Pluralisme Agama Dan Anwar: Beberapa Persoalan dilihat dari pandangan Arusperdana Islam

بسم الله الرحمن الرحيم

ونصلى على رسوله الكريم نحمده

Pluralisme Agama Dan Anwar:

Beberapa Persoalan dilihat dari pandangan Arusperdana Islam

Oleh:

Al-faqir ila’Llah Muhammad ‘Uthman El-Muhammady

Sayu tidak terkira hati kita mengingatkan bahawa asalnya tokoh dakwah Islam yang berfikiran kebangsaan, menjadi aktivis dakwah, penerajunya, gerakan Islam (dengan pemikiran dipengaruhi Maududi, Hassan al-Banna, Syed Qutb, dan yang sepertinya), akhirnya menjadi pendokong aliran John Hick dengan aliran pluralisme agama dengan implikasi-implikasi rohaniah terakhirnya. Allahumma sallimna wa ’l-Muslimin. Amin.

Pluralisme yang ditakrifkan sebagai kenyataan pluralisme (‘sheer fact of pluralism’) (seperti dalam laman web projek pluralisme Universiti Harvard, antara lainnya)[1] sebagai keberadaan pelbagai agama dalam sesebuah negara atau masyarakat – dalam erti ini pluralisme diamalkan dalam Islam walaupun di Madinah di zaman Nabi salla’Llahu ‘alaihi wa sallam dan kemudiannya seperti di Andalusia dan kerajaan Othmaniah Turki. Demikian pula pluralisme agama dalam erti adanya ruang awam di mana para penganut pelbagai agama bertemu dan berhubung serta mengadakan interaksi untuk saling memahami antara satu sama lain, itu juga sesuatu yang diterima dalam Islam, kerana kelainan umat manusia dalam kelompok-kelompok dan bangsa wujud untuk saling kenal mengenali antara sesama mereka sebagai bani Adam[2]; ini juga diterima dalam Islam semenjak zaman Nabi salla’Llahu ‘alaihi wa sallam, dan ia harmonis dengan ajaran Islam.

Tetapi pluralisme dalam erti kenisbian dalam kebenaran hakiki dan mutlak, yang mengajarkan tidak ada kebenaran mutlak yang boleh dicapai, dan tidak ada ajaran asasi yang menjamin keselamatan dan kebahagian, itu tidak diterima, bahkan ditolak dalam agama Islam. Kalau tidak tidak ada erti kenyataan Qur’an yang menyebut bahawa ia datang membawa al-haq, kebenaran, dan dengan itu kebatilan hilang, kerana kebatilan memang mesti hilang.[3] Agama Islam datang dalam pusingan nubuwwah terakhir dalam sejarah umat manusia, yang selepas daripadanya tidak ada lagi nubuwwah dan kerasulan[4]; dan ia datang sebagai saksi atas sekalian ajaran di dunia, dan nabi Muhammad sallahu ‘alaihi wa sallam datang sebagai saksi atas umat ini[5]. Peranan sebagai saksi atas umat manusia tentang kebenaran tidak mungkin terjadi pada orang yang mempunyai pegangan tentang ‘kebenaran yang pelbagai’ (‘multiple truths’).

Pluralisme agama dalam erti yang dibentangkan dalam gagasan Prof Hick yang meninggalkan sikap ekslusif Katholik, dan yang sepertinya, menganggap semua agama-agama membawa kepada ‘salvation’, menunjukkan pemikirnya tidak ada keyakinan terhadap agamanya dalam erti yang sebenarnya. Ia timbul daripada pengalaman peradaban dan budaya serta perkembangan pemikiran keagamaan Barat yang pahit dalam sejarahnya. Tidak masuk akal sejahtera bagi Orang Islam yang berimamkan Quran boleh mengikut aliran yang kemuflisan dari segi rohani dan penaakulan berasaskan tauhid seperti ini. Islam mengajarkan semua pengikut autentik para nabi selamat, pengikut nabi salla’Llahu alaihi wa sallam selamat, ahli fatrah yang tidak ada nabi pada zamannya, zaman antara dua nabi, selamat[6], mereka yang ‘tidak sampai seru’ selamat[7].

Orang yang berkepercayaan seperti John Hick dan yang sepertinya ini mungkin akan menjadi ‘lukewarm’ dalam keyakinannya, tidak lagi ia ‘minal-muqinin’[8] dari kalangan orang-orang yang yakin; mungkin akhirnya ia menjadi agnostic, dijauhkan Allah, walaupun tidak disuarakannya.

Pegangan seperti ini membawa kita kepada perkara-perkara yang menjadi persoalan dalam kalangan mereka yang terpengaruh dengan aliran ini ialah seperti berikut:

1. Dalam menyebut tentang sikap ekslusif dalam agama yang membawa kepada pertelingkahan, disebut oleh setengah pihak sikap ekslusif itu ada dalam Islam Syiah-Sunni-dan dalam agama Kristian yang ada pecahan-pecahannya.

