Wahabi tak taat ulama, ulil amri

Oleh Muhammad Uthman El-Muhammady

Perbuatan lompatan mental timbulkan huru-hara keilmuan, sosial serius

KALI ini kita akan melihat perbezaan yang ketara dalam perkara hukum Islam dan akhlak fahaman Wahabi dan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Antaranya ialah bagaimana mereka meringankan peranan ijmak ulama dan menekankan hanya al-Quran dan sunnah saja. Mereka juga tidak berpegang kepada mazhab kerana menafsirkan ia umpama ‘menyembah/beribadat’ kepada ahli hukum atau agama.

Malah mereka juga membuat penafsiran mengenai hukum dengan tidak mematuhi kaedah hukum arus perdana Ahli Sunnah. Tindakan ini membawa kepada implikasi negatif dalam akhlak, selain hukum.

Dalam bidang hukum, mereka tidak mengambil berat mengenai ijmak dan kias serta mazhab dalam Ahli Sunnah. Ijmak antaranya berdalil kepada ayat yang bermaksud: ‘Jalan orang yang beriman’ dalam surat al-Nisa. Dalam ayatnya yang bermaksud: “Dan sesiapa yang memerangi Rasul selepas daripada nyata baginya bimbingan yang benar dan ia mengambil jalan selain orang yang beriman, Kami (Allah) membiarkan dia menjalani jalan yang diambilnya dan kemudian mencampakkannya ke dalam neraka, alangkah buruknya tempat kembali.” Apabila mereka tidak peduli kepada ijmak, maka pendirian mereka dalam beberapa perkara menyalahi ijmak dan menimbulkan masalah hukum dalam masyarakat Islam.

Apabila mereka tidak patuh kepada ijmak, timbullah akibatnya seperti tidak taat kepada ulil amri di mana mereka berada. Contohnya, walaupun dalam ijmak diwajibkan kepatuhan kepada ulil amri mereka memberontak melawan autoriti Khalifah Uthmaniah, konon katanya, ia menjadi kafir.

Demikian pula pada zaman selepas itu, mereka tidak taat kepada ulil amri yang mana mereka berada kecuali pihak yang mempunyai pegangan seperti mereka. Oleh sebab itu aliran ini jangan dibiarkan berkembang di kalangan orang Melayu kerana bahayanya jelas. Ia akan menimbulkan ketegangan dengan ulil amri di mana mereka berada.

Ketika belum kuat pengaruhnya sudah timbul masalah, inikan nanti apabila jumlah menjadi lagi. Penulis pernah berdepan dengan orang tertentu daripada aliran ini dan apabila disebut kepadanya: “Apabila ulil amri menentukan sesuatu mazhab dalam Ahli Sunnah, maka hendaklah kita patuhi demi maslahat umat,” mereka berkata: “Apa ulil amri ulil amri ni?,” Ini menandakan bangkangan mereka terhadap konsep ini dalam Ahli Sunnah.

Sikap tidak hormat kepada ulil amri ini berlaku dari segi ilmu juga. Mereka tidak taat kepada sistem dan tradisi ilmu Ahli Sunnah. Kata mereka jika diikut ulama, maka itu menyembah ulama (ibadatul-ahbar). Sama seperti menghormati orang soleh atau mengambil berkat mereka, Wahabi melihat ia menyembah orang soleh (‘ibadatul-rahban) dan perbuatan itu syirik. Sebab itu timbul aliran ‘la mazhabiah’ (aliran tidak pakai mazhab), orang berijtihad secara sendiri-sendiri di kalangan mereka.

Ini dijelaskan dalam buku Hal al-Muslim Mulzam Bittiba’Mazhabin Mu’ayyanin min Mazahib al-Arba’ah oleh Muhammad Ma’sumi al-Khujandi, dan pendirian ini dipertahan dan diperjuangkan oleh Nasir al-Din al-Albani. Jadi dalam hukum, mereka tidak tunduk kepada autoriti ulil amri dari segi sosial dan segi ilmu. Ulil amri dari segi sosial seperti Sultan, pemimpin yang menerima tauliah daripada mereka, manakala dari segi ilmu, mereka tidak menghormati ulama, sebaliknya yang mereka hormat ialah ulama sealiran mereka dan yang lain ditolak.

Misalnya, ulama seperti ibn Qudamah al-Maqdisi, pengarang kitab klasik rujukan standard Mazhab Hanbali al-Mughni, berhubung soal melawat kubur Nabi, katanya dalam kitab itu: Sunat menziarahi kubur Nabi berdasarkan riwayat al-Daraqutni dengan isnadnya daripada (Abdullah) ibn Umar, katanya bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang melakukan haji kemudian menziarahi kuburku selepas daripada wafatku, maka seperti ia menziarahiku pada waktu hayatku. Dalam riwayat lain yang bermaksud: “Sesiapa yang menziarahi kuburku wajib baginya syafaatku,”. Disebut lagi al-Maqdisi (hadis): kata Imam Ahmad dalam riwayat Abdullah daripada Zaid bin Qasit daripada Abu Hurairah bahawa nabi SAW bersabda bermaksud: “Tidak ada seorang daripada orang Islam yang memberi salam kepadaku di kuburku, melainkan Allah mengembalikan rohku sehingga aku menjawab balik salamnya.”

Bagaimanapun, ia disanggah dan ditolak huraian imam ini kerana ia berlawanan dengan sikap ‘al-din al-nasihah’ dalam Ahli Sunnah yang memastikan kita merujuk kepada ulama yang muktabar sebagai dasar taklid dalam erti ‘mengikut kesarjanaan yang muktabar dalam syarak’ (following qualified scholarship in Islamic sacred science). Ini bukannya diterjemah ‘taklid buta’ kerana yang ada ialah keilmuan, kesarjanaan, ’scholarship’, manakala yang mujtahid menjadi rujukan dan yang bukan mujtahid disuruh merujuk.

Ini ketertiban keilmuan dalam Islam. Dalam al-Quran ia, termasuk ke dalam maksud ‘bertanyalah kepada ahli ilmu jika tidak mengetahui’, juga terkandung dalam maksud ‘… taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul dan kepada ulil amri kamu (ulil amri sosial, ulil amri ilmu atau kedua-duanya). Jika tidak, kita akan terbabit dalam kebiadaban intelektual yang membunuh diri sendiri. Nauzhu billah min zalik.

Sikap golongan ini membawa kepada ciri akhlak yang mengaibkan dan membahayakan masyarakat dan negara. Ia bermula dengan penafian autoriti sosial dan epistemologis atau autoriti dalam hal ilmu. Mereka mengambil autoriti mengikut diri sendiri; merekalah yang menentukan ajaran daripada al-Quran (wahyu) dan nubuwwah (sabda Nabi); mereka membuat lompatan mental beribu-ribu tahun, mengambil keputusan terus daripada al-Quran dan Sunnah tanpa mempedulikan panduan kerangka ilmu dan kaedah ilmu Ahli Sunnah itu al-Quran dan hadis ditafsir sendiri tanpa mengambil kira panduan atau pandangan pakar wacana arus perdana umat (without the mediation of the mainstream intellectual tradition) selaras dengan ‘jalan orang Mukminin’ yang disebut dalam surah al-Nisa itu). Perbuatan lompatan mental inilah yang menimbulkan huru-hara keilmuan dan sosial yang serius. Ini yang penulis maksudkan kebiadaban rohani dan intelektual itu.

Akibatnya, mereka tidak menghormati autoriti dan institusi dalam masyarakat, tidak menghormati fatwa yang diputuskan padahal ia sah kerana ulil amri yang memberi autoriti itu dan mereka membuat keputusan berdasarkan autoriti keilmuan dalam masyarakat. Sebaliknya, ia tidak dihormati oleh pihak yang mengamalkan ’sikap intelektual koboi’ ini.

Oleh itu, kita kini mendengar bahasa kesat, kasar dan tidak beradab walaupun daripada orang yang educated, ada unsur maki hamun, gelak tertawa dalam majlis ilmu yang serius; perceraian rumah tangga; kata-kata seperti ‘sesat’, ‘bidaah’, ‘tidak bernas’ dilempar oleh orang yang sukar kita percaya tanpa bukti.

Penolakan mereka terhadap tasauf memberi kesan menjadikan mereka beradab kasar, melihat sesuatu hanya pada zahir: halal haram, iman kufur dan bidaah sunnah. Kita mesti mengelak diri daripada membantu melahirkan generasi biadab seperti ini. Wallahu alam.

disiar Berita Minggu 29 November 2009

Tiada bahasa kiasan dalam fahaman Wahabi

Ahli Sunnah dituduh syirik, lakukan bidaah kerana amalan bertentangan Syeikh Muhammad

Oleh Muhammad Uthman El-Muhammady

PENULISAN ini akan mengupas konsep tauhid dalam Wahabi, antaranya seperti yang ada dalam tulisan pengasasnya, Syeikh Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab.

Pertama ialah huraian mengenai ‘Lailahailallah.’ Beliau menyatakan seseorang itu selamat harta dan nyawanya, iaitu tidak dibunuh dan hartanya tidak diambil, dengan lima syarat. Syarat pertama ia mengucap syahadah; kedua, tahu ertinya; ketiga mengaku tiada Tuhan melainkan Allah SWT; keempat, menyeru bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah SWT, menyembah-Nya; kelima, ia kufur terhadap yang disembah selain daripada Allah S.W.T

Tetapi jika syak atau teragak-agak antara percaya dan tidak, maka nyawanya dan hartanya tidak selamat. Kalau mengucap dengan lafaz saja belum selamat nyawa dan hartanya; kalau berlafaz dan tahu maknanya, juga belum selamat; kalau tahu maknanya dan ikrar dengan lidahnya, itupun belum selamat; kalau ikrar dan menyeru kepada Allah SWT itupun belum selamat; harta dan nyawa selamat hanya apabila ia tidak kufur terhadap Allah SWT.

Dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah, kalau seseorang mengucap ‘Lailahaillallah’ maka selamat nyawa dan hartanya; kalau berlaku jihad jika ia mengucap maka tidak dibunuh. Dalam hadis sahih ada sahabat yang membunuh orang yang mengucap syahadah kerana katanya orang itu mengucap kerana takut kepada pedang; ia dimarahi oleh Rasulullah SAW. Dalam Ahli Sunnah orang yang mengucap ‘Lailahaillallah’ sahlah imannya. Ia dikira Islam. Kalau tersembunyi syak dalam hati selama ia tidak menzahirkannya, ia dikira Islam. Yang tersembunyi terserah kepada Allah SWT. Kita dalam Ahli Sunnah mengikut yang zahirnya. Tidak demikian halnya pada golongan Wahabi seperti yang ada dalam kitab pengasas mereka.

Dalam perkara tauhid juga mereka membuat huraian membahagikan tauhid atau mengesakan Tuhan dengan membahagikannya kepada tiga iaitu tauhid rububiyah, ertinya mentauhidkan Allah, Tuhan yang menjadikan alam, Dia memberi rezeki dan seterusnya, tauhid uluhiyyah, ertinya menyembah-Nya dan taat kepada-Nya; tauhid asma’ wassifat ertinya menerima nama dan sifat Tuhan seperti yang ada dalam al-Quran dan Sunnah, termasuk kalau ada ayat menyebut Tuhan ada tangan, maka diterima tanganlah , kalau Tuhan ada jari, maka jarilah, kalau Tuhan ada muka, maka mukalah, kalau betis maka betislah, sebab pada mereka tidak ada majaz atau kiasan pada bahasa. Semuanya hakiki, semuanya bererti mengikut zahir lafaz. Ketiga-tiga tauhid ini terpisah antara satu yang lainnya.

Sebab itu kata mereka, penyembah berhala itu ahli tauhid, tauhid jenis rububiyah, hanya mereka tidak ada tauhid uluhiyyah, itu silapnya. Tauhid rububiyah penyembah berhala itu pula kata mereka lebih ikhlas dan murni daripada tauhid seseorang yang mengucap ‘Lailahaillallah.’

Dalam Ahli Sunnah, tidak pernah ada pembahagian kepada tiga yang terpisah; tidak ada dalam al-Quran, hadis, dalam ijmak ulama atau dalam golongan generasi salaf (tiga abad awal Islam). Pembahagian ini muncul pada abad ke-8 Hijrah. Istilah yang digunakan oleh mereka iaitu bidaah muncul pada abad ke-8. Bagaimanapun mereka mengatakan ia aliran salaf padahal ia muncul kemudian?

Dengan tauhid yang dipecah tiga itu, mereka menyatakan bahawa orang yang berdoa di kubur nabi atau orang salih: “Ya Allah dengan kemuliaan dan keberkatan orang salih ini, selamatkanlah hamba dan keluarga hamba daripada bala yang berlaku ini,” orang ini dihukum syirik kerana menyembah orang mati, menyeru kepada orang mati. Tidak boleh bertawassul seperti itu kerana syirik dan boleh dibunuh.

Oleh itu seperti disebut dalam kitab mereka, Tarikh Najdin bahawa Syeikh Muhammad Abdul Wahhab menyatakan Muslimin di dunia tenggelam dalam dosa syirik menyembah berhala seperti orang Musyrikin zaman Jahiliah kerana menyembah kubur seperti itu. Hukum itu tidak pernah ada dalam kitab ulama Ahli Sunnah, sebaliknya dalam kitab golongan ini (Wahabi) saja. Jika kita mengikut cara mereka, maka habislah Melayu tenggelam dalam syirik sebab bertawassul padahal dalam Ahli Sunnah ia dibolehkan dan bukan syirik.

Tauhid yang tidak membenarkan takwilan ayat Quran dan sunnah yang menyebut Tuhan dengan sifat makhluk juga berlawanan dengan pegangan Ahli Sunnah. Katakanlah al-Quran menyebut Tuhan ada muka, pada mereka mukalah, kalau disebut Tuhan ada tangan maka tanganlah, kalau disebut Tuhan turun ke langit dunia pada sepertiga akhir malam, maka Tuhan turunlah. Kalau disebut Tuhan istawa atau bersemayam atas Arasy maka Tuhan duduklah di situ mengikut zahir lafaznya.

Dalam Ahli Sunnah, kita serahkan kepada Tuhan hakikat erti ayat itu atau kalau bimbang tersilap faham orang, kita takwilkan mengikut panduan ulama Ahli Sunnah, seperti kalau ‘muka’ itu maksudnya ‘Zat’-Nya, kalau tangan ‘Kuasa’-Nya, kalau disebut ‘betis’ bukan Tuhan ada betis, tetapi itu kiasan mengenai keadaan teramat dahsyat pada hari kiamat, bukannya bila terbuka ‘betis Tuhan.’

Dengan itu Wahabi memberi sifat Tuhan seperti sifat makhluk, jadilah ia mujassimah (golongan yang mengajarkan Tuhan bersifat seperti makhluk) seperti mujassimah zaman klasik. Daripada sikap ini timbul fahaman mereka bahawa Tuhan memegang langit dengan tangan kanan-Nya dan memegang bumi dengan tangan kiri-Nya apabila kiamat.

Huraian cara ini juga membawa mereka menyatakan Adam AS dan Hawa AS berlaku ‘syirik’ terhadap Allah SWT, iaitu apabila Tuhan kurniakan anak kepada mereka. Mereka didakwa ‘syirik’ kerana taat kepada Iblis dengan memberikan nama anak mereka sebagai Abdul Harith, iaitu hamba Iblis kerana al-Harith itu nama Iblis.

Mengikut Ibn Kathir, riwayat seperti ini mesti ditolak kerana ia daripada ahli kitab yang berlawanan dengan al-Quran dan sunnah, apatah lagi itu berlawanan dengan iktikad Ahli Sunnah mengenai maksumnya Nabi dan Rasul.

Mereka juga menuduh Imam Busiri yang mengarang al-Burdah sebagai syirik sebab ada bait syairnya yang memohon syafaat kepada Nabi SAW. Pada Ahli Sunnah, ini harus dan memang kita memerlukan syafaat Nabi SAW. Inilah beberapa perkara pokok dalam akidah Wahabi yang berlawanan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Wallahu a’lam.

Penulis ialah Felo Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC)

*********************************

MAKLUMAN PEMBETULAN:

Terdapat sedikit kesilapan dalam siaran pada Berita Minggu 15hb Nov, 2009. Para bermula dengan:

Pertama ialah huraian mengenai ‘Lailahailallah’ … ayat akhirnya “kelima, tidak kufur kepada Allah SWT.

Sepatutnya:

kelima, ia kufur terhadap yang disembah selain daripada Allah