Pluralisme Agama Dan Anwar: Beberapa Persoalan dilihat dari pandangan Arusperdana Islam

بسم الله الرحمن الرحيم

ونصلى على رسوله الكريم نحمده

Pluralisme Agama Dan Anwar:

Beberapa Persoalan dilihat dari pandangan Arusperdana Islam

Oleh:

Al-faqir ila’Llah Muhammad ‘Uthman El-Muhammady

Sayu tidak terkira hati kita mengingatkan bahawa asalnya tokoh dakwah Islam yang berfikiran kebangsaan, menjadi aktivis dakwah, penerajunya, gerakan Islam (dengan pemikiran dipengaruhi Maududi, Hassan al-Banna, Syed Qutb, dan yang sepertinya), akhirnya menjadi pendokong aliran John Hick dengan aliran pluralisme agama dengan implikasi-implikasi rohaniah terakhirnya. Allahumma sallimna wa ’l-Muslimin. Amin.

Pluralisme yang ditakrifkan sebagai kenyataan pluralisme (‘sheer fact of pluralism’) (seperti dalam laman web projek pluralisme Universiti Harvard, antara lainnya)[1] sebagai keberadaan pelbagai agama dalam sesebuah negara atau masyarakat – dalam erti ini pluralisme diamalkan dalam Islam walaupun di Madinah di zaman Nabi salla’Llahu ‘alaihi wa sallam dan kemudiannya seperti di Andalusia dan kerajaan Othmaniah Turki. Demikian pula pluralisme agama dalam erti adanya ruang awam di mana para penganut pelbagai agama bertemu dan berhubung serta mengadakan interaksi untuk saling memahami antara satu sama lain, itu juga sesuatu yang diterima dalam Islam, kerana kelainan umat manusia dalam kelompok-kelompok dan bangsa wujud untuk saling kenal mengenali antara sesama mereka sebagai bani Adam[2]; ini juga diterima dalam Islam semenjak zaman Nabi salla’Llahu ‘alaihi wa sallam, dan ia harmonis dengan ajaran Islam.

Tetapi pluralisme dalam erti kenisbian dalam kebenaran hakiki dan mutlak, yang mengajarkan tidak ada kebenaran mutlak yang boleh dicapai, dan tidak ada ajaran asasi yang menjamin keselamatan dan kebahagian, itu tidak diterima, bahkan ditolak dalam agama Islam. Kalau tidak tidak ada erti kenyataan Qur’an yang menyebut bahawa ia datang membawa al-haq, kebenaran, dan dengan itu kebatilan hilang, kerana kebatilan memang mesti hilang.[3] Agama Islam datang dalam pusingan nubuwwah terakhir dalam sejarah umat manusia, yang selepas daripadanya tidak ada lagi nubuwwah dan kerasulan[4]; dan ia datang sebagai saksi atas sekalian ajaran di dunia, dan nabi Muhammad sallahu ‘alaihi wa sallam datang sebagai saksi atas umat ini[5]. Peranan sebagai saksi atas umat manusia tentang kebenaran tidak mungkin terjadi pada orang yang mempunyai pegangan tentang ‘kebenaran yang pelbagai’ (‘multiple truths’).

Pluralisme agama dalam erti yang dibentangkan dalam gagasan Prof Hick yang meninggalkan sikap ekslusif Katholik, dan yang sepertinya, menganggap semua agama-agama membawa kepada ‘salvation’, menunjukkan pemikirnya tidak ada keyakinan terhadap agamanya dalam erti yang sebenarnya. Ia timbul daripada pengalaman peradaban dan budaya serta perkembangan pemikiran keagamaan Barat yang pahit dalam sejarahnya. Tidak masuk akal sejahtera bagi Orang Islam yang berimamkan Quran boleh mengikut aliran yang kemuflisan dari segi rohani dan penaakulan berasaskan tauhid seperti ini. Islam mengajarkan semua pengikut autentik para nabi selamat, pengikut nabi salla’Llahu alaihi wa sallam selamat, ahli fatrah yang tidak ada nabi pada zamannya, zaman antara dua nabi, selamat[6], mereka yang ‘tidak sampai seru’ selamat[7].

Orang yang berkepercayaan seperti John Hick dan yang sepertinya ini mungkin akan menjadi ‘lukewarm’ dalam keyakinannya, tidak lagi ia ‘minal-muqinin’[8] dari kalangan orang-orang yang yakin; mungkin akhirnya ia menjadi agnostic, dijauhkan Allah, walaupun tidak disuarakannya.

Pegangan seperti ini membawa kita kepada perkara-perkara yang menjadi persoalan dalam kalangan mereka yang terpengaruh dengan aliran ini ialah seperti berikut:

1. Dalam menyebut tentang sikap ekslusif dalam agama yang membawa kepada pertelingkahan, disebut oleh setengah pihak sikap ekslusif itu ada dalam Islam Syiah-Sunni-dan dalam agama Kristian yang ada pecahan-pecahannya.

Dalam Islam wacana Sunni adalah arus perdana, sebagaimana yang ternyata dalam ijma’ selepas daripada Qur’an dan Sunnah; maka manusia perlu menggunakannya sebagai neraca, untuk membezakan apa yang boleh diterima dan apa yang tidak dari segi intelektual dan rohaniah, bukan yang lain, kalau pihak yang bukan Islam, mereka dengan agama mereka, tetapi perlu ada toleransi dan sikap hidup bersama dengan aman, kecuali berlaku pengkhianatan. Tentang menyebut golongan Sufi seolah-olah lain daripada Ahlisunnah itu tidak sepatutnya berlaku, sebab, sebagaimana yang dinyatakan dalam ‘al-Farqu bainal-Firaq’ antara lainya[9] golongan Sufi adalah sebahagian yang tidak terpisah daripada Ahlissunnah wal-Jamaah. Dengan itu maka tidak boleh mereka itu dianggap sebagai terpisah daripada epistemologi sunni, bahkan ia intinya.

Perpecahan bukannya boleh dielakkan dengan menerima ‘mazhab John Hick’ tetapi kalau di kalangan Muslimin itu boleh dielakkan bila mereka menerima wacana Ahlissunnah dengan keluasan dan kedalamannya, serta mengamalkan sikap ‘al-din al-nasihah’ ditambah dengan sikap yang tunduk kepada adab ikhtilaf. Dan ini bukan semata-mata ilmu, tetapi melibatkan jiwa yang terbentuk oleh ilmu itu, atau ‘tercelup’ dengannya. Dengan ini kefanatikan melulu dielakkan dan manusia berbeza pendapat tetapi tidak berkonflik. Ini berlaku bila jiwa dan ilmu menjadi matang. Dalam hubungan dengan golongan lain konflik boleh dielakkan bila Manusia beradab dan bertolak ansur sebagaimana Muslimin dan Yahudi serta Kristian hidup dalam zaman yang terbaik di Andalusia zaman Islamnya.

2.Ada di kalangan mereka yang terpengaruh dengan pluralisme menyebut bait-bait Jalaluddin Rumi untuk ‘mengesahkan’ aliran pluralisme agama itu. Antaranya bait yang seperti di bawah:

Lampu-lampunya berlainan, tetapi Cahaya itu sama, ia datang dari Seberang Sana; kalau anda terus menerus melihat pada lampu, kamu tersesat; kerana dari sana timbul rupa lahir pada bilangan dan kemajmukan.

Ini boleh difahami sebenarnya bila diingatkan bahawa Rumi adalah seorang Sunni yang berpegang kepada mazhab Hanafi, dan ia taat kepada Syariat. Ia ada menyebut perkara-perkara yang tidak disetujuinya berkenaan dengan musyrikin, Kristian dan Yahudi. Bahkan suatu masa bila ia ditanya berkenaan dengan Jesus sebagai Tuhan ia dengan keheranan bertanya adakah munasabah orang yang kurus sedemikian yang tingginya beberapa meter yang dikejar-kejar orang untuk dibunuh ke sana kemari, ia Tuhan Pencipta sekalian alam? Kalau ia tokoh pluralisme sebagaimana yang disangka oleh mereka yang terpengaruh dengan aliran itu ia tidak demikian.

Adapun baitnya yang menyebut tentang Cahaya dan Lampu itu perlu dilihat dari segi ajarannya sebagai sufi, ini bukan kenyataan tentang falsafahnya, ini bicara tentang manusia yang perlu ‘menyeberangi’ sebelah sana bentuk rupa dalam syariat, pergi kepada hakikat, tetapi mesti berpegang kepada syariat, bukan meninggalkannya, dan menganggap ‘semua benar’. Ertinya ia berpartisipasi dalam Syariat tetapi merealisasi ‘penyaksian rohaniah’ tentang kebenaran dalam agama. Ia bukannya mengatakan ‘ya’ kepada semua sistem kepercayaan.

Ertinya ia orang yang mencapai ma’rifat kepada Allah sebenarnya dan menyedari hakikat agama yang sebenar, ia bukan semata-mata terbatas kepada mazhab-mazhab seperti dalam Ahlissunnah ada mazhab yang empat itu, tetapi disamping menerima mazhab itu dan beramal dengannya ia mencapai musyahadah secara rohaniah dan ‘menyaksikan’ perkara sebenar agama dengan penyaksian batin sendirinya. Itulah Cahaya itu; ia bukan bererti bahawa pegangannya ialah semua sistem kepercayaan membawa kepada kebenaran dan kepada Syurga.

3. Berkenaan dengan adanya soalan-soalan yang kelihatan ada persamaan antara manusia seperti dari mana datangnya manusia? Apa matlamat hidupnya? Apa yang berlaku bila ia meninggal dunia? Jalan kerohanian membawa kita kepada satu pencarian sarwajagat tentang kebenaran dan usaha untuk mencapai keadilan dan sifat keunggulan, ini semua bukan bererti bahawa semua agama membawa kepada ‘salvation’ dalam erti yang diajarkan oleh Qur’an; kebenaran Islam adalah satu. Yang benar adalah apa yang datang terakhir sebagai ajaran sarwajagat untuk semua manusia (kaffatan linnas). Kalau tidak sejarah anbia dan sejarah nabi Muhammad salla’Llahu ‘alaihi wa sallam tidak ada erti apa-apa.