Dalam Islam wacana Sunni adalah arus perdana, sebagaimana yang ternyata dalam ijma’ selepas daripada Qur’an dan Sunnah; maka manusia perlu menggunakannya sebagai neraca, untuk membezakan apa yang boleh diterima dan apa yang tidak dari segi intelektual dan rohaniah, bukan yang lain, kalau pihak yang bukan Islam, mereka dengan agama mereka, tetapi perlu ada toleransi dan sikap hidup bersama dengan aman, kecuali berlaku pengkhianatan. Tentang menyebut golongan Sufi seolah-olah lain daripada Ahlisunnah itu tidak sepatutnya berlaku, sebab, sebagaimana yang dinyatakan dalam ‘al-Farqu bainal-Firaq’ antara lainya[9] golongan Sufi adalah sebahagian yang tidak terpisah daripada Ahlissunnah wal-Jamaah. Dengan itu maka tidak boleh mereka itu dianggap sebagai terpisah daripada epistemologi sunni, bahkan ia intinya.

Perpecahan bukannya boleh dielakkan dengan menerima ‘mazhab John Hick’ tetapi kalau di kalangan Muslimin itu boleh dielakkan bila mereka menerima wacana Ahlissunnah dengan keluasan dan kedalamannya, serta mengamalkan sikap ‘al-din al-nasihah’ ditambah dengan sikap yang tunduk kepada adab ikhtilaf. Dan ini bukan semata-mata ilmu, tetapi melibatkan jiwa yang terbentuk oleh ilmu itu, atau ‘tercelup’ dengannya. Dengan ini kefanatikan melulu dielakkan dan manusia berbeza pendapat tetapi tidak berkonflik. Ini berlaku bila jiwa dan ilmu menjadi matang. Dalam hubungan dengan golongan lain konflik boleh dielakkan bila Manusia beradab dan bertolak ansur sebagaimana Muslimin dan Yahudi serta Kristian hidup dalam zaman yang terbaik di Andalusia zaman Islamnya.

2.Ada di kalangan mereka yang terpengaruh dengan pluralisme menyebut bait-bait Jalaluddin Rumi untuk ‘mengesahkan’ aliran pluralisme agama itu. Antaranya bait yang seperti di bawah:

Lampu-lampunya berlainan, tetapi Cahaya itu sama, ia datang dari Seberang Sana; kalau anda terus menerus melihat pada lampu, kamu tersesat; kerana dari sana timbul rupa lahir pada bilangan dan kemajmukan.

Ini boleh difahami sebenarnya bila diingatkan bahawa Rumi adalah seorang Sunni yang berpegang kepada mazhab Hanafi, dan ia taat kepada Syariat. Ia ada menyebut perkara-perkara yang tidak disetujuinya berkenaan dengan musyrikin, Kristian dan Yahudi. Bahkan suatu masa bila ia ditanya berkenaan dengan Jesus sebagai Tuhan ia dengan keheranan bertanya adakah munasabah orang yang kurus sedemikian yang tingginya beberapa meter yang dikejar-kejar orang untuk dibunuh ke sana kemari, ia Tuhan Pencipta sekalian alam? Kalau ia tokoh pluralisme sebagaimana yang disangka oleh mereka yang terpengaruh dengan aliran itu ia tidak demikian.

Adapun baitnya yang menyebut tentang Cahaya dan Lampu itu perlu dilihat dari segi ajarannya sebagai sufi, ini bukan kenyataan tentang falsafahnya, ini bicara tentang manusia yang perlu ‘menyeberangi’ sebelah sana bentuk rupa dalam syariat, pergi kepada hakikat, tetapi mesti berpegang kepada syariat, bukan meninggalkannya, dan menganggap ‘semua benar’. Ertinya ia berpartisipasi dalam Syariat tetapi merealisasi ‘penyaksian rohaniah’ tentang kebenaran dalam agama. Ia bukannya mengatakan ‘ya’ kepada semua sistem kepercayaan.

Ertinya ia orang yang mencapai ma’rifat kepada Allah sebenarnya dan menyedari hakikat agama yang sebenar, ia bukan semata-mata terbatas kepada mazhab-mazhab seperti dalam Ahlissunnah ada mazhab yang empat itu, tetapi disamping menerima mazhab itu dan beramal dengannya ia mencapai musyahadah secara rohaniah dan ‘menyaksikan’ perkara sebenar agama dengan penyaksian batin sendirinya. Itulah Cahaya itu; ia bukan bererti bahawa pegangannya ialah semua sistem kepercayaan membawa kepada kebenaran dan kepada Syurga.

