Kewajiban-kewajiban lahiriah puasa

Adapun kewajiban lahiriah puasa enam perkara:

1.   Meneliti datangnya permulaan bulan Ramadhan dengan rukyah, iaitu dengan melihat anak bulan. Jika tiada terlihat, maka genapkanlah bulan Sya’ban 30 hari. Kami maksudkan, rukyah atau melihat itu, mestilah melalui ilmu pengetahuan dan ini dapat disahkan dengan penyaksian seorang adil (orang yang terkenal lurus perjalanannya dan tiada diragui boleh berbohong). Ini kalau penyaksian maksudnya Ramadhan.

Tetapi untuk penyaksian permulaan Syawal atau anak bulan Syawwal, dihukumkan tidak sah, melainkan dengan dua orang saksi adil, mengambil hukum yang lebih berat untuk menyempurnakan ibadat puasa. Barangsiapa mendengar seorang adil dan ia percaya dengan yakin apa yang disaksikannya tentang anak bulan itu tanpa apa-apa keraguan lagi bagi dirinya, maka wajiblah dia berpuasa meskipun kadhi atau hakim tiada menghukumkan sah penyaksiannya itu.

2.   Niat puasa pada setiap malam – mestilah dia berniat yang khas dan tetap bagi kefardhuan puasa kerana Allah Ta’ala.

3.   Menahan diri dari menyampaikan sesuatu benda ke dalam perutnya dengan sengaja tidak terlupakan dirinya sedang berpuasa. Kalau dilakukan yang demikian, maka rosaklah puasanya; iaitu dengan makan atau minum, memasukkan sesuatu melalui lubang hidung atau dubur.

Tidak batal dengan bersuntik, berbekam, bercelak, memasukkan pembersih ke dalam telinga atau melalui zakar ataupun apa yang sampai ke perut tanpa disengajakan seperti debu jalan, ataupun seekor lalat termasuk ke dalam perutnya. Kalau air masuk ke dalam perut disebabkan berkumur-kumur tidak membatalkan puasa, kecuali jika dia terlalu berlebihan-lebihan dalam berkumur-kumur, maka perbuatan serupa membatalkan disebabkan kecuaian.

Itulah yang dimaksudkan dengan perkataan dengan sengaja. Adapun perkataan tidak terlupa – dimaksudkan supaya ia terselamat dari lupa, kiranya ia terlupa, maka tidaklah dikira batal puasanya.

4.   Menahan diri dari persetubuhan tetapi kiranya dia bersetubuh dengan terlupa maka tiadalah dikira telah berbuka. Kiranya dia bersetubuh di sebelah malam, ataupun dia bermimpi, sehingga dia menjadi seorang junub di sebelah paginya, maka tiadalah ia dikirakan berbuka.

5.   Menahan diri dari sengaja mengeluarkan air mani dengan tujuan untuk bersetubuh ataupun tidak bersetubuh, sebab kelakuan yang demikian itu adalah membatalkan puasa. Bercium-ciuman dengan isteri atau bercumbu-cumbu dengannya tiada membatalkan puasa selagi tiada mengeluarkan mani, tetapi perbuatan semacam itu adalah makruh hukumnya kecuali jika dia seorang yang sudah tua, atau orang yang dapat menguasai dirinya (tidak takut keluar mani) maka bolehlah dia bercium-ciuman. Walau bagaimanapun meninggalkan kelakuan serupa ini adalah utama.

6.   Menahan diri dari muntah, sebab sengaja mengeluarkan muntah dari perutnya membatalkan puasa tetapi kalau termuntah dengan tidak sengaja, maka tidaklah batal puasanya. Dan sekiranya tertelan kahak dari kerongkongnya atau dari dadanya, tiadalah batal puasanya, kerana keringanan sebab tidak dapat ditahan, melainkan kalau dia menelannya sesudah kahak itu sampai ditengah mulutnya maka hal itu akan membatalkan puasanya.

Bezanya Puasa Dengan Ibadat Lain

Nyatalah orang yang berpuasa itu akan diberikan balasan secukup-cukupnya dan dilipat-gandakan pahalanya tanpa dapat diragukan lagi atau diperhitungkan banyaknya. Sudah sewajarnyalah ia menerima balasan yang begitu besar, sebab puasa itu adalah dikerjakan kerana Allah semata-mata dan ditujukan kepadaNya, tiada lain.

Walaupun ibadat-ibadat yang lain itu pun ditujukan kepada Allah jua, tetapi ada dua perbedaannya:

  1. Bahawasanya puasa itu adalah menahan diri dan meninggalkan hawa nafsu, dan ia adalah rahsia di dalam diri seseorang dan bukan merupakan amalan yang boleh dilihat. Semua ketaatan dibuat di mata ramai dan dapat diketahui, melainkan puasa saja, tiada yang melihatnya selain Allah azzawajalla. Ia adalah suatu amalan dalam kebatinan yang disertai dengan kesabaran semata-mata.
  2. Bahawasanya puasa itu merupakan suatu jalan penentangan terhadap musuh Allah azzawajalla, sebab jalan syaitan itu, ialah melalui syahwat dan hawa nafsu yang meminta banyak makan dan minum. Jadi dalam menekan dan menentang kemahuan musuh Allah itu adalah suatu pertolongan kepada Allah Ta’ala sedangkan pertolongan Allah kepada kita itu tergantung atas pertolongan dari Allah Ta’ala.

Allah telah berfirman:

“Jika kamu sekalian menolong Allah (menurut perintah Allah), tentulah Allah akan menolong kamu dan akan menetapkan kaki kamu (kedudukan kamu).” (Muhammad: 7)

Dengan jalan inilah puasa itu menjadi pintu bagi segala peribadatan dan perlindungan dari hawa nafsu. Jika kita telah mengetahui keutamaannya begitu besar sekali, maka hendaklah kita menuntut syarat-syaratnya yang lahir dan batin dengan mempelajari rukun-rukunnya, sunat-sunatnya dan syarat-syarat kebatinannya.

Kitab Bimbingan Mukminin – Puasa

dipetik dari Kitab Mau’izhatul Mukminin (Bimbingan Mukminin) karangan  Al-Imam Al Ghazali bab Kitab Rahsia Puasa

[insha Allah sepanjang bulan Ramadan ini akan dipetik beberapa perbincangan dalam bab puasa dari kitab tersebut]

sumber: http://bimbinganmukmin.wordpress.com/2010/02/13/kitab-rahsia-puasa-pendahuluan/

Sebesar-besar nikmat yang pernah dikurniakan Allah ke atas hamba-hambaNya ialah dengan menjadikan puasa itu benteng bagi para wali dan perlindungan bagi mereka dari segala tipu daya syaitan dan angan-angannya, sebagaimana Rasulullah s.a.w. pernah bersabda:

“Puasa itu separuh kesabaran”

Allah telah berfirman:

“Hanyasanya orang-orang yang sabar itu dipenuhi pahalanya tanpa perhitungan.”   (az-Zumar: 10)

Kalau begitu pahalanya kesabaran itu telah melampaui batas-batas perkiraan dan perhitungan dan memadailah kalau kita mengetahui keutamaannya dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang berikut:

Demi Allah yang jiwaku berada di dalam genggamanNya, bahawa bau mulut seorang yang berpuasa adalah lebih harum pada sisi Allah dari bau-bauan minyak kasturi. Allah azzawajalla berkata: Sesungguhnya ia telah meninggalkan syahwatnya, makannya dan minumannya kerana Aku. Puasa itu (dilakukan) kerana Aku, dan Akulah yang akan memberikan balasannya sendiri.”

Orang yang berpuasa itu dijanjikan Allah akan bertemu denganNya untuk menerima balasan puasanya itu.

Rasulullah s.a.w telah bersabda:

“Orang yang berpuasa itu mempunyai dua kegembiraan: Kegembiraan yang pertama ketika masa berbuka puasanya, dan kegembiraan yang lain ialah ketika masa menemui Tuhannya.”

Dalam penafsiran makna ayat yang berikut:

“Tiada seorang pun yang mengetahui apa-apa yang telah disembunyikan daripada mereka itu dari cahaya mata, iaitu sebagai pembalasan terhadap segala yang mereka kerjakan.” (as-Sajdah:17)

Yakni amalan yang mereka kerjakan itu ialah berpuasa sebab Allah berfirman pula pada ayat yang lain:

“Hanyasanya orang-orang yang bersabar itu dipenuhi pahalanya tanpa perhitungan.” (az-Zumar: 10)

..

***********

.

.

Ramadan Mubarak 1431

Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepadaMu keredhaanMu dan syurgaMu dan kami berlindung dengan Mu dari kemurkaanMu dan azab nerakaMu