Golongan Najdiyyun tidak mampu beri hujah mantap

petikan dari: http://muafakatmalaysia.wordpress.com/2010/01/25/golongan-najdiyyun-tidak-mampu-beri-hujah-mantap/

KUALA LUMPUR 24 Jan. – Wacana golongan Najdiyyun tidak akan mampu memberikan hujah yang mantap jika menjalankan perbincangan tentang dan wujud Allah serta sifat-sifatNya khususnya ketika berdepan dengan pemikiran pascamodenisma.

Ini kerana sejak awal lagi, golongan Najdiyyun ini telah menolak bentuk penyusunan ilmu dan pembuktian secara falsafah kerana mereka hanya bergantung kepada ayat al-Quran dan hadis yang difahami secaca lafaz dan menolak penerangan secara majzai dan pemikiran falsafah.

”Tetapi golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah boleh memberikan hujah tentang wujud Allah dan sifat-sifat-Nya jika berdepan dengan pemikiran pascamodenisme yang menolak agama ini menerusi hujah-hujah akliah dan nakliahnya,” kata Felo Utama Utama ISTAC Kuala Lumpur, Syaikh Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady.

Beliau berkata demikian dalam kertas kerja bertajuk “Ketiadakmampuan Wacana Najdiyyun Mendepani Pemikiran Pascamodernisme‘ pada Wacana Pemikiran dan Pembinaan Ummah 1. di Masjid Wilayah, Jalan Duta di sini hari ini.

Dr. Muhammad Uthman berkata, sebenarnya penolakan golongan Najdiyyun terhadap tasawuf memberikan kelemahan kepada mereka dari segi rohani.

“Penghujahan dari segi ini tidak boleh mereka manfaatkan dalam mendepani pemikiran yang menyerang wacana agung Islam,” katanya.

Sebaliknya, kata beliau, wacana Ahli Sunnah boleh memberikan hujah menerusi falsafah akhlak yang sistematis iaitu penggunaan nas-nas akliah dan nakliah, sejarah dan kehidupan rohaniah manusia terhadap golongan pascamodenisme yang menolak nilai-nilai baik dan buruk dalam ajaran Islam.

Katanya, teks Ahli Sunnah tulisan oleh al-Ghazali, al-Qushairi, Fakhr al-Din al-Razi dan Syah Waliyullah al-Dihlawi yang menggabungkan dalil nakli, akli, pengalaman sejarah serta latihan kerohanian dan akhlak boleh memberi kekuatan kepada wacana Islam ini mendepani pemikiran pascamodenisme.

Dr. Muhammad Uthman menjelaskan, ini kerana wacana Wahhabiah-Najdiyyun ini hanya mengikut Quran Hadis secara zahir lafaz kerana tidak ada majaz.

”Golongan ini juga tidak mengikut wacana arus perdana kerana ia tidak ada di zaman salaf,” katanya.

http://utusan.com.my/

Advertisements

Zikir serta doa qunut bukan satu perbuatan bidaah

petikan dari: http://muafakatmalaysia.wordpress.com/2010/01/25/zikir-serta-doa-qunut-bukan-satu-perbuatan-bidaah/

KUALA LUMPUR 24 Jan. – Berzikir secara berjemaah selepas solat di masjid bukan satu perbuatan bidaah dan begitu juga membaca doa qunut ketika solat Subuh.

Pensyarah Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Asmadi Muhammad Na’im berkata, menziarah makam Rasulullah di masjid Nabawi di Madinah pun bukan tergolong dalam amalan bidaah.

Selain itu beliau berkata, umat Islam turut dibenarkan bertawassul dengan Rasulullah secara umum sama ada ketika hidup atau selepas kewafatan baginda.

”Semuanya ini terkandung di dalam kitab al-Bida’ al-Munkarah atau bidaah dilarang yang dihasilkan oleh ulama terkemuka, Prof. Dr. Whabah Zuhaily.

“Whabah di dalam kitabnya itu turut menyatakan jenazah mendapat faedah daripada bacaan orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja yang bertajuk Wacana Religio-Intelektual Najdiyyin: Pro & Kontra Terhadap Peranannya pada Tamadun Ummah di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai zikir selepas solat berjemaah di masjid, Asmadi berkata, berdasarkan pandangan Whahbah, zikir yang dibaca hendaklah dalam keadaan tidak mendatangkan kekacauan.

“Berhubung amalan menziarah makam Rasulullah, ia tidak boleh dikatakan bidaah. Jumhur ulama membenarkannya kecuali ibn. Taimiyyah,” katanya.

Dalam kertas kerjanya, beliau juga meminta semua masyarakat Islam berpegang kepada huraian Imam Abdul al-Qahir Tahir al-Baghdadi mengenai siapakah golongan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Mereka terdiri daripada golongan yang menguasai ilmu khusus dalam bab Tauhid iaitu yang bebas daripada fahaman tasybih (menyamakan sifat Allah dengan makhluk) serta ta’til (menafikan sifat-sifat Allah sejak azali).

”Mereka juga terdiri daripada imam-imam fiqh serta golongan yang menguasai ilmu-ilmu yang berkaitan dengan periwayatan hadis dan sunnah Rasulullah,” katanya.

http://utusan.com.my/

Muhammad Abdul Wahhab Bukan Mujaddid

petikan dari: http://muafakatmalaysia.wordpress.com/2010/01/25/bukan-mujaddid/

KUALA LUMPUR 24 Jan. – Pengasas fahaman Wahabi, Muhammad Abdul Wahhab (meninggal dunia 1787) bukannya seorang mujaddid kerana sistem keilmuannya tidak berada dalam acuan Ahli Sunnah Wal Jamaah serta kaedah ilmunya tidak mengikut kaedah fahaman sunni.

Felo Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Antarabangsa (ISTAC), Dr. Uthman El Muhammady berkata, selain itu ilmu yang ada padanya juga tidak sampai sehingga ke peringkat mampu melakukan ijtihad dan keadaan itu menyebabkan Muhammad bukan dikategorikan sebagai mujaddid.

Paling besar dalam sejarah beliau berkata ialah tindakan Muhammad bekerjasama dengan British dan Perancis hingga membawa kepada kejatuhan Khilafah Uthmaniah kerana menganggap kerajaan itu kononnya mengamalkan bidaah.

”Walaupun ini bukan satu-satunya faktor kemusnahan kerajaan tersebut tetapi ia tetap merupakan salah satu sebab yang membawa kepada kejatuhan itu.

“Tidak ada mazhab fiqh dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah yang mengizinkan ulul-amri (pemerintah) disanggah sebegitu rupa dan ini berbeza dengan fahaman Wahabi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Penelitian kembali tentang kedudukan Muhammad Abdul Wahhab sebagai mujaddid‘ di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Pembentangan kertas kerja itu sempena Wacana Pemikiran dan Pembinaan Ummah 1: Gerakan Tajdid dan Pemikiran Najdiyyun anjuran Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat).

Sehubungan itu Uthman berkata, sukar untuk meletakkan Muhammad berwajah mujaddid kerana amalannya yang bercanggah dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Beliau berkata, ia ditambahkan lagi dengan tabiat fahaman Wahabi yang sama seperti Kahawarij zaman klasik dan sering berperang dengan golongan tidak bersetuju dengan mereka.

“Mereka senang menghalalkan darah dan harta orang lain sebagaimana yang jelas dalam sejarah serta ajaran mereka.

“Jelas dalam skop sistem ilmu Ahli Sunnah Wal Jamaah ajaran Muhammad Abdul Wahhab pada beberapa perkara asasi iaitu akidah, syariat dan akhlak serta rohani adalah amat bertentangan sama sekali,” katanya.

Uthman di dalam pembentangan kertas kerjanya turut mendedahkan bagaimana bapa Muhammad iaitu Abdul Wahhab Sulaiman al-Najdi serta adiknya Sulaiman yang tidak redha dengan dakwah pengasas fahaman Wahabi itu.

“Adiknya Sulaiman marahkan Muhammad kerana pengasas fahaman Wahabi itu terlalu berpandukan kepada fahaman ibn.Taimiyyah dan ibn. Qayyim tanpa memandang pendapat ulama terdahulu dan kemudian.

“Ini terkandung di dalam kitab karangan Syeikh Muhammad Abdullah al-Hanbali iaitu seorang mufti di Mekah (meninggal dunia 1295 hijrah),” katanya lagi.

Mengenai ulama yang boleh digelar mujaddid, Uthman telah menyenaraikannya mengikut tempoh tertentu antaranya; Umar Abdul Aziz (salah seorang Khalifah Bani Umaiyyah); Imam Syafie; Imam Abu Hassan al-Asyari; Al-Baqillani; Imam Abu Hamid al-Ghazali dan Imam al-Nawawi.

Oleh SAIFULIZAM MOHAMADdan SHOLINA OSMAN (pengarang@utusan.com.my)

http://utusan.com.my/

Kenyataan Media Ustaz Uthman El-Muhammady

Bismillah al-hamdulillah wassolatu wassalam ‘ala Rasulillah

Dalam berdepan dengan masalah yang dihadapi ini (tentang kes penangkapan bekas mufti Perlis oleh JAIS) pada hemat saya: kita perlu kembali kepada prinsip  Islam dalam Ahlissunnah wal-jamaah yang ertinya ialah: bahawa Yang Duli Yang  Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor Darul Ehsan adalah ulil-amri bagi rakyat negeri  ini, maka  wajib kita taat kepadanya sebagai ulil-amri dan kuasa  diturunkan kepada JAIS untuk melaksanakan tugas dalam bidang agama, ia oleh itu wajib ditaati.

2. Juga kita kembali kepada prinsip menyerahkan sesuatu kepada otoritas dan kepakaran yang ditugaskan secara sah untuk menanganinya

3. Kita mengawal diri  dengan disiplin  dan adab secara berkesan untuk melihat perkara yang dihadapi itu berjalan dan menjadi selesai mengikut proses aturan Syara’ dan adat yang sah tanpa menggangunya

4. Akhirnya kalau seseorang itu merasakan dirinya  mempunyai pengetahuan dan kematangan serta beradab maka ia  lakukan tugas al-din al-nasihat secara intelektuil dalam bahasa yang berdisiplin dan beradab mengikut salurannya yang sah, dengan tidak terpengaruh oleh sentimen kepentingan diri, tanpa melakukan provokasi,  mencari sensasi, atau menangguk di air yang keruh, yang kemudiannya, akhirnya akan memakan diri  sendiri, baik pada individu  kelompok  atau institusi.

Wallahu a’lam.

-Muhammad Uthman El-Muhammady Fellow Amat Utama Akademik Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam dan juga Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia

3 November 2009