3. Berkenaan dengan adanya soalan-soalan yang kelihatan ada persamaan antara manusia seperti dari mana datangnya manusia? Apa matlamat hidupnya? Apa yang berlaku bila ia meninggal dunia? Jalan kerohanian membawa kita kepada satu pencarian sarwajagat tentang kebenaran dan usaha untuk mencapai keadilan dan sifat keunggulan, ini semua bukan bererti bahawa semua agama membawa kepada ‘salvation’ dalam erti yang diajarkan oleh Qur’an; kebenaran Islam adalah satu. Yang benar adalah apa yang datang terakhir sebagai ajaran sarwajagat untuk semua manusia (kaffatan linnas). Kalau tidak sejarah anbia dan sejarah nabi Muhammad salla’Llahu ‘alaihi wa sallam tidak ada erti apa-apa.

4. Tentang ada pendapat Dante yang menulis di zamannya dalam Monarchia yang menyatakan bahawa tujuan terakhir hidup ini ada dua – kebahagiaan dalam dunia ini dan juga kebahagiaan dalam akhirat dengan berada dalam limpahan nur melihat Wajah Tuhan. Mencapai dua matlamat agung ini berlaku dengan menghadapi kesukaran yang besar. Kejayaan itu boleh tercapai:

‘hanya bila gelombang-gelombang kerakusan yang menggoda itu ditenangkan dan umat manusia berehat santai dalam ketenangan dan keamananan’

Kenyataan itu benar dari segi jiwa manusia perlu ditundukkan supaya ia menyerah kepada kebenaran dan ia berpegang kepada sifat-sifat unggul, itulah yang membawa kepada kedamaian manusia dan hilangnya konflik. Tetapi ini bukan hujah untuk pluralisme agama dalam erti Hick, yakni bahawa semuanya membawa jalan ke syurga, dan tidak ada sistem kepercayaan yang dimansukhkan kebenarannya bila datang Qur’an. Pada umat Qur’an dengan datangnya Qur’an berlakulah pemansuhan semua sistem kepercayaan, dan ajaran Qur’an adalah sarwajagat. Lagi pula kalau ini difahami sebagai hakikat bahawa manusia menjadi sejahtera bila ia tunduk kepada otoritas ilmu dan akal, maka bukannya ini membawanya ‘bertemu’ dengan Ibn Rushd dan al-Farabi, sebab kedua-duanya tunduk kepada Shariat Muhammad s.a.w. dan Qur’an, tetapi Dante, walaupun selepas Qur’an datang, ia tidak tunduk kepadanya. Ertinya ia bukan berpegang kepada pluarisme agama dalam maman seperti Hick itu.

Bahkan dalam ‘Purgatio’ dalam ‘Divine Comedy’nya Dante meletakkan nabi Muhammad dan Saidina ‘Ali rd dalam neraka.[10] Dijauhkan Allah. La haula wa la quwwata illa billah.

5. Kalaulah dikatakan sekarang keadaannya ialah bahawa kebebasan beragama yang tanpanya tidak ada pluralisme agama, adalah suatu kebebasan yang tertanam teguh sebagai kebebasan dalam perlembagaan dalam negara-negara demokrasi yang terkenal dan teguh kedudukannya, itu bukan bermakna bahawa di negeri-negeri Islam Muslimin dan kerajaannya tidak boleh memihak kepada Islam. Ini kerana dalam Islam kewajipan kerajaan ialah melaksanakan ajaran Islam sampai sebaik-baiknya dan apa yang menggangu kejayaannya secara tidak patut mesti diselesaikan.

Dalam Islam kerajaan tidak boleh memilih untuk menganggap bahawa tidak ada kebenaran yang mutlak, kebenaran itu mesti ada, dan negara itu mesti berpegang kepada kebenaran itu. Sebab itu al-Mawardi di Baghdad pada zamannya memestikan pihak berotoriti Islam memperbetulkan kesilapan-kesilapan orang ramai bila berlaku penyelewengan daripada ajaran Islam yang benar (kecuali orang yang berkenaan bukan Muslim).[11] Tetapi pihak berkuasa Muslimin tidak boleh menganiaya pihak yang bukan Islam, mereka ini diberi hak untuk mengamalkan agama mereka.

6. Tentang pendapat yang menyatakan bahawa kebebasan beragama yang terkandung dalam ayat yang bermaksud ‘Tidak ada paksaan dalam agama’(2:256) itu dalam Islam memaksudkan bahawa kita tidak boleh memaksa orang supaya memeluk Islam, itu terletak pada pilihannya; tetapi bila ia sudah Islam ia tertaaluk kepada undang-undang Islam, termasuk berkenaan larangan murtad daripada agama ini. Kita tidak menafsirkan kebebasan beragama itu kebebasan untuk murtad bagi orang Islam. Tidak ada pendirian itu dalam sejarah dan ilmu Islam. Kalau hendak disebutkan perbandingan kita tidak memaksa orang untuk menjadi warganegara kita, tetapi bila ia menjadi warganegara ia tertakluk kepada undang-undang negara, ia tidak boleh berontak menentang negara itu. Dan tidak ada ‘pemberontakan’ yang melebihi ‘pemberontakan’ melawan Tuhan. Dijauhkan Allah.

Maka kita tidak seharusnya mengikut falsafah lain tentang kebebasan manusia dan agama bila falsafah itu bercanggah dengan Qur’an, walaupun ianya dianggap sebagai antarabangsa dan sebagainya. Demikian pula dengan soal kebebasan dhamir, freedom of conscience, kita memandangnya dalam konteks ajaran Syara’, kita tidak membuka ruang untuk kebebasan dhamir berjalan bila itu bercanggah dengan akidah dan aturan Syarak. Sangkaan bahawa kebebasan dhamir berjalan tanpa disiplin tidak ada dalam ajaran Islam. Kalau itu ada dalam ajaran lain itu pilihan pihak lain, bukan pilihan umat ini.

7. Berkenaan dengan orang lain yang mempunyai kepercayaan yang selain daripada Islam, kita tidak disuruh memilih untuk ‘menyerang’nya, bahkan kita dilarang ‘memaki’ apa yang menjadi pujaannya selain daripada Allah, walaupun secara yang kelihatan lembut dan berbudi, kalau tidak ia akan memaki Allah pula dalam perseteruan dan kejahilannya[12].

Kita diajarkan untuk menyeru manusia dengan hikmah kebijaksanaan (bukan putar belit), bila pihaknya sesuai digunakan kaedah itu, kemudian dengan nasihat yang baik, dan akhirnya kalau perlu berhujah, sebab pihak yang berkenaan itu degil, berhujah, kita disuruh berhujah dengan ‘cara yang paling cantik’.[13]

Kita hidup dengan aman damai dan tidak mengganggunya, kecuali ia menggangu ketenteraman orang ramai. Dan kita lakukan demikian bukan untuk menjayakan pluralisme agama dalam erti John Hick tetapi dalam erti ‘bagi kamu agama kamu bagiku agamaku’ dalam surah al-Kaafirun, dan dalam erti yang diajarkan dalam Perlembagaan Madinah, sebagaimana yang tercatit dalam ‘Sirah ibn Ishaq’ yang di dalamnya Orang Yahudi mengamalkan agama mereka dan Orang Kristian mengamalkan agama mereka, tetapi mereka adalah ‘ummat yang satu lain daripada manusia lain’ [dalam erti entiti siasah dan bernegara].

8. Adapun berkenaan dengan ayat tentang kejadian manusia berkaum-kaum dan bersuku-suku untuk kenal-mengenali antara satu sama lain (bukan untuk bermusuh), itu memang benar, dan dihujungnya dinyatakan dengan terang dan tegas bahawa yang paling mulia di kalangan manusia ialah mereka yang paling bertaqwa (dalam erti paling menjaga suruhan dan larangan Allah).[14]

Ayat ini tidak boleh digunakan untuk memberi keabsahan kepada teori Hick tentang pluralisme agama dalam erti semuanya membawa kepada ‘salvation’.

9. Tentang adanya kenyataan dalam kitab agama lain yang menyatakan bahawa orang yang mampu melihat bahawa semua jalan membawa kepada Yang Satu, itupun perlu dilihat dalam konteks Qur’an sebagai ‘muhaiminan ‘alaih[15] dalam erti ia menjaga erti-erti asasi dalam ajaran agama dan ‘membenarkan (kebenaran) yang terdahulu daripadanya [dikalangan anbia])’. Jalan yang dimaksudkan itu, kalau dalam Islam ialah jalan-jalan rohani yang sahih dalam ajaran para imam dan benar, bukan ‘jalan pemikiran’ para ‘pemikir’ dalam erti Barat yang tidak mempercayai wahyu dan nubuwwah serta tauhid, apa lagi kalau dalam pascamodenisme.

Tentang sistem kepercayaan lain yang menyebut semua jalan membawa kepada Yang Satu, kalau Yang Satu itu ialah kebenaran tauhid dalam Islam, maka itu tidak menjadi masalah; tetapi kalau semua sistem kepercayaan difahami membawa kepada Yang Satu yang kabur, itu menjadi masalah. Penyembahan Berhala bukan Yang Satu, Penyembahan Tuhan yang bukan secara tauhid bukannya Yang Satu; kepercayaan tentang sesuatu kuasa ghaib yang kabur, mengatasi yang lain, bukan Yang Satu dalam Qur’an. Pokoknya bergantung kepada kedudukan Qur’an sebagai ‘muhaiminan ‘alaih’ yang berupa pengawal kebenaran dalam erti-erti pengajaran agama, sebagaimana yang dihuraikan oleh teks-teks arusperdananya.

10. Tentang pandangan yang mengatakan bahawa apa juga agamanya, sama ada ia itu Islam, Kristian, Sikh, Hindu dan banyak lagi yang lain, dipercayai ialah bahawa kebenaran-kebenaran yang lebih tinggi (higher truths) yang mengatasi amalan-amalan semata (mere practice) dan ibadat semuanya terpusat atas kebenaran yang satu itu (singular truth): bahawa dari Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali, ini juga perlu dilihat dalam rangka Qur’an sebagai ‘muhaiminan ‘alaih’. Bila ini diambil sebagai neraca maka yang diambil kira bukan sahaja ‘kebenaran yang satu (secara tauhid yang sebenar)’ tetapi juga bentuk-bentuk amalan yang dilakukan, adakah ianya sesuai dengan ajaran Qur’an atau tidak. Kalau tidak, maka kedudukannya adalah memang demikian. Keringanan boleh berlaku bila itu adalah natijah daripada tidak sampai dakwah secara benar, atau tidak terdedahnya pihak yang berkenaan kepada kebenaran yang sebenar, atau orangnya berada dalam zaman fatrah yang tidak ada rasul yang membawa kebenaran. Ajaran tentang semua ini kekal hingga ke akhir zaman. Tidak ada pemikiran falsafah dan penemuan akademik yang membatalkannya, bagaimana juga cerdik dan pintar orangnya. Selamat dan berbahagialah mereka yang tunduk kepada dan menerima kebenaran serta mengamalkannya, lebih-lebih lagilah merealisasinya dengan tahkiknya. Amin.

11. Tentang pandangan yang menyatakan bahawa ada pemimpin-pemimpin tertentu agama-agama dunia yang terus menerus membuat dakwaan yang eksklusif (exclusivist claims) tentang mereka memiliki kebenaran yang kekal abadi dan tidak sangat menerima perkara-perkara yang sama (commonality) yang menghubungkan manusia semua dalam pelbagai agama, dan bahawa kalaulah diterima dasar persatuan dalam kepelbagaian, maka pluralisme agama menjadi satu tenaga penyatuan, bukan sebab bagi perpecahan, dan dinyatakan bahawa itu jalannya untuk menarik kita keluar daripada kegelapan kepada cahaya, daripada perang kepada damai, daripada kebencian dan kejahatan kepada kasih-sayang dan kebaikan, ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan secara serius.

Pertamanya, kalau dilihat dari segi Islam pengakuan itu dibuat oleh Muslimin daripada pengakuan Tuhan Sendiri yang menyatakan bahawa Islam ini kebenaran sediakala yang ada dalam ajaran semua anbia dalam sejarah manusia, dan kedatangan Islam adalah untuk membenarkan kebenaran yang sediakala itu; kemudian ia datang untuk membuat pembetulan terhadap unsur-unsur yang terubah dalam ajaran agama-agama, dengan itu ia membuat koreksi. Maka Muslimin membuat kenyataan itu atas perintah Tuhan dalam wahyuNya.

Adalah janggal tidak terkira lagi kalau ada orang yang menerima Bible atau sebagainya sebagai ‘wahyu’ tetapi dalam masa yang sama menapikan yang demikian dalam hubungan dengan Qur’an, walhal Qur’an datang dalam suluhan sejarah yang terang benderang (in the full day light of history). Dalam erti ini pengakuan Muslimin adalah pengakuan yang setia dengan agama para anbia, tidak dipengaruhi oleh andaian-andaian (zann yang disebut dalam Qur’an) para pemikir, bagaimana bijak dan pintar mereka itu sekalipun. Maka pengakuan ini mesti dibuat dan dipertahankan; dan teori John Hick tentang pluralisme agama yang menjamin syurga untuk semua tidak memengaruhi Muslimin yang setia dengan wahyu Qur’annya.

Dan keduanya Muslimin terus menerus menegaskan bahawa keadaan damai ialah bila manusia berakhlak mulia dan tidak berkhianat dalam akhlaknya, serta tidak mengamalkan nilai ganda (‘double standard’), untuk diri lain untuk orang lain, lain. Dan manusia boleh aman kalau mereka mengamalkan apa yang disuruh oleh Nabi s.a.w. Sebab itu baginda menunjukkan jalan itu antaranya dalam Perlembagaan Madinah. Tetapi bila pihak yang satu lagi belot, maka berlakulah apa yang telah berlaku itu. Allahumma sallimna wal-Muslimin.

12. Pengamatan yang menyebutkan bagaimana masih ada pula pendapat yang menyebut tentang Muslimin bahawa masih berterusan adanya masalah mereka yang menolak nilai kebebasan bersuara, kebebasan media, demokrasi, dan kemerdekaan dhamir (freedom of conscience). Mereka memandang budaya pluralisme agama sebagai satu bahagian daripada konspirasi agung oleh ‘pihak lain’, terutamanya Kristian, untuk mengembangkan ajarannya dan menjadikan Muslimin memeluk agama Kristian. Pluralisme juga adalah jerat bagi menyeludup masuk demokrasi ala Barat melalui pintu belakang.

Tentang pengamatan demikian ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan. Antaranya ialah nilai-nilai kebebasan bersuara, kebebasan media, dan yang sepertinya tentang demokrasi dan kebebasan dhamir, itu semua pada Muslimin adalah perkara-perkara yang mesti tunduk kepada otoritas Syara’; kalau kebebasan bersuara itu sesuai dengan Syara’, tidak membawa kepada yang terlarang, kebebasan dhamir, demikian seterusnya, kalau tidak bercanggah dengan Syara’, bahkan lebih-lebih lagi menjayakan Syara’, maka sudah tentu itu tidak ditentang. Sudah tentu bagi Muslimin Syara’ mengatasi bahan pemikiran para pemikir semata; lainlah kalau perkara yang demikian datang daripada mujaddid yang diakui dalam Ahlissunnah. Kalau diletakkan pemikiran-pemikiran dari para pemikir mengatasi Syara’ dan ijma’, itu adalah malapetaka intelektuil dan rohanian, dijauhkan Allah. Soalnya bukan menolak seratus peratus dan menerima seratus peratus; apa yang baik diambil apa yang tidak tidak diambil. Pihak yang berbicara tentang kebebasan manusia sejagat perlu menghormat manusia beragama mengamalkan agamanya dan bukannya hendak membatalkan amalan pihak lain dan mempromosikan haknya semata. Itu bercanggah dengan hak asasi manusia.

13. Berhubungan dengan kemungkinan adanya persamaan antara amalan ‘mantra’ dan ‘Lords Prayer’ dan apa juga, maka bagi Muslimin itu perlu dilihat dalam rangka Quran sebagai penjaga atas erti-erti ajaran suci dalam sejarah manusia, tuntutan Syara’ dan ijma’. Kalau ada persamaan itu, maka pada Muslimin asalnya agama-agama dunia terkena pengaruh ajaran anbia, maka masih kelihatan ada peninggalan-peninggalan tentang persamaan itu. Tetapi kebenaran dengan kepenuhan, kedalaman serta kesempurnaannya ada pada wahyu terakhir dalam sejarah umat manusia. Selamatlah mereka yang menerimanya beramal dengannya. Mereka yang lain daripadanya bertanggungjawab atas perbuatan mereka, apa jua alasan-alasan yang dikemukakan untuk mempertahankannya. Dalam bermuamalah dengan para pemeluk sistem kepercayaan lain, Muslimin mesti mengamalkan akhlak yang mulia dan menghormati pihak lain itu, dan jangan sekali-kali menunjukkan penghinaan terhadap pihak lain dengan apa cara sekalipun.

14. Tentang pendapat yang menyebut Syariat bukan tertulis ‘pada batu’ dan ia mengalami evolusi yang dinamis (the Shari’ah was never cast in stone and evolves continuously through this dynamic process), maka kita perlu melihat kenyataan ini dalam suluhan ajaran Islam tentang ada bahagian-bahagian Syara’ yang kekal dan ada yang berubah-ubah, dan bukan semuanya berubah-ubah. Akidah Ahlisunnah tidak berubah; ijma’ tidak berubah; akhlak tidak berubah; amalan rohaniah yang diakui tidak berubah; perincian-perincian Syara’ berkenaan dengan perkara-perkara baharu yang tidak ada dalam nas secara terang-nyata dari fatwa-fatwa zaman demi zaman boleh berubah. Kalau ini difahami demikian maka tidak ada masalah. Tetapi kalau itu melibatkan perubahan-perubahan seperti menghalalkan persetubuhan haram, judi, zina, menghalalkan yang haram dalam ijma’, kerana terpengaruh dengan ‘penemuan-penemuan’ para pemikir, ini tidak dibolehkan. Kalau itu membawa kepada pendirian bahawa posisi Qur’an terinjak kerana pemikiran orang-orang seperti John Hick dan yang sepertinya, itu tidak dibolehkan.

15. Kalau dalam suasana semasa ada penafsiran jihad yang tersasul dalam setengah kalangan (kerana faktor-faktor sejarah yang mendesak dan tidak patut diremehkan) itu tidak boleh menjadi dalil bagi sesiapa melihatnya sebagai penafsiran yang menyeluruh mewakili arusperdana umat. Bagaimanapun ini juga perlu dilihat dalam konteks pihak-pihak, yang dalam sejarah, juga sekarang, memanipulasikan maklumat untuk kepentingan hegemoninya.

16. Akhirnya kita mesti kembali kepada wacana arusperdana umat khaira ummatin ukhrijat linnas, yang hakikatnya, tidak ada wacana yang mengatasi kebenaranannya, apapun yang dikatakan oleh pihak postmodernis, Islam liberalis, pluralis agama, pihak perennalists, dan sesiapapun yang seperti mereka. Tetapi kita kena mengetahui perbezaan-perbezaan, persamaan-persamaan, beradab, berdisiplin, menghormati orang lain, dalam batasan-batasan yang wajar. Dari Allah kita datang kepadaNya kita kembali. Wallahu a’lam. Selawat dan salam kepada baginda, ahli keluarganya dan para sahabatnya, dan semua mereka yang mengikutnya dalam ihsan hingga ke hari penghabisan. Segala puji-pujian tertentu bagi Tuhan Pentadbir sekalian alam.

