Dalil sanggah beza tauhid uluhiah dan rububiah

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

Utusan Malaysia – 14 Disember 2009

MENYAMBUNG persoalan minggu lepas tentang tauhid uluhiah dan rububiah yang dibezakan oleh pereka tauhid ini, adakah terdapat perbezaan di antara kedua-duanya? Maka minggu ini kami memaparkan pula dalil aqal dan naqal yang menafikan sama sekali perbezaan ini.

Kami tegaskan sekali lagi, bahawa dengan membezakan di antara kedua-dua tauhid ini, mereka menganggap orang musyrik sebagai ahli tauhid dengan tauhid rububiah.

Dalam erti kata lain, melalui konsep tauhid rekaan Ibnu Taimiyyah ini, orang musyrik atau orang yang tidak mengucapkan kalimah syahadah dianggap sebagai ahli tauhid atau orang yang mengesakan Allah.

Ini kerana, kononnya mereka percaya dan mengakui bahawa Allah yang mencipta segala sesuatu dan mentadbir segala urusan alam ini, tetapi mereka tidak bertauhid dengan tauhid uluhiah kerana menyekutukan Allah dalam sembahannya.

Maknanya juga, dalam satu masa seseorang itu boleh dikira sebagai ahli tauhid dan musyrik. Inilah salah satu kepincangan tauhid ini yang mendapat sanggahan yang hebat daripada ulama Ahli Sunnah.

Sebagai menjelaskan lagi kepincangan dan kebatilan tauhid ini, marilah sama-sama kita merujuk kepada dalil-dalil ulama dari sudut akal dan naqal.

Dari sudut aqal

Sekiranya orang-orang musyrik termasuk di dalam golongan ahli tauhid rububiah (sebagaimana yang mereka percayai), bermakna mereka ini beriktikad dengan iktikad yang jazam (teguh dan tidak berbelah bahagi).

Dengan iktikad ini, sudah pasti mereka tidak akan meragui bahawa Allah itu Esa pada ciptaan, kekuasaan, pentadbiran, takdir dan perbuatan-Nya serta dalam mendatangkan suatu kesan sama ada manfaat atau pun mudarat, yang kesemuanya ini adalah komponen bagi tauhid rububiah.

Jika inilah keadaannya, bolehkah diterima akal, dengan iktikad sedemikian mereka boleh pula mengambil tuhan selain Allah untuk disembah, sedangkan tuhan yang lain itu tidak berkuasa mendatangkan sebarang manfaat atau mudarat kepada mereka?

Orang-orang musyrik pada setiap zaman dan tempat menyembah pelbagai sembahan selain Allah. Mereka mempercayai bahawa sembahan-sembahan mereka itu boleh melakukan sesuatu perbuatan, mendatangkan kesan, manfaat dan mudarat.

Boleh mendekatkan mereka kepada Allah, boleh mendatangkan sesuatu kebaikan bagi setiap orang yang datang meminta pertolongan kepada tuhan-tuhan mereka dan boleh mendatangkan mudarat kepada setiap orang yang berpaling daripadanya.

Semua kepercayaan ini menafikan tauhid rububiah.

Dari sudut naqal

Nas-nas syariat telah menetapkan secara jelas, terang dan qatie (pasti) bahawa orang-orang musyrik pada setiap masa dan tempat tidak akan mampu bertauhid dengan tauhid rububiah semata-mata dan menafikan uluhiah, tetapi mereka semua adalah orang-orang musyrik pada uluhiah dan rububiah sekali gus kerana kedua-duanya adalah perkara yang satu.

Sebagai contoh, kami sebutkan di sini dalil-dalilnya:

1. Firman Allah SWT dalam menceritakan tentang orang-orang musyrik ketika ditanya tentang rahsia sebenar mereka menyembah berhala selain Allah: Tidaklah kami (orang musyrik) menyembah atau memuja mereka (sembahan-sembahan mereka), melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah dengan sedamping-dampingnya. (al-Zumar: 3)

Ayat ini jelas menunjukkan, orang-orang kafir beriktikad bahawa patung-patung mereka mempunyai kekuasaan untuk memberikan hidayah kepada mereka dan mendekatkan diri mereka kepada Allah. Maksudnya sembahan mereka itu mampu memberi kesan dengan sendirinya.

Maka di manakah letaknya tauhid mereka bagi tauhid rububiah?!.

2. Nabi Hud a.s ketika berdialog dengan orang musyrikin tentang patung-patung sembahan mereka dan ketika diterangkan kepada mereka bahawa sembahan mereka itu tidak berkuasa untuk mendatangkan sesuatu kepada mereka melainkan Allah, mereka berkata: Kami hanya boleh berkata bahawa setengah daripada tuhan-tuhan kami telah mengenakanmu sesuatu penyakit gila (disebabkan engkau selalu mencaci penyembahan kami itu). (Hud: 54)

Kepercayaan bahawa sembahan-sembahan mereka boleh mendatangkan kesan yang buruk, jelas menunjukkan bahawa orang musyrik mempercayai pada sembahan-sembahan mereka ada kekuasaan yang boleh melakukan sesuatu perbuatan dan mendatangkan kesan mudarat atau manfaat.

Ini menunjukkan bahawa orang musyrikin tidakpun mengesakan Allah pada rububiah tetapi menyekutukan Allah dengan tuhan-tuhan yang lain pada tauhid uluhiah. Iktikad mereka ini ternyata berbeza dengan apa yang dipercayai oleh pendokong bidaah pembahagian tauhid.

3. Allah SWT berfirman: Tidakkah engkau pelik memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai tuhannya (Rabb) kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: Tuhanku (Rabbi) ialah Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan. Ia (Namrud) menjawab: Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan. (al-Baqarah: 258)

Berdasarkan ayat di atas jelas dapat dilihat, Namrud telah mendakwa dirinya dengan perkara yang berkaitan tentang rububiah seperti mempunyai kerajaan, kekuasaan dan pemerintahan.

Dia juga mempercayai mempunyai keistimewaan rububiah yang boleh menghidupkan dan mematikan. Kemudian selepas itu, dia berdebat dengan Nabi Ibrahim a.s tentang Rabbnya (tuhan yang menjadikan) dan bukan tentang Ilahnya (tuhan yang disembah) sebagaimana penggunaan istilah dalam ayat tersebut.

Adakah selepas penjelasan ini, masih ada yang mendakwa: Sesungguhnya Namrud adalah ahli tauhid dengan tauhid rububiah dan Nabi Ibrahim a.s telah datang kepadanya untuk mengajak kepada tauhid uluhiah sahaja?

4. Allah SWT telah berfirman dalam menceritakan tentang Nabi Yusuf a.s yang mengajak sahabat-sahabat sepenjaranya kepada akidah tauhid yang suci:

Wahai sahabat sepenjaraku berdua! Memuja dan menyembah berbilang-bilang tuhan (Arbaab – jama’ kepada Rabb) yang bercerai-berai itukah yang lebih baik atau menyembah Allah Tuhan yang Maha Esa lagi Maha Berkuasa? (Yusuf: 39)

Marilah bersama saya memerhatikan perkataan Nabi Yusof a.s ketika mempersoalkan tentang Tuhan yang lebih baik disembah: “Adakah Tuhan-tuhan (Arbab) yang bercerai-berai. Beliau tidak berkata: “Tuhan-tuhan (Aalihah – jamak kepada Ilah).”

Adalah jelas bahawa penghuni penjara menyembah lebih daripada satu Rabb dan lebih daripada satu Ilah.

Adakah masih boleh diterima oleh akal yang sejahtera, jika dikatakan: Orang-orang musyrikin bertauhid dengan tauhid rububiah dan Nabi Yusuf datang kepada mereka dengan membawa tauhid uluhiah sahaja? Maha Suci Allah, ini adalah suatu pembohongan yang besar!.

5. Allah SWT berfirman menceritakan tentang Firaun yang berkata ketika menakut-nakutkan kaumnya agar mereka mentaatinya. Firaun berkata: Akulah tuhan kamu (Rabbukum) yang tertinggi. (al-Naazi’aat: 24)

Demikianlah dakwaan rububiah Firaun bagi dirinya dan dia cuba mengagamakan kaumnya dengan rububiah ini. Maka dari sini, tidakkah ada langsung sebesar zarah perasaan salah bagi mereka yang mendakwa bahawa Firaun dan kaumnya bertauhid dengan tauhid rububiah dan telah datang kepada mereka Musa Kalimullah a.s dengan tauhid uluhiah sahaja?

Di ketika yang lain, Firaun juga mendakwa uluhiah bagi dirinya ketika dia berkata: Wahai orang-orangku, aku tidak mengetahui adanya bagi kamu sebarang tuhan (ilah) selain daripadaku. (al-Qasas: 38)

Ini menunjukkan bahawa tidak ada perbezaan di antara rububiah dan uluhiah. Oleh kerana itu, sesiapa yang mendakwa dirinya dengan rububiah, maka dia telah menjadikan dirinya Ilah (sebagai tuhan yang patut disembah).

Sesiapa yang mendakwa dirinya dengan uluhiah pula, maka dia telah menjadikan dirinya sebagai Rabb (tuhan yang menciptakan, mentadbir dan sebagainya) bagi orang lain.

6. Mayat-mayat yang berada di dalam kubur, masing-masing tidak ditanya tentang uluhiah dan tauhidnya, tetapi malaikat akan bertanya kepadanya: Man Rabbuka? (Siapakah rab (tuhan) kamu?”

Sekiranya tauhid itu seperti yang dipercayai oleh Ibnu Taimiyyah, yang mana semua manusia di sisinya beriktikad dengan tauhid rububiah, kenapakah soalan malaikat ini masih diperlukan dan bermanfaat?

Ini menunjukkan bahawa dakwaan Ibnu Taimiyyah adalah tidak benar dan palsu semata-mata.

Kesimpulannya, orang yang syirik pada uluhiahnya dikira sebagai syirik pada rububiahnya juga. Sesiapa yang syirik pada rububiah maka dia juga adalah syirik pada uluhiah.

Minggu hadapan kami akan mengemukakan dalil-dalil mereka dan jawapan ulama tentang kesamaran dakwaan mereka. Benarlah perumpamaan Quraniy bahawa, sesungguhnya rumah yang paling rapuh ialah rumah labah-labah. (al-Ankabut: 41). Wallahu a’lam.

Advertisements

Tauhid uluhiah dan rububiah

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN.

Utusan Malaysia – 7 Disember 2009

Syarat sah syahadat kita adalah mengucap dengan lisan, membenarkan dengan hati dan beramal dengan anggota.


Menyorot ruangan Relung Cahaya minggu lepas, kita telah pun mempersoalkan dan membincangkan secara ringkas tentang sumber tauhid tiga serangkai ini.

Setelah kita mengetahui dengan jelas bahawa pembahagian tauhid kepada tiga ini tidak mempunyai sumber yang sahih di sisi syarak, maka pada minggu ini kami ingin mengajak pembaca menghalusi lagi penelitian tentang permasalahan ini agar kebenaran akan terserlah dan kebatilan akan terpadam.

Memandangkan pereka tauhid bidaah ini mengklasifikasikan tauhid kepada tiga, maka kami ingin mengemukakan persoalan, apakah terdapat perbezaan di antara tauhid uluhiah dan rububiah?

Sebelum persoalan ini dijawab, kami ingin berkongsi dengan pembaca tentang jawapan ringkas melalui e-mel yang kami terima daripada seorang pembaca yang pro-tauhid tiga serangkai ini.

Namun, jawapan yang mewakili penghantar tidak menjawab persoalan yang diutarakan pada minggu lepas.

Beliau hanya mengemukakan hujah hasil dari pemikiran Ibnu Taimiyyah seperti yang dapat dilihat di dalam kitab-kitabnya, sedangkan hujah Ibnu Taimiyyah ini telah lama disangkal oleh ulama ahli sunnah.

Perlu kita fahami, tidak semua ilmu yang diformulasikan atau semua hasil istiqra’ (telaah) atau pemikiran seseorang itu boleh diterima jika tidak sejajar dengan al-Quran dan sunnah.

Apatah lagi, ilmu yang berkaitan dengan akidah yang mesti dirujuk dengan rapi dan betul kepada sumber yang sahih lagi mutawatir. Jika wujud kepincangan, maka ia tertolak sama sekali.

Kepincangan itu telah pun dibincangkan oleh ulama dan telah pun kami paparkan dan akan kami sebutkan, insya-Allah.

Menurut penghantar e-mel itu lagi, mengingkari tauhid tiga ini bererti tidak bertafaqquh terhadap kitab Allah, tidak mengetahui kedudukan Allah, mengetahui sebahagian dan tidak mengetahui sebahagian yang lainnya.

Dengan spontan benak hati kami bertanya, inikah jawapan yang sepatutnya kami peroleh daripada seseorang yang merasa telah bertafaqquh dengan kitab Allah?

Kami juga agak terkejut dengan kenyataan ini. Jika mereka yang mengingkari tauhid tiga ini dianggap tidak bertafaqquh dengan kitab Allah, bagaimanakah kedudukan ulama dan para sarjana yang telah saya sebutkan pada siri pertama yang mengingkari pembahagian tauhid ini?

Apakah al-Azhar, sebuah universiti yang diiktiraf oleh dunia Islam, mempunyai ulama dan tokoh-tokoh yang lemah kefahamannya tentang kitab Allah? Bagaimana pula dengan Mufti Mesir yang telah menafikan dengan lantang perkara ini di dalam fatwanya?

Apa pun jawapan yang dikemukakan oleh pro tauhid tiga serangkai ini, ia telah kami rujuk di dalam kitab asalnya yang sememangnya tersimpan kemas di perpustakaan kami.

Ramai ulama yang telah menjawabnya, cuma pada keluaran kali ini kami tidak berkesempatan untuk menyertakannya.

Sebaiknya kita tinggalkan dahulu tajuk ini dan kembali kepada persoalan hari ini.

Kenapa soalan ini dikemukakan dan sebelum persoalan ini dijawab, kami ingin nyatakan di sini bahawa melalui tauhid tiga serangkai ini didapati perekanya, Ibnu Taimiyyah dan pengikut-pengikutnya telah menyatakan bahawa:

1. Orang musyrik atau orang yang menyekutukan Allah adalah ahli tauhid (orang yang mengesakan Allah) dengan tauhid rububiah.

2. Tauhid orang musyrik ini samalah dengan tauhid sebahagian orang Islam yang bertawassul, beristighathah dan bertabarruk dengan para nabi dan orang-orang soleh.

Ini bermaksud orang Islam yang bertawassul (memohon kepada Allah melalui perantaraan), beristighathah (menyeru minta tolong) dan bertabarruk (ambil berkat) samalah dengan orang musyrik kerana tidak memiliki tauhid uluhiah kerana dianggap menyembah apa yang ditawassulkan.

Kenyataannya berbunyi: “Tauhid rububiah sahaja tidak menafikan kekufuran seseorang dan tidak mencukupi bagi keimanan/keislaman seseorang”. (Risalah Ahli al Suffah H: 34.)

“Sesungguhnya orang-orang musyrik adalah ahli tauhid dengan tauhid rububiah. Mereka tidak termasuk dari kalangan ahli tauhid uluhiah kerana telah mengambil sembahan-sembahan yang lain untuk mendekatkan diri mereka kepada Allah SWT”.

Mereka juga menyatakan: “Sesungguhnya orang-orang Islam yang bertawassul dan beristighathah dengan para Nabi dan orang-orang soleh serta bertabarruk dengan mereka (para nabi dan orang-orang soleh), adalah kufur. Bahkan, kekufuran mereka lebih dahsyat daripada kekufuran Abu Lahab, Firaun, Haman dan lain-lain”. (Fatawa Ibni Taimiyyah 14/380).

Ini adalah antara kenyataan yang tidak ditulis dan tidak ditemui di dalam kebanyakan kitab-kitab berkaitan pembahagian tauhid ini di Malaysia.

Di negara kita, tauhid ini masih berada dalam peringkat pengenalan. Tetapi jika kita merujuk kepada kitab Ibnu Taimiyyah, Muhammad ibn Abdul Wahhab dan pemuka-pemukanya, kenyataan ini banyak ditulis di dalam kitab-kitab mereka. Inilah natijah sebenar yang akan kita dapati dari pembahagian tauhid ini.

Oleh kerana itu, kita dapati di kebanyakan negara timur tengah yang telah lama memakai tauhid ini berlaku pergolakan, perpecahan dan pembunuhan akibat gejala sembarangan mengkafirkan dan menghalalkan darah umat Islam yang dianggap menyanggahi tauhid ini.

Malah, dengan tauhid inilah menyebabkan berlakunya keruntuhan kepada Empayar Uthmaniyyah yang merupakan empayar terbesar Islam suatu ketika dahulu. Insya-Allah, perinciannya akan kami susuli pada keluaran akan datang.

Apa yang pasti, kenyataan Ibnu Taimiyyah ini jelas bertentangan dengan dalil-dalil syarak dan telah diketahui secara dharuri di sisi ulama.

Bagi menjelaskan tentang kesalahan dan kebatilan pendapat mereka ini, maka soalan ini dijawab: Sesungguhnya tidak ada perbezaan di antara tauhid uluhiah dan tauhid rububiah.

Kedua-duanya adalah perkara yang sama dan tidak boleh dipisahkan serta tidak menerima sebarang pembahagian. Allah tidak menerima daripada hamba-hamba-Nya, melainkan akidah tauhid yang tulus dan suci kepada-Nya, Tuhan sekelian alam, yang dilafazkan dengan lidah, diiktikad dengan hati, diamalkan dengan anggota jasad dan dimanifestasikan dengan kalimah (Laa Ilaaha Illallah).

Dengan perkara inilah, semua Nabi dan Rasul diutuskan.

Adakah orang kafir ahli tauhid?

Terhadap pendapat yang menyatakan bahawa orang kafir dan musyrik sejak zaman berzaman adalah ahli tauhid dengan tauhid rububiah dan para Rasul a.s tidak diutuskan melainkan dengan tauhid uluhiah.

Jawabnya: Hakikatnya, pendapat ini merupakan suatu perkara yang telah menutup pintu kebenaran dan hakikat, menyalahi akal dan syarak dan mendustai penjelasan daripada nas-nas al-Quran dan sunnah.

Perkara ini juga merupakan perkara bidaah yang sesat dan tidak terdapat pada umat salaf yang terawal. Tauhid seperti ini meruntuhkan akidah dan bersifat saling bercanggah.

Dalam satu masa, mereka telah menjadikan sekelompok orang Islam sebagai ahli tauhid dan bukan ahli tauhid. Ini suatu perkara yang pelik.

Sedangkan, realitinya ialah seseorang itu mesti berada di salah satu kedudukan, iaitu sama ada berada dalam kedudukan ahli tauhid atau pun musyrik. Tidak boleh seseorang itu berada di antara dua keadaan (tauhid dan kufur).

Kepercayaan mereka juga tentang ketauhidan orang musyrik dengan tauhid rububiah tidaklah benar. Bahkan dakwaan ini adalah suatu penipuan yang ditolak sama sekali oleh akal dan naqal.

Insya-Allah, kami akan mengemukakan dalil-dalil dari akal dan naqal pada minggu hadapan.

Sesungguhnya perkara yang paling pelik ialah menganggap orang kafir sebagai ahli tauhid dan menganggap orang Islam yang telah mengucapkan kalimah tauhid sebagai bukan ahli tauhid.

Renungilah! Berfikir sesaat lebih baik daripada beribadat 70 tahun. Ibadah Abu Darda’ r.a yang paling utama selepas melaksanakan kefarduan ialah bertafakur kerana dengannya dia sampai kepada hakikat suatu perkara dan membezakan di antara yang hak dan batil.

Bahkan, dengannya juga dia dapat menilik kerosakan dan helah nafsu yang halus, tipu daya dunia, dan mengenali helah-helah untuk lebih berwaspada dengannya.

Ulasan Jawapan Institut Al-Qayyim Terhadap Tulisan Tauhid 3 Serangkai Yayasan Sofa

Artikel ini adalah ulasan Dr Asmadi Mohamed Naim kepada jawapan Institut Al-Qayyim terhadap tulisan Tauhid Tiga Serangkai oleh Yayasan Sofa yang disiarkan dalam Utusan Malaysia

**************************

Saya mendapat kiriman jawapan Institut Al Qayyim terhadap artikel Yayasan Sofa. Saya siarkan di sini untuk penelitian pembaca. Saya masukkan komen saya pada artikel tersebut (berwarna) dalam keadaan saya belum membaca kesahan teks rujukan asalnya berbahasa Arab. Saya memberi komen bukan mewakili Yayasan Sofa, sebaliknya dari pengamatan saya semata-mata. Selamat membaca dengan hati yang terbuka.

Jawapan Institut Al Qayyim Terhadap Artikel Yayasan Sofa

Tulisan ini merupakan jawapan kepada artikel yang disiarkan di dalam akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 29/11/09 [sebenarnya 30 Nov 2009 Utusan Malaysia hari Isnin, bukan 29 Nov – AKO] oleh Panel Penyelidik Yayasan Sofa, Negeri Sembilan bertajuk: Tauhid tiga serangkai disyariatkan di dalam Islam?. Setelah membaca dan memahami artikel tersebut, disimpulkan ia berlegar kepada satu persoalan utama iaitulah dakwaan kononnya pembahagian tauhid kepada tiga bahagian: Tauhid Rububiyyah, Tauhid Uluhiyyah dan Tauhid al-Asma’ wa al-Sifat dimulakan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah R.H. dan pembahagian ini tidak dikenali di zaman awal Islam. Benarkan dakwaan ini?

Bagi sesiapa yang mempelajari akidah yang bersumberkan al-Quran, al-Sunnah dan pemahaman generasi al-Salaf al-Soleh, pasti akan memperakui sesungguhnya dakwaan ini amat jauh untuk dinilai sebagai suatu hasil penyelidikan ilmiah. Sebaliknya ia lebih kepada bukti kedangkalan dan kecetekan ilmu yang berpunca dari amalan taklid membuta tuli. Lebih malang kedangkalan ini disertai keegoan yang parah sehingga berani mencabar sesiapa yang dapat membuktikan pembahagian tauhid kepada tiga bahagian telah ada sebelum kurun ke tujuh hijrah lagi.

(Komen Dr Asmadi: Datangkan hujah dulu sebelum membuat tuduhan orang lain dangkal, cetek dan taklid membabi buta. Ini merupakan metode ‘memaki’ yang tidak baik bagi suatu bicara ilmu)

Alangkah baik jika sebelum mencabar sesiapa, Panel Penyelidik Yayasan Sofa bertindak rajin sedikit, dengan membelek kitab-kitab tafsir yang mu’tabar di sisi Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah yang ditulis sebelum kelahiran Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah. Cukup sekadar dengan Tafsir al-Imam al-Tobari (meninggal 310H). Pasti dengan merujuk kepada kitab tafsir ini sahaja akan terjawab segala kekaburan dan tidak tahu. Tetapi sayang Panel Penyelidik Yayasan Sofa tidak melakukan perkara ini melainkan bertaklid kepada beberapa penulis sahaja. Untuk itu tulisan ini ditulis, supaya ia dapat mengambil tempat seperti seorang yang celik membimbing seorang buta menyeberangi jalan, agar selamat sampai ke seberang sana.

Maka tulisan ini memberi tumpuan dalam membuktikan pembahagian tauhid kepada tiga bahagian telah ada di zaman awal umat Islam sebelum Ibn Taimiyyah R.H. Bahkan telah dinukilkan di dalam kitab-kitab tafsir beberapa riwayat daripada para sahabat Nabi S.A.W., para Tabi’ien dan para Atba’ al-Tabi’ien umat Islam.

Tujuan Pembahagian Ilmu Islam

Pembahagian mana-mana bidang ilmu Islam adalah suatu yang diterima di sisi para ulama Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, bahkan diterima oleh orang-orang yang berakal sejak zaman berzaman. Ia bertujuan memudahkan proses pembelajaran dan kefahaman terhadap nas-nas (teks) syarak, demikian juga agar gambaran umum terhasil sebelum sesuatu bidang dipelajari. Contoh mudah dalam hal ini, al-Imam al-Syafie telah menyusun ilmu Usul di dalam ilmu Fiqh Islami. Hasilnya pembahagian ini diterima oleh para ulama selepas beliau.

(Komen Dr Asmadi: Alhamdulillah Usul Fiqh diiktiraf semula sebagai satu cara pentafsiran teks al-Quran dan sunnah. Justeru, pentafsiran al-Quran dan sunnah tanpa ilmu Usul Fiqh adalah pentafsiran mengikut akal masing-masing. Seseorang itu bukan mujtahid sekiranya tidak belajar dan menguasai Usul Fiqh).

Kaedah pembelajaran yang tersusun dengan pembahagiannya tidak pernah terdapat di zaman Nabi S.A.W., bahkan pembahagian ilmu kepada ilmu aqidah, fiqh dan akhlak juga tidak terdapat di zaman Nabi S.A.W., sama halnya dengan penyusunan ilmu Mustalah al-Hadith, Ulum al-Tafsir, Usul al-Fiqh dan semua bidang ilmu syariah tidak pernah disusun, dibahagi dan diasingkan mengikut pembahagian-pembahagian seperti yang ada pada hari ini. Tidak pula bermakna ilmu-ilmu ini merupakan rekaan, bid’ah dan tokok-tambah dalam agama. Sebaliknya ia hanyalah kaedah untuk memudahkan proses pembelajaran dan pemahaman. Lalu tidak berlebihan jika dikatakan teramat jahil orang yang mendakwa pembahagian-pembahagian ilmu ini sebagai bid’ah. Kerana itu masyhur satu kaedah di sisi ulama usul yang disebut sebagai la masyahah fi al-Istilah yang bermaksud tiada pertikaian terhadap pengistilahan jika kandungan atau maksudnya benar.

(Komen Dr Asmadi: Pembahagian ilmu-ilmu ini adalah bidaah sebab ia adalah sesuatu yang baru. Setiap yang baru itu bidaah (Kull muhdasatin bid’ah). Satu perkara bidaah dalam mempelajari ilmu Islam. Walaupun begitu ia adalah bidaah yang mahmudah (terpuji), yang sepakat ulama membenarkan untuk memudahkan pengajian Syariah. Saya agak hairan kenapa dinafikan ianya bidaah (sesuatu yang baru)dengan mengklasifikasikannya bukan bidaah? Kenapa pula dikatakan seorang itu amat jahil apabila dikatakan penyusunan ilmu-ilmu ini bidaah? Atas dasar itulah ulama membahagikan bidaah kepada bidaah yang keji dan bidaah yang terpuji. Jahilkah Imam al-Izz bila beliau memasukkan penyusunan ilmu tersebut  kepada ilmu fiqh, tauhid, ilmu hadis sebagai bidaah hasanah (bidaah terpuji).

Bahkan pembahagian Imam al-Izz bin Abdul Salam amat sesuai dengan pemahaman bidaah. Penyusunan ilmu sedemikian beliau kelaskan dalam bidaah yang wajib. Pembinaan binaan atas kubur, beliau katakan sebagai bidaah yang haram (tetapi tidak menyesatkan). Senang untuk masyarakat faham. Manakala, bidaah dalam aqidah, baru beliau sesatkan.

Lihat kitab ulama Imam al-Izz bin Abd al-Salam iaitu Qawaid al-Ahkam).

Pembahagian tauhid di kalangan generasi awal umat islam

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah R.H. bukanlah individu pertama yang bertanggungjawab mereka-reka pembahagian tauhid kepada tiga bahagian. Sebaliknya pembahagian ini telah wujud lebih awal lagi. Perkara ini dapat ditelaah dari kitab-kitab karangan ulama yang awal. Ibn Taimiyyah yang hidup pada kurun ke tujuh hanya berperanan menghidupkan semula penekanan kepada tiga usur penting di dalam tauhid. Di bawah ini disenaraikan beberapa bukti yang menunjukkan pembahagian tauhid telah ada sebelum kelahiran Ibn Taimiyyah R.H. lagi:

Pertama: Al-Imam Abu Abdillah, Ubaidullah ibn Muhammad ibn Battah al-‘Ukbariy (meninggal tahun 387H) berkata: “…dan demikian itu, bahawa asas keimanan kepada Allah yang wajib ke atas makhluk beriktikad dengannya dalam menetapkan keimanan terhadapNya adalah tiga perkara (bahagian). Pertama: Keyakinan seorang hamba terhadap rabbaniyyah (Rububiyyah) Allah, agar keyakinan ini membezakan dia dengan mazhab golongan al-Ta’til yang tidak menetapkan adanya (tuhan) yang maha pencipta. Kedua: keyakinan seorang hamba terhadap wahdaniyyah (keesaan) Allah, agar keyakinan ini membezakan dia dengan mazhab golongan musyrik, yang mengakui adanya pencipta (Allah), tetapi mereka mensyirikanNya dengan yang lain di dalam ibadah. Ketiga: Keyakinan seorang hamba terhadap Allah yang bersifat dengan sifat-sifat yang layak bagiNya seperti al-‘Ilmu (maha mengetahui), al-Qudrah (Maha berkuasa), al-Hikmah (maha bijaksana) dan semua sifat yang Dia (Allah) telah sifatkan diriNya di dalam kitabNya … (oleh itu) kita akan dapati Allah ta’ala telah mengarahkan hamba-hambanya dengan menyeru mereka untuk beri’tiqad kepada setiap dari tiga pembahagian ini dan beriman dengannya.” (al-Ibanah ‘an Syariah al-Firqah al-Najiah wa Mujabanah al-Firaq al-Mazmumah, Oleh Ibn Battah, hal. 693-694).

(Komen Dr Asmadi: Jawapan ini nampak canggih tetapi tidak jujur. Terpaksa memasukkan perkataan ‘rububiah’ dalam kurungan untuk buktikan Ibn Battah sokong Ibn Taimiyyah. Cuba pembaca buang perkataan dalam kurungan tersebut dan baca: Pertama: Rabbaniah, kedua: Wahdaniyyah, ketiga: Sifat-sifat Allah SWT.

Pertama Rabaniyyah Allah. Saya kena periksa teks bahasa Arab kitab ini, sebab terjemahan mengelirukan iaitu “agar keyakinan ini membezakan dia dengan mazhab golongan al-Ta’til yang tidak menetapkan adanya (tuhan) yang maha pencipta”. Golongan Ta’til sebenarnya mengatakan adanya tuhan tetapi menafikan Sifat-sifat Allah SWT! Ini membuktikan mempelajari Rabbaniyah yang dimaksudkan ialah meyakini Allah SWT mempunyai segala sifat-sifat ketuhanan (rangkuman rububiah dan uluhiah sekaligus).


Pada pandangan Ahlussunnah, rububuyah dan uluhiyah adalah tidak terpisah (saling melazimi) dan ia termasuk pandangan Ibn Battah, bahkan perkataan ‘ilah’ merangkumi rububiyah dan uluhiyyah. Sebagai contoh, ayat 24, Surah al-Nazi’at, bermaksud: “(Firaun berkata) Aku tuhanmu (Rabb) yang maha tinggi”. Istilah Rabb yang didakwa oleh firaun meliputi pengakuannya ketuhanannya (rububiah) dan juga uluhiah (layak disembah). Demikian juga perjanjian ruh dengan Allah SWT dalam Surah al-A’raf, ayat 172 bermaksud: “Bukankan aku Rabbmu (tuhanmu), Ruh berkata: Benar, kami bersaksi”. Ruh bersaksi Allah tuhannya dalam bentuk rububiah dan uluhiyahnya secara serentak. Ruh bukan hanya bersaksi atau bertauhid rububiyyah sahaja!

Kedua Wahdaniyyah Allah SWT (Ke-Esaan Allah). Setelah meyakini Allah SWT mempunyai sifat-sifat kesempurnaan kekuasaan dalam ‘rabbaniyah’ tadi (rububiyyah dan uluhiyyah), maka tidak boleh pula mensyirikkan Allah.

dan Ketiga: Keyakinan pada sifat-sifat yang layak untuk Allah SWT. Jadi, mempelajari sifat-sifat Allah SWT (inilah hujah sifat 20!) termasuk dalam akidah Ahlusunnah Wal jamaah. Masalahnya, bila kami gunakan kata-kata Ibn Battah ini untuk menunjukkan golongan Salaf juga bersetuju mengkaji sifat-sifat Allah SWT, golongan ini menolak pula hujah ini!

Jadi, kata-kata Ibn Battah ini bukannya menyokong pembahagian tauhid Ibn Taimiyyah).

Perkataan Ibn Battah ini amat jelas menunjukkan pembahagian tauhid kepada tiga telah wujud dan diketahui oleh para ulama yang hidup sekitar dua ratus tahun sebelum kelahiran Ibn Taimiyyah. Bahkan perkara yang lebih penting untuk diberi tumpuan di sini bahawa perbezaan di antara tauhid rububiyyah dan uluhiyyah telah disebut juga oleh para sahabat Nabi S.A.W. antara mereka:

(Komen Dr. Asmadi: Penjelasan Ibn Battah berbeza dengan Ibn Taymiyyah. Saya belum sempat periksa pandangannya mengenai pengesaan Allah SWT dari tempat dan masa. Bila saya dapat buku tu nanti, saya akan perkemaskan komen saya. Nanti saya buktikan pandangannya tentang Tauhid Sifat bila saya mendapat buku ini).

Kedua: Firman Allah yang bermaksud: “Dan kebanyakan mereka tidaklah beriman kepada Allah, melainkan dalam keadaan mensyirikkanNya.” (Yusuf: 106).

Kata ‘Ikrimah R.A. (sahabat Nabi S.A.W.): “Kamu bertanya kepada mereka (orang-orang musyrik): Siapa yang menciptakan mereka? siapa yang menciptakan langit dan bumi? Pasti mereka akan menjawab: Allah. Demikian itulah iman mereka kepada Allah (iman kepada rububiyyah Allah), sedangkan mereka menyembah selain daripada Allah (syirik dalam uluhiyyah Allah).”

(Komen Dr Asmadi: Sekali lagi, penjawab terpaksa memasukkan dalam kurungan perkataan ‘rububiah’ dan ‘uluhiah’ bagi membawa kefahaman pembaca kepada kefahamannya. Saya syorkan pembaca membaca terjemahan ini sekali lagi tanpa perkataan dalam kurungan.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan kebanyakan mereka tidaklah beriman kepada Allah, melainkan dalam keadaan mensyirikkanNya.” (Yusuf: 106).

Kata ‘Ikrimah R.A. (sahabat Nabi S.A.W.): “Kamu bertanya kepada mereka (orang-orang musyrik): Siapa yang menciptakan mereka? siapa yang menciptakan langit dan bumi? Pasti mereka akan menjawab: Allah. Demikian itulah iman mereka kepada Allah, sedangkan mereka menyembah selain daripada Allah.”

Nilai sendiri, adakah ada tauhid rububiah dan tauhid uluhiah? Sedangkan ayat Surah Yusof itu jelas mengatakan mereka sebenarnya tidak beriman. Adakah Ikrimah RA kemudian mengatakan: ‘Orang-orang Musyrik hanya beriman dengan tauhid rububiah?

Ketiga: Ibn ‘Abbas R.A. berkata: “diantara keimanan mereka (orang-orang musyrik), apabila ditanya kepada mereka: siapa yang menciptakan langit, bumi dan gunung-ganang? Mereka akan menjawab: Allah. Sedangkan mereka mensyirikkan Allah (dalam uluhiyyahNya).”

(Komen Dr Asmadi: Baca terjemahan ayat ini tanpa perkataan dalam kurungan:

Ibn ‘Abbas R.A. berkata: “di antara keimanan mereka (orang-orang musyrik), apabila ditanya kepada mereka: siapa yang menciptakan langit, bumi dan gunung-ganang? Mereka akan menjawab: Allah. Sedangkan mereka mensyirikkan Allah.”

Buat penilaian sendiri. Ada ke Ibn Abbas sebut tauhid uluhiyyah?.

Keempat: Qatadah R.H. berkata: “Iman mereka ini, sesungguhnya kamu tidak berjumpa dengan salah seorang daripada mereka, melainkan dia memberitahu kepada kamu bahawa Allah adalah tuhannya (rabb), Dialah yang mencipta dan memberi rezeki kepadanya (rububiyyah), sedangkan dia melakukan syirik di dalam ibadah (uluhiyyah).”

(Komen Dr Asmadi: Baca sekali lagi tanpa ada tambahan dalam kurungan:

Qatadah R.H. berkata: “Iman mereka ini, sesungguhnya kamu tidak berjumpa dengan salah seorang daripada mereka, melainkan dia memberitahu kepada kamu bahawa Allah adalah tuhannya (rabb), Dialah yang mencipta dan memberi rezeki kepadanya, sedangkan dia melakukan syirik di dalam ibadah.”

Buat penilaian sendiri. Ada ke Qatadah sebut tauhid uluhiyyah?.

Kelima: Mujahid R.H. (meninggal tahun 103 H) seorang Tabi’ie yang masyhur berkata: “Keimanan mereka dengan perkataan mereka: “Allah yang menciptakan kami, memberi rezeki dan mematikan kami.” Ini adalah keimanan (rububiyyah) mereka yang beserta kesyirikan di dalam ibadah (uluhiyyah) kepada selain Allah.” (Lihat tafsir al-Imam Ibn Jarir al-Tobari (meninggal 310H), surah Yusuf ayat 106)

(Komen Dr Asmadi: Baca sekali lagi tanpa ada tambahan dalam kurungan:

Mujahid R.H. (meninggal tahun 103 H) seorang Tabi’ie yang masyhur berkata: “Keimanan mereka dengan perkataan mereka: “Allah yang menciptakan kami, memberi rezeki dan mematikan kami.” Ini adalah keimanan mereka yang beserta kesyirikan di dalam ibadah kepada selain Allah.”

Buat penilaian sendiri. Ada ke Mujahid sebut tauhid uluhiyyah? Jadi bukanlah Imam Ibn Jarir al-Tobari mengatakan demikian, cuma beliau menukilkan pandangan sahabat yang bukan juga mengatakan secara jelas ‘orang-orang musyrik adalah ahli tauhid rububiah, sebaliknya musyrik dalam golongan orang-orang yang tak beriman).

Dirasakan bukti-bukti ini sahaja sudah cukup menunjukkan pembahagian tauhid kepada Rububiyyah, Uluhiyyah dan asma’ wa sifat bukan dimulakan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah R.H. Sebaliknya ia telah diketahui di kalangan umat Islam yang awal bahkan di sisi para sahabat Nabi S.A.W.. Sebagai tambahan di bawah ini disebut beberapa rujukan lain dari para ulama secara ringkas:

1. Kitab al-Tauhid wa Ma’rifah Asma’ Allah azza wa jall wa sifatih ‘ala Ittifaq wa al-Tafarrud oleh al-Imam al-Hafidz Abi ‘Abdillah, Muhammad ibn Ishak ibn Yahya ibn Mundih yang meninggal pada tahun 395 Hijrah. (Jilid 1: halaman 61-116, jilid 2: halaman 14-208, jilid 3: halaman 7 hingga penghujung kitab )

2. Lihat juga perkataan al-Imam al-Qadhi Abi Yusuf Ya’qub ibn Ibrahim ibn Habib al-Kufi, murid dan sahabat kepada al-Imam Abu Hanifah (pemuka Mazhab Hanafi). Beliau meninggal pada tahun 182 Hijrah. Perkataannya telah dinukilkan oleh al-Imam al-Hafidz Abi ‘Abdillah, Muhammad ibn Ishak ibn Yahya ibn Mundih (meninggal tahun 395H) di dalam kitabnya al-Tauhid wa Ma’rifah Asma’ Allah azza wa jall wa sifatih ‘ala Ittifaq wa al-Tafarrud, jilid 3: halaman 304-306.

3. Kitab al-Fiqh al-Absat, oleh al-Imam Abu Hanifah, al-Nu’man ibn Thabith yang meninggal pada tahun 150 Hijrah, halaman 51. Ketika beliau menyebut: “Dan Allah itu diseru dari atas bukan dari bawah (isyarat kepada tauhid al-Asma’ wa al-Sifat), kerana bawah bukan daripada al-Rububiyyah dan al-Uluhiyyah sesuatupun.”

(Komen Dr Asmadi: Kena semak keseluruhan kitab-kitab ini adakah mentafsirkan sebagaimana Tauhid 3 serangkai ibn Taimiyyah. Mengikut maklumat sahabat saya yang biasa membelek kitab Imam Abu Hanifah: Fiqh al-Absat (sahabat ini sedang menyelia tesis PhD pelajarnya yg menggunakan kitab ini), kitab ini menjadi asas kepada aliran Maturidi oleh Imam Abu Mansur al-Maturidi kerana beliau seorang yang bermazhab Hanafi. Kalau betul maklumat ini nanti (saya minta beliau menyemak), sekali lagi pembaca tertipu dengan nama-nama kitab ulama Salaf yang dikatakan seolah-olah menyokong Ibn Taimiyyah).

Agama melarang taklid buta

Al-Quran dan al-Sunnah melarang kita tertaklid membuta tuli kepada sesiapapun melainkan kepada Nabi S.A.W., samada Ibn Taimiyyah atau sesiapa sahaja, pandangan mereka perlu dirujuk kepada al-Quran dan al-Sunnah, diambil apa yang bertepatan dengan dua rujukan ini dan ditinggalkan yang lainnya. Untuk mengenal pasti pendapat yang lebih bertepatan dengan al-Quran dan al-Sunnah, pemahaman para sahabat dan para ulama generasi awal islam perlu dirujuk. Maka individu-individu yang memakai gelaran agama seperti ustaz, panel penyelidik dan seumpamanya perlulah merajinkan diri mengkaji dan memahami setiap persoalan yang hendak dibicarakan, sebelum berani membuat sesuatu kesimpulan. Sikap malas dan ‘taklid buta’ perlu dijauhi, jika tidak, ada baiknya kita mendiamkan diri sahaja, agar kebodohan dan malas diri sendiri tidak diketahui ramai dan menyusahkan orang lain.

(Komen Dr Asmadi: Betul, tidak boleh taklid buta pada persoalan akidah. Sebab itu saya mengharap, ada hadis-hadis yang jelas berkaitan dengan pembahagian ini dan keyakinan-keyakinan di dalamnya. Contohnya ada dalil jelas yang mengatakan orang-orang musyrik beriman dengan ‘iman rububiah’ tetapi tidak beriman dengan iman ‘uluhiah’. Malangnya, tidak ada pun dalil yang benar-benar menyebut perkara itu secara jelas. Orang-orang awam yang tidak mampu membaca kitab-kitab Arab tersebut akan mudah tertipu dengan hujah-hujah tersebut.

Kalau mengikut metode pandangan ini, persoalan berzikir, berdoa berkumpulan adalah bidaah yang sesat sebab tiada dalil ’sahih’ dan qat’ie mengenainya walaupun al-Quran dan sunnah sarat dengan saranan suruh berdoa dan berzikir. Bagaimana pula boleh diterima penghuraian akidah 3 serangkai itu, tanpa dalil-dalil sahih dari al-sunnah sendiri? Celarukan dan tidak adil cara berfikir sedemikian? Hujah- hujah yang digunakan di atas pun, bukannya menyokong pandangan Ibn Taimiyyah!

Saya semakin yakin yang orang-orang yang bertaklid dengan Sheikh Ibn Taimiyyah tidak mempunyai dalil-dalil dari al-Quran dan hadis. Mereka terpaksa mengulang-ulang hujah Ibn Taimiyyah dan memasukkan perkataan ‘rububiah’ dan ‘uluhiah’ dalam kata-kata ulama silam!

Wallahu a’lam. Semoga kita baca ulasan ini dengan fikiran yang terbuka. Saya tidak mahu menuduh dangkal, cetek dan seumpamanya. Cuma saya masih tertunggu-tunggu hujah ’sahih’ dan nyata dari al-Quran dan al-Sunnah.

***********************************

Tajuk-tajuk sebelum ini dalam Siri Persoalan Tauhid Tiga Serangkai Oleh Panel Penyelidikan Yayasan Sofa, Negeri Sembilan

Tauhid tiga serangkai disyariat dalam Islam?

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN.

Utusan Malaysia – 30 Nov 2009

MINGGU ini kita menyambung kembali persoalan tauhid tiga serangkai yang telah pun diberikan lontaran awal pada dua minggu lepas. Sebelum soalan pertama dilontarkan mengenai tauhid tiga serangkai atau tauhid tiga bahagian yang diformulasikan atau direka oleh Ibnu Taimiyyah ini,

sebaiknya kita melihat dahulu secara ringkas definisi yang diberikan kepada ketiga-tiga tauhid ini.

Tauhid rububiah didefinisikan dengan makna mengesakan Allah pada ciptaan, pemerintahan, takdir, pentadbiran dan perbuatan-Nya serta dalam memberikan suatu kesan.

Manakala tauhid uluhiah didefinisikan dengan makna mengesakan Allah dalam hal peribadatan tanpa mengambil seorang manusia pun bersama Allah sebagai sembahan.

Tauhid Asma’ dan Sifat pula didefinisikan dengan makna mengesakan Allah pada apa yang dinamakan dan disifatkan dengan diri-Nya, sebagaimana yang terdapat di dalam kitab-Nya atau yang didapati daripada lidah nabi-Nya yang telah menetapkan dengan apa yang telah ditetapkan bagi diri-Nya.

Dalam membincangkan pembahagian ini, maka perkara utama yang perlu dipersoalkan dan bincangkan ialah adakah pembahagian ini telah dinaskan oleh syarak dan terdapat dalil-dalil yang menunjukkan ke atasnya? Adakah pembahagian ini merupakan perkara yang disyariatkan ataupun perkara baru yang dicipta (bidaah)?

Persoalan ini, mengandungi beberapa jawapan:

Jawapan Pertama

Ibnu Taimiyyah yang merupakan pereka pembahagian tauhid ini mendakwa dirinya bermazhab Hanbali.

Namun Imam Ahmad ibnu Hanbal r.a. sendiri, yang dikatakan menjadi tempat sandaran bagi orang-orang yang melakukan pembahagian tauhid bidaah ini, tidak pernah menyatakan bahawa tauhid itu mempunyai beberapa bahagian; tauhid rububiah, tauhid uluhiah dan tauhid asma’ dan sifat.

Beliau juga tidak pernah menyatakan bahawa sesiapa yang tidak mengetahui tauhid uluhiah, tidak dikira makrifatnya tentang tauhid rububiah kerana tauhid rububiah ini telah diketahui oleh orang musyrikin.

Sesungguhnya akidah Imam Ahmad ibn Hanbal r.a telah disusun di dalam kitab-kitab karangan pengikutnya. Misalnya, di dalam kitab biografinya yang ditulis oleh Ibnu Jauzi dan lain-lainnya, tidak terdapat langsung pembahagian tauhid rekaan ini. Maka dari manakah Ibnu Taimiyyah mengambil tauhid ini?

Jawapan Kedua

Tidak berkata walau seorang daripada Sahabat-sahabat Nabi r.a: “Sesungguhnya tauhid itu ialah tauhid rububiah dan tauhid uluhiah, dan sekiranya seseorang tidak mengetahui tentang tauhid uluhiah, maka tidak dikira makrifahnya tentang tauhid rububiyyah kerana tauhid rububiah ini telah diketahui oleh orang musyrikin”.

Justeru, saya mencabar kepada setiap orang yang mempunyai ilmu yang mendalam, supaya menaqalkan kepada kami pembahagian yang diada-adakan ini daripada sahabat-sahabat Nabi r.a, sekalipun dengan mengemukakan satu riwayat yang lemah.

Jawapan Ketiga

Tidak terdapat dalam sunnah Nabi SAW yang luas dan menjadi penjelas kepada kitab Allah, sama ada dalam kitab-kitab hadis sahih, sunan-sunan, musnad-musnad dan mu’jam-mu’jam yang menyebut bahawa Nabi SAW pernah bersabda dan mengajar sahabat-sahabatnya, bahawa tauhid itu terbahagi kepada tauhid uluhiah dan juga rububiah yang telah diketahui oleh orang musyrik.

Sekiranya berkumpul jin dan manusia bersama-sama mereka untuk menetapkan bahawa pembahagian ini adalah datang daripada Nabi SAW dengan isnadnya, sekalipun dengan isnad yang lemah, nescaya mereka tidak akan mampu untuk mendatangkannya walaupun dengan satu jalan.

Jawapan Keempat

Telah tercatat dalam sunnah yang banyak, bahawa dalam dakwah Rasulullah SAW mengajak manusia kepada Allah, Baginda SAW menyeru mereka ke arah penyaksian kalimah syahadah: Tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah. Baginda SAW juga mengajak mereka meninggalkan penyembahan berhala.

Di antara hadis yang paling masyhur menyebut tentang perkara ini ialah hadis Muaz ibnu Jabal r.a. Ketika beliau diutuskan oleh Nabi SAW ke Yaman, Baginda SAW bersabda kepadanya: Serulah mereka kepada penyaksian “Bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad adalah pesuruh Allah”. Sekiranya mereka mentaatinya, maka hendaklah kamu khabarkan kepada mereka bahawa diwajibkan ke atas mereka solat lima waktu sehari semalam. (riwayat al-Bukhari dalam Sahihnya)

Diriwayatkan oleh pengarang kitab Sunan dan Ibnu Hibban, bahawa seorang Arab Badawi memberitahu Rasulullah SAW bahawa dia telah melihat anak bulan. Lantas Rasulullah SAW memerintahkan supaya berpuasa dan Baginda SAW tidak menyoalnya melainkan tentang pengakuannya terhadap kalimah syahadah. (diriwayatkan oleh Abu Daud, al Nasaei, al Tirmizi dan lain-lain)

Sekiranya tauhid itu terbahagi kepada tiga bahagian sebagaimana yang mereka perkatakan, maka sudah tentulah Nabi SAW menyeru sekelian manusia kepada tauhid uluhiah yang tidak mereka ketahui dan bukannya tauhid rububiah kerana mereka telah mengetahuinya.

Demikian juga, perlulah Baginda SAW bersabda kepada Muaz r.a, “Serulah mereka kepada tauhid uluhiah,” dan Baginda SAW bertanya terlebih dahulu kepada orang Arab Badawi yang melihat anak bulan Ramadan, “Adakah kamu mengetahui tentang tauhid uluhiah dan perbezaan di antara tauhid ini dengan tauhid rububiah, dan adakah kamu mengetahui tauhid asma’ dan sifat?”

Jawapan Kelima

Di dalam kitab Allah yang ternyata tidak dicemari dengan kebatilan, tidak membezakan di antara tauhid uluhiah dan tauhid rububiah.

Begitu juga tidak dikatakan kepada mereka: Sesiapa yang tidak mengetahui tauhid uluhiah tidak dikira imannya, bahkan dia adalah lebih kafir daripada Firaun dan Haman. Tetapi Allah SWT memerintahkan dengan kalimah tauhid secara mutlak sebagaimana firman Allah SWT kepada Nabi-Nya dalam surah Muhammad ayat 19: Ketahuilah, bahawasanya tiada Tuhan melainkan Allah. Begitu jugalah dengan keseluruhan ayat tauhid yang disebut di dalam al-Quran.

Sekiranya kamu kehendaki, maka bacalah surah al-Ikhlas yang menyamai sepertiga al-Quran. Adakah kamu mendapati di dalamnya ayat yang membezakan di antara uluhiah dan rububiah sebagaimana yang mereka sangkakan?

Jawapan Keenam

Melalui pembahagian yang direka ini, memberi kefahaman kepada kita, seolah-olah Allah masih belum lagi menyempurnakan agama-Nya. Kemudian, datang seseorang yang kononnya untuk menyempurnakan agama Allah yang masih lagi mempunyai kekurangan dan menjelaskan tentang tauhid dan pembahagiannya kepada manusia pada kurun ke-7 Hijrah.

Pada kurun ini, lahirnya pembahagian tauhid uluhiah, rububiah, asma’ dan sifat yang dicetuskan oleh Ibnu Taimiyyah (661- 724 H). Seolah-olah semua umat tidak mengetahui tentang apa yang diperkenalkan oleh pemuka-pemuka pembahagian tauhid rekaan ini.

Selepas kita mengetahui jawapan daripada soalan pertama ini, yakinlah kita dengan sempurna bahawa tauhid ini tidak mempunyai sumber yang sah daripada al-Quran dan hadis.

Ia menunjukkan bahawa pembahagian ini hanyalah rekaan semata-mata. Persoalan kedua akan dikemukakan pada minggu hadapan, insya-Allah.

Kebudayaan Dalam Pandangan Islam

KEBUDAYAAN DALAM PANDANGAN ISLAM

 

OLEH:

USTAZ MUHAMMAD UTHMAN EL-MUHAMMADY

 

 

Insha Allah, dalam catatan-catatan berikutnya akan dibicarakan kebudayaan dan ciri-cirinya sebagaimana yang ada dalam pandangan Islam dengan menitikberatkan kesarwajagatannya, dengan mengambil kira ciri-ciri yang timbul dalam sejarahnya, termasuk juga faktor-faktor penentu dalam kebudayaan itu, dengan berdasarkan kepada pandangan yang bersifat tradisional dalam pengertian setepatnya. Perbandingan dengan beberapa ciri modeniti atau kemodenan dari segi identional, amalan dan institusi akan dibuat demi untuk menunjukkan ciri-ciri keislaman yang tradisional itu secara yang lebih nyata lagi. Perbincangan ini akan diakhiri dengan beberapa pengamatan tentang apa yang berlaku di kalangan Muslimin secara amnya yang menunjukkan mereka berada dalam suasana serba-salah untuk menghidupkan kehidupan dan budaya secara Islamiah, walhal mereka menghadapi berbagai-bagai cabaran yang menuntut mereka membuat pilihan yang sebaiknya. Perlu juga diberi perhatian di sini, bahawasanya penulis membuat huraian dalam kertas ini sebagai seorang penuntut dalam pemikiran Islam, dan bukan seorang penuntut dalam sosiologi atau antropologi.

 

Istilah ‘kebudayaan’ itu sendiri, Kamus Dewan memberikan definisi “cara hidup sesuatu masyarakat, tamadun, peradaban, kemajuan (akal budi)” iaitu merujuk kepada keseluruhan cara hidup manusa dalam semua bidang yang melibatkan akal budi dan daya usaha mereka. Mungkin boleh menyatakan bahawa dalam zaman klasik, istilah kebudayaan itu tidak digunakan, dan ditempatnya digunakan istilah ‘adat’, sebagaimana yang disyaratkan oleh Dr Zainal Kling.

 

Dalam bahasa Inggeris disebut culture, yang merangkumi seluruh cara hidup manusia, lahir batin, termasuk institusi-institusi yang diwujudkan dan juga nilai-nilai, serta pengetahuan yang dihasilkan, termasuk alat-alat yang direkakan. Sudah tentu alam tabii sebagai sesuatu yang bukan buatan manusia tidak boleh dikatakan kebudayaan.

 

Dalam Islam, apabila dibicarakan masalah kebudayaan, nampaknya perlulah terlebih dahulu dilibatkan semantic content ataupun kandungan maksud-maksud yang ada dalam istilah-istilah yang digunakan dalam sejarah Islam bagi menyebut hidup kolektif Muslimin, antaranya ialah millah, ummah, thaqafah, tamaddun, hadarah dan akhirnya adab.

 

Kalimat millah, jamaknya milal digunakan dalam al-Quran dlam hubungan dengan Nabi Ibrahim a.s., seperti dalam Surah al-Baqarah, 130, 135; ali ‘Imran, 95; an-Nisa’, 124, an’ Am, 162; an-Nahl, 123; al-Haji, 78; dan dalam hubungan dengan ahlil-Kitab, al-Baqarah, 120.

 

Perkataan ini berasal daripada malla, yamullu, mallan dengan pengertian menjahit (pakaian); kalau imtalla, dengan pengertian meletak (seperti roti dan daging) dalam bara untuk dimasak; malla diperbetulkan (seperti busur panah) dalam api; amalla’ala merencanakan sesuatu (pengajaran) kepada seseorang; tamallala dan intalla bermakna memeluk sesuatu agama; millah pl. Milal bermakna agamma, syariat, hukum, cara beribadat.

 

Antara pengertian yang menarik hati kita dalam memahami kedudukan kebudayaan dalam Islam ialah pengertian millah sebagai agama, cara beribadat; ertinya manusia disebut serentak dengan organisasi serta hukum dan tujuan keagaman dengan ibadatnya. Dalam struktur yang suci demikian manusia diikat dengan teguhnya; hayat mereka diperbetulkan mengikut norma-norma tradisi; mereka dimatangkan; pengajaran diturunkan untuk mereka melalui tanzil atau melalui rasul yang diutuskan yang mengajar mereka dan menyucikan diri mereka dan hayat mereka. Millahsebagaimana yang disebutkan dalan al-Quran untuk umat seperti umat Islam memaksudkan umat atau golongan manusia yang suci, yang berpegang kepada agama serta mengamalkan sistem syariat serta mereka menjalankan tugas rohaniah mereka dalam hidup dan peradaban mereka. Di sinilah kelihatan timbulnya kebudayaan yang bersifat tradisional dan keagamaan dalam erti yang setepatnya

 

Sebagai tambahan boleh diingatkan huraian Raghib al-Isfahani (rh) dalam Mufradat al-Faz al-Quran (edisi Nadim Mar’asyili. 491-492) yang menyebutkan bahawa millah adalah seperti din, agama, iaitu yang disyariatkan oleh Allah ke atas para hamba-Nya melalui lidah para rasul-Nya supaya dengan itu mereka mencapai kehidupan menghampirkan diri mereka dengan-Nya. Perbezaannya dengan din ialah bahawa millah tidak dihubungkan dengan yang lain selain daripada nabi atau rasul; kerana itu, didapati dalam al Quran ayat yang bermaksud: “Ikutlah millah Ibrahim “ dan ayat yang bermaksud “Aku mengikuti millah datuk nenekku”. Ianya tidak dihubungkan dengan Allah, dan tidak pula dengan seseorang daripada umat Nabi Muhammad s.a.w. Ada juga dikatakan bahawa millah itu ialah dengan mengambil kira maksudnya sebagai sistem yang disyariatkan oleh Allah, dan din itu adalah dengan mengambil kira pihak yang mendirikannya, kerana maknanya ialah ketaatan.

 

Suatu lagi kalimat yang biasa sangat digunakan dalam hubungan dengan Muslimin sebagai entiti bersifat kolektif ialah kalimat umat. Kalimat ini yangpluralnya ialah umam digunakan dalam al-Quran hampir 40 kali (misalnya lihat Fathu’r-Rahman, 31-32). Kalimat ini memaksudkan golongan besar manusia yang dihubungkan dengan pimpinan nabi atau rasul. Ianya adalah dari kata kerja amma, ya’ummu, amman, serta ammama dan ta’ammama, serta i’tamma, yang bermaksud: mengarahkan perjalanan seseorang ke arah sesuatu arah yang tertentu;atau merancangkan sesuatu. Adapun amma, ya’ummu, imamatan bermakna: berjalan di hadapan; berada di hadapan sekali (tentera); kalau i’tamma bi bermakna meniru atau mengikut contoh seseorang; i’tamma bi dan ista’amma bermakna: mengikut seseorang menjadikannya sebagai pemimpin; adapun kalimat iman dengan pluralnya a’immah bermakna imam, pemimpin, ketua; jalan besar; imamah: kedudukan sebagai imam dan pimpinan, sebagai imam; ummah pl. umam: bangsa manusia, syariat, agama; keadaan hidup yang makmur dan baik;keadaan pimpinan sebagai imam; ataupun seseorang yang menghimpunkan ke dalam dirinya kebaikan; atau imam; atau golongan manusia yang dihantar kepada mereka rasul a.s.s., baik mereka itu beriman kepadanya, atau kufur terhadapnya (na’udhubillahi min dhalik).

 

Umat Islam dipanggil umat yang terbaik dalam alQuran (ali’Imran: 110); pengertian di dalamnya ialah bahawa umat Islam itu ialah golongan manusia yang suci, mukaddas, bukan yang secular, atau profane, tanpa tujuan-tujuan atau sifat-sifat sebagai pelaksana ajaran dan syariat dari Tuhan.

 

Umat itu dengan sendirinya mempunyai sifat-sifat ma’mum, iaitu terpimpin, oleh imam tertinggi, iaitu Rasul Allah s.a.w.; perjalanan hidup umat itu adalah bersyariat, mempunyai arah kehidupan yang ditentukan dalam tanzil, dalam wahyu yang diturunkan, bukan berdasarkan semata-mata kepada pemikiran sendiri serta hasil percubaan sendiri; hidup mereka meniru rasul s.a.w.; dan umat itu menjadi contoh kepada manusia; mereka berjalan di hadapan (dari segi hakiki dan keagamaan) di kalangan bangsa-bangsa di dunia. Ringkasnya umat memberi pengertian: kumpulan manusia yang berdasarkan kepada syariat Illahi, dengan pimpinan suci, dan itu menjadikan umat itu kumpulan manusia yang mempunyai kedudukan yang suci, dan bukan secular atau profane, tanpa hubungan dengan ajaran Illahi, bukan sebagai kumpulan-kumpulan semut di pangkal-pangkal pokok, atau di tepi-tepi semak, tanpa maksud apa-apa; tanpa dimensi yang transenden sebagaimana yang dikatakan oleh Roger Garaudy dalam bukunya Mencari Agama di Abad ke-XX. Dalam rangka konsep umat inilah perlunya difahamkan kedudukan kebudayaan Islam serta peranannya dan ciri-cirinya dalam hidup manusia, sebagaimana yang dibentuk oleh Islam

 

Kebudayaan dalam bahasa Arab disebut antaranya dengan menggunakan kalimat ath-tahaqafah; dan ath-thaqafah al-Islamiyah itu bermaksud keseluruhan cara hidup dan berfikir serta nilai-nilai dan sikap, termasuk institusi-institusi serta artifak-artifak yang membantu manusia dalam hidup, yang semuanya itu timbul dan berkembang serta disuburkan dalam acuan syariat Islamiah dan sunnah Nabi s.a.w.

 

Kalimat itu datangnya daripada kata dasar thaqifa, yathqafu, thaqafan, atau thaqufayathqafu, thaqafan, atau thaqafatan, atau thuqufan. Dalam bahasa Arab klasik bermaksud: menjadi tajam akal seseorang itu, ataupun menjadi cerdas atau cerdik, ataupun mempunyai keahlian yang tinggi dalam bidang-bidang tertentu; juga maksudnya mengatasi seseorang lain atau mengatasi sesuatu. Thaqafah pula maksudnya: membetulkan sesuatu, atau mendidik seseorang atau menjaganya. Tathaqqafa bermaksud: menjadi terdidik dengan baik; menjadi lebih baik daripada keadaan yang dulunya tidak begitu baik, ataupun menjadi berdisiplin. Ertinya dari segi bahasa, kalimat thaqafah itu mengandungi maksud-maksud: ketajaman, kecerdasan dan kecerdikan akal, dan keahlian yang tinggi hasil pendidikan yang dilalui; ataupun kedudukan yang berdisiplin yang timbul daripada ushaha tarbiah yang dilaksanakan. Ianya lebih menunjukkan pembentukan diri manusia sebagai insan dilihat dari segi akal dan budi serta disiplin dirinya sebagai makhluk rohaniah dan akliah. Apabila aspek-aspek ini terdiri dengan baiknya dalam diri seseorang itu maka dengan sendirinya aspek-aspek lain dari hidupnya terbentuk sama, oleh kerana inilah yang menjadi paksi bagi dirnya, sebagai makhluk yang theomorphic, sebagaimana yang dinyatakan oleh F. Schuon.

 

Kalimat al-hadarah digunakan bagi menyebut kehidupan secara kolektif dan peradaban yang tinggi (civilization). Dengan itu digunakan kalimat al-hadarah al-Islamiah, terutama zaman moden ini. Kalimat itu datang daripada kata dasar: hadara, yahduru, hadaratan, yang bermaksud: pergi menetap dalam kawasan negeri tempat ramai manusia yang menetap padanya, berbeza daripada kawasan yang dipanggil badiyah. Dengan ini maka kalimat hadar dan hadarah dalam bahasa Arab klasik bermaksud: kawasan negeri yang didiami oleh manusia dan dibangunkan kehidupan kekotaan atau kehidupan yang agak maju berbanding dengan kehidupan mereka di kalangan orang-orang Badwi. Kalimat hadir bermaksud: datang; suku yang besar; datang ke sebuah kota; tempat kediaman yang berhampiran dengan kawasan air; wilayah yang dibinakan kehidupan kekotaan di dalamnya; atau kawasan pendiaman.

 

Berdasarkan kalimat-kalimat tersebut, maka apabila membicarakan kebudayaan Islam dibicarakan juga aspek-aspek kehidupan sosial dan nilai-nilai yang berkenaan berdasarkan kepada ajaran Islam yang timbul dan diamalkan di kalangan mereka bila dibentuk kehidupan bernegara dengan kota pertahanannya serta kehidupan kolektifnya yang tersusun.

 

Mungkin perlu diingatkan, apabila membicarakan kebudayaan dalam Islam ditelitikan juga kalimat at-tamaddun, dan kebudayaan Islam dipanggil sebagai at-tamaddun dan kebudayaan Islam dipanggil sebagai at-tamaddun al-Islami. Ini mengingatkan kita kepada karangan terkenal Tarikh at-Tamaddun al-Islami oleh Jurji Zaidan. Kalimat ini datang dari kata dasar maddana, yamdunu, mudunan, bermakna datang (ke sebuah bandar); dengan harf bi yang bermakna menduduki sesuatu tempat; maddana pula bermaksud membina bandar-bandar atau kota-kota, ataupun menjadi kaum atau seseorang yang mempunyai peradaban atau tamadun (iaitu sama dengan civilization dalam bahasa Inggeris).

 

Kata tamaddana bermakna: menjadi kaum yang mempunyai peradaban atau tamadun. Madinah dengan pl. mudun, mudn dan mada’in bermakna bandar atau kota. Tamaddun bermaksud keadaan hidup sosial yang terkedepan. Kalimat madinah dengan pluralnya juga tercatat dalam kamus-kamus sebagai berasal daripada kalimat dana yang bermaksud meminjam atau menjadi terhutang; ini juga kata dasar bagi kalimat agama –din-sebagaimana yang akan dibicarakan juga. Ertinya penggunaan istilah tamadun ini menekankan aspek pendudukan kota dan hidup kekotaan serta dengan masyarakat yang tersusun dengan aturan-aturannya, pada peringkat yang agak terkedepan dari segi kebendaannya daripada hidup sederhana di kalangan orang-orang Arab seperti mereka dalam kalangan Badwi.

 

Antara istilah yang elok diberikan perhatian adab. Prof. Ismail Faruqi bersetuju dengan kalimat adab itu dimaksudkan sebagai culture atau kebudayaan yang dikehendaki itu. Dalam hubungan ini kita boleh sebutkan hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Tuhan telah memberikan kepadaku pendidikan adab – addabani – dan Ia telah memperbaik atau menyempurnakan pendidikan adab itu terhadapku.” Dan adab yang dimaksudkan ini adalah adab dalam pengertian yang paling luas yang merangkumi kemampuan meletakkan sesuatu itu pada tempatnya yang sewajarnya, iaitu sifat yang timbul daripada kedlaman ilmu dan disiplin sesorang itu. Sifat yang sedemikian bila disebarkan ke dalam masyarakat dan kehidupan budaya, akan menimbulkan kesan yang menyeluruh di dalam kehidupan kolektif. Kesedaran tentang maksud adab yang menyeluruh sedemikian itu terbayang dengan nyatanya walaupun dalam tajuk kitab, seperti Adab ad-Dunya wa’d-Din karangan Abul-Hasan al-Mawardi rahimahullahi Taala: dan huraian tentang kehidupan beradap itu didapati dalam karangan terbesar Iman al-Ghazali rahimahullahu Taala, iaitu Ihya’ ‘Ulumi’d-Dinnya

 

Inilah antaranya istilah-istilah yang digunakan bagi menyebutkan identiti kolektif umat Islam, dan yang kandungan semantiknya boleh membantu kita dalam memahami beberapa ciri, baik dari segi ideational, institutional, dan juga axiological dalam kebudayaan Islam itu sendiri.

 

Tentang istilah-istilah yang berkenaan ini kita akhiri pebincangan kita dengan membicarakan semantic content atau kandungan maknanya bagi istilah din, iaitu istilah yang digunakan dalam al Quran bagi menyebut Islam itu sebagai agama, antaranya dalam ayat yang bermaksud: “Sesungguhnya agama (yang diterima) di sisi Allah ialah al-Islam”. (ali-‘Imran 19). Kalimat al-din itu sendiri terdapat lebih dari empat puluh kali digunakan dalam al-Quran. (Cf. Fathu’r-Rahman, 157).

 

Kalimat din itu datangnya dari kata dasar dana, yadinu, dinan, atau dengan kata terbitan dainan, (dengan pengertian yang sedikit berlainan), bermaksud: ia menjadi taat, ataupun ia taat, dan inilah yang merupakan pengertian yang utama dari kalimat ini. Ataupun mengikut setengah pihak pengertiannya yang utama ialah ia menjadi hina, taat,dan tunduk; atau ia telah menjadi hina dan dijadikan sebagai hamba dan ia taat; atau maknanya ia telah menjadi (hamba kepada Allah) taat sebagai seorang Muslim; kata-kata “dana bi dinihim” bermakna: “ia mengikuti agama mereka”.

 

Maka kalimat din yang biasa digunakan dalam persuratan Islam bermakna ketaatan, dan inilah maksud yang terutamanya. Pluralnya ialah adyan; juga ianya bermaksud keadaan tunduk merendah diri; kata-kata ad-din li’llah bermakna ketaatan adalah untuk Allah, dan perkhidmatan atau kebaktian (yang hakiki) adalah untuk Allah.

 

Selain itu din dengan pluralnya adyan memaksudkan agama dalam pengertian yang paling luas, dengan sifat-sifat universalnya, baik ianya mencakupi segi-segi ‘akidah, dan juga segi-segi yang amaliah; oleh itu kalimat ini bersamaan maknanya dengan syariah sebagimana yang dicatatkan dalamTajul-‘Arus dan kepercayaan tentang mentauhidkan Allah, serta sifat-sifat ketakwaan dan kewarakan mereka yang salih.

 

Din juga memberi pengertian hukum tertentu, atau aturan-aturan tertentu, dengan itu ia sama maknanya dengan hukum, juga sama dengan kalimat qada’ (yang sama dengan hukum yang dijatuhkan)

 

Ia juga bermaksud sistem amalan ataupun upacara-upacara yang dilakukan dan yang sepertinya yang diwarisi daripada beberapa generasi yang telah lalu. Dalam pengertian ini maka din sama maknanya dengan tradisi sebagaimana yang dihuraikan di kalangan mereka yang membuat pengkhususan dalam Pengajian Tradisional atau Traditional Studies di Barat

 

Kata-kata kana ‘ala din qaumihi bermaksud: beliau mengikut amalan-amalan lama kaumnya yang diwarisi daripada Nabi Ibrahim dan Ismail a.s. dalam hubungan dengan ibadat haji dan istiadat-istiadat perkahwinan mereka, dan juga dalam cara-cara membahagi harta pusaka mereka, termasuk juga di dalamnya cara-cara berjual beli dan amalan-amalan lainnya yang termasuk ke dalam aturan-aturan keagamaan.

 

Kalimat din juga membawa maksud amalan kebiasaan atau tabiat yang merupakan satu daripada pengertian-pengertiannya yang utama. Di samping membawa erti sesuatu jalan, cara bertindak, atau budi pekerti dan yang sepertinya. Dengan ini ia juga terangkum ke dalamnya pengertian tadbir, aturan-aturan atau tatacara melaksanakan urusan-urusan.

 

Selain itu din membawa makna keadaan sesuatu perkara ataupun situasi; pembalasan terhadap sesuatu; kiraan, pertimbangan, misalnya sebagaimana yang ada dalam ayat yang bermaksud:”Itulah, agama, kiraan, yang betul” (Surah Taubah :36). Juga ianya bermakna paksaan ke atas keinginan; meletakkan sesuatu di bawah kehendak atau perintah,serta kedaulatan, pemerintahan atau kekuasaan dan autoriti.

 

Apabila dikaitkan pengerian-pengertian itu dalam hubungan dengan Islam sebagai ajaran dan amalan keagamaan yang lengkap, maka jelas bahawa kalimat itu menunjukkan ciri-ciri yang ada dalam Islam itu sendiri sebagai agama samawi dan sebagai suatu kebudayaan serta peradaban yang timbul natijah daripada bertemunya agama samawi itu dengan masyarakat manusia yang ditakdirkan untuk menerimanya.

 

Antaranya ialah bahawa dengan memeluk agama Islam sebagai anutan dan amalan hidup maka manusia secara individu dan kolektif melaksanakan ketaatan kepada Tuhan dan kebenaran yang diturunkan oleh-Nya; dan dengan demikian juga manusia hidup dengan kerendahan dan ketundukan kepada Tuhan dan kebenaran yang diturunkan itu. Inilah yang menimbulkan kebudayaan Islam yang bersifat tradisional itu. Inilah yang menjamin kebahagiaan hakiki bagi manusia dari hidup dalam alam ini sampai hidup ke alam abadi, sebab manusia dilahirkan untuk mencapai keabadian bukan untuk dimusnahkan .

 

Jadi, dengan melaksanakan kehidupan secara Islam maka manusia berpegang kepada akidah yang menunjukkan kepada kebenaran-kebenaran berkenaan dengan pegangan dan pandangan hidup, yang menyentuh keimanan dan amaliah yang terangkum di bawah syariat yang terdiri daripada hukum-hukum berkenaan seperti sembahayang, puasa, zakat, haji, dan amalan-amalan lain yang direstui oleh aturan dan roh syariat Islamiah itu sendiri. Kesan amalan dan pegangan demikian itu jelas kelihatan dalam corak budaya Islamiah, baik dalam bidang akliah, rohaniah, kemasyarakatan ataupun kesenian. Dengan ini timbullah cara hidup yang tersusun rapi mengikut peraturan-peraturan, yang semuanya berdasarkan kepada syarat Islamiah sebagai suatu sistem kehidupan yang menyeluruh.

 

Dengan melaksanakan hidup mengikut ajaran Islam ini sebagaimana yang diisyaratnya dalam kalimat din itu sendiri, maka manusia dapat menjayakan hidupnya berdasarkan aturan-aturan yang diwarisi daripada nenek moyang mereka yang melaksanakan hidup mengikut kebiasaan-kebiasaan yang normatif itu. Di sini timbullah penghormatan kepada generasi Salaf yang salih. Dan boleh dikatakan bahawa dalam pengertian din di sinilah timbulnya kedudukan hidup manusia beragama dalam Islam sebagai suatu tradisi dalam pengertian yang tepat sebagaimana yang dijelaskan oleh mereka yang memberi huraian tentang tradisi dalam Pengajian Tradisional (Traditional Studies), seperti Rene Guenon, A. Coomaraswmy, F. Schuon, S.H. Nasr, dan lainnya, dalam tulisan mereka yang mula mendapat perhatian di kalangan pemikir semasa tentang ilmu dan budaya.

 

Dan pengertian ini bolehlah digandingkan dengan pegertian din sebagai suatu jalan atau cara tindakan, dan dengan sendirinya tergabung ke dalamnya pengertian tadbir dan pengurusan atau pengarahan sesuatu urusan dalam hidup manusia. Ringkasnya, kalimat din ini banyak sekali boleh dihubungkan dengan pengertian yang merangkumi masalah kebudayaan yang menyentuh kehidupan manusia secara individu dan kolektif.

 

Dalam memahami sejarah budaya biasanya ditumpukan perhatian kepada huraian tentang proses penambahan dan perbaikan teknik serta penghalusan kaedah-kaedah secara kuantitatif dalam manusia menghadapi kehidupan dan alam tabii. Dalam pandangan demikian timbullah anggapan bahawa kosepsi sedemikian sahaja yang sah dalam memberi gambaran tentang kehidupan budaya manusia. Dengan sendirinya pandangan yang demikian membawa kepada sikap melihat budaya lain dalam konteks development atau progress dalam aliran masa sejarah, serta dengan kosepsi sejarah yang bersifat evolutionistic dan huraian budaya pula menjadi bersifat kuantitatif. (Cf. Nasr, Science and Civilization in Islam).

 

Dalam kaca mata si Muslim, sejarah merupakan rentetan peristiwa yang berlaku yang tidak memberi kesan kepada prinsip-prinsip Islam yang abadi yang mengatasi masa. Si Muslim itu adalah lebih berminat untuk ‘merealisasikan’ dan ‘mengenali’ prinsip-prinsip ini dan bukan sangat berminat untuk mencari-cari dan mengusahakan ‘keaslian’ (Originality) dan perubahan sebagai nilai-nilai yang intrinsic. Sebagaimana yang dinyatakan oleh S.H. Nasr, lambang bagi peradaban Islam dan oleh itu kebudayaannya bukannya sungai yang sentiasa mengalir tetapi bentuk persegi Kaabah dan kestabilannya yang melambangkan ciri-ciri yang kekal dan tidak berubah-ubah dalam Islam itu sendiri.

 

Bila roh daripada wahyu Islamiah itu mengeluarkan peradaban dan kebudayaan yang ciri-cirinya boleh dikatakan bersifat Islamic, dengan mengambil kira warisan budaya yang terdahulu daripadanya, dan melalui sifat keistimewaannya sendiri – geniusnya minat dan tumpuan terpaling daripada perubahan dan ‘penyesuaian’. Bidang-bidang seni, sains dan budaya sebaliknya memiliki sesuatu sifat kestabilan dan ‘penghabluran’ (crystallization) berdasarkan kepada prinsip-prinsip yang tidak berubah-ubah yang daripadanya muncul peradaban dan kebudyaan Islam itu. Keadaan stabil inilah yang selalunya di Barat – dan di kalangan Muslimin yang terpengaruh dengan cara berfikir dunia Utara – dianggap sebagai kebekuan dan kemandulan (sterility)

 

Kesenian, ilmu sastera dan sains dalam Islam adalah berdasarkan kepada tauhid, yang merupakan paksi bagi wahyu dalam Islam. Sebagaimana yang dapat dilihat dalam kesenian Islam yang murni baik dalam bentuk istana Alhamra atau Taj Mahal yang menzahirkan bentuk dan rupa yang melaluinya dasar tauhid itu dijelmakan dan disaksikan, demikian juga dalam ilmu-ilmu dalam peradaban dan kebudayaan Islam didapati penzahiran dan kesatuan dalam alam tabii itu sendiri, yang juga menjadicermin bagi penyaksian Keesaan Tuhan. Dan sebagaimana yang dikatakan oleh Dr. Nasr bahawa tujuan semua ilmu Islam, dan secara amnya semua ilmu kosmologi zaman tengah dan purba, adalah bertujuan untuk menunjukkan kesatuan dan dasar saling hubung-menghubungi yang ada antara sekalian yang maujud ini; maka dengan memandang keesaan dan kesatuan alam ini dalam kebudayaan Islam dan konsep ilmunya, insan dibawa untuk menyaksikan keesaan Penciptanya itu sendiri.

 

Peradaban Islam dan kebudayaannya, sebagimana keadaannya dengan kebudayaan dan peradaban tradisional yang lain adalah berdasarkan kepada pandangan tertentu, atau point of view yang tertentu; iaitu wahyu yang ditanzilkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. adalah ‘murni’ dan sederhana yang merupakan agama Nabi Adam a.s. dan Nabi Ibrahim a.s.; dan Islam yang datang kepada Nabi Muhammad s.a.w. adalah merupakan pengembalikan kembali kepada agama fitrah yang asal yang paling pokok.

 

Kalimat ‘Islam’ itu sendiri bermakna ‘tunduk menyerah’ dan ‘kesejahteraan’, ataupun ‘menjadi sama dengan Kehendak Tuhan’. Kalimat syahadat dalam Islam itu yang berbunyi la ilaha illa’Llah Muhammadu’r-Rasulu’Llah memberi maksud yang paling ringkas dan padat terhadap sikap dan roh Islam itu sendiri.

 

Untuk memahami sikap dan roh Islam, memadailah sesorang itu memahami bahawa Tuhan Maha Esa, dan Rasulullah s.a.w. yang membawa wahyu yang di tanzilkan itu diutuskan oleh-Nya. Dan di dalam sistem yang sedemikian maka terdapat struktur ajaran yang berlainan misalnya daripada ajaran Kristian. Setiap Muslim adalah berkedudukan sebagai ‘orang agama’ yang dirinya itu boleh melakukan semua fungsi keagamaan dan kerohanian dalm hidupnya, dan kalau perlu, dalam masyarakatnya juga. Tidak ada kelas ‘orang agama’ atau priestly class dalam Islam. Peranan imam yang ada dalam Islam itu tidak sedikit pun mengurangkan kedudukan kerohanian dan keagamaan yang ada pada setiap orang Mulsim itu.

 

Dalam Islam ajaran ortodoks yang besar itu sentiasa mempunyai kedudukan mengatasi segalanya dalam peradaban dan kebudayaan Islam, dan dengan berpandukan ajaran yang ortodoks ini ia boleh memasukkan den meyerapkan ke dalamnya unsur-unsur yang tidak berlawanan dengan ajaran ortodoksnya itu. Perkara yang sedemikian itu dilihat dalam perjalanan sejarah Islam dan dalam hidup harian Muslimin. Ini dinyatakan tanpa mendapat adanya amalan-amalan yang tidak serasi dengan ajaran ortodots yang timbul oleh kerana kelemahan manusiawi yang ada di kalangan Muslimin.

 

Sebagai yang nyata dari punca-punca tradisional Islam, dilihat pada paras semestanya mempunyai tiga pengertiannya. Pertama seluruh makhluk dalam alam ini boleh dikatakan bersifat Muslim dalam pengertian yang paling amnya, iaitu dalam ertikata semuanya tunduk menyerah kepada Kehendak Allah yang wujud yang mengatur seluruh sistem alam yang ada ini. Misalnya boleh disebutkan bahawa burung tidak ada pilihan lain melainkan ianya mesti terbang sebab itu kejadiannya, ikan tidak ada pilihan lain melainkan ia mesti berenang, air mestilah mengalir; demikianlah seterusnya seluruh alam ini daripada paras galian sempai kepada paras kemalaikatan di alam tertinggi mentaati hukum kejadian dirinya yang telah ditentukan. Inilah yang dimaksudkan dengan kata-kata bahawa seluruh alam ini adalah Muslim dalam pengertian yang paling amnya.

 

Dalam pengertian yang keduanya semua manusia yang membuat pilihan untuk tunduk dibawah Kehendak Tuhan dalam bentuk peraturan syariat-Nya, maka ia adalah Muslim, kerana ia tunduk menyerah kepada Kehendak Tuhan dalm hukum itu. Apabila ‘Uqbah bin Nafi’ pembuka empayar Islam di Afrika itu mengucapkan selamat tinggal kepada keluarganya dan menunggang kuda perangnya untuk melaksanakan jihad pada Jalan Tuhannya sejauh dua ribu batu sampai akhirnya di tepi Laut Atlantik dan dia berteriak “Sekarang ya Allah ambilah roh hamba” kita tidak boleh bayangkan bangaimana Iskandar Agung dalam sejarah Barat mempunyai ingatan yang sama semasa dia mencapai kemenangan nya walapun pada lahirnya ada persamaan dalam kemengangan ketenteraan keduanya itu. Dalam hal ‘Uqbah keadaannya sebagai pasif dalam hubungan dengan Kehendak Tuhannya menjelma menjadi amalan dalam alam ruang dan waktu yang tidak dapat disekat-sekat oleh sesiapa .

 

Akhirnya pada paras ilmu yang paling tinggi dan murni, iaitu peringkat ahli makrifah dan ahli musyahadah pengertian Muslim mncapai puncak pengertiannya. Dalam pemikiran dan budaya Islam, orang ‘arif peribadinya yang ‘menyerah dengan seluruh wujud dirinya kepada tuhan dan Kehendaknya; dua boleh dikatakan tidak lagi mempunyai wujud dirinya sendiri. Dia adalah sebagi mana keadaannya dengan alam tabii dan unsur-unsur yang ada dalam alam semesta ini, yang tunduk sepenuhnya kepada tuhan tetapi berlainan daripada yang lain itu, kerana dia membayangkanal-‘qlul-llahi’ dalam dirinya dengan secara cergas dan sengaja walhal yang lainnya itu mencerminkan dengan secara yang pasif . Dalam hubungan dengan peribadi yang demikian ini maka ilmu pengetahuan memainkan peranan bukan lagi sebagai sesuatu yang bersifat analytical dan sebagai rasa ingin tahu secara biasa sahaja. Islamnya orang arif dan Islamnya alam tabii menjadi hakikat yang saling melengkapi satu sama lainnya.

 

Dalam hubungan dengan perspektif yang sedemikian inilah maka dalam peradaban dan kebudayaan Islam timbulnya peribadi-peribadi seperti al-Ghazali, ar-Razi, Ibn Sina dan Ibn Khaldun, antara lain-lainnya yang dianggap sebagai the universal figures of Islamic intellectuality, Allah mencucurkan rahmat kepada mereka itu, menjelmakan pelbagai spektrum dalm hidup akliah dan rohaniah dlam Islam.

 

Fungsi penaklukan (intellectuality) dalam pengertian yang dimaksudkan di sini adalah berlainan daripada apa yang biasa difahamkan dalam iklim intelektual sekarang ini. Kebanyakkan daripada ahli ilmu pengetahuan dan sains dalam peradaban dan budaya Islam melaksanakan kegiatan-kegiatan mereka dalam alam pandangan yang sedemikian itu. Iklim intelektual demikian itu adalah lebih dekat kepada sikap kontemplatif di kalangan mereka dalam Zaman Tengah di bawah pengaruh ajaran kontemplatif Kristian.Dalam zaman moden nampaknya sikap ini ada sedikit persamaannya dengan sikap mereka yang terlibat dengan gerakan Jerman yang dipanggil Naturphilosophie dan juga dengan mereka yang terlibat dalam gerakan ‘Romantik’ yang berusaha untuk mengadakan perhubungan mesra dengan alam tabii. Bagaimanapun pembukaan jiwa ahli-ahli ‘Romantik’ adalah lebih bersifat sentimental (dan mereka sendiri memang menggunakan istilah sensibility untuk mengungkapkan pengalaman mereka), dan itu tidak dapat disamakan dengan pengalaman musyahadah dalam hubungan dengan alam tabii sebagaimana yang dialami oleh mereka di kalangan arifin.

 

Alam tabii dalam Islam boleh dipandang sebagai sesuatu seperti kitab yang tanda-tandanya adalah sebagimana keadaannya dengan ayat-ayat Quran. Quran dan juga alam tabii menunjukkan kepada kewajipan manusia melakukan tugas ‘ubudiyah terhadap Tuhannya yang menjadikan segalanya, termasuk dirinya sendiri. Ini mengingatkan kita kepada ayat Quran yang bermaksud: “Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segenap ufuk dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelaslah bagi mereka kebenaran”. (Surah Fusilat: Ayat 53).

 

Di kalangan para fuqaha (mereka yang ahli dalam hukum syariat) ayat ini merupakan sesuatu yang menentukan tugas mereka sebagai orang yang beriman, dan alam tabii bagi mereka sebagai latar belakang untuk mereka melakukan amalan mereka dalam mengabdikan diri kepada Allah. Pada mereka yang arif di kalangan sufiah, Quran ada mengandungi makna isyari atau perlambangan (selain daripada yang lahiriahnya) sebagaimana juga alam tabii ada mempunyai makna perlambangannya bagi mereka yang mengrealisasikannya. (CF. al-Ghazali, dalam Mishkatul-Anwarnya). Kalaulah kefahaman tentang ayat-ayat Tuhan menjadi semata-mata yang bersifat harfiah, yang mesti sah pada paras dirinya sendiri, dengan hilangnya takwil, maka alam tabii tidak lagi boleh di’baca’ oleh manusia sebagai ‘kitab’ yang memberi bimbingan kepada manusia. Dan bila perkara demikian itu berlaku maka alam tabii akan menjadi sesuatu yang hilang hubungan dengan paras-paras alam yang lebih tinggi dan hakikat-hakikat dalam alam yang berkenaan itu, dan ianya akan berupa fakta-fakta (facts) sahaja untuk manusia dalam penelitian ilmunya. Inilah sesuatu yang fakulti akliah dalm Islam dan budayanya tidak boleh menerimanya.

 

Roh Islam menekan kesatuan dalam alam tabii dan kesatuan itu juga yang ditujukan dalam ilmu-ilmu kosmologi dan kesenian Islam serta ilmu sasteranya: kesenian Islam ini diisyaratkan dengan adanyakait-mengait dan sifat gulung-menggulung awan larat secara Arabesque yang terkenal itu, yang memadukan antara hidup tumbuh-tumbuhan yang segar dan subur dengan sifat-sifat hablur dari ilmu algebra, dari ayat-ayat al-Quran al Karim.

 

Oleh itu kita boleh lihat konsep kesatuan itu bukan sahaja dalam ilmu-ilmu Islam dan sains dalam kebudayaan Islam, tetapi juga konsep ini mendominasi penzahiran ilmu-ilmu dan kesenian itu. Dengan itu kita lihat bahawa penggambaran sesuatu objek secara individual, terutamanya makhluk yang bernyawa, menjadi sebagai sesuatu yang berupa seperti graven image, sesuatu seperti ‘berhala yang berbahaya kepada pemikiran dan jiwa manusia; dasar kesenian Islam adalah abstraction, iaitu menjadikan sesuatu itu bersifat maknawi.

 

Hanya kesatuan sahaja yang patut dizahirkan dalam penggambaran. Maka oleh kerana ianya tidak dapat digambarkan secara langsung, ianya diperlambangkan sahaja dengan menggunakan isyarat-isyarat. Tidak ada lambang yang konkrit yang boleh menggambarkan kesatuan dengan secara langsung. Pengungkapannya ialah dengan secara penapian; oleh itu ianya terus-menerus menjadi sesuatu yang maknawi bagi insan yang hidup dalam alam kepelbagaian ini.

 

Seterusnya boleh kita memajukan pertanyaan: bolehkan pemikiran seseorang individu itu ‘menangkap’ sesuatu objek yang ada dengan sendirinya? Atau kita memahami sesuatu objek yang ada itu dalam keperihalan alam semesta? Dalam kata lain, dari segi kosmologi, adakah alam semesta ini suatu kesatuan, dan mana-mana objek itu atau peristiwa itu suatu tanda (suatu ‘fenomenon’ atau ‘rupa’) yang mempunyai maksud yang tidak begitu nyata? Atau adakah sebaliknya? Bagi Muslimin, mereka memberikan keutamaan kepada keadaan alam sebagai realiti yang konkrit, dan yang menandakan pada paras alam itu sendiri kewujudan Zat Ketuhanan itu sendiri, walaupun tidak boleh difahamkan secara yang lain lagi daripadanya. Apa yang dibawakan oleh Islam, sebagaimana yang dinyatakan oleh Dr Nasr ialah pandangan tauhid yang seteguhnya yang menekankan keesaan, dan selain daripada penekanan kepada pengabdian terhadap Tuhan dan kehendak-Nya ia membolehkan Islam menghidupkan kembali kegiatan ilmu pengetahuan yang mati di Athens dan Iskandariah.

 

Untuk meneruskan perbincangan kita tentang ciri-ciri kebudayaan Islam itu kita perlu ingatkan perbezaan yang sangat jelas antara kebudayaan Islam yang normatif yang bersifat Islamiah setepatnya dengan kebudayaan yang diamalkan oleh orang-orang Islam. Kebudayaan Islam yang normatif adalah kebudayaan yang lahir batinnya mengikut ajaran Islam atau melahirkan cita-cita serta nilai-nilai Islam, walhal kegiatan-kegiatan kebudayaan di kalangan umat Islam tidak semestinya bersifat Islam semuanya. Banyak antaranya yang tidak serasi atau bercanggah dengan Islam dan oleh itu tidak boleh disifatkan sebagai kebudayaan Islam.

 

Selain itu patutlah diingatkan pula bahawa agama Islam dalam erti kata yang diwahyukan oleh Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. bukanlah kebudayaan, oleh kerana hakikat-hakikatnya yang terkandung dalam apa yang diwahyukan itu bukan ciptaan manusia, ianya kebenaran-kebenaran dari sisi Tuhan sendiri yang ditanzilkan dari alam tinggi. Yang dipanggil kebudayaan itu ialah cara hidup dan berfikir serta nilai-nilai dan institusi-institusi yang terbentuk dalam acuan kehidupan mengikut syariat dan sunnah.

 

Dari awal-awal lagi perlu dinyatakan bahawa kebudayaan Islam adalah kebudayaan tradisional dalam erti kata yang setepatnya. Dalam kebudayaan yang sedemikian itu maka tradisi menentukan segalanya. Dan boleh diingatkan dalam penelitian ini apa yang dipentingkan di sini ialah nilai-nilai tradisi yang menentukan kebudayaan Islam itu sendiri.

 

Tradisi yang dimaksudkan di sini bukanlah pengertian yang biasa digunakan secara popular, tetapi yang dimaksudkan ialah gugusan daripada kebenaran-kebenaran (haqa’iq) yang diturunkan dari alam tinggi dan yang kemudian diterima oleh golongan manusia yang ditakdirkan untuk menerimanya, dan kemudian timbullah dari situ pandangan hidup, upacara-upacara, nilai-nilai serta institusi-institusi yang berdasarkan kepada kebenaran-kebenaran itu. Sebelum terlaksananya kebenaran-kebenaran itu dalam alam ruang dan waktu ianya dipanggil wahyu, dan bila dilaksanakan dalam hidup dan peradaban serta kebudayaan maka timbullah tradisi yang dimaksudkan itu. Maka bila dikatakan tamadun Islam dan kebudayaannya adalah bersifat tradisional, maksudnya ialah bahawa kebudayaan itu atau peradaban itu adalah berdasarkan kepada tradisi dalam pengertian ini. Tradisi dalam pengertian sedemikian ini yang universal sifatnya menyamai istilah al-din dalam bahasa Arab.

 

Bagaimanakah sifat-sifat kebudayaan Islam yang tradisional itu? Untuk menjawab persoalan ini maka perlulah diingatkan kembali walaupun secara sepintas lalu ‘kandungan’ dari ajaran dan amalan Islamiah itu sendiri sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

 

Antaranya boleh disimpulkan bahawa haqa’iq ataupun kebenaran-kebenaran yang diajarkan oleh Baginda s.a.w. terdiri daripada kebenaran-kebenaran dalam akidah,ibadah, makarim al-akhlaq, dan hukum sebagaimana yang ada dalam sistem syariat yang meliputi sifatnya itu. Akidah menghuraikan segala kebenaran yang perlu diketahui dan dipegangi berkenaan dengan Allah, alam ghaib, kerasulan, kehidupan manusia, awalnya, akhirnya, serta tujuannya, dan qada dan qadar yang merupakan ketentuan Allah ke atas sekalian yang maujud. Ertinya kebenaran-kebenaran tentang Penjadi segala, hakikat yang ada, serta tujuan daripada segala yang ada dengan penumpuan kepada keselamatan hakiki manusia dan kejadiannya.

 

Akidah ini dihuraikan dalam bentuk usuluddin atau dalam bentuk metafizik. Kedua-duanya merupakan aliran yang diterima dikalangan ahlinya. Ibadat merupakan pengabdian manusia kepada ‘kebenaran’ serta berupa ‘jalan’ bagi mencapai ‘kebenaran’ dalam erti kata sesungguhnya. Tanpa jalan itu maka ‘kebenaran’ akan berupa sebagai ilmu mainan otak, dan dengan adanya jalan itu maka ianya dicapai dan dihubungi oleh manusia serta dikenal-Nya oleh mereka.

 

Makarim al-akhlak adalah ilmu yang menghuraikan kedudukan diri insan serta kehidupan dan ciri-ciri peribadi dan kehidupan yang dikehendaki, dan apa yang sebaliknya. Tujuan ilmu itu ialah supaya diri insan dibawa mencapai kedudukannya yang asal dengan kemurniannya sebagai yang dilambangkan oleh kedudukan Adam a.s. dalam alam kesyurgaannya. Dengan menjayakan makarima al-akhlak maka sifat-sifat yang keji dalam peribadi manusia boleh dihapuskan. Pada paras itu barulah manusia itu dikatakan memiliki dirinya yang sebenarnya.

 

Dalam syariat dihuraikan aturan-aturan dan hukum-hukum yang mesti diamalkan oleh manusia dalam hidup individu dan hidup kolektifnya, hidup rohaniah dan kebendaanya, hidup duniawi dan ukhrawinya. Maka kebudayaan Islam yang berupa kebudayaan tradisional itu terbentuk oleh prinsip-prinsip Islam yang sedemikian itu; kenyataan ini dibuat tanpa melupai adanya unsur-unsur horizontal yang diakui peranannya dalam ajaran Islam setakat mana pengaruh-pengaruh itu disahkan oleh doktrin Islam itu sendiri. Dengan terbentuknya kebudayaan Islam oleh dasar-dasar sedemikian itu maka timbullah kebudayaan yang bersifat tradisional itu.

 

Perlu diperingatkan sekali lagi kebudayaan Islam dari segi ‘punca-punca’nya. ‘Punca-punca’ nya ialah wahyu (al-Quran), nubuwah (ajaran daripada Nabi s.a.w.), serta juga keupayaan manusia dan usaha-usahanya dalam pelbagai bidang kehidupan yang berdasarkan kepada acuan syariat dan sunnah. Keupayaan manusia dan keja-kerjanyalah yang disebut sebagi ijtihad atau qiyas, sebagaimana yang dikenali dalam Hukum Islam dan Filsaftnya.

 

Dalam hubungannya dengan Quran dan hadis sebagai autoriti yang menentukan segala, boleh dikatakan bahawa dalam apa aspek kehidupan manusia dan pemikiran mereka maka kedua autoriti ini adalah muktamad. Apa yang tidak ada dalam Quran maka diambil ketentuannya daripada hadis. Bila tidak didapati dalam hadis maka barulah digunakan ijtihad sendiri atau keputusan pemikiran oleh mereka yang ahli, dengan berdasarkan kepada syarat-syarat tertentu; dengan mentaati syarat-syarat tertentu, maka sesuatu keputusan itu dianggap keputusan yang boleh diakui dan bukan keputusan yang bersifat sebagai pendapat biasa sahaja. Oleh kerana sikap yang demikian ini, maka dalam kebudayaan Islam selain daripada Quran dan hadis, huraian para ulama sangat dihormati, oleh kerana mereka dianggap sebagai pemimpin-pemimpin keagamaan yang mewakili para anbia; ini dijelaskan dalam sebuah hadis yang bermaksud:”Ulama adalah pewaris para anbia” (riwayat al-Bukhari)

 

Seperkara lagi dalam kebudayan Islam jelas terdapat kesedaran dan amalan tentang pentarafan dari sekalian yang maujud, mulai daripada pentarafan alam semesta, sampailah kepada fakulti dalam diri manusia sampailah kepada kedudukan manusia itu sendiri. Maksudnya, dalam Islam alam ini terdiri daripada beberapa paras, alam yang paling rendah dikatakan alam Nasut, yang di dalamnya manusia memainkan peranannya; keduanya alam al-Malakut yang dipenuhi oleh zat-zat kemalaikatan; ketiganya alam Lahut yang paling ‘rapat’ dengan Hadrat Allah Taala. Inilah pentarafan alam yang paling ringkas sekali. Alam Lahutlah yang paling tinggi sekali dilihat dari segi pentarafannya dan alam Nasut pula merupakan alam yang paling rendah dari segi kualitatifnya.

 

Dalam diri seseorang manusia itu fakulti-fakulti yang paling tinggi dari segi tarafnya ialah fakulti-fakulti rohaniahnya sebab inilah yang merupakan ‘paksi’ atau ‘pusat’ dirinya; dan inilah yang menentukan harga dirinya yang sebenarnya. Fakulti-fakulti yang berhubung dengan alam kebendaan terletak di bawah fakulti-fakulti rohaniahnya. Demikian pula dalam masyarakat manusia maka manusia yang paling dihormati ialah mereka yang banyak mempunyai sifat-sifat keperibadian yang dikehendaki yang ditentukan oleh perkembangan dirinya dari segi rohaninya. Oleh sebab itulah maka dalam masyarakat tradisional Islam kepimpinan ditentukan oleh nilai-nilai keagamaan. (Cf sifat-sifat kepimpinan tertinggi dihuraikan oleh Ibn Khaldun dalam al-Muqaddimahnya ialah: ilmu, keadilan, kemampuan melaksanakan tugas, dan keselamatan anggota badan dan seterusnya. Demikian pula huraian al-Mawardi dalam al-sa-Sultaniyyahnya). Kekuasaan diterima bila dipandukan dengan nilai-nilai kebenaran dan keadilan dan penghormatan kepada syariat Islamiah. Sikap ini adalah berlawanan dengan sikap memandang segalanya sebagai benda-benda yang sama sahaja tarafnya; seolah-olah wali dan nabi adalah sama sahaja dengan penjenayah; atau alam kebendaan adalah sama sahaja dengan alam rohaniah. Sikap memandang segalanya sama rata tanpa mempunyai pentarafan apa-apa adalah pandangan egalitarianisme yang merupakan satu daripada ciri intelektual Barat sekular.

 

Dalam kebudayaan Islam juga kelihatan penghormatan yang sangat besar yang diberikan kepada pandangan-pandangan dan amalan-amalan yang asal sebagai pedoman. Adalah yang asal itu murni, benar tanpa penyelewengan itu terangkum unsur-unsurnya dalam konsep Ahli-Sunnah wal-Jamaah, iaitu istilah yang terdapat dalam hadis Nabi s.a.w. Apa yang tersimpul dalam istilah ini ialah hal-hal yang berhubungan dengan pegangan, keyakinan nilai-nilai serta hukum-hukum. Kalaulah kita hendak meminjam istilah dari Barat untuk mengungkapkan hal yang demikian ini maka kita boleh meminjam istilah orthodoxy sebagaimana yang difahamkan pada asalnya, iaitu sesuatu gugusan daripada ajaran dan amalan serta nilai-nilai asli dalam tradisi yang benar dan tepat yang digunakan sebagai neraca untuk mengukur apa-apa yang berlaku dalam peradaban dan kebudayaan tradisional. Apa sesuai dengan orthodoxy diterima dan diamalkan dan apa yang tidak sesuai dengannya ditolak. Ini dinyatakan tanpa melupai adanya unsur-unsur budaya yang wujud yang tidak serasi dengan orthodoxy oleh kerana tekanan keadaan dan kelemahan-kelemahan manusiawi dalam kehidupan manusia. Yang ditekankan ialah adanya orthodoxy yang menjadi penentu dalam amalan dan pandangan hidup dalam kebudayaan dan oleh itu tidak timbul cultural relativism atau kenisbian dari segi kehidupan budaya yang menjadi ciri yang sangat jelas dalm budaya yang tidak ada neraca sedemikian itu.

 

Dalam rangka orthodoxy yang dimaksudkan itu maka jelas terdapat ciri-ciri yang tetap dalam hukum serta bidang akidah dan pandangan hidup antara lain-lainnya Dilihat dari segi hukum, huraian yang benar dan tepat adalah huraian yang terdapat dalam mazhab-mazhab yang terkenal itu, yang pada masa sekarang terhimpun dalam aliran-aliran mazhab fiqh yang empat itu, dan dalam bidang akidah pula huraian yang ortodoks itu ialah hurai-huraian yang ada dalam karangan-karangan mereka seperti al-Asy’ari, al Maturidi, diikuti oleh mereka yang kemudian seperti al-Ghazali, al-Razi, al-Baqillani, al-Juwaini, as-Sanusi dan seterusnya sampailah kepada mereka yang membuat huraian-huraian dalam persuratan Islam Melayu dalam rantau ini seperti Syekh Daud al-Fatani dan Syekh Ahmad al-Fatani, Allah merahmati mereka semuanya. Kalau diluaskan konsep orthodoxy untuk merangkumi bidang rohaniah dan akliah, maka boleh dikatakan bahawa huraian-huraian tentang masalah-masalah rohaniah yang ortodoks ialah yang dilakukan oleh mereka seperti al-Qusyairi, al-Baghdadi, al-Ghazali, al-Jilani termasuk juga Ibn Arabi Allah merahmati mereka semuanya, walaupun nama yang terakahir ini menimbulkan kontroversi yang banyak dalam hubungan dengan huraiannya tentang wahdatul-wujud yang disalahtafsirkan sebagai pantheisme.

 

Dengan ini boleh dinyatakan bahawa kalaulah orthodoxy itu dalam bidang hukum dan akidah, maka kelihatan tanda-tanda dan pengaruhnya dalam kebudayaan Islam mulai daripada perkara-perkara yang paling bersifat rohaniah sampailah kepada perkara-perkara yang sekecilnya sampailah kepada yang sebesarnya. Misalnya ini terdapat pada huraian-huraian sufiah dan seni bina; daripada tulisan khat sampai kepada bangunan masjid.

 

Dalam kebudaayan Islam yang tradisional itu juga terdapat kesedaran yang mendalam terhadap masa lampau yang sangat diagung-agungkan yang kadang-kadang di kalangan modenis dianggap sabagai sikap nostalgic atau kerinduan terhadap masa lampau sedemikian ini adalah berdasarkan kepada konsep zaman yang dilihat bukan berjalan secara linear progression, secara evolutionistic, yang menimbulkan anggapan berlakunya perubahan ke arah yang lebih baik dan kompleks, tetapi sebagai sebuah sungai yang mengalir yang semakin jauh daripada punca terbitnya. Punca tradisi Islamiah ialah zaman Nabi s.a.w dan kedudukannya semakin jauh daripada kemurniaan apabila ia berkembang semakin jauh daripada zaman berkenaan itu. Ini antaranya berdasarkan kepada hadis yang bermaksud “Generasi yang terbaik adalah generasiku, kemudian yang datang selepas itu dan kemudian yang datang selepas itu,” dan juga hadis yang bermaksud: “Tidak ada suatu hari melainkan yang kemudian itu lebih buruk daripada apa yang terdahulu daripadanya”.

 

Dalam pengertian keislaman sebaiknya–yang melihat dari segi kesempurnaan hakiki insan dan budayanya–zaman keemasan dalam budaya Islam ialah masa Rasullah s.a.w., kemudian zaman yang datang selepas itu kemudian yang datang selepas itu. Ada pun zaman Umaiyah dan Abbasiyah yang biasa dipanggil Zaman Keemasan (The Golgen Age) dalam sejarah secara duniawi dan lahiriah itu, adalah merupakan sebenarya zaman kecemerlangan budaya dan politik secara dilihat dari segi kehidupan sosial dan akliah sahaja. Dari segi hakikinya zaman itu adalah zaman keruntuhan amalan-amalan dan nilai-nilai Islamiah dan rohaniah sebenarnya. Sikap demikian ini jelas kelihatan dalam huraian Ibn Khaldun dalam al-Muqadimahnya. Sebab itulah dalam kebudayaan Islam terdapat sikap menoleh balik ke dalam sejarah yang awal itu. Itulah zaman yang didalamnya sebanyak mungkn ajaran dan amalan Islam yang murni dijayakan; Itulah zaman apabila pintu langit terbuka dan rahmat Tuhan melimpah di mana-mana. Kegemilangan duniawi dan semangat mercantile pada zaman kemudian tidak dapat menggantikan zaman keemasan yang hakiki itu. Melalui sajarah kita dapat melihat bahawa terdapat kesedaran tentang kejayaan agama Islam pada masa akan datangnya. Dalam kebudayaan seperti ini tidak terdapat rasa putus asa terhadap kebenaran walau sesaat pun. (Cf. Peristiwa setengah-setengah peribadi moden terkenal dalam budaya Jepun menoleh balik kepada zaman gemilang budaya tradisionalnya yang menyebabkan orang berkenaan membunuh diri menunjukkan pengorbanan untuk zaman itu yang tidak diharapkan akan berulang lagi oleh kerana timbulnya kemodenan dalam kehidupan budaya Jepun).

 

Dilihat dari segi keilmuan pula jelas bahwa dalam kebudayaan Islam terdapat sistematisai ilmu-ilmu Islamiah dan ilmu-ilmu yang bertalian dengannya. Sistematisasi itu berlaku antaranya sebagaimana yang dihuraikan oleh Ibn Khaldun dalam al Muqaddimahnya, Haji Khalifah dalam Kasf al-Zununnya, Ibn Nadim dalam al-Fihristnya dan Tashkopruzadah dalam Kitab as-Sa’adahnya. Sistematisasi itu berlaku oleh kerana tekanan keadaan manusia yang ‘lari’ daripada ‘Kebenaran’ yang sepatutnya mereka jayakan hidup mereka. Ertinya langkah sistematisasi itu diambil untuk menyedarkan manusia yang sudah menjadi sedemikian ‘lalai’ terhadap ‘Kebenaran’. Kalaulah mereka melihat ‘Kebenaran’ dalam erti sebenarnya, maka sistematisasi ilmu-ilmu mungkin tidak perlu berlaku, sebab literacy itu sendiri tidak mempunyai nilai yang intrinsic dilihat dari segi kepentingan manusiawi yang hakiki. Ia adalah sebagai alat semata-mata. Sebaliknya literacy mungkin membunuh manusia, bahkan telah membunuh mereka apabila ia disalahgunakan.

 

Berhubung dengan sistematisasi ilmu pengetahuan Islam dalam pelbagai bidangnya, kita lihat timbulnya syarah-syarah terhadap teks-teks dan kemudian syarah di atas sysrah itu lagi, dalam hubungan dengan ilmu-ilmu tentang Quran, (iaitu tafsir), hadis dan syarahnya, ilmu-kalam, fiqh, tasawuf, falsafah, manik dan lainnya; termasuk kedalamnya perkembangan dalam ilmu-ilmu berhubungan dengan bahasa Arab, sasteranya dan nahunya. Adanya syarah-syarah itu adalah merupakan keperluan untuk membantu mereka bagi memahami teks-teks yang berkenaan, iaitu teks-teks yang menjadi ‘punca’ bagi ilmu-ilmu yang berkenaan itu. Keperluan kepada adanya syarah-syarah itu, selain daripada sebab-sebab sejarahnya berhubungan dengan kelemahan manusia sendiri ada hubunagn juga dengan sikap dalam kebudayaan Islam terhadap kitab-kitab yang dianggap sebagai punca-punca ilmu itu. Al-Quran dan juga hadis adalah punca yang tertinggi dilihat dari segi authoritinya. Tulisan-Tulisan lain adalah berupa percubaan untuk memahami kedua-duanya itu, bukan untuk mengambil alih keduanya itu. Fungsi akal fikiran manusia adalah untuk memahaminya dan menghuraikan maksudnya, bukannnya untuk mendapat apa-apa yang baharu yang belum ada di dalamnya, ataupun apa yang original atau asli dalam erti kata yang terpisah daripada keduanya.

 

Di sinilah jelas kedudukan syarah-syarah terhadap teks-teks yang tidak begitu disenangi oleh setengah-setengah modenis sebab mereka menganggapkan kemunculan syarah-syarah terhadap teks-teks sebagai petanda dekadensi yang timbul dalam alam akliah dan pengetahuan dalam sejarah kebudayaan Islam. Kalaulah timbul anggapan bahawa adanya syarah-syarah itu bercanggah dengan keaslian pemikiran manusia, maka jawabnya ialah-keaslian dalam ajaran agama dan pengetahuan dalam sejarah kebudayaan Islam. Kalaulah timbul anggapan bahawa adanya keaslian dalam erti kata seseuatu itu timbul hasil daripada perhubungan orang yang berkenaan dengan alam yang mengatasi alam kebendaan ini yang menjadi punca tempat timbulnya sesuatu kebenaran itu. Ertinya apa yang asli dar pengertian tradisional itu ialah apa yang dialami sendiri secara first hand experience atau pengalaman sendiri, dalam hubungan dengan alam ghaib punca kebenaran itu sendiri. Apabila seseorang itu bercakap hasil daripada pengalamannya sendiri yang sedemikian. Itu maka itulah yang dikatakan hasl daripada pengalamannya sendiri yang sedemikian itu, maka itulah yang dikatakan sesuatu yang asli sebenarnya. Di luar daripada keaslian dalam pengertian tradisional demikian, tiadak ada keaslian yang diakui oleh tradisi. Mereka yang dianggap wajar untuk mengadakan bab-bab baru dalam ilmu-ilmu tradisional dalam Islam adalah wajar untuk mengadakan bab-bab baru dalam ilmu-ilmu tradisional dalam Islam adalah mereka yang ada autoriti yang mempunyai syarat-syaratnya yang jelas. Dan apabila timbul apa-apa yang ‘baru’ daripada mereka yang sewajrnya itu, katakanlah dari Imam al-Ghazali misalnya, maka apa yang baru itu bukanlah dianggap hasil fikiran peribadinya sendiri, atau personal opinionnya, bahkan itu adalah tradisi yang berbicara melaluinya; beliau itu adalah ‘saluran’ tradisi berbicara dalam peradaban manusia. Konsep keaslian sedemikian inilah yang bercanggah dengan keaslian atau originality yang biasa difahamkan dalam budaya moden. (Adapun masalah penemuan-penemuan saintifik dan rekaan-rekaan itu termasuk ke dalam bidang yang berlainan pula). Kebenaran mengatasi manusia dan fikirannya dilihat sebagai suatu peribadi individu yang personal.

 

Berhubungan dengan syarah-syarah terhadap teks-teks, perlu disebutkan juga bahawa dalam kebudayaan Islam yang tradisional itu timbul peristilahan yang teratur dan tersusun rapi, tercanai seperti permata yang tercanai yang memantul cahayanya dalam berbagai-bagai bidang pengetahuan. Sistem peristilahan iaitu baik timbul dan terbentuk serta menjalani proses sistematisasi kerana keperluan yang timbul dalam hidup budaya Islamiah. Dengan adanya peristilahan itu dalam pelbagai cawangan ilmu pengetahun Islamiah, misalnya seperti dalam at-Ta’rifat oleh al-Jurjani, Kashshaf Istilat al-Funnun al-Islamiyah oelh at-Tahanawi dan juga Mufradat Alfaz al-Quran oleh al-Isfahani, Allah merahmati mereka semuanya antara lain-lainnya maka wujudlah sistem untuk memberi makna-makna yang terkandung dalam pelbagai istilah itu, dan dengan itu timbullah keseragaman istilah-istilah serta semantic continuity atau persambungan terus-menerus dalam keseragaman makna-makna bagi istilah-istilah yang menyetuh pelbagai bidang ilmu. Dengan ini pemahaman terhadap istilah-istilah dalam Islam menjadi nyata dan tetap serta terang, dan ini amat memberi bantuan kepada mereka yang ingin memperdalamkan ilmu mereka tentang Islam dan kebudayaannya. Hakikat ini juga kedapatan dalam perkembangan persuratan Islam dalam bahasa Melayu dalam rantau kita ini. Kalaupun timbul perbezaan dalam maksud-maksud bagi setengah-setengah istilah, maka perbezaan dalam maksud-maksud bagi setengah-setengah istilah, maka perbezaan itu dapat difahami dan diikuti ‘mazhab’ atau aliran yang berkenaan; ertinya perbezaan-perbezaan yang ada itu bukanlah hasil daripada penggunaan oleh sesuatu peribadi dengan sewenangnya, tetapi hasil daripada penggunaannya di kalangan ahli-ahli yang mempunyai aliran fahaman masing-masing.

 

Dalam memahami kebudayaan Islam secara amnya bermanfaat juga difahami personality types ataupun jenis-jenis yang diakui yang muncul didalamnya. Dalam Islam peribadi yang tertinggi kedudukannya ialah peribadi nabi dan rasul a.s.s. Mereka inilah yang paling tinggi kedudukannya dan mereka mendapat penghormatan yang paling tinggi; mereka berkedudukan demikian oleh kerana kedudukan mereka yang sedemikian tinggi dari segi rohaniah dan juga oleh kerana jasa mereka dalam pembinaan peradaban manusia. (Cf. Ayat Quran yang bermaksud: “Bagi tiap-tiap umat itu ada rasulnya”.) Tidak ada jenis type peribadi yang mengatasi mereka.

 

Selepas mereka itu, golongan yang paling dihormati ialah golongan yang menyambungkan tugas mereka dalam melaksanakan pimpinan berdasarkan kepada ajaran rohaniah dan keagamaan semata-mata, ataupun dalam bidang keduniaan, bila timbul keperluan untuk itu sebagimana yang berlaku di kalangan Khulafa Rasyidin. Mereka yang tertinggi dalam pimpinan rohaniah adalah para aulia dan ulama yang amilin yang beramal dengan ilmu mereka baik dalam kehidupan mereka sendiri dan juga dalam kehidupan kolektif. Dalam istilah budaya Barat mereka tergolong ke dalam golongan priest. Perkara ini disebutkan dengan menyedari kelainan dalam kedudukan priest itu dengan pimpinan keagamaan dalam kebudayaan Islam. Tanpa golongan ini memegang autoriti dalam pelaksanaan agama dalam hidup masyarakat dan dalam kefahaman, peradaban Islam dan kebudayaannya tidak mungkin wujud. Penghormatan diberikan kepada golongan penguasa setakat mereka menjalankan tugas berdasarkan kepada kebenaran dan keadilan sebagimana yang ada dalam ajaran syariat. Demikian juga pihak-pihak lain yang seperti mereka, yang ada dalam golongan perwira dan orang-orang biasa di kalangan rakyat yang hidup dengan menjalankan tugas mereka dengan baik. Mereka mendapat penghormatan bila mereka menjalankan tugas mereka dengan baik. Golongan yang dipanggil profance genius yang terkenal di Barat semenjak zaman Renaissance tidak begitu timbul dalam kebudayaan Islam iklim rohaniah dan akliah yang tidak mengizinkan kemunculan mereka itu.

 

Ada juga personality type yang disebutkan secara yang agak berlainan, tetapi membawa kepada natijah yang sama juga. Misalnya dalam ‘Ihya’ ‘Ulumi’d-Din oleh Syekh Abdu’s-Samad al-Falimbani-Allah merahmati mereka berdua-dinyatakan bahawa golongan manusia yang menuju kepada Allah terdiri daripada enam golongan, sebagaimana yang ada dalam masyarakat dan budaya tradisional Islam. Mereka itu ialah ‘abid’ ahli ibadat yang melakukan tugas-tugas rohaniahnya terhadap Tuhannya, yang melakukan program hidupnya mengikut ketentuan-ketentuan syariat dan sunnah. Keduanya ialah golongan alim atau guru, yang menjalankan tugas mereka menyampai kebenaran dan hukum Tuhan kepada masyarakat. Mereka menjalankan tugas mereka di siang hari dan melakukan wirid-wirid dan latihan rohaniah yang intensif pada waktu malam. Ketiganya golongan muta’allim atau pelajar yang mempelajari kebenaran dan hukum Islam serta tradisi daripada orang alim itu. Bila pengajian mereka berlaku sepenuh masa, maka mereka menjalankan kegiatan dan latihan-latihan rohaniah yang intensif pada waktu malam. Keempatnya penjaga keluarga yang berusaha – muhtarif – yang menjalankan tugas untuk memberi saraan kepada keluarganya dengan rezeki yang halal; beliau melakukan kegiatan-kegiatan perekonomian yang ada dalam masyarakat berdasarkan kepada ketentuan-ketentuan syariat dan sunnah. Masa siang mereka dipenuhi dengan usaha mencari habuan hidup; maka masa mereka melakukan latihan-latihan rohaniah yang intensif ialah waktu malam. Kelimanya ialah petugas untuk umat iaitu walin; dalam masyarakat tradisional Islam mereka ini termasuklah khalifah, sultan, amir, mufti dan kadi, yang menggunakan masa siang mereka untuk menjalankan tugas bagi kepentingan umat sebenarnya; maka mereka ini menjalankan tugas dan latihan-latihan rohaniah yang instensif pada waktu malam juga. Akhir sekali golongan ahli tauhid yang karam dalam pengalaman rohaniah mereka, yang rahsianya hanya diketahui oleh mereka yang arif dalam bidang itu. Personality type sedemikian ini pernah ada dalam masyarakat Islam tradisional. Mereka inilah yang menentukan iklim tradisional dalam masyarakat. Imbasan-imbasan daripada personality type yang sedemikian ini masih ada pada zaman sekarang walaupun ini sudah mengalami gerhananya.

 

Untuk melihat aspek-aspek yang berlainan sedikit daripada apa yang telah dipaparkan di atas, maka boleh dinyatakan bahawa Islam adalah dari awal dan akhirnya berdasarkan kepada tauhid: “Laillahaillallah: Tiada Tuhan yang disembah dengan sebenarnya melainkan Allah”. Selain ia memaksudkan hakikat keesaan Zat Tuhan Yang Maha Esa dan Yang Mutlak itu, ia juga merupakan kaedah pemaduan atau integrasi dalam hidup ini. Oleh kerana ianya adalah kaedah integrasi, bila diamalkan maka manusia mencapai integrasi peribadi, hidup bermasyarakat dan pembentukan budaya, dan ini memang kelihatan jelas dalam sejarah kebudayaan Islam. Bila seseorang itu mencapai tauhid yang sebenarnya maka ia mengenali Allah, dan keesaan-Nya, dan ia juga merealisasi kewujudan tauhid daripada segala maujud ini.

 

Mula-mula Islam mengajak manusia supaya mencapai tauhid dalam hidupnya sendiri. Dalam setiap kehidupan seseorang itu dikehendaki menjalankan dasar lailahaillallah iaitu hendaklah dia berfikir mengikut lailahaillallah; hendaklah dia bertindak dalam hidupnya mengikut lailahaillallah: hendaklah dia berazam dan berniat mengikut lailahaillallah; dan hendaklah dia bersentimen mengikut lailahaillallah; demikian seterusnya. Setiap gerak dan diamnya dilakukan mengikut keyakinan yang tertanam, dalam kalbunya. Hendaklah dia jangan berpecah-pecah dalam fikiran, perbuatan serta khayalannya. Daripada adab makan minum sampailah kepada tindakan-tindakan dalam pentadbiran negeri dan gerak perjuangan di medan perang, hendaklah dia memakai dasar lailahaillallah. Dengan ini maka segala segi kehidupan melahirkan nilai yang diyakini dalam hati.

 

Dalam hidup kemasyarakatan pula Islam melahirkan manifestasi dari dasar integrasi atau pemaduan masyarakat manusia yang memang dilaksanakan dengan jayanya dalam sejarah, sampai ke zaman sekarang ini, sebagaimana yang diakui oleh semua pihak yang berfikir secara objektif. Dengan ini timbullah perpaduan yang berdasarkan kepada keyakinan dan faktor-faktor dalam alam kebendaan. Dengan ini Islam menjadikan manusia mengatasi apa yang dipanggil sebagai earth-rootedness – keterikatan manusia dan peradaban mereka kepada faktor alam kebumian – sebagaimana yang disebutkan oleh Iqbal, allah merahmatinya, dalam suatu daripada kenyataan-kenyataannya. Dilihat dari segi politik pula Islam (al-ummah) itu sebagai satu-satunya unit yang ada. Dengan ini maka berlakulah perpaduan umat manusia berdasarkan kepada pegangan rohaniah dan bukan berdasarkan kepada faktor-faktor yang nonideational seperti kawasan tanah, keturunan, dan lainnya. Boleh diingatkan bahawa ajaran tentang satunya masyarakat manusia adalah berdasarkan kepada hakikat lailahaillallah yang pada paras setingginya berupa hakikat metafizik yang dilahirkan dalam bentuk kehidupan bermasyarakat dan berbudaya. Inilah yang dikatakan segi transenden dalam masyarakat Islam sebagaimana yang disebutkan oleh Roger Garaudy.

 

Dasar tauhid ini juga yang menyebabkan Islam tidak membezakan hidup rohaniah daripada hidup maddiyah atau kebendaan. Sebab itu dalam bahasa-bahasa utama yang digunakan oleh umat Islam tidak ada istilah yang bermaksud temporal atau secular sebagaimana yang didapati dalam bahasa-bahasa Barat. Sebab itu tidak timbul gerakan sekularisme dalam kebudayaan Islam sebagaimana yang timbul dalam peradaban Barat dan budayanya. Islam mementingkan keperluan si waliyullah yang paling suci dan juga kepentingan seorang Muslim biasa yang awam yang menundukkan dirinya kepada Allah dengan mengamalkan hukum syariat-Nya setakat yang terdaya olehnya.

 

Keesaan yang diajarkan dalam tauhid juga jelas kelihatan dalam kebudayaan Islam dalam kesatuan konsep ilmu-ilmu dalam pelaksanaan ilmu dalam budayanya. Semua ilmu adalah pancaran dari sifat allah yang bernama al-‘Alim, Yang Maha Mengetahui. Dengan ini maka natijahnya timbullah pemaduan antara ilmu-ilmu, iaitu antara ilmu-ilmu yang paling bersifat rohaniah dan ilmu-ilmu yang paling bersifat ‘keduniaan’ sifatnya; kedua-dua jenis ilmu ini terjalin kedalam satu kesatuan yang sukar dipisahkan; demikian pula penyatuan antara sains dan sasteranya. Hanya yang perlu difahamkan dalam hubungan dengan perkara ini ialah bahawa dalam penyatuan dan pemaduan ilmu-ilmu ini ada terdapat pentarafannya. Misalnya ilmu yang paling tinggi kedudukannya dilihat dari segi hakiki ialah ilmu-ilmu yang membicarakan hakikat ketuhanan dan alam ghaib, iaitu ilmu yang termasuk di bawah ilmu mukasyafah atau al-Hikmatu’l-Ilahiyah. Di sinilah terdapatnya huraian dasar-dasar tentang hakikat segala sesuatu yang merupakan punca segalanya. Keduanya ialah al-‘Ulum asy-Syar’yah, iaitu ilmu-ilmu keagamaan Islam yang membantu dalam menimbulkan peribadi dan peradaban serta kebudayaan bercorak Islamiah; ilmu-ilmu itu adalah ilmu-ilmu yang membicarakan akidah, ibadah, akhlak, serta hukum-hukum. Kemudian barulah disebutkan ‘ilmu-ilmu akal yang membincarakan keadaan alam benda dan alam tabii serta kegunaan alam tabii itu untuk kepentingan manusia dan kehidupannya. Ketiga-tiga ilmu ini bagaimanapun adalah sepadu dan semuanya berpaksikan tauhid. Oleh kerana konsep ilmu yang sedemikian maka dapat dilihat bahawa golongan intelektual sebenarnya ilmu dalam Islam adalah golongan yang dipanggil hukama’ (sages) iaitu golongan ahli-ahli hikmah yang memahami ilmu-ilmu secara sepadu pada zaman mereka. Antara mereka ini bolehlah disebutkan beberapa nama seperti al-Ghazali, Ibn Arabi, al-Razi, Ibn Khaldun, Ibnu Sina, al-Khawarizmi, dan Umar Khayyam, Allah merahmati mereka, antara yang lain-lain yang sekian ramai itu. Kalau hendak disebutkan ilmu sains, maka boleh dikatakan bahawa ilmu-ilmu sains yang diajarkan oleh mereka ini adalah ilmu sains yang tumbuh dan subur dalam alam tauhid yang di dalamnya disedari bahawa wujud Allah meliputi segalanya.

 

Jika dilihat bidang kesenian, maka boleh dibuat beberapa kenyataan dan pengamatan tentang hal ini dengan secara amnya. Antaranya ialah: bahawasanya kesenian dalam erti fine arts atau seni halus tidak begitu digalakkan dalam Islam. Oleh sebab itu seni lakon, seni suara, seni pahat, dan sebagainya tidak mendapat tempat yang terhormat dalam kebudayaan Islam, oleh kerana ketentuan-ketentuan syariat dalam perkara ini. Kalaulah disebutkan seni lukis maka kita teringat kepada larangan dalam hadis ke atas usaha melukis makhluk yang bernyawa, dan memang ada pula beberapa hal yang boleh diingatkan dalam hubungan dengan perkara ini. Berkenaan dengan seni suara, maka yang jelas ialah keizinan diberikan kepada pembacaan al-Quran dengan suara yang merdu, termasuk juga suara azan, yang semestinya dilagukan berdasarkan kepada aturan-aturan qiraat yang terkenal. Seni suara yang dijadikan bidang kegiatan untuk mencari nafkah, apalagi bila melibatkan wanita dan penggunaan alat-alat yang terlarang, merupakan sesuatu yang tidak direstui. Juga dalam hubungan dengan ini perlu diingatkan larangan terhadap nyanyian wanita yang merdeka yang diperdengarkan kepada lelaki ajbani, kecuali yang diperdengarkan kepada wanita sahaja, itupun dengan syarat hendaklah isi kandungannya bukanlah perkara yang terlarang, dan dengan tidak menggunakan alat-alat bunyian yang terlarang. Nampaknya yang jelas tidak terlarang ialah nyanyian lelaki mengandungi seni kata yang baik dan konstruktif yang diiringi dengan paluan yang tidak terlarang, seperti duff, termasuk nyanyian demikian dalam majlis keramaian dan kesukaan, seperti pada masa perkahwinan dan majlis berkhatan.

 

Tanpa berpanjang lebar tentang hal ini, boleh disebutkan amalan yang dikecualikan dalam sejarah Islam, iaitu majlis yang di dalamnya ada bunyi dan nyanyian yang dihadiri oleh mereka yang benar-benar berkelayakan: maksudnya ialah majlis as-Sama’. Majlis yang demikian ini ada disebutkan oleh mereka yang dihormati dalam sejarah Islam, seperti al-Ghazali dalam Kimiyaas Sa’adah dan Ihya’ ‘Ulumi’d-Dinnya, Jalaluddin Rumi dalam Mathnawi Ma’nawinya dan al-Hujwiri dalam Kashf al-Mahjubnnya. Majlis itu dilakukan dengan keadaan tertutup, dibacai di dalamnya syair-syair tentang kasih sayang iaitu kasih sayang dengan Tuhan; dan mungkin ada bunyian yang dibunyikan. Tujuannya ialah untuk menimbulkan rasa kasih sayang yang lebih tinggi terhadap Tuhan, dan itu boleh meningkatkan lagi darjah rohaniah seseorang itu kepada paras yang lebih tinggi.

 

Dikalangan pemikir Islam semasa, ada yang membuat pengamatan tentang bunyi-bunyian ini seperti Syed Hossein Nasr, kata beliau:

 

“Tetapi di kalangan kesenian-kesenian tradisional muzik ada mempunyai tempat yang istimewa, kerana ia begitu kurang mengolah benda-benda material dan bentuk-bentuk benda berbanding dengan kesenian-kesenian yang lain, dan ianya adalah lebih terhubung secara langsung dengan alam yang terdiri daripada zat-zat rohaniah (al-mujarradat) Maka bukanlah tidak beralasan apabila orang-orang Hindu menganggap kesenian yang mula-mula diturunkan dari alam syurga kepada manusia ialah muzik, dan bahawa golongan arifin (dalam Islam) menganggap muzik sebagai alat yang terbaik untuk melafazakan rahsia-rahsia rabbaniah yang paling rumit. Seperti kata Jalaluddin Rumi:

 

“Pemuzik itu mula bermain di hadapan orang Turki yang mabuk itu dalam tabir hijab senandung berkenaan rahsia-rahsia janji abadi antara Tuhan dan insan (srar-i-alast)

 

Walaupun asalnya adalah alam transenden, roh insan menjadi tergabung dengan jasad dari tanah melalui sesuatu talisman, yang rahsianya hanya diketahui oleh Allah, dengan itu maka hayatnya wujud dalam alam yang rendah ini. Tetapi roh itu selalulah menyimpan ingatan tentang tempat watan asalnya dan negeri asalnya, dan semua usaha manusia untuk mencapai kesempurnaan, walaupun terhad kepada alam kebendaan ini, adalah berakar umbi daripada ingatan ini. Dalam alam transenden roh, insan tidak berhenti-henti mendengar senandung merdu yang berterusan, yang harmoni dan indah, yang daripadanya ia mendapat menafaat dan dia juga mengambil peranan di dalamnya. Melalui muzik tradisional (seperti yang ada dalam majlissama’ yang diadakan di kalangan ahli sufi dan bukan yang diperdagangkan dalam pertunjukan-pertunjukan moden) maka roh insan dalam sangkar jasadnya sekali lagi mengingati watan asalnya. Talisman yang melaluinya roh itu tergabung dengan jasad insan sampai boleh menjadi terputus, walaupun untuk beberapa saat, dengan itu burung roh insan itu diizinkan untuk terbang membuka sayapnya dalam angkasa tak terbatas alam malakut dan boleh memainkan peranan merasai sama kebahagiaan dan kegembiraan serta kelazatan dan keghairahan, yang merupakan sebahagian daripada unsur alam (yang sempurna) itu.

 

Dalam kata-kata Sa’d al-Din Hamuyah: (terjemahan)

 

Bila qalbu menghadiri majlis sama’, ia melihat Yang Dikasihi dan ia mengangkat rohnya ke alam Rahsia-rahsia Rabbaniah

Senandung itu adalah kuda tunggangan roh kami; ia mengangkatnya ke alam tinggi dan ia mengambil nya dengan gembira ke alam Kekasih”.

 

Seseorang yang telah pun mencapai peringkat kesempurnaan rohaniah sudah tentu tidak lagi memerlukan kepada mana-mana tunggangan atau kenaikan sebab ia sendiri mempunyai kemampuan untuk menaiki alam tinggi. Tetapi sehingga ia mencapai darjah ini, muzik yang bersifat rohaniah seperti muzik tradisional Parsi, boleh merupakan sebagai suatu cara yang paling kuat untuk membangunkan orang yang berkelayakan daripada tidur kelalaian rohaniah. Ianya adalah suatu kenaikan yang tepat dan boleh diharapkan, sesuatu yang boleh mengambil insan terkeluar daripada jurang alam kebendaan dengan semua kepayahan dan kesakitan di dalamnya supaya ia memasuki puncak kesakitan dan penderitaan terubah menjadi kebahagian dan kegembiraan. Tasawuf mengambil muzik Parsi Purba, dan sebagaimana dengan bentuk rupa yang lain yang banyak itu, ia menggilapnya dan menyempurnakannya, sehingga ianya menjadi tunggangan rohaniah yang dikehendaki itu. Oleh kerana itu, dilihat dari kesan yang ditinggalkan keatas jiwa seseorang itu, tidak penting dari mana asalnya sesuatu itu, baik ianya dari aliran Barbadi ataupun yang sampai ke zaman Achaemenian. Apa yang penting ialah bahawa ia mampu masuk di bawah pengaruh tasawuf dan menjadi berubah menjelma dengan kerananya dengan sedemikian rupa sehingga di dalamnya dan juga darinya timbul segi dimensi kebatinannya, dan boleh membawa jiwa orang yang berkelayakan sebenarnya mengalami pendakian rohaniah dengan Yang Dikasihi, dan membebaskan insan, buat beberapa ketika, dari keterbatasan dan kewujudan alam benda yang melingkunginya.

 

Perhubungan antara muzik Parsi tradisional dengan tasawuf bukanlah merupakan sesuatu yang berlaku secara kebetulan, dan bukan hanya merupakan sesuatu yang bersifat sejarah. Bahkan, ianya adalah hakikat yang mendalam yang ada meninggalkan pengaruh yang perlu diambil kira dalam caranya muzik memberi kesan ke atas pendengarnya. Untuk menjadikan hakikat ini difahami dengan sepenuhnya, maka perlulah diambil kira peringkat-peringkat dalam perjalanan rohaniah, (sair wa suluk). Walaupun ada beberapa jalan untuk memberi gambaran berkenaan dengan jalan ke arah perdampingan dengan tuhan dalam ajaran tasawuf, ini semua boleh diringkaskan dalam tiga peringkat yang besar:

 

Peringkat pertama (dari segi rohaniahnya) dipanggil peringkat penyempitan (qabd). Dalam peringkat itu, beberapa daripada jiwa manusia mesti mengalami maut; peringkat ini adalah berkaitan dengan sifat zuhud dan takwa dan dengan pentajalian keadilan Tuhan dan Sifat Jalal-Nya. Peringkat keduanya ialah peringkat pembukaan atau pengembangan (bast), yang di dalamnya suatu aspek daripada jiwa manusia itu menjadi terkembang luas dan wujud insan itu melintasi batasnya sendiri, sehingga ianya merangkumi seluruh alam ini, dan seseorang itu boleh berkata dengan Sa’di: (terjemahannya)

 

“Aku bergembira dalam dunia ini kerana dunia ini bergembira di dalam-Nya.”

 

Peringkat ini terhubung dengan perasaan bahagia dan keghairahan dan ini adalah pentajalian Keindahan dan Rahmat Tuhan. Peringkat ketiga ialah bercantum dengan Kebenaran (wisal bil-haqq) dengan jalan mencapai perhentian-perhentian rohaniah yang dipanggil penghapusan (fana’) dan keabadian (baqa’). Pada paras ini maka si arif itu telah melintasi semua darjah rohaniah yang lainnya dan hal-haknya (ahal wa maqamat) dan ia sampai kepada darjah mengadap Wajah Yang Dikasihi. Ia menyaksikan dengan jelasnya, sehingga dalam kata-kata Hatif dari Isfahan:

 

“Dia adalah Esa, dan tidak ada yang lain lagi melainkan Dia tidak ada Tuhan melainkan dia sahaja.”

 

Muzik adalah berkenaan dengan peringkat-peringkat kedua dan ketiga dalam pejalan rohaniah) dan bukan berkenaan dengan peringkat pertama. Oleh sebab itulah dalam Islam, hukum syariat melarang seseorang mendengar muzik, melainkan muzik dalam bentuknya yang paling murni dan tinggi dari semua senandung, iaitu pembacaan al-Quran – kerana hukum syariat hanya berkaitan dengan hukum-hukum agama dan keadilan Tuhan, dan tasawuf pula iaitu ilmu berkenaan dengan perjalanan rohaniah, muzik dibenarkan, dan dalam setengah-setengah tarikah seperti tarikah Maulawiyah dan Chistiyyah, ianya mempunyai kepentingan yang patut diambil kira.” (Dalam eseinya “The influence of Sufism on Traditional Persian Music”, SCR: 6 :4 : 227 – 229).

 

Dari kenyataan-kenyataan di atas jelas bahawa muzik mempunyai kedudukan yang tinggi apabila kena pada tempatnya, dan dilaku oleh mereka yang ahli dalam bidangnya. Yang ditolak oleh kebudayaan Islam tradisional ialah muzik yang membawa kepada kerendahan budi dan gangguan kepada perkembangan jiwa dan peribadi manusia, dan yang diperdagangkan secara murah, dengan menggunakan alat –alat yang terlarang.

 

Berhubung dengan seni bina ada beberapa pengamatan yang am yang boleh dibuat. Antaranya ialah sebuah binaan, (katakanlah seperti sebuah masjid, sebab masjid merupakan suatu hasil seni suci yang nyata dalam kebudayaan Islam tradisional); sebuah masjid pada keseluruhannya melambangkan alam semesta dengan pentarafannya sebagimana yang diisyaratkan dalam al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. Dengan itu maka dalam masjid dapat dilihat maksud-maksud tertentu seperti kubahnya yang melambangkan Arasy; bahagian atasnya yang melengkung melambangkan langit, yang ia pula melambangkan alam ghaib; lampu-lampunya yang bergantungan melambangkan bintang-bintang; lantainya melambangkan permukaan bumi; dan apabila seseorang itu berdiri dalam masjid, ia seolah-olah khalifah Tuhan di muka bumi berdiri di atas bumi Tuhannya, di bawah langit dan di bawah kerajaan Arasy-Nya. Empat penjuru dindingnya melambangkan empat unsur yang menjadikan alam benda ini sebagaimana yang dijelaskan dalam ilmu fizik tradisional. Ceruk di bahagian kiblatnya melambangkan ceruk (misykat) yang disebutkan dalam Surah an-Nur langit dan bumi. Demikianlah seterusnya. Seseorang yang berdiri di dalam masjid teringat kepada status dirinya yang sedemikian itu, dan dia tidak akan terlalai daripada menyedari hakikat itu. Ini adalah kerana pengaruh alam sekitar masjid itu sebagai seni suci yang menjalankan fungsi ke atas jiwa dan roh manusia. Ertinya di sini ialah: fungsi senibina adalah yang terpentingnya – selain daripada memberi tempat teduh dan sebagai kepada insan – adalah untuk membangkitkan insan kepada kesedaran tentang status dirinya yang sebenarnya dalam hubungan dengan Tuhannya dan alam sekitarnya. Demikianlah juga cara hidup dan susunan bahagian sebuah rumah Muslim adalah berdasarkan kepada apa yang ada dalam masjid. Sebab itulah dinyatakan oleh Abu Bakar Siraj Ed-Din dalam salah sebuah ceramahnya di Azhar, bahawa beberapa abad lamanya rumah orang Islam adalah sebagai sambungan kepada masjid. Maksudnya sebuah rumah orang Islam memperingatkan kepada penghuninya bahawa dia adalah khalifah Tuhan di bumi yang hidupnya adalah untuk mengabdikan dirinya kepada Tuhannya, dan untuk taat kepada Tuhannya, dan untuk taat kepada –Nya dalam hidup dirinya dan dalam hubungan dengan alam sekitarnya. Tidak ada rumah Muslim pada zaman klasik yang memperingatkan dia kepada rumah hiburan ataupun panggung wayang.

 

Berkenaan dengan seni sastera umpamanya, katakanlah dalam persajakan, maka secara ringkasnya boleh dinyatakan bahawasanya seni sastera adalah untuk memperingatkan insan, kebenaran tentang Tuhan alam dan kehidupan. Kaca mata yang digunakan ialah kaca mata tradisional, iaitu kaca mata yang diajarkan oleh Islam dan falsafah agama dalam Islam, yang timbul dalam acuan syariat dan sunnah itu sendiri. Hendaklah ianya bersifat objektif dalam erti kata penzahiran kebenaran yang ‘mengatasi’ kita dengan sekalian subjektiviti kita sendiri. Nilai-nilai di dalamnya adalah nilai-nilai yang memberangsangkan manusia supaya hidup dengan rasa mulia diri dalam memperjuangkan kebenaran tanpa ada rasa putus asa dan nihilsme dalam pandangannya. Kalau tidak sastera menjadi candu kejiwaan (psycholigical opium) yang mengkhayalkan dan melemahkan, seperti pengalaman The Lotus Eaters. Sastera Islam sebenarnya ialah sastera yang menyedarkan serta menghiburkan insan tentang status dirinya dalam hubungan dengan dirinya sendiri, Tuhannya, dan alam sekitar serta peradabannya. (Ini telah dibicarakan dalam bab VIII buku Memahami Islam, karangan penulis).

 

Mungkin pada peringkat ini bermanfaat dibicarakan sifat keintelektualan atau akliah yang ada pada kesenian Islam dengan menyebut seni perhiasan sebagaimana yang ada pada seni khat yang diukir bersebati dengan awan larat dan seni pakaian sebagai contoh, antara yang lainnya. Seni perhiasan Islam menzahirkan aspek akliah atau keintelektualan Islam sebenarnya: ertinya kesenian itu adalah merupakan penzahiran apa yang menjadi ‘isi’ bagi akal insan dan dirinya yang batin, itu ‘isi’ yang menyelamatkan dirinya dan peradaban serta budayanya. Biasanya kelihatan dinding-dinding rumah si Muslim perhiasan ayat-ayat al-Quran dan hadis Nabi s.a.w. dan kadang-kadang kata athar dari para Salaf yang disebatikan dengan awan larat; ertinya motif ayat-ayat Quran (yang melambangkan wahyu) dan motif alam tabii itu sendiri. Maka ayat-ayat yang sedemikianlah yang menyelamatkan manusia dan yang menyembuhkannya daripada penyakit lalai atau ghaflah akliah dan rohaniah. Kesebatian tanda alam tabii dengan tanda dari alam wahyu, dan juga nubuwah serta hikmah, dilambangkan pada lukisan ayat al-Quran dan lainnya dengan awam larat itu. Kadang-kadang awan larat itu disebatikan dengan tulisan-tulisan ayat yang dituliskan dalam rupa hablur; ini mengingatkan kita kepada dua segi alam tabii iaitu alam galian (dalam rupa hablur) dan alam tumbuhan (dengan awam larat); kedua-duanya merupakan ayat Tuhan.

 

Inilah antaranya yang dimaksudkan bahawa apa yang menjadi perhiasan itu ada mempunyai konotasi atau pengertian yang bersifat intelektual. Demikian juga keadannya dengan pahatan batu yang didapati di Alhamra yang dijadikan sedemikian indah. Batu yang dipahat dengan sedemikian rupa itu bukan lagi kelihatan sebagai batu yang pejal dan berat pada pandangan mata, bahkan ianya kelihatan ringan dan bercahaya. Ertinya rupanya sebagai hablur (crystal) jelas kelihatan; dengan ini lahirkan maksud bahawa kesenian Islam menzahirkan hakikat yang ada pada benda yang diciptakan oleh Tuhan. Batu itu sebenarnya terdiri daripada crystals atau hablur-hablur yang tidak terbilang banyak; dalam batu biasa keindahannya sebagai hablur yang berbahaya terlindung; maka seniman Islam yang mengenali hukum-hukum berkenaan dengan benda dan sifat-sifat menzahirkan keindahan yang Tuhan jadikan pada benda itu supaya ianya keluar dan boleh disaksikan oleh manusia. Dengan jalan demikian maka seniman Islam seolah-olah menjadi co-worker dengan Allah Taala pada paras kemakhlukannya. Dan Tuhan pula adalah “Indah dan cintakan keindahan”. (Sudah tentu pada peingkat yang muktamad, keindahan yang paling tinggi dan menyelamatkan ialah keindahan rohaniah).

 

Seni berpakaian adalah merupakan sebahagian daripada seni suci atau sacred art dalam Islam; ianya merupakan sebahagian daripada Sunnah nabi Muhammad s.a.w. Pakaian Islam yang tradisional seperti jubah, qamis, dengan sarban serta kopiahnya ada mempunyai pengertiannya yang tersendiri, iaitu berkaitan dengan manusia dan kedudukannya. Pakaian yang lega, yang tidak menzahirkan bentuk badan itu melambangkan kedudukan insan sebagai khalifah Tuhan di muka bumi yang ditugaskan untuk melaksanakan hukum-Nya dan kehendak-Nya, serta sebagai hamba-Nya yang tunduk menyerah kepada-Nya dan mengabdikan dirinya kepada-Nya. Ertinya pakaian itu menunjukkan insan sebagai makhluk ibadat, tafakur dan musyahadah, serta kegiatan hidup yang berpaksikan pengalaman ibadat dan musyahadah. Sarban di kepalanya menandakan aspek kemalaikatan yang ada pada insan itu sendiri, yang dalam sebuah hadis dikatakan melambangkan malaikat (sim’l-malai’kat), selain daripada ianya melambangkan kedudukan insan sebagai ‘raja’ sekalian makhluk. Kalau dikatakan sebahagian daripada nasionalisme Arab, bukan sunnah, maka boleh dijawab: bila bentuk (form) sudah dijadikan sunnah baginda s.a.w. maka ia menjadi universal, dan contoh untuk seluruh umat. Dengan ini kearabannya itu diuniversalkan. Ertinya menghidupkan pakaian itu adalah menghidupkan sebahagian daripada sunnah dan bukan menghidupkan al-Urubah. Kalau dikatakan pula bahawa Islam tidak memandang kepada bentuk-bentuk tertentu, kerana ianya memandang kepada makna, maka boleh dijawabkan bahawa alam ini sendirinya adalah alam berbentuk dan berupa (word of forms), maka selama kita berada di sini maka kita tidak boleh mengelakkan diri daripada bentuk-bentuk, bahkan oleh itu hendaklah kita memilih antara bentuk-bentuk yang mana satu yang sesuai dengan world-view atau pandangan kita tentang alam dan kehidupan. Maka apabila kita berada dalam alam bentuk atau rupa ini baginda s.a.w. menganjurkan kepada kita supaya kita memilih antara bentuk-bentuk yang ada itu supaya ada antaranya yang dijadikan universal untuk Islam, yang dimasukkan ke dalam sunnahnya.

 

Kedudukan pakaian dalam Islam ini menjadi jelas apabila kita lihat pakaian di Barat sebagaimana yang ada sekarang melambangkan kedudukan manusia sebagaimana yang dipandang oleh orang-orang Barat dalam world-view mereka. Titus Burckhardt menyatakan:

 

“Modern masculine attire, which has its origins partly in the French Revolution and partly in the English puritanism represents an almost perfect synthesis of anti-spiritual and anti-aristocratic tendencies. If affirms the forms of the body, while “correcting” them to fit in with the conception that is inept as well as being hostile to nature and to the intrinsically divine beauty in man.”

 

Terjemahannya:

 

“Pakaian lelaki moden, yang berasal sebahagiannya dalam zaman Revolusi Perancis dan sebahagiannya pula dalam zaman aliran Puritan Inggeris, mewakili satu sintesis yang hampir-hampir paling sempurna bagi anti-rohaniah dan antibangsawan (iaitu kebangsawanan kejiwaan dan kerohanian selain daripada kebangsawanan dari segi keturunan). Pakaian itu menonjolkan bentuk badan, sambil “memperbaikinya” untuk disesuaikan dengan konsepsi yang sangat tidak munasabah dan yang juga bertentangan dengan alam tabii dan dengan keindahan malakuti yang asasi yang ada pada diri insan” (Sacred Art in East and West, nota 15, hlm 119)

 

Berhubungan dengan fine art rasanya perlu juga disentuh sedikit lagi tentang kedudukannya dalam Islam yang tidak begitu diberikan galakan. Nampaknya fine arts sebagaimana yang ada dalam peradaban Barat moden, yang berpunca daripada tamadun Yunani Purba dan Rom Purba tidak begitu kelihatan berkembang dalam peradaban Islam. Yang dimaksudkan ialah bagimana tidak adanya hiburan luar rumah secara besar-besaran dengan institusi-institusi yang banyak muncul berkaitan dengannya. Zaman sekarang tarian dengan segala jenisnya daripada tarian sophisticated seperti ballet dan pop, nyanyian dengan segala jenisnya, serta lakonan, sebagaimana yang sedemikian banyaknya didapati sekarang ini membuka peluang kepada manusia untuk mendapat hiburan yang sangat banyak di luar rumah. Keadaan sedemikian ini sudah berada di Barat bermula dalam zaman Yunani dan Rom Purba lagi; ianya diteruskan sekarang dalam peradaban Barat moden. Berbanding dengan suasana demikian nampaknya masyarakat Islam tradisional tidak begitu banyak menunjukkan kewujudan hiburan di luar rumah, dan suasana dalam masyarakat tradisional Islam adalah kelihatan agak sepi berbanding dengan suasana di Barat demikian itu. Mungkin ada setengah-setengah pihak hendak menyebut fakta ini sebagai sesuatu yang negatif dalam kehidupan budaya Muslimin, seolah-olah misalnya menunjukkan bahawa mereka tidak begitu mempunyai artistic sensibility. Nampaknya pada kita ini adalah suatu faktor kekuatan yang positif untuk kebudayaan Islam; permainan yang tidak mempunyai pengertian rohaniah dan akliah yang semata-mata memberi keseronokan perasaan, apalagi yang melibatkan unsur-unsur yang tidak boleh direstui dari segi ketentuan syariat, tidak diberi perhatian oleh Islam. Hanya mereka yang rosak jiwanya dan agamanya yang menceburkan diri ke dalam kegiatan-kegiatan demikian itu. Ada sikap yang memandang bahawa apa yang ada di Barat itu menunjukkan kemajuan murni dalam bidang budaya dan kesenian. Keadaan yang sebenarnya mungkin sebaliknya. Banyaknya hiburan di luar rumah yang beraneka ragam itu menunjukkan jiwa manusia sedang dalam keadaan kegelisahan serta kerisauan serta kesebakan, dan oleh itu mereka memerlukan ‘ubat’ atau pain killer kejiwaan untuk menenangkan jiwa yang demikian itu. Kita teringat dalam hubungan dengan perkara ini kenyataan seorang penulis Barat yang berkata dalam pembicaraannya:

 

The are born into anguish

They live in anguish

And they die in anguish

 

Mereka dilahirkan ke dalam penderitaan

Mereka hidup dalam penderitaan

Dan mereka mati dalam penderitaan

dalam memberi gambaran tentang jiwa orang-orang Barat yang gelisah dan hauskan hiburan untuk melupakan penderitaan batin mereka. Wallahuaklam. Ertinya mereka adalah golongan yang merasai kehausan jiwa dan mereka sedang mengidap sesuatu jenis ‘penyakit’.

 

Sebenarnya sejarah menunjukkan bahawa hiburan demikian itu bukan boleh mengubati jiwa manusia yang ‘sakit’ bahkan menjadikan jiwa manusia itu terlebih ‘haus’ lagi , sebagaimana keadaannya dengan seseorang yang minum air laut, semakin ia minum semakin ia haus. Berbanding dengan itu, umat Islam yang hidup dalam suasana tradisional – baik fizikal atau spiritual – tidak begitu memerlukan hiburan yang sedemikian itu, ini adalah selain daripada hiburan-hiburan yang diharuskan oleh syariat. Seseorang Muslim tidak seharusnya mengikuti jejak langkah orang Barat dalam mencari hiburan untuk dirinya dan keluarganya; selain menikmati hiburan yang diharuskan oleh syarak, sepatutnya seseorang Muslim itu mendapat kekuatan rohaniah dan kejiwaan dengan beribadat dengan Tuhannya, dan mendapat hiburan yang mencukupi daripada hidup rumahtangganya yang diberkati hasil daripada kehidupan yang dilaksanakan mengikut syariat dan sunnah. Dalam hubungan dengan hal ini kita teringat kepada suatu kenyataan Muhammad Iqbal, Allah merahmatinya, tentang bagaimana kuatnya hidup kekeluargaan Muslim apabila dia tidak libatkan diri dengan hiburan yang tidak direstui oleh ajaran Islam di luar rumahnya, dan dia membentuk kerukunan rumahtangga dan mendapat hiburan daripada hidup kekeluargaannya itu.

 

Ringkasnya, kalaupun ada fine arts dalam Islam, maka ciri-cirinya adalah berlainan daripada apa yang ada di Barat. Ciri-ciri fine arts itu menjadi sama apabila umat Islam mengalami pembaratan dan sekularisasi dalam hidup estetiknya keran dia tidak taat kepada norma-norma dan prinsip-prinsip yang mengawal peradaban dalam Islam. Antara yang boleh disebutkan dalam hubungan dengan hal ini ialah bagaimana hibyran dan fine arts dalam Islam bukan semata-mata untuk memberi kepuasan kepada perasaan (feeling) manusia sahaja, bahkan ianya lebih-lebih lagi mempunyai ciri-ciri yang langsung berhubung dengan keutamaan rohaniah dan akliah (spiritual and intellectual virtues)

 

Pada tahap ini mungkin bermanfaat kita tumpukan perhatian kita kepada persoalan: Apakah perbezaan antara semangat (spirit) kebudayaan Islam dengan semangat kebudayaan Barat? Atau apakan perbezaannya antara roh kebudayaan Islam tradisional dengan kemodenan? Sebenarnya persoalan ini sudah dijawab walaupun secara tidak langsung dalam beberapa kesempatan sebelum ini (Antaranya dalam Seminar Antarabangsa Berkenaan dengan Islam dan Kebudayaan Melayu, 1986 yang lalu). Untuk meringkaskan huraian, boleh disebutkan beberapa aspek daripada persoalan ini, antaranya ialah: kedudukan kontemplasi dan kegiatan lahir dalam peradaban; konsep ilmu yang sekular dan suci; kedudukan individualisme; konsep kesamarataan; kekecohan hidup sosial; dan materialisasi. Ataupun persoalan ini boleh difahami dengan kita mengamati beberapa ciri penting dalam pandangan ini, seperti: rasionaliti, kebebasan, kemanusiaan, konsep antarabangsa, dan sains dan teknologi apabila difahamkan pandangan Islam tentang hal-hal asasi ini maka bolehlah dibandingkan fahaman itu dengan kemodenan. (Cf. Memahami Islam, 204 ff. serta bibliografinya).

 

Berhubung dengan kegiatan lahir insan dan kontemplasi atau tafakur, maka peradaban Barat sebenarnya sudah tidak dapat lagi menilai aktiviti kontemplasi sebagaimana yang difahamkan dalam Islam dengan ibadatnya, tafakurnya dan masyahadahnya yang merupakan kegiatan terpuncak (the supreme human activity), iaitu kegiatan yang merupakan tujuan daripada penciptaan insan itu sendiri. Ini antaranya dilambangkan dengan kisah Israk Mikraj semasa baginda s.a.w. menerima perintah sembahyang itu sewaktu baginda berada pada paras pucak dalam pendakian pada malam Mikraj itu. Orang-orang Barat mementingkan kegiatan lahir dalam kebudayaan dan peradaban mengatasi kegiatan yang lain, bahkan kesahihan kegiatan intelektual itu pun didapati pada kegiatan lahir juga, dan mereka tidak peduli kepada kontemplasi dalam pengertian yang sebenarnya. Kenyataan ini dibuat tanpa melupai pula kenyataan bagaimana sedang merebaknya pula di kalangan orang-orang Barat beberapa banyak agama palsu (pseudo-religions) dan gerakan-gerakan spiritual murahan yang mengajar meditasi dan seperti yang tercatat dalam The New Religions oleh Needleman, dan lainnya, dan Yoga Journal dari Amerika Syarikat itu. Ini adalah kerana di kalangan mereka itu ahli-ahli yang sebenarnya sudah tidak ada, dan ini antara yang dijelaskan oleh Rene Guenon dalam buku The Crisis. Dan inilah yang boleh diperhatikan sampai sekarang. Ini menjadi lebih jelas apabila diingatkan bahawa mereka sudah menjadi kufur terhadap agama yang sebenarnya, sebagaimana yang jelas dalam sejarah agama mereka sendiri apalagi sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Quran. Dengan kekufuran, pengalaman demikian itu terputus.

 

Dalam Islam kontemplasi atau tafakur dan ibadat serta musyahadah (mengikut taraf peribadi-peribadi yang terlibat di dalamnya) adalah kegiatan rohaniah yang setingginya. Dalam Islam kegiatan lahir mempunyai pengertian, makna dan mencapai maksudnya apabila dihubungkan dengan kontemplasi atau tafakur dan ingatan hati.

 

Sebab itu kita dapat nas-nas tentang tertingginya kedudukan sembahyang, puasa dan sebagainya; dan tingginya kedudukan tafakur sehingga ada kenyataan bahawa tafakur sesaat adalah lebih afdal daripada ibadat sunat tujuh puluh tahun dan sebagainya.

 

Dengan ini Islam mengajar kedudukan yang setepatnya antara kontemplasi atau tafakur dan kegiatan lahiriah dalam hidup dan peradaban, dan tidak mengorbankan yang satunya kerana yang lainnya. (Cf huraian mendalami S.H. Nasr dalam bab 6 bukunya Islam and the Flight of Modern Man)

 

Tentang kedudukan ilmu yang sekular dan suci, maka perlu diperhatikan bahawa di Barat, sesudah berjayanya aliran rasaional dan intektual mereka dalam masa Renaissance dan seterusnya maka ilmu-ilmu menjadi terputus hubungannya dengan ajaran agama dan metafizik Kristian yang bagaimanapun telah mampu memberi bimbingan untuk pembentukan ilmu yang bersifat suci. Dengan itu berlakulah profanasi atau proses menjadikan tidak suci atau pemisahan ilmu-ilmu dari ajaran rohani dan suci, tegasnya proses sekular bermula dalam peradaban Barat. Ini boleh diperhatikan dalam Introduction to the History of Science oleh Sarton. Dengan itu ilmu-ilmu manusia hilang pimpinan dari ajaran yang boleh menyelamatkannya dalam konteks budaya Kristian di Barat. Konsep ilmu menjadi rosak kerana autonominya dan pelaksanaanya yang membahayakan manusia itu sendiri. Dan dalam majalah The Scientific American dan Omni keluaran terbaru bulan September 1989 boleh dilihat tulisan-tulisan berkenaan dengan bahaya-bahaya yang muncul dalam peradaban Barat dan seluruh dunia yang terkena pengaruhnya akibat daripada penggunaan ilmu-ilmu yang terputus hubungannnya daripada pimpinan kerohanian dan agama serta etika yang sangat–sangat diperlukan itu. Sebaliknya dalam ajaran tradisional Islam selularisasi tidak ada dan ilmu adalah merupakan satu kesatuan yang berpaksikan tauhid. Hanya yang perlu disedari ialah pentarafan ilmu-ilmu dan pelaksanaanya dalam hidup manusia serta kedudukan ilmu-ilmu itu masing-masing. Dalam Islam tidak ada ilmu yang sekular dan tidak yang profane, sebagaimana juga tidak ada sebesar zarah pun dalam alam semesta ini yang terkeluar daripada genggaman kekuasan Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Berkuasa. Demikian juga dalam persoalan ilmu dalam Islam ditentukan bahawa wahyu berada di puncak segalanya, bersama dengan nubuwah. Akal fikiran manusia terletak di bawahnya. Dalam skima pertelingkahan antara akal fikiran dan wahyu sebagaimana yang berlaku di Barat tidak timbul.

 

Berhubungan dengan individualisme, boleh dinyatakan di Barat manusia individu itu menduduki taraf yang sedemikian tinggi sehingga ianya menjadi sesuatu yang prinsipal. Dengan pengangkatan individu kepada taraf yang prinsipal demikian itu, segala kelemahan-kelemahan manusiawi sebagai individu serta keinginan-keinginannya menjadi perkara-perkara yang diterima, dan keadaan menjadi bertambah buruk oleh kerana kritikan terhadap manusia tidak dapat dilakukan oleh kerana konsep manusia secara universal tidak dimiliki oleh mereka, sebagaimana yang ada dalam Islam. Ini mendatangkan suasana huru-hara dalam pemikiran dan ilmu pengetahuan.

 

Dalam Islam manusia sebagai individu difahamkan kedudukannya dalm hubungan dengan diri yang sempurna sebagaimana yang ditunujukkan contohnya dalam peribadi sempurna Nabi Muhammad s.a.w Huraian tentang ciri-ciri al’insan al’kamil atau insan semesta atau insan sempurna di kalangan sufiah juga merupakan suatu neraca yang boleh digunakan bagi memahami kedudukan manusia individu dalam Islam. Selain ilmu tentang al-fada’il atau sifat-sifat keutamaan rohaniah menjelaskan struktur diri manusia yang menjadi contoh sebenarnya sebagaimana yang diajarkan dalam Islam. Selain itu boleh dilihat kesan negatif dari konsepsi insan yang tidak tepat di Barat itu dalam hasil-hasil kesenian mereka yang sedemikian subjektif sifatnya, yang menunjukkan tidak adanya neraca universal di kalangan mereka bagi memahami insan sebenarnya. Dalam Islam pengawasan individu di bawah prinsip wahyu dan nubuwah menyelamatkan manusia dan peradaban secara hakiki.

 

Konsep kesamarataan (egalitarianisme) sangat popular di Barat, sehingga ianya digunakan sebagai slogan yang mendatangkan kejayaan dalam Revolusi Perancis misalnya. Anggapan moden ialah bahawa semua manusia adalaha samarata, sebagaimana juga alam ini samarata, mendatar, secara horizontol; yang terdiri daripada alam benda semata; yang selain daripada benda ialah minda, itu pun dikatakan sebagai an outgrowth of matter; sesuatu pertumbuhan daripada benda juga. Alam-alam taraf tinggi seperti alam Malakut dan alam Lahut tidak ada dalam kosmologi Barat. Fahaman moden seperti ini yang menafikan alam ghaib dengan pentarafannya, dan itu membawa kepada ternafinya pentarafannya, dan itu membawa kepada ternafinya pentarafan di kalangan manusia sendiri dan juga ternafinya pentarafan fakulti-fakulti dalam diri manusia itu sendiri. Pentarafan di kalangan manusia berdasarkan kepada pentarafan mengikut sifat-sifat keutamaan yang hakiki tidak ada. Ajaran tentang kesamaratan ini adalah sesuatu yang memalsukan kedudukan sebenarnya tentang apa yang ada ini.

 

Kehilangan kemampuan untuk melihat pentarafan (hierarchy) dalam apa yang ada inilah menyebabkan timbulnya pelbagai bentuk kesesatan cara moden dalam memahami kedudukan manusia sesama mereka (misalnya antara lelaki dan wanita), perhubungan sesama mereka dan perhubungan mereka dengan ‘Yang Mutlak;, dan alam ghaib, serta juga fakulti-fakulti mereka sendiri. Ini menimbulkan kesesatan dalam memahami manusia dan kejadiannya sendiri.

 

Sebagaimana yang kita lihat, Islam mengajarkan kesedaran tentang pentarafan dari apa yang ada ini, mulai dari konsepsi alam yang mempunyai paras-parasnya, sampai kepada konsepsi manusia dengan fakulti-fakulti yang ada taraf-tarafnya, juga konsepsi manusia dalam masyarakat dan rumahtangga yang mempunyai taraf-tarafnya. Kesedaran tentang pentarafan ini adalah dihubungkan kesedaran tentang tercapainya kebahagiaan untuk semua bila sesuatu itu melaksanakan tugas yang sesuai dengan taraf yang ditakdirkan untuknya. Perbincangan demikian iti tidak perlu dikaitkan dengan pengertian kasta yang menyeleweng dalam setengah-setengah masyarakat tradisional yang mengalami keruntuhannya.

 

Materialisasi (dari Materialisation) juga merupakan suatu daripada unsur-unsur yang tepenting kalaupun tidak terpenting dalam senarai ciri-ciri modeniti dari segi falsafahnya. Yang dimaksudkan materialisasi ialah pemahaman terhadap segala yang ada ini dari segi bendanya sahaja, dan yang dimaksudkan benda di sini ialah benda sebagaimana yang ada dalam ilmu fizik klasik, iaitu sesuatu yang ada beratnya dan yang wujud dalam ruang. Benda memang ada, itu memang diakui oleh Islam. Yang menjadi persoalan ialah pandangan atau sikap intelektual yang mengganggap bahawa apa yang hakiki dan yang sebenarnya ataupun yang bernilai sebenarnya ialah benda, bahkan fikiran itu sendiri (atau minda, dari mind) dikatakan ‘tumbuh’ daripada benda juga. Dalam falsafah kebendaan seperti ini tidak ada ruang lagi untuk Tuhan dan alam ghaib serta hal-hal rohaniah. Misalnya dalam separuh pertama abad ke-19 Masihi. Hamilton mengajarkan bahawa semua metafizikal mestilah ditolak sebagai ilmu yang tidak sah, oleh kerana fikiran manusia dengan strukturnya itu boleh mengetahui apa yang ada alam yang terhad ini sahaja. Ia tidak boleh bersifat metafizikal. Manusia tidak ada mempunyai kemampuan atau keupayaan untuk mengetahui alam yang melintasi alam fizikal ini. Semenjak Hamilton menyebut perbahasan ini, ianya menjadi perbahasan dan hujah yang selalu digunakan buat menolak ajaran yang bersifat rohaniah dan metafizikal. Sebenarnya kebenaran dalam ilmu pun sekarang sudah diturunkan taraf kepada taraf kebendaan. Bidang sains misalnya dimuliakan dalam hubungan dengan perlaksananya dalam industri. Dan ini seolah-olahnya menjadi sebagai suatu cult moden, sehingga oleh kerana itu maka bangsa-bangsa yang dipanggil NIC (New Industrialised Country), iaitu Negara Industri Baru, mendapat penghormatan istimewa di kalangan bangsa-bangsa di dunia. Ilmu tidak begitu dimuliakan lagi dalam hubungan dengan kontemplasi serta tafakur secara rohaniah atau falsafah tradisional. Pandangan yang seperti inilah yang berupa pandangan moden dengan segala ragamnya.

 

Sudah tentu pandangan Islam adalah bertentangan dengan pandangan yang sedemikian itu; dalam seluruh zaman perkembagan kebudayaannya tidak pernah timbul pemberontakan terhadap realiti atau hakikat alam ghaib dan yang bertalian dengannya, apalagi Tuhan sendiri yang merupakan ‘Prinsip Megatasi Segala’. Ini bukan pula bahawa Islam menapikan adanya benda; itu adalah sesuatu sikap yang tidak timbul, dan itu tidak munasabah sama sekali. Dan kata-kata ahli musyahadah tentang yang dilihatnya hanya satu, iaitu ‘Wajah Tuhan’ yang lain adalah fana, itu bukannya kenyataan yang boleh dirujuk untuk memaksudkan tidak adanya alam benda; itu adalah pengalaman musyahadah mereka yang tertentu yang sampai kepada suatu tahap dalam pengalaman mereka bila mana disaksikan bahawa pada hakikatnya tidak ada yang lain, yang ada hanyalah Allah.

 

Apa yang diajarkan oleh Islam bukannya alam benda tidak ada tetapi yang diajarkan ialah bahawasanya wujud benda adalah wujud yang nisbi atau relatif, yang bermula dengan keadaan tidak ada, kemudian diakhiri dengan tidak ada pula selepas ada buat beberapa waktu yang ditentukan; wujudnya bukan mutlak. Dan juga nilainya tercapai bila benda itu digunakan dalam hubungan dengan mencapai ‘Yang Mutlak’ ataupun menundukkan diri kepada ‘Yang Mutlak’ itu. Selain dari itu, wujud alam benda adalah ‘bayang’ kapada alam yang berada di atasnya. Alam benda wujudnya bukannya autonom sebagaimana yang disangkakan oleh golongan materialis.

 

Satu daripada ciri-ciri kemodenan yang tertonjol ialah kerasionalan. Maksudnya ialah diberikan kedudukan yang setingginya kepada ratio atau fakulti kerasionalan, fakulti mengenal ilmu; dianggap bahawa fakulti inilah yang membolehkan manusia mencapai kebenaran setakat yang boleh dicapai oleh fakulti ini. Ini sudah pun terbayang dalam kenyataan berkenaan dengan pemikiran Hamilton sebelum ini. Tidak ada lagi fakulti yang mengatasi fakulti ini. Tentang rasionaliti ini boleh kita nyatakan bahawa Islam ada memberikan tempat yang sewajarnya kepada fakulti yang dikatakan ratio itu. Bagaimanapun fikiran atau ratio bukanlah boleh mencapai kebenaran dengan sendirinya; ia boleh menjalankan fungsinya dengan cara yang menyelamatkan insan dan peradabannya bila ia berjalan dalam suluhan cahaya wahyu dan nubuwah; ini ialah kerana fakulti itu sendiri tersekat perjalanannya oleh kerana adanya unsur subjektiviti dalam peribadi insan dengan adanya nafs serta nafsunya yang berkaitan. Tanpa bimbingan dan suluhan cahaya dari wahyu dan nubuwah akal atau ratio manusia mendatangkan kesesaatan, terutama sekali dalam hubungan dengan kebenaran-kebenaran yang bukan berkaitan dengan fakta-fakta berhubungan dengan alam benda. Dengan adanya bimbingan wahyu dan nubuwah serta tradisi maka ratio manusia tidak menyesatkan.

 

Memang dalam Islam ada terdapat unsur-unsur kerasionalan dalam huraian-huraiannya; maksud unsur rasional itu ialah bahawa perkara berkenaan itu adalah munasabah pada akal fikiran atau ratio, tetapi tidak ada rasionalisme di dalamnya; maksud rasionalisme itu ajaran yang semata-mata bersandarkan kepada pemikiran sahaja dan yang rasionalistik ialah sesuatu yang berdasarkan kepada ajaran yang berpandu semata-mata kepada ratio. Ertinya huraian-huraian Islam adalah huraian-huraian yang rasional tanpa bersifat rasionalistik. Ringkasnya ratio atau fikiran mengikut ajran Islam adalah ber’bapa’kan wahyu dan nubuwah. Sebab itulah tidak pernah timbul konflik antara keimanan dan fikiran dalam Islam, sebagaimana yang ada ciri-cirinya dalam peradaban Barat.

 

Kebebasan juga merupakan sesuatu yang penting dalam roh peradaban Barat moden. Kebebasan ini sedemikian dimuliakan dalam konteks konsep tentang manusia sehingga ianya menjadi suatu bahagian daripada slogan Revolusi Perancis. Kebebasan yang sedemikian itu membawa kepada timbulnya berbagai peristiwa dalam sejarah politik, sosial dan kesenian Barat. Islam memang memberikan tempatnya kepada kebebasan manusia, tetapi kebebasan itu bukanlahh kebebasan yang mutlak, ianya adalah bersifat nisbi. Pendirian Islam dalam hal ini adalah berdasarkan hakikat yang ada. Insan itu sendiri adalah kejadian atau makhluk yang nisbi, nukan mutlak. Oleh kerana ianya adalah makhluk yang nisbi, bukan mutlak, kebebasannya juga adalah nisbi atau relatif, bukan mutlak. Kebebasan yang mutlak dan tidak terhad hanya milik Zat Yang Mutlak, Allah. Kebebasan manusia adalah tertakluk kepada syariat dan juga kehendak Ilahi dalam qada dan qadar-Nya. Oleh kerana inilah kebebasan manusia terkawal dalam Islam. Teringat kita kepada suatu kisah yang dihubungkan dengan seorang sahabat yang terkenal; bagaimana sahabat berkenaan itu menyuruh seorang yang bertanya itu mengangkat kakinya sebelah (untuk menunjukkan manusia ada mempunyai kebebasan secara nisbi), kemudian disuruhnya orang itu mengangkat kakinya yang sebelah lagi tanpa meletakkan terlebih dahulu kaki yang telah terangkat tadi, dan diberikan syarat kepada orang itu, iaitu hendaklah dia itu jangan terjatuh. Sudah tentu orang itu tidak dapat melakukannya, sebab bila sebelah kaki sudah terangkat yang sebelah lagi tidak boleh diangkat, kalau diangkat mestilah orang itu terjatuh. Ini adalah bertujuan untuk menunjukkan suatu hakikat tentang kebebasan manusia iaitu kebebasannya adalah nisbi bukan mutlak. Dia hanya bebas untuk mengangkat sebelah kaki sahaja; kalau dia hendak mengangkat kaki yang sebelah lagi itu hendaklah terlebih dahulu dia meletakkan dahulu kaki yang terangkat itu, barulah dia boleh mengangkatnya. Insan bebas dari suatu segi untuk melakukan usahanya yang diizinkan oleh Tuhan untuk melakukannnya, tetapi ia tertakluk kepada qada dan qadar Allah yang menentukan segalanya. Roh peradaban Barat moden menekan prinsip kebebasan manusiawi tanpa mengenali batas-batasnya pada dirinya sendiri dan alam sekitarnya. Dengan itu beberapa penyelewengan boleh timbul akibat daripada konsepsi kebebasan manusia yang tidak mengenal batas-batas dirinya sendiri itu.

 

Aliran kemanusiaan (humanisme) juga merupakan suatu daripada unsur-unsur pokok dalam peradaban Barat; aliran kemanusiaan Barat sekular (western secular humanism) menekankan aliran mencari penyelesaian tentang masalah-masalah manusiawi yang biasa tanpa merujuk kepada perkara-perkara yang menyentuh kepentingan rohaniah yang mendalam. Aliran yang demikian ini adalah berlawanan dengan Islam. Keinsanan manusia dijelaskan dalam Islam dengan berdasarkan kepada hakikat dirinya sebagai makhluk rohaniah dan akliah dengan menekankan tugas-tugasnya yang suci yang tertentu, sebagai khalifah Tuhan di muka bumi dan sebagai hamba-Nya. Humanisme Barat yang sekular mencanangkan konsep manusia dan kemaslahatan dirinya dengan sekalian kelemahan-kelemahan manusiawinya dan diletakkan di atas tempat yang sedemikian tinggi, sebagai ideal; sikap ini timbul oelh kerana para pemikir Barat moden tidak mempunyai neraca untuk memandangkan manusia dari kaca mata insan yang universal. Humanisme Barat yang mendatangkan kebencanaan dalam kesenian dan ilmu pengetahuan tidk boleh diterima oleh Islam. (Cf konsep universal humanisme dalam sastera moden dalam rantau ini, yang merupakan serpihan kecil daripada secular humanism Barat yang tersasul daripada tradisi Islamiah). Humanisme yang sedemikian tidak pernah timbul dalam sejarah peradaban dan kebudayaan Islam, oleh kerana ajaran Islam tentang insan tidak mengizinkan kemunculan pemikiran yang sedemikian menyeleweng itu.

 

Suatu lagi aspek yang penting dari roh peradaban Barat ialah kesedaran tentang ciri-ciri kehidupan dan pemikiran serta budaya yang dipanggil sebagai bertaraf antarabangsa. Dan nampaknya yang bertaraf antarabangsa itu adalah pada zahirnya ditentukan norma-normanya oleh PBB yang seolah-olah mewakili keseluruhan bangsa-bangsa dunia dan aspirasi mereka yang terbaik serta dengan mengambil kira kemaslahatan yang global. Tetapi sebagai norma-norma dalam hidup budaya dan pengetahuan ianya ditentukan oleh budaya Dunia Utara yang bersifat sensate budayanya, yang bersifat kebendaan pandangan hidupnya, dan yang utilitarian dan expedient dalam etikanya. Analisa tentang budaya ini yang dikatakan mendatangkan kesedaran yang bersifat internasional, adalah sebenarnya tidak menepati apa yang dicadangkan itu.

 

Konsep antarabangsa dan norma-norma yang dicanangkan oleh pelbagai agensi itu diatasi oleh Islam dalam budanya dalam pelbagai segi, bukan sahaja dari huraian ilmu dan falsafah, tetapi juga dari segi amalinya. Islam mula-mulanya menunjukkan contoh-contoh perhubungan antara bangsa-bangsa dengan sebaik-baiknya dalam sejarah yang berdasarkan perhubungan itu di atas kebenaran dan keadilan, serta konsep makhluk sebagai ‘keluarga Tuhan’ (iyak Allah), dan juga dalam masa hadir. Muslimin di kalangan mereka sendiri mengamalkan persaudaraan Islam, tanpa mengira warna kulit dan keturunan dan dalam berhadapan dengan bangsa-bangsa lain dan agama lain, mereka mengamalkan dasar keadilan sebagaimana yang dianjurkan dalam al-Quran. Umat Islam tidak ada melakukan jenayah terhadap mana-mana bangsa dalam sejarah mereka berbanding dengan apa yang dilakukan oleh orang-orang Barat terhadap mereka di Sepanyol dan di Semenanjung Krimea; juga tidak ada berlaku peristiwa memangsakan orang-orang Yahudi sebagaimana yang diperlakukan ke atas mereka oleh orang-orang Nazi Jermn. Juga mereka tidak pernah memusnahkan nyawa manusia berbanding dengan apa yang dilakukan oleh orang-orang Barat dalam dua kali peperangan dunia; dan sekarang manusia sedang berada dalam kebimbangan takut-takut berlaku peperangan dunia ke-III yang melibatkan kuasa nuklear yang mungkin memusnahkan manusia pada para dan kadar yang tidak terkhayalkan oleh daya khayal manusia pada paras dan kadar yang tidak terkhayalkan oleh daya khayal manusia tentang kedasyatannya. Kezaliman orang-orang perseorangan yang berlaku dalam sejarah Islam tidak mencederakan dasar ini dalam ajaran Islam tentang peradaban dan sejarahya.

 

Selain itu lebih mendalam lagi, Islam mengajarkan kesedaran yang bersifat semesta atau universal, yang ada di dalam ajaran itu manusia disuruh menganggap segala yang ada sebagai makhluk Allah, dan hendaklah kezaliman dielakkan, juga Islam mengajarkan perhubungna yang bermakna antara insan dan alam tabii yang meluas itu. Ini antaranya diulaskan dengan nyata oleh Prof Nasr dalam bukunya The Encounter Between Man and Nature. Sebab itulah tafakur tentang alam tabii atau bahagian-bahagian daripadanya dianjurkan dalam Quran antaranya dalam ayat yang bermaksud: “Tidakkah mereka memerhatikan unta bagaimana ia diciptakan? Dan langit bagaimana ia dihamparkan?” (Surat al-Ghasyiah: Ayat 17- 20). Imam al Ghazali ada mengajarkan nilai dan kedudukan tafakur terhadap alam tabii, dan juga cara-cara melakukan tafakur irtu dengan panjang lebar dalam kitabnya yang terkenal Ihya’ Ulumi’d–Din dalam kitab tentang tafakur. JUga dalam hubungan dengan perkara ini boleh diingatkan bagaimana Islam mengajarkan perhubungan antara manusia sebagai alam kecil (microcosm) dengan alam tabii dan alam raya (macrosm), serta perhubungan keduanya dengan Tuhan yang merupakan Prinsip Mengatasi Segala (Metacosm). Ajaran itu bukanlah sesuatu yang disampaikan sebagai mental exercise atau latihan otak, bahkan ianya diajarkan dengan kaedah pencapaiannya di kalangan mereka yang terpilih dalm umat ini yang bersedia mengahadapi kehidupan yang penuh dengan kewajipan-kewajipan yang berat dan mencabar.

 

Tentang kedudukan sains dan teknologi yang terputus hubungannya dengan ajaran suci serta epistemologi keagamaan dan rohaniah, yang dipanggil oleh Schuon sabagai autonomous modern science and technology, maka itu sudah disentuh sedikit dalam perbincangan kita yang telah lalu dalam hubungan dengan ilmu yang sekular dan ilmu yang bersifat suci atau sacred. Demikian juga tentang keadaan ilmu dalam Islam yang semuanya berpaksikan tauhid, itu pun sudah dibicarakan dalam bahagian awal huraian ini.

 

Mungkin yang boleh ditimbulkan dalam bahagian ini ialah pengamatan kita tentang sudah ada timbulnya aliran yang dipanggil counter culture dalam pemikiran Barat tentang budaya dan ilmu pengetahuan. Antara buku-buku yang sedemikian itu ialah karangan-karangan mereka seperti Simone Weil, dengan The Need for Rootsnya antara lain, Theodore Roszak dengan bukunya Where the Wasteland Ends yang memberikan kritikan ilmiah dan intelektual serta spritual terhadap kehidupan Barat yang menyeleweng sekular yang membawa kepada berlakunya pencemaran alam sekitar yang sangat dahsyat; dan pada akhirnya beliau memberi beberapa cadangan tentang bagaimana caranya hendak mengubati suasana yang sangat parah ini demi untuk survival umat manusia dalam planet bumi ini. Karangan-karangan lain datang dari penulis-penulis yang disebut oleh Roszak dalam karangannya itu dan kerangannya yang lain, demikian juga huraian-huraian yang mengkritik suasana semasa dalam kehidupan dan nilai-nilai Barat, terutamanya dari pena Rene Guenon, A. Coomaraswamy, dan F. Schuon; termasuk ke dalam senarai mereka ini ialah seperti Schumacher, antaranya dengan bukunya Small is Beautiful and Guide to the Perplexed.

 

Jelaslah bahawa kemodenan yang merupakan doktrin yang diamalkan dalam peradaban sekarang adalah doktrin yang berlawanan dengan ajaran Islam dan tradisionalnya secara total. Tetapi bagaimanapun hendaklah diingatkan bahawa modeniti adalah penyelewengan besar, bahkan ianya adalah pemalsuan agung tanpa tara setakat ini. Damn Islam adalah hakikat yang sudah sediakala ada, yang ada, dan yang terus–meneruskan sampai ke akhir zaman. Kebenaran yang sediakala itu berlawanan dengan penyelewengan dalam kehiduapan manusia. Islam adalah paling sesuai dengan fitrah insaniah sebagaimana yang dimaksudkan oleh ayat al-Quran yang bermaksud:

 

“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah), (tetaplah atas fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah (atau kejadian Allah); itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. Dengan kembali bertaubat kepada-Nya dan bertakwalah kepada-Nya serta dirikan sembahyang, dan jangan kamu termasuk orang-orang yang mempersekutukan Allah, iaitu orang-orang yang memecah belah agama mereka dan mereka menjadi beberapa golongan. Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang ada pada golongan mereka.” (Surah Rum 30-32, Tr. Dept. Agama Jakarta).

 

Jelas ianya sesuai dengan fitrah insaniah, maka ianya dengan semua masa, kerana ianya adalah timeless, tidak tertakluk kepada masa. Yang berubah-ubah adalah suasana dalam kehidupan manusia kerana runtunan nafsu mereka bukannya kerana fitrah manusia berubah.

 

Untuk menunjukkan bagaimana relevannya Islam dan kebudayaannya pada manusia zaman ini, kita boleh membuat beberapa pengamatan berkenaannya; antaranya ialah sebagaimana berikut:

 

  • Islam dan kebudayaannya yang mengajarkan kebenaran untuk insan dalam erti kata insan dengan kepenuhan dan luasan sifat insaniah yang keadaannya tidak berubah-ubah itu adalah sangat-sangat diperlukan, apalagi pada zaman sekarang bila mana ramai manusia yang dipengaruhi oleh ajaran-ajaran palsu zaman ini; ajaran-ajaran dan nilai-nilai palsu itu hanya boleh dihadapi cebarannya oleh kebenaran dari Islam dan kebudayaannya sebagai ajaran fitrah yang sediakala ada dan terus-menerus akan ada. Dan lanjutan dari hakikat ini boleh dikatakan bahawa kalaulalh ada kritrikan akliah dan rohaniah terhadap zaman ini yang diberikan oleh seseorang berdasarkan kepada kebenaran Islam, tradisinya serta kebudayaannya, maka itu adalah merupakan suatu sedekah yang sangat mahal kepada manusia zaman ini kalaulah mereka boleh memahami harganya. Oleh itu hendaklah kritikan itu diterima dengan berlapang dada dan bukan dihadapi dengan semangat bangga diri dan rasa tinggi diri (superiority complex).
  • Kebudayaan Islam memang diperlukan oleh manusia zaman ini oleh kerana di dalamnya diberikan huraian kedudukan sebenar antara kontemplasi dengan kegiatan lahiriah dalam kehidupan dan peradaban manusia, tanpa melupai mana-mana seginya yang diperlukan. Peradaban sekarang sedang berada dalam bahaya yang sangat besar oleh kerana ia terlalu menekankan kegiatan lahiriah tanpa memperdulikan soal kontemplasi dan pemusatan di atas kebenaran sebagai yang diajarkan oelh agama samawi terakhir, iaitu Islam. Dengan itu penglibatan manusia dalam Islam dan kebudayaannya yang murni menjadi sebagai ubat penawar yang boleh menyembuhkan diri manusia serta kehidupan dan budayanya daripada kehiduapan pincang dengan penumpuan kepada kehidupan kebendaan tanpa dimensi rihaniah sewajarnya yang menyelamatkannya.
  • Islam dan kebudayaannya sangat-sangat diperlukan oleh manusia sekarang ini oleh dia mengajarkan serta dengan memberikan contoh sejarahnya sekali konsep ilmu yang sebenarnya beserta dengan perlaksanaan ilmu-ilmu itu dalm peradaban manusia yang natijah-natijahnya yang menyelamatkan boleh disaksikan oleh mereka yang berpandangan objektif. Dengan itu maka bahaya-bahyay yang timbul dari konsep ilmu yang palsu serta perlaksanaan ilmu secara palsu boleh diberikan koreksi oleh Islam dan kebudayaannya; dan tamadun Islam itu boleh merupakan pemberi isyarat tentang apa yang sepatutnya dilakukan dalam hubungan dengan soal ini.
  • Islam dan kebudayaannya sangat-sangat diperlukan untuk memberi kesedaran kepada manusia–manusia moden tentang kedudukan menusia serta kejadian dirinya dan struktur dirinya yang sebenarnya dilihat dari sifat-sifat keutamaan yang mseti dimilikinya. Tanpa ajaran demikian dari Islam dan kebudayaannya, insaniah dari diri dan kehidupan manusia akan hilang.
  • Islam dan kebudayaannya sangat-sangat diperlukan untuk menunjukkan kepada manusia kepalsuan ajaran meterialisme, atau aliran falsafah kebendaan, yang berupa seperti dajal mata sebelah yang membawa kepada manusia syurga dan neraka palsu, yang menjerumuskan manusia ramai ke dalam neraka dan menjadikan mereka itu terluput syurga. Tanpa ajaran Islam yang mujarab dan panduan budaya Islam yang murni, manusia akan terus hidup dalam alam kebendaan yang meyesatkan mereka seterusnya. Dan memang dalam punca-punca tradisional Islam ada dinyatakan bahawa pada akhir zaman Islam akan meyelamatkan manusia ada dinyatakan bahawa pada akhir zaman Islam akan menyelamatkan manusia daripada meterialisme sebagai suatu ‘campur tangan’ daripada Tuhan sendiri yang menzahirkan rahmat-Nya yang meliputi.
  • Islam dan kebudayaannya sangat-sangat diperlukan oleh manusia zaman kini untuk mengubati mereka daripada penyakit rasionalisme yang membawa mereka bergantung kepada fakulti rasional batas itu, yang membawa kepada mereka pelbagai kebencanaan. Kritikan terhadap rasionalisme yang menyesatkan itu merupakan hadiah yang tidak ternilai harganya bagi manusia yang menyedarinya.
  • Islam dan kebudayaannya juga diperlukan oleh kerana ianya boleh memberi panduan kepada manusiai yang banyak menghadapi mala petaka kerana kesilapan mereka dalam memberi penilaian tentang kebebasan dan dalam melaksanakan kebebasan yang tersilap itu dalam hidup dan budaya mereka.
  • Islam dan konsep kebudayaannya sangat-sangat diperlukan untuk manusia supaya ianya boleh memberi panduan kepada mereka dalam memahami kedudukan teknologi dalam kehidupan serta bagaimana hendak melaksanakan teknologi itu supaya natijah-natijahnya mendatangkan kebaikan untuk manusia dan kesan-kesan negatifnya dielakkan. Dalam hubungan dengan konsepsi Islam tentang teknologi dan perlaksanaannya boleh memainkan peranan dalam memberi panduan itu. (Cf dalam bidang perekonomian dalam mana sistem kewangan tanpa riba sudah mula diakui sebagai sesuatu yang perlu dilaksanakan demi kebaikan dalam bidang ini).

 

Dan selain dari itu perlulah diingatkan bahawa Islam sebagai al-din, iaitu agama dan tradisi sebenarnya menyelamatkan manusia sekarang oleh kerana beberapa perkara:

 

  1. Islam memberikan kepada insan huraian tentang perhubungan yang tepat antara manusia, Tuhan dan alam sekitarnya, dan alam semesta seluruhnya.
  2. Ia memberikan kepada manusia kaedah perlaksanaan tugas rohaniah, demi untuk menjadikannya berjaya sebagai makhluk rohaniah serta berhubung dengan Tuhan yang menjadikannya. Kebahagiaannya terletak pada perlaksanaan tugas rohaniah yang murni yang menyelamatkannya.
  3. Ajaran Islam dan budayanya membantu manusia dalam memberikan kepada ajaran tentang kepentingan sifat-sifat keutamaan dan perlaksanaan sifat-sifat keutamaan itu dalam diri dan kehidupannya; inilah yang menjayakan kebenaran dalam diri dan masyarakat serta peradaban yang didukungnya.
  4. Islam dan ajaran kebudayaannya memberikan kepada manusia aturan-aturan kehidupan yang lengkap dari masalah-masalah sekecilnya, sampailah kepada masalah yang sebesarnya melalui sistem syariat yang puncanya adalah transenden, berbeza daripada undang-undang bikinan manusia yang tidak boleh mencapai darjah penghormatan sebagaimana yang boleh didapati pada sistem yang transenden itu. Manusia boleh membina peribadi sebagai khalifah Tuhan di muka buni serta membentuk kehidupan peradaban dan budayanya berdasarkan kepada sistem yang lengkap itu. Inilah hadiah yang tidak terkira harganya untuk kemanusiaan dam rupa sistem hidup yang lengkap yang perlu dijalankan oleh manusia untuk kebaikan sendiri, dan untuk mengelakkan peradaban daripada menjadi mangsa kezaliman sistem bikinannya sendiri serta penyalahguna kekuasaan yang menindas manusia dari Timur sampai ke Barat.

Sudah tentu kehidupan Islam dan kebudayaannya bukanlah sesuatu yang timbul dari kekosongan. Ianya adalah sesuatu yang keluar dari mata air yang bersih. Mata air punca atau punca mata air itu adalah masyarakat Islam itu sendiri yang individu-individu di dalamnya melaksanakan kehidupan mereka mengikut iltizam mereka kepada Islam. Maka untuk mendapatkan natijah demikian itu perlulah umat Islam berusaha dengan itu rahmat kehidupan Islamiah dan budaya Islamiah yang murni muncul di kalangan kita sebagai air bersih yang menghilangkan haus akliah dan rohaniah kita seta membersihkan kehidupan kita. Apakah yang perlu dilakukan oleh indivdu Muslim dan masyarakat mereka?

Antara perkara-perkara yang perlu dilakukan sekarang ialah hendaklah semua orang Islam menyedari kedudukan tradisi Islamiah mereka sendiri serta ciri-cirinya, dan kepentingan mereka kembali kepadanya.

Selain daripada itu sudah tentulah perlu diulang-ulangkan keperluan Muslimin kembali kepada akidah mereka yang sah serta mengenali hakikat–hakikat dalam akidah itu serta penyelewengan-penyelewengan daripadaya, baik yang datang dari pemikiran masyarakat lama di Timur dan juga penyelewengan-penyelewengan daripada sistem pemikiran Barat moden dalam berbagai bentuknya, termasuk positivisme, humanisme, historisisme, sainstisme, liberalisme, utilitarianisme dan sebagainya. Juga perlulah mereka mengenali dengan rapatnya tugas-tugas kerohanian mereka dan melaksanakan tugas-tugas itu dalam pengertiannya yang luas, selain daripada pengertiannya yang khusus. Demikian juga perlulah mereka kembali kepada nilai-nilai etika dan akhlak Islamiah yang membantu dalam pembentukan peribadi unggul sebagaimana yang dikehendaki dalam konsep insan sabagaimana yang diajarkan oleh Islam; dan dalam skima kehidupan Islam, hendaklah setiap individu Muslim mengenali secara rapat ajaran-ajaran dan nilai-nilai syariat dalam semua aspek kehidupan dan melaksanakan ajaran-ajaran serta ketentuan itu dalam hidup amaliah mereka; kalau tidak Islam hanya menjadi ‘intelektual Islam’ dan bukan sesuatu yang dihidupkan dalam masyarakat manusia dan dalam pembentukan peribadi yang dikehendaki.

Dalam hubungan dengan ini juga perlu diadakan usaha yang terencana dalam menjayakan penterjemahan teks-teks penting dan asasi dalam tafsir Quran, hadis, sirah, hikmah, akhlak, sains dan sebagainya, juga ilmu kemasyarakatan yang merupakan ilmu-ilmu yang berbentuk dalam alam tradisional Islam. Ini adalah untuk menjadi asas bagi generasi kita mengenali tradisi akliah dan rohaniah Islam daripada punca asalnya. Di atas kesefahaman yang kukuh sedemikian ini boleh dibinakan usaha-usaha untuk memberi penyelesaian kepada persoalan-persoalan dalam bidang budaya ilmu dan budaya umumnya yang dihadapi sekarang ini. Mungkin konsep memperkenalkan Hundred Islamic Books patut diperkenalkan melalui penterjemahan yang terancang.

Dan dalam hubungan dengan ini program penterjemahan yang sedang diusahakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan direstui oleh pihak Kementerian Pendidikan mungkin boleh diperluaskan lagi skopnya dan dijadikannya lebih dipentingkan lagi; bahkan ianya adalah sesuatu yang urgent. Pernah dalam suatu persidangan sastera di USM beberapa tahun dulu saya membuat cadangan supaya diadakan terjemahan klasik dalam sastera Islam untuk memperkenalkan tradisi Islam dalam bidang ini sebelum kita menghasilkan sesuatu yang baru dan asli dalam erti kata yang kita dikehendaki. Saya ulangkan sekali lagi cadangan itu di sini, moga-moga ianya diteruskan dengan usaha yang berganda lagi, serta dengan mendapat sokongan dari semua pihak yang berkenaan, demi untuk menjayakan program kita mengenali kembali tradisi Islamiah yang maha kaya dan bernilai tanpa tara itu. Dan mungkin penterjemahan teks-teks Islamiah yang fundamental dalam semua bidang ini, sebab ianya memerlukan kepakaran dan juga persiapan-persiapan lain yang berkaitan dengannya, kerana iannya tidak boleh dilakukan dengan secara sambilan sahaja. Dengan usaha beginilah antaranya kita boleh mulakan usaha untuk menanamkan kefahaman apa itu tradisi Islamiah-the Islamic tradition-sebenarnya dikalangan masyarakat kita. Sudah tentu kita boleh sebutkan badan-badan seperti ASASI dan institut-institut pengajian tradisional secara Islam yang perlu memberi kerjasama dalam rangka kerja sedemikian ini.

Dan rasanya perlu juga disebutkan bahwa dalam hubungan dengan ini diperkenal pendekatan yang ada dalam ‘Traditional Studies’ sebagaimana yang dibinakan bidangnya oleh mereka seperti Rene Guenon, A.K. Coomaraswamy, F. Schuon, Hossein Nasr dan Martin Lings, antara lainnya, untuk membantu kita mengambil pendekatan yang bermanfaat dalam rangka usaha kita memahami kembali tradisi Islamiah, dan juga dalm menghadapi pemikiran Barat moden ini, demi untuk menjaga kesucian tradisi dan pemikiran kita serta mempertahankan diri dalam menghadapi pemikiran sekular Insya-Allah Tuhan akan menolong kita.

Nota:

 

Selain daripada Kamus Dewan, Teuku Iskandar, 1970 boleh dilihat kamus-kamus seperti Wilkinson dan Winstedt dalam hubungan dengan ini. Dalam bahasa Inggeri boleh dilihat The Oxford English Dictonary, 1933 terdiri daripada 12 jilid… “culture”. Dalam hubungan dengan kebudayaan umumnya boleh dilihat Polemik Kebudayaan (ed) Sultan Takdir Alisjhabana; Jakarta: Pustaka Jaya 1948, antaranya boleh dilihat tulisan Dr. Zainal Kling, “Konsep Kebudayaan Kebangsaan”, dalam Ideologi dan Kebudayaan Kebangsaan. (ed) Dr. Wan Abdul Kadir Yusoff dan Zainal Abidin Borhan, Jabatan Pengajian Melayu, 1985; juga Muhammad Abu Bakar, “Pengislaman, Pembudayaan dan Pertembungan Budaya di Malaysia”, dalam sumber di atas; juga elok diberikan perhatian kepada Rumusan Seminar Dasar I bertajuk “Unsur-Unsur Budaya Tradisional dengan Keperibadian Kebangsaan Malaysia”, dalam Asas Kebudayaan, Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, Kuala Lumpur, 1973; juga buku Orang Melayu; Masalah dan Masa Depannya oleh Prof Dr. Syed Husain Ali, 1979.

Antara buku-buku yang boleh dimanfaatkan untuk memahami kebudayaan sebagaimana unga diungkapkan oleh sarjana Barat, termasuk: Edward Sapir, Culture Language, and Personality, (ed) David G. Mandelbaum, Berkerly-Los Angeles, 1970; Ralph Linton, The Tree of Culture, New York, 1957; T.S. Eliot, Towards the Definitions of Culture, New York 1949; Simone Weil, Selected Essays, London, 1962; Ralph Linton, The Study of Man: An Introduction, New York: Appleton Century-Crofts, 1936. F. Allan Hanson, London-Boston, 1975; Theodore Roszak, Where The Wasteland Ends, Politics and Transcendence in Postidustrial Society, London 1973; dan tentang Islam, lihat Ismail Raji al-Faruqi (ed), Islamic Thought and Culture, IIIT, 1982; Dr. Muhammad Faruq al-Nabhan, Mabadi’ ath-Thaqafah al-Islamiah, Kuwait, 1974, antara lainnya. Wallahuaklam.

Tentang Istilah-istilah itu bolehlah didapati maklumat-maklumatnya dalam kitab-kitab kamus Arab seperti Tajul ‘Arus, Lisan al-Arab, at Tahanawi dan sebagainya. Di antara punca-punca Barat yang klasik yang boleh dimanfaatkan dan kemudan boleh dibandingkan dengan asalnya ialah karangan Lane, Arabic-English Lexicon, terdiri daripada 8 jilid; yang supplemennya dihabiskan oleh anaknya. Punca-punca ini boleh membantu kita di dalam memahami istilah-istilah din millah, thaqafah, hadarah, dab, ummah dan tamadun.

Tentang perbincangan berkenaan dengan perjalanan masa sebagaimana yang difahamkan dalam pendangan tradisonal lihat Abu Bakar Siraj Ed-Din, Islamic and the Christian Conception of the March of Time, The Islamic Quarterly, London.

Mengikut Imam al-Ghazali dalam Misykatul–Anwarnya tiap sesuatu yang ada dalam alam zahir ini mempunyai pengertian di sebaliknya. Demikian juga dengan sesuatu kenyataan yang ada dalam Quran dan hadis ada mempunyai pengertian-pengertian yang bersifat kerohanian, di sebalik apa yang nyata itu. Orang yang mempunyai ilmu yang tepat dan benar menerima kedua-dua realiti itu.

Antara buku-buku Titus Burckhardt yang bermanfaat dari segi hendak memahami ajaran-ajaran suci, sebagai latar belakang memahami kesenian ialah seperti An Introduction to sufi Doctrine Lahore, 1959; – “Arab or Islamic Art?” dalam the Sword of Gnosis, ed Needleman, Penguin Metaphysical Library, 1974, 317-329; -, “Cosmology and Modern Science”, ibid, 1222-178;-, “Perennial Values in Islamic Art”, ibid., 304-316;, Sacred Art In East and West, London 1967;

Perbezaan yang fundamental antara modeniti dan spirit tradisional dibicarakan dengan mendalamnya oleh Rene Guenon, dalam The Crisis of Modern Man, dan The Reign of Quantity and the Signs of the Times. Dan sebelum ini penulis ini menyentuh tajuk ini dalam Islam dan Kebudayaan Melayu, terb K.K.B.S., Kuala Lumpur, 1977, 62-89.

Tentang wahdatul-wujud yang sebenarnya (yang disilap fahamkan sebagai pantheism, walhal itu adalah tidak tepat), di kalangan sajian moden dihuraikan dengan jayanya oleh Martin Lings dalam bukunya, A Muslim Saint of the Twentieth Century: His Spritual Heritage and Legacy, London: George Allen & Uwin 1961, oleh Martin Lings and The Three Muslims Sages, oleh S.H. Nasr, salain daripada punca-punca tradisional seperti Ihya’ ulum’d-Din oleh Imam al-Ghazali, Moden Pustaka Indonesia 1966 dan yang sebagainya.

Tentang kesatuan ilmu-ilmu dan pentarafan ilmu-ilmu boleh dilihat huraian yang jelas oleh S.H. Nasr dalam Science and Civilization in Islam, Cambridge-Massachusetts, 1968; Islamic Science, An Illustrated Study, London, 1976; An-Introduction to Islamic Cosmological Doctrines, Cambridge-Massachusetts, 1964; dan Islam and the Plight of Modern Man, London, 1975.

Antara karangan-karangan Roszak yang lainnya ialah The Making of a Counter Culture dan juga The Dissenting Academy (sebagai editor). Selain daripada pemikir-pemikir demikian ini boleh kita menyebut mereka yang lain yang membuat kritikan mendalam tentang sistem Barat baik dari segi metafizika, ideational, institusi, dan sebagainya seperti Roger Garaudy, yang kemudiannya memeluk agama Islam. Antara buku Garaudy yang sangat menarik perhatian kita ialah Mencari Agama pada Abad XX Wasiat Filsafat Roger Garaudy, Indonesia oleh Prof Dr. H.M. Rasjidi, Jakarta, 1986. Terima kasih banyak diucapkan kepada sahabat kita Dr. Kamal Hassan kerana maklumatnya. Di dalam buku ini dinyatakan keyakinannya kepada penghidupan kembali kebudayaan Islam di atas dasar pembentukan peribadi yang berdasarkan konsep insan yang sempurna, mencakupi keperibadiannya yang hakiki serta dengan kaedahnya; konsep masyarakat dan ummah yang transenden sifatnya dan puncanya, serta nilai-nilai dalam islam yang positif yang membangunkan manusia dan budayanya di atas dasar-dasar teguh mulai daripada Tradisi Ibrahimiah.

____________________________________________________________________________________

*    Kertas kerja ini dibentang di Siri Forum PEMIKIR BUDAYA I

Anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka

Pengembalian Semula Kepada Fahaman & Penghayatan Faham Ilmu Ahlis-Sunnah Dalam Konteks Alam Globalisasi Masakini

pernah disiarkan di laman lama pada September 2002

***********************

بسم االله الرحمن الرحيم

نحمده و نصلى على رسوله لكريم

PENGEMBALIAN SEMULA KEPADA FAHAMAN & PENGHAYATAN FAHAM ILMU AHLIS-SUNNAH DALAM KONTEKS ALAM GLOBALISASI MASAKINI

OLEH:

MUHAMMAD ‘UTHMAN EL-MUHAMMADY

Pendahuluan:

Perbuatan kembali semula kepada fahaman dan penghayatan faham ilmu Ahlis-Sunnah wal-jama’ah memaksudkan bahawa pusat rujukan kita sebagai Muslimin adalah faham ilmu atau epistemologi Ahlis-Sunnah wal-Jama’ah yang baku, menyeluruh dan sepadu itu sebagai tempat sandaran terakhir dalam fahaman dan amalan serta nilai-nilai kita. Juga maknanya bahawa rantau Melayu ini – apa lagi Malaysia – adalah rantau yang telah menerima fahaman ilmu Ahlis-Sunnah sebagai fahaman yang baku dan mengamalkannya dari segi hidup individu dan kelompok dengan beberapa darjah kejayaannya dalam zaman yang sekian lama semenjak awal kedatangan Islam sampai sekarang.

Maka semua persoalan-persoalan yang membabitkan pegangan, fahaman, nilai dan prinsip kehidupan manusia mesti kembali kepada rujukan yang sedemikian itu. Perbuatan tidak mempedulikan rujukan itu – atau menggunakan rujukan lain dalam bidang yang berkenaan – dengan implikasi-implikasinya, adalah perbuatan yang mempunnyai implikasi yang paling berat dari segi keyakinan, kebenaran, ilmu dan juga sifat homogen rantau ini.

Ia sekaligus perbuatan menyanggah kebenaran yang diakui dan terbukti dan menyemai bibit-bibit penyelewengan intelektuil dan juga kemusnahan budaya dan pembangunan umat dilihat dari segi jangka panjangnya, apa lagi kalau dilihat dari segi kepentingan yang kekal abadi dari segi rohani umat manusia. Allahumma sallimna wal-Muslimin.

Maka pengembalian semula kepada faham ilmu Sunni ini dan penghayatannya, atau penegasannya semula, adalah pengembalian kepada jati diri kita sebenarnya sebagai Melayu yang beragama Islam itu sudah menjadi penentu bagi harga dirinya. Sikap ini melibatkan juga cara kita melihat isu-isu semasa yang dihadapi oleh umat kita ini, termasuklah cara kita melihat apa yang disebut sekarang sebagai “Islam dari segi ketamadunan” atau “Islam hadhari” itu.

Kembali Kepada Ahlis-Sunnah wal-jama’ah:

Bererti kembali kepada maksud hadith Nabi s.a.w. yang menyebut bahawa dari 73 golongan dalam umat, yang selamat hanyalah mereka yang “mengikut perjalanan hidup baginda dan para Sahabatnya”, golongan yang disebut sebagai “jamaah yang selamat” (“al-firqah al-najiyah”), atau golongan majoriti umat (“al-sawad al-a’zam”), yang disebut oleh sekurang-kurangnya dua hadith sebagai “Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah”.

Bererti kembali kepada fahaman dan huraian tentang rukun Iman yang enam tentang Allah, Rasul-rasul, para malaikat, kitab-kitab suci dari langit dan wahyu, akhirat, dan qadha’ dan qadar sebagaimana yang ada dalam teks-teks yang diakui dalam kalangan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah seperti teks-teks dari Imam Abu al-Hasan Al-Asy’ari rd, al-Baqilllani, al-Baghdadi, al-Ghazali, al-Razi, al-Sanusi, dan yang di Nusantara oleh al-Falimbani, al-Fatani dan lainnya; juga menghuraikan implikasi-implikasi daripada yang semua itu mengikut huraian-huraian mereka.

Bererti kembali kepada fahaman dan perlaksanaan tugas-tugas kerohanian sebagaimana yang ada pada mereka yang arif tentangnya seperti Imam Syafi’I, Imam al-Ghazali dan yang sepertinya, serta para ulama yang mengikut perjalanan mereka. Ini adalah dengan memahami syarat rukun dan adab-adabnya, dengan aspek-aspek lahir dan batinnya.

Bererti kembali kepada ciri-ciri akhlak yang mulia – zahir dan batinnya sebagaimana yang dihuraikan oleh mereka, seperti Imam al-Ghazali rd dengan kitab “Ihya’ ‘Ulumi’d-Din” dan lainnya dengan teks-teks yang berinspirasikannya yang datang kemudian.

Ini juga bererti kembali kepada fahaman dan amalan menghayati hidup Shari’at mengikut Imam Syafi’I rd – bagi rantau kita – dengan tambahan-tambahan seperlunya dalam menghadapi persoalalan-persoalan baru zaman  ini, termasuk masalah-masalah yang timbul dalam arus globalisasi sekarang ini.

Ini juga memaksudkan melihat persoalan-persoalan dalam bidang ini mengikut kaedah atau metodologi mereka yang arif dalam bidang ini, yaitu usul al-fiqh, dan memutuskan persoalan-persoalan yang berkenaan dengan setiapnya berdasarkan kepada metodologinya yang sesungguhnya, tanpa pengkhianatan.

Juga ia memaksudkan kembali kepada maksud-maksud kegiatan ketamadunan dan peradaban serta sejarah dan pengajarannya sebagaimana yang diulas oleh Ibn Khaldun dalam teksnya yang paling terkenal “al-Muqaddimah”, dengan penambahan maklumat-maklumat baharu seperlunya, mengikut perkembangan semasa. Antaranya ialah

  1. Konsep asabiyahnya yang seminal dan rasional dan perlu diperkasakan untuk perpaduan umat Islam sebagai “nucleus” di negara ini;

  2. Budaya ilmu dan budaya berfikir secara sistematis yang dipupuknya;

  3. Kepentingan kebiasaan-kebiasaan dan amalan adat yangt teguh dan teratur termasuk kemahiran yang terbentuk dan perlu terbentuk dalam budaya hidup menetap di kota-kota; ini semua menguatkan masyarakat dan tamadun;

  4. Huraiannya yang mementingkan ahli ilmu mencapai “malakah” atau kecekapan ilmiah taraf tinggi dengan kaedah-kaedahnya, demikian seterusnya.

  5. Huraiannya berkenaan dengan gejala-gejala buruk yang menunjukkan masyarakat dan tamadun sedang menunggu keruntuhan, yang perlu difaham dengan mendalam dan dielakkan penularannya.

  6. Aspek-aspek perkembangan peradaban yang mendatangkan kekuatan kepada umat yang perlu difahami, termasuk aspek pembangunan “akal tambahan” dalam umat yang mendatangkan kekuatan, sebagai gandingan kepada perpaduan dalam assabiyah dan juga keimanan kepada pegangan agama yang kuat.

Dalam Hubungan Dengan Persoalan-Persoalan Umat Yang Dihadapi – Ada Beberapa Perkara Yang Perlu Diamati:

Kewujudan pegangan-pegangan sesat yang berlawanan dengan aqidah Ahlis-Sunnah yang perlu ditangani dengan segera: ajaran-ajaran tarekat sesat yang meringan-ringankan Syara’ dalam ajaran yang mengajarkan “sembahyang niat”, “nikah batin”, “ayat mutasyabihat” (yang ditafsirkan sebagai persetubuhan dengan guru sebagai syarat untuk mendapat pangkat kerohanian yang tinggi), ajaran yang menafsirkan ibadat haji sebagai amalan yang sia-sia, lalu diadakan tawaf di tempat tertentu yang selain daripada Mekah, ajaran yang menandang gurunya sebagai “bayangan Imam Mahdi”, atau “wakil Mahadi”,  atau gurunya “percakapannya seperti Qur’an, kalau membantahnya maka seperti membantah Qur’an”, ajaran yang menyebut “jemaahnya adalah jemaah Nabi Muhammad” atau “selepas Jemaah Nabi Muhammad maka tidak ada jemaah utama seperti jemaahnya sehinggalah datang Imam Mahadi”, demikian seterusnya; atau ajaran yang mengatakan “sesiapa yang menentang jemaahnya menjadi kafir”, atau suasana sekarang semua orang “kafir dari segi rohani” kerana dunia semuanya sekular, kawasannya atau jemaahnya sahaja yang tidak sekular, atau ajarannya “perkahwinan sekarang di zaman fitnah, maka tidak boleh berkahwin, kalau berkahwin itu membanyakkan manusia-manusia yang kafir”; atau yang mengajarkan bahawa ulama tidak boleh dipakai lagi, semua mesti difikir sendiri, walaupun orang yang berkenaan tidak mempunyai kredibiliti dari segi ilmunya. Demikian seterusnya.

Kemerosotan akhlak yang sangat membahayakan dengan banyaknya salah laku dalam masyarakat dan keluarga;

sumbang muhram; (antara anak dengan ibu bapa, sesama adik beradik, datuk dengan cucu, anak saudara dengan bapa saudara atau emak saudara, demikian seterusnya, bahkan yang melibatkan binatang dengan manusia. Subhana’Llah);

rasuah di kalangan mereka yang tidak di sangka-sangka; salah laku di kalangan mereka yang tidak di sangka-sangka;

amalan sihir yang berkembang dalam masyarakat, termasuk yang memecah-belahkan keluarga, yang merosakkan perniagaan, hubungan keluarga dan jiran-jiran, amalan menyedut wang  atau mencari harta karun (yang dikatakan oleh Ibn Khaldun sebagai penipuan dan perbuatan yang bodoh); amalan memelihara jin, toyol (sampai ada cerita kononnya toyol boleh dibeli di Mekah!);

setengah kalangan pula ada yang menyebut selepas haji boleh mengambil harta orang bukan Islam, sebab tidak ada dosa (kalau semua beramal dengan ajaran ini maka umat Islam tidak akan dipercayai oleh sesiapa lagi dalam dunia ini, sebab kelihatan penganutnya memakai “nilai ganda”; teringat kita kepada cerita bagaimana bila di Ulu Kelantan diajak orang-orang asli kepada agama Islam, bila dikatakan Islam itu ialah agama seperti yang diamal oleh Orang Melayu, mereka menjawab mereka tidak mahu agama seperti itu sebab agama itu menyebabkan Orang Melayu mencuri ubi mereka, mengganggu anak isteri mereka, dan mengambil harta mereka sewaktu mereka pergi ke hulu sungai untuk berburu dan sebagainya; agama yang seperti ini mereka tidak mahu, bahkan mereka serik dengan agama yang seperti itu. Akhirnya sebelum didakwahkan orang asli maka diperlukan seruan dibuat dahulu kepada masyarakat Islam yang berhampiran dengan mereka supaya berperangai dengan perangai yang sangat baik dengan jiran mereka dari kalangan orang-orang asli; selepas itu baharulah orang-orang asli itu rela menerima agama Islam.

Juga pada paras yang lain pula kisah salahguna kuasa, pangkat, dan harta, dan seterusnya. Ini semua memerlukan penyelesaian yang berkesan, yang boleh dikaitkan dengan penegasan kembali nilai-nilai akhlak dalam ajaran nilai-nilai Ahlis-Sunnah wal-Jamaah.

Termasuk dalam perkara-perkara negatif bahagian ini: perpecahan yang berlaku dalam masyarakat Islam kerana kelainan ideologi politik yang merosakkan hubungan di kalangan ahli masyarakat, ahli masyarakat dengan para pemimpin, dan rakyat dengan wali al-amr; timbul budaya “anti-establishment” di atas nama “jihad”, yang dikaitkan dengan ajaran dari pengarang-pengarang terkenal seperti Syed Qutb dan Syed Abul A’la al-Maududi dan sebagainya; timbul dan berkembang cara berfikir yang berpunca daripada Muhammad bin ‘Abd al-wahab yang muncul di abad ke-18 itu, yang antaranya mengajarkan: sesiapa yang berdoa di kubur orang-orang soleh yang sudah meninggal dunia untuk mendapat keberkatan, atau untuk bertawasul, atau untuk mendapat syafaat, maka ia syirik, kafir, maka halal darahnya, halal hartanya dirampas; dikatakan bahawa keadaan berubah dalam umat sehingga pada kebanyakan orang menyembah orang-orang soleh itu amalan yang paling afdhal dipanggil sebagai martabat wali, dan menyembah orang-orang ahli dalam hukum-hukum agama adalah ilmu dan fahaman yang dalam; kemudian dikatakan keadaan berubah lagi menjadi teruk sehingga yang disembah itu bukan lagi orang soleh, atau yang disembah itu orang jahil; maka dalam aliran itu timbul penafsiaran orang-orang yang mengikut imam-imam dengan bertaklid menjadi syirik dan kafir, sama dengan maksud ayat Qur’an yang bermaksud “Mereka mengambil ahli-ahli hukum agama mereka dan ahli ibadat mereka sebagai tuhan-tuhan selain daripada Allah,” walhal ayat itu ditujukan kepada Ahlil-Kitab yang mengambil paderi-paderi dan rahib-rahib sebagai otoritas-otoritas terakhir mewakili Tuhan; kemudian golongan ini memasang ayat ini kepada orang-orang Ahlis-Sunnah wal-jamaah. Cara berfikir demikian menyebabkan timbulnya usaha menentang kerajaan Othmaniyah Turki, kerana kononnya Islam pada kerajaan itu penuh dengan kesyirikan dan bid’ah; selepas Muhammad ibn Abd al-Wahhab terus menerus penentangan berlaku, dengan meminta bantuan British dan Perancis; akhirnya runtuhlah kerajaan dan khilafah itu; maka jadilah umat Islam seperti anak-anak tanpa bapa, dipermain-mainkan oleh Barat dalam hubungan antarabangsa sampai sekarang. Dunia Melayu mesti berusaha mengecualikan diri daripada cara berfikir dalam agama seperti yang dibawa oleh Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab dan orang-orang yang seperti beliau itu. (Pengajarannya ialah kalaulah kerajaan ‘Othmaniyyah Turki jatuh berkaitan dengan adanya cara berfikir seperti ini, maka yang selain daripadanya pun boleh jatuh dan musnah).

Maka perlu diberi penegasan kembali terhadap “rukun-rukun masyarakat Islam” seperti yang disebut dalam Surah al-Hujurat, yang menyebut persaudaraan antara orang-orang beriman, mesti sahkan berita yang didengar jangan dipercayai terus dan diamalkan, jangan menyindir-nyindir, mengeji-ngeji sama sendiri, jangan mengumpat, jangan mengorek-ngorek aib orang lain, atau golongan lain dalam masyarakat, jangan saling gelar-menggelar dengan gelaran yang buruk, hendaklah mendamaikan dua saudara yang berselisih; demikian seterusnya; dalam Surah al-Fath disebut orang-orang yang “bersama-sama dengan Nabi itu keras dan tegas dengan kuffar (yang berseteru dengan Islam dan Muslimin) dan kasih saying sama sendiri”, dan “jiwa Nabi s.a.w.” pula di akhir surah at-Taubah disebut dalam ayat yang bermaksud:” Telah datang kepada kamu seorang Nabi, yang berat atas baginda itu apa yang menyusahkan kamu, dan terlalu sangat ingin baginda itu kepada semua perkara yang mendatangkan kebaikan untuk kamu, dan terhadap orang-orang yang beriman baginda terlalu amat sayangnya”.

Perlu diperkasakan kembali perpaduan Muslimin dengan menggunakan konsep persaudaraan dan kasih sayang kepada mukminin sebagai kewajipan, juga dengan menggunakann teori ‘assabiyah Ibn Khaldun untuk memperkuatkan perpaduan itu dengan berkesannya;

Juga hubungan antara rakyat dan wali al-amr mesti dirujuk kembali kepada ajaran Ahlis-Sunnah sebagaimana yang disebut dalam huraian hadith-hadith berkenaan dengannya: iaitu hubungan antara keduanya adalah dengan prinsip “al-nasihah”, dengan sikap wali al-amr sebagai “bapa” dan orang ramai sebagai “anak-anaknya”, pihak rakyat dengan sikap “mendengar” dan “taat” samada dalam perkara-perkara yang disukai atau tidak disukai, kecuali dalam perkara derhaka kepada Allah, maka tidak ada “mendengar” dan “taat”, wali al-amr dengan tanggungjawab menjaga amanah orang ramai dan keperluan serta kemaslahatan mereka, rakyat dengan kerjasama dan ketaatan mereka, dalam sembahyang bersama mereka, jihad bersama mereka, dan menunaikan zakat kepada mereka, dan lain-lain cukai yang diharuskan Syara’, serta mengajak orang ramai berdoa untuk kebaikan mereka dan berlembut hati bersama mereka, dan haram bangkit menentang mereka, sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Abul_Hasaan al-Asy’ari rd yang memaksudkan bahawa beliau memandang sesat pihak yang berpegang kepada pendapat boleh menentang wali al-amr kerana mereka tidak istiqamah dalam kebaikan, dan beliau memandang bahawa yang perlu dilakukan ialah berdoa untuk kebaikan mereka dan melakukan al-nasihah terhadap mereka. Yang mengharuskan mereka dima’zulkan ialah bila berlaku kekufuran yang nyata pada mereka. Dijauhkan Allah. Itulah pendirian Ahlis-Sunnah dalam hubungan dengan rakyat dan wali al-amr. Budaya “anti-establishment” tidak ada dalam ajaran Ahlis-Sunnah wal-Jamaah, dan itu timbul akhir-akhir ini di kalangan Muslimin kerana pengaruh dari Barat samaada secara disedari atau tidak disedari.

Dan dalam hubungan dengan cara-cara berfikir dalam agama sebagaimana yang ada dalam ajaran Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab seperti yang tertera dalam teksnya “Kitab al-Tauhid” atau “Kasyf al-Syubuhat”nya, maka kita hendak menegaskan: hendaklah Dunia Melayu ini, termasuklah Malaysia, mengecualikan diri daripada cara berfikir sedemikian ini dalam agama, dan kembali kepada ajaran Imam al-Asy’ari rd, Imam Syafi’I rd, dan Imam al-Ghazali rd; dan hendaklah ditambah dengan usaha untuk mendapat faedah daripada teks “al-Muqaddimah” karangan Ibn Khaldun rh dalam hubungan dengan bidang peradaban, budaya, tamadun, pengetahuan dan teknololgi.

Dan selepas 11 September ada pemikir Dunia Islam yang mahukan mereka yang terlibat dalam Gerakan Islam seluruh dunia supaya mengamalkan dasar ‘berkongsi kuasa” dengan pihak yang berkuasa di mana-mana dengan menggunakan demokrasi sebagai “alat” – bukan sebagai falsafah – untuk menyelamatkan keadaan untuk agama Islam dan umatnya.

Maka dengan semangat dan pengajaran daripada imam-imam dalam faham ilmu Ahlis-Sunnah wal-jamaah yang patut berlaku sekarang ini ialah orang ramai sepatutnya, bahkan mestilah mendoakan kebaikan dan kekuatan bagi mereka yang memegang urusan Muslimin dalam semua negeri-negeri Islam supaya mereka itu tidak tewas atau kalah atau gagal dalam menghadapi tekanan kuasa-kuasa luar yang hendak melemahkan semua negeri-negeri Islam seperti menuduh Muslimin sebagai pengganas-pengganas atau agama mereka sebagai agama yang mengajarkan keganasan. Mudah-mudahan Allah kembalikan maruah kepada umat Islam semuanya – Amin, dan mereka semua kembali kepada ketaatan kepada Allah – Amin.  Wallahu a’lam.

Dalam Hubungan Dengan Globalisasi:

Umat perlu mengetahui apa itu globalisasi dengan ciri-cirinya

Apa yang positif padanya, dengan teknologi maklumat padanya, dengan pasaran bebasnya, dengan hubungan global yang semakin menjadi tanpa sempadan

Dengan kesenangan mendapat maklumat dan mendapat pengetahuan serta menjalankan perdagangan dengan segera

Juga dengan bahaya-bahayanya yang menghakis nilai-nilai dan jatidiri tamadun Timur, termasuk Muslimin;

Dengan bahaya-bahaya dalam pengembangan “mono-culture” atau ”kesatuan budaya yang seragam” yang merugikan, kalau dibiarkan lenyap jatidiri dan nilai-nilai unggul serta hidup kerohanian yang sedemikian pokok itu.

Wallahu a’lam.

Beberapa Aspek Dari Pemikiran Hamka Tentang Pendidikan

pernah disiarkan di laman lama pada Oktober 2002:

******************

بسم الله الرحمن الرحيم

نحمده ونصلى على رسوله الكريم

BEBERAPA ASPEK DARI PEMIKIRAN HAMKA TENTANG PENDIDIKAN

OLEH:

MUHAMMAD ‘UTHMAN EL-MUHAMMADY

Haji ‘Abdul Malik Karim Amrullah (Hamka) (lahir 1908) -Allahu yarhamuh- adalah seorang daripada para ulama dan pemikir Islam agung di Dunia Melayu Sunni ini. Pemikiran dan ajarannya yang menyentuh pendidikan Islam antaranya boleh diperhatikan daripada hasil karya prosanya seperti “Tasauf Moden”, “Pelajaran Agama Islam”, “Falsafah Hidup”, apa lagi tafsirnya “Tafsir al-Azhar”, juga “Sejarah Umat Islam” dan beberapa karangannya lagi yang penting, termasuk “Tasauf Dari Abad ke Abad”. “Tasir al-Azhar merupakan tafsir Qur’an terbesar dalam Bahasa Melayu yang bukan bersifat terjemahan.

Untuk kertas ini, oleh kerana keterbatasan masa, maka dimanafaatkan antaranya “Tasauf Moden”, “Pelajaran Agama Islam” dan “Falsafah Hidup”, juga bahagian-bahagian yang berkaitan dari “Tafsir Al-Azhar”.

Maka dalam nota ini, insya Allah, akan diberikan perhatian kepada beberapa aspek yang menyentuh pendidikan dalam karya Buya Hamka seperti huraian psikologi rohaniah yang merupakan perkara dasar dalam pembentukan peribadi manusia, kebahagian manusia yang terletak pada pengembangan aspek-aspek itu sewajarnya, panduan ajaran Nabi selain daripada Quran dalam hal yang berkenaan, unsur-unsur yang perlu dibentuk dalam diri manusia, kepentingan membangun akal, darjah-darjah akal manusia, hubungan akal dengan ilmu, kedudukan pengalaman, kedudukan iradah dan kepentingannya, kategori-kategori nikmat Ilahi yang mesti dimenafaatkan dan disyukuri, kedudukan pengelaman hidup dalam pendidikan, kepentingan pendidikan rohani dan akhlak, pendidikan akidah, ciri-ciri peribadi yang unggul, dan pendidikan kanak-kanak dan muda mudi. Juga kategori sifat-sifat unggul  manusiawi.

Aspek-aspek pendidikan dalam karya Hamka:

Dalam berbicara berkenaan dengan hasil dari matlamat pendidikan, iaitu kebahagiaan dalam bukunya “Tasauf Moden” (terbitan Darul Nu’man, Kuala Lumpur, 1998) (hlm 14 dst) beliau menyebut dengan penuh persetujuan pendapat Imam al-Ghazali rd, iaitu:

Bahagia dan kelazatan sejati ialah bilamana (seseorang itu) dapat mengingati Allah”. Seterusnya “Ketahuilah bahagia tiap-tiap sesuatu ialah kita rasai ni’mat kesenangan dan kelazatan, dan kelazatan itu ialah menurut tabiat kejadian masing-masing, maka kelazatan mata ialah melihat rupa yang indah, kenikmatan telinga mendengar suara yang merdu, demikian pula dengan anggota yang lain di tubuh manusia.Adapun kelazatan hati ialah teguh makrifat (iaitu mengenal-p) kepada Allah, kerana hati itu dijadikan buat mengingati Tuhan. Tiap-tiap barang yang dahulunya tiada dikenal oleh manusia, bukan buatan gembiranya jika telah dikenalnya.Tak ubahnya dengan orang yang baru pandai bermain catur, dia tidak berhenti-henti bermain, meskipun telah dilarang berkali-kali, tidak sabar hatinya kalau tidak bertemu dengan buah dan papan caturnya.Demikian pula hati yang dahulunya belum ada makrifatnya, kepada Tuhan, kemudian mendapat nikmat mengenalNya, sangatlah gembira dan tidak sabar dia menunggu masa akan bertemu dengan Tuhan itu, kerana kelazatan mata memandang yang indah tadi. Tiap bertambah besar makrifat, bertambah besar pula kelazatan.

Seorang hamba rakyat akan sangat gembira kalau dia dapat berkenalan dengan wazir, kegembiraan itu naik berlipat ganda kalau dia dapat berkenalan pula dengan raja. Tentu saja berkenalan dengan Allah, adalah puncak dari segala macam kegembiraan, lebih daripada apa yang dapat diperkirakan oleh manusia, sebab tidak ada yang maujud ini yang lebih dari kemuliaan Allah. Bukankah segala kemuliaan alam itu hanya sebahagian dari anugerah Allah?Bukankah segala macam keganjilan dalam alam itu hanya sebahagian yang sangat kecil dari keganjilan Maha Kuasa Allah?

Oleh sebab itu tidaklah ada satu makrifat yang lebih lazat daripada makrifatullah. Tidak ada pula swuatu pandangan yang lebih indah daripada pandangan Allah. Sebab segala kelazatan dan kegembiraan , kesenangan dan sukacita yang ada di atas dunia ini , semuanya hanya bertakluk kepada sebab pertimbangan nafsu, dan semuanya akan berhenti perjalanannya apabila telah sampai ke batas, iaitu kematian. Tetapi kelazatan makrifatullah bukan bertakluk dengan nafsu, dia bertakluk dengan hati. Maka perasaan hati tidak berhenti sehingga mati.hati nurani ini tidak rosak lantaran perpindahan hidup dari fana kepada baka. Bahkan bila tubuh kasar ini mati, bertambah bersihlah makrifat itu, kerana tidak ada pengganggunya lagi, sebab kekuasaan iblis, hawa dan nafsu tidak sampai ke sana. Hati nurani ini telah keluar dari alam yang sempit, masuk ke daerah alam yang luas, keluar dari gelap  gelita menuju terang benderang”.

Tiga Kekuatan Dalam Diri Insan

Beliau menyebutkan pula dengan penuh persetujuan pendapat Imam al-Ghazali berkenaan dengan psikologi rohaniah bila beliau menyatakan bahawa kesempurnaan kebahagiaan manusia itu bergantung kepada tiga kekuatan dalam dirinya, iaitu:

  • kekuatan marah
  • kekuatan syahwat
  • kekuatan ilmu.

Maka manusia perlu menjalani hidup mengikut jalan tengah  dalam hubungan dengan kekuatan-kekuatan atau keinginan-keinginan itu.Jangan berlebihan menurut kekiuatan marah, kalau tidak sifat itu akan memperbudakkan orang yang berkenaanb dan membawanya kepada kebinasaan.Jangan pula berlebihan menurut kekuatan syahwat, yang menjadikan seseorang itu ahmak atau bebal yang membawa kepada kerosakan.Maka jika kekuatan  syahwat dan marah itu  ditimbang baik-baik dan diletakkan ditengah-tengahnya, luruslah perjalanan  hidup seseorang itu menuju Pertunjuk Tuhan.Demikian pula  dengan kekuatan mareah, kalau ianya berlebihan  itu membawa kepada berlakunya perbuatan memukul dan membunuh.Tetapi kalau kurang daripada yang sewajarnya , hilanglah diri dari rasa cemburu dan keghairahan yang sepatutnya, dan hilanglah rasa tanggungjawab atas agama dan keperluan hidup di dunia.Tetapi kalau marah diletak ditengah-tengahnya, timbullah kesabaran dan  keberanian dalam perkara yang memerlukan keberanian, dan segala pekerjaan dapat dilakukan menurut nikmat Tuhan.

Demikian pula dengan keinginan syahwat; kalau ianya berlebihan maka terjadilah perbuatan fasik (iaitu perbuatan melanggfar perintah Tuhan), dan onar atau huruhara.Kalau syahwat itu terlalu berkurangan, terjadilah kelemahan hati dan timbullah sifat malas dalam hidup.Kalau syahwat berjalan ditengah-tengah, timbullah pada diri orang itu sifat ‘iffah ertinya memerintah diri sendiri, dan Qana’ah, ertinya sikap merasai cukup dengan apa yang ada serta berada dalam usaha.

Beliau menukilkan lagi pendapat Imam al-Ghazali rd – yang mempengaruhinya, iaitu kenyataan nya yang bermaksud:

Di dalam batin engkau ada terkumpul beberapa sifat yang ganjil, sifat kebinatangan, sifat keganasan, dan sifat malaikat.Tetapi dirimu yang sejati ialah nyawamu, rohmu.Hendaklah engkau tahu bahawa sifat-sifat yang tersebut tadi bukan kejadian yang asli dari jiwamu, dia hanya sifat-sifat yang mendatang kemudian. Sebab itu hendaklah engkau perhatikan baik-baik dan ketahui pula makanan apakah yang setuju dengan sifat-sifat tadi, untuk pencapai bahagia.

Kebahagiaan sifat binatang ialah makan, minum, tidur dan sebagainya. Kalau dimasuki oleh kebinatangan itu lebih daripada ukuran yang mesti, tentu engkau hanya bersungguh-sungguh memikirkan makan dan minum sahaja.

Kesenangan dan kebahagiaan sifat ganas ialah memukul dan merusak.Kesenangan dan kebahagiaan Syaitan ialah memperdayakan kamu dan menjerumuskan serta menghela.Kalau sifat syaitan itu ada pada engkau, engkau akan memperdayakan orang , menjerumuskan orang kepada kesesatan, menghelah-helah,memutar-mutar duduk perkara, sebab  dengan demikianlah tercapai kebahagiaan dan kesenangan syaitan.

Adapun kesenangan dan kebahagiaan sifat malaikat ialah menyaksikan Keindahan hadrat Rububiah, keindahan Hikmat Ilahiah.Marah dan syahwat tidak terpengaruh (atau “berpengaruh”-p) atas orang yang bersifat begini. Kalau engkau mempunyai sifat dari jauhar malaikat ini hendaklah engkau berswungguh-sungguh menyelidiki asal kejadianmu, sehingga akhirnya engkau tahu, jalan manakah yang harus ditempuh untuk mencari Hadrat Rububiah itu, sampai akhirnya engkau beroleh bahagia yang mulia  dan tinggi, iaitu syahadah, menyaksikan keindahan dan ketinggian Maha Tuhan, terlepas dirimu dari ikatan syahwat dan marah.Di sanalah engkau akan mengetahui bahawa syahwat dan kemarahan itu dijadikan Allah atas dirimu, bukan supaya engkau terperosok dan tertawan, tetapi supaya engkau dapat menawannya.dapatlah  keduanya enkau pergunakan jadi perkakas untuk mencapai maksudmu menuju jalan makrifat tadi, yang satu engkau jadikan kenderaan yang lain engkau jadikan senjata, sehingga mudahlah engkau mencdapai keberuntungan, bahagia dan kesenangan.

Kalau engkau lihat salah satu anggota kerajaan hati itu melanggar undang-undang hidup, iaitu salah satu dari syahwat dan marah, hendaklah engkau lawan sepenuh tenaga .Jika dia kalah, sekali-kali jangan dibunuh, kerana kerajaan hati itu tidak akan sentosa  kalau keduanya tidak ada lagi. Kalau engkau jalankan resep demikian, tentu (engkau) akan memperoleh bahagia.Dapat engkau memegang dan mempergunakan nikmat Allah menurut yang semestinya.Tentu pada suatu peringatan kehormatan yang tinggi daripadaNya. Kalau engkau langgar pertaruh itu, tentu engkau celaka, engkau dapat seksa yang bukan seperti(nya), yang membuat engkau menyesal.” (hlm.17-18).

Kemudian beliau menyatakan persetujuannya dengan ajaran Imam utama ini  dengan mengatakan bahawa kebahagiaan itu ialah pada kemenangan memerangi nafsu daripada keinginan-keinginannya yang tidak baik, dan menahan kehendaknya yang berlebihan.Beliau menyatakan itulah perang besar, lebih daripada penaklukan negeri.Kemudian belia menyebut hadith nabi saw tentang “jihad akbar”  selepas kembali daripada “perang kecil”. Beliau menyatakan:

Maka kemenangan di dalam peperangan dengan nafsu ini ialah induk dari segala kemenangan.Kerana orang yang berperang ke medan perang itu sendiri, ada juga yang mencari nama dan kemegahan.Pada lahir ternama, pada batin amalnya belum tentu diterima Tuhan.Sedang orang yang berperang dengan nafsu itu kerapkali tidak dilihat manusia kemenangan itu lahirnya, tetapi tertulis dengan jelas di Sisi Tuhan. (hlm.18).

Ini disusuli dengan kutipan-kutipan para cendekiawan dahulu dan zaman moden berkenaan dengan masalah kebahagiaan dan hakikatnya serta jalan-jalan mencapainya.

Akhirnya selepas menyebut huraian-huraian para cendekiawan dan hukama Barat dan Timur, beliau kembali kepada Nabi Muhammad saw dan menukil hadith-hadith berkenaan dengan masalah itu. Ertinya dalam masalah pendidikan peribadi manusia beliau mendapat panduan daripada Nabi saw. Selepas daripada Quran; kemudian beliau berpandu kepada sumber-sumber lainnya.

Kebahagiaan Dalam Hadith Nabi saw

Tentang kelebihan manusia – yang menjamin kebahagiaannya- beliau menukil hadith nabi saw dari Aisyah rd.Suatu masa Aisyah bertanya kepada Nabi saw:

Ya Rasulullah, dengan apakah kelebihan setengah manusia dari yang setengahnya? Raqsulullah saw menjawab: Dengan akal! Kata Aisyah pula: Dan di akhirat? Dengan akal juga, kata baginda. Bukankah seorang mansia lebih dari manusia yang lain dari hal pahala lantaran amal ibadatnya?Kata Aisyah pula. Hai Aisyah, bukanlah amal ibadat yang mereka kerjakan itu hanya menurut kadar akalnya? Sekadar ketinggian  darjat akalnya, sebegitulah ibadat mereka dan menurut amal itu pula pahala yang diberikan kepada mereka.

Beliau menukilkan lagi hadith nabi saw berkenaan dengan akal itu. Iaitu:

Rasulullah bersabda: Allah telah membahagikan akal kepada tiga bahagian, siapa yang cukup mempunyai ketiga bahagiannya, sempurnalah akalnya, kalau kekurangan walau sebagian, tidaklah ia terhitung orang yang berakal. Orang bertanya: Ya Rasulullah, manakah bagian yang  yang tiga macam itu? Baginda menjawab: Pertama bai makrifatnya dengan Allah, kedua baik taatnya bagi Allah, ketiga, baik pula sabarnya atas (dalam teks “atau”) ketentuan Allah.

Beliau membuat penerangan berikut, iaitu dari sabda Nabi itu beliau mengatakan bahawa kita boleh mengambil kesimpulan bahawa darjah manusia itu menurut darjah akalnya, kerana akallah yang dapat membezakan antara yang baik dan yang buruk, mengagih-agihkan segala pekerjaan, menyelidiki akikat kejadian segala sesuatu yang dituju dalam perjalanan hidup dunia ini.Bila akal bertambah sempurna, indah dan murni, bertambah pula  darjah bahagia yang dicapai, sebab itulah maka menurut hadith nabi bila tercapai kesempurnaan akal maka tercapailah  kesempurnaan kebahagiaan.

Akal Dan Pengetahuan

Selepas menyebut hal manusia dan tingkat mereka dalam hidup mengikut akalnya, beliau menyebut manusia dengan akal dan pengetahuan serta pendidikannya: Katanya:

Segala perbezaan dan perubahan tingkatan pandangan hidup maniusia itu timbul kerana perbezaan tingkatan pendapat akal. Berlainan pendapat kerana berlainan pengetahuan, pendidikan dan berbeza pula bumi tempat tegak.Jika akal itu telah tinggi keranba tinggi pengetahuan (ilmu) dipatrikan oleh ketingian pengelaman, bertambahlah tinggi darjat orang yang mempunyainya.Kerana sesungguhnya segala sesuatu yang ada dalam alam ini, hakikatnya sama saja,  yang berubah adalah pendapat orang yang menyelidikinya.Maka kepandaian manyusia menyelidiki itulah yang menjadi pangkal bahagia atau celakanya.

Bertambah luas akal, bertambah luaslah hidup, bertambah datanglah bahagia. Bertambah sempit akal, bertambah sempit pula hidup, bertambah datanglah celaka.

Oleh agama perjalanan bahagia itu telah diberi berakhir.Puncakya yang penghabisan ialah kenal pada Tuhan, baik makrifat kepadaNya, baik taat kepadaNya, dan sabar atas musibahNya.Tidak ada lagi hidup di atas itu!

Di sinilah timbul kehairanan kita melihat orang yang setiap hari menyisir tetapi tak pernah menyisir otaknya, berusaha membusungkan dadanya (membesarkan pangkat kemegahannya-p), tetapi tidak membusungkan hatinya. (tidak memperkasakan sifat-sifat kegemilangan hati manusia-p). Digosoknya sepatunya tetapi tidak digosoknya akalnya sehingga ia tak pernah bertemu dengan bahagia, hanya mendengar dari orang ke orang, dari mulut ke mulut. Ia duduk dekat orang bahagia, tetapi dia jauh dari bahagia.Ada lurah yang dalam membatas mereka, padahal mereka duduk berdekatan.

Kita hairan melihat manusia, yang takut rugi dengan hartanya, tetapi mudah beroleh kerugian, yang lebih besar, iaitu murka Tuhannya.Ia ubati dengan segala cara anaknya yang jatuh sakit, iaitu sakit badan: tetapi tidak dicarikannya ubat jika anaknya mendapat sakit batin, iaitu sakit akal.

Peribadi Manusia Dan Alam Sekitar serta Kehidupan

Tentang peribadi manusia dan hubungannya dengan alam sekitar dan kehidupan lahiriah sahaja, tanpa dimensi lainnya,yang lebih tinggi, sebagaimana yang kerap dibicarakan zaman globalisasi ini beliau menyatakan:

Sebab itu tidaklah sekali-kali bernama bahagia dan nikmat jika hati dan khayal kita hanya kita perhubungkan dengan isi alam yang lahir ini (sahaja), yang harganya hanya menurut keinginan kita. Jangan terlalu diperintah oleh khayal, oleh angan-angan, oleh fantasi, kerana  itu jugalah yang memalingkan kita dari bahagia yang sebenarnya tujuan hidup, yang mulanya tangis akhirnya tertawa, dan mulanya pahit akhirnya manis.

Dalam berbicara tentang akal dan kedudukannya yang memerlukan bantuan iradah insan untuk menjamin kejayaannya beliau menyatakan:

Tetapi dengan semata-mata akal saja belum pula cukup (bagi seseorang itu-p) untuk mencapai bahagia, kerana akal berhenti perjalanannya sehingga itu. Adapun yang menjadi perantaraan antara akal dengan bahagia ialah iradah, kemahuan! Walaupun aal sudah lanjut dan tinggi, kalau tidak ada iradah untuk mencapai bahagia, bahagia itu tidak akan tercapai. Iradah adalah kekuatan nafsiah kita, pada kedirian kita, yang tidak dapat berpisah dari hajat hidup.Kalau hajat itu kuat, timbullah irafah, sehingga dapatlah dia menaklukkan segala pengaruh yang mendatang dari luar dan bekas-bekas asing, kalau kehidupan lemah, iradah itupun jatuh.Kalau iradah jatuh terpengaruhlah diri oleh keadaan sekeliling kita, dan sukarlah mencapai bahagia. (hlm.29).

Kepentingan Pembentukan Iradah Yang Kuat

Dalam hubungan dengan kepentingan iradah dalam membina kebahagian manusia berserta dengan akalnya beliau terus membuat kenyataan:

Ilmu kedoktoran moden telah memasukkan juga ilmu jiwa ke dalam ilmu kedoktoran. Mereka sudah mendapat kepastian bahawa iradah atau kemahuan itu amat besar pengaruhnya bagi jasmani dan rohani manusia. Ramai orang yang baru demam sedikit sahaja, kerana lemah iradahnya, demamnya bertambah larut. Segala macam penyakit mendekat pada dirinya. Ada orang yang baru sembuh dari penyakit yang menimpanya kerana iradahnya kuat.

Dalam berbicara tentang waham dan iradah pada diri manusia beliau meneruskan kenyataannya:

Kalau waham itu berbekas pada akal, menjalarlah dia kepada seluruh perjalanan fikiran, angan-angan dan kehendak. Ternyata tandanya pada (tubuh kasar, jelas terbayang pada muka. Dia menjadi pucat, ragu-ragu, syak wasangka, tidak percaya pada diri sendiri. kalau dia gembira lupa akan dirinya. Pucat dan putus harapan jika kecewa. Jantungpun demikian pula, denyutnya berkurang, perjalanan arahnya melemah …. Maka iradah adalah lebih mahal dari emas, kerana dengan iradah orang bercita-cita yang tinggi. Cuma sayang, kelakuan manusia ini, lebih takluk kepada kehendak jasmani yang akan hancur dalam liang lahat dan tidak peduli kepada kehendak rohani yang akan hidup selamanya. Padahal kehidupan yang bererti dalam dunia ini ialah bahagia, Bahagia yang timbul dari akal yang dapat tercapai melalui iradah kemahuan).

Selepas membuat kenyataan tentang pendapat-pendapat Phythagoras, Socrates, dan Aristoteles berkenaan dengan kebahagiaan yang mencakupi sifat-sifat hikmat kebijaksanaan, keberanian, pengawasan diri dan keinginan, serta keadilan dalam pengertian akhlak yang, kemudian pendapat Tolstoy, beliau menyebut penerangan Imam al-Ghazali rd.

Lima Kategori Ni’mat Ilahi

Beliau menukil pendapatnya yang memberi huraian berkenaan dengan nimat Ilahi yang boleh dikategorikan kepada lima kategori.

Pertamanya kebahagiaan akhirat yang sempurna dan tidak berakhir. Ianya tercapai dengan jalan atau tangga yang dikurniakan oleh Tuhan.

Keduanya keutamaan akhlak. Ini terdiri daripada kesempurnaan akal, yang ianya mencapai kesempurnaan melalui ilmu pengetahuan. Juga ianya terdiri daripada sifat menjaga keinginan diri (‘iffah), yang sempurna dengan kewarakan, sifat keberanian yang sempurna dengan jihad, dan akhirnya dengan keadilan dalam akhlak. Dengan yang empat ini sempurna akhlak dan budi, dengan itu terlaksana agama, dan ini membawa kepada bahagian yang ketiga, iaitu keutamaan yang ada pada badan manusia.

Keutamaan tubuh badan tercapai dengan beberapa perkara: seperti kesihatan, kekuatan tenaga, keindahan, dan umur panjang.

Keutamaan ini pula tercapai dengan beberapa keutamaan di luar badan, iaitu: cukup hartabenda, cukup dengan anak isteri dan sanak saudara, dipandang mulia dan dihormati, serta keturunan yang mulia.

Yang kelimanya ialah keutamaan yang timbul dari taufik dan pimpinan Ilahi terdiri daripada: pertunjuk dari Allah, Irsyad pada jalan hidup yang betul, Tasdid atau sokongan Ilahi dalam kehidupan, dan Ta’yid atau bantuan Ilahi.

Selepas itu diberikan oleh huraian tentang keperluan kelima-lima perkara itu serta cara-cara untuk mencapainya berdasarkan Quran, Sunnah dan pemikiran mereka yang utama dalam sejarah. Dengan itu tersusun hurain tentang cara mencapai kebahagiaan berdasarkan aspek-aspek yang demikian itu  dengan baik.

Pengalaman Hidup Sebagai Unsur Dalam Pendidikan

Dalam berbicara tentang pengalaman hidup sebagai unsur pendidikan beliau menyatakan dengan terang:

Meskipun kita akui adanya pengelaman, tetapi bukannya itu yang terpenting, pengelaman adalah sebagai langkah pertama. Adapun pelajaran hidup yang kedua ialah memperhatikan alam. Alam adalah laksana sebuah kitab besar yang terhampar di muka kita, di dalamnya tertulis perjuangan hayat yang telah ditempuh lebih dahulu oleh orang lain. Di situ dapat kita tilik bagaimana orang lain telak sukses, telah mujur dan bahagia, dan dapat pula kita melihat mereka jatuh, tersungkur, ada yang tak bangun lagi, ada yang menyesal selama-lamanya. Kita dengar pekik orang yang kesakitan, maka kita tanyakan kepadanya apa sebab dia jatuh, setelah tahu kita lalu lagi di jalan yang penuh dilaluinya. Semuanya itu kita pelajari dengan saksama dari kitab yang terbentang itu. Itulah rahasia perkataan raja dari segala pujangga dunia, Nabi Muhammad saw, mengambil iktibar dari kejadian orang lain itu adalah jalan beroleh bahagia.

Di dalam hidup bermasyarakat adalah beberapa undang-undang yang harus dijaga dan diperhatikan. Ada yanmg berhubungan dengan kesihatan tubuh, dengan keberesan akal (dengan ilmu pengetahuan dan cara berfikir yang wajar yang dipelajari-p) dan yang berhubung dengan kemuliaan budi. Di samping itu pula yang tertentu untuk menjaga kemenangan dan kebahagiaan. Semua pokok undang-undang yang mesti dijalankan itu adalah buah perjalanan hidup manusia sejak dunia terkembang, ditambah, diperbaru, menurut perkembangan zaman dan waktu, dengan pimpinan dari alam ghaib. Kalau segala peraturan itu dijaga, dipelajari dan dijalankan (dalam pendidikan secara formal atau tidak formal-p) hiduplah manusia dalam hikmat Tuhan, dianugerahkanNya, dan barangsiapa yang beroleh hikmat itu, bererti dia telah mendapat perolehan yang amat banyak. (hlm.53-54).

Pendidikan Rohani dan Akhlak Yang Menjayakan Kebahagiaan

Dalam pendidikan tentang diri manusia demi mencari kebahagiaan beliau berbicara tentang banyak masalah, mulai daripada masalah keimanan, sampai kepada kejayaanb dalam ibadat, kejayaan dalam pembentukan peribadi yang mulia dengan sifat-sifat utama seperti keikhlasan, tawakkal, kesungguhan dan kebenaran dalam hidup, kesabaran dan seterusnya serta jalan-jalan praktikal dalam mencapai semuanya. Dia berbicara tentang keperluan manusia menjaga diri supaya sihat, keperluan mendapat kemahiran dalam hidup untuk membina hidup yang bermaruah; beliau berbicara berkenaan dengan kerukunan hidyup dalam masyarakat dan rumahtangga serta ciri-ciri bangsa yang kuat dan bermaruah.

Pendidikan yang dipaparkan adalah jelas dan relevan pada setiap masa, termasuk masa kita sekarang yang banyak terhakis nilai-nilai iman dan akhlak daripadanya.

Pendidikan Akidah Ahlis-Sunnah Wal-Jamaah berdasarkan Dalil Naqal dan Akal

Dalam memaparkan pendidikan tentang akidah Islam dalam bukunya “Pelajaran Agama Islam” (terbitan Pustaka Aman Press, Kota Bharu, 1981) beliau berbicara secara mendetail berkenaan dengan dasar-dasar akidah Ahlis-Sunnah wal-Jama’ah terdiri daripada bab-bab berkenaan dengan “Manusia dan Agama”, “Dari Sudut Mana Mencari Tuhan”, “Allah”, “Percaya kepada yang ghaib”, “Percaya kepada Kitab-Kitab”, “Percaya kepada rasul-rasul”, “Percaya kepada hari Akhirat”, “Percaya kepada Taqdir-Qadda dan Qadar”, “Iman dan Amal Salih (Aqidah dan Ibadat)”.

Dalam membicarakan itu semua pendiriannya adalah penditrian Ahlis-Sunnah wal-Jamaah, yang berlainan daripada Mu’tazilah, dan yang lainnya. Dalam pendekatan beliau memberi huraian tentang keTuhanan beliau menggunakan nas-nas Quran dan Hadith dan juga penemuan-penemuan dalam sains moden dan pemikiran falsafah yang sesuai dengan zaman ini.

Sebelum berbicara tentang rukun iman beliau menyebut sedikit sebanyak kepercayaan manusia sebelum Islam dengan pendewaan terhadap tenaga-tenaga alam sebagaimana yang ada dalam kajian tentang sejarah agama-agama (‘history of religions”). Kemudian beliau memberi penerangan tentang perkembangan falsafah Yunani dalam penerokaan tentang hal-hal kepercayaan; dia berbicara juga berkenaan dengan batasan-batasan akal manusia. Lepas itu baharulah beliau berbicara berkenaan dengan keimanan dan agama serta kepercayaan-kepercayaan yang diajarkan olehnya.

Dalam berbicara tentang ajaran agama, beliau merujuk kepada wahyu, pemikiran dan juga fitrah manusia yang dijadikan Tuhan.

Dalam berbicara tentang sifat-sifat Allah beliau mengajar tentang sifat-sifat Wujud, dengan dalil-dalil pemikiran, kemudian dengan dalil ayat-ayat Quran. Dalil-dalil pemikiran itu dinamakannya dalil kejadian, dalil peraturan dan pemeliharaan, dalil gerak. Dibicarakannya Tuhan Yang Aewal, Dia Yang Akhir, Sifat tidak ada yang menyaiNya, Sifat Maha kayaNya (al-Ghani), KeesaanNya, (dalam bahagian ini dibicarakannya kesyirikan, tawassul dan istighathah), Qudrat dan Iradat, dibicarakan pula Hikmat yang merujuk kepada kebijaksanaan Ilahi yang maha tinggi, Sifat Hayat, Ilmu, Sama’ dan Basar, juga sifat Kalam.

Dalam membicarakan akidah-akidah Islam yang lain beliau memberi huraian-huraian dengan berdasarkan kepada pemikiran dan juga nas-nas Quran dan Sunnah, ditambah dengan pemikiran-pemikiran falsafah dan sains. Dengan demikian pendekatannya adalah pendekatan yang sesuai dengan perkembangan ilmu pengetahuan dan sains moden.

Dalam memberi huraian berkenaan dengan akidah Islam itu beliau memberi penekanan kepada keperluan membentuk jiwa dan amalan berdasarkan kepada keyakinan yang dijadikan pegangan. Dengan itu terbentuk jiwa dan peribadi mukmin yang kental yang mampu menghadapi kehidupan dan cabaran-cabarannya tanpa kehilangan jatidiri Muslim dan mukmin sebenarnya.

Ciri-Ciri Unggul Dalam Pendidikan dan Pembentukan Peribadi Manusia

Dalam menghuraikan pendidikan manusia dalam bukunya “Falsafah Hidup” (terbitan Pustaka Antara, Kuala Lumpur, tahun 1980) beliau berbicara berkenaan dengan beberapa perkara yang menjadi bab-bab buku itu  seperti “Hidup” dengan pembicaraan tentang akal, penyusunan kerja, pertimbangan akal, menghaluskan akal, tanda-tanda orang berakal, dan faedah akal.

Beliau berbicara berkenaan dengan ilmu dan akal, tujuan akal, tingkat-tingkat makrifat, akal dan hawa nafsu, kejahilan manusia, dan keutamaan ilmu.

Dalam hubungan dengan budaya berfikir dan membuat renungan tentang alam beliau memberi huraian yang baik dan jelas dalam mempertahankan nilai ini dalam suluhan cahaya Quran sebagaimana yang ada dalam ayat 17-20 dalam Surah al-Ghasyiah dalam “Tafsir al-Azhar”nya, jld 10-hlm 7979 dst.

Dalam ayat-ayat itu dianjurkan dalam bentuk soalan bagaimana manusia tidak melihat bagaimana unta dijadikan, langit ditinggikan, gunung-gunung ditinggiukan, dan bumi dihamparkan sebagaimana dilihat dalam pengelaman biasa semua orang. Beliau menyatakan:

Kalau semuanya sudah dipandang (dengan penuh perhatian dan iktibar-p) dan direnngkannya, niscaya tidak lagi dia (atau seseorang itu-p) menmgingkari kekuasaan Allah untuk membangkitkan kembali manusia pada hari nanti, yang dinamai hari Kiamat.

Orang-orang yang baru mencapai seujung kuku ilmu, dan terlalu banyak ditimbulkan keraguan dan kehilangan iman dalam dadanya kerana pengaruh kaum Qrientalis dan zending dan missi Kristen (serta juga para pemikir pascamodenisme-p) pernah mengambil ayat ini jadi bukti bahawa al-Quran itu diturunkan hanya buat orang Arab, sebab di dalamnya tersebut unta.dan menyangka dengan mengemukakan demikian, mereka telah mengemukakan sesuatu (yang bersifat-p) “ilmiah”.

Dalam menyokong budaya berfikir yang diajarkan Quran beliau menghuraikan dalam “Tafsur al-Azhar”nya -jld2 dalam hubungan dengan ayat 190-191 Surah ali ‘Imran yang bermaksud bahawa dalam kejadian langit dan bumi dan silih bergantinya siang dan malam adalah beberapa tanda bagi orang-orang yang berakal (ulil-albab), iaitu mereka yang mengingati Allah sewaktu berdiri, duduk dan berbaring dan berfikir tentang kejadian langit dan bumi. Mereka berdoa bermaksud wahai Tuhan tidaklah Engkau ciptakan semua ini dengan sia-sia.

Selain daripada huraian-huraian lain beliau menyebut pandangan Imam Fakhruz-Razi rh dari “at-Tafsir al-Kabir”nya bahawa: yang dimaksudkan dalam kitab yang mulia ini ialah menjemput hati dan roh sesudah banyak menyakan soal-soal makhluk yang dijadikan supaya manusia mulai tenggelam dalam memperhatikan makrifat terhadap Allah, kerana sejak tadinya sudah panjang pembicaraan tentang hukum-hukum dan jawapan terhadap terhadap beberapa keraguan yang dibawa oleh mereka yang tidak mahu beriman, sekarang disebut tentang penerang hati dengan menyebut soal-soal tauhid, kebesaran dan kemuliaan Tuhan,  sebab itu maka disebutkan ayat ini.

Komen Hamka rh tentang ayat-ayat ini antaranya ialah seperti berikut:

Orang melihatnya dan mempergunakan fikiran meninjaunya, masing-masing menurut bakat fikirannya. Entah dia seorang ahli ilmu alam, atau ahli ilmu bintang, atau ahli ilmu tumbuh-tumbuhan, atau ahli tentang ilmu pertambangan (berkenaan dengan galian-galian-p), ataupun dia seorang failasuf ataupun penyaer dan seniman. Semuanya akan dipesona oleh susunan tabir alam yang luar biasa. Terasa kecil diri di hadapan kebesaran alam, terasa kecil alam di hadapan kebesaran penciptanya. Akhirnya tak ada erti diri, tak ada erti alam, yang ada hanya Dia, yaitu yang sebenarnya ada. (hlm.1033).

Dalam hubungan budaya fikir yang digandingkan dengan zikir yang diajarkan oleh Quran dalam ayat ini, Pak Hamka menyatakan:

Di sinilah bertemulah dua hal yang tidak terpisahkan, yaitu zikir dan fikir. Difikirlkan semua yang terjadi itu, maka lantaran difikirkan timbullah ingatan sebagai kesimpulan dari berfikir, yaitu bahawa semua itu tidaklah terjadi sendirinya, melainkan ada Tuhan Yang Maha Penciptanya, itulah Allah. Oleh kerana memikirkan yang nyata, teringatlah kepada yang lebih nyata. Semata difikirkan saja kejadian alam ini, yang akan bertemu hanyalah ilmu pengetahuan yang gersang dantandus. Ilmu pengetahuan yang (tidak-p) membawa kepada iman adalah ilmu yang buntu. Dia mesti menimbulkan ingatan, terutama ingatan atas kelemahan dan kekecilan diri di hadapan kebesaran Maha Pencipta.Sebab itulah datang kelanjutan doa tersebab zikir dan fikir….

Dalam hubungan dengan pendidikan seni, seperti seni persajakan, Buya Hamka menerangkan dasarnya dalam suluhan cahaya Quran dalam menafsirkan ayat-ayat 224-227 Surah ash-Syu’ara’ (jld.7) hlm 5158 dst:

…teranglah bahawa di antara penyaer-penyaer itu , baik di zaman Rasul   atau di zaman yang selanjutnya banyak juga penyaer timbul dan syi’irnya diisi oleh imannya.

Kita dapat mengingat bahawa Penyaer Rasulullah itu, Hassan bin Thabit, ‘Abdullah bin Rawwahah, dan Ka’ab bin Malik adalah penyaer-penyaer besar yang telah mempergunakan sya’ir-sya’ir mereka dalam mempertahankan Islam.Seketika utusan-utusan dari seluruh Jazirah Arab datrang menghadap Rasulullah s.a.w. di Madinah, sesudah Nabi saw menang dalam diplomasi Hudaibiyah atau sesudah menaklukkan Makkah, ada yang datang lengkap juga dengan penyaer mereka.Kalau ada yang datang dengan gubahan sya’ir, Rasulullah s.a.w. menyuruh menangkis syair mereka itu dengan syair pula.Yang bertindak menangkis dengan syair itu ialah Hassan bin Thabit. Rasulullah pernah mendoakannya:

Ya Tuhan sokonglah dia dengan Ruhul-Qudus…

Pendeknya, bila kita membaca sejarah Nabi , terutama dalam Sirah Ibn Hisyam, kita akan membaca syair-syair yang timbul dari iman dan amal salih,  yang timbul daripada rasa ingat kepada Allah yang mendalam.Syair “Burdah” dari al-Busiri, syairsyair Maulana Jalaluddin Rumi, syair Sa’di, dan asy-Syirazi, demikoian juga syair Maulana Muhammad Iqbal “Shikwa” “wa Jawabi Shikwa” Piyam Mashriq”, dan lain-lain  semuanya adalah syair iman , amal salih, dan zikir kepada Allah.

Kalau demikian halnya dengan syair, niscaya demikian jugalah halnya dengaqn seni yang lain, kecuali seni yang akan membawa kepada mempersekutukan Allah dengan yang lain, seumpama seni membuat berhala..

Pada akhir tafsiran Surah Syu’ara’ (hlm 5188) beliau membuat kenyataan”

Sesudah peraturan hidup, di antara dorongan dan hambatan, kemajuan ke muka dan usaha menarik ke belakang, cita-cita yang mulia berhadapan dengan mempertahankan yang salah, di dalam jihad yang tidak boleh berhenti, akhir kelaknya orang yang bersalah niscaya akan sedar jua akan kesalahannya, dan akan sedar juga ke jurusan mana perjalanan mereka   yang terakhir.Yaitu bahawa Islam pasti menang dan tegak, sebab dia adalahkebenaran, dan yang menghalanmg selama ini , yang tegak di atas dasar kezaliman akan tahu sendiri ke mana akan pergi mereka.yaitu ke dalam tempat keseksaan…

Beliau berbicara seterusnya dalam “Falsafah Hidup” berkenaan dengan undang-undang alam, keutamaan, kedudukan cinta, buah keutamaan budi, keutamaan dan kewajipan, dan perangai yang utama dalam diri manusia.

Beliau berbicara berkenaan dengan adab kesopanan, dengan pecahan-pecahannya seperti adab diri terhadap makhluk, contoh-cpontoh kesopanan dalam islam, persaudaraan, kesopanan terhadap Rasulullah saw, kesopanan kepada Tuhan, dan konsep kemenangan yang sebenarnya dalam hidup.

Beliau berbicara berkenaan dengan hidup sederhana dengan pengertian sebenarnya, dengan pecahan-pecahannya seperti sederhana pada niat dan tujuan, sederhana dalam berfikir, sederhana mengeluarkan perasaan, sederhanapada keperluan hidup, sederhsana pada perasaan sukacita, sederhana dalam hubungan dengan harta benda, sederhana pada mencari nama, sederhana dalam mencari pangkat, dan juga pendidikan kesederhanaan.

Dalam hubungan dengan pendidikan akhlak dalam suluhan cahaya Quran, dalam “tafsir Al-Azhar”nya, (jld 6, hlm 4029 dst) beliau memberi huraian yang terang dan mendetail berkenaan dengan maksud-maksud dalam ayat-ayat 23-39 Surah bani Isra’il) yang menyentuh: akhlak dan adab kesopanan dengan Allah supaya jangan syirik terhadapnya, dan supaya bersyukur kepadanya, menghormati ibu bapa, berendah diri terhadap keduanya, menunaikan hak dan berbuat baik kepada kaum kerabat, orang-orang miskin, orang yang terlantar dalam perjalanan, supaya jangan melakukan pembaziran, juga jangan bersikap bakhil, supaya jangan membunuh tanpa hak, seperti jangan membunuh anak takutkan kemiskinan, jangan manghampiri zina, jangan memakan harta anak yatim secara terlarang, dan supaya menunaikan semua janji. Juga anjuran supaya menggunakan timbangan yang betul dalam perniagaan, dan supaya jangan mengikut sesuatu tanpa ilmu, sebab manusia akan ditanya tentang pendengaran, penglihatan dan hati. Juga dianjurkan supaya manusia tidak berlagak sombong di bumi, dan diakhiri dengan perintah supaya manusia jangan bersikap syirik sebab itu akan memusn ahkan manusia dalam Neraka Jahanam.

Huraian-huraian beliau berdasarkan kefahaman yang dipandu oleh ayat-ayat Quran, Sunnah dan juga pendapat para ulama muktabar, serta juga maklumat-maklumat sejarah zaman dahulu dan zaman moden.

Penonjolan nilai-nilai Quran dalam pendidikan akhlak sebagaimana yang dilakukan oleh beliau ini mendatangkan menafaat untuk masyarakat mendapat bimbingan dalam menghadapi kekalutan nilai-nilai masakini, apa lagi dalam zaman globalisasi yang mengacaukan jatidiri nilai-nilai keagamaan sebagaimana yang ada dalam Quran.

Dalam “Tafsir al-Azhar” juga (jld 7) dalam memberi penerangan tentang ethika peribadi dan kekeluargaan dalam suluhan cahaya wahyu Quran dalam surah Luqman, ayat 12-19) beliau menghuraikan dengan panjang lebar pembelaan terhadap nilai-nilai yang dibentangkan, seperti bermula nilai kehidupan dengan bersyukur kepada Allah, yang mendatangkan kebaikan kepada manusia itu sendiri, larangan melakukan kesyirikan-iaitu menisbahkan kuasa keTuhanan kepada tenaga-tenaga atau makhluk bersekali dengan Allah–, diikuti dengan nilai-nilai berbuat baik kepada ibu bapa dan bersyukur kepada Tuhan, larangan taat kepada ibu kalau mereka mengajak kepada kesyirikan, arahan bersahabat dengan baik dengan mereka dalam dunia, suruhan mengikut jalan mereka yang berpaling kepada Tuhan dengan taubat dan ketaatan, suruhan melaksanakan sembahyang, melakukan amar makruf dan nahi munkar, anjuran bersabar dalam menghadapi kesulitan hidup, larangan daripada bersikap tabur dan sombong, dan suruhan supaya bersikap sederhana dalam gerak geri, serta suruhan melembutkan suara dalam percakapan. Semua huraian-huraian beliau mengukuhkan nilai-nilai rabbani dalam Quran supaya ianya tertegak dalam diri, masyarakat dan keluarga manusia yang beriman.

Pendidikan Anak-Anak

Yang menarik berkenaan dengan kesederhanaan dalam pendidikan ini  ialah kata-kata beliau seperti berikut:

Oleh kerana pekerti sederhana itu adalah sebagai hasil daripada akal orang yang bijaksana, maka perhubungannya  dengan pendidikan adalah besar sekali, pengaruhnya pun bukan sedikit. Adapun orang yang mendidik anaknya di zaman sekarang terbahagi kepada dua bahagian.

Pertama anak-anak dididik menurut garis yang dikehendaki oleh ayah bundanya,  menurut jalan cita-citanya.Kedua anak-anak dibiarkan sahaja menurut bakatnya sendiri.

Di dalam keadaan yang pertama itu anak-anak tidaklah bebas bergerak menurut kehendak gerak hatinya sendiri. Dia laksana barang, kepunyaan dari orang tuanya.Kalau orang tuanya pendeta, dia mahu supaya anaknya menjadi pendeta pula.Kalau orang tuanya militer, dia mahu supaya anaknya menjadi militer. Atau, meskipun bukan diniatnya supaya anaknya seperti dia, tetapi diminatinya bentuk anak itu menurut bentuk yang ditentukannya. Kesudahannya, mahu bergerak, mahu diam, mahu berjalan, mahu duduk, mahu memilih jodoh, mesti menurut kehendak orang tua itu. Kadang-kadang si ayah bunda ini tidak mempunyai pendirian yang tetap dalam hidupnya. Waktu itulah yang serba susah bagi nasib anak itu.Dia akan karam di tengah-tengah, sukar akan sampai kepada tujuan hidupnya yang telah ada persediaan padanya tatkala ia dilahirkan.

Pendidikan anak-anak yang semacam inilah yang masih banyak bertemu pada masyarakat kita pada masa ini, sehingga berpuluh, bahkan beratus pemuda pemudi yang tidak tentu sebarang hidupnya. Di kota-kota terdapat berpuluh, bahkan beratus dan meningkat ribu, anak-anak yang diperbuat oleh orang tuanya akan menjadi kerani, padahal bukan semua orang mesti menjadi kerani. Di Minangkabau berpuluh, bahkan beratus, dan meningkat ribu, anak-anak muda yang lepas dari sekolah agama maksud orang tuanya akan dijadikan ulama, seakan-akan cuma menjadi ulama itu sahajalah pekerjaan yang paling bagus di dalam dunia ini.

Kata mereka, begitulah pendidikan yang betul. Padahal itulah satu penyakit yang tidak membiarkan seorang manusia maju menurut wajah yang telah ditentukan Tuhan sejak dia dalam rahim. Mereka hendak perbuat manusia menjadi satu corak sahaja, serupa binatang dan tumbuh-tumbuhan.manusia bukan jenis kuda yang hanya guna dikendarai dan pengangkut barang sahaja. Manusia bukan jenis tumbuh-tumbuhan, yang kalau dia sayur bayam, tetap jadi sayur sahaja. Meraut dan membentuk anak menurut kehendak orang tua sahaja hakikatnya memberi bahaya kepada anak itu, melamakan akan kemajuannya. Ketahuilah bahawa tabiat , hujunh hidup, tujuan dan jalan kehidupan manusia itu berbeda satu sama lain. Hendaklah pendidikan itu berikhtiar melahirkan ke mana tujuan hidup itu, bukan berusaha membenamkan. Suatu pendidikan yang diasaskan kepada paksaan itu, paling banyak menimbulkan jemu di dalam hati, dan menghabiskan umur dengan tak berfaedah.

Pendidikan macam yang kedua, ialah anak-anak dibiarkan sahaja menurut mahunya, tidak dibentuk dan tidak dituntun. Dengan berbuat demikian padahal mencelakakan anak itu sendiri. Meskipun tadi dikatakan bahawa tiap-tiap manusia itu mempunyai wajah hidup sendiri-sendiri, kalau dia masih anak-anak, belumlah tentu ke mana wajah itu, masih sukar ia akan naik. Anak yang demikian dinamai anak manja, kebiasaannya anak-anak tunggal, atau anak yang tinggal seorang kerana mati sanak saudaranya, maka tertumpulah perhatian seisi rumah kepada dirinya seorang. Bangunnya, tidurnya, campurnya dengan anak-anak yang lain, sentiasa dapat pujukan dari isi rumah. Anak yang demikian akhirnya akan menjadi pemalas, kerana apa yang dimintanya dapat sahaja, tidak mahu mencari sendiri. Anak yang demikian akan sombong…

Pendidikan yang tidak berhujung pangkal dan sangat merosak ini kebanyakan bertemu pada orang-orang tua yang tidak memperhatikan zaan yang telah lalu, dan tidakmemikirkan pula zaman yang akan datang…

Dengan ini kita lakukan keritik yang sehat kepada beberapa orang Kara eng di Tanah Mengkasar dan beberapa orang teuku dan Hulubalang di tanah Aceh, dan bangsawan-bangsawan Melayu dei Sumatera Timur dan Malaya (sekarang Malaysia-p) yang memberikan pendidikan yang begitu manja kepada anak-anaknya….Biasanya anak-anak yang begini jika sekiranya esok tiba giliran kepada dirinya memegang negeri, maka negeri akan kacau.Dia akan kasar kepada anak buah, dia tidak akan berusaha merimbun merampakkan perniagaan ayahnya, tetapi memusnahkan, untuk melepaskan napsu mudanya.

Seterusnya beliau mengutarakan pendidikan cara yang berlainan daripada yang dua jenis di atas tadi. Kata beliau:

Bagaimana pendidikan demikian kita akan biarkan sahaja? Tidak berniat hendak berubah? Padahal zaman yang akan datang  (sekarang abad ke 21, waktu penulisan beliau tahun 6oan-p) akan mempunyai perjuangan yang lebih hebat dan lebih sengit dari yang sekarang?…yang akan diperampun dan diperpuang orang di zaman yang akan datang, ialah orang-orang yang sanggup menegakkan kemuliaan tanah air dan bangsa.Di mana kita akan dapat orang begitu, kalau tidak dari sekarang kita didik?

…Anak-anak harus dididik dan diasuh menurut kehendak hidup dan zamannya.maksud pendidikan hendaknya ialah membentuk anak itu supaya menjadi anggota yang berfaedah di dalam pergaulan hidup, penuh dirinya  dengan rasa kemanusiaan, walaupun apa mata pencariannya, cinta kepada persaudaraan dan kemerdekaan.Pendidikan demokratis!

… Kemenangan dan kejayaan hidup yang akan ditempuh oleh seorang anak, sejak dari kecilnya melalui besarnya sampai tuanya, semuanya terkumpul di waktu membentuk dan melatihnya di zaman kecil. Di waktu yang dahulu ditentukan zaman yang akan datang. Zaman yang akan datang (“future”) ialah impian dari tiap-tiap kita, impian dari masyarakat, impian dari suatu bangsa, dan impian alampun. Kepada zaman yang akan datang , kepada “future” , ke sanalah bergantungnya segala angan kita dan cita-cita kita….

Garis besar dari pendidikan yang sejati ialah, supaya anak-anak itu disingkirkan daripada perasaan kekerasan orang yang kuat di hadapan orang yang lemah. Pendidikan sejati ialah menanamkan rasa bahawa diri saya ini ialah anggota masyarakat dan tak dapat melepaskan diri daripada kungkungan masyarakat. Pendidikan yang sejati ialah membentuk anak-anak berkhidmat kepada akalnya dan ilmunya, bukan kepada hawa dan napsunya.

Dengan demikian tegaklah rasa kemerdekaan pada diri suatu umat, suatu bangsa, suatu tanah air.

Dalam hubungan dengan ciri kebebesan berfikir – dalam rangka keimanan, ketaqwaan dan akhlak yang telah dibicarakan oleh beliau — terdapat kenyataan:

Beri anak itu kebebasan berfikir dan tuntunlah dia di dalam kebebasan itu.jangan diperkosa perjalanan pikirannya, baik oleh gurunya atau oleh ayah bundanya, supaya jangan dia sebagai kayu yang layu pucuknya, kerana tengah hari tepat disiram juga dengan air. Pendidikan yang bersipat pimpinan, yang bersipat membukakan jalan, adalah seumpama udara dan cahaya matahari, biarkan dia kena udara dan kena cahaya matahari, dia akan sanggup hidup sendirinya.

Beberapa Ciri Peribadi Yang Dikehendaki

Ini diikuti dengan pembentukan jiwa merdeka dalam anak-anak dan juga keperluan pendidikan hidup secara sederhana supaya jiwa merdeka itu boleh diteruskan, tidak tercekik kerana hidup mewah yang memenjarakan peribadi.

Kesederhanaan yang beliau anjurkan itu menyentuh semua bidang hidup manusia- sederhana dalam perbelanjaan, makan minum, kediaman dan pakaian, bahkan dalam perkataan dan dalam melaksanakan pekerjaan.

Beliau berbicara tentang sifat berani dengan huaraian-huraian cawangannya seperti keberanian dengan kesopanan, keberanian dengan buah hasilnya, keberanian dan hubungannya dengan mencapai kemerdekaan, kemuliaan, maruah, tinggi cita-cita, serta sifat percaya kepada diri sendiri.

Beliau berbicara tentang keadilan dengan perbincangan lanjutan berkenaan dengan agama dan negara serta hubungan keduanya, kemerdekaan hak milik, agama dan bagaimana menghadapi kesakitan dalam hidup, hikmah kebijaksanaan dan keadilan, keadilan dan mereka yang berotoritas dalam pemerintahan, dan persoalan bagaimana kita boleh terus menghayati kemerdekaan sebenarnya.

Beliau berbicara berkenaan dengan Persahabatan, dan pencerakinan tentangnya yang menyentuh persoalan bagaimana mencari sahabat, dan persahabatan dan hubunmgan dengan para wanita dalam masyarakat dan kehidupan.

Akhirnya dalam buku “Falsafah Hidup” beliau berbicara berkenaan dengan kedudukan agama Islam sebagai pembentuk hidup manusia. Jelas sekali buku ini memberi kandungan dan erti serta nilai bagi pembentukan peribadi manusia dalam pendidikan baik secara formal dan juga bukan formal.

Wallahu a’lam.