Ajaran Syiah dan Bahayanya Kepada Umat Islam

بسم الله الرحمن الرحيم

نحمده ونصلى على رسوله الكريم

AJARAN SYIAH DAN BAHAYANYA KEPADA UMAT ISLAM

Shaykh Muhammad ‘Uthman El-Muhammady

ISTAC, IIUM, IIM

Seminar Hal Syiah di Negeri Sembilan

17 Oktober 2011

Dalam tulisan ini penulis hendak membentangkan dasar-dasar pegangan mazhab Syiah, khususnya Syiah Ja’fariyyah atau Syiah Imam Dua Belas yang sedang berkembang sekarang dalam masyarakat Islam Malaysia bahkan dalam kehidupan antarabangsa.

Pendedahan ini dibuat dengan berdasarkan kepada teks-teksnya yang muktabar. Huraian berkenaan dengan dasar-dasar pegangan itu didahului dengan sedikit maklumat sejarah berkenaan dengan mazhab itu; kemudian disusuli dengan huraian berkenaan dengan pegangannya; dalam penerangan itu akan disebutkan di mana kelainannya dengan mazhab atau pegangan Ahlissunnah wal-Jamaah.

Asal tulisan ini ialah berupa satu bab buku yang akan ditertbitkan tidak lama lagi oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, insha’ Allah.

Tujuan tulisan ini ialah untuk mengajak umat Islam di Malaysia supaya kembali kepada wacana pengetahuan dan pegangan Ahlissunnah wal-Jamaah dalam pengetahuan agama mereka dan mengelak diri daripada pegangan dan amalan-amalan golongan-golongan yang selain daripadanya. Sikap ini perlu diambil oleh Muslimin di negara ini demi untuk menjaga kebenaran agama, meneruskan keseragaman faham dan pegangan yang menyelamatkan dalam kebenaran di kalangan Muslimin. Ini juga penting demi untuk mengelak daripada perpecahan, untuk menjaga kestabilan intelektuil yang menjadi asas bagi pembangunan budaya dan tamadun di rantau ini.

Sebelum ini sudahpun diperhatikan bagaimana hadith-hadith nabi s.a.w. menyebut tentang akan berpecahnya umat ini kepada tujuh puluh tiga golongan[1], dan antara mereka ini yang selamatnya ialah golongan ‘al-sawad al-a’zam’, iaitu golongan majoriti Muslimin yang mengikut ajaran dan amalan Ahlissunnah wal-Jamaah. Ini tidak akan diulang-ulang lagi. Secara ringkasnya perlulah Muslimin mengetahui ciri-ciri ajaran yang menyimpang daripada Ahlissunnah wal-Jamaah supaya mereka mengelak diri daripadanya. Ini adalah selain daripada kewajipan mereka mengetahui pegangan Ahlissunnah wal-Jamaah.

SEJARAH PERKEMBANGAN MAZHAB SYIAH

Sejarah perkembangan Aliran Syiah bermula dari abad pertama sejarah umat Islam lagi. Ia berasal daripada kecenderungan yang melampaui batas dalam memberi sokongan kepada keluaraga nabi s.a.w. (Ahlul-bait) dalam pengertian yang terbatas mengikut cara berfikir orang Syiah sendiri. Pada peringkat kemudiannya kumpulan mereka itu membentuk beberapa kepercayaan yang merupakan kepercayaan-kepercayaan yang berlainan langsung daripada akidah arus perdana umat ini, iaitu aliran Ahlissunnah wal-Jamaah, sebagaimana yang diterangkan dalam bahagian pertama buku ini. Bahkan, pada akhirnya ia terbentuk menjadi suatu agama lain yang bukan lagi diajarkan oleh nabi s.a.w. dan para Sahabatnya (Allah meredhai mereka semuanya).

Di kalangan mereka timbul tanggapan dan kepercayaan bahawa ada Qur’an lain pada sisi mereka yang berlainan daripada Qur’an yang diterima secara ijma’ oleh umat ini; selain daripada itu nampaknya mereka menolak himpunan hadith-hadith yang ada di kalangan Ahlissunnah seperti al-Bukhari, Muslim, Nasa’i, Ibn Majah, Abu Daud dan lainnya dan mereka mempunyai himpunan hadith-hadith mereka sendiri yang kemunculannya adalah kemudian daripada himpunan-himpunan Ahlissunnah.

Di kalangan mereka juga timbulnya kepercayaan tentang imam-imam dua belas mereka yang mereka anggap maksum melebihi para nabi dan rasul a.s.s. yang terakhir antara tokoh yang terkemuka mereka, sebagaimana yang diungkapkan oleh Khumeini. Pegangan mereka tentang imam dua belas mereka adalah pegangan yang berlainan langsung dengan pegangan Ahlissunnah sebagaimana juga pegangan mereka tentang Qur’an dan Sunnah.

Pegangan mereka yang terlalu amat bercanggah lagi dengan Ahlissunnah ialah pandangan mereka berkenaan berkenaan dengan para Sahabat – Allah meredhai mereka semua. Pada mereka para Sahabat menjadi kafir murtad selepas daripada wafat nabi s.a.w. sebagaimana yang disebutkan dalam ‘Rijal al-Kashshi’, kitab rujukan mereka dalam hadith dan perawi-perawi hadith. Adalah perkara yang menakjubkan bila di kalangan mereka disebutkan bahawa Abu Bakar dan ‘Umar –Allah meredhai keduanya- adalah dua berhala Quraisy (‘sanamai Quraisy’) sebagaimana yang ada dalam selawat mereka yang diedarkan kepada orang ramai.Selawat itu antaranya mendapat restu Khumeini.  Selawat itu sebagaimana yang ada dalam ‘al-Khutoot al-Areedah[2] ialah seperti berikut:

Oleh kerana kejayaan mereka dalam revolusi tahun 1979 maka timbul semangat mengkagumi mereka sampai ke tahap ada yang menganggap bahawa mereka adalah wira Muslimin di dunia dan pegangan mereka yang berabad-abad bercanggah dengan Ahlissunnah itu tidak dipedulikan, bahkan dianggap seolah-olah mereka sudah meninggalkan pegangan yang demikian. Penelitian berdasarkan kepada teks-teks mereka yang baharu dan juga teks-teks klasik menunjukkan bukan demikian sebenarnya. Pegangan mereka terus menerus berjalan sebagaimana yang ada dahulunya.

Kalau ditelitikan pegangan-pegangan mereka, walaupun secara ringkas, akan terbukti bahawa mereka masih mempunyai keyakinan seperti dahulu yang bercanggah dengan Ahlissunnah wal-Jamaah, dan Muslimin dalam kalangan Ahlissunnah hendaklah memberi perhatian terhadap kelainan dan percanggahan ini dan jangan terperangkap ke dalam rancangan-rancangan yang boleh merugikan mereka. Kita tidak mahu Malaysia menjadi negeri yang mempunyai masalah berkenaan dengan golongan ini. Biarlah pegangan ini ada dalam negeri mereka sahaja dan bukan tersebar ke dalam kalangan orang kita di sini. Oleh kerana pegangan mereka kekal sedemikian maka rancangan untuk mengadakan ‘taqrib’ yakni persahabatan dan persefahaman bersama tidak tercapai matlamatnya.

Sikap mereka sekarang ini misalnya boleh dilihat, antara lainnya, daripada risalah ‘Tuhfatul-‘Awam Maqbul’[3] yang terkandung di dalamnya salawat yang diakui oleh enam orang penting dalam kalangan Syiah, iaitu termasuk Khumeini dan Shariat-Madari. Di dalam risalah itu terdapat doa melaknatkan Abu Bakar dan Umar radiayallahu anhuma yang disebut sebagai ‘dua berhala Qureisy’ dan juga anak perempuan keduanya. Subhana’Llah. Dan ini masih ada sampai sekarang.

Satu teks lagi, antara lainnya, yang menunjukkan sikap mereka sekarang dengan pegangan mereka ialah kitab Khumeini ‘al-Hukumah al-Islamiyyah’ yang asalnya bertajuk ‘Wilayatul-Faqih’.

Dalam teks ini ada terdapat kenyataan yang mencengangkan kita iaitu antaranya:

‘Bahawa para imam [Syiah yang dua belas orang itu] mempunyai kedudukan terpuji dan darjah yang sangat tinggi serta kekhalifahan ke atas alam semesta (khilafatan takwiniyyatan) yang dengannya maka tunduk kepada pimpinan itu dan otoritinya semua atom-atom ala mini (jami’ dharrati hadhal-kauni); dan dinyatakan bahawa mereka ini mempunyai kedudukan yang tidak tercapai ketinggiannya itu oleh malaikat mukarribin (yang hampir di sisi hadrat Tuhan) dan nabi yang  diutus menjadi rasul [4]

Dalam hubungan dengan kitab ‘al-Kafi’ oleh al-Kulaini yang menjadi rujukan golongan Syiah Khumeini bertanya ‘Adakah kamu fakir bahawa memadai bagi kita semua dalam hubungan dengan agama kita bahawa kita himpunkan hukum-hukum dan arahan-arahannya dalam ‘al-Kafi’ kemudian meletakkannya atas rak (buku) dan membiarkannya?’[5]

Sekarang kerap sekali timbul perbincangan berkenaan dengan pembaharuan dalam fahaman agama dan biasanya orang mencari-cari aliran pembaharuan yang hendak ditonjolkan itu. Ada mereka yang hendakkkan pembaharuan itu berdasarkan kepada penolakan mazhab-mazhab dalam Ahlissunnah sebab disangkanya itu membawa kepada kejumudan berfikir, kemunduran umat dan sebagainya. Dan aliran menolak mazhab inipun tidak ada memberi jasa membawa kembali kegemilangan umat dan kejayaan hidup beragama yang menyejukkan hati kita; bahkan dari segi intelektuilnya nampaknya hasil usaha daripada aliran ini tidak menunjuklkan keperkasaan intelektuil yang memberi harapan kepada kita. Ia hanya banyak menimbulkan konflik dalaman yang tidak berkesudahan atas nama pembaharuan dan pemurnian agama. Ada pula yang merasa tertarik kepada golongan Syiah Imam Dua Belas, tetapi nampaknya ia tidak menunjukkan kekuatan akidah Islam sebenarnya yang boleh menjamin kebenaran dan kejayaan beragama serta kejayaan dalam kehidupan masakini.

Penulis ini percaya dengan keyakinan yang tidak berbelah bagi bahawa kita perlu kembali mengenali ajaran dan amalan Ahlissunnah dan membina kekuatan faham dan ilmu serta kejayaan kehidupan berlandaskan kebenaran dalam Ahlissunnah ini. Sekadar menyebut sejarah sahaja pun memadai untuk kita membaharukan ingatan kita sekarang: bahawa di Madinah zaman awal ajaran dan amalannya adalah Ahlissunnah, hanya istilahnya tidak digunakan dengan meluas; kejayaan dalam masa Umayyah dan Abbasiyyah itu dalam rangka ajaran Ahlissunnah; demikian juga kejayaan di Andalus zaman Islam, kejayaan di Istanbul (sampai ke abad ke 20) sebelum kejatuhannya akibat konspirasi Barat dan kelemahan dan pengkhaianatan dalaman, kejayaan islam di Delhi, di Dunia Melayu, semuanya dalam rangka ajaran Ahlissunnah. Beginilah pengajaran sejarah, dan inilah yang memberansangkan kita dan memberi panduan kepada kita. Hanya kita perlu melihat ajaran itu dan perlaksanaannya dalam hubungan dengan kejayaan masa kini. Apa yang kekal abadi kita kekalkan, seperti akidah, ajaran rohani dan nilai-nilai akhlak yang abadi, mana-mana yang memerlukan perubahan dalam kerangka dan prinsip yang ada, kita ubahsuaikan mengikut keperluan, tetapi masih dalam rangka panduan prinsip-prinsip serta nilai-nilai yang abadi itu.