Antara Sumber-sumber rujukan mengenai tajuk ini ialah:

1.    Abdul Rashid Moten, “Religious Pluralism in Democratic Societies: Challenges and Prospects for Southeast Asia, Europe, and the United States in the New Millennium”. Contemporary Southeast Asia.Journal Volume: 29. Issue: 1. 2007. pp 204 ff, 2007 Institute of Southeast Asian Studies (ISEAS)

2.    Brad Stetson, Pluralism and Particularity in Religious Belief. Praeger Publishers. Westport, CT. 1994

3.    Jeannine Hill Fletcher,Article Religious Pluralism in an Era of Globalization: The Making of Modern Religious Identity”. Journal: Theological Studies. Volume: 69. Issue: 2, 2008.pp. 394 ff.

4.    J. Gordon Melton, Article: “Religious Pluralism: Problems and Prospects” Journal: Brigham Young University Law Review. Volume: 2001. Issue: 2, 2001.

5.    Jung H. Lee, Article: “Problems of Religious Pluralism: a Zen Critique of John Hick’s Ontological Monomorphism” Journal: Philosophy East & West. Volume: 48. Issue: 3. Publication Year: 1998.p. 453+.

6.    Lucas Swaine, The Liberal Conscience: Politics and Principle in a World of Religious Pluralism. Columbia University Press. New York. 2006.

7.    Michael Jinkins – Christianity, Tolerance, and Pluralism: A Theological Engagement with Isaiah Berlin‘s Social Theory. Routledge. New York. 2004.

8.    Peter G. Danchin – editor, Elizabeth A. Cole – editor, Protecting the Human Rights of Religious Minorities in Eastern Europe. Columbia University Press. New York. 2002.

9.    Richard E. Wentz, The Culture of Religious Pluralism , Westview Press, 1998

10.  Richard Hughes Seager edit. with the assistance of Foreword by Ronald R. Kidd Diana L. Eck ,The Dawn of Religious PluralismVoices from the World’s Parliament of Religions, 1893, published in Association with The Council for a Parliament of the World’s Religions

11.  S. Wesley Ariarajah, “Kenneth Cracknell, in Good and Generous Faith: Christian Response to Religious Pluralism”. Journal The Ecumenical Review. Volume: 58. Issue: 3-4. 2006. pp 400ff

12.  William C. Allen “Stephen Kaplan, Different Paths, Different Summits: A Model for Religious Pluralism”, Journal of Ecumenical Studies. Volume: 41. Issue: 1, 2004. p 102.

13.  Harvard Pluralism project:

http://www.pluralism.org/articles/eck_1993_challenge_of_pluralism?from=articles_index

14.  Khalif Muammar, Atas Nama Kebenaran, Tanggapan Kritis Terhadap Wacana Islam Liberal, edisi kedua, ATMA, UKM, Bangi, 2009


Nota akhir:

[1] http://www.pluralism.org

[2] Al-Hujurat:13.

[3] Bani Isra’il:81.

[4] Al-Ahzab:40.

[5] Al-Baqarah:143.

[6] Ayat tentang ‘zaman fatrah’ surah al-Ma’idah:19.

[7] Al-Isra’: 15.

[8] Qur’an menekankan yaqin, dan yaqin datang hanya dengan kebenaran yang pasti, bukan kabur dan bercdampur aduk. Dalam surah al-Baqarah disebujt tentang mereka yang ‘yaqin’ tentang akhirat.al-Baqarah: 4.

[9] Al-Farq bainal-Firaq oleh ‘Abd al-Qahir al-Baghdadi, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Lubnan, hal. 242. Lihat ibn Khaldun dalam al-Muqaddimah, bab berkenaan dengan tasawwuf, Dar al-Kitab al-Lubnani, Beirut, 1960, jilid 2, hal. 863

[10] Dalam Inferno dalam ‘Divine Comedy’ Inferno XXVIII, 19-42. Lihat juga http://zombietime.com/mohammed_image_archive/dantes_inferno/

[11] Lihat al-Mawardi, al-Ahkam al-Sultaniyyah, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut, 1985, hal.18.

[12] Ayat itu bermaksud: ‘Dan jangan kamu memaki apa yang mereka sembah selain dari Allah maka mereka akan memaki Allah dalam permusuhan dan ketiadaan ilmu’-Al-An’am:108

[13] Ia menunjukkan kepada tahap-tahap menyeru manusia kepada kebenaran agama; pertama mereka yang layak digunakan kaeda hikmah, iaitu kaedah menggunakan Quran, Sunnah atau kata-kata kebijaksanaan rohaniah yang tinggi dan berkesan untuknya; kalau sasaran itu tidak mampu menangkap kenyataan tahap hikmah, penyeru perlu ‘turun’ kepada tahap pengajaran atau nasihat yang cantik, dengan bahasa yang indah menarik, penerangan yang halus dan berkesan, dengan keikhlasan yang sebenarnya; kalau sasaran tidak layak menerima ‘nasihat’, kerana ia jenis degil suka berhujah, maka ‘turun’lah kaedah itu lepada ‘perbahasan dengan cara yang paling baik’, menggunakan mantik yang betul, bahasa beradab, menunjukkan matlamatnya kebenaran bukan ‘kemenangan’, bukan sekadar untuk menjadikan sasaran senyap; inilah cara yang patut diamalkan oleh da’i yang berwibawa dan ikhlas. Wallahu a’lam.

[14] Al-Hujurat 13.

[15] Merujuk kepada ayat yang bermaksud ‘Dan Kami telah turunkan kepadamu al-Qur’an dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, terdiri daripada kitab-kitab yang diturunkan, dan batu-ujian terhadap kitab-kitab yang lain itu’ al-Mai’dah:48.

8 Respons to “Pluralisme Agama Dan Anwar: Beberapa Persoalan dilihat dari pandangan Arusperdana Islam”

  1. Habib Ahmad Says:

    Majlis Maulid Tahunan Pusat Asasi UIA, Petaling Jaya

    Masa
    30hb Januari · 7.00 ptg – 10.00 ptg
    Lokasi CFS / Matrik UIAM / Masjid Kolej Islam Malaya
    Bersebelahan Pusat Asasi UIA, Petaling Jaya
    Majlis Maulid UIA Petaling Jaya

    – Solat Maghrib berjemaah
    – Bacaan Maulid Ad-Dhiyaul Lami’
    – Qasidah
    – Ceramah J
    Jamuan
    – Bersurai

    ~ jemput datang beramai ramai~
    http://www.facebook.com/event.php?eid=119955871411649#!/pages/PONDOK-HABIB/295419981998

  2. PM, Pas dan Pluralisme Agama | Gerbang Tempur Maya Kumpulan Menyokong UMNO (MYKMU) | Gerbang Tempur Maya Kumpulan Menyokong UMNO (MYKMU) Says:

    […] memahami isu pluralisme ini secara sepintas lalu, saya cadangkan saudara/i membaca kertas kerja oleh Muhammad ‘Uthman El-Muhammady dan juga ringkasan yang ditulis oleh Mohd. Ayop Abd Razid mengenai pandangan tokoh cendekiawan […]

  3. PM, Pas dan Pluralisme Agama | Isuhot Dot COM Says:

    […] memahami isu pluralisme ini secara sepintas lalu, saya cadangkan saudara/i membaca kertas kerja oleh Muhammad ‘Uthman El-Muhammady dan juga ringkasan yang ditulis oleh Mohd. Ayop Abd Razid mengenai pandangan tokoh cendekiawan […]

  4. HambaMu Says:

    Saya Sokong!!!

  5. prihatin Says:

    Alhamdulillah ada dikalangan ulamak kita yang meneliti perkembangan wacana di peringkat global, meneliti dari sudutfaham Islam dan mengemukakan pandang balas tentang kekeliruan dan bahaya fahaman tersebut.
    Dari fahaman surah alkafirun, pihak kafir mekah mahu Nabi Muhammad SAW berkongsi fahaman aqidah, yang disembah itu samaje Allah jua, matlamat sembah samaje membesarkannya. Ini disanggah Allah dengan turunnya surah ini bahawa apa yang kamu/kafir sembah tu tak sama dgn yang kami sembah dan apa yang kami sembah tak sama dengan apa yg kamu sembah, bagi kamu agama kamu dan bagi kami agama kami, lain, jangan campur2.
    Ditegas lagi dengan surah ikhlas,
    Janganlah kita korbankan prinsip aqidah kerana dunia, kerana nak ramai pengikut, kerana nak kuasa.
    Ingatlah dunia dan kuasa setinggi manapun di dunia ini hanya sementara je nanti di akhirat tak larat nak jawap soal dan dakwa dakwi!

  6. Anwar Tidak Peduli Apa Orang Kata « Karim’s Blog Says:

    […] Pluralisme Agama Dan Anwar: Beberapa Persoalan dilihat dari pandangan Arusperdana Islam […]

  7. Kemuncak Anutan Pluralisme Agama Bagi Anwar Ibrahim? « Karim’s Blog Says:

    […] Pluralisme Agama Dan Anwar: Beberapa Persoalan dilihat dari pandangan Arusperdana Islam […]

  8. Tolak Anwar Kerana Ideologi Bertentangan Islam | Karim's Blog Says:

    […] Pluralisme Agama Dan Anwar: Beberapa Persoalan dilihat dari pandangan Arusperdana Islam […]


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: