Surat Jawapan Ustaz Uthman Kepada Mufti Perlis

Berikut adalah kandungan surat jawapan Ustaz Muhammad Uthman El-Muhammady:

*******

Bertarikh 1 Ogos, 2011

Kepada Sahibussamahah Mufti Kerajaan Negeri Perlis dengan alamatnya

Assalamu alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh

Tuan

Dengan merujuk kepada surat tuan (…) bertarikh 27hb Julai 2011 dinyatakan dengan hormatnya, surat itu telah dibaca dan difahami.

2. Bagi menjawabnya, oleh kerana kenyataan-kenyataan saya dalam sesi berkenaan dibuat dalam majlis anjuran KDN Bahagian Keselamatan Dalam Negara, menyentuh aliran-aliran tertentu, dalam Islam, saya meminta pihak tuan memohon kepada JAKIM dan Majlis Keselamatan Negara (yang merupakan pihak-pihak yang berwenang tentang  sesi itu) untuk mengadakan satu Persidangan Pakar bagi menangani masalah kebocoran maklumat rahsia ini dan menyelesaikan masalah salah tanggapan oleh pihak-pihak yang berpandangan tidak tepat itu dengan kadar yang segera.

3. Ahli-ahli yang mengambil bahagian itu hendaklah pakar-pakar yang ditentukan oleh JAKIM dan MKN, dan orang-orang yang tidak berkenaan hendaklah dikecualikan daripada hadir di dalamnya kalau perlu dengan “screening” dilakukan oleh MKN.

4. Maklumat-maklumat rahsia itu kalau diputuskan oleh MKN munasabah disebarkan kepada sasaran yang sesuai barulah ia disebarkan. Atas nama individu-individu penyebarannya tidak dibenarkan.

5. Dalam hubungan itu, dengan ini tidak timbul “bahaya’ dari mana-mana kerajaan tertentu (saya tambah lagi di sini: juga tidak timbul “sesat” mana-mana kerajaan tertentu, dan “keganasan” kerajaan tertentu, itu tuduhan tidak benar, fitnah) dan masalah ibadat haji tidak perlu ditunda sebab saya sendiri pun baru menunaikan haji akhir tahun 2010.

6. Saya menanti dengan penuh harapan agar permohonan pihak tuan dilaksanakan oleh MKN dan JAKIM.

Wassalam,
Yang benar
tt Muhammad Uthman El-Muhammady
ISTAC IIUM
Kuala Lumpur Campus

Dengan cc kepada YAB Menteri Dalam Negeri, KP JAKIM, dan Setiausa Bahahagian Keselamatan Dalam Negeri KDN.

***********

Nota tambahan: Tidak timbul daripada surat ini saya tidak mahu bertemu dalam dialog, hanya saya mahu ia menyelesaikan  masalah, menjamin kesejahteraan negara, menjaga hubungan negara dengan negara-negara lain, tanpa sensasi, budaya benci membenci, mencari nama, mencaci orang, menangguk di air keruh. Allahumma sallimna wal-muslimin.

Tentang orang hendak menuduh saya itu dan ini respon saya ialah: hasbuna’Llahu wa ni’mal-wakil ni’mal maula wa ni’man-nasir. Kita serah kepadaNya Amin.

Yang benar

Muhammad Uthman El-Muhammady  ISTAC Campus KL 9-8-11  3.03 ptg

Selamat Menyambut Ramadan Yang Mulia

Fahaman pluralisme, Islam liberal menyimpang

sumber: Utusan Malaysia

IPOH 17 Mei – Muzakarah Ulama dan Cendekiawan Islam 2011 yang berakhir hari ini sepakat meluluskan resolusi yang menegaskan bahawa aliran pemikiran Islam liberal dan pluralisme agama sebagai terkeluar daripada Islam.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, sebarang penyebaran fahaman tersebut tidak seharusnya dibenarkan di kalangan ummah kerana umat Islam wajib bersifat eksklusif dan haram mencampuradukkan akidah serta ibadah Islam dengan agama lain.

“Dalam al-Quran itu sendiri pun telah mengatakan bahawa agama yang diterima Allah ialah Islam, tetapi itu tidak bermakna kita bermusuh dengan agama lain.

“Liberalisme misalnya mengatakan bahawa wahyu itu boleh ditafsir semula. Itu tidak boleh diterima kerana wahyu itu adalah daripada Allah.

“Yang kedua, tidak ada dalam ayat dalam al-Quran yang dipanggil tidak relevan, sebagaimana didakwa oleh golongan liberal yang berpegang kepada pendapat kemanusiaan. Mereka mengatakan hukum hudud sebagai tidak berperikemanusiaan walhal ia sebenarnya bertujuan untuk pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis penutup Muzakarah Ulama dan Cendekiawan Islam 2011 yang disempurnakan oleh Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah.

Majlis yang diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-83 Sultan Perak, Sultan Azlan Shah itu turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Terdahulu, sewaktu merumuskan muzakarah tersebut, Harussani berkata, satu komuniti khusus perlu ditubuhkan untuk menyelidik serta menjawab kembali secara serius segala hujah aliran pemikiran songsang dan sesat di negara ini agar tidak tersebar di kalangan masyarakat.

Menurut beliau, gerakan dakwah Islam tersebut perlu menggunakan metodologi yang lebih segar dan semasa dalam memberikan pemahaman tepat dan benar agar mudah diterima pelbagai lapisan masyarakat Islam mahupun bukan Islam.

“Pihak kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga perlu prihatin dan selektif terhadap pembiayaan sesebuah yayasan atau badan antarabangsa yang kadangkala menyalurkan fahaman serta aliran songsang kepada mereka,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, satu kerjasama antara majlis agama negeri dan Kolej Islam Darul Ridzuan perlu dijalankan bagi menjalankan satu kajian komprehensif terhadap pembetulan fakta-fakta sejarah Islam terutamanya melibatkan teks pengajian sekolah, kolej dan universiti.

Blog Baru Khas Untuk Kitab Fiqh Akbar Imam Syafi’i

Alhamdulillah ingin kami kongsikan maklumat ini:

dari blog: http://fiqhakbar.wordpress.com/

Posting pertama blog tersebut:

Insha Allah di ruang maya ini akan disusuli terjemahan Fiqh Akbar karangan Al-Imam Asy-Syafi’i dalam bentuk blog dan diharap dapat juga disiarkan nanti rakaman kelas pengajiannya oleh Ustaz Muhammad ‘Uthman El-Muhammady.

 

Maklumat untuk kelas pengajiannya:

Kelas Pengajian Kitab “Fiqh Akbar” Karangan Al-Imam Ash-Shafii

Kelas Pengajian Kitab di bawah pimpinan Ustaz Muhammad Uthman El-Muhammady

1. Kitab Fiqh Akbar – karangan Al-Imam Ash-Shafii

2. Kitab Risalah Qushairiyah – karangan Al-Imam Qushairiy

Hari: Setiap Selasa (kecuali Selasa pertama)

Waktu: 9:15 malam

Tempat: 2623 Jalan Permata 15, Taman Permata, Kuala Lumpur

Semua dijemput hadir

Untuk maklumat lanjut sila hubungi Sdr. Karim Omar (019-3199-788)

Mazhab Shafie paling sesuai di Malaysia

sumber: Utusan Malaysia

JOHOR BAHRU 8 Dis. – Mazhab Shafie adalah paling relevan dan sesuai di negara ini kerana pegangannya mengutamakan kesederhanaan.

Pensyarah King Abdul Aziz University, Arab Saudi, Sheikh Dr. Mohamed Ismail Zain berkata, kesederhanaan mazhab tersebut dapat dinilai melalui caranya dalam menangani masalah ummah.

“Dari segi iktikad, Ahli Sunnah Wal Jamaah akan mengambil jalan pertengahan antara golongan melampau dan golongan yang terlalu memudah-mudahkan perkara agama.

“Sementara itu, dari segi amal dan suluk, mereka berada dalam golongan pertengahan antara kedua-dua golongan itu,” katanya pada Majlis Multaqa Ulama Darul Ta’zim di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini hari ini.

Majlis anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia itu dirasmikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Sheikh Dr. Mohamed Ismail berkata, mazhab Shafie juga sentiasa mengutamakan perpaduan dan mengelak berlakunya perpecahan bagi memastikan pengikutnya terus bersatu walaupun berselisih pendapat.

“Mazhab Shafie begitu bersungguh-sungguh berusaha menyatukan kaum Muslimin atas jalan kebenaran, menyatukan barisan serta menjauhkan segala sebab persengketaan dan perselisihan,” katanya.

Dari segi dakwah pula, ia dilakukan secara bersepadu dan menyeluruh merangkumi semua aspek antaranya akidah, ibadah, suluk dan akhlak.

Katanya, pegangan mazhab itu turut membentuk pengikutnya supaya berlapang dada dengan kepelbagaian ijtihad tanpa menghukum sesat terhadap golongan yang berijtihad.

“Mereka juga tidak mengharuskan hukum kafir, fasiq atau dosa ke atas ulama Muslimin hanya kerana ijtihad yang salah,” katanya.

Terjemahan kertas kerja Mohamed Ismail yang dibentangkan dalam bahasa Arab itu dilakukan oleh Habib Ali Zaenal Abidin.

Ramadan Mubarak 1431

Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepadaMu keredhaanMu dan syurgaMu dan kami berlindung dengan Mu dari kemurkaanMu dan azab nerakaMu