4. Tentang ada pendapat Dante yang menulis di zamannya dalam Monarchia yang menyatakan bahawa tujuan terakhir hidup ini ada dua – kebahagiaan dalam dunia ini dan juga kebahagiaan dalam akhirat dengan berada dalam limpahan nur melihat Wajah Tuhan. Mencapai dua matlamat agung ini berlaku dengan menghadapi kesukaran yang besar. Kejayaan itu boleh tercapai:

‘hanya bila gelombang-gelombang kerakusan yang menggoda itu ditenangkan dan umat manusia berehat santai dalam ketenangan dan keamananan’

Kenyataan itu benar dari segi jiwa manusia perlu ditundukkan supaya ia menyerah kepada kebenaran dan ia berpegang kepada sifat-sifat unggul, itulah yang membawa kepada kedamaian manusia dan hilangnya konflik. Tetapi ini bukan hujah untuk pluralisme agama dalam erti Hick, yakni bahawa semuanya membawa jalan ke syurga, dan tidak ada sistem kepercayaan yang dimansukhkan kebenarannya bila datang Qur’an. Pada umat Qur’an dengan datangnya Qur’an berlakulah pemansuhan semua sistem kepercayaan, dan ajaran Qur’an adalah sarwajagat. Lagi pula kalau ini difahami sebagai hakikat bahawa manusia menjadi sejahtera bila ia tunduk kepada otoritas ilmu dan akal, maka bukannya ini membawanya ‘bertemu’ dengan Ibn Rushd dan al-Farabi, sebab kedua-duanya tunduk kepada Shariat Muhammad s.a.w. dan Qur’an, tetapi Dante, walaupun selepas Qur’an datang, ia tidak tunduk kepadanya. Ertinya ia bukan berpegang kepada pluarisme agama dalam maman seperti Hick itu.

Bahkan dalam ‘Purgatio’ dalam ‘Divine Comedy’nya Dante meletakkan nabi Muhammad dan Saidina ‘Ali rd dalam neraka.[10] Dijauhkan Allah. La haula wa la quwwata illa billah.

5. Kalaulah dikatakan sekarang keadaannya ialah bahawa kebebasan beragama yang tanpanya tidak ada pluralisme agama, adalah suatu kebebasan yang tertanam teguh sebagai kebebasan dalam perlembagaan dalam negara-negara demokrasi yang terkenal dan teguh kedudukannya, itu bukan bermakna bahawa di negeri-negeri Islam Muslimin dan kerajaannya tidak boleh memihak kepada Islam. Ini kerana dalam Islam kewajipan kerajaan ialah melaksanakan ajaran Islam sampai sebaik-baiknya dan apa yang menggangu kejayaannya secara tidak patut mesti diselesaikan.

Dalam Islam kerajaan tidak boleh memilih untuk menganggap bahawa tidak ada kebenaran yang mutlak, kebenaran itu mesti ada, dan negara itu mesti berpegang kepada kebenaran itu. Sebab itu al-Mawardi di Baghdad pada zamannya memestikan pihak berotoriti Islam memperbetulkan kesilapan-kesilapan orang ramai bila berlaku penyelewengan daripada ajaran Islam yang benar (kecuali orang yang berkenaan bukan Muslim).[11] Tetapi pihak berkuasa Muslimin tidak boleh menganiaya pihak yang bukan Islam, mereka ini diberi hak untuk mengamalkan agama mereka.

6. Tentang pendapat yang menyatakan bahawa kebebasan beragama yang terkandung dalam ayat yang bermaksud ‘Tidak ada paksaan dalam agama’(2:256) itu dalam Islam memaksudkan bahawa kita tidak boleh memaksa orang supaya memeluk Islam, itu terletak pada pilihannya; tetapi bila ia sudah Islam ia tertaaluk kepada undang-undang Islam, termasuk berkenaan larangan murtad daripada agama ini. Kita tidak menafsirkan kebebasan beragama itu kebebasan untuk murtad bagi orang Islam. Tidak ada pendirian itu dalam sejarah dan ilmu Islam. Kalau hendak disebutkan perbandingan kita tidak memaksa orang untuk menjadi warganegara kita, tetapi bila ia menjadi warganegara ia tertakluk kepada undang-undang negara, ia tidak boleh berontak menentang negara itu. Dan tidak ada ‘pemberontakan’ yang melebihi ‘pemberontakan’ melawan Tuhan. Dijauhkan Allah.

Maka kita tidak seharusnya mengikut falsafah lain tentang kebebasan manusia dan agama bila falsafah itu bercanggah dengan Qur’an, walaupun ianya dianggap sebagai antarabangsa dan sebagainya. Demikian pula dengan soal kebebasan dhamir, freedom of conscience, kita memandangnya dalam konteks ajaran Syara’, kita tidak membuka ruang untuk kebebasan dhamir berjalan bila itu bercanggah dengan akidah dan aturan Syarak. Sangkaan bahawa kebebasan dhamir berjalan tanpa disiplin tidak ada dalam ajaran Islam. Kalau itu ada dalam ajaran lain itu pilihan pihak lain, bukan pilihan umat ini.

7. Berkenaan dengan orang lain yang mempunyai kepercayaan yang selain daripada Islam, kita tidak disuruh memilih untuk ‘menyerang’nya, bahkan kita dilarang ‘memaki’ apa yang menjadi pujaannya selain daripada Allah, walaupun secara yang kelihatan lembut dan berbudi, kalau tidak ia akan memaki Allah pula dalam perseteruan dan kejahilannya[12].

Kita diajarkan untuk menyeru manusia dengan hikmah kebijaksanaan (bukan putar belit), bila pihaknya sesuai digunakan kaedah itu, kemudian dengan nasihat yang baik, dan akhirnya kalau perlu berhujah, sebab pihak yang berkenaan itu degil, berhujah, kita disuruh berhujah dengan ‘cara yang paling cantik’.[13]

Kita hidup dengan aman damai dan tidak mengganggunya, kecuali ia menggangu ketenteraman orang ramai. Dan kita lakukan demikian bukan untuk menjayakan pluralisme agama dalam erti John Hick tetapi dalam erti ‘bagi kamu agama kamu bagiku agamaku’ dalam surah al-Kaafirun, dan dalam erti yang diajarkan dalam Perlembagaan Madinah, sebagaimana yang tercatit dalam ‘Sirah ibn Ishaq’ yang di dalamnya Orang Yahudi mengamalkan agama mereka dan Orang Kristian mengamalkan agama mereka, tetapi mereka adalah ‘ummat yang satu lain daripada manusia lain’ [dalam erti entiti siasah dan bernegara].

8. Adapun berkenaan dengan ayat tentang kejadian manusia berkaum-kaum dan bersuku-suku untuk kenal-mengenali antara satu sama lain (bukan untuk bermusuh), itu memang benar, dan dihujungnya dinyatakan dengan terang dan tegas bahawa yang paling mulia di kalangan manusia ialah mereka yang paling bertaqwa (dalam erti paling menjaga suruhan dan larangan Allah).[14]

Ayat ini tidak boleh digunakan untuk memberi keabsahan kepada teori Hick tentang pluralisme agama dalam erti semuanya membawa kepada ‘salvation’.

9. Tentang adanya kenyataan dalam kitab agama lain yang menyatakan bahawa orang yang mampu melihat bahawa semua jalan membawa kepada Yang Satu, itupun perlu dilihat dalam konteks Qur’an sebagai ‘muhaiminan ‘alaih[15] dalam erti ia menjaga erti-erti asasi dalam ajaran agama dan ‘membenarkan (kebenaran) yang terdahulu daripadanya [dikalangan anbia])’. Jalan yang dimaksudkan itu, kalau dalam Islam ialah jalan-jalan rohani yang sahih dalam ajaran para imam dan benar, bukan ‘jalan pemikiran’ para ‘pemikir’ dalam erti Barat yang tidak mempercayai wahyu dan nubuwwah serta tauhid, apa lagi kalau dalam pascamodenisme.

Tentang sistem kepercayaan lain yang menyebut semua jalan membawa kepada Yang Satu, kalau Yang Satu itu ialah kebenaran tauhid dalam Islam, maka itu tidak menjadi masalah; tetapi kalau semua sistem kepercayaan difahami membawa kepada Yang Satu yang kabur, itu menjadi masalah. Penyembahan Berhala bukan Yang Satu, Penyembahan Tuhan yang bukan secara tauhid bukannya Yang Satu; kepercayaan tentang sesuatu kuasa ghaib yang kabur, mengatasi yang lain, bukan Yang Satu dalam Qur’an. Pokoknya bergantung kepada kedudukan Qur’an sebagai ‘muhaiminan ‘alaih’ yang berupa pengawal kebenaran dalam erti-erti pengajaran agama, sebagaimana yang dihuraikan oleh teks-teks arusperdananya.

10. Tentang pandangan yang mengatakan bahawa apa juga agamanya, sama ada ia itu Islam, Kristian, Sikh, Hindu dan banyak lagi yang lain, dipercayai ialah bahawa kebenaran-kebenaran yang lebih tinggi (higher truths) yang mengatasi amalan-amalan semata (mere practice) dan ibadat semuanya terpusat atas kebenaran yang satu itu (singular truth): bahawa dari Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali, ini juga perlu dilihat dalam rangka Qur’an sebagai ‘muhaiminan ‘alaih’. Bila ini diambil sebagai neraca maka yang diambil kira bukan sahaja ‘kebenaran yang satu (secara tauhid yang sebenar)’ tetapi juga bentuk-bentuk amalan yang dilakukan, adakah ianya sesuai dengan ajaran Qur’an atau tidak. Kalau tidak, maka kedudukannya adalah memang demikian. Keringanan boleh berlaku bila itu adalah natijah daripada tidak sampai dakwah secara benar, atau tidak terdedahnya pihak yang berkenaan kepada kebenaran yang sebenar, atau orangnya berada dalam zaman fatrah yang tidak ada rasul yang membawa kebenaran. Ajaran tentang semua ini kekal hingga ke akhir zaman. Tidak ada pemikiran falsafah dan penemuan akademik yang membatalkannya, bagaimana juga cerdik dan pintar orangnya. Selamat dan berbahagialah mereka yang tunduk kepada dan menerima kebenaran serta mengamalkannya, lebih-lebih lagilah merealisasinya dengan tahkiknya. Amin.

11. Tentang pandangan yang menyatakan bahawa ada pemimpin-pemimpin tertentu agama-agama dunia yang terus menerus membuat dakwaan yang eksklusif (exclusivist claims) tentang mereka memiliki kebenaran yang kekal abadi dan tidak sangat menerima perkara-perkara yang sama (commonality) yang menghubungkan manusia semua dalam pelbagai agama, dan bahawa kalaulah diterima dasar persatuan dalam kepelbagaian, maka pluralisme agama menjadi satu tenaga penyatuan, bukan sebab bagi perpecahan, dan dinyatakan bahawa itu jalannya untuk menarik kita keluar daripada kegelapan kepada cahaya, daripada perang kepada damai, daripada kebencian dan kejahatan kepada kasih-sayang dan kebaikan, ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan secara serius.

Pertamanya, kalau dilihat dari segi Islam pengakuan itu dibuat oleh Muslimin daripada pengakuan Tuhan Sendiri yang menyatakan bahawa Islam ini kebenaran sediakala yang ada dalam ajaran semua anbia dalam sejarah manusia, dan kedatangan Islam adalah untuk membenarkan kebenaran yang sediakala itu; kemudian ia datang untuk membuat pembetulan terhadap unsur-unsur yang terubah dalam ajaran agama-agama, dengan itu ia membuat koreksi. Maka Muslimin membuat kenyataan itu atas perintah Tuhan dalam wahyuNya.

Adalah janggal tidak terkira lagi kalau ada orang yang menerima Bible atau sebagainya sebagai ‘wahyu’ tetapi dalam masa yang sama menapikan yang demikian dalam hubungan dengan Qur’an, walhal Qur’an datang dalam suluhan sejarah yang terang benderang (in the full day light of history). Dalam erti ini pengakuan Muslimin adalah pengakuan yang setia dengan agama para anbia, tidak dipengaruhi oleh andaian-andaian (zann yang disebut dalam Qur’an) para pemikir, bagaimana bijak dan pintar mereka itu sekalipun. Maka pengakuan ini mesti dibuat dan dipertahankan; dan teori John Hick tentang pluralisme agama yang menjamin syurga untuk semua tidak memengaruhi Muslimin yang setia dengan wahyu Qur’annya.

Dan keduanya Muslimin terus menerus menegaskan bahawa keadaan damai ialah bila manusia berakhlak mulia dan tidak berkhianat dalam akhlaknya, serta tidak mengamalkan nilai ganda (‘double standard’), untuk diri lain untuk orang lain, lain. Dan manusia boleh aman kalau mereka mengamalkan apa yang disuruh oleh Nabi s.a.w. Sebab itu baginda menunjukkan jalan itu antaranya dalam Perlembagaan Madinah. Tetapi bila pihak yang satu lagi belot, maka berlakulah apa yang telah berlaku itu. Allahumma sallimna wal-Muslimin.

12. Pengamatan yang menyebutkan bagaimana masih ada pula pendapat yang menyebut tentang Muslimin bahawa masih berterusan adanya masalah mereka yang menolak nilai kebebasan bersuara, kebebasan media, demokrasi, dan kemerdekaan dhamir (freedom of conscience). Mereka memandang budaya pluralisme agama sebagai satu bahagian daripada konspirasi agung oleh ‘pihak lain’, terutamanya Kristian, untuk mengembangkan ajarannya dan menjadikan Muslimin memeluk agama Kristian. Pluralisme juga adalah jerat bagi menyeludup masuk demokrasi ala Barat melalui pintu belakang.

Tentang pengamatan demikian ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan. Antaranya ialah nilai-nilai kebebasan bersuara, kebebasan media, dan yang sepertinya tentang demokrasi dan kebebasan dhamir, itu semua pada Muslimin adalah perkara-perkara yang mesti tunduk kepada otoritas Syara’; kalau kebebasan bersuara itu sesuai dengan Syara’, tidak membawa kepada yang terlarang, kebebasan dhamir, demikian seterusnya, kalau tidak bercanggah dengan Syara’, bahkan lebih-lebih lagi menjayakan Syara’, maka sudah tentu itu tidak ditentang. Sudah tentu bagi Muslimin Syara’ mengatasi bahan pemikiran para pemikir semata; lainlah kalau perkara yang demikian datang daripada mujaddid yang diakui dalam Ahlissunnah. Kalau diletakkan pemikiran-pemikiran dari para pemikir mengatasi Syara’ dan ijma’, itu adalah malapetaka intelektuil dan rohanian, dijauhkan Allah. Soalnya bukan menolak seratus peratus dan menerima seratus peratus; apa yang baik diambil apa yang tidak tidak diambil. Pihak yang berbicara tentang kebebasan manusia sejagat perlu menghormat manusia beragama mengamalkan agamanya dan bukannya hendak membatalkan amalan pihak lain dan mempromosikan haknya semata. Itu bercanggah dengan hak asasi manusia.

13. Berhubungan dengan kemungkinan adanya persamaan antara amalan ‘mantra’ dan ‘Lords Prayer’ dan apa juga, maka bagi Muslimin itu perlu dilihat dalam rangka Quran sebagai penjaga atas erti-erti ajaran suci dalam sejarah manusia, tuntutan Syara’ dan ijma’. Kalau ada persamaan itu, maka pada Muslimin asalnya agama-agama dunia terkena pengaruh ajaran anbia, maka masih kelihatan ada peninggalan-peninggalan tentang persamaan itu. Tetapi kebenaran dengan kepenuhan, kedalaman serta kesempurnaannya ada pada wahyu terakhir dalam sejarah umat manusia. Selamatlah mereka yang menerimanya beramal dengannya. Mereka yang lain daripadanya bertanggungjawab atas perbuatan mereka, apa jua alasan-alasan yang dikemukakan untuk mempertahankannya. Dalam bermuamalah dengan para pemeluk sistem kepercayaan lain, Muslimin mesti mengamalkan akhlak yang mulia dan menghormati pihak lain itu, dan jangan sekali-kali menunjukkan penghinaan terhadap pihak lain dengan apa cara sekalipun.

14. Tentang pendapat yang menyebut Syariat bukan tertulis ‘pada batu’ dan ia mengalami evolusi yang dinamis (the Shari’ah was never cast in stone and evolves continuously through this dynamic process), maka kita perlu melihat kenyataan ini dalam suluhan ajaran Islam tentang ada bahagian-bahagian Syara’ yang kekal dan ada yang berubah-ubah, dan bukan semuanya berubah-ubah. Akidah Ahlisunnah tidak berubah; ijma’ tidak berubah; akhlak tidak berubah; amalan rohaniah yang diakui tidak berubah; perincian-perincian Syara’ berkenaan dengan perkara-perkara baharu yang tidak ada dalam nas secara terang-nyata dari fatwa-fatwa zaman demi zaman boleh berubah. Kalau ini difahami demikian maka tidak ada masalah. Tetapi kalau itu melibatkan perubahan-perubahan seperti menghalalkan persetubuhan haram, judi, zina, menghalalkan yang haram dalam ijma’, kerana terpengaruh dengan ‘penemuan-penemuan’ para pemikir, ini tidak dibolehkan. Kalau itu membawa kepada pendirian bahawa posisi Qur’an terinjak kerana pemikiran orang-orang seperti John Hick dan yang sepertinya, itu tidak dibolehkan.

15. Kalau dalam suasana semasa ada penafsiran jihad yang tersasul dalam setengah kalangan (kerana faktor-faktor sejarah yang mendesak dan tidak patut diremehkan) itu tidak boleh menjadi dalil bagi sesiapa melihatnya sebagai penafsiran yang menyeluruh mewakili arusperdana umat. Bagaimanapun ini juga perlu dilihat dalam konteks pihak-pihak, yang dalam sejarah, juga sekarang, memanipulasikan maklumat untuk kepentingan hegemoninya.

16. Akhirnya kita mesti kembali kepada wacana arusperdana umat khaira ummatin ukhrijat linnas, yang hakikatnya, tidak ada wacana yang mengatasi kebenaranannya, apapun yang dikatakan oleh pihak postmodernis, Islam liberalis, pluralis agama, pihak perennalists, dan sesiapapun yang seperti mereka. Tetapi kita kena mengetahui perbezaan-perbezaan, persamaan-persamaan, beradab, berdisiplin, menghormati orang lain, dalam batasan-batasan yang wajar. Dari Allah kita datang kepadaNya kita kembali. Wallahu a’lam. Selawat dan salam kepada baginda, ahli keluarganya dan para sahabatnya, dan semua mereka yang mengikutnya dalam ihsan hingga ke hari penghabisan. Segala puji-pujian tertentu bagi Tuhan Pentadbir sekalian alam.

Antara Sumber-sumber rujukan mengenai tajuk ini ialah:

1.    Abdul Rashid Moten, “Religious Pluralism in Democratic Societies: Challenges and Prospects for Southeast Asia, Europe, and the United States in the New Millennium”. Contemporary Southeast Asia.Journal Volume: 29. Issue: 1. 2007. pp 204 ff, 2007 Institute of Southeast Asian Studies (ISEAS)

2.    Brad Stetson, Pluralism and Particularity in Religious Belief. Praeger Publishers. Westport, CT. 1994

3.    Jeannine Hill Fletcher,Article Religious Pluralism in an Era of Globalization: The Making of Modern Religious Identity”. Journal: Theological Studies. Volume: 69. Issue: 2, 2008.pp. 394 ff.

4.    J. Gordon Melton, Article: “Religious Pluralism: Problems and Prospects” Journal: Brigham Young University Law Review. Volume: 2001. Issue: 2, 2001.

5.    Jung H. Lee, Article: “Problems of Religious Pluralism: a Zen Critique of John Hick’s Ontological Monomorphism” Journal: Philosophy East & West. Volume: 48. Issue: 3. Publication Year: 1998.p. 453+.

6.    Lucas Swaine, The Liberal Conscience: Politics and Principle in a World of Religious Pluralism. Columbia University Press. New York. 2006.

7.    Michael Jinkins – Christianity, Tolerance, and Pluralism: A Theological Engagement with Isaiah Berlin‘s Social Theory. Routledge. New York. 2004.

8.    Peter G. Danchin – editor, Elizabeth A. Cole – editor, Protecting the Human Rights of Religious Minorities in Eastern Europe. Columbia University Press. New York. 2002.

9.    Richard E. Wentz, The Culture of Religious Pluralism , Westview Press, 1998

10.  Richard Hughes Seager edit. with the assistance of Foreword by Ronald R. Kidd Diana L. Eck ,The Dawn of Religious PluralismVoices from the World’s Parliament of Religions, 1893, published in Association with The Council for a Parliament of the World’s Religions

11.  S. Wesley Ariarajah, “Kenneth Cracknell, in Good and Generous Faith: Christian Response to Religious Pluralism”. Journal The Ecumenical Review. Volume: 58. Issue: 3-4. 2006. pp 400ff

12.  William C. Allen “Stephen Kaplan, Different Paths, Different Summits: A Model for Religious Pluralism”, Journal of Ecumenical Studies. Volume: 41. Issue: 1, 2004. p 102.

13.  Harvard Pluralism project:

http://www.pluralism.org/articles/eck_1993_challenge_of_pluralism?from=articles_index

14.  Khalif Muammar, Atas Nama Kebenaran, Tanggapan Kritis Terhadap Wacana Islam Liberal, edisi kedua, ATMA, UKM, Bangi, 2009


Nota akhir:

[1] http://www.pluralism.org

[2] Al-Hujurat:13.

[3] Bani Isra’il:81.

[4] Al-Ahzab:40.

[5] Al-Baqarah:143.

[6] Ayat tentang ‘zaman fatrah’ surah al-Ma’idah:19.

[7] Al-Isra’: 15.

[8] Qur’an menekankan yaqin, dan yaqin datang hanya dengan kebenaran yang pasti, bukan kabur dan bercdampur aduk. Dalam surah al-Baqarah disebujt tentang mereka yang ‘yaqin’ tentang akhirat.al-Baqarah: 4.

[9] Al-Farq bainal-Firaq oleh ‘Abd al-Qahir al-Baghdadi, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Lubnan, hal. 242. Lihat ibn Khaldun dalam al-Muqaddimah, bab berkenaan dengan tasawwuf, Dar al-Kitab al-Lubnani, Beirut, 1960, jilid 2, hal. 863

[10] Dalam Inferno dalam ‘Divine Comedy’ Inferno XXVIII, 19-42. Lihat juga http://zombietime.com/mohammed_image_archive/dantes_inferno/

[11] Lihat al-Mawardi, al-Ahkam al-Sultaniyyah, Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut, 1985, hal.18.

[12] Ayat itu bermaksud: ‘Dan jangan kamu memaki apa yang mereka sembah selain dari Allah maka mereka akan memaki Allah dalam permusuhan dan ketiadaan ilmu’-Al-An’am:108

[13] Ia menunjukkan kepada tahap-tahap menyeru manusia kepada kebenaran agama; pertama mereka yang layak digunakan kaeda hikmah, iaitu kaedah menggunakan Quran, Sunnah atau kata-kata kebijaksanaan rohaniah yang tinggi dan berkesan untuknya; kalau sasaran itu tidak mampu menangkap kenyataan tahap hikmah, penyeru perlu ‘turun’ kepada tahap pengajaran atau nasihat yang cantik, dengan bahasa yang indah menarik, penerangan yang halus dan berkesan, dengan keikhlasan yang sebenarnya; kalau sasaran tidak layak menerima ‘nasihat’, kerana ia jenis degil suka berhujah, maka ‘turun’lah kaedah itu lepada ‘perbahasan dengan cara yang paling baik’, menggunakan mantik yang betul, bahasa beradab, menunjukkan matlamatnya kebenaran bukan ‘kemenangan’, bukan sekadar untuk menjadikan sasaran senyap; inilah cara yang patut diamalkan oleh da’i yang berwibawa dan ikhlas. Wallahu a’lam.

[14] Al-Hujurat 13.

[15] Merujuk kepada ayat yang bermaksud ‘Dan Kami telah turunkan kepadamu al-Qur’an dengan membawa kebenaran, membenarkan apa yang sebelumnya, terdiri daripada kitab-kitab yang diturunkan, dan batu-ujian terhadap kitab-kitab yang lain itu’ al-Mai’dah:48.

Beberapa Isu Dalam Pluralisme Agama

Kertas ini dibentangkan semasa Wacana Fahaman Pluralisme Agama dan Implikasinya Terhadap Masyarakat Islam:

بسم الله الرحمن الرحيم

نحمده ونصلى على رسوله  الكريم

Beberapa Isu Dalam Pluralisme Agama

– Satu Pengamatan Ringkas

Oleh:

Al-faqir ila’Llah Muhammad ‘Uthman El-Muhammady

Mungkin ada mereka di kalangan Muslimin yang boleh tertarik hati, selepas beberapa dekad dalam menjalankan kegiatan dakwah dan keilmuan di Dunia Melayu Sunni ini, kepada aliran-aliran baharu yang muncul di Barat, seperti misalnya aliran ‘pluralisme agama’ atau ‘religious pluralism’ dan memandangnya sebagai aliran yang paling absah dari segi intelektuil dan rohaninya; maka kalau perkara yang sedemikian itu berlaku, sudah tentu atas nama rasa kasihan belas terhadap umat –termasuk pihak yang berkenaan – timbul rasa sayu yang tidak terkira di hati kita bila mengingatkan bahawa mereka yang asalnya terlibat dalam dakwah, berfikiran sayangkan bangsa dan watan, terlibat dalam kalangan para penerajunya, terpengaruh dengan gerakan Islam (terkesan dengan pemikiran Maududi, Hassan al-Banna, Syed Qutb, dan yang sepertinya), akhirnya menjadi pendokong aliran John Hick, walaupun ini tidak dinyatakan dengan terang-terangan, dengan aliran pluralisme agama dengan implikasi-implikasi rohaniah terakhir. Allahumma sallimna wa ’l-Muslimin.

Berlatarbelakangkan ‘serangan intelektuil Barat’ atas umat ini dalam bentuk ‘pluralisme agama’ diperturunkan dalam nota sederhana ini beberapa pengamatan tentang fenomena ini sebagai respon awalan terhadapnya.

Pluralisme yang ditakrifkan sebagai kenyataan pluralisme (‘sheer fact of pluralism’) (seperti dalam laman web projek pluralisme Universiti Harvard, antara lainnya)[1] sebagai keberadaan pelbagai agama dalam sesebuah negara atau masyarakat –dalam erti ini pluralisme diamalkan dalam Islam walaupun di Madinah di zaman Nabi salla’Llahu ‘alaihi wa sallam dan kemudiannya seperti di Andalusia dan kerajaan Othmaniah Turki. Demikian pula pluralisme agama dalam erti adanya ruang awam di mana para penganut pelbagai agama bertemu dan berhubung serta mengadakan interaksi untuk memahami antara satu sama lain, itu juga sesuatu yang diterima dalam Islam, kerana kelainan umat manusia dalam kelompok-kelompok dan bangsa wujud untuk saling kenal mengenali antara sesama mereka sebagai bani Adam; ini juga diterima dalam Islam semenjak zaman Nabi salla’Llahu ‘alaihi wa sallam, dan ia harmonis dengan ajaran Islam.[2] Tetapi pluralisme dalam erti kenisbian dalam kebenaran hakiki dan mutlak itu tidak dibolehkan dalam agama Islam.[3]

Pluralisme agama dalam erti yang dibentangkan dalam gagasan Prof Hicks yang meninggalkan sikap eksklusif Katholik, dan yang sepertinya, menganggap semua agama-agama membawa kepada ‘salvation’, menunjukkan pemikirnya tidak ada keyakinan terhadap agamanya dalam erti yang sebenarnya. Ia timbul daripada pengalaman peradaban dan budaya serta perkembangan pemikiran keagamaan Barat yang pahit dalam sejarahnya. Tidak munasabah pada akal sejahtera bagi Orang Islam yang berimamkan Quran boleh mengikut aliran yang kemuflisan dari segi rohani dan penaakulan berasaskan tauhid seperti ini. Islam mengajarkan semua pengikut autentik para nabi selamat, pengikut nabi salla’Llahu alaihi wa sallam selamat, ahli fatrah yang tidak ada nabi pada zamannya, zaman antara dua nabi, selamat, mereka yang ‘tidak sampai seru’ selamat.

Bila berhadapan dengan persoalan pluralisme agama, maka mungkin orang yang datang dari latar belakang Islam akan tergerak-gerak hatinya untuk mengemukakan bait-bait Jalaluddin al-Rumi untuk membuktikan bahawa Jalal al-Din Rumi adalah orangnya yang boleh dikemukakan sebagai peribadi yang memahami gagasan sedemikian, antaranya ialah seperti :

‘Lampu-lampu adalah banyak tetapi Cahaya adalah satu, ia datang dari Seberang Sana. Kalau anda terus menerus melihat kepada lampu anda tersesat; kerana dari situ munculnya rupa lahir bilangan dan kepelbagaian.’

Lalu dari situ dibuat kesimpulan bahawa inilah bait yang mengatasi debat-debat dan pertelingkahan, kerana orang yang mencapai pengalaman ‘mengatasi bentuk rupa’ (beyond forms) seperti Rumi sebenarnya memahami secara sarwajagat konsep-konsep yang am seperti dari mana datangnya insan? Apa matlamat hidupnya? Apa yang berlaku bila ia keluar dari hidup alam benda ini dengan maut? Dan orang sepertinya mengetahui jalan kehidupan secara rohaniah membawa kita kepada pencarian yang bersifat semesta menuntut kebenaran dan keadilan dan keutamaan moral dan etika. Kita bergembira dengan keindahan dalam diri kita dan di sekeliling kita. Kita cintakan ilmu, kedamaian dan keselamatan, tapi kita berada di tengah-tengah pelbagai rahasia dan pelbagai tidak ketentuan dalam alam sekeliling kita.

Dunia kita terpecah-pecah penuh dengan kehodohan, keganasan dan ketidakadilan; dalam ini semua agama memberi kepada kita peluang untuk merealisasi nilai-nilai yang menyatupadukan kita seperti Jalal al-Din Rumi ini. Dengan sangkaan seperti itu kita terperosok ke dalam sangkaan bahawa tokoh ini tokoh pluralisme. Tetapi kita terlupa beliau adalah Ulama Ahli Sunnah, yang berpegang dengan akidah dan Syariah, yang mengkritik penyembah berhala, Yahudi dan agama Kristian. Bahkan bila orang bertanya tentang Tuhan sebagai Jesus dalam Triniti dia menyebut dengan menunjukkan keheranan bagaimanakah orang kurus yang tinggi beberapa meter yang berlari-lari sekeliling negeri kerana dicari orang untuk dibunuh disebut sebagai Tuhan Yang mencipta alam?

Lagi pun kalaulah ada bait-bait lain yang menyebut tentang adanya pengalaman yang memberi fahaman bahawa sebenarnya tidak ada perbezaan pada peringkat tertinggi sekali dalam agama, itulah yang menyatupadukan kita, lalu difahami ia tokoh yang berbicara bahawa semua agama ada keabsahan, kita tersilap. Ini kerana, yang tokoh demikian maksudkan ialah itu bagi orang yang mencapai kehampiran dengan Tuhan pada tahap yang tertinggi –dalam mushahadah, dalam penyaksian rohaniah (atau spiritual witnessing); ia bukan merujuk kepada peringkat akal atau pengalaman biasa duniawi, ia bukan akidah. Maka kalau difahamkan bahawa itulah akidah beliau maka itu tersilap, sebab kalau akidah dia demikian mengapa pula ia menyebut kesalahan-kesalahan Yahudi, kesalahan Kristian dan penyembah berhala dengan akidah yang salah? Dan kalau kita teruskan lagi menyebut hal ini: apa ertinya mesej-mesej para nabi dan rasul dalam naratif Quran yang menentang kesyirikan, kekufuran dengan kepelbagaian bentuk dan rupanya, adakah kita menganggap mereka ‘tidak faham kesatuan agama’, kita sekarang yang memahaminya, mereka tidak, baharu sekarang kita “bertemu” dengan hakikat ini?

Dan mungkin ada orang yang datang dari kalangan Muslimin yang terpesona dengan gagasan pluralisme dalam erti ini teringin untuk menyebut Dante sebagai tokoh yang ‘mencapai’ erti pluralisme agama, mengatasi semua bentuk, yang mengedari ‘semuanya benar’ lalu menyebut baitnya yang bermaksud

“only when the waves of seductive greed are calmed and the human race rests free in the tranquillity of peace.”

[‘Hanya bila gelombang-gelombang sifat rakus diri didamaikan dan umat manusia berehat  dalam kebeningan dan kedamaian’.]

Tetapi kita perlu menyedari bahawa ajaran tentang mencapai kedamaian dalam diri dengan membebaskannya daripada kongkongan nafsu itu kebenaran yang sarwajagat, bila itu berlaku pada umat manusia dunia akan aman. Tetapi ini bukannya bukti untuk pandangan ‘semua agama adalah benar’, dan itu bukan pegangan Dante pun. Kalau demikian pegangan Dante mengapakah beliau, dalam ‘Divine Comedy’nya, dalam ‘Inferno’ meletakkan nabi Muhammad salla’Lahu ‘alaihi wa sallam dan Ali dalam neraka? Ia menyatakan nabi Muhammad sebagai ‘the chief of those who create schisms’? Ertinya dia menolak Islam, sebagaimana seorang paderi dalam program TV Larry King baru-baru ini menolak kebenaran Islam katanya mereka menyembah Tuhan yang salah! Agama mereka palsu! Jelas Dante bukan tokoh plurarisme agama dalam erti Hicks yang membicarakannya. Maka menyebut Dante dalam konteks pluralisme agama dalam erti Hicks adalah langsung tidak berkenaan.

Adakah boleh dikaitkan Dante yang membenci Islam dan nabi Muhammad dihubungkannya dengan tokoh-tokoh intelektuil dan rohani Islam termasuk al-Farabi atau ibn Rushd untuk membantu manusia berfikir tentang dunia yang perlu diamankan daripada konflik? Adakah ini caranya?

Nampaknya kata-kata Dalai Lama lebih munasabah dalam hal ini. Dalam suatu ceramah di Madrid, Dalai Lama membuat rayuan kepada Barat supaya jangan memeluk agama Buddha sebagai fesyen budaya (‘cultural fashion’) .

“I am a Buddhist”, the Dalai Lama added “Therefore, Buddhism is the only truth for me, the only religion. To my Christian friend, Christianity the only truth, the only religion. To my Muslim friend, Mohammadenism (should be Islam-UEM) is the only truth, the only religion. In the meantime I respect and admire my Christian friend and my Muslim friend. If by unifying you mean mixing, that is impossible, useless” (http://www.tibet.net).

Ertinya :
“Saya penganut Buddha” Dalai Lama menambah kenyataannya, “Oleh itu agama Buddha sahaja kebenaran bagi saya, agama satu-satunya. Bagi kawan saya yang beragama Kristrian, agama Kristian sahaja kebenaran, itu sahaja agama yang benar. Bagi kawan saya penganut agama Islam, agama Muhammad (sepatutnya ‘Islam’-UEM) sahaja berupa kebenaran, berupa agama satu-satunya. Dalam pada itu saya menghormati dan mengkagumi kawan saya yang beragama Kristian dan yang beragama Islam. Kalaulah menyatupadukan itu maksudnya mencampur-adukkan itu mustahil, dan tidak berfaedah.”

Orang yang terpengaruh dengan pluralisme agama seperti yang dihuraikan oleh Hicks mungkin berkata bahawa mengutamakan satu agama dalam sesebuah negara seperti menjadikan Islam sebagai agama persekutuan adalah bertentangan dengan semangat pluralisme agama, tetapi ini masih berlaku walaupun dalam demokrasi-demokrasi yang sudah teguh seperti di Eropah dan di Asia Barat dan Asia Tenggara. Dengan itu orang yang berfikir demikian mahu supaya isu asasi tentang kebebasan beragama perlu ditangani dengan disekalikan perbincangan itu dengan kebebasan dhamir atau ‘freedom of conscience’.

Pada kita Muslimin kalau seseorang itu mempunyai agama katakanlah agama Kristian yang yakin dengan kebenaran agamanya dan ia beramal dengan baik dan tidak mengganggu orang lain atau memudaratkan orang lain, maka itu diterima, walaupun agamanya berlainan dengan kita Muslimin. Di negara kita misalnya Islam adalah agama persekutuan tetapi sistem-sistem kepercayaan lain dibenarkan diamal dalam keadaan aman dan sejahtera (‘in peace and security’ tetapi jangan secara tidak aman dan tidak sejahtera).

Mereka yang terpengaruh dengan pluralisme agama dalam erti yang tersebut mungkin berpendapat bahawa apa juga agamanya seseorang itu, baik ia Islam, Kristian, Yahudi, Sikh, dan Hindu dan lain-lain lagi, mungkin mempercayai adanya kebenaran-kebenaran yang lebih tinggi (‘the higher truths’) yang mengatasi amalan-amalan lahiriah semata dan ibadat semuanya tertumpu kepada kebenaran yang satu: yakni kita semua dari Allah dan kepadaNya kita semua kembali. (Whatever the religion, whether it be Islam, Christianity, Judaism, Sikhism, Hinduism and many others, I believe that the higher truths which go beyond mere practice and ritual all converge on the singular truth: and that is from God we were sent forth and unto God shall we return).

Kalaulah pendirian yang demikian ini benar-menganggap sebagai jalan kebenaran di sisi Tuhan- maka perjuangan nabi Muhammad salla’Llahu ‘alaihi wa sallam mendepani agama penyembah berhala, agama Yahudi dan Kristian zamannya adalah tidak bererti lagi sebab semuanya tertumpu kepada kebenaran yang mengatasi bentuk-bentuk lahiriah itu. Ertinya Nabi Muhammad seolah-olah ‘tidak memahami kebenaran yang lebih tinggi’ itu, demikian juga Abu Bakar dan ‘Umar serta para sahabat lainnya. Allah meredhai mereka semuanya. Tidak pernah ada pernyataan sedemikian dalam tamadun Islam dan wacana intelektuil dan rohaniahnya. Yang disebut-sebut sedemikian berhubung dengan nama-nama seperti Ibn ‘Arabi dan Jalal al-Din Rumi, misalnya oleh Schuon dan yang sepertinya adalah perbuatan ‘menjual nama’ bukan berdasarkan hakikat yang sebenarnya. Ini boleh diperhatikan, katakanlah tentang ibn Arabi bahawa syahadahnya dalam awal ‘Futuhat’ adalah syahadah dalam akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah, bukan “syahadah” “wahdatul wujud” yang disebut-sebut orang itu. Pencatit yang kerdil ini ada menterjemahkan syahadah wali Allah ini dalam membincangkan kontribusi Hamzah Fansuri dalam persuratan Melayu di Sibolga Sumatra tidak lama sebelum ini. Ini terjemahan syahadah itu, mungkin pertama kali, dalam bahasa Melayu.

Orang yang berfikir demikian mungkin membuat kenyataan bahawa penganjur-penganjur dalam agama-agama mungkin membuat pengakuan tentang benarnya agama mereka, dan tidak menyebut unsur-unsur yang menyatupadukan semua pihak. Dia mungkin berkata bahawa kalau kita boleh menerima perpaduan dalam kepelbagaian (unity in diversity) maka pluralisme agama menjadi tenaga yang menyatukan bukan yang memecahbelahkan. Mungkin padanya itulah jalan menuju cahaya mengelak kegelapan, jalan mengelak perang menuju kepada kedamaian dan keamanan, demikian seterusnya.

Masalah pada Muslimin yang berpegang kepada agamanya ialah pluralisme agama terletak atas asasi sangkaan pandangan yang bercanggah dengan Qur’an, Sunnah dan ijma’. Our’an datang mengajarkan kebenaran agama yang diajarkan para anbia, agama-agama yang berubah daripada yang asal itu tidak boleh kita ikuti, sebab ia bersalahan dengan ajaran tentang penasakhan agama dengan kedatangan Islam dalam wahyu dari Tuhan. Mereka, bagaimanapun, yang mengikut agama-agama mereka dengan baik, yang tidak menggangu kita, kita hidup aman dengan mereka, dan kita boleh berkerjasama dengan mereka dalam ‘commonality’ yang am seperti nabi saw dengan Orang Yahudi dan Kristian di Madinah itu. Ini diamalkan sehingga ke zaman kerajaan Othmaniah Turki dengan sistem ‘millet’nya. Ini juga berlaku di zaman kerajaan Andalusia di Sepanyol. Dan itulah yang menjadi pegangan kita; itulah yang kita yakini sebagai kebenaran. Mereka yang hendak berkongsi dengan kebenaran ini saudara kita, yang tidak memudaratkan kita, bahkan mereka hidup dengan aman damai, kita juga hidup dengan aman damai dengan mereka. Kita boleh menghormati nilai-nilai yang baik yang ada pada sistem-sistem kepercayaan (‘belief-systems’) lain tetapi pada kita agama yang diterima di sisi Allah adalah al-Islam dalam erti Islam yang dibawa oleh nabi salla’Llahu alaihi wa sallam, yang disebut dalam Qur’an, Sunnah dan ijma’ itu dengan perpanjangannya dalam wacana arusperdana umat Islam ini, bukan ‘islam’ yang ditakwil-takwil mengikut huraian peribadi berdasarkan kata kerjanya.

Maka kalau pihak yang terpengaruh dengan teori Hicks dan sepertinya dan berkata bahawa tidak kena Muslimin menolak nilai kebebasan bersuara (dalam erti Barat sekarang), kemerdekaan media, demokrasi (dalam acuan Barat secara totok), dan kemerdekaan dhamir, dan melihat budaya kepelbagaian agama sebagai percubaan untuk mencapai hegemoni, pada kita, yang tidak diterima ialah yang bercanggah dengan batasan-batasan syara’, tauhid, akhlak, dan kerohanian Islam. Aspek-aspeknya yang tidak bercanggahan dengan kita kita menerimanya; ertinya bukan menolak secara total dan bukan menerima secara total.Ini kerana panduan Islam adalah menyeluruh dan sepadu, bukan terpisah-pisah. Kalau ada kecurigaan terhadap konsep pluralisme Barat itu di kalangan Muslimin, itu ada alasannya, dengan kolonialismenya (lihat huraian Edward Said dalam ‘Culture and Imperialism’ dan ‘Orientalism’nya), kemudian sekarang globalisasi dengan kesannya parah ke atas Muslimin, kemudian falsafah pascamodernisme, yang membuahkan ‘Islam Liberal’ yang ditaja oleh mereka. Ini juga mengingatkan kita kepada Rand Corporation Report, Civil Democratic Islam laporan Cheryl Benard itu. Tetapi kita boleh terbuka dalam bertemu dengan mereka dalam ruang-ruang yang munasabah.

Kalau pihak yang berpendirian begini menggunakan nama-nama ulama terkenal, untuk ‘menjual’ konsep pluralisme ala Hicks itu kita merasakan kita perlu bercermat tentang hal ini dan melihat wacana ilmu Islam secara menyeluruh bukan dengan menebok-nebok bahagian tertentu kemudian membentangkannya seolah-olah ia mewakili sikap intelektuil Islam seluruhnya, misalnya hukum bila setengah fuqaha membuat keputusan memberi ruang kepada penganut system kepercayaan lain memutuskan hukum mengikut aturan agama mereka dalam amalan-amalan yang ‘ganjil’ seperti orang Zoroaster mengawini anak perempuannya sendiri atau yang sepertinya. Kita boleh menegaskan bahawa kita tidak tenang menerima konsep pluralisme agama dalam erti seperti yang dihuraikan oleh Hicks dan yang sepertinya kerana pada sisi wacana arusperdana Islam –yang menjadi neraca muktamad dalam umat-ini kezindikan dan kesyirikan bukan kebenaran dan tauhid.

Bila orang yang terlibat dalam pemikiran pluralisme cara Barat ini menyesali bagaimana orang Islam ‘terlupa’ kepada hikmat kebijaksanaan dalam kesarjanaan klasik Islam, maka  mungkin terlintas juga pada kalbu kita, tidak mungkinkah orang yang berkata demikian sebenarnya sudah ‘terlupa’ kepada kebijaksanaan itu, sebab itu ia memilih untuk menerima ‘pluralisme’ dalam erti mereka, dan tidak terus setia kepada wacana arusperdana umat ini yang dijamin oleh nabi salla’Llahu alaihi wa sallam akan kekal sehingga ke akhir zaman.Ini kerana keberadaan alam ini ialah kerana wacana ini dan manifestasi kebenarannya dalam hidup manusia. Kalau tidak ayat-ayat yang bermaksud ‘Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepadaKu [dalam Islam mengikut epistemology dan kebenaran arusperdananya’ dan ayat yang bermaksud ‘Dialah yang menjadikan tujuh lapis langit dan bumi seperti itu juga, maka turun Perintah antara itu semua supaya kamu mengetahui bahawa Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu dan bahawa Ia meliputi segalanya dalam ilmuNya’ dan ayat yang bermaksud ‘[berkait dengan  nabi Muhammad selamat di gua perlindungannya] supaya jadilah Kalimah Allah itu yang paling tinggi dan yang menentangnya paling rendah’ dan hadis sahih yang bermaksud ‘dunia ini akan kiamat bila tidak ada lagi orang yang menyebut ‘Allah’, ‘Allah,’ dan hadith yang menyebut tentang ‘kiamat berlaku bila semua manusia adalah sejahat-jahatnya’] [tidak ada lagi kebenaran hakiki yang diajarkan oleh para anbia dalam alam ini, maka alam ini hilanglah sebab bagi penerusan wujudnya. (Apa juga yang mungkin dikatakan oleh pascamodernisme dan fahaman-fahaman dari mereka seperti Hicks dan sebagainya).

Adapun tentang adanya konflik di kalangan umat manusia kerana keyakinan agama masing-masing, bila wajar, pada kita konflik umat manusia adalah perkara yang berlaku secara tabi’i, dunia dengan keadaannya sebagai dunia, bukan syurga jannatul firdaus. Kita mengelak konflik yang tidak perlu yang mesti dielakkan; tetapi kalau konflik itu dicetuskan oleh pihak lain untuk tujuan hegemoninya, kita perlu tangani dengan berkesan dan betul; kita tidak berkata bahawa oleh itu kebenaran pada kami adalah kebenaran, kebenaran yang ada pada anda adalah seperti kami, kelainan hanya sangkaan sempit yang tidak benar, timbul daripada kedangkalan akal, keadaan keladak pada roh, sebenarnya semuanya betul dan benar. Jangan kita berkelahi. Yang kita katakan ialah bahawa kebenaran itu kebenaran, dan pada kami kami yakin ada kebenaran, dan apa yang tidak benar adalah tidak benar, tapi kalau anda hendak berterusan dengan pandangan anda anda jangan ganggu kami dan mengatakan bahawa kebenaran yang ada pada kami tidak benar sebetulnya, yang sebetulnya semua benar. Kita katakan: bagi anda pegangan dan agama anda, bagi kami pegangan dan agama kami. Kalau kita bertujuan mengelak konflik lalu kita perkenalkan pluralisme hanya untuk mengelak konflik, itu ertinya kita membatalkan ajaran para anbia, rasul, ulama, mujtahidin, dan para mujjadid dalam umat ini; kita hendak meletakkan kebenaran di bawah peristiwa, bukan menghakimkan peristiwa mengikut kebenaran (we put history above truth and knowledge and not truth and knowledge above history).

Ajaran Quran ialah kita meletakkan ilmu dan kebenaran untuk menghakimkan sejarah bukan sebaliknya. Kita dengan pihak lain berhubung mengikut etika, dan kita mahu mereka berhubung dengan kita mengikut etika, dan kita berbeza pandangan dengan secara beretika, bukan dengan secara memaksa orang, termasuk memaksa ‘secara berwacana’, sebab itu terlarang, lainlah dengan ulil-amri dalam umat Islam, sebab mereka wajib kita taati selepas daripada Allah dan Rasul, melainkan dalam kemaksiatan dan kekufuran. Dijauhkan Allah. Kita tegaskan, kita berbeza pandangan dengan beretika, bukan dengan memperkenalkan ajaran kenisbian dalam ilmu dan kebenaran. Memperkenalkan pluralisme dan kenisbian dalam ilmu, kebenaran dan nilai hanya kerana hendak mengelak konflik, itu kebaculan intelektuil, rohani, moral, dan budaya; ia kemuflisan rohani dan kenaifan intelektui; maha suci Allah. Dunia adalah ‘negeri ujian’ bukan tempat memperkenalkan kenisbian dan pluralisme kerana mengelak konflik. Mereka yang memperjuangkan demokrasi secara falsafah sosial mutlak pun tidak ‘mencairkan’ demokrasi mutlak mereka untuk mengelak konflik dengan pihak lain. Mengapa kita diajar dan dipujuk untuk ‘mencairkan’ pegangan kita atas nama keabsahan kenisbian dan pluralisme? Maka dalam menegakkan kebenaran yang diredhai Allah dan Rasul kita teruji dalam hidup ini, kita redha, dan kita tidak berpegang kepada kenisbian dan pluralisme kebenaran hanya untuk mengelak konflik.

Kalaulah ada pihak yang sengaja berbicara tentang ‘clash of civilizations’ atau ‘pembenturan peradaban’ atau ‘pertentangan peradaban’ kita tidak perlu terperusuk ke dalam ‘lubang biawak’ itu (mengingatkan hadith Baginda s.a.w. tentang umat kita cenderung mengikut Ahlil-kitab sehingga memasuki lubang biawak [intelektuil] mereka), bagi kita umat manusia hendaklah dipandang dari segi kenal mengenali, memandang makhluk sebagai ‘hamba-hamba Tuhan’ baik di Timur atau di Barat, tetapi kita perlu berwaspada tentang kebenaran dan mengikutnya, serta berwaspada tentang kepalsuan dan jangan mengikutnya. Sikap kita bukan tertumpu kepada ‘orangnya’ tetapi kebenaran yang mesti dijadikan pegangan dan kepalsuan yang mesti dielakkan. Ini sedemikian penting sehingga ia wajib kita peringatkan diri tentangnya dalam bacaan sembahyang setiap rakaat. (ayat tentang mereka yang dikurniakan ni’mat dan mereka yang dimurkai Tuhan). Ma sha’Allah. Kita juga tidak memandang kepada label-label, ‘fundamentalis’kah, ‘moderate’kah, atau apa juga yang diberikan oleh pihak luar terhadap umat dan ahlinya, kita dikelas-kelaskan seperti makhluk yang dikaji dalam makmal, makmal budaya. Sebaliknya kita mesti menumpukan perhatian kepada kebenaran dalam umat yang disepakati, dengan menjaga khilaf-khilaf dalam bidang rantingnya. Kita selesaikan perbezaan, dengan beradab, mengikut ‘neraca [intelektuil dan rohani] yang betul’ (al-qistas al-mustaqim). Perbuatan label-melabel itu kita tinggalkan, kecuali ia bersesuaian dengan neraca intelektuil arusperdana umat. Inilah pendirian kita.

Tentang pengajaran daripada sejarah yang mesti dimanafaati , itu jelas dari ajaran Quran yang menyuruh manusia mendapat pengajaran daripada ‘hari-hari Allah’ yang menyebut kemenangan dan rahmat Ilahi bagi mereka yang mengikut kebenaran ajaran para anbia dan mengelak kepalsuan pihak yang menentang mereka. Sebab itu diajarkan supaya kita memberi peringatan tentang ‘hari-hari Allah’[4] dalam sejarah manusia. Demikian pula sejarah disebutkan kepada Nabi kita s.a.w. supaya baginda mendapat kekuatan hati dan keteguhan jiwa dengannya (لنثبت به فواءدك)[5].Kita tidak berbicara tentang sejarah dari segi kebebasan atau sebaliknya, sebab penekanan kita adalah ketundukan kepada Hukum dan kehendak Tuhan, sebab kita ‘khalifah’ dan ‘hamba’Nya. Bacaan sejarah sebagai ‘kebebasan’ atau ‘kehambaan’ itu bacaan pascamodernis atau bacaan liberalis, bukan bacaan secara panduan Quran, sunnah dan epistemologi arusperdana umat Muhammad ini. Maha suci Allah.

Kalau dipuji negara-negara tertentu, kerana Barat memujinya, dengan alasan ia mengamalkian ‘liberal demokrasi’ dan ia sudah berada pada ‘garis penghabisan’ berjaya, kita perlu ingat kepada fahaman memisahkan agama daripada hidup kemasyarakatan dan berkembangnya Islam yang menjadi khadam kepada falsafah pascamodernisme yang mengajarkan kepelbagaian kebenaran dan kenisbian nilai-nilai, yang semuanya menyanggahi Syariat Islam dan ajarannya tentang halal dan haram serta kebenaran dan kebatilan, pahala dan dosa. Adakah ini yang hendak dijayakan dalam negara kita yang berpegang kepada Quran dan hadith serta kefahaman tentangnya mengikut wacana dan epistemologi Sunni? Maha suci Allah. Ini mengingatkan kita kepada ajaran kaum zindik yang disebut-sebut zaman lampau dalam teks-teks Islam klasik yang masih relevan sekarang dan bila-bila sebab wacana asasi Sunni kekal sampai kiamat sebagaimana yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w. dalam hadith sahih.

Kalau dalam senario semasa ada berlaku pihak yang memperjuangkan prinsip jihad kemudian itu diberi keabsahan untuk berlakunya keganasan, maka wajib diperhatikan bahawa ini tidak ada dalam takrifan jihad yang muktabar, yang cukup dengan syarat-syaratnya, yang melarang penyerangan atas mereka yang tidak berdosa, kanak-kanak dan wanita, yang melarang merosakkan gereja, tempat penyembahan agama Yahudi, dan seterusnya. Dan ini tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk sesiapa menerima pluralisme dalam erti bahawa kebenaran adalah nisbi, banyak, kalau tidak bacaan fatihah dalam sembahyang dan dalam wacana Islam tidak ada makna, sebab kita diperintah mengikut ‘al-sirat al-mustaqim’ dan mengelak ajaran dan jalan mereka yang dimurkai Allah dan jalan mereka yang sesat (المغضوب عليهم ولا الضالين) .Dan jihad dalam erti yang sahih dengan syarat-syaratnya tidak terbatal. Ia terus ada dan menjadi kewajipan bila cukup syarat-syaratnya dan kita berupaya mengamalkannya. Mungkin bagi mereka yang berpegang kepada pluralisme dalam erti yang batil menganggap jihad terhapus, hukum Tuhan terhapus (pada golongan Islam liberal ‘hukum Tuhan’ tidak ada). Dijauhkan Allah.

Kalau disebutkan bahawa dalam agama Islam kebebasan berupa satu daripada matlamat-matlamat yang lebih tinggi, kemudian disebutkan bahawa ia sama dengan apa yang ada dalam sebuah demokrasi berperlembagaan, dengan kebebasan dhamir atau ‘conscience’ manusia, kebebasan untuk menyuarakan penentangan terhadap penindasan, atau seruan kepada perbaikan dan hak atas harta, itu semua tidak boleh disamakan dengan pluralisme yang dicanangkan oleh setengah pihak yang merancang untuk kepentingan hegemoni mereka. Amalan demokrasi dalam Islam wajib taat kepada peraturan syara’ tentang halal dan haram, kebebasan dhamir atau ‘freedom of conscience’ bukan bererti sama dengan yang ditafsirkan dalam ‘The First Amendment’ bagi perlembagaan Amerika Syarikat kerana kita terpandu oleh tuntutan wahyu dalam Quran dan tuntutan sunnah nabi dalam hadith yang menyuruh kita menerima Islam sebagai kebenaran yang berdiri sebagai mewakili kebenaran agama Islam yang diajar kepada semua anbia dalam sejarah manusia. Oleh itu dhamir orang yang beriman wajib tunduk kepada tuntutan fitrah ini; yang lain mesti dielakkan sebab itu terlarang. Perlu diingatkan lagi: kebebasan dalam Islam tertakluk di bawah ajaran Allah dan Rasul bukan boleh mengikut falsafah pascamodernisme yang mengajar kebenaran yang pelbagai (‘multiple truths’); kalau demikian seruan para nabi sebagaimana yang ada dalam Quran tidak bermakna apa-apa lagi.

Akhirnya, prinsipnya kita mesti kembali kepada wacana arusperdana umat khaira ummatin ukhrijat linnas, yang hakikatnya, tidak ada wacana yang mengatasi kebenaranannya, apapun yang dikatakan oleh pihak postmodernis, Islam liberalis, pluralis agama, pihak perennalists, dan sesiapapun yang seperti mereka. Tetapi kita kena mengetahui perbezaan-perbezaan, persamaan-persamaan, dengan beradab, berdisiplin, menghormati orang lain, dalam batasan-batasan yang wajar. Dari Allah kita datang kepadaNya kita kembali.

Wallahu a’lam. Selawat dan salam kepada baginda, ahli keluarganya dan para sahabatnya, dan semua mereka yang mengikutnya dalam ihsan hingga ke hari penghabisan.Segala puji-pujian tertentu bagi Tuhan Pentadbir sekelian alam.

Sumber-sumber rujukan antaranya:

  1. Abdul Rashid Moten ,”Religious Pluralism in Democratic Societies: Challenges and Prospects for Southeast Asia, Europe, and the United States in the New Millennium”. Contemporary Southeast Asia.Journal Volume: 29. Issue: 1.  2007. pp 204 ff,2007 Institute of Southeast Asian Studies (ISEAS)
  2. Brad Stetson ,Pluralism and Particularity in Religious Belief.  Praeger Publishers. Westport , CT. 1994
  3. Jeannine Hill Fletcher ,Article  Religious Pluralism in an Era of Globalization: The Making of Modern Religious Identity”. Journal : Theological Studies. Volume: 69. Issue: 2. , 2008.pp. 394 ff.
  4. J. Gordon Melton ,Article : “Religious Pluralism: Problems and Prospects” Journal: Brigham Young University Law Review. Volume: 2001. Issue: 2. , 2001.
  5. Jung H. Lee ,Article : “Problems of Religious Pluralism: a Zen Critique of John Hick’s Ontological Monomorphism” Journal: Philosophy East & West. Volume: 48. Issue: 3. Publication Year: 1998.p. 453+.
  6. Lucas Swaine ,The Liberal Conscience: Politics and Principle in a World of Religious Pluralism. Columbia University Press. New York .  2006.
  7. Michael Jinkins –  Christianity, Tolerance, and Pluralism: A Theological Engagement with Isaiah Berlin ‘s Social Theory. Routledge. New York .  2004.
  8. Peter G. Danchin – editor, Elizabeth A. Cole – editor, Protecting the Human Rights of Religious Minorities in Eastern Europe . Columbia University Press.  New York .  2002.
  9. Richard E. Wentz, The Culture of Religious Pluralism , Westview Press, 1998
  10. Richard Hughes Seager edit. with the assistance of Foreword by Ronald R. Kidd Diana L. Eck ,The Dawn of Religious Pluralism
    Voices from the World’s Parliament of Religions, 1893 ,published in Association with The Council for a Parliament of the World’s Religions
  11. S. Wesley Ariarajah, “Kenneth Cracknell, in Good and Generous Faith: Christian Response to Religious Pluralism”. Journal The Ecumenical Review. Volume: 58. Issue: 3-4. 2006.pp 400ff
  12. William C. Allen “Stephen Kaplan, Different Paths, Different Summits: A Model for Religious Pluralism”, Journal of Ecumenical Studies. Volume: 41. Issue: 1. , 2004. p 102.
  13. Harvard Pluralism project: http://www.pluralism.org/articles/eck_1993_challenge_of_pluralism?from=articles_index

[1] http://www.pluralism.org[2] Quran Surah al-Hujurat: 13.

[3] Pluralism dalam OED yang terbesar itu ialah:no 4 ialah: The presence or tolerance of a diversity of ethnic or cultural groups within a society or state; (the advocacy of) toleration or acceptance of the coexistence of differing views, values, cultures, etc.

1924 H. KALLEN Culture & Democracy in U.S. 43 Cultural growth is founded upon Cultural Pluralism. Cultural Pluralism is possible only in a democratic society whose institutions encourage individuality in groups, in persons, [and] in temperaments. 1969 Guardian 20 Sept. 4/4 A good deal of discussion at the conference..has been about pluralism as opposed to assimilation. 1976 Times 7 Aug. 14/4 To be in favour of pluralism is to declare that one does not intend to hound or persecute theologians or catechists whose expression of faith differs from your own. 1995 N.Y. Rev. Bks. 19 Oct. 30/1 The institutions and practices of liberalism are likely to open public space to previously repressed and invisible groups, turning a merely theoretical or potential pluralism into an actual on-the-ground pluralism.

[4] Ayat bermaksud ‘Berilah peringatan kepada mereka tentang hari-hari Allah’, Surah Ibrahim:5.

[5] Al-Furqan:”32.

Anwar dan Pluralisme Agama – Pengamatan Ringkas


بسم الله الرحمن الرحيم

نحمده ونصلى على رسوله الكريم

Anwar dan Pluralisme Agama – Pengamatan Ringkas[1]

Oleh:

Al-faqir ila’Llah Muhammad ‘Uthman El-Muhammady

Sayu tidak terkira hati kita mengingatkan bahawa asalnya tokoh dakwah Islam yang berfikiran kebangsaan, menjadi aktivis dakwah, penerajunya, gerakan Islam (dengan pemikiran dipengaruhi Maududi, Hassan al-Banna, Syed Qutb, dan yang sepertinya), akhirnya menjadi pendokong aliran John Hick dengan aliran pluralisme agama dengan implikasi-implikasi rohaniah terakhir. Allahumma sallimna wa ’l-Muslimin. Amin.

Pluralisme agama dalam erti yang dibentangkan dalam gagasan Prof Hick yang meninggalkan sikap ekslusif Katholik, dan yang sepertinya, menganggap semua agama-agama membawa kepada ‘salvation’, menunjukkan pemikirnya tidak ada keyakinan terhadap agamanya dalam erti yang sebenarnya. Ia timbul daripada pengalaman peradaban dan budaya serta perkembangan pemikiran keagamaan Barat yang pahit dalam sejarahnya. Tidak masuk akal sejahtera bagi Orang Islam yang berimamkan Quran boleh mengikut aliran yang kemuflisan dari segi rohani dan penaakulan berasaskan tauhid seperti ini. Islam mengajarkan semua pengikut autentik para nabi selamat, pengikut nabi salla’Llahu alaihi wa sallam selamat, ahli fatrah yang tidak ada nabi pada zamannya, zaman antara dua nabi, selamat, mereka yang ‘tidak sampai seru’ selamat.

Orang yang berkepercayaan seperti John Hick dan yang sepertinya ini mungkin akan menjadi ‘lukewarm’ dalam keyakinannya, tidak lagi ia ‘minal-muqinin’ dari kalangan orang-orang yang yakin; mungkin akhirnya ia menjadi agnostic, dijauhkan Allah, walaupun tidak disuarakannya. Pegangan seperti ini membawa kita terlintas persamaannya dengan golongan zindik zaman klasik.

Nukilan bait-bait Rumi rh yang menyebut tentang lampu yang banyak, dan keperluan tidak melihat lampu-lampu tetapi kepada Cahaya, dengan fahaman agama-agama semuanya sah dan menyelamatkan adalah kekeliruan memahami pengalaman musyahadah – spiritual witnessing – sebagai sama dengan akidah kepercayaan dan teologi. Ia kesilapan – dari segi Islam dan ajaran intelektuil-rohaniahnya – yang paling parah. Kalau hakikatnya demikian tentu Rumi rh tidak akan mengkritik agama Kristian,Yahudi, dan musyrikin penyembah berhala dalam ‘Mathnawi’nya, dan ia bukan Ahlissunnah. Tetapi ia memang membuat kritikan itu, dan ia Sunni bukan Syi’i.

Sikap yang menyatakan adanya inti semua agama yang mengatasi bentuk-bentuk lahiriah dan upacara-upacara tidak ada sandaran langsung dalam tamadun Islam dan sejarah rohaninya. Nama-nama yang disebut-sebut untuk menyokong aliran ini, misalnya oleh Schuon, adalah perbuatan ‘menjual nama’ untuk melariskan ‘barangan’. Kenyataan-kenyataan mereka dinukil di luar konteks tulisan-tulisan mereka, ditafsirkan secara tidak sahih, dan lagi di luar daripada konteks dan perihal diri mereka sendiri yang berkenaan itu.

Sebutan tentang Dante yang terkenal dengan ‘Divine Comedy’nya juga tidak berjaya membuktikan beliau (Dante) memandang semua agama ada keabsahannya, menyelamatkan, kalau tidak mengapakah beliau memasukkan Nabi salla’Llahu alaihi wa sallam dan Ali rd dalam ‘neraka’ dalam bahagian ‘Inferno’ dalam buku agungnya itu, menuduhnya sebagai ‘the chief of those who create schisms’ – ketua mereka yang mengadakan golongan serpihan agama yang sesat? Dante yakin tentang kebenaran ultimate agama Katholiknya. Gubahannya itu bertujuan untuk itu. Bagaimanakah buku demikian boleh menjadi bukti kebenaran pluralisme agama?  Tentang ‘tranquility and peace’ atau kedamaian rohani dan keamanan tercapai oleh manusia bila ia berhenti daripada kerakusannya, itu peraturan rohaniah yang sah dalam Islam dan mereka yang berpengalaman sahih; ini tidak menjadi dalil untuk pluralisme agama. Subhana’Llah.

Soal ‘favouring one religion’ dalam erti memilih agama Islam sebagai mengatasi yang lain, itu bukan soal ‘memilih’ tetapi ia ketetapan Ilahi dalam ayat ‘sesungguhnya agama (yang diterima) di sisi Allah ialah Islam’; ia dalam Quran, dalam hadith, dalam ijma’. Pemikiran Hicks dan pemikir-pemikir yang sepertinya tidak mampu menolak keyakinan yang datang dari Tuhan, Rasul (semua para rasul dan nabi dalam semua zaman sejarah anak Adam), para arifin dan ijma’. Dalam Negara bila para penduduknya dan pemimpin tertingginya Muslim wajib berlaku ‘favouring one religion’, seperti menjadikan Islam sebagai ‘agama Persekutuan’ misalnya, tetapi Islam mengajar keadilan dan kebebasan beragama bagi penganut-penganut agama yang diakui – sebagaimana contohnya berlaku dalam kerajaan Othmaniah dengan sistem ‘millet’nya, yang Barat sekarangpun tidak mengamalkannya hingga tudung kepala wanita menjadi masalah besar, menara ,masjid menjadi masalah besar. Maha suci Allah.

Penafsiran jihad yang tersasul dalam setengah kalangan (kerana faktor-faktor sejarah yang mendesak dan tidak patut diremehkan) tidak boleh menjadi dalil bagi sesiapa melihatnya sebagai penafsiran yang menyeluruh mewakili arusperdana umat. Bagaimanapun ini juga perlu dilihat dalam konteks pihak-pihak, yang dalam sejarah, juga sekarang, memanipulasikan maklumat untuk kepentingan hegemoninya.

Akhirnya, prinsipnya kita mesti kembali kepada wacana arusperdana umat khaira ummatin ukhrijat linnas, yang hakikatnya, tidak ada wacana yang mengatasi kebenaranannya, apapun yang dikatakan oleh pihak postmodernis, Islam liberalis, pluralis agama, pihak perennalists, dan sesiapapun yang seperti mereka. Tetapi kita kena mengetahui perbezaan-perbezaan, persamaan-persamaan, beradab, berdisiplin, menghormati orang lain, dalam batasan-batasan yang wajar. Dari Allah kita datang kepadaNya kita kembali.

Wallahu a’lam.

Selawat dan salam kepada baginda, ahli keluarganya dan para sahabatnya, dan semua mereka yang mengikutnya dalam ihsan hingga ke hari penghabisan. Segala puji-pujian tertentu bagi Tuhan Pentadbir sekalian alam.


[1] Nota untuk perbincangan rakan-rakan ditulis pada 21 Rabiulakhir 1431/6 April 2010 sebagai respons awal kepada teks ucapan DS Anwar Ibrahim di London School of Economics, 18 Mac, 2010

Untuk baca teks ucapan – klik di sini: Public lecture by Anwar Ibrahim at the London School of Economics, March 18, 2010