Selain daripada masalah diatas, ialah soal perpaduan Muslimin di mana-mana, ini juga perlu diasaskan kepada ajaran Ahlissunnah wal-Jamaah; semua pihak perlu merujuk kepada dasar ini; inilah yang menentukan penerimaan atau penolakan sesuatu. Kalaulah ada pihak-pihak yang boleh diajak bersatu padu atas dasar ini maka usaha itu hendaklah dilakukan dengan seberapa daya yang boleh; kalau tidak dapat dilakukan perpaduan atas dasar itu maka hendaklah diajak perpaduan itu atas dasar kemaslahatan mereka yang beriman kepada Allah, Hari Kemudian, kerasulan nabi Muhammad s.a.w. dan sembahyang mengadap ke arah Ka’abah. Perlu Muslimin di negara Malaysia bersatu padu atas dasar ini demi keselamatan agama mereka dan survival mereka sebagai umat yang berpegang kepada Qur’an dan Sunnah serta ijma’ daripada akal dan roh yang terbaik dalam umat ini.

Mereka yang berada dalam mazhab fiqh yang berlainan bersatu padu dalam soal pokok akidah dan tempat ambilan hukum; mereka yang mengamalkan tarikat tasawwuf bersatu padu dalam menundukkan diri kepada Qur’an dan Sunnah serta ijma’; maka para guru mereka perlu memberi penekanan kepada perpaduan Muslimin selain daripada menjayakan kekentalan iman dan ketaqwaan mereka melalui tasawwuf. Demikianlah mereka yang berada dalam NGO Muslimin hendaklah bersatu padu berhadapan dengan bahaya yang mengancam agama mereka. Ringkasnya perpaduan untuk kepentingan agama adalah mengatasi perkara-perkara lain.

BAB  I

SYIAH DAN QUR’AN:

Dalam bab ini akan dibicarakan pegangan Syiah Imamiah berkenaan dengan al-Qur’an yang merupakan punca utama Islam. Dalam teks-teks klasik Syiah berkenaan dengan al-Qur’an ada beberapa perkara yang menunjukkan kelainan mereka daripada Ahlissunnah. Antaranya ialah seperti yang dibicarakan dalam perenggan-perenggan berikut.

Dalam Ahlissunnah, sebagaimana yang diajarkan dalam al-Qur’an, kitab Qur’an kekal dari masa ia mula-mula diturunkan sampai sekarang dengan isi kandungannya tanpa apa apa-apa tambahan atau kekuarangan. Ini berdasarkan kepada ayat Qur’an dan penafsirannya, ayatnya ialah:

(ان علينا جمعه وقرأنه ,   فاذا   فرأنه  فاتبع   قرأنه ,   ثم   ان علينا بيانه)

Sesungguhnya Kamilah yang menghimpunkannya (al-Qur’an) (dalam dada engkau) dan menetapkan bacaan (pada lidahmu); oleh itu apabila Kami menyempurnakan bacaannya (kepadamu dengan perantaraan Jibril) maka bacalah menurut bacaan itu; kemudian sesungguhnya kepada Kamilah terserah urusan menjelaskan kandungannhya (yang memerlukan penjelasan). [6]

Dengan berdasarkan pada panduan ini dan Sunnah Rasulullah s.a.w. serta ijma’ ummat maka timbullah keyakinan semenjak dari awal lagi tentang peri tidak terubah bahkan kekalnya Qur’an sampai sekarang dengan susunan-susunan ayat dan surah-surahnya sebagaimana yang ditentukan oleh nabi s.a.w, antaranya sebagaimana yang tercatit dalam kitab al-Itqan oleh Imam al-Suyuti rh.[7]

Pada sisi orang Syiah Qur’an, sebagaimana yang diriwayatkan dalam ’al-Kafi’ oleh al-Kulaini[8]:

Berdasarkan riwayat daripada Abu Basir yang dilaporkan sebagai berkata: Sekali peristiwa saya pergi bertemu dengan Abu ’Abdillah [yakni Ja’far Sadiq] –alaihissalam- dan bertanya kepadanya: Moga-moga hamba menjadi penebus tuanhamba! Hamba hendak bertanyakan soalan sama seorang; Adakah sesiapa di kalangan dan sekitar kita ini yang boleh mendengar kata-kataku? Periwayat itu berkata: Abu ’Abdillah mengangkat tabir yang memisahkannya daripada ruang yang berdekatan. Kemudian ia masuk ke dalam ruang itu dan berkata: ’Sekarang, tanyalah apa yang engkau mahu tanya’. Periwayat itu berkata: ’Kemudian hamba bertanya; Syiah tuan secara amnya meriwayat bahawa Rasulullah –Allah berselawat kepadanya dan keturunannya- bahawa Ali adalah pintu kota yang membukan seribu pintu? Beliau menjawab: ’Rasulullah –selawat dan salam ke atasnya dan zuriatnya- memberitahu Ali tentang seribu pintu, tiap-tiap satunya membuka kepada seribu pintu. Saya berkata: Demi Allah, ia adalah ilmu. Periwayat itu berkata: Dengan ini (Abu Abdillah) berfikir seketika dan kemudian memberi jawapan: ’Ya, itulah Ilmu’. Ia menambah ‘Wahai Abu Muhammad, pada kami ada ’Jami’ah’. Adakah anda tahu apa ’Jami’ah’ itu? Saya berkata: ’Moga-moga hamba jadi penebus tuan hamba.Hamba ingin tahu apakah ’Jami’ah’ itu. Beliau berkata memberi jawapan: ’’Ia Kitab , panjangnya tujuh puluh hasta Rasul Allah-selawat dan salam atasnya dan zuriatnya-ia ditulis dengan pena, dan Ali sendiri menulisnya dengan tangan kanannya. Kitab itu mengandungi semua perkara yang halal dan yang haram. Bahkan ia mengandungi semua perkara yang manusia dikehendaki mengetahuinya. Ia mengandungi sampai denda kerana kecederaan-kecederaan ringan’. Kemudian ia menunjuk kepada saya dengan jarinya. ’Wahai Abu Muhammad, adakah anda membenarkan saya? Saya menjawab ’Saya jadikan diri saya tebusan tuan hamba. Sesungguhnya hamba bersedia untuk tuan. Perintahkanlah kepada hamba apa yang tuan hamba kehendaki.’ Kemudian periwayat itu berkata: ’kemudian ia mengisyaratkan kepada saya dengan tangannya, katanya ’walaupun denda balasan kerana kecederaan yang sedikit!’ Beliau nampaknya kelihatan marah. Periwayat itu berkata lagi: ’Saya berkata, demi Allah, ini Ilmu!’ Beliau berkata :’Ya, inilah Ilmu! Dan itu bukan semuanya (yakni ada lagi)’. Kemudian beliau berhenti sejenak, dan kemudian ujarnya; ’Ada pada kami ‘al-Jafr’, dan apakah yang mereka tahu tentang ‘al-jafr’ itu? Pencatit itu berkata: ’Saya bertanya’ Apakah itu ‘al-Jafr’? Beliau menjawab: ’Ia bekas daripada kulit yang di dalamnya disimpan ilmu para nabi, para wasi dan pemegang amanah, dan Ilmu dari para ulama terdahulu dari kalangan bani Isra’il’. Periwayat itu berkata: ’’Saya berkata: Ini Ilmu. Ia berkata: ‘Sudah tentu ini adalah Ilmu: dan ini belum lagi tamat semuanya (tetapi masih ada lagi). Kemudian beliau berhenti sejenak dan kemudian berkata: ‘Pada kami ada sebuah naskah Qur’an milik Fatimah( .وان عندنا لمصحف فاطمة) –alaihassalam- dan apakah yang mereka ketahui berkenaan dengan naskah Qur’an milik Fatimah itu? Beliau menjawab: ’Ia naskah Qur’an yang mengandungi apa yang seperti Qur’an kamu, tetapi ia tiga kali ganda daripadanya ( مصحف فيه مثل  قرأنكم هذا ثلاث مرات ). Demi Allah ia tidak mengandungi suatu kalimahpun dari Qur’an kamu( ما فيه   من قرأنكم حرف واحد ).

Dari sini timbul kepercayaan tentang adanya Mushaf Fatimah’ yang menjadi pegangan mereka yang berbeza daripada ‘Mushaf Uthman‘ yang menjadi pegangan seluruh umat Islam. Ertinya mereka mempercayai Qur’an yang ada pada mereka adalah tiga kali ganda besarnya, dan Qur’an yang ada dalam Mushaf Uthman adalah hanya satu pertiga sahaja.

Selain daripada itu terdapat beberapa maklumat berkenaan dengan hal ini dalam ‘al-Anwar al-Nu’maniyyah’[9]

Dalam teks ini terdapat riwayat yang menunjjukan bahawa Qur’an yang yang dikumpulkan oleh Saidina Ali rd adalah asli dan murni dan tidak ada ‘tahrif’ atau perubahan atau pengurangan apa-apa padanya. Riwayat itu ialah seperti berikut :

Terdapat riwayat yang mustafid (yang kurang sedikit daripada mutawatir) bahawa Qur’an yang dikumpulkan oleh Saidina ‘Ali dengan wasiat daripada nabi s.a.w. –yang ia sibuk menghimpunkan enam bulan selepas wafat baginda s.a.w.- kemudian selepas menghimpunnya beliau datang menemui mereka yang tidak segera menjalankan tugas mereka (disebut ‘al-mukakhallifin’) selepas daripada Rasulullah s.a.w., kata beliau: ’Ini Kitabullah sebagaimana yang diturunkan‘. Kata Umar bin al-Khattab kepadanya: ‘Kami tidak memerlukan anda, dan kami tidak memerlukan Qur’an anda. Dengan kami sudah ada Qur’an yang ditulis oleh ‘Uthman. Ali alaihissalam berkata kepada mereka: ’Selepas daripada hari ini anda tidak akan melihatnya lagi dan tidak ada seorangpun yang akan melihatnya sehingga zahirnya anakku (dari zuriatku) al-Mahdi alaihissalam”. dalam Qur’an itu banyak terdapat tambahan-tambahan dan ia sunyi daripada tahrif.[10]

Maka dapat dilihat bahawa al-Qur’an yang sepatutnya menjadi rujukan yang menghimpunkan golongan Ahlissunnah dan Syiah menjadi isu yang membawa kepada perpecahan kerana pendapat mereka yang menyalahi ijma’ ulama umat ini semanjak dari awal lagi. Antaranya disebutkan oleh Muhibbuddin al-Khatib dalam ‘Al-Khutoot al-‘Aridah’ bahawa antara ulama mereka yang menyebut tentang Qur’an tidak murni dan asli ini ialah ulama mereka dari Najaf bernama Mirza Husain bin Muhammad Taqi An-Nawari At-Tabarsi, yang menulis dalam tahun 1292 Hijrah kitabnya ‘Faslul-Khitaab fi Ithbat Tahrif Kitab Rabbil-Arbab’. Kitab ini menarik perhatian para ulama Syiah, dan ia dipertikaikan oleh setengah kalangan dari mereka sebab sebelum ini ajaran tentang ada tahrif pada Qur’an ini diketahui hanya oleh segolongan tertentu ulama mereka sahaja. Bila timbuk kritikan terhadap bukunya itu beliau menulis dua tahun sebelum meninggalnya buku yang mempertahankan pendiriannya itu, berjudul Raddu ba’dush-Shubahaati `an Faslil-Khitaabi fi Ithbati Tahrifi Kitaabi Rabbil-Arbaab.Kerana menghormatinya dengan pendiriannya tentang ada ‘tahrif’ dalam Qur’an golongan Syiah mengebumikannya di tempat suci mereka di Najaf.[11]

Antara yang menakjubkan dalam konsep Qur’an Syiah ini ialah keberadaan Surah al-Wilayah yang mereka membuat tuduhan ia dibuang oleh para Sahabat. Dalam ‘Al-Khutoot al-Areedah’ [12] ditunjukkan ‘Surah al-Walayah’ itu demikian:

Surah itu kalau diterjemah maksudnya lebih kurang seperti berikut:

Wahai orang-orang yang beriman; berimanlah dengan Nabi dan wali (yakni Ali rd) yang Kami bangkitkan keduanya yang memberi hidayat bimbingan kepada kamu ke jalan yang betul. Seorang nabi (Muhammad s.a.w.) dan Wali (yakni Ali) yang setengah dari dua orang itu dari setengahnya dan Aku adalah Maha Mengetahui lagi Maha mendalam TahuNya. Sesungguhnya orang-orang yang menunaikan janji dengan Allah bagi mereka itu Syurga jannatul-Naim; dan orang-orang yang bila dibaca kepada mereka ayat-ayat Kami maka mereka membohonginya; sesungguhnya bagi mereka dalam neraka Jahannam ada tempat yang dahsyat. Bila disebut kepada mereka hari Kiamat (nanti) dimanakah orang-orang zalim yang membohongi para rasul … (diakhiri dengan) dan bertasbihlah kepada Tuhan kamu dan Ali termasuk di kalangan para penyaksi.

Sarjana yang dipercayai Muhammad Ali Sa’udi ketua perunding dan penasihat Kementerian Undang-Undang Mesir waktu itu, juga seorang daripada murid-murid rapat dengan Syaikh Muhammad Abduh berjaya meneliti sebuah manuskrip Parsi dari Iran yang dimiliki oleh Orientalist Brown.

Beliau berjaya membuat fotokopi Surah al-Wilayah itu dengan terjemahan bahasa Parsinya sekali. Keberadaan surah itu diakui oleh Al-Tabarsi dalam kitabnya ‘Faslul–Khitab dan Muhsin Fani al-Ashmeeri dalam bukunya ‘Dabistan Madhahib’ Buku ini yang ditulis dalam bahasa Parsi dicetak banyak kali di Iran, dan Surah al-Wilayah ini disebut oleh Orientalist Jerman Noeldeke dalam bukunya berkenaan dengan sejarah Qur’an.[13]

Bila kitab ‘Faslul-Khitab’ diterbitkan maka para Orientalist yang tidak senang dengan Muslimin dan kitab suci mereka dan para ahli gerakan missionary bergembira; kegembiraan mereka itu mungkin kerana di dalamnya terdapat riwayat-riwayat yang tidak benar dan rekaan yang boleh memberi gambaran buruk tentang keaslian Qur’an dan keutuhan teksnya. Mereka mengusahan terjemahan ke dalam bahasa-bahasa Barat yang boleh mendatangkan menafaat untuk gerakan mereka. Riwayat-riwat di dalamnya menyentuh kedudukan Qur’an, nabi Muhammad s.a.w. dan keagungan para Sahabat yang memberi gambaran yang sangatr negatif tentang semuanya.

Antara riwayat-riwayat Syiah dalam ‘al-Kafi’ oleh al-Kulaini yang membuktikan pendirian Syiah tentang Qur’an, selain daripada di atas ialah seperti berikut.[14]

Saya mendengar Abu Ja’far –alaihissalam- berkata: ‘Tidak ada dari kalangan mereka yang mengaku menghimpunkan Qur’an secara lengkap sebagaimana ia diturunkan melainkan ia pembohong.Tidak ada orang yang menghimpun dan menghafal Qur’an sebagaimana ia diturunkan melainkan Ali bin Abi Talib dan para imam yang selepasnya”.[15]

Dalam kitab Khumeini yang berjudul ‘Kashf al-Asrar’[16] terdapat kenyataan demikian :

“Peribadi-peribadi ini (para Sahabat) tidak ada kena mengena dengan Islam dan al-Qur’an, mereka hanya mahu menggunakan ini semua sebagai jalan untuk keuntungan duniawi dan memegang kekuasaan. Kerana orang yang berusaha untuk menggunakan al-Qur’an demi untuk matlamat-matlamat hina mereka, maka tidak menjadi masalah bagi mereka untuk membuang ayat-ayat (yang menyebut Ali sebagai khalifah selepas nabi s.a.w. dan ketua imamah), untuk membuat tambahan-tambahan dalam ayat-ayat Kitab suci itu, dan menjadikan Qur’an tidak terlihat oleh orang ramai sampai ke akhir zaman. Tuduhan merosakkan (kitab-kitab suci mereka) yang dibuat oleh Muslimin terhadap orang-orang Yahudi dan Kristian mengena ke atas para sahabat ini”.[17]

Dalam kitab yang sama [18] Khumeini  menyatakan:

Kalaulah Imam (untuk memimpin selepas daripada Nabi s.a.w.) disebutkan namanya dalam Qur’an, maka siapakah yang menjamin bahawa tidak akan berlaku perbezaan pendapat di kalangan Muslimin? Ini kerana mereka yang ikut bersama-sama dengan agama Islam dan Nabi Muhammad s.a.w. itu adalah kerana gilakan kekuasaan dan kedudukan, dan semenjak masa yang lama sedang menambahkan golongan penyokong-penyokong mereka, maka mereka ini tidak akan meninggalkan matlamat-matlamat keji mereka kerana ajaran-ajaran Qur’an. Mereka akan menggunakan apa cara sahaja untuk mencapai objektif-objektif mereka, ataupun, kalau demikian, maka perbezaan-perbezaan pendapat yang diadakan itu akan menjadi sedemikian rupa sehingga asas-asas agama Islam itu akan menjadi musnah. Kerana, kemungkinannya ialah kalaulah mereka yang berusaha itu melihat mereka tidak akan mencapai matlamat-matlamat mereka melalui Islam mereka akan bersatu padu pula untu membentuk satu golongan untuk menentang Islam dan akan merosakkannya secara terang-terangan.

Banyak kenyataan-kenyataan Khomeini yang memburuk-burukkan para sahabat terutamanya Abu bakar dan Umar serta Uthman. Allah meredhai mereka. Adalah ajaib sekali bahawa gambaran nabi s.a.w. pada tangan Khomeini sedemikian teruk gagalnya untuk membentuk para sahabat. Adakah ini gambaran yang boleh diterima akal dan agama?

Jelaslah bahawa fahaman berkenaan dengan Qur’an dan para Sahabat yang ada pada golongan Syiah adalah berlainan sama sekali-bahkan bercanggah – dengan apa yang ada pada Ahlissunnah yang merupakan arus perdana umat ini. Orang Barat yang bukan Muslim pun memberi kredit kepada kejayaan nabi s.a.w. membentuk para Sahabatnya.

BAB  II

SYIAH  DAN PENDAPAT MEREKA BERKENAAN  DENGAN SAHABAT:

Golongan Syiah mempunyai pandangan yang sangat tidak menasabah berkenaan  dengan para Sahabat –Allah meredhainya. Mereka menganggap para Sahabat sebagai orang-orang yang berkhianat kepada Rasulullah, mereka murtad selepas wafat nabi s.a.w., mereka mengubah-ngubahkan Qur’an dan mengurang-ngurangkan isinya. Antaranya boleh didapati keterangan berkenaan dengan gambaran ini dalam perenggan-perenggan berikutnya.

Sebelum kita pergi kepada pegangan Syiah berkenaan dengan para Sahabat kita boleh merujuk kepada Qur’an sendiri berkenaan dengan kedudukan mereka itu. Antara ayat-ayat yang menerangkan kedudukan para Sahabat ialah ayat yang berikut:

{‏(والسابقون الأولون من المهاجرين والأنصار والذين اتبعوهم بإحسان رضي الله عنهم ورضوا عنه وأعد لهم جنات تجري تحتها الأنهار خالدين فيها أبدا ذلك الفوز العظيم‏}‏)

Dan orang-orang yang terdahulu yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar” dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.[19]

Ternyata dalam ayat ini kelebihan mereka di kalangan Muhajirin dan Ansar. Mereka yang beriman dengan sebenar-benarnya, bila terbaca ayat ini akan terus tunduk kepadanya dan memuliakan para Sahabat.

Dalam al-Qur’an lagi terdapat ayat berkenaan dengan para Sahabat yang memberi sumpah setia kepada baginda s.a.w. dalam hubungan dengan Perjanjian Hudaibiyyah. Ayat itu ialah:

قَدْ رَضِيَ اللَّهُ عَنِ الْمُؤْمِنِينَ إِذْ يُبَايِعُونَكَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ فَعَلِمَ مَا فِي قُلُوبِهِمْ فَأَنْزَلَ السَّكِينَةَ عَلَيْهِمْ وَأَثَابَهُمْ فَتْحًا قَرِيبًا)

Demi sesungguhnya! Allah reda akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahuiNya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Dia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya;[20]

Ayat ini memberi keterangan berkenaan dengan keutamaan para Sahabat yang berbaiah dengan nabi s.a.w. dan berjanji akan mempertahankan baginda dengan nyawa mereka. Mereka adalah golongan yang mendapat keredhaan Tuhan.  Orang-orang yang beriman akan bersikap dengan sikap yang sebaik-baiknya terhadap para sahabat yang mendapat pendidikan dan asuhan dari baginda s.a.w. dan jauh sekali daripada menentang atau mempunyai sangka yang buruk terhadap mereka.

Tidak syak lagi sebagaimana yang ternyata dalam hadith dan sirah, selain daripada Qur’an, bahawa jasa para Sahabat tidak ada tolok bandingnya. Tanpa para Sahabat yang menyampaikan ajaran Islam kepada kita kita tidak akan mendapat apa-apa dari ajaran yang maha suci ini. Sebab itu kita mendoakan keredhaan Allah terhadap mereka.

Bagaimanakah sikap Syiah terhadap para Sahabat?

Tentang mereka menuduh para Sahabat membuang atau mengubah-ngubah isi Qur’an, sampai tertinggal hanya sepertiga sahaja lagi, itu sudah jelas dari kenyataan sebelum ini dalam hubungan dengan Qur’an.

Dalam hubungan dengan Abu Bakr rd terdapat kenyataan berkenaan dengan nya[21]:

Diriwayatkan oleh Abu Bakr, saya berkata kepada nabi s.a.w. sewaktu saya berada dalam Gua (dalam peristiwa Hijrah): ’Kalau sesiapa dari mereka melihat ke bawah kakinya ia akan melihat kita.Baginda bersabda:’Wahai Abu Bakr! Apakah fikiran anda berkenaan dengan dua orang (iaitu nabi s.a.w dan dia sendiri) yang pihak ketiganya ialah Allah?’

Inilah yang disebutkan dalam Qur’an sebagai ‘orang kedua dari kedua orang’ dan ‘sahabatnya’  dalam ayat:

)إِلَّا تَنْصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللَّهُإِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُواثَانِيَ اثْنَيْنِإِذْ هُمَا فِي الْغَارِإِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَافَأَنْزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِوَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَمْ تَرَوْهَاوَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُوا السُّفْلَىوَكَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

yang bermaksud[22]:

Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Mekah) mengeluarkannya (dari negerinya Mekah) sedang dia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika dia berkata kepada sahabatnya: Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya) dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Ayat ini mengabadikan kemuliaan Abu Bakr rd yang mendapat gelaran ‘orang kedua dalam dua orang’ dan ‘sahabatnya’  dan ‘sahabat dalam gua’.

Yang berjuang dengan Rasulullah s.a.w. dalam peperangannya adalah para Sahabat; yang mengumpulhan Qur’an dan Sunnah adalah para Sahabat. Pendeknya yang menjayakan islam dan membuktikan kegemilangannya adalah para Sahabat; selepas mereka para tabi’in dan  demikian seterusnya. Sejarah Islam tidak akan ada tanpa para sahabat.

Gambaran berkenaan dengan para Sahabat yang ada dalam kalangan umat ini berlainan sekali-bahkan bercanggahan sekali – dengan apa yang ada dalam kalangan orang-orang Syiah.

Dalam hubungan dengan sikap mencela para sahabat ini, antaranya, dinyatakan oleh al-Nawbakhti dalam bukunya ’Firaq al-Syi’ah’[23] bahawa ’Abdullah bin Saba adalah seorang daripada orang-orang yang mencela Abu Bakar, Umar dan Uthman dan lain-lain Sahabat secara terbuka. Ia berlepas diri daripada mereka semua. Dalam suatu peristiwa ia menyatakan bahawa Ali yang menyuruh beliau melakukan demikian. Ali-Allah meredhainya- menghadapinya dan bertanya kepadanya supaya menerangkan tindakannya itu. Ia mengakui kesilapannya. Ali memberi arahan supaya ia dipancung. Orang ramai berteriak: Wahai Amir al-Mukminin! Adakah tuan hamba memutuskan hukum mati atas seorang yang mengajak orang ramai kasihkan tuan hamba dan ahlulbait (keluarga nabi) dan mengajak orang kepada wilayah tuan hamba (supaya menyokong tuan hamba) dan yang berlepas diri daripada bersama-sama dengan musuh-musuh tuan hamba? Maka Ali menmbuangnya ke Mada’in (Ctesiphon) kepala negeri Parsi pada masa itu. Satu kumpulan dari kalangan ahli ilmu dikalangan para Sahabat Ali –alahissalam- meriwayatkan: Abdullah bin Saba adalah seorang Yahudi.Kemudian ia memeluk agama Islam dan menjadi pendokong Ali –alaihissalam.Tetapi Ali biasa berkata : Dia masih Yahudi kerana ia menyatakan Yusha’ bin Nun sebagai ’wasi’ selepas nabi Musa-alaihissalam.Pada masa itu ia berpegang kepada ajaran Islam yang murni, tetapi kemudian daripada wafat Nabi s.a.w. – ia (berubah pegangannya) dan mempunyai kepercayaan berkenaan dengan Ali , yang sama dengan kepercayaannya tentang Yusya’ (bin Nun). (Abdullah) Ibn Saba merupakan orang yang mula-mula sekali yang mengembangkan fahaman bahawa Ali wajib menjadi khalifah (selepas nabi s.a.w.).Ia membersihkan dirinya daripada bersama-sama dengan musuh-musuh Ali .

Dari sini boleh diperhatikan bahawa sesiapa yang menolak golongan Syiah selalu menyatakan: Golongan Syiah dan Rafidah timbul daripada ajaran Yahudi .

Diriwayatkan bahawa bila Abdullah bin Saba sampat ke Ctesiphon sampai kepadanya berita tentang kematian Ali. Ia berkata kepada orang yang menyatakan kematian Ali: ”Kamu berbohong.Kalau kamu membawa otaknya dalam tujh puluh pundi-pundi dan kalau kamu cuba membunuh tujuh puluh orang yang menyaksi kematiannya, kami akan menyatakan bahawa Ali tidak mati atau dibunuh, kerana ia tidak akan mati sehingga ia memerintah seluruh dunia ini.[24]

Ehsan Elahi Zaheer membuat kesimpulan yang menarik berkenaan dengan usaha golongan Yahui yang merosakkan Islam dari dalam. Antara kesimpulan-kesimpulan itu ialah seperti berikut[25]:

Bahawa golongan Yahudi ada membentuk kelompok mereka menggunakan nama Islam  di bawah kendali Abdullah bin Saba; pada zahirnya mereka kelihatan orang Islam tetapi dengan cara rahasia mereka berpegang kepada agama Yahudi; mereka bersedia untuk mengembangkan di kalangan Muslimin kepercayaan dan ajaran yang datang dari agama Yahudi dan yang bersifat kufur.

Mereka nampaknya berusaha untuk memecahbelahkan umat Islam dan juga berusaha untuk menjatuhkan Khalifah ketiga -Allah meredhainya-dan akhirnya mereka menolak bai’ah terhadapnya dan menimbulkan huru hara dalam negara; Muslimin berkelahi sesama sendiri dan perkembangan Islam terhenti. (Pada pandangan penulis ini perkara yang sedemikian ini sesuai dengan kenyataan Qur’an yang menyebutkan bahawa golongan Yahudi dan Nasara tidak akan reda sekali-kali sehingga kamu memeluk agama mereka[26]). Ehsan Elahi Zaheer menganggap bahawa fitnah yang ada dalam zaman awal ini masih ada kesan-kesannya sampai sekarang. Subhana’Llah.

Beliau juga menyebutkan bagaimana golongan Yahudi menimbulkan rasa benci dan dendam terhadap Abu Bakar dan Umar rd serta peribadi-peribadi lain dari kalangan para Sahabat yang memang berjasa dalam menjayakan Islam dan menyampaikannya kepada generasi-generasi kemudian dengan usaha dan pengorbanan mereka yang tidak terkira itu. Mereka menanamkan syak terhadap Qur’an dan kesucian serta kemurniannya dan juga mereka menanamkan kebencian terhadap mereka yang berjasa menjaga Qur’an  dan menyampaikannya sebagaimana yang diamanahkan oleh Rasulullah s.a.w.

Mereka menuduh para Sahabat menjadi kafir murtad selepas nabi s.a.w.-kecuali beberapa orang sahaja di kalangan mereka. Ini tuduhan yang ajaib sekali. Adakah menasabah nabi s.a.w. manusia insan kamil dan penghulu para rasul mempunyai pengikut setia tidak sampai sepuluh orang?

Dalam ‘Rijal al-Kashshi’[27] :’Dari Abu Ja’far –alaihissalam- bahawa: Para Sahabat (kanannas) murtad selepas wafat nabi s.a.w. kecuali tiga orang: Aku bertanya: Siapakah yang tiga itu? Kata beliau: Al-Miqdad bin al-Aswad, Abu Dharr al-Ghifari dan salman al-Farisi…(Jadi semua murtad melainkan tiga orang ini sahaja, ini gambaran yang tidak menasabah sekali pada akal, sejarah, dan bercanggah dengan Qur’an, Sunnah, ijma’ dan jiwa manusia yang sejahtera-uem).

Dalam kitab ‘Ar-Raudah min al-Kafi’ oleh al-Kulaini[28] dinyatakan bahawa dua syaikh itu [iaitu Abu Bakar dan Umar, tidak disebut namanya kerana pada mereka bila disebut ’dua syaikh’ sudah memadai] meninggal dunia [berpisah daripada dunia] walhal keduanya tidak bertaubat dan tidak mendapat pengajaran daripada apa yang dilakukan keduanya kepada Amir al-mu’mini alaihissalam , maka atas keduanya laknat Allah dan para malaikat serta manusia sekeliannya. (Subhana’Llah. Mereka melaknat dua peribadi yang tertinggi dalam Islam selepas nabi s.a.w. Dari segi kerohaniannya Allah mengisytihar perang terhadap mereka berdasarkan hadith Bukhari yang bermaksud ’Sesiapa yang bermusuh dengan waliKu maka Aku isytihar perang terhadapnya (man ’ada li waliyyan faqad adhantuhu bil-harbi…). Pandangan mereka terhadap para Sahabat yang lain boleh diagak daripada sikap mereka terhadap Abu Bakar dan Umar dan juga kenyataan mereka tentang murtadnya Sahabat selepas wafat nabi s.a.w.

BAB III BERKENAAN DENGAN IMAM MAKSUM

Satu daripada dasar-dasar pegangan Syiah ialah kepercayaan mereka tentang Imamah atau imam-imam yang maksum dan kedudukan atau pangkat mereka.

Al-Kulaini dalam kitabnya ‘Al-Kafi’ membuat kenyataan berkenaan dengan kelebihan para imam mereka yang dua belas orang itu (mulai daripada ‘Ali bin Abi Talib, sampai kepada Hasan dan Husain, sampailah kepada Musa Kazim terus akhirnya kepada Muhammad bin Hasan al-Askari yang mereka sedang nanti-nantikan akan muncul di akhir zaman sebagai imam Mahdi mereka).

Setengah daripada kelebihan-kelebihan imam mereka mengikut ‘al-Kafi’ ialah ‘para imam itu mempunyai semua ilmu yang dikurniakan kepada para malaikat, para nabi, dan rasul’; ‘para imam mengetahui bila mereka akan mati , dan mereka tidak mati melainkan dengan pilihan mereka sendiri’; ”para imam itu mengetahui apa yang telah berlaku dan apa yang akan berlaku pada masa akan datang dan tidak ada yang btersembunyi daripada mereka”; ”para imam itu mempunyai ilmu berkenaan  dengan semua kitab suci yang diturunkan , tidak kira dalam bahasa apa kitab-kitab itu  diturunkan”; ”Tidak ada orang yang menghimpunkan Qur’an secara lengkap melainkan para imam, dan mereka mempunyai pengetahuan yang meliputi tentangnya”; ”mukjizat-mukjizat yang ada pada para anbiya ada para para imam”; ”Bila datang masa imam [yang dinanti-nantikan untuk memerintah] mereka akan memerintah mengikut cara nabi Daud dan zuriatnya; para imam ini tidak memerlukan kepada pembentangan dalil-dalil sebelum daripada memutuskan hukuman-hukuman mereka”; ”tidak ada satupun kebenaran yang ada pada sesuatu golongan manusia melainkan itu asalnya daripada imam, dan semua perkara yang tidak timbul daripada imam adalah palsu”; ”seluruh bumi ini milik imam”.[29]

Daripada rujukan klasik mereka sendiri boleh diperhatikan bagaimana golongan Syiah menganggap imam-imam mereka yang dua belas orang itu mempunyai pengetahuan melintasi manusia biasa, bahkan sampai seolah-olah seperti mereka mempunyai kekuasaan seperti Tuhan walaupun mereka tidak menyatakan demikian. Selain daripada itu mereka menafikan pengetahuan tentang perkara yang ghaib oleh Rasulullah s.a.w. walhal perkara yang demikian dikurniakan oleh Allah kepada baginda. Antaranya termasuklah pengetahuan tentang kejadian langit dan bumi serta gambaran berkenaan dengan Syorga dan Neraka. Pendapat seperti ini disebutkan oleh Muhibbuddin al-Khatib dalam ‘al-Khutoot al-‘Areedah’[30] terdapat dalam majalah ‘Risalatul-Islam’ yang diterbitkan oleh Darut-Taqrid, dalam makalah yang berjudul ‘Min Ijtihadati Syi’ah Al-Imamiyyah’ (Setengah daripada ijtihad-Ijtihad Syiah Imamiah). Ketua Mahkamah Tertinggi Syiah  di Lubnan menukil kata-kata Mujtahid Syiah bernama Muhammad bin Hasan Al-Isytiyani:’ Kalaulah nabi membuat kenyataan hukum berkenaan dengan hukum Syara’ berkaitan dengan apa yang membatalkan wudu’ atau hukum-hukum berkenaan dengan darah haidh atau darah lepas beranak, maka wajib kita percaya kepadanya dan wajib kita mengamalkannya. Tetapi kalau Nabi membuat kenyataan berkenaan dengan perkara ghaib tentang penciptaan langit dan bumi, atau para bidadari dalam Syorga dan mahligai-mahligainya, maka tidak wajib kita percaya kepadanya, walaupun diketahui bahawa ia tentu kenyataan yang datang dari dari Nabi”. Ini ajaib sekali bila mereka mempercayai imam-imam mereka mengetahui berkenaan dengan perkara-perkara ghaib tetapi mereka mengambil sikap demikian dengan nabi s.a.w. tanpa apa-apa dalil yang menunjukkan kebenaran sikap mereka itu. Dalam masa yang sama kenyataan itu memberi erti mereka tidak wajib menerima wahyu Tuhan dalam Qur’an yang datang melalui nabi s.a.w. dan juga kenyataan-kenyataan baginda tentang perkara-perkara demikian dalam hadith-hadith yang sahih. (Sikap yang demikian berkait pula dengan sikap mereka yang menganggap para Sahabat murtad selepas wafat nabi s.a.w. melainkan beberapa orang sahaja sebagaimana , antara lainnya, disebutkan dalam ‘Rijal al-Kashshi’ yang sudah disebut di atas).

Dalam ‘al-Hukumah al-Islamiyyah’ oleh Khomeini para imam itu dinyatakan [31] disebutkan mempunyai ‘maqam mahmud’ (dalam Ahlissunnah ia makam khas untuk nabi s.a.w.), ‘darajah yang tinggi’, ‘khilafah takwiniyyatan’-khilafah atas alam semesta (‘cosmic sovereignty’) yang kerana itu semua ‘tunduk kepada kekuasaan atau otoritinya seluruh atom alam ini’. Pada tempat lain dalam kitab yang sama ia disebut selagai ‘tidak terlupa dan lalai’.

Dalam kitab ‘al-Kafi’ oleh al-Kulaini[32] dinyatakan bahawa darjah imamah itu darjah anbia’, pewarisan para wasi (yang menerima pangkat menjadi imam), ia khilafah Tuhan, khilafah Rasulillah,, demikian seterusnya. Dalam sumber yang sama[33] ia disebutkan sebagai ‘…ma’sum, diberi bantuan (oleh Tuhan), diberi taufik, dipandu pada jalan yang betul, aman daripada dosa-dosa, tersilap, tergelincir, Tuhan mengkhususkannya dengan itu semua supaya ia menjadi hujjah atas para hambaNya.

Dinyatakan ia ‘Imam yang bersih daripada dosa, terlepas daripada semua aib, dikhususkan dengan ilmu, ditandai dengan sifat hilm, ia susunan hidup agama, kemuliaan Muslimin, kebinasaan bagi kafirin.[34]

Kepercayaan yang demikian adalah bercanggah  dengan gambaran Qur’an berkenaan dengan para nabi dan rasul serta bercanggah dengan sunnah dan ijma Ahlissunnah yang merupakan ajaran arus perdana umat ini.

Dalam ‘Bihar al-Anwar’ oleh Muhammad Baqir al-Majlisi[35] dinyatakan bahawa para imam Syiah itu ”…menghidupkan mereka yang mati, menyembuhkan penyakit kusta dan juzam, berjalan atas air…”. “apa yang ada pada Rasulullah dikurniakan kepada Ali amir al-mu’minin “ dan kepada para imam Syiah selepas daripadanya.

Berkaitan dengan kepercayaan tentang para imam yang maksum ini ialah kepercayaan tentang imam yang ghaib.Di kalangan mereka ada kepercayaan bahawa imam yang terakhir mereka adalah imam yang ghaib yang akhirnya akan datang ke dunia ini pada akhir zaman untuk menjadi imam Mahdi, Namanya Imam Muhammad bin Hasan al-‘Askari. Mengikut kepercayaan ini imam ke dua belas ini memasuki alam ghaib –ghaibah- di Surra man Ra’a bersekali dengan keluarga dan para pembantu keluarganya sepuluh hari sebelum kematian ayahandanya.Ia akan kembali memerintah  dunia di akhir zaman.[36]

Mungkin orang mempercayai bahawa pegangan ini sudah berubah di kalangan mereka yang memimpin golongan ini. Kenyataan Khomeini dalam ‘al-Hukumam al-Islamiyyah’[37] menunjukkan pendirian mereka adalah seperti dahulu juga sampai sekarang ini, katanya:

Para imam itu mempunyai Makam Terpuji Yang Gemilang (maqam mahmud), kedudukan yang sedemikian mulia dan tingginya yang menjadikannya mempunyai kekuasaan atas alam semesta (khilafatan takwiniyyatan) yang tunduk kepada kekuasaan dan otoritinya seluruh atom alam ini. Dan mengikut apa yang dituntut oleh ajaran agama kita ini yang tidak boleh dibantah-bantah bahawa tidak ada malaikat mukarrabin dan nabi yang diutus menjadi rasul yang sampai kepada darjah imam ini. Sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith-hadith nabi yang agung itu dan para imam wujud dalam bentuk nur mengelilingi Arsy Tuhan dan mempunyai perhampiran dengan Tuhan yang diketahui olehNya sahaja. Sama seperti ahli teologi Syiah Ithna Asyariyyah yang lainnya, selepas lebih daripada seribu tahun akidah ini masih hidup dan menjadi pegangan orang ramai di kalangan mereka.

Sebelum habis bahagian ini kita boleh memberi perhatian lagi kepada tajuk tentang kepentingan para imam ini sebagaimana yang ada tercatit dalam ‘Usul al-Kafi’[38]; dinyatakan bahawa urusan imamah adalah … termasuk ke dalam urusan menyempurnakan agama, dan imamah ini bermula dengan Ibrahim a.s.s. yang disebutkan bagaimana ia dijadikan ‘imam’; terus menerus imamah itu berjalan dalam zuriatnya sampai kepada nabi Muhammad s.a.w. dan selepas baginda ia terjatuh kepada Ali bin Abi Talib. Dengan ini timbul pemujaan mereka terhadap Ali dan para imam mereka  yang melampaui batas. Konsep mereka tentang para imam yang memerimntah alam dengan pelbagai sifat-sifat itu sampai menjadikan mereka seolah-olah menyamai Tuhan sendiri dan mengtatasi para nabi dan rasul a.s.s. Dalam Ahlissunnah tidak ada manusia yang mengatasi nabi dan rasul.

BAB KE IV

PEGANGAN SYIAH BERKENAAN DENGAN SIFAT TUHAN: AL-BADA

Al-bada’ ertinya nyata atau zahir selepas daripada tersembunyi (al-zuhur ba’dal-khafa’).[39] Ini boleh difaham ertinya daripada ayat Qur’an:

(   وبدا   لهم من الله ما   لم   يكونوا يحتسبون  )

Ertinya: Maka menjadi nyatalah bagi mereka, (azab) daripada Allah, yang sebelumnya mereka tidak menyangkanya. [40] Ataupun ertinya ialah timbulnya pandangan baharu yang sebelumnya tidak ada , seperti dalam firman Allah

( ثم   بدا لهم من بعد ما رأوا الايات ليسجننه حتى   حين )

Ertinya: Kemudian timbul  fikiran pada mereka setelah melihat tanda-tanda (tentang benarnya Yusuf dan bersih peribadinya) yang patut mereka memasukkannya ke dalam penjara buat beberapa waktu.[41]

Mereka menisbahkan ’bada’ dalam erti yang tersebut di atas itu kepada Allah taala yang maha mengetahui, maka ini adalah perkara mustahil. Ini kerana kalau demikian kita menisbahkan kepada Allah sifat jahil kemudian timbul ilmu padaNya. Ini kerana Ilmu Allah adalah sifat yang kadim dan abadi kekal bersama-sama dengan zatnya tidak bercerai atau berpisah daripadaNya. Ini jelas daripada ayat Qur’an yang sangat banyak itu. Antaranya ialah ayat ini:

(  وعنده مفاتح الغيب لا   يعلمها الا   هو ويعلم   فى  البر والبحر وما تسقط   من ورقة الا  يعلمها ولا حبة فى  ظلمات  الارض ولا    رطب ولا   يابس الا فى كتاب  مبين  )

Ertinya: Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib; tidak ada yang mengetahuinya melainkan Dia Sendiri; dan Ia mengetahui apa yang di darat dan di laut’; dan tiada sehelai daunpun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya; dan tidak jatuh sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering melainkan termaktub dalam Kitab Yang Nyata (yakni al-Lauh al-Mahfuz).[42]

Fahaman mereka tentang al-bada yang dinisbahkan kepada Tuhan ini adalah berlawanan dengan akidah Ahlissunnah wal-Jamaah yang berdasarkan kepada Qur’an, Sunnah dan ijma’. Misalnya dalam ‘Al-Arba’in fi Usul al-Din’ oleh Imam al-Ghazali rd yang memberi huraian ringkas tentang sifat ilmu Tuhan dalam Ahlissunnah, katanya :

وأنه عالم بجميع   المعلومات , محيط   بما  يجرى فى تخوم الارضين الى أعلى السموات , لا يعزب عن   علمه مثقال ذرة فى الارض ولا فى السماء , بل يعلم دبيب النملة السوداء على   الصخرة الصماء فى  الليلة الظلماء , ويدرك حركة الذر فى جو الهواء , ويعلم السر وأخفى , ويطلع على هواجس الضمائر , وحركات الخواطر , وخفيات السرأئر  بعلم   قديم أزلى , لم   يزل  موصوفا به فى أزل الآزال , لا   بعلم متجدد حاصل فى ذاته بالتحول والنتقال

Ertinya : Dan Ia (Allah) mengetahui sekelian maklumat, mengetahui secara meliputi semua yang berlaku dari bahagian terkebawah dari semua bumi sampai ke langit-langit yang tertinggi sekali, Tidak terlepas daripada IlmuNya satu zarah di bumi dan di langit, bahkan (tidak terlepas daripada IlmuNya itu) rangkak semua hitam atas batu yang pejal pada malam gelap pekat , (dan IlmuNya) mengetahui gerak atom di angkasa, dan Ia mengetahui yang tersembunyi dan yang lebih tersembunyi lagi daripada itu, Ia mengetahui bisikan hati kecil manusia, gerak fakir mereka, perkara-perkara rahasia dalam batin makhluk, dengan Ilmu Yang Kadim dan Azali,  terus menerus Ia bersifat dengan sifat itu dari azal segala azal lagi, bukannya  dengan ilmu yang baharu datang yang berpindah masuk ke dalam zatNya …[43]

Berkenaan dengan akidah al-Bada ini kita boleh membaca riwayat Syiah dalam kitab ’Usul al-Kafi’ dalam bab yang penuh berkenaan dengan al-bada di namakannya (bab al-bada’). Di dalamnya banyak riwayat-riwayat.Antara yang banyak itu ialah yang bermaksud:

Dari Zurarah bin A’yun dari seorang dari dua (imam), katanya: Tidak ada sesuatu (yang paling utama sekali) yang dengannya Tuhan disembah (oleh hambaNya) (yang sedemikian tinggi nilainya) seperti al-bada’ (ertinya Allah tidak mengetahui sesuatu kemudian bila terzahir baharulah Allah mengetahuinya).[44]

Antara riwayat dalam bab berkenaan dalam kitabnya ialah yang datang dari al-Rayyan ibn al-Salt yang menyatakan bahawa ia mendengar daripada al-Rida (Ali bin Musa, imam ke lapan Syiah) katanya: Allah tidak mengutuskan nabi melainkan ia menyatakan arak itu haram, dan bahawa ia juga mengakui tentang al-bada’ (dalam erti kalau keadaan baharu timbul maka itu boleh menyebabkan berubah ketetapanNya ) bagi Allah.[45]

Antara riwayatnya juga ialah yang berikut: Al-Nawbakhti meriwayatkan bahawa Ja’far ibn Muhammad al-Baqir memutuskan bahawa anaknya Isma’il menjadi imam, dan mengisyaratkan yang demikian itu masa hayatnya. Tetapi Ismail meninggal dunia, dan beliau sendiri masih hidup. Maka beliau dilaporkan sebagai berkata: Sesuatu berlaku dan itu menyebabkan Allah mengubahkan ketentuanNya, sama juga seperti sesuatu perkara berlaku itu menyebabkan Allah mengubahkan ketentuanNya tentang anak lelaki saya Ismail.[46]

Antara riwayat berkenaan dengan al-bada ini ialah: Dilaporkan bahawa al-Kulaini meriwayat: dari Ja’far, katanya: (Pada Hari Kiamat) Abd al-Muttalib akan dibangkit sebagai suatu umat.Ia akan memakai tanda-tanda kebesaran raja-raja dan alamat-alamat kemuliaan para nabi. Ini kerana ia orang yang mula-mula memasyhurkan kenyataan berkenaan dengan al-bada’.[47]

Apapun juga huraian dan alasannya sifat al-bada bercanggah dengan sifat-sifat Allah yang diajarkan dalam Qur’an, Sunnah dan ijma’ umat ini. Oleh itu ia mesti ditolak.

BAB KE V

PEGANGAN SYIAH BERKENAAN AL-RAJ’AH

Satu lagi akidah besar Syiah ialah apa yang diistilahkan sebagai ‘al-raj’ah’; ertinya sebelum daripada berdirinya kiamat semua makhluk dihidupkan semula dan mereka menerima hukuman mereka; selepas daripada menerima hukuman itu baharulah mereka mati dan kemudian berlaku kiamat.

Antaranya disebutkan dalam kitab ’Muntahal Amal’ karangan Syaikh Abbas al-Qummi[48] bahawa dilaporkan yang Ja’far Sadiq berkata: ”Tidak termasuk ke dalam golongan kami orang yang tidak beriman dengan raj’ah kami (yakni akidah raj’ah mereka) dan tidak berpegang kepada halalnya nikah mut’ah”.

Diriwayatkan bahawa Muhammad al-Baqir al-Majlisi menukilkan iaitu maksudnya: Diriwayatkan oleh ibn Babuwaih dalam ‘Ilal al-Shara’i’ dari Imam Muhammad al-Baqir alaihissalam, katanya: Bila Imam Mahdi timbul maka Siti Aisyah (isteri Rasullah, ibu orang yang beriman) akan dihidupkan oleh beliau dan akan dilakukan hukum had atasnya oleh imam itu”.[49]  Ini timbul daripada tuduhan mereka yang siti Aisyah melakukan zina, la haula wa la quwwata illa billahi’l’aliyyil-’azim.

Dalam hubungan dengan al-Raj’ah ini diriwayatkan dari Imam Muhammad al-Baqir alaihissalam, dalam ’Tafsir al-Qummi’ dan ‘Tafsir al-’Iyashi’ maksud dalam ayat ‘al-akhirah’ al-raj’ah, dan erti ‘al-raj’ah’ itu ialah bahawa Rasulullah dan para imam Syiah dan golongan khusus dari orang-orang yang beriman dan golongan khusus daripada orang-orang kafir sebelum berdiri kiamat supaya terserlah dan tinggi kebaikan dan keimanan dan dihukumkan kekufuran dan kemaksiatan.[50]

Diriwayatkan oleh Mulla Muhammad al-Baqir al-Majlisi dalam ’Haqqul Yaqin’ dengan panjang dan sempurna riwayatnya tentang hal raj’ah ini. Kesimpulannya ialah bahawa bila zahir al-Mahdi pada akhir zaman, sebelum berdiri kiamat, maka ia akan membelah jidar pada makam Rasulullah s.a.w. dan dikeluarkannya Abu Bakar dan Umar dari kubur mereka berdua, kemudian akan mensalibkan mereka.[51] La haula wa quwwata billahil-’aliyyil-azim.

Kemudian disebutkan tentang tindakan Mahdi waktu raj’ah itu: Kemudian (Mahdi) akan menyuruh manusia berhimpun, maka kekufuran dan kezaliman yang zahir semenjak dari permulaan dunia sampai ke akhirnya, semua dosa-dosa itu akan ditulis ke atas dua mereka (iaitu Abu Bakar dan Umar) dan juga yang ditumpahkan daripada darah keluarga nabi Muhammad dalam mana-mana zaman bahkan tiap-tiap darah yang ditumpahkan dengan tiada hak yang sebenarnya, dan tiap-tiap jimak yang haram yang berlaku, dan tiap-tiap harta riba atau harta haram yang dimakan, dan tiap-tiap dosa dan kezaliman yang berlaku, sehingga zahirnya Mahdi, semuanya itu akan dikirakan dalam amalan kedua orang itu (iaitu Abu Bakar dan Umar).[52]

Dalam satu lagi riwayatnya tentang akidah rekaan yang paling berat ini ialah seperti berikut.[53]

Dalam riwayat-riwayat dari Ja’far Sadiq: katanya bahawa Amir al-Mu’minin (yakni Ali rd) alaihissalam kembali hidup bersama-sama anaknya Husain dalam raj’ah itu, dan hidup kembali (sebelum kiamat itu) bersama-samanya Banu Umayyah, Mu’awiyah dan keluarga Mua’awiyah dan tiap-tiap orang yang membunuhnya, maka ia akan mengazabkan mereka dengan membunuh dan lain daripada itu.Dan Allah akan menghidupkan kembali (sebelum kiamat) dari orang-orang Kufah seramai tiga puluh ribu orang dan dari kalangan manusia lain tujuh puluh ribu orang.

Demikianlah seterusnya riwayat itu menyebut beberapa perkara rekaan yang sukar difahami dengan akal yang sejahtera.Misalnya Muawiyah dan para sahabatnya akan dihukum bun uh di tempat berperang dahulu di Siffin; kemudian mereka dihidupkan dan dibunuh lagi diazabkan bersama-sama dengan Fir’aun dengan azab yang seberat-beratnya; kemudian berlaku raj’ah lagi bersama-sama dengan nabi s.a.w. berserta dengan para anbia dan nabi s.a.w. menyerahkan benderanya kepada Ali rd dan setiap nabi berada di bawah bendera ini.Demikian seterusnya .[54]

Jelas bahawa akidah raj’ah ini akidah yang tidak ada dalam ajaran Islam. Maka akidah tambahan yang seperti ini membawa kepada binasanya Islam seseorang itu; tambahan lagi pula dengan perkara-perkara rekaan tentang para sahabat dihukum dan manusia lainnya dihukum oleh Imam Mahdi itu.

BAB KE VI

PEGANGAN SYIAH BERKENAAN DENGAN AL-TAQIYYAH

Antara dasar-dasar ajaran Syiah ialah ‘taqiyyah’ iaitu sifat berpura-pura demi untuk menjaga kepentingan mereka. Dalam Bahasa inggeris ’taqiyyah’ diterjemahkan sebagai ‘dissimulation’, yang ertinya berpura-pura demi untuk sesuatu muslihat. Mengikut ajaran ini maka seseorang itu menunjukkan persetujuan walhal ia tidak bersetuju dengan sesuatu itu, kerana hendak beramal dengan taqiyyah; ia menunjukkan sikap tidak bersetuju dengan sesuatu walhal ia bersetuju sebenarnya, kerana hendak beramal dengan taqiyyah untuk mendapat ganjaran daripadanya.

Dalam ‘al-Usul Minal-Kafi’[55] dinyatakan riwayat bahawa Abu ‘Abdillah berkata: ”Bertaqwalah kamu dalam agama kamu dan lindungilah ia dengan taqiyyah, maka sesungguhnya tidak ada iman bagi orang yang tidak mengamalkan taqiyyah…’

Dalam punca yang sama [56]terdapat kenyataan dikatakan dari Abu Abdillah juga bahawa dalam bubungan dengan ayat Qur’an yang bermaksud ‘Tolaklah apa yang buruk itu dengan kebaikan’ katanya ‘apa yang baik’ itu ialah ‘taqiyyah’ dan kejahatan itu berkata benar dengan terang-terang’ (al-idha’ah).

Dalam ‘al-Usul Minal-Kafi’[57] dilaporkan bahawa Abu Abdillah berkata: Adalah bapaku alaihissalam berkata: Apakah sesuatu yang lebih menyejukkan mataku daripada taqiyyah? Sesungguhnya taqiyyah ialah perisai orang yang beriman’ (junnah al-mu’min).

Dalam ‘Tafsir al-Burhan’[58]dilaporkan riwayat dari Ja’far bin Muhammad dari bapanya bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Tidak ada iman bagi orang yang tidak ada taqiyyah, Allah berfirman melainkan mereka menjaga diri daripada mereka kerana takut (sesuatu bahaya daripada mereka).

Dalam tafsir ini disebutkan bahawa ayat Qur’an ini memberi rukhsah untuk seseorang menunjukkan yang zahir padanya yang berlainan daripada yang batinnya…taqiyyah orang mukmin itu katanya ialah keringanan baginya beragama dengan agama orang kafir, sembahyang dan puasa dengan agama itu, bila ia bertaqiyyah, walhal pada batinnya ia beragama dengan agama Allah, yang berlainan daripada yang demikian.[59]

Ajaran berkenaan dengan taqiyyah ini berlawanan dengan sifat Rasulullah s.a.w. yang diajarkan dalam Ahlissunnah wal-Jamaah bahawa baginda itu bersifat dengan sifat siddik dan amanah; kalau nabi s.a.w. pun beramal dengan taqiyyah atau kepura-puraan maka tidak ada lagi sifat benar dan amanah; ini bukannya ajaran Islam. Lagipun soal bertaqiyyah itu timbul bila seseorang itu takutkan bahaya atas diri atau agamanya.Bagi nabi s.a.w. apakah pula yang ditakutkan atas agamanya? Baginda dijamin perlindungan dari bahaya umat manusia.

Kalau orang mukmin bertaqiyyah dalam erti berpura-pura, maka hilanglah daripadanya agamanya.Kalau hendak ditanya: Apakah muslihat nabi s.a.w. bertaqiyyah dengan Abu Bakar, Umar dan Uthman ? Apakah baginda menjadikan mereka itu  bapa mertuanya atau menantunya kerana taqiyyah? Kalau demikian maka Rasulullah bertindak berlawanan dengan apa yang diperintahkan oleh Allah supaya menyampaikan agamanya sebagaimana yang diturunkan kepadanya.

Amalan taqiyyah ini menyebabkan runtuh agama seseorang, dan ia menyebarkan perasaan tidak percaya mempercayai antara orang-orang yang beriman. Dan bila kita mengetahui ajaran ini maka bila ada seseorang Syiah yang sembahyang di belakang imam Ahlissunnah yang pada zahirnya kelihatan baik dan menenangkan hati, sebenarnya itu boleh dipandang sebagai taqiyyah untuk menguntungkannya! Dengan itu hubungan manusia antara satu dengan lain terganggu dan rosak dengan ajaran yang seperti ini.

Memadailah untuk kita melihat dasar taqiyyah ini, yang dikatakan oleh mereka amalan nabi s.a.w. –dijauhkan Allah- dengan kita mengingatkan bahawa dalam ajaran Ahlissunnah para nabi mempunyai sifat-sifat sidik, benar, amanah, tabligh, dan fatanah. Dan benar ertinya mereka tidak berbohong, dan amanah ertinya mereka menjalankan tugas mereka dan berkira bicara dengan manusia dengan jujur dan amanah tanpa pengkhianatan, dan tabligh ertinya mereka menyampaikan kebenaran dengan sebenar-benarnya tanpa berselindung atau berpura-pura.Dan mereka mempunyai sifat fatanah ertinya mereka bijaksana dalam menyampaikan seruan mereka serta menegakkan kebenaran tanpa teragak-agak dan berbelah bagi. Kalau demikian maka mustahil ajaran taqiyyah itu menjadi amalan dan ajaran mereka. Menisbahkan taqiyyah dalam erti berpura-pura itu adalah bercanggah dengan akidah Ahlissunnah dan membawa seseorang yang mempunyai pegangan demikian terkeluar daripada agama ini. Dijauhkan Allah.

BAB KE VII

PEGANGAN SYIAH BERKENAAN DENGAN KAHWIN MUT’AH

Dalam hubungan dengan kahwin mut’ah, ertinya kahwin sementara, terdapat beberapa kenyataan dalam teks-teks Syiah.Antaranya ialah seperti berikut:

Diriwayatkan dalam kitab ‘Man La Yahduruhul-Faqih’[60] bahawa ”Orang mukmin itu tidak sempurna imannya sehingga ia melakukan mut’ah”. Di sini disebutkan syarat sempurna iman ialah dengan melakukan mut’ah.Amat sukar kita memahami bagaimana pemikiran seperti ini muncul, walhal dalam Ahlissunnah wa al-Jamaah  terdapat ijma’ bahawa kahwin mut’ah adalah haram.

Terdapat riwayat yang dicatitkan dalam teks yang sama[61] bahawa Rasullah dikatakan bersabda: Sesungguhnya Allah taala menghalalkan untuk kamu kemaluan (wanita) dalam tiga pengertian: perkahwinan yang kekal (yang biasa berlaku), kahwin yang tidak mendatangkan warisan iaitu mut’ah, dan (kemaluan) hamba milik kamu”

Dalam kitab ‘Bihar al-Anwar’[62] diriwayatkan bahawa Jaafar al-Sadiq berkata :Tidak termasuk golongan kami orang tidak beriman tentang raj’ah kami (merujuk kepada kepercayaan tentang raj’ah) dan tidak menghalalkan mut’ah kami” (dalam ajaran Syiah). Dengan ini disebutkan kepercayaan halalnya mut’ah sebagai syarat berada dalam ajaran Syiah.

Dalam tafsir ’Minhaj al-Sadiqin’[63] dilaporkan pada sisi mereka bahawa Rasulullah bersabda: Siapa yang bermut’ah sekali, maka darjahnya seperti darjah saidina Husain, alaihissalam, dan siapa yang bermut’ah dua kali, darjahnya seperti darjah saidina Hasan, dan siapa bermut’ah sebanyak tiga kali maka darjahnya seperti darjah Ali bin Abi Talib. Dan siapa bermut’ah sebanyak empat kali, darjahnya seperti darjahku (iaitu darjah Rasulullah s.a.w. sendiri).

Dilaporkan dalam tafsir oleh al-Kashani juga[64] bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa yang keluar daripada dunia walhal ia tidak melakukan mut’ah, maka ia orang yang terpotong-potong anggotanya (ajda’).

Dalam tafsir yang sama terdapat riwayat yang menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Dan Jibril datang kepadaku dengan membawa hadiah dari Tuhanku, dan hadiah itu ialah bermut’ah dengan wanita yang beriman walhal Allah tidak pernah memberi hadiah ini kepada seorangpun dari anbia sebelumku…Ketahuilah bahawa mut’ah itu dikhaskan oleh Allah kepadaku kerana kemuliaan darjahku atas sekelian anbia yang terdahulu. Maka siapa yang bermut’ah sekali dalam hidupnya jadilah ia dalam kalangan ahli syurga…dan bila lelaki yang bermut’ah dan wanita mut’ahnya berada dalam satu tempat maka turun atas mereka itu malaikat yang menjaga mereka berdua sehingga mereka berpisah, dan kalaulah mereka berdua bercakap-cakap antara satu dengan lain, maka percakapan mereka itu adalah zikir dan tasbih, dan bila seorang daripadanya menmegang tangan yang seorang lagi itu, maka gugurlah dosa dari jari-jari keduanya , dan bila seorang mencium temannya maka dicatit dengan setiap ciuman itu pahala haji dan umrah, dan dicatitkan hubungan keduanya itu dengan tiap-tiap keinginan syahwat dan kelazatannya pahala seperti bukit  yang menjulang tinggi…

Demikian seterusnya dengan maklumat-maklumat yang sukar dimengerti mengikut akal yang sejahtera.

Dan dalam kitab Khumaini sendiri di bawah ’al-nikah al-munqati’’[65] bahawa nikah mut’ah boleh dilakukan walau dengan isteri orang lain, hanya hukumnya makruh. Subhana’llah.

Dalam kitab ’Biharf al-Anwar’ yang sama diberikan kenyataan tentang kahwin mut’ah itu.[66] (al-Hidayah): Adapun mut’ah itu dihalalkan oleh Rasulullah s.a.w dan tidak diharamkan oleh baginda sehingga baginda wafat. Bila seseorang lelaki hendak melakukan mut’ah dengan perempuan maka hendaklah ia itu wanita yang beragama dan diamankan orangnya, maka tidak harus ia bermut’ah dengan wanita penzina, atau yang tidak diamankan. (Bila terdapat wanita yang wajar untuk mut’ah itu) hendaklah ia berkahwin dengannya dengan berkata: Aku bermut’ah dengan anda untuk diriku mengikut Kitab Allah dan sunnah nabinya s.a.w. dengan nikah yang bukan kekejian dengan sekian sekian dirham (sebagai maskawinnya) hari sekian sampai ke hari sekian; maka bila sampai habis tempohnya berlaku perpisahan tanpa ada talak (lagi), dan dikirakan iddahnya empat puluh lima hari, maka kalau wanita itu datang membawa anak maka wajib lelaki itu menerimanya (sebagai anaknya) dan tidak boleh ia mengingkarinya.

Dalam buku ’Mengapa Kita Menolak Syiah’[67] terdapat hasil persidangan kebangsaan Indonesia tentang Syiah dalam 21 September tahun 1997. Antara isinya ialah menyanggahi konsep Qur’an dan Sunnah yang ada dalam ajaran Syiah, termasuk juga nikah mut’ah yang mendatangkan bencana ke atas para mahasiswi di pusat-pusat pengajian tinggi Indonesia. Persidangan itu menolak ajaran Syiah dan mahu supaya Indonesis kekal dengan ajaran Ahlissunnah wa al-Jamaahnya.

BAB  VIII

SIKAP SYIAH TERHADAP PIHAK BERKUASA NEGERI-NEGERI ISLAM

Sikap Syiah terhadap kerajaan-kerajaan dalam negeri-negeri Islam perlu diberikan perhatian yang serius. Ini kerana pada pandangan mereka-yang timbul daripada akidah mereka tentang imam –imam maksum mereka- bahawa semua kerajaan semenjak kewafatan nabi s.a.w sampai sekarang semuanya tidak sah.Yang sah hanya kerajaan Ali bin Abi Talib dan kerajaan Syiah yang ada sekarang (misalnya sebagaimana yang kerap disuarakan oleh Khumaini). Dengan itu maka orang Syiah tidak perlu setia kepada mana-mana kerajaan yang sedemikian. Bahkan pada mereka mesti diamalkan sikap yan disebut sebagai taqiyyah.

Pada mereka semua kerajaan dalam alam Islam diasaskan dengan kekerasan dan kezaliman dan oleh itu ia tidak sah. Yang sah hanya kerajaan oleh imam dua belas mereka, sama ada pemerintahan mereka itu berlaku secara langsung atau tidak langsung.Adapun kerajaan-kerajaan lain mulai yang dipimpin oleh Abu Bakar, Umar dan Uthman, dan seterusnya adalah kerajaan-kerajaan yang muncul secara zalim dan dianggap para penindas umat. Inilah sikap mereka terhadap semua kerajaan, tidak kira bagaimana besarnya jasa pemimpin-pemimpin itu terhadap agama Islam dan umat serta umat manusia.

Sikap yang sedemikian juga yang diambil oleh mereka dalam zaman Abbasiah kemudiannya bila kerajaan Islam itu berhadapan dengan tentera Hulagu yang menyerang tamadun Islam di bawah khalifah Islam itu. Sebagai contohnya Nasir al-Tusi ahli falsafah dan sarjana Syiah itu menulis syair memuji khalifah al-Musta’sim; kemudiannya peribadi ini mengambil sikap yang berlainan, menimbulkan penentangan terhadap khalifah yang melindunginya, dengan itu mempercepatkan kebencanaan berlaku ke atas Baghdad; di situ beliau memerhatikan sendiri penyembelihan sedemikian ramai Muslimin oleh tentera itu.Al-Tusi yang sama inilah juga yang membenarkan kitab-kitab dilemparkan ke dalam sungai yang menyebabkan airnya menjadi hitam dengan dakwatnya; kitab-kitab yang hilang itu ialah dalam bidang-bidang seperti sejarah, sastera, termasuk kitab-kitab ilmu –ilmu syariat. Ini merupakan kebencanaan budaya tanpa taranya.

KESIMPULAN

Sebagai kesimpulannya kita boleh perhatikan bahawa golongan Syiah bercanggah dengan Ahlissunnah dalam perkara-perkara pokok dan bukannya perkara-perkara cawangan. Biasa kita mendengar kenyataan bahawa golongan-golongan Islam itu semuanya sama dalam perkara-perkara pokok mereka hanya berlainan dalam perkara-perkara cawangan. Sebagaimana yang boleh diperhatikan dalam bab-bab di atas bahawa sebenarnya perbezaan berlaku dalam perkara-perkara yang paling pokok dalam agama dan bukan hanya perkara-percara cawangan.

Golongan Syiah memanggil Abu Bakar dan ‘Umar sebagai ‘al-jibt wa at-taghut’, sampai sekarang dan ini tidak berubah. Mereka tidak menerima golongan yang bukan Syiah walaupun orang-orang dalam kalangan keluarga nabi s.a.w. Mereka menuduh para Sahabat merosakkan Qur’an dengan mengurangkan isinya sampai yang baki hanya sepertiga daripada asalnya; dan mereka menyatakan bahawa mereka mempunyai ‘Sahifah Fatimah’, berlainan daripada ‘Mushaf Uthman’ yang ada pada Muslimin di seluruh dunia itu. Ini bukannya perkara furu’. Mereka mahu kita menolak walaupun isteri nabi s.a.w. seperti Aisyah dan Hafsah; mereka menyuruh kita menolak menantu Rasulullah seperti Umar dan ’Uthman, serta menolak sahabat dan mertua baginda iaitu Abu Bakar. Mereka menyuruh kita percaya kepada Imam Mahdi mereka Muhammad bin Hasan al-‘Askari walhal itu peribadi khayalan yang tidak pernah ada dalam sejarah. Lebih berat lagi ialah konsep mereka tentang raj’ah dan kahwin mut’ah yang boleh memporak-perandakan keluarga dan masyarakat. Muslimin wajib mengelak diri daripada pegangan dan amalan seperti ini; dan kalau sesiapa yang tersilap berpegang kepadanya kerana terpengaruh dengan propaganda pihak mereka wajib ia kembali kepada Islam sebenarnya dan bertaubat daripada kebencanaan fahaman yang tersasul jauh itu. Bagi pemerintah mesti ini difahami dan golongan ini mesti diwaspadai sebab dalam sejarah Islam sudah beberapa kali berlaku pengkhianatan daalam kalangan mereka terhadap pemerintah yang berfahaman Ahlissunnah wa al-Jamaah. Wallahu a’lam.


[1] Dalam perbincangan berkenaan dengan Ahlissunnah wal-Jamaah dalam bahagian pertama buku ini.

[2]Ini boleh dilihat on-line dalam:  http://www.islamawareness.net/Deviant/Shia/khutoot.html

[3] Ibid.

[4] Buku Khumeini ‘al-Hukumah al-Islamiyyah’ halaman 52

[5]Dalam ‘al-Hukumah al-Islamiyyah’.

[6] Al-Qiyamah (75) 17-19.

[7]  ‘Al-Itqan fi ‘Ulum al-Qur’an’ oleh al-Suyuti bab tentant turun Qur’an dan pengumpulannya,  jilid I

[8] ‘al-Kafi fi’l-Usul, kitab al-Hujjah, bab berkenaan sebutan al-sahifah wa l-jafr edisi Tehran jilid 1 halaman 239-241.  Lihat ‘al-Ja’fariyyah’ oleh UstazMuhammad Asri Yusoff,  halam 130. Buku ini banyak mengandungi bahan-bahan terdiri daripada teks-teks utama Syiah .

[9] Oleh Sayyid Ni’matullah al-Mausawi al-Jaza’iri  jilid 2hal.360

[10]Ibid. jld 2 hal.360. Lihat Muhammad Asri op. cit.halm.186.

[11] Ini ada dalam kitab ‘Tuhfah al-Ithna ‘Ashariyyah’ oleh ‘Abd al-‘Aziz al-Dihlawi, juga boleh dilihat  dalam  ‘al-Khutoot al Areedah’ oleh Muhibbuddin al-Khatib dalam http://www.islamawareness.net/Deviant/Shia/khutoot.html

[12] Ibid.

[13]Al-Khutoot Al-Areedah.ibid.

[14] Al-Kulaini, ‘Al-Kafi’

[15] Al-Kulaini, ‘Al-Usul minal-Kafi’ jil.1 Kitab al-Hujjah, hal.228.

[16] Lihat ‘Islam and the Earliest Muslims’ oleh Maulana Abul Hasan ‘Ali al-Nadawi, hal.32, 33.

[17] Dalam ‘Kash al-Asrar’. (edisi Dr Muhammad Ahmad Khatib) ,Dar ‘Ammar linnashr wttauzi’,  1987, hal.131.

[18] Ibid.Hal.130.

[19] Surah al-Taubah: 100.

[20] Surah al-Fath ayat 18.

[21] Hadith al-Bukhari berkenaan dengan kelebihan para Sahabat (kitab 57) no.5 .

[22] Surah al-Taubah ayat 40

[23] Lihat dalam ‘The Shiiites and the Sunna’ oleh Ehsan Elahi Zaheer, terbitan Idara Tarjuman l-Sunnah, Lahore., 1984 hal.31-32.

[24] Al-Nawbakhti, ‘Firaq al-Shi’ah’, edisi Hydariyyah press, Najaf, 1379/1959 hal 33, 34.Lihat ‘The Shiites and the Sunna’, oleh Ehsan Elahi Zaheer, hal 31-32.

[25] ‘The Shiites and the Sunna’, hal 33-35.

[26] Lihat Qur’an al-Baqarah ayat 120.

[27] Rijal al-Kashshi oleh Abu Ja’far Muhammad bin al-Hasan bin ‘Ali al-Tusi , jilid 1 riwayat ke 12 bertajuk ‘Salman al-Farisi’.

[28] Jilid ke 8 edisi 1389 Qamariah/1348 Syamsiah, hal.246 .

[29] Al-Kulaini, ‘Al-Kafi’ dalam ‘kitab al-hujjah’ jilid I yang menyebut tentang keutamaan para imam.

[30] Op.cit.

[31] Hal 52 dan beberapa tempat yang lain  yang menyebut kelebihan para imam yang maksum dan tidak lalai atau terlupa itu..

[32] Jilid I hal.200

[33] Ibid.jilid I hal 203.

[34] Ibid. jilid I, hal.200

[35] Jilid 27 bab para imam menghidupkan orang yang mati, menyembuhkan penyakit kusta dll, ada pada mereka mujizat-mujizat para nabi. Muka 29.

[36] Usul al-Kafi,  202, 207.

[37] Hal.52.

[38] Jilid I hal.199

[39] Lihat ‘Butlan ‘Aqa’id al-Shi’ah’ oleh Muhammad ‘Abd al-Sattar al-Tunaswi, hal.23.

[40] Al-Zumar 47.

[41] Yusuf.35.

[42] Al-An’am.59.

[43] Imam Muhammad al-Ghazali, kitab ‘Al-Arba’in fi Usul al-Din’, hal.5 ,( Maktabah al-Jundi, Kahirah, 1383).

[44]‘Butlan ‘Aqa’id al-Shi’ah’, hal.23.

[45] Lihat ‘The Shites and the Sunnah’, oleh Ehsan Elahi Zahir,Lahore, 1393,  hal.87-88.

[46] Dalam ‘Firaq al-Shi’ah’ oleh al-Nawbakhti, ed.Najaf hal.24. Lihat ‘The Shiites and the Sunnah’ oleh Ehsan Elahi Zahir, hal. 88-89.

[47] ‘Al-Kafi, kitab al-hujjah, jilid 1 hal.232. Lihat ‘The Shiites and the Sunna’, hal 90.

[48] ‘Muntahal-Amal’ karangan Syaikh Abbas al-Qummi, jld 2 hal.341. Lihat Muhammad ‘Abd al-Sattar al-Tunaswi, dalam ’Butlan ’Aqa’id al-Shi’ah’ al-Maktabah al-Imdadiyyah, Makkah, 1408, hal.103.

[49] Lihat ‘Al-Ja’fariyyah’ oleh Ust.Muhammad Asri Yusoff, hal. 597 lampiran 66. Lihat kitab ‘Haqqul-Yaqin’ oleh Muhammad al-Baqir al-Majlisi, hal.347. Lihat ’Butlan ’Aqa’id al-Shi’ah’ oleh Muhammad ’Abd al-Sattar  al-Tunaswi, hal.103.

[50] Lihat dalam ‘Butlan ‘Aqa’id al-Shi’ah’ oleh Al-Tusnawi, hal.   103.

[51] Lihat dalam ‘Butlan ‘Aqa’id al-Shi’ah’ hal. 104.

[52] ‘Butlan ‘Aqa’id al-Shi’ah’ hal.104.

[53] Dalam ‘al-Anwal al-Nu’maniyyah’ oleh Ni’matulah  al-Jaza’iri,jld 2 hal.103

[54] ‘Al-Anwar al-Nu’maniyyah’ jld 2 hal 103.

[55] Jilid2 hal.218

[56] Jilid 2 hal 218

[57]Jilid 2 hal 220

[58] Iaitu ‘Min Kitab al-Burhan fi Tafsiril-Qur’an’ oleh ibn Sayyid ‘Abd al-Jawwad al-Husaini al-Kattani, jilid 3 hal.275.

[59] Ibid. hal.275.

[60] Oleh Syaikh Sadduq Abu ja’far Muhammad bin Ali al-Qummi, jld.3 hal 344

[61] Jld 3 hal. 702

[62] Oleh Muhammad baqir al-Majlisi, jld 100 hal.320 .Lihat Muhammad Asri Yusoff, ‘Al-Ja’fariyyah’, hal.798.

[63] Oleh Mulla Fathullah Kashani , hal.356.Lihat ‘Butlan ‘Aqa’id al-Shi’ah’ hal.85

[64] ‘Minhaj al-Sadiqin’ hal.356.Lihat ‘Butlan ‘Aqa’ih al-Shi’ah’ hal.85.

[65] Dalam kitabnya ‘Tahrir al-Wasilah’ terdiri daripada fatwa-fatwanya,  jilid 2 di bawah tajuk ‘al-nikah al-muntaqi’ – nikah yang putus, yakni yang tidak berterusan.

[66] Ibid. jld.100, hal.320.

[67] Diterbitkan oleh Lembaga Penelitian dan Pengkajian Islam (LPPI), 1997.

Satu Respons to “Ajaran Syiah dan Bahayanya Kepada Umat Islam”


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: