dalam bidang ini. Antara maklumat-maklumat yang membuktikan hakikat ini ialah apa yang berikut:

Buku ‘The Royal Healer The Legacy of Nil Abdul Rahman bin Nik Dir of Kelantan’ diedit oleh Roland Werner, terbitan University of Malaya Press, tahun 2002.  Di dalamnya dibentangkan penawar-penawar daripada pelbagai jenis herba untuk pelbagai penyakit. Bersekali  dengan teks dan nota-notanya buku ini setebal  sekitar 700 halaman. Ertinya warisan ini dipandang sebagai sesuatu yang sangat berguna.Dengan ini ia mencapai tahap pengakuan antarabangsa.

Antaranya lagi ialah buku ‘Malay Poison and Charm Cures’ oleh John D.Gimlette, terbitan tahun 1915 di Oxford University Press;  Gimlette ini adalah pengarah hospital Kota Bharu Kelantan yang mula-mula  sekali. Beliau mencatit ilmu-ilmu para dukun dan bomoh Kelantan.

Antaranya juga ialah buku ‘Warisan Pertubatan Melayu’ diselenggarakan oleh A.Samad Ahmad, terbitan DBP tahun 1986. Buku itu asalnya ditulis oleh Muhammad Saleh bin Ahmad, dari Penambang, Kota Bharu, Kelantan.Tarikh asal bukunya ialah tahun 1288, dalam buku itu Kelantan disebut sebagai Kelantan Darussalam; yang menyebut Kelantan sebagai Darul Naim, sehingga terkenal dengan nama itu sampai sekarang, ialah Syeikh Wan Muhammad yang menjadi mufti Kelantan selepas daripada Haji Wan Musa, tahun 1915. Nampaknya  rujukan tentang perubatan tradisional adalah Kelantan  walaupun British masuk lewat ke dalam negeri ini. (maklumat-maklumat di atas tentang buku-buku perubatan ini didapati dengan kerjasama rakan baik kita Abdullah Zaidi Hasan, jazahu’Llahu khairal-jaza’,   pada 30  Mei 2010).

Majlis Ugama Islam Kelantan.

Sikap pembaharuan di Kelantan terbayang dalam usaha-usaha Majlis Ugama Islam Kelantan yang menggabugkan antara dua aliran itu.Dengan itu kita dapati Majlis mengadakan pendidikan  sehingga ada pengajaran bahasa Inggeris dalam  sekolahnya –Madrasah al-Muhammadiyyah- dan mereka yang mahir dalam bahasa Inggeris pada zaman itu bila mereka menyambung pelajaran di MCKK Kuala Kangsar, kemahiran mereka itu mengatasi kemahiran mereka di MCKK itu. Demikian pula kita boleh ingatkan kembali bahawa usaha Majlis Ugama Islam Kelantan mengadakan kelas-kelas bahasa Inggeris di sekolahnya mendahulu penubuhan Ismail  English School itu, yang kemudiannya disebut sebagai Sultan Ismail  College.

(Tentang sejarah dan fungsi Majlis Ugama Islam Kelantan lihat buku yang baharu dilancarkan MAIK Peranannya Dalam Bidang Keagamaan, Persekolahan dan penerbitan di Kelantan Sehingga  1990 oleh Ustaz Abdul Razak Mahmud terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka tahun 2010).

Ulama Kelantan Yang Berdakwah di Kemboja

Ada maklumat yang dicatitkan berkenaan dengan beberapa orang pendakwah Kelantan yang datang ke Kemboja untuk menyampaikan ajaran Islam kepada para penduduk Muslimin dalam negeri itu.(Lihat ‘Guru-Guru Agama Kelantan yang berdakwah di Kemboja’ karangan Ustaz Abdullah NAKULA dalam ‘Tokoh Ulama Semenanjung Melayu’, jilid 1 hal.625-641  yang menyebut 25 pendakwah lelaki dan 7 orang pendakwah wanita. Antara mereka itu ialah Ungku Omar yang berketurunan Sayyid, diutus oleh Raja  Ong Tpuo (Po Rome)  pada akhir abad ke 16 dan bahatgian awal abad ke 17 untuk menyelidik hal Orang Cham di Kemboja dan mengajar agama kepada mereka. Ia berasal dari Kelantan  dan datang ke Kemboja melalui Champa.Makamnya dianggap keramat sehingga sekarang.(Tokoh Ulama Semenanjung Melayu, 1. hal.627).

Laksmana Hj Abdul Hamid yang digelarkan oleh orang Cham sebagai Datuk Bamso; terkenal dalam Kompong Brek wilayah Kompong Cham. Menurut riwayat tradisi di sana ia bekas Laksamana  kerajaan Jembal, Kelantan, yang mengembara ke Kemboja untuk mengajar agama.Mungkin ia bepindah ke Kompong Cham bersama Po Ibrahim , Raja Champa, yang berangkat ke Kelantan, dan berangkat bersama rakyatnya dari Kelantan, tahun 1687 ke Kemboja. (ibid.1.627).

Laksmana Hj Omar (adinda Laksmana Hj Abdul Hamid) , makamnya berada di Kompong Brek Bak juga, Kira-kira  400 meter dari Sungai Mekong.Menurut riwayat tradisi Laksmana Kelantan ini mengundurkan diri ke tempat abangnya selepas kekalahan perang melawan Siam , mungkin sewaktu  membantu Legor dalam melawan Siam.Waktu di Kemboja beliau bertugas sedbagai guru agama.(ibid.1.627-628).

Tok Guru Haji Hasan bin Abdullah –lahir di Legor (Nakhon Si Thammarat) .Sewaktu kecil dibawa oleh keluarganya berpindah ke Kelantan, lalu beliau menetap di Kelantan. Tahun 1849 beliau pergi bersama isterinya ke Kemboja ; di Kemboja ia terkenal dengan nama Ong Hasan atau Ong San. (ibid.1.628).

Tok Guru Syeikh Ismail  bin Syeikh  Husain dari Kg Bunut, Pasir Puteh, Kelantran; bertolak ke Kemboja sekitar tahun 1860 dan tinggal di kota Kampot, tempat tinggalnya Abdullah atau Awang Hasan tinggal pada permulaan sampainya di Kemboja tahun 1849.Di Kampot Syeikh Ismail mengajar agama dan biasanya ia suka beramal dengan intensifnya.Syeikh Ismail dan Awang Hasan mempunyai sejarah yang tersendiri (ibid.1.629).

Tuan Guru Haji Wan Saleh bin Haji Omar dari Kampong Kubang Kawah, Pasir Mas, Kelantan, sewaktu To’ Kenali dilahirkan ia berusia 45 tahun, ertinya ia dilahirkan tahun 1825. Di kemboja ia terkenal sebagai To’ Guru Tok Bebulu , tinggal di Chemnik, wilayah Kratie. Ia terkenal alim dan keramat. Cucu-cicitnya menjadi orang-orang alim dan ahli agama  di kemboja. Keturunan Hj Wan Salleh yang ada di Kelantan dan terkenal ialah To’ Wali Hasan , Pondok Lati, Pasir Mas, Kelantan. (ibid.1. 629-630). Ramai lagi mereka yang berjasa dalam dakwah ini seperti Tuan Guru Hj Wan Ngah bin Wan Mat Yunus, Tok Guru Syeikh  Ismail bin Muhammad Zain  dari Binjai Manis , Ketereh, Kota Bharu, Kelantan, Tok Guru Haji Wan Ismail bin Wan Musa, Tok Guru Haji Wan Ahmad bin Wan Ismail  dari Selising, Pasir Puteh,Kelantan,  sehinggalah kepada 25 orang guru dari Kelantan yang menyampaikan dakwah di sana.

Antara  ulama Kelantan yang menjadi mufti di luar Kelantan ialah:

Haji Othman bin Hj Senik –mufti kerajaan Pahang

Haji Wan Muhammad bin Wan Husain-mufti kerajaan Perak

Dato’  Haji Abdullah bin Musa –mufti kerajaan Johor

Haji Ismail bin Haji Abdul Majid-mufti Kerajaan Pontianak , Indonesia .

Haji Abdul Rahman bin Husain-mufti kerajaan Mempawah-Indonesia.

Hajhi Hasbullah bin Yusuf –pemangku mufti negeri Sabah , Malaysia Timur.

Dato’ Haji Ahmad bin Haji Idris-mufti kerajaan Sabah

Haji Said bin Haji Ibrahim-mufti Sabah

Dato’ Haji Ahmad Shahir bin Haji Daud-mufti Pahang  (maklumat tentang mereka ada dalam buku ‘Tokoh Ulama Semenanjung Melayu’ 1 hal.644-680.)

Beberapa Persoalan Tentang Jalan Ke Hadapan

Antaranya ialah masalah usaha yang serius meneruskan wacana arusperdana yang diajarkan oleh ulama ini perlu diteruskan kerana keabsahannya yang paling tinggi dalam umat ini kerana ia adalah dari wacana Ahlissunnah wal-jamaah.Ia adalah akidah,  epistemologi dan kerangka peradaban. Persoalan yang satu lagi ialah bagaimana mempertahankan kerangka wacana ini bila ia berdepan dengan pelbagai aliran murahan, yang disangka mahal, tetapi bila diselidiki ianya bukan se’mahal’ itu.Ia memerlukan kerjasama yang erat antara mereka yang ahli dalam ilmu ulama ini dan mereka yang juga mengetahui perkembangan-perkembangan yang berlaku.Dengan itu pilihan dibuat secara bertanggungjkawab bukan  secara sentimental.Seperkara lagi ialah ada keperluan yang mendesak supaya disatupadukan  golongan yang mempelajari Islam  secara tradisional dengan mereka yang terdedah kepada cara-cara baharu tetapi yang memahami kepentingan aliran yang dahulu itu. Kerjasama yang erat dan berterusan mesti ada  antara dua golongan ini supaya wacana Islam arusperdana tidak terjejas dan dipertahankan keabsahannya dari segi kerohani dan intelektuil.Seperkara lagi ialah ada keperluan yang mendesak untuk menjana kesedaran dan yakin diri intelektuil dan rohaniah terhadap warisan wacana intekektuil ini. Kalau penyakit rasa rendah diri ini tidak dihadapi dengan baik dan berkesan ia menimbulkan kesan yang merugikan umat Islam sendiri. Bersekali dengan itu timbul keperluan mendesak untuk menyebarluaskan wacana ulama ini-yang arusperdana ini-supaya difahami, diyakini, dan ia menjadi sebagai wahana menyatupadukan umat, antara umat dengan ahli-ahlinya yang pelbagai itu, dan umat dengan ulil-amri dengan institusi-institusi yang berkaitan, dalam rangka al-din al-nasihah yang tulin dan murni, serta mengelak daripada budaya yang merugikan, jangka pendek dan jangka panjangnya, iaitu budaya ‘anti-establishment’  yang terpengaruh dengan nilai-nilai liberal Barat tetapi yang dibungkus wacananya dengan ayat-ayat Quran dan hadith-hadith nabi di luar daripada konteks epistemologi Sunni dan kaedahnya, tanpa usul pereksa yang cermat, dan nilai-nilai ala Khawarij klasik tanpa disedari, kerana ia menyelinap masuk  dengan cara yang halus dalam wacana-wacana  tokoh-tokoh tertentu. Ini perlu diselesaikan dengan berkesan demi keselamatan umat sesungguhnya. Demikian juga keperluan mendesak timbul supaya para ulama dan ilmuan berkerjasama dalam Islamisasi pengetahuan dalam erti sesunggunya. Keperluan juga timbul supaya budaya intelektuil ‘al-din al-nasihah’ dihidupkan dengan jayanya, berserta dengan adab-adab dalam berikhtilaf sebagaimana yang ditunjukkan contohnya oleh para imam yang muktabar dalam umat ini. Dengan itu umat tidak menjadi mangsa kebiadabannya sendiri.Allahumma sallimna wal-Muslimin.

Kesimpulan:

Ulama Kelantan sebagai   golongan yang mewarisi ilmu-ilmu Islam berjasa besar di negeri Kelantan khasnya, Malaysia dan Nusantara amnya. Ini boleh dilihat dari segi mereka mengembangkan ilmu-ilmu Islam, mentarbiah golongan ulama yang menjalankan dakwah dan penulisan,  membina peribadi insan yang melaksanakan tugas-tugas resmi seperti menjawat jawatan-jawatan mufti dan kadhi  serta guru, juga mereka menimbulkan kesedaran am masyarakat terhadap Islam dan mengadakan institusi-institusi Islam di  mana mereka berada. Memang  selanjutnya,   dari segi asasinya ulama Kelantan membekalkan umat dengan sistem dan kefahaman ilmu Ahlissunnah  wal Jamaah dan kaedahnya yang diajar oleh mereka yang memberi kepada generasi ini kerangka ilmu yang paling utoh yang dijamin kebenaran dan keteguhannya oleh hadith nabi salla’Llahu ‘alaihi wa sallam. Ia jambatan keemasan yang menyambungkan kita dengan wacana Sunni yang maha kaya tanpa tara itu.Mereka terlibat juga dalam beberapa usaha yang meniupkan semangat kemerdekaan dan akhirnya membuahkan kemerdekaan bangsa ini (Antaranya ini boleh dilihat dalam isi kandungan majalah ‘Pengasuh’ antara lainnya). Tentang wacana yang diajarkan mereka maka kita boleh camkan bahawa ia membolehkan kita mendepani cabaran-cabaran semasa  dan mencari penyelesaian dalam kerangkanya tanpa terkeluar daripada kerangka yang paling tinggi keabsahannya itu. Sebenarnya ini kerangka peradaban Islam yang berjalan  selama ini dalam sejarahnya.Kalau  dicerakinkan kerangka ini ia adalah kerangka akidah, kerangka kefahaman ilmu yang menyeleluruh  serta kerangka peradaban. Ia memberi beberapa perkara asasi: kebenaran agama  yang terjamin,  sifat  keseragaman wacana yang menyelamatkan,   ia asas peradaban yang teguh tidak berganjak, ia asas yang menjamin kestablian  masyarakat, budaya dan peradaban.Atas asas yang teguh inilah kita teruskan usaha membina tamadun khaira ummatin ukhrijat linnas. Warisan rohani dan intelektuil yang mereka warisi dan bentangkan kepada masyarakat, bila difahami dengan jelas dean tepat serta  dengan kejernihan akal dan jiwa akan memberi kekuatan rohani dan intelektuil bagi mendepani apa jenis pemikiran sekalipun dengan izin Ilahi. Kerja meneruskasn warisan ini dan mengembangkan terletak atas bahu generasi masakini dan akandatang.Inilah kekuatan hakiki umat ini yang menjamin keselamatannya dalam segala segi.Amin.  Wallahu a’lam.

Sumber-sumber :

Abdullah Zaidi Hasan ‘Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani:Pemikir Agung Melayu’ dalam Dunia Melayu dan Islam, ed. Kalthum Ibrahim et al, ATMA Universiti Kebangsaan, Bangi, 2009.

Abdul Razak Mahmud, MAIK Peranannya Dalam Bidang Keagamaan, Persekolahan, Dan Penerbitan Di Kelantan Sehingga 1990, Dewan Bahasa dan Pustakan, 2010.

Abdul Razak Mahmud  et al, Bungai Rampai Persuratan Melayu Wilayah Timur,  Sejarah Pemikiran dan Karya, Pustaka Aman Press, Kota Bharu, Kelantan, 2009.Antaranya

mengandungi artikel ‘Syeikh Daud  al-Fatani dan Beberapa Karya Utamanya’ oleh Muhammad Uthman El-Muhammady, hal.36-57; dan karangannya juga ‘Ajaran tasawwuf Tuan Tabal Dalam Jala’ al-Qulub’, hal.89-115.

Ahmad Fathi al-Fatani, Ulama Besar dari Fatani, Majlis Ugama Islam Kelantan, cetakan pertama edisi ke 2, 2009.

Muhammad Uthman El-Muhammady, ‘To’ Kenali (Muhammad Yusof),’ dalam Monograph on Selected Malay Intellectuals, IIUM, 2003, hal.39-85.

Muhammad Uthman El-Muhyammady, ‘Some Epistemological Considerations of Malay Traditional Discourse Towards Promoting Scientific Culture and Knowledge’ dalam Proceedings  Islamic Science and the Contemporary World, Islamic Science in Contemporary Education, eds.Baharuddin  Ahmad dan kata pengantar oleh Ibrahim M.Zein,  ISTAC IIUM, 2008, hal.205-215.

Ulama Semenanjung 1  ed.Ismail Che Daud, Majlis Ugama Islam Kelantan,edisi ke 3 2001;

Ulama Semenanjung Melayu 2 ed.Ismail Che Daud, Majlis Ugama Islam Kelantan, tahun 1996

[1] Untuk dibentangkan sebagai ucaputama dalam seminar anjuran UiTM Macang di Grand Hotel Riverview  pada 31-05-10 8.30 pagi.

2] Fellow Amat Utama Akademik ISTAC IIUM, ahli lembaga IIM, dan prof. ajung Universiti Petronas Tronoh, Perak.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: