Kesatuan Dan Perpaduan Umat Islam Dari Perspektif Sejarah Di Alam Melayu

Kesatuan Dan Perpaduan Umat Islam Dari Perspektif Sejarah Di Alam Melayu

Oleh:

Muhammad ‘Uthman El-Muhammady

Insya’ Allah nota ini akan membicarakan aspek-aspek sejarah kesatuan dan perpaduan umat Islam di rantau ini dan pengajaran-pengajaran yang boleh diambil daripadanya dalam memanafaatkan pengalaman itu bagi membentuk kesatuan dan perpaduan serantau – sebagai permulaan – yang boleh membawa kepada pembentukan suasana yang stabil demi membentuk ciri-ciri “umat terbaik yang dilahirkan untuk (faedah) umat manusia” dalam rantau ini; dan kemudiannya ianya boleh dimanafaatkan bagi membentuk ciri-ciri keunggulan di kalangan Muslimin dalam erti yang lebih luas lagi. Iini amat perlu dalam masa globalisasi bilamana jatidiri tamadun akan terhakis kalau tidak diambil langkah-langkah demi untuk mempertahankan jatidiri demikian itu.

Kesatuan Dan Perpaduan Dalam Sejarah:

Tanpa keperluan meneliti secara mendetail tentang sejarah lampau umat Islam di Dunia Melayu ini – dengan mereka yang masih berada di Alam Melayu ini dan mereka yang asalnya di sini kemudian bermastautin di rantau lain – kita boleh melihat kembali secara ringkas beberapa perkara daripada pengalaman sejarah yang telah lalu itu.

Antaranya bagaimana semenjak kurun ke-tiga belas Masihi dan seterusnya timbulnya kerajaan-kerajaan Islam di Alam Melayu ini, bermula dengan Samudera Pasai dan Perlaknya, Pasainya, Melakanya – dengan kemuncaknya dalam abad ke-15 -Bruneinya, Johor -Riaunya, Acehnya, Petaninya, demikian seterusnya dengan pelbagai pencapaiannya masing-masing dalam kebudayaan segi non-material dan materialnya.

Kemunculan kerajaan-kerajaan Islam itu berlaku dengan ada kaitannya dengan kejayaan dalam perdagangan yang menyebabkan negara menjadi pusat perdagangan antara Timur dan Barat, seperti apa yang berlaku kepada Kerajaan Islam Melayu Melaka, yang takdirnya dikalahkan oleh Portugis pada tahun 1511 Masihi.

Antaranya juga ialah kemunculan kerajaan-kerajaan itu berlaku dengan kejayaan berkembangnya Islam di Dunia Melayu ini bermula dari zaman Samudera Pasai dan demikian seterusnya sampai ke zaman Melaka dan Acehnya. Kerajaan-kerajaan Islam itu merupakan pusat-pusat berkembangnya budaya dan tamadun Islam dan perlaksanaannya di rantau ini.

Dan da’wah Islamiah walaupun tanpa organisasi yang sangat tersusun dan berterusan – berbeza daripada apa yang berlaku dalam huubungan dengan penyebaran agama Kristian sebagaimana yang disebutkan oleh Thomas Arnold dalam bukunya yang masih klasik sampai sekarang The Preaching of Islam – ianya berkembang sampai berjaya mendapat tapak kedudukannya di Dunia Melayu ini.

Antara faktor-faktor yang diperhatikan oleh beliau – dan kita boleh bersetuju dengan beliau – yang membawa kepada kejayaan perkembangan Islam ialah: ajarannya yang tidak kompleks tetapi “simple”; ajarannya yang sesuai dengan pemikiran yang rasional, serta amalan ibadatnya yang tidak menimbulkan banyak kesulitan; antaranya faktor tersebarnya tanpa paksaan, bukan tersebar dengan pedang terhunus; faktor-faktor ini bergerak bersekali dengan dokongan yang diberikan oleh kerajaan-kerajaan Islam dan golongan ahli perdagangan Islam yang mengembangkan Islam dengan gigihnya.

Antaranya juga boleh disebutkan bahawa Bahasa Melayu dalam zaman kerajaan-kerajaan ini bukan sahaja menjadi bahasa perantaraan yang memudahkan hubungan perdagangan dan diplomasi, bahkan ianya menjadi bahasa untuk pengucapan budaya tinggi sebagaimana yang dipersaksikan oleh teks-teks dalam Bahasa Melayu Jawi dalam sejarah persuratan bahasa ini. Bahkan boleh dikatakan bahawa Bahasa Melayu mencapai kematangannya sebagai bahasa tamadun tinggi sebagai alat pengucapan “world-view” atau faham alam Islam; ianya menjadi “bahasa Islam” – “an Islamic language”; ianya tidak pernah mencapai kematangan sebagai alat pengucapan faham-faham alam sebelumnya yang ada dalam tamadun Hindu-Buddha.

Ini dalam dilihat daripada adanya teks-teks yang dihasilkan oleh para ulama dan pengarang Islam sebagaimana yang tercatit dalam A History of Classical Malay Literature, oleh Richard Winstedt yang terkenal itu, antara lainnya. Selain daripada bukti-bukti yang demikian boleh didapati daripada karangan-karangan ulama seperti Nuruddin al-Raniri, ‘Abdu’r-Rauf Fansuri, ‘Abd al-Samad al-Falimbani, Hamzah al-Fansuri, ia juga terbukti dalam karangan Tun Sri Lanang, Raja ‘Ali Haji, dan seterusnya.

Kehidupan Melayu yang bersatu padu dan mengikut tertib dan peraturan mengikut bimbingan agama dan adat istiadat Melayu yang terpandu oleh Islam menimbulkan kesatuan dan perpaduan yang membolehkan lahirnya kerajaan-kerajaan tersebut yang mendokong tersebarnya cara hidup Islam dan agamanya. Berserta dengan adanya para pemimpin yang mempunyai kewenangan dan syarat-syarat kepemimpinan seperti Sultan-Sultan Melaka sebagai Sultan Mansor Syah dan Muzaffar Syah, juga ‘Ala’ al-Din Ri’ayat Syah, dan Bendahara seperti Tun Perak, juga Sultan Aceh seperti Iskandar Muda Mahkota Alam antaranya, Islam menjadi kuat di Dunia Melayu ini.

Kekuatan itu ditambah dengan adanya hubungan antara kerajaan-kerajaan Islam di rantau ini dengan kerajaan-kerajaan Islam seperti Turki ‘Uthmaniyah dan seterusnya.

Nampaknya antara faktor-faktor yang memberi kekuatan kepada Dunia Melayu dengan empayar-empayarnya ialah: iltizam mereka dengan ajaran Islam dan amalannya berdasarkan kepada pegangan dan amalan Ahlis-Sunnah wal-Jama’ah yang menimbulkan keseragaman di kalangan umat Islam di rantau ini. Ini jelas daripada faham tentang keimanan mereka berdasarkan kepada aliran Imam Abul-Hasan Al-Asya’ari rd sebagaimana yang boleh daripada teks-teks usuluddin dengan huraian-huraiannya tentang sifat-sifat Tuhan sama ada dua puluh bilangannya atau tiga belas; ini jelas daripada teks-teks seperti Bidayatul-Hidayah, Ward al-Zawahir, al-Durrul-Thamin, ‘Aqidatul-Najin dan lain-lainnya.

Keseragaman itu terdapat pada pegangan Muslimin rantau ini dalam soal Syari’at, iaitu mereka berpegang kepada aliran fiqh Imam Syafi’i sampai sekarang sebagaimana yang dihurai oleh ulama-ulama ahli tarjih seperti Imam Nawawi dan Rafi’i dan juga ulama-ulama seperti Ibn Hajar dan Ramli. Aliran-aliran lain dalam Ahlis-Sunnah wal-Jama’ah diambil manafaatnya kemudian daripada mazhab Imam Syafi’i.

Keseragaman terdapat dalam bidang pemikiran tentang soal-soal kerohanian dan akhlak iaitu termasuk tasawwuf, kerana mereka terpengaruh antara lainnya dengan Imam al-Ghazali rh terutama dengan ajarannya dalam kitab Ihya’ ‘Ulumi’d-Din dan Ibn ‘Ata’illah as-Sakandari dengan kitab Hikamnya yang terkenal dalam bahasa Melayunya dengan apa yang disebut sebagai Hikam To’ Pulau Manis iaitu Syaikh ‘Abdul-Malik bin ‘Abdullah dari Terengganu.

Dalam bidang tafsir Quran dan Qiraatnya serta alam bidang hadith mereka mengikut para ulama dalam Ahlis-Sunnah wal-Jamaah. Dengan itu terkenal di kalangan ulama ini teks-teks Tafsir al-Baidhawi, al-Nasafi, al-Baghwi, al-Khazin, Tafsir al-Kabir dan seterusnya yang semuanya adalah teks-teks Ahlis-Sunnah yang penting. Dalam bidang hadith terkenal “Kutub Sittah” terdiri daripada teks-teks oleh Bukhari, Muslim, Nasa’i, Tirmidhi, Ibn Majah, Abu Daud.

Keseragaman dalam ilmu-ilmu inilah yang banyak membantu dalam menjadikan rantau ini sebagai rantau Sunni yang jelas sifat homogennya. Dan sistem peristilahan dalam Bahasa Melayu pun seragam sekian lama masanya dalam beberapa abad lamanya dan yang melibatkan kawasan-kawasan yang berlainan seperti Semenanjung Tanah Melayu, Sumatera, Pulau Borneo, dan Pulau Jawa, dan pulau-pulau lainnya.

Keseragaman ini jelas nampaknya dalam teks-teks dan penulisan sampai ke abad ke 19; kelainan dalam pemikiran dan penafsiran agama mula timbul kemudian dalam hubungan dengan gerakan Muhammad ibn ‘Abdul Wahhab yang menimbulkan kelainan-kelainan dalam penafsiran fiqh, usul al-din dan tasawwuf (bahkan penentangan terhadap tasawwuf). Setengah daripada kelainan-kelainan itu timbul daripada usaha-usaha yang dilakukan oleh alm Muhammad ‘Abduh di Mesir.

Pada penulis keseragaman faham dan amalan Ahlis-Sunnah rantau ini perlu dikekalkan demi menjaga kebenaran dan ketepatan dalam ajaran dan amalan serta dalam menjaga rantau ini supaya ianya terus seragam dan stabil; dengan itu ia menjadi asas bagi perkembangan budaya dan tamadun yang kita kehendaki untuk rantau ini, dengan izin Allah.

Tiga Jenis Faham Asasi:

Pada penulis, yang menjadi paksi bagi jatridiri peradaban dan budaya Melayu Islam Nusantara ialah tiga perkara pokok, iaitu faham alam (world-view), faham ilmu (epistemology) dan faham nilai (axiology).

Dalam faham alam terdapat jawapan-jawapan terhadap soalan-soalan seperti: Apakah sifat-sifat Tuhan? Bagaimanakah hubungan antara alam dan Tuhan? Hubungan manusia dengan Tuhan? Apakah insan? Apakah sifat-sifatnya? Dari manakah awal dan akhir hidup insan dan alam ini? Apakah alam ghaib dan alam lahir? Apakah hubungan antara keduanya? Apakah matlamat kehidupan manusia?

Secara ringkasnya faham ilmu Sunni memberi jawapan-jawapan kepada persoalan-persoalan seperti: Apakah itu ilmu? Apakah matlamatnya? Apakah hierarkinya? Apakah kesan ilmu dalam diri insan dan peradabannya? Bagaimanakah klafiikasi ilmu? Bagaimakah hubungan antara ilmu nakli dan ilmu akli? Faham ilmu inilah yang mendominasi Dunia Melayu yang menentukan sikapnya dalm hubungan dengan ilmu sama ada ilmu berkenaan dengan agama atau ilmu berkenaan dengan hidup duniawi.

Faham nilai memberi jawapan kepada persoalan-persoalan seperti: Apakah itu yang dikatakan kebaikan? Apakah itu kejahatan? Apakah punca-punca kedua-duanya? Bagaimanakah manusia. Boleh mencapai kebaikan dan mengelak diri daripada kejahatan? Apakah kesan-kesan kebaikan ke atas diri dan kehidupannya? Apakah kesan-kesan kejahatan? Adakah manusia mempunyai kebebasan yang membolehkannya membuat pilihan dalam hidupnya?

Persoalan-persoalan ini semua dibicarakan dalam ilmu-ilmu seperti usulud-din, fiqh, dan tasawwuf.

Selain daripada panduan yang didapati daripada teks-teks asal dalam Bahasa Arab didapati panduannya dari teks-teks dalam Bahasa Melayu.

Saranan penulis ini sebagai tambahan ialah supaya rantau ini – bermula dengan kita di Malaysia dan jiran-jirannya mengambil manafaat daripada telaah yang serius terhadap teks karangan ibn Khaldun rh iaitu al-Muqaddimahnya yang terkenal itu, yang sekarang sudah ada terjemahan Melayunya yang diusahakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sebagaimana yang telah dijelaskan di atas, rantau ini, selain daripada berpegang kepada Qur’an dan Hadith, ianya mendapat panduan dalam usul al-din daripada Imam Abul-Hasan al-Asy’ari, dalam fiqh daripada Imam Syafi’i, dalam akhlak dan kerohanian daripada Imam al-Ghazali antara lainnya; maka dalam soal pemikiran tentang pemerkasaan peradaban dan budaya ianya perlu mendapat panduan secara serius daripada pemikiran Ibn Khaldun. Inilah satu-satunya teks tentang bidang budaya dan tamadun dalam Islam yang mesti dimanfaatkan semaksima mungkin apa lagi dalam zaman globalisasi yang kita sedang berhadapan dengan krisis jatidiri peradaban dan budaya (civlilizational and cultural identity crisis).

Panduan Dari “Muqaddimah” Ibn Khaldun rh

“Al-Muqaddimah” oleh Ibn Khaldun merupakan sebuah kitab tentang peradaban dan budaya sebagaimana yang dinyatakan oleh Arnold Toynbee yang terkenal itu yang luar biasa tidak pernah ditulis oleh orang lain selain daripada Ibn Khaldun di mana dan dalam masa manapun.

Isi kandungannya ialah berkenaan dengan perubahan umat manusia secara amnya; peradaban Badui, bangsa-bangsa, dan kabilah-kabilah, keadaan hidup mereka; persoalann tentang kemunculan dinasti, kerajaan, khalifah, pangkat, pemerintahan, dan semua yang bertalian dengannya; tentang negeri dan kota, serta bentuk-bentuk peradaban; keadaan dalam peradaban; persoalan-persoalan yang utama dan sekunder dalam hubungan dengan ini; tentang aspek-aspek berkenaan mencari habuan hidup; keuntungan dan pertukangan; beberapa persoalan sekitarnya; bab berkenaan dengan pengetahuan; kaedah-kaedah pengajaran; hal-hal yang berkenaan dengannya. Semuanya dihuraikan dalam enam bab dan diakhiri dengan satu bab penutup.

Tanpa melihat pendapat-pendapat para sarjana dunia tentangnya, yang memang banyak, kita boleh melihat perkara-perkara yang membantu kita dalam soal pembinaan tamadun dan pemerkaaan usaha-usaha membina budaya dan tamadun dalam kalangan kita.

Antaranya ialah konsep ‘asabiyah yang dihuraikan oleh beliau yang sangat boleh membantu kita dalam membina kekuatan bangsa. Beliau menyebutkan bahawa asabiah yang asal mulanya datang daripada hubungan darah dan kekeluargaan dalam kabilah menimbulkan hubungan-hubungan kerjasama dan persaudaraan serta kesetiaan di kalangan sesuatu kaum yang menimbulkan kekuatan ‘asabiyah – atau espirit de corp – semangat perpaduan yang kuat. Semangat perpaduan itu bila wujud dan dijadikan berkhidmat untuk sesuatu kerja besar, kerja itu terlaksana dengan baik dan gemilang melaluinya. Beliau menyebutkan bagaimana melalui kekuatan ‘asabiyah Arab khususnya asabiah Quraisy maka Islam berkembang dengan gemilangnya dalam sejarah pada zaman Rasulullah saw, para Sahabat dan pada zaman Umayyah. Kemudian disambung oleh kerajaan ‘Abbasiyyah dan seterusnya. ’Asabiah yang kuat di kalangan mereka inilah yang menjadikan Islam berjaya dalam sejarah; bila rasa kesetiaan dan perpaduan ini melemah oleh beberapa faktor, maka Islampun menjadi lemah dan peradaban pudar dan jatuh.

Tentang hadith yang bernmaksud “Tidak termasuk di kalangan kami mereka yang menyeru kepada ‘asabiah” itu merujuk kepada asabiah Jahiliyah yang digunakan untuk menjayakan kejahatan. Dan dalam hubungan dengan ini beliau menghuraikan hadith yang bermaksud “Imam-imam atau khalifah-khalifah itu hendaklah dari kalangan orang-orang Quraisy”. Beliau menyebutkan ini kerana golongan Quraisy paling kuat ‘asabiahnya berbanding dengan orang-orang Arab lainnya.

Maka dengan melihat persoalan dari huraian beliau kita boleh mengatakan bahawa kemudiannya asabiah yang kuat itu terdapat pada Orang-Orang Turki Uthmaniah, dengan itu mereka membina tamadun Islam di kalangan mereka. Demikian pula bila ‘asabiah yang kuat digunakan untuk Islam di kalangan orang-orang Mughal di India mereka membina peradaban Islam di sana. Demikianlah kita boleh katakan bahawa bila ‘asabiah yang baik itu kuat di kalangan mereka yang berada di Dunia Melayu, maka mereka telah membina peradaban Islam di rantau ini dengan Samudera Pasainya, Melakanya, Johor-Riaunya, Acehnya dan demikian seterusnya.

Beliau mengajarkan ada beberapa tahap dalam perkembangan kekuatan sesuatu dinasti itu bermula dari awalnya

Pada tahap pertamanya iaitu tahap kejayaan mengatasi penentangan dan berjaya mendapat kekuasaan, pihak penguasa menjadi model bagi rakyatnya dengan sifat-sifat baiknya; dalam membuat keputusan-keputusannya rakyat ikut serta dalam usaha demikian kerana itulah yang dituntut oleh semangat perpaduan. Dan sifat itulah yang menyebabkan tercapainya kemenangan dan dengan sifat itu pula dinasti itu akan berterusan.

Tahap kedua ialah tahap bila penguasa akan bertindak sewenang-wenang dan membuat keputusan-keputusan tanpa diikut serta oleh mereka yang dipimpin. Pada tahap ini pihak penguasa akan berusaha untuk menghimpunkan pengikut yang ramai untuk mendiamkan pendapat lain dan aspirasi lain. Maka seluruh kuasa berada di tangan keluarganya. Maka timbul usaha untuk menggemilangkan keluarganya sahaja.

Tahap ketiga tahap senang sentosa, bila hasil daripada kedaulatan itu dicapai: harta, kekuasaan, nama yang masyhur, adanya monumen-monumen. Demikian seterusnya. Anugerah diberikan kepada wakil-wakil asing, juga kepada rakyat sendiri. Tahap ini tahap terakhir pihak penguasa bertindak sewenang-wenang terhadap mereka yang diperintahnya.

Tahap keempat tahap puas hati. Dia hidup damai dengan mereka yang menjadi sahabat sepemerentahannya. Tradisi dan kebiasaan diteruskan.

Tahap kelima tahap boros yang berlebihan. Pada tahap ini pihak penguasa menjadi perosak apa yang terbina sebelumnya. Ia menuju kepada pemuasan hawa nafsu, kesenangan, hiburan diri bersama dengan kaumnya, menunjuk-nunjukkan kedermawanan kepada orang-orangnya; ia mengambil mereka yang berwatak jahat untuk bertugas dengannya. Akhirnya orang ramai membenci pihak penguasa yang membawa kepada kejatuhan dinasti berkenaan.

Secara ringkasnya boleh diperhatikan bahawa kerajaan yang tersusun dengan baik itu mula-mulanya menambahkan kekuasaan kepada dinasti membawa kepada zaman keamanan dan kemakmuran. Akhirnya pada generasi ketiga, hilangnya semangat perpaduan dan kesatuan (‘asabiah) menyebabkan dinasti itu menjadi lemah. Pihak pimpinan menjadi golongan mengikut hawa nafsu, melupakan syarat-syarat dan tuntutan-tuntutan kepemimpinannya, keseronokan-keseronokannya menjadi terlalu mahal, juga ia terpaksa membeli kesetiaan dan penghormatan dengan harta yang banyak yang menjadikannya menghadapi kesulitan yang amat sangat.

Akibatnya berlaku peningkatan dan penambahan cukai-cukai, berlakulah korupsi bermula dengan kalangan mereka yangt terdekat di istana, kemudian merebak kepada mereka yan di luar istana pula. Demikian seterusnya kaum itu menjadi rosak dan lemah. Suasana menjadi rosak dan manusia melupai agama, akhlak, dan adab serta tata tertib yang halus dan manis dalam kehidupan. Bahkan manusia hilang maruahnya langsung.

Nilai yang dapat diambil dalam soal ini dalam pengajaran Ibn Khaldun ialah bagaimana pentingnya dan berkesannya perpaduan dan kesatuan yang disebut sebagai ‘asabiah olehnya, bila digunakan untuk menjayakan cita-cita tinggi mendokong agama tauhid dan membina dinasti untuk menguatkan agama itu. Dan bagaimana gagalnya dan merusutnya cita-cita tinggi bila asabiah atau perpaduan dan persatuan itu hilang di kalangan sesuatu bangsa itu.

Kalau dipasangkan ajaran ini – yang memang berdasarkan kepada Quran, Sunnah dan pengamatan sejarah dan pengalaman manusia termasuk pengalaman semasa – maka boleh dikatakan bahawa asabiah di kalangan penduduk Nusantara dengan para pemimpin mereka menyebabkan timbulnya kejayaan Islam dan perlaksanaan ajaran-ajarannya serta nilai-nilainya yang mendaulatkan RumpunMelayu ke tahap disegani seluruh dunia. Asabiah atau perpaduan dan kesatuan yang sedemikian perlu digarap sekali lagi di ambang alaf baru ini demi untuk menguatkan semula Islam dan peradaban serta budaya yang dibina di atas asasnya.

Yang merosakkan tamadun dan budaya ialah sifat-sifat yang jahat dan negatif dalam hidup manusia yang mesti dibendung dengan agama – dengan pemerkasaan faktor-faktor perubahan manusiaseperti: pengaruh yang baik dari keluarga, pendidikan, teguran dan disiplin masyarakat yang prihatin, berkembangnya nilai-nilai akhlak dan moral secara menyeluruh, dan media serta penguatkuasaan undang-undang – ini semua hendaklah ditangani dengan berkesan.

 

Negarabangsa Dalam Menghadapi Alaf Baru:

Beberapa bulan lalu saya telah berbicara dalam satu wacana yang di dalamnya saya telah bentangkan secara ringkas ciri-ciri negarabangsa dalam menghadapi alaf baru. Saya rasa elok saya sebutkan sekali lagi di sini ciri-ciri ini untuk renungan kita bersama. Antaranya ialah:

  • Negara bangsa yang berpaksikan kepada beberapa faktor pusat (“core factors”): berteraskan bangsa Melayu yang bersatu padu dalam pegangannya kepada agama Islam dengan ajaran dan amalan Ahlis-Sunnah wal-Jama’ah dengan akidahnya yang jelas terhadap rukun-rukun imannya dengan pegangan yang kuat dan yakin, yang menentukan jatidirinya dalam menghadapi serangan faham alam atau world-view yang bercanggah dengannya samaada yang berbentuk lama atau baru;
  • berpaksikan hidup kerohanian dan akhlak yang nyata yang menentukan jatidirinya yang tidak berbelahbagi, yang terjamin keselamatan dan kebenarannya, dan yang menjamin perpaduan dengannya.
  • Berpaksikan disiplin hidup yang mengikut peraturan Syara’ yang diamalkan dalam hubungan dengan Tuhan, hubungan kekeluargaan, kemasyarakatan, kejiranan, hidup kebangsaan, dan perlu ditambah hidup serantau, dan seterusnya.
  • Berpaksikan kepada ketuanan Melayu Islam – Melayu dan Islam tidak terpisah bahkan sebati dalam pentakrifan perlembagaan Malaysia, bahkan ianya pentakrifan budaya dan bukan etnik- sebagai pihak yang paling menentukan dalam suasana politik negara yang berkembang dalam rantau Asean, dengan kerjasama yang erat menjaga kepentingan serantau dalam hubungan antarabangsa, selain daripada menjaga kepentingan masing-masing negara sebagai jiran, yang di dalamnya takdirnya terdapat peradaban-peradaban besar dunia dengan agama-agama besarnya.
  • Berpaksikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, dengan rakyatnya mempunyai kemampuan dalam bahasa-bahasa lain seperlunya untuk urusan pengetahuan dan hubungan antarabangsa, dengan sikap saling kenal mengenal budaya yang berlainan dalam menjaga keharmonian hidup dalam negara yang satu, dan boleh ditambah, dalam rantau yang satu.
  • Peradaban Islam sebagai asas perkembangan peradaban di negara kita berserta dengan pemberian ruang kepada perkembangan peradaban lain dalam kepelbagaian budaya dalam negara, dan boleh ditambah, dalam rantau kita.
  • Dan bila disebut peradaban Islam ertinya ialah dengan mengambil kira pengertiannya yang luas yang mencakupi bidang-bidang inteletuil, kerohanian, akhlak, kemasyarakatan, siasah serta sains dan teknologi semaksima mungkin dalam konteks keperluan negera.
  • Ianya negara bangsa yang mempunyai perasaan kebangsaan dengan perpaduan dan kesatuan dalam konteks Islam (sebagaimana yang dihuraikan dalam “al-Muqaddimah” oleh Ibn Khaldun) bukan dalam konteks “secular nationalism” atau semangat kebangsaan secara sekular seperti di Barat, dan dengan mengambil kira konsep ummah yang Muslimin di dalamnya merupakan ahi-ahlinya walau di mana sekalipun ia berada. (Dengan ini usaha-usaha memperkasakan kesedaran ini mesti dijayakan dan apa-apa yang melemahkannya dan merosakkannya dielakkan).
  • Negara bangsa yang membangun ekonomi yang adil dan samarata peluang ekonominya dan agihan hartanya, tanpa penindasan, penzaliman, yang terjamin pada sisi undang-undang dan juga, perlu ditambah, pada sisi akhlak dan moral.
  • Negara bangsa yang menerima unsur-unsur Barat yang positif dan menolak yang negatif dengan mengambil kira panduan Islam dalam perkara-perkara yang berkenaan, dan mereka yang bukan Islam mengambil kira bimbingan daripada nilai-nilai dan tradisi mereka.

Wallahu a’lam.

_________________________________________________________________________

LAMPIRAN

FALSAFAH KEMERDEKAAN

Falsafah kemerdekaan kita ialah:

Keyakinan dan pegangan, yang disertakan dengan perjuangan dan penghayatan berterusan, bahawa bangsa kita adalah bebas merdeka dari sebarang tekanan, penindasan, dan pengaruh-pengaruh negatif, dalam mengrealisasi semua potensi-potensi kita dari segi intelektuil, moral, rohani, dan jasmani, dalam membina budaya dan tamadun sesuai dengan faham alam, faham ilmu, dan faham nilai kita, berdasarkan kepada kepercayaan kepada tuhan, serta kita mempunyai kemampuan mempertahankan jatidiri dan kemerdekaan tersebut, dengan penuh bermaruah.

Kita bukan sahaja tidak hanyut dalam gelombang globalisasi dalam mengekalkan jatidiri dan kemerdekaan tersebut, bahkan kita mampu memainkan peranan dalam menentukan arus globalisasi itu dalam kalangan bangsa-bangsa di dunia.

Our philosophy of independence

Our philosophy of independence is our belief and conviction, coupled with unceasing and continuous struggle and its fulfillment, that our nation is independent and free from all kinds of pressure, oppression, and negative influences in realising our potentialities intellectually, morally, spiritually and physically, in building our culture and civilization in accordance with our world-view, our epistemology, and our axiology, based on our belief in god; and we have the capability to maintain our identity and independence with full honour. We not only are able to maintain our identity and independence in the process of globalization, but also we play our role in determining the directions of the globalization process among the nations of the world.

Advertisements

Hikmah Kebijaksanaan Melayu

بسم الله الرحمن الرحيم

نحمده ونصلى على رسوله الكريم

Hikmah Kebijaksanaan Melayu [1]

Oleh:

Al-Faqir Ila’llah :Muhammad ‘Uthman El-Muhammady[2]

Maksud hikmah kebijaksanaan Melayu: nilai-nilai, kata-kata dan tingkah laku serta perbuatan yang menunjukkan kebenaran dan kebaikan yang tinggi dalam pemikiran, pegangan, sikap,   renungan   dan perbuatan di kalangan Orang Melayu. Ini adalah sebagaimana yang terbayang dalam kata-kata terkenal: Hidup bersendikan adat, adat bersendikan Syarak dan Syarak bersendikan Kitabullah. Ia menggabungkan dalam satu kesepaduan antara panduan wahyu dan nubuwwah, faedah daripada pengelaman manusia yang terjelma dalam adat yang serasi dengannya  serta percubaan-percubaan dalam hidup yang dianggap terbaik dan paling unggul dalam hidup mereka.Ia harmonis dan selaras dengan pegangan dan amalan  Ahlisunnah  wa al-Jamaah yang menjadi anutan rantau ini.

Ini boleh didapati dalam pantun-pantun, kata-kata pepatah, ungkapan-ungkapan tradisional  dan, sudah tentu dari segi agamanya ia terkandung dalam teks-teks yang menerengkan Qura’n, hadith-hadith nabi, pegangan akidah, hukum hakam, prinsip-prin sip akhlak, tatacara menyusun masyarakat dan negeri  serta penyuburan ilmu pengetahuan dengan kepelbagaian cawangan-cawangannya.

Dalam Qur’an diterangkan dalam ayat (ومن ايته خلق السموات والارض واختلاف ألسنتكم وألوانكم ) yang bermaksud: Dan antara ayat-ayatNya ialah  (Ia) menciptakan langit dan bumi dan berlain-lainan  pada pertururan bahasa kamu dan warna kulit kamu  (ar-Rum:22);  dengan itu kita melihat kenyataan dari Allah taala berkenaan dengan adanya ayat-ayat Tuhan pada bahasa-bahasa pertuturan   dan juga warna kulit umat manusia.Ini terbayang lagi dalam ayat Qur’an (وجعلنكم شعوبا وقبائل لتعارفوا.ان أكرمكم عند الله أتقاكم)  yang bermaksud: Dan sesungguhnya Kami (Allah)  menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu kenal mengenal antara sesama kamu (atau saling plajari ilmu pengetahuan antara sesama kamu) dan sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu ialah orang yang paling bertaqwa. (al-Hujurat:13).

Kata-kata yang menunjukkan kebijaksanaan hikmah Melayu:

Nampaknya  yang boleh disimpulkan sebagai ‘hikmah kebijaksanaan Melayu’  ialah intisari pengajaran yang   terkandung dalam ‘tunjuk ajar Melayu’ itu. Ini digunakan oleh Pak Tenas Effendy antaranya dalam bukunya ‘Tunjuk Ajar Melayu’ (terbitan Dewan Kesenian Riau, percetakan Yayasan  KBMR Keluarga besar Melayu Riau,  1994).

‘Tunjuk ajar Melayu’ itu ialah ‘segala jenis petuah, amanah, petunjuk, nasehat, amanat, pengajaran, contoh tauladan, yang bermanfaat bagi kehidupan manusia dalam arti luas’. (ibid.hal.5). Dan  ini diikuti dengan kenyataan bahawa pada orang tua-tua Melayu ‘tunjuk ajar Melayu adalah segala petuah dan amanah, suri tauladan, nasehat dan amanat , yang membawa manusia kejalan yang lurus dan diridhoi Allah, yang berkahnya menyelamatkan  manusia dalam kehidupan di dunia dan di akhirat’.(ibid.hal.5).

Berkenaan dengan ‘tunjuk ajar’ atau hikmah kebijaksanaan ini ia sedemikian rupa sifatnya sehingga  dikatakan tentangnya ‘Yang disebut tunjuk ajar tua:

Petunjuknya mengandung tuah

Pengajarannya berisi marwah

Petuahnya berisa berkah

Amanahnya berisi hikmah

Nasehatnya berisi manfaat

Pesannya berisi iman

Kajinya mengandung budi

Contohnya pada yang senonoh

Teladannya di jalan Tuhan’   (ibid.6)

Apakah kandungan tunjuk ajar itu?  Tunjuk ajar itu mengandungi nilai-nilai unggul (dari agama Islam), budaya dan nilai-nilai kemasyarakatan yang  menjadi pegangan ahli masyarakatnya. Dikatakan oleh orang tua-tua ‘di dalam tunjuk ajar agama memancar’ atau ‘di dalam tunjuk ajar Melayu tersembunyi berbagai ilmu’ (ibid. 6-7).

Tentang isi kandung tunjuk ajar itu diungkapkan:

Apalah isi  tunjuk ajar

ilmu yang benar

apalah isi tunjuk ajar

segala petunjuk ke jalan yang benar

apa isi tunjuk ajar Melayu

kepalanya Syara’

tubuhnya ilmu

apa isi tunjuk ajar Melayu:

penyuci akal

penenang kalbu

apa isi  tunjuk ajar Melayu

pendinding aib

penjaga malu

apa isi  tunjuk ajar Melayu

sari akidah patinya ilmu

mengekalkan tuah sejak dahulu  (ibid.7).

Tentang kepentingan dan nilai tunjuk ajar (atau hikmah kebijaksanaan ) itu  jelas daripada  kata-kata bijaksana  seperti di bawah:

Apa tanda Melayu juati

Tunjuk ajarnya dipegang mati

Apa tanda Melayu amanat

Memegang tunjuk ajar sampai ke lahat

Apa tanda Melayu berbudi

Tunjuk ajarnya dijunjung tinggi

Apa tanda melalu bertuah

Terhadap tunjuk ajar tiada lengah

Apa tanda Melayu budiman

Tunjuk ajar dijadikan pakaian

Apa tanda Melayu berakal

Tunjuk ajar dijadikan bekal

Apa tandanya Melayu terpilih

Tunjuk ajarnya tiada beralih  (ibid.hal)

Demikianlah seterusnya untaian kata-kata yang menunjukkan kata-kata hikmat bijaksana dijadikan pegangan yang sebati dengan peribadi dan tidak berubah-ubah melainkan elemen-elemen yang memerlukan sebenarnya kepada perubahan. Demi untuk memastikan bahawa tunjuk ajar ini kekal dalam masyarakat sebagai tradisi yang dipegangi dan dilaksanakan maka diajarkanlah untaian kata-kata:

Kalau duduk  duduk berguru

Kalau tegak tegak bertanya

Lalu pergi mencari ilmu (ibid. Hal.10)

Sikap berpegang kepada  ilmu dan pengalaman yang berharga dan teruji dalam hidup terbayang dalam kata-kata berikut:

Bersua ulama minta petuah

Bersama guru meminta ilmu

Bersua raja meminta daulat

Bersua hulubalang minta kuat

Bersua orang tua minta nasehat   (ibid. hal.10)

Pewarisan dan kesinambungan tunjuk ajar itu dipastikan   dengan berlakunya amalan pada generasi yang terdahulu sebelum ia diturunkan ilmunya kepada generasi yang berikutnya. Ini dapat difahami daripada untaian kata-kata yang penuh bermakna seperti di bawah:

Sebelum mengajar, banyak belajar

Sebelum memberi contoh ,

Bersifat senonoh

Sebelum  memberi teladan

Betulkan badan

Sebelum menasehati orang

Nasehati diri  sendiri   (ibid.hal.13)

Mudarat mengajarkan ilmu tanpa tauladan yang baik terlebih dahulu dijelaskan dalam kata-kata:

Kalau contoh tidak senonoh

Yang mencontohi akan bergaduh

Atau:

Bila mengajar tidak benar

Yang diajar akan bertengkar    (ibid.hal. 13)

Pewarisan tunjuk ajar itu,  demi memastikan kesinambungannya dalam peradaban, dijadikan kemestian oleh adat,  seperti berikut:

Petunjuk wajib ditunjukkan

Pengajaran wajib diajarkan

Yang petunjuk dipanjangkan

Yang pengajaran dibendangkan (asal tebal)

dengan tunjuk ajar adat berakar

dengan tunjuk ajar  imu mengakar

dengan tunjuk ajar

yang kecil menjadi besar

dengan tunjuk ajar

agama menjalar

apa tanda orang beriman

tunjuk ajar ia turunkan            (ibid.hal.13)

Dalam pengertian yang senada dengan yang di atas  dikatakan:

Tanda orang hidup beradat

Mewariskan tunjuk ajar ia ingat

Supaya hidup selamat

Tunjuk ajar diingat-ingat

Diturunkan bercepat-cepat

Diwariskan ketika ingat

Disampaikan di mana sempat             (ibid. Hal. 14).

Prinsip mementingkan contoh tauladan yang dilihat secara nyata adalah jelas diungkapkan:

Mencontoh kepada yang nampak

Meniru kepada yang nyata      (ibid.hal.15).

Prinsip ini menyebabkan orang-orang yang bicaranya baik-baik tetapi tauladan dan amalannya sebaliknya tidak  diambil berat oleh orang dalam masyarakat Melayu tradisional.Dengan itu terkenal untaian kata-kata:

Mulut bermadu perangai macam hantu

Atau

mulut manis, kelakuan macam iblis

Terkenal juga kata-kata berkenaan  dengan orang ‘lidah bercabang’:

Bila bercakap lidah bercabang

Seumur hidup tak dipercaya orang

Atau dikatakan:

Bila bercakap bercabang lidah

Pantang sekali memegang amanah

Menarik juga dalam prinsip kebijaksanan Melayu ini ialah konsep ‘tua’ dalam erti intelektuil dan budaya.Ini jelas ternyata dalam ungkapan berikut:

Kalau menjadi tua orang

Langkahnya dilihat lidahnya  dipegang

Kalau menjadi orang tua

Sesuaikan langkah dengan bicara

Kalau sudah dituakan orang

Lahir batin jangan bercabang  (ibid.hal.16)

Kalau menjadi tua orang

Pantang sekali berlaku sumbang (ibid).

Gambaran tentang manusia berbahagia pula,  disebut sebagai ‘manusia bertuah’ ialah:

Apa tanda manusia bertuah

Kecil menjadi tuah rumah

Besar menjadi tuah negeri

Bertuah hidup bertuah mati (ibid.hal.20)

Dan orang yang mendapat faedah yang paling banyak daripada ‘tunjuk ajar’ ialah orang yang berakal yang cepat mendapat iktibar:

Untuk memahami tunjuk ajar

Banyakkan faham serta iktibar

Untuk memahami  tunjuk ajar

Tajamkan mata banyak mendengar

Untuk memahami tunjuk ajar

Tekunkan menyemak , kuat berlajar

Untuk memahami tunjuk ajar

Banyak ilmu perlu didengar

Dan  ketepatan dalam faham sangat diutarakan  seperti berikut:

Salah tangkap

Badan mengidap

Salah makna

Badan celaka

Salah erti

Rusak pekerti

Salah pakai

Kerja terbengkalai

Salah tafsir

Kerja membazir  (ibid. hal.22) dan seterusnya.

Berkenbaan dengan kandungan tunjuk ajar itu ia jelas  seperti berikut:

Adat bersendikan Syarak, Syarak bersendikan Kitabullah

Adat adalah Syarak semata

Adat semata Quran dan sunnah

Adat sebenar adat ialah Kitabullah dan Sunnah Nabi

Syarak mengata adat memakai

Ya kata Syarak , benar kata adat

Adat tumbuh dari Syarak, syarak tumbuh dari Kitabullah

Berdiri  adat Kerala Syarak

Apa tanda Melayu jati

Bersama Islam hidup dan mati(ibid. Hal.25)

Dalam teks Pak Tenas Effendy, ini diikuti dengan bebarapa hakikat dalam kehidupan Melayu yang menunjukkan kesebatian hikmah kebijaksanaan demikian yang meresap dan sebati dalam hidupnya, yang , pada gambaran ini ia menjadi ‘malakah keagamaan’ (istilah ibn Khaldun dalam Muqaddimah)  pada diri Melayu itu.

Antaranya bagaimana Islam ‘melekat dihati’nya, ‘dengan Islam ia bersebati’, ‘hidup taqwa lepada Allah’, ‘hidup mati bersama akidah (Ahlissunnah wal-Jamaah)’, ‘memeluk Islam ianya kekal’, ‘membela Islam tahan dipenggal’, ‘hidup matinya dalam beriman’, ‘taat setia menyembah Tuhan’, ‘memeluk Islam tidak beralih’, ‘membela Islam tahan sembelih’, ‘kepada Allah tercurah kasih’, ‘membela Islam tahan dipijak’, ‘di dalam Islam beranak pinak’, ‘kepada Allah tempatnya ingat’, ‘syarak dipegang sunnah diingat’, ‘mengingat Allah tiada bertempat’, ‘membela Islam tahan dibakar’, ‘ajaran Islam ia mengakar’, ‘kepada syarak ia menepat’ dan seterusnya (ibid.hal.26-27).

Tanda ianya Orang Melayu ialah ‘membela Islam tahan dicencang’, ‘mendirikan Islam tiada bercabang’,  …’dengan Islam ia menyatu’, ‘Islam menjadi kain dan baju’, ‘islam semata dalam kalbu’ (hal.28).

Cara hidup Melayu mengikut hikmat kebijaksanaannya ialah: ‘yang kaji dihalusi, yang amal diperkekal, yang syarak disimak,  yang sunnah  dimamah,  yang iman dipadatkan, yang hati disucikan,  yang akal disempurnakan’ (hal.29).

Butir-butir tunjuk ajar itu cukup untuk menjadikan Melayu  sebagai  bangsa  yang mempunyai prinsip-prinsip kehidupan bagi menjaga hubungannya  dengan Tuhannya, dengan sesama manusianya, dengan alam sekitar dan sejarah, serta dengan keabadiannya.Ia berupa panduan yang digabungkan daripada ajaran wahyu, nubuwwah, pengamatan manusia  dengan  kelengkapan-kelengrapan dirinya serta  sejarah yang berlaku dan pengelaman manusiawinya.

Dalam teks ‘Tunjuk Ajar Melayu’ itu terdapat bimbingan kebijaksanaan Melayu tentang ketaqwaan lepada Tuhan, ketaatan lepada ibi bapa, ketaatan lepada pemimpin, persatuan dan kesatuan dengan gotong royongnya, tentang keadilan dan kebenaran, kelebihan menuntut ilmu pengetahuan (bab-bab 1-6), berkenaan dengan nilai-nilai pembentukan peribadi dan kalbu dengan sifat-sifat ikhlas dan rela berkorban, sifat rajin dan tekun dalam pekerjaan,  sikap mandiri, sikap berbudi, bertanggungjawab, sifat malu bertempat, kasih sayang,  (bab-bab 7-13), berkenaan dengan hak dan milik,   mesyuarat dan muafakat, keberanian dan kejujuran, sifat berhemat dan cermat, sifat rendah hati,  bersangka baik terhadap makhluk, sifat prajuk, tahun diri, keterbukaan, sifat pemaaf dan pemurah, sifat amanah, sikap memenafaatkan waktu, berpandangan jauh ke depan,  mensyukuri ni’mat Ilahi, sikap hidup sederhana (tidak terpengaruh dengan kepenggunaan untuk menunjuk-nunjuk –‘conspicuous consumerism’) (bab 14-29). Sifat-sifat serta sikap yang tersebut itu datang daripada  bangsa Melayu yang sifat-sifat unggulnya ditarbiah dengan kesempurnaan agama Islam.Melayu dan agama Islam adalah kesebatian yang sukar digambarkan.

Dalam teks yang sama (hal.397-610) terdapat prinsip-prinsip kebijaksanaan Melayu berhubungan  dengan amanah:amanah  guru lepada murid,   amanah orang tua kepada anaknya, amanah dalam hidup rumah tangga atau kekeluargaan, amanah yang am, amanah dalam mendidik dan membela anak-anak, amanah dalam kesetiakawanan, amanah berhubungan dengan alam yang kekal abadi, pembenaan rumah tangga dan keluarga yang bahagia, tentang kepemimpinan, alam sekitar (bab 1-10).

Nampaknya sifat-sifat dan prinsip-prinsip inilah yang tergambar dalam ‘Sejarah Melayu’, ‘Hikayat Hang Tuah’,  ‘Tuhfatun Nafis’, ‘Gurindam Dua Belas’, ‘Taj al-Salatin’,  ‘Sair al-Salikin’, ‘Turjuman al-Mustafid’ , teks-teks seperti ‘as-Sirat al-Mustaqim’, ‘Kash al-Litham’, ‘Furu’ al-Masa’il’,  ‘Nihayah al-Zain’,  ‘Asuhan Budi’, dan ‘Hadiqatul-Azhar’  dan lain-lainnya yang banyak lagi itu,  termasuk hikayat-hikayat, yang berupa catitan abadi tentang prinsip-prinsip dan nilai-nilai pegangan Melayu sepanjang zaman. Nilai-nilai ini dalam sastera klasik ada pada Hang Tuah  yang berupa personifikasi nilai-nilai peribadi terunggul dan prinsip-prinsip yang mengekalkan jatidiri Melayu dan tamadunnya.

Ia nilai-nilai yang saya sebutkan dalam perbincangan di IKIM pada 28 Jun 2010 sebagai ‘…nilai-nilai kesejatian dalam kesetiaan, amanah, kebenaran, keberanian, keteguhan azam, kesungguhan dalam juang, kesetiakawanan, kemampuan komunikasi taraf tinggi dan rendah,  kelicinan usaha bertugas dengan tepat, kematangan  rohani dan  fikir, jiwa mementingkan bangsa dan umat mengatasi kepentingan diri yang sempit, pandangan yang jauh dan tajam. Allahumma’rzuqna amin. Sayangnya setengahnya menganggap ini nilai-nilai feudalisme yang wajib digantikan dengan ‘nilai-nilai progresif’ tanpa menyedari ini adalah nilai sarwajagat dan bukan ‘nilai-nilai feudal’.Ia bukan ‘time-bound’ tetapi ‘reality-bound’ dalam pengertian fitrah yang universal  itu’.(dalam nota majlis perbincangan pakar-pakar di IKIM pada 28-6-10 bertajuk ‘SELEPAS 60 TAHUN KES NATRAH: DI MANA KITA?-PERSPEKTIF PENDIDIKAN’ hal.2).

Dan bila menyebut Hang Tuah –apapun juga kedudukannya dari segi sejarah- ia melambangkan nilai-nilai universal yang menjamin keutuhan dan kesinambungan hidup peribadi dan tamadun umat.Ia bukan nilai-nilai feudal; kesetiaan Hang Tuah kepada raja adalah kesetiaan kepada institusi atau tonggak peradaban Islam di kalangan bangsa Melayu yang tanpanya Melayu akan menjadi ‘cultural barbarian’, ‘kaum biadab dalam budaya’.Ia dari institusi yang disahkan oleh tradisi dalam ajaran dan sejarah Islam.Ia gabungan antara Islam dan Melayu seutuhnya.

Kita memerlukan Hang Tuah abad ke 21 di kalangan kita; kita mesti mengelak daripada peribadi Hang Jebat yang merupakan pemberontakan tanpa prinsip (unprincipled rebellion).Dalam psikologi rohaniah tradisional ia melambangkan nafsu ammarah bissu’, yang yang mengarah kepada kejahatan, manakala Hang Tuah adalah melambangkan nafsu al-mutma’innah yang teguh tenang serta aktif dalam kebaikan yang berterusan. Kita memerlukan  sosok peribadi seperti ini  dalam suasana masakini.Ia seumpama angin puting beliung yang dilihat dari segi positif, dengan  titik tengahnya  tenang tak bergerak, tetap dengan bahagian luarnya bergelora tangkas dengan kerjanya; kalbu Melayu tradicional tenang tetap dengan zikir dan fikir, serta firasat, dalam keimanan, tawakal dan reda, badannya cergas ligat dalam bakti yang berterusan.  (Ucapan jazaka’Llah kepada Dato’ Dr Hasan Ahmad CEO Yayasan Karyawan dan kepada Tun Ahmad Sarji yang menonjolkan nilai-nilai unggul dalam peribadi Hang Tuah ini.)

Nilai-nilai ini saya bicarakan dalam memahami pandangan tradisional Melayu  berhubungan dengan ketaqwaan dan iman, budaya ilmu dan menjaga kehidupan yang baik dan bermaruah, menjaga alam sekitar dan hubungan baik antara  sesama manusia,  juga tugas menjaga negeri  dengan baik dan  berkesan. Ia gususan prinsip-prinsip dan nilai  yang menjamin kejayaan hakiki dunia dan akhirat serta menjadi asas-asas pembentukan peradaban yang  dikehendaki bagi menjadikan ianys alam di mana Kalam Ilahi dan namaNya  dimuliakan  setinggi-tingginya.Amin.(lihat ‘Islam Hadhari in the Context of Traditional Malay-Islamic Discourse in the Malay World’ dalam buku ‘Islam Hadhari-Bridging Tradition and Modernity’ , ISTAC, IIUM,  2010 hal.85-121).

Lebai Nusantara  Di Sini Bermadah:

Rakan, aku lebai Nusantara di sini

Ingin mengajak rakan melihat kembali

Sejarah dan adat sejati bangsa dan pertiwi

Dalam suluhan hati nurani murni

Tanpa keladak khayalan palsu masakini

Rakan , mari kita ingatkan Pasai dan Melaka

Kemudian Aceh, Inderagiri, Brunei, Petani pesaka

Berterusan  dengan pegangan Melayu jati nyata

Nilai dan asas kehidupan puas bahagia

Dengan kebenaran keadilan kesetiakawanan bangsa

Rakan kita semarakkan nilai tradisi kita

Hidup bersendikan adat adat bersendikan Syarak nyata

Syarak bersendikan firman dan sabda

Membina peribadi  penuh sejati setia

Dengan kebenaran agama dan tradisi bangsa

Rakan kita membina kesetiakawanan sejati

Bersama mereka hidup kita sampai sebati

Mempertahankan kedaulatan bangsa  raja mandiri

Lembaga bangsa menguatkan agama dan diri

Kita  bangsa dan watan teguh  selamat terdiri

Kita pegangkan iman dan taqwa yang teguh

Keyakinan  dengan ajaran dan nilai sungguh

Bermuafakat teguh berpecah kita rubuh

Mendepani suasana budaza  keruh dan  rioh

Zaman ancaman memastikan kita berteguh

Kita perteguhkan  hidup Melayu Islam Beraja

Nilai Melayu sejati bersama Islam mulia

Lembaga beraja adat  teguh tersedia dahulu kala

Kesebatian tunjuk ajar membawa kita berjaya

Tepiskan ajaran nilai menyanggah maruah bangsa

Quran mengajarkan Yahud  Nasara tidak tenang

Bila teguh kita  dalam pegangan  menang

Mereka mahu kita  tersilap kemuliaan melayang

Nilai kaedah hidup habis  terkena  serang

Pemikiran menjadi nisbi semua dasar terbang

Kita menjadi hamba baru  persejagatan

Kononnya  demi kejayaan dan kebahagiaan

Ekonomi kuat   selesa jaya dalam kehidupan

Sebenarnya menjadi papa tanpa kebebasan

Kaya bunyi hakikat sebenar khayalan

Kita bangsa agama menjadi melarat

Tamadun  sengsara umat mencapai sakrat

Tidak ada lagi  yang mulia boleh dibuat

Kepada Allah kita mesti memohon  rahmat

Agar tidak ditipu mereka yang sesat barat

–          Gubahan Lebai Nusantara di Kuala Lumpur-30-6-10 – sempena penulisan untuk pembentangan di Brunei Darussalam akhir Julai 2010.


[1] Untuk perbincangan dalam seminar di Brunei Darussalam Bandar Seri Begawan hujung Julai 2010

[2] Felo Amat Utama Akademik ISIAC IIUM, prof.Adjung Universiti Petronas Tronoh Perak, ahli lembaga pengarah IIM, ahli lembaga pemegang amanah Yayasan Karyawan.

Tradisi Keilmuan Melayu – satu renungan

بسم الله الرحمن الرحيم

نحمده ونصلى على رسوله الكريم

Tradisi Keilmuan Melayu – satu renungan

OLEH:

MUHAMMAD ‘UTHMAN EL-MUHAMMADY

Insya’ Allah apa yang berikutnya berupa suatu renungan  kembali terhadap tradisi keilmuan Melayu dengan aspek-aspeknya yang tertentu dan ciri-cirinya, serta kekuatan-kekuatannya dan juga apa juga yang sebaliknya dengan matlamat untuk menjayakan langkah-langkah keilmuan yang sahih, benar, serta mempunyai nilai kesinambungan dalam peradaban umat ini, di rantau ini.Ini berdasarkan kepada teks-teks yang representative dalam bidang-bidangnya yang berkenaan; juga ianya berupa percubaan untuk melihat bagaimana tradisi keilmuan ini memberi kekuatan untuk menghadapi pemikiran dan pengetahuan masakini. Penulis ini tidak melihat dirinya  sebagai pakar yang arif tentang bidang yang dibicarakan ini bahkan ia melihat dirinya hanya sebagai penuntut dalam perkembangan pemikiran Islam di rantau ini, yang ingin melihat kesahihan tradisi keilmuan Melayu-Muslim terpandu, sahih, menghimpunkan, menguatkan, serta menyelamatkan.Allahumma amin.

Tradisi keilmuan:

Maksud “tradisi” di sini ialah sebagaimana yang digunakan oleh mereka yang mengikut huraian falsafah dan metafisika ‘Abd al-Wahid Yahya  atau Rene Guenon ialah tradisi keilmuan dalam peradaban atau tamadun yang dipandukan oleh kebenaran-kebenaran dari alam tinggi yang menimbulkan kegiatan-kegiatan spiritual, intellektuil atau kesenian serta kegiatan-kegiatan yang bertalian dengan budaya dari segi kebendaannya  berdasarkan kepada kebenaran-kebenaran tersebut.Dilihat dari perspektif ini maka tradisi keilmuan Melayu yang menentukan wajahnya dengan cara yang paling menentukan (dicisive) ialah kebenaran-kebenaran Islam, yang mematangkan bahasanya serta pemikirannya yang tidak pernah muncul sebelumnya, sebagaimana yang tergambar dalam persuratan Islamnya dan juga pegangan dan amalan keagamaannya. Dengan ini berlakulah apa yang disebutkan oleh seorang pemikir yang menyatakan bahawa agama memberikan kepada suatu tamadun itu apa yang paling baik dan mulia dalam budayanya dan budaya itu pula memberi kepada agama itu bahasanya.Ertinya dalam konteks tamadun Melayu, Islam memberi kepada tamadun Melayu apa–apa yang paling mulia dan tinggi dari segi intelektualitinya serta nilai-nilainya  dan tamadun Melayu memberi kepada Islam bahasa Melayunya yang menjadi pengucap bagi peradaban Islam di rantau ini.Ini tergambar pula dalam kata-kata yang tepat dean indah itu, iaitu “Hidup bersendikan adat, adat bersendikan Syara’ dan Syara’ bersendikan Kitab”.Dan adat  itu difahamkan dalam pengertian yang multi-functional dengan aspek-aspeknya  yang menyentuh budaya intelektuil, moral social, serta keseniannya.

Tradisi Keilmuan Melayu

Tradisi keilmuan Melayu boleh dilihat terbayang  dalam kitab “Sejarah Melayu” yang menunjukkan iltizam umat Melayu kepada agama Islam aliran Ahlis-Sunnah wal-Jamaah, dengan penghayatan hukum Syara’nya tergambar dalam “Hukum Kanun Melaka.”Kehidupan umat di dalamnya merupakan kehidupan yang terdiri daripada kerjasama rakyat, raja dengan para pembesar hulubalangnya, serta dengan alim ulama memainkan peranan mereka dan rakyat jelata dalam kehidupan  itu.

Dan Melaka muncul sebagai pusat perdagangan antarabangsa zaman itu   dengan kerancakan perdagangan  dan  juga perhubungan pelbagai bangsa di dalamnya serta dengan kegiatan dakwahnya.

Dalam tamadun Islam di sana itu minat terhadap agama sangat tertonjol, dan tersebut bagaimana “Kitab Dur al-Manzum”  dijadikan perbincangan  dan sebutan.

Pada zaman-zaman selepas kejatuhan Melaka kerana rancangan Portugis dan kemunculan kesultanan-kesultanan Islam di Dunia Melayu ini seperti di Aceh, dan Johor termasuk Riau dan Petani menunjukkan kegiatan-kegiatan keilmuan Islam yang menghasilkan teks-teks Islam dalam Bahasa Melayu Jawi dalam beberapa cawangan ilmu-ilmu Islam yang terkenal.

Dengan itu maka  muncullah teks-teks yang representative bagi Ahlis-Sunnah wal-Jamaah yang merupakan Islam mainstream yang asal dan benar (“orthodox”  dalam pengertian asal dalam Bahasa Yunani)  dalam persuratan Melayu  dalam bidang-bidang yang berkenaan termasuk dalam penafsiran Qur’an, huraian hadith-hadith, aqidah Ahlis-Sunnah, pemahaman tentang Syari’at  berdasarkan kepada mazhab Syafi’I serta ajaran kerohanian seperti yang terdapat dalam teks-teks al-Ghazali, ibn ‘Ata’illlah as-Sakandari dan Abu Madyan al-Maghribi, Allah memberi rahmat kepada mereka semuanya.Inilah ilmu pengetahuan yang memberi rangka kepada epistemologi Sunni di Dunia Melayu ini.Dan diskusi ilmiah inilah yang  memberi keseragaman dalam faham ilmu Sunni di rantau ini, walaupun ada terdapat sedikit sebanyak perbezaan pendapat dalam perbincangan ilmiah di sini, serta dengan mengambil ingatan pula  terhadap keberadaan discourse dalam ilmu kebatinan Jawa  dengan tradisinya yang tersendiri.Bagaimanapun boleh dikatakan bahawa oleh  kerana jasa para ahli ilmu Islam Sunni yang berusaha dengan gigihnya dalam abad-abad ke 17, 18, 19 termasuk abad ke-20, terdapat apa yang boleh disebut sebagai “semantic continuity and homogeneity” –satu kesinambungan semantic dan keseragaman dalam wacana Dunia Melayu Sunni ini.Ini terdapat buktinya dalam penulisan mereka yang terlibat dalam wacana agung yang mengungkapkan wacana agung Sunni berdasarkan teks-teks agung umat ini.

Sekadar menyebut  beberapa nama, maka kita boleh nyatakan nama-nama Syaikh Nurddin al-Raniri, Syaikh ‘Abd al-Rauf al-Fansuri, Syaikh Arsyad al-Banjari,  Syaikh ‘Abd al-Samad al-Falimbani,  Syaikh Yusuf al-Khalawati,  Syaikh Nawawi al-Bantani, Syaikh  Daud al-Fatani, Syaikh Zain al-‘Abidin al-Fatani, Syaikh Ahmad al-Fatani, dan Swyaikh Ihsan al-Jampsi dan lain-lainnya yang merupakan pembawa ajaran Ahlis-Sunnah wal-Jamaah yang merupakan  ajaran yang mendominasi Dunia Islam.Pada penulis ini maka aliran inilah yang perlu diteruskan, diperkuatkan, dipertahankan serta dijayakan di Nusantara dalam menghadapi  suasana dan keadaan budaya  dan cabaran pemikiran zaman globalisasi ini.

Saya tertarik kepada pemikiran  ahli akademik di Cambridge, yang dahulunya mengambil bidang falsafah, kemudian menceburi dunia ilmiah Islam dengan teliti, ‘Abdal  Hakam Murad; kata beliau dalam wawancaranya di hadapan menteri pendidikan Bosnia tidak lama sebelum ini:

“Imam Ghazali’s significance is manifold. He not only understood philosophy, but he showed the dangerously speculative nature of its basic premises in a way which anticipates much of modern positivism.This awareness led him to develop a Muslim epistemology rooted in ‘tasting’ (dhauq) i.e. the  illuminative fruits of systematic and divinely assisted introspection , as the only sure path to knowledge. This makes him a figure of profound and immediate relevance to Westerners of my generation who often feel that post-modernism and the notion of ‘equality of all discourse’ have thrown humanity into what is in effect, despite all the information cascading from the universities and science laboratories , as a state of ideologically rigorous ignorance .We are now grasping what Ghazali and his school were explaining nine hundred years ago: no universal statements about the world and the human condition can be reached by purely ratiocinative or inductive methods , because these cannot transcend the material context of the world in which they are framed.Ghazali, in short, through his manifesto the ‘Ihya’’ offers the only intellectually rigorous escape from the trap of post-modernity” (http://www.sunnah.org/audio/onghazal/htm)

Yaitu “Kepentingan Imam al-Ghazali ada banyak seginya. Beliau bukan sahaja memahami falsafah, bahkan beliau menunjukkan sifat bahaya segi spekulatifnya pada hakikat premis-premis falsafah yang asasi, dengan secara beliau itu mengantisipasikan banyak dari falsafah positivisme moden. Kesedaran ini membawa beliau membentuk satu faham ilmu Islam yang mengakar dalam ‘rasa’ (pengelaman intellektuil yang sahih-p) (‘dhauq’) yaitu yang merupakan   buah-buah hasil introspeksi dalaman secara sistematis dan dengan bantuan ilahiah , sebagai satu-satunya sahaja jalan untuk mencapai ilmu. Ini menjadikan beliau sebagai suatu peribadi yang relevan secara mendalamnya serta segera masa ini juga bagi Orang-Orang Barat dari generasi saya yang kerapkali merasakan bahawa faham pascamodenisme dan tanggapan tentang ‘persamaan bagi semua jenis wacana’  sudah melemparkan umat manusia, secara amalinya,  walaupun banyaknya maklumat yang mencurah-curah keluar dari universiti-universiti dan makmal-makmal sains, ke dalam suatu keadaan, secara ideologinya yang berupa kejahilan dengan cara sedemikian bersungguh-sungguhnya.Kita sekarang ini mula menangkap memahami apa yang Ghazali dan alirannya bicarakan sembilan ratus tahun lalu: tidak ada kenyataan yang bersifat sarwajagat tentang alam dan situasi manusia  boleh dicapai hanya secara pemikiran  rasional atau induktif (ratiocinative or inductive methods) , kerana ini semua tidak mampu mengatasi konteks alam kebendaan   yang di  dalamnya kenyataan-kenyataan itu diciptakan.Ringkasnya, Imam Ghazali melalui manifestonya Ihya’ membentangkan jalan keselamatan yang satu-satunya dari perangkap pascamodenisme.”(http://www.sunnah.org/audio/onghazal.htm).

Yang menarik hati saya ialah pemikir semasa dari alam falsafah Barat ini boleh melihat bagaimana dalam wacana klasik dari seorang hakim Ahlis-Sunnah umat ini ada panduan intelektuil dan rohani serta moral yang relevan, untuk Orang Barat generasinya,  tanpa keperluan memilih jalan yang disebut sebagai ‘.liberal’ sebagai jalan yang dituntut oleh intelektualiti manusia.

Bertolak dari pegangan dan kefahaman bahawa idea-idea dan teori-teori bila sampai kepada tahap tertentu yang parasnya universal bagi sesuatu umat, di sini umat Islam, dan umat Melayunya yang memiliki Islam Sunni, maka ia menjadi baku, sebagai penghabluran intellektuil dan rohani dalam tamaddun yang sedemikian itu, dan mendapat kebakuannya.Dengan itu ia terjalin  dengan apa “yang asal”  dan apa “yang menengah”nya.

Persoalan-persoalan

Maka melalui cara memahami persoalan dalam rangkaian makna-makna sedemikian,  kita dituntut untuk berpegang kepada kebenaran keyakinan Sunni ini berkenaan dengan Tuhan, dan bagaimana huraian tentangNya (sifat-sifatNya, Perbuatan-Perbuatan Nya, nama-namaNya, hubunganNya dengan  alam dan manusia) mengikut ajaran asal ini, tanpa keprluan untuk mengubahnya melainkan anak-anak kuncinya boleh berubah; mungkin ada keperluan untuk menyebut teori quantum dalam hubungan dengannya, atau teori tentang “big bang”, atau “black holes” atau apa sahaja yang difikirkan sesuai dengan perimeter intelektuilnya; tetapi soal-soal pokok akidahnya kekal sama, dengan kebenaran asalnya dan kesinambungannya dengan wacana teologi Sunni itu.Tidak ada keperluan untuk menyemaknya dengan alasan tuntutan intelektuil, menganggapnya sebagai separuh benar,  atau benar apa yang bercanggah dengannya. Tidak perlu kita kepada pluralisme dalam aspek demikian.Kalau tidak maka hilang maknanya semantik Sunni tentang Tuhan dan yang berkaitan dengannya. Tikdak perlu pula disebut yang berlawanan dengannya adalah benar, kalau tidak semantic Qur’an tentang konsep tauhid dengan cirri-cirinya tidak ada makna lagi; juga konsep yang batil juga tidak ada maknanya lagi.Ini menimbulkan kekacauan intelektuil  dan rohani. Ia menimbulkan fragmentasi intelektuil, moral dan tindak laku manusia; dan akhirnya memecahkan dan meleburkan tamadun manusia sebenarnya.

Tentang nabi seperti nabi s.a.w. juga tidak ada keperluan untuk kita mengubahnya dalam system ilmu Dunia Melayu Sunni ini dengan konsep yang lain daripada yang sudah ada dalam teks-teks teologi yang baku baik dalam  Bahasa Melayu atau lainya di kalangan  Muslimin; semantiknya sudah baku, sahih, diakui ijma’; ianya insan kamil, yang perjalan hidupnya sunnah contoh dan tauladan dalam panduan-panduan agama dan  kehidupannya; tidak perlu kita kepada aliran  menolak Sunnah dengan alasan ia dari banyak abad yang  lalu; ia  bersifat normative sebab ia datang dari insan yang berupa norm.

Ringkasnya apa yang baku dan sahih dalam pegangan Sunni ialah antaranya yang disenaraikan dalam  Alfarq bainal-Firaq oleh ‘Abd al-Qahir al-Baghdadi dalam bahagian akhir  kitabnya itu.Dan ini disebut-sebut dalam teks-teks Sunni di Nusantara dengan pelbagai cara dan hujahnya mengikut teks-teks baku Sunni lainnya..

Dalam hubungan dengan Kalam Tuhan iaitu Qur’an, ini sudah selesai kaedah-kaedahnya disenaraikan oleh para ulama mengikut bahasa Arabnya, sasteranya, riwayat hadithnya, akidahnya, hukum-hakamnya, nilai-nilai moralnya, ta’wilannya serta tafsirnya,  juga sejarahnya. Sifat tunduk kepada tradoisi ilmiah Sunni dalam tafsir moden boleh dilihat pada Qur’an, Text, Translation and Commentary karangan almarhum ‘Abdullah Yusuf ‘Ali yang masih klasik sampai sekarang selepas lebih setengah abad.Itu perlu diteruskan mengikut kaedah-kaedahnya, dengan tambahan-tambahan berkenaan dengan maklumat-maklumat baharu dan penemuan-penemuan baharu, dengan terus menerus berpegang kepada apa yang baku dalam, methodologinya itu.Kalau di Dunia Melayu ia dihuraikan oleh mufasir seperti ‘Abd al-Rauf Fansuri dengan Baidawi Jawinya sampai kepada Al-Qur’an dan Terjemahannya oleh  Departmen Agama di Jakarta dan Pimpinan Ar-Rahman terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Dalam hubungan dengan Syari’at, maka ini berlaku penghablurannya mengikut ijma’ dalam empat mazhab Sunni, dan keperluannya itu tertunai dalam umat kerana diijma’kan bahawa mujtahid (dengan darjah-darjah kemampumannya serta bidang-bidangnya) yang melakukan yang demikian, kerana suruhan Qur’an supaya orang bertanya kepada ahli ilmu jika seseorang itu tidak mempunyai pengetahuan.Orang yang mampu berijtihad sebenarnya haram hukumnya mengikut orang lain. Pintu ijtihad sentiasa terbuka untuk mujtahid, bukan  untuk orang lain;  kalau dalam pengertian mengadakan hukum-hukum dengan fatwa-fatwa, maka itu sentiasa berlaku.Hanya sekarang timbul keperluan bergabung tenaga – kerana keadaan dan sejarah- antara ilmiawan dan  faqih supaya boleh diadakan hukum-hukum yang tepat dengan keperluan zaman. Itupun  tidak melepaskan orang awam daripada kewajipan mengikut mujtahid atau ahli fatwa yang ada kredibiliti keilmuan dan peribadi.Dan ini bukan hanya ditandai dengan ijazah sahaja.

Tentang seruan hendak merobah seluruh system Syariat supaya sesuai dengan zaman- sebagaimana yang biasa terdengar dari kalangan “yang liberal”, dari segi tuntutan intelektuil itu  sukar dipertahankan, sebab hukum-hukum itu dari segi yang terbanyaknya tidak memerlukan perubahan; tentangt ibadat, hidup kekeluargaan, muamalah,  pesaka, itu relevan kedudukannya;  mungkin yang perlu diberi pertimbangan lagi ialah tentang jenayah kerana tiada kemampuan Muslimin menjayakannya kerana kurang persediaan dan kerana siasah antarabangsa dan gangguan-gangguannya.Banyak aspek-aspek muamalah yang boleh dijayakan.  Tentang soal budaya, maka banyak perkembangan-perkembangan  yang boleh difikirkan, tanpa tunduk kepada budaya sensate Barat yang nampaknya sangat kurang batasannya itu, yang banyak memihak kepada kelemahan psikologi manusiawi.

Berhubung dengan kedudukan wanita dalam Syariat, maka tanpa tunduk melulu kepada feminisme Barat, kedudukan mereka perlu diberi penegasan kembali dengan kedudukan mereka yang “complementary” dengan lelaki,  dengan peranan-peranan yang menasabah dengan kewanitaan mereka. Perlu juga dibezakan antara apa yang bersifat kebiasaan-kebiasaan masyarakat dengan apa yang dituntut oleh Qur’an, Sunnah dan ijma’ tentang kedudukan dan fungsi mereka dalam keluarga dan masyarakat. Hak-hak mereka dalam pendidikan, dalam masyarakat, dan kepimpinan dalam kadar keharusannya, ada tempatrnnya.Pemingitannya secara total sudah tentu tidak ada tempatnya dalam Syariat Islam. Syariat tidak boleh terpisah daripada hidup kerohanian  dan moral sebagaimana yang jelas dalam Qur’an dan Sunnah serta ijma’.  Usaha untuk memisahkan “legality” kesahihan dari segi undang-undang  dengan hidup kerohanian dan moral,  itu tidak boleh dipertahankan dari segi Islam.

Serangan-serangan terhadap hidup kerohanian dalam Islam, termasuk serangan-serangan terhadap tasawwuf dan tarikat adalah seruan-seruan yang tidak ada hujahnya  yang teguh. Kalau dikatakan hidup kerohanian dan tasawwuf tidak daripada Islam, maka bukti Qur’an, Sunnah dan  ijma’  serta sejarah kerohanian dan teks-teks muktabar oleh ahlinya  menunjukkan  bahawa ianya authentik daripada Islam. Persamaan-persamaan dengan tradisi –tradisi lain dalam perkara-perkara tertentu tidak membuktikan peminjaman , sebagaimana persamaan wajah matahari dalam sastera dunia tidak menjadi dalil bahawa berlaku peminjaman dalam sastera dunia dalam perkara berkenaan itu.Soalnya ialah “coincidence of perspective”, perspektif yang berkebetulan sama.Dalam  zaman ketandusan spiritual seperti sekarang semakin manusia memerlukan perjalan rohani  dalam agama dan bukannya penapian hidup kerohanian.Penapian itu akan membawa manusia mencari-cari apa yang bersifat “pseudo-spiritual” atau kerohanian palsu yang mencelakakan.Dijauhkan Allah.

Serangan terhadap peribadi-peribadi kerohanian oleh setengah pihak sebagai sesat atau terkeluar dari agama dan iman, dijauhkan Allah, adalah fenomena yang timbul bertalian dengan beberapa perkara: sikap tidak mahu tunduk kepada epistemology kerohanian yang ada otoritasnya dengan mengangkat diri sendiri sebagai otoritas, sikap tidak mahu memahami peristilahan mengikut apa yang disepakati oleh pihak yang berwenang di dalamnya (bertalian dengan hal mula-mula), sikap tidak mahu meneliti teks-teks secara menyeluruh dan melihat maksud secara menyeluruh dalam aliran-aliran tertentu, katakanlah dalam hubungan dengan ibn ‘Arabi rd dan mereka yang sepertinya.Juga ini bertalian dengan sikap mahu menggunakan methodology dalam satu disiplin ilmu kepada ilmu lain, misalnya metodologi hadith untuk berbicara berkenaan dengan pengelaman dhauqiah dalam perkara kerohanian  dan menolak mereka yang dianggap otoritas di dalamnya.Juga ini bertalian dengan sifat fanatik dengan pendapat beberapa orang tertentu yang doifikirkan otoritas  yang boleh menghukum semua orang,  tanpa mengambil kira eptstemologi Sunni secara total dan integrated.Misalnya orang yang terpengaruh dengan ibn ‘Abd al-Wahhab yang memukul ratakan para ulama dan fuqaha serta pengikut mereka sebagai berada dalam kesesatan atau kekufuran, dijauhkan Allah, dengan menggunakan ayat yang bermaksud “Mereka mengambil rahib-rahib dan ahli-ahli hukum agama mereka sebagai tuhan-tuhan  selain dari Allah”( al-Taubah:31), walhal ayat itu ditujukan oleh al-Qur’an kepada pihak Ahli-Kitab yang menyeleweng.Yang menyelamatkan ialah sikap menerima epistemology Sunni secara total dan integrated mengikut teks-teks yang representative dalam bidang-bidang berkenaan sebagaimana yang ada dalam sejarah keilmuan umat ini, dengan kewaspadaan intelektuil tentang perkara-perkara yang sahih yang baharu muncul dalam perkembangan budaya ilmu.

Seruan untuk menolak Ahlis-Sunnah wal-Jamaah, mungkin kerana sikap hendak menjayakan sains dan teknologi, itupun satu sikap yang sukar dipertahankan, sebab faham ilmu Sunni tidak menolak sains dan teknologi yang bermenafaat, bahkan menerimanya. Wacana Sunni yang mengambil kira semua ilmu yang berfaedah dalam sejarah intelektuil Sunni ialah misalnya al-Muqaddimah karangan klasik oleh ibn Khaldun itu.Dan Islam dalam sejarahnya yang paling lama adalah bersifat Sunni  bukan Mu’tazilah misalnya. Keperluan untuk menolak Ahlis-Sunnah dengan hujah demi bagi menjayakan pengetahuan adalah hujah yang sukar dipertahankan.

Dalam hubungan dengan pengetahuan-pengetahuan yang selain daripada bidang keagamaan maka sikap Sunni ialah menerima mana-mana ilmu pengetahuan yang berfaedahh termasuk sains dan teknologi, termasuklah kalau sekarang, teknologi maklumat dan komunikasi,  serta bahkan bioteknologi bila ianya sangat berfaedah untuk umat.Sikap ini terbentuk oleh sejarah dan ajaran yang timbul daripada kenyataan hadith misalnya yang bermaksud “Hikmah kebijaksanaan itu barang hilang orang mukmin, dan di mana ia bertemu dengannya ia berhak terhadapnya”. Dan dalam Faid al-Qadir syarah al-Jami’ al-Saghir, Imam al-Munawi rh menyebutkan bahaimana mantik digunakan oleh Muslimin walhal ianya berasal dari cabang falsafah Yunani Purba.

Dalam hubungan dengan  ilmu-ilmu yang selain daripada bidang agama kita boleh camkan pandangan seorang ulama tradisional dalam abad ke 19 yang meninggal di awal abad ke-20, kata beliau dalam teksnya Hadiqatul-Aqzhar (hlm.19 dst. Edisi Wan Mohd Saghir Abdullah, Kuala Lumpur, 1992):

“Ketahui olehmu bahawa ahli negeri yang besar-besar yang lain daripada bangsa kita sangat me(ng)amat-amati dengan sya’n (kepentingan perkara-p) ilmu dan bersungguh-sungguh mereka itu mengajarkan dia akan anak-anak mereka itu hingga yang perempuan mereka itu sekalipun; dan me(ng)usaha mereka itu sehabis-habis usaha pada memudahkan menuntuti ilmu bagi segala-gala orang yang gemar (ke)padanya dengan sekelian jalan dan tipu (iaitu helah dan ikhtiar-p) hingga meringkah (iaitu membuat rekaan-p) mereka itu pada mengecapkan segala kitab yang boleh keluar beberapa ribu-ribu naskhah dalam masa yang sedikit sekira-kira jikalau disurat dengan tangan di dalam masa itu nescaya belum sudah satu naskhah dan membina mereka itu akan beberapa banyak madrasah yaitu rumah tempat mengajar dan mengaji segala ilmu dan (ber)bagai-bagai hikmat dan kepandaian yang bergantung dengan dunia dan akhirat mereka itu.”

Kemudian beliau menyebut tentang apa yang berlaku di Mesir , Turki dean lainnya berkenaan dengan kemajuan pengetahuan:

Maka kasih hamba bahawa memperikan kepada kamu akan setengah (daripada) barang yang berlaku pada negeri Istanbul dan Mesir dan lain daripada keduanya pada me(ng)amat-amati dengan ilmu >Adalah raja-raja mereka itu membinakan bagi mereka itu beberapa madrasah yang besar-besar dan dihiasikan dengan segala (per)hiasan yang sangat indah pada segala mata dan cenderung kepadanya oleh segala hati lagi jadi bersih dengan dia cerdiknya dan gemar oleh segala akal pada menuntuti segala ilmunya.Demikian lagi orang yang kaya-kaya membina mereka itu pada tiap-tiap kampung mereka itu satu-satu madrasah atau lebih dan dihiaskan dia dengan segala (per) hiasan yang elok dan diwakafkan baginya beberapa daripada bumi atau rumah atau lainnya dan diambilkan sewanya dan dibelanjakan dia pada maslahat segala madrasah itu dan digaji dengan dia akan segala guru-guru yang mengajar dengan kadar yang mencukupi akan mereka itu dan disukakan dengan dia akan segala mereka yang menuntuti ilmu kecil dan besarnya dan dalam tiap-tiap Jumuaat itu satu hari dicuba padanya akan tiap-tiap tilmidh (yaitu murid-p) daripada mereka itu pada barang yang ia hafazkan dia dan barang yang difahamnya dan barang yang didapatnya daripadea segala masalah dan kepandaian dan kebijakan (yaitu sifat bijak dan pandainya-p) di dalam perhimpunan segala taulannya ; maka jika dapat dijawabnya dapatlah ia kepujian daripada guru-gurunya dan orang ramai-ramainya, dan suka dengan dia segala hati ibu bapanya dan dapat ia perbalasan gaji yang lebih dan jika tiada dapat dijawabnya  bersungguh-sungguh ia hingga dapat supaya tiada jadi malu ia antara segala kawan-kawannya dan supaya dapat gaji yang lebih seperti mereka itu.Maka bermegah-megah mereka itu setengah atas setengah(nya)  dengan elok khat (atau tulisan-p) dan banyak lagu dan pandai menulis dan cempat (iaitu “cepat”) ber(h)itung dan elok aturan surat kiriman dan peteh (yaitu petah-p) membuat syair dan fasih percakapan dan pandai bertutur dengan beberapa bahasa yang lain daripada bahasa negerinya dan banyak hafaz dan bijaksana pada segala ilmu dan kepandaian pada hal ia belum baligh umurnya barang yang tiada dapat seorang kita pada hal umurnya sudah tuha (iaitu tua).”

Dan beliau menyebut tentang adab dan kehebatan para penuntut dan  ahli ilmu dalam perhatian beliau itu.Katanya:

Dan adalah mereka itu di dalam tempat mengaji mereka itu zahir pada mereka itu baik perangai waqar (hebat, tenangt-p) dan haibat dan sakinah (tenang-p) dan sangat beradab antara mereka itu dan dengan guru mereka itu;apabila masuk seorang daripada mereka itu memberi salam ia serta dengan hening dan lemah lembut ti(ng)kah lakunya dan apabila dating guru-guru dan yang lebih-lebih (yaitu yan g mempunyaiu sifat-sifat utama dan kelebihan peribadinya-p) daripada mereka itu berdiri sekelian mereka itu memuliakan baginya…”

Beliau menyebut tentang bagaimana pada akhir tiap-tiap musim dalam setahun itu diadakan beberapa majlis dan diuji para pelajar tiap-tiap madrasah oleh para ulama yang terkenal dan hukama serta mereka yangt mempunyai kelebihan, dalam  tiap-tiap Jumuaat.Ini melibatkan pembesar-pembesar negeri , wazir-wazir dengan majlis-majlis pula haibat dan indah , dengan itu terujilah kepandaian, kehandalan, kepitahan serta kemahiran para ahli ilmu.

Kemudian kata Syaikh Ahmad berkenaan negeri-negeri yang kuat dan maju kerana pemupukan ilmu pengetahuan dan  kemahiran serta kekuatan intelektuil dan pemikiran serta teknologi dan pertahanan:

Maka  demikianlah me(ng)amat-amati ahli negeri orang (yaitu negeri selain daripada Dunia Melayu-p) dengan sya’n (atau kepentingan kedudukan-p) ilmu pada negeri mereka itu hingga masyhur bangsa mereka itu atas sekelian bangsa dengan kepandaian dan bijaksana dan kepetehan dan banyak ilmu; maka dengan demikian itulah dapat mereka itu meringkah (yaitu membuat rekaan-p) buatkan beberapa alat yang (ber)menfaat pada segala manusia yang boleh musafir dengan dia kepada sejauh-jauh negeri di dalam masa yang sedikit dan datan g kiepada mereka itu sekelian khabar-khabar daripada sejauh-jauh jajahan di dalam beberapa lahzah (atau saat-p) dan me(ng)indah-indah mereka itu akan sekelian pekerjaan serta dengan lekas dan banyak dan bertambah-tambah demikian itu dengan berpanjangan masa dan dengan sebab baik percaraan (yaitu pengurusan-p)  dan muafakat antara mereka itu (kesepaduan social-p) serta besar hemah (yaitu cita-citia mulia dan tinggi dengan tumpuan yang bulat-p) dan halus tipu daya (yaitu siasah untuk mencapai matlamat-p) dan jauh helah dan dalam tilik mereka itu (yaitu berfikir dengan teratur, jauh matlamat, focus yang jelas-p) yang jadi sekelian itu daripada banyak pelajaran (dalam erti ilmu pengetahuan disiplin dan pendidikan-p)  mereka itu; maka boleh mereka itu peliharakan segala negeri dan jajahan mereka  itu hingga tiada tamak padanya oleh segala seteru dan jadi mudah bagi mereka itu mengambil akan negeri orang dan meliputi mereka itu dengan hal ehwal dunia laut dan darat (yaitu pertahanan mereka meliputi semua; kalau sekarang boleh disebut ruang angkasa, pengawasan elektronik dan seterusnya-p…)

Kata beliau, berkenaan dengan kerisauannya  berhubungan dengan negeri-negeri Melayu serta budaya ilmunya yang banyak kekurangan, dan kelemahannya dalam perkara demikian, serta cita-cita beliau yang mahu melihat Dunia Melayu ini menjadi kuat, mulia, penuh dengan kemahiran dan pengetahuan, supaya dengan itu agama menjadi mulia dan seteru memandang Islam dengan perasaan gerun dan hormat.Yang menariknya ialah beliau menyebut ilmu pengetahuan yang membawa kepada kekuatan siasah dan militari sebagai termasuk ke dalam perkara-perkara-perkara yang berkaitan dengan soal-soal besar dalam agama, bukan “secular”.Kata beliau:

Dan adalah pada hati hamba yang fakir sehabis-habis risau dan dukacita dengan sebab ihmal (tidak mengambil berat-p) dan mensia-sia bangsa kita ahli tanah Melayu dan ahli segala tanah yang di bawah angin  dan segala raja-raja mereka itu yang Muslimin yang dahulu-dahulu dan yang sekarang ini dan segala mereka yang kaya-kaya dan kemudahan daripada mereka itu tiada memperduli mereka itu akan umpama segala perkara yang tersebut itu hingga jadi kemudian daripada kemuliaan kita sekurang-kurang bangsa dengan dinisbahkan  kepada segala bangsa yang lain  dan hilang segala tempat kediaman kita dan kemegahan kita ; maka sekelian itu dengan sebab taksir(kecuaian-p) kita pada u(m)pama segala perkara itu dan sangka kita bahawasa(nya) sekelian demikian itu bukan daripada pekerjaan yang bergantung dengan agama kita; maka dengan sebab itulah kita biarkan dia pada hal jikalau kita tilik halus-halus nescaya adalah (itu semua-p) berambing (yaitu bersangkut paut –p) dengan segala perkara itu daripada sebesar-besar barang yang bergantung ia dengan agama kita, kerana dengan demikian itulah dapat kuat atas segala seteru dan kekerasan (maksudnya kekuatan-p) yang dengan dialah (ter)pelihara akan kemegahan agama kita dan yang menjadikan dia elok pada segala mata mereka itu, dan besar masyhur pada segala pendengaran mereka itu dan haibat pada segala hati mereka itu “ (Huruf tebal oleh penulis-p).

Kemudian beliau dengan harapan menggunung mahu melihat Dunia Melayu ini menjadi dunia yang melimpah dengan ilmu pengetahuan, kepandaian, dan kepakaran, sehinggakan bangsa Melayu ini, para penguasa, ilmiawan dan ulamanya mengatasi yang lain di dunia. Dan mereka semua mendapat pahala yang berkekalan dan negeri mereka terekenal dengan nama yang baik berserta dengan para pemimpin dan ulama serta mereka yang berjasa.Ini dari seorang ulama tradisional Sunni Dunia Melayu dalam abad ke-19.Kata Syaikh ini:

“Dan adalah hamba yang hakir (yaitu rendah mertabatnya, bahasa merendah diri dengan Tuhan dan manusia-p) bercita-cita di dalam hati sudah beberapa lama bahawasanya Allah Taala lagi akan memperdengarkan (kepada-p) hamba dan memperlihatkan (kepada-p) hamba di dalam masa hidup hamba ini bahawa adalah segala raja-raja Melayu (sekarang baca serta dengan para pemimpin mereka-p) yang besar-besar istimewa segala raja-raja di dalam Tanah Petani dan raja-raja Kelantan dan Terengganu dan Kedah yang amat mulia dan mahya besar sekeliannya dan raja Johor yang masyhur dengan besar himahnya danb raja Dali(Deli?-p)  yang masyhur dengan murahnya dan adilnya menaruh mereka itu akan cemburu pada segala hati mereka itu dan membesarkan segala hemah (cita-cita tinggi dan mulia dengan tumpuannya yang berkesan-p) dan menghadapkan inayah (pertolongan dan jagaan-p) mereka itu dan menyungguh-nyungguh  akan usaha mereka itu pada bahawa dijadikan segala negeri mereka itu (per)bendahraan ilmu danperladungan  kepandaian dan membukakan segala mata anak jenis mereka itu (iaitu mereka di Dunia Melayu-p) kepada memandang cemerlang kebijakan dan handalan supaya ada kemegahan  bangsa Melayu antara segala alam dan tertinggi nama mereka itu antara Bani Adam, dan bertambah-tambah kelebihan ‘ulama mereka itu atas segala ‘ulama dan bertambah nyata agama mereka itu atas segala agama, serta dapat pula bagi segala hadrat raja-raja itu jikalau diperbuat demikian itu (yaitu membesarkan hemah, menumpukan cita pada menjayakan budaya ilmu, kepandaian dan kemahiran, menjadikan Dunia Melayu perbendahraan ilmu dan perladungan kepandaian-p) keredhaan daripada Allah Taala dan rasulNya yang mulia dan pahala yang amat besar berganda (?) kerana pahala  tiap-tiap mereka yang dapat menafaat dengan segala perbuatan itu dan pahala tiap-tiap mereka yang mempunyai kekuasaan (yaitu kebolehan-p) yang menirukan kebolehan itu terbahagi dengan mereka itu selama-lamanya, dan dapat pula bagi mereka itu sebutan yang baik dan kepujian yang elok atas lidah segala makhluk dan tersurat di dalam tarikh ‘ulama dan buku raja-raja yang ‘uzama’ (yaitu yang agung-p) yang berkekalan daripada masa hidup hingga (ke-p) Hari Kiamat”.(ibid. hlm. 22-23. Huruf tebal oleh penulis).

Dan kita boleh perhatikan  lagi kenyataannya berkenaan dengan ilmu perubatan dan herba. Katanya dalam kitabnya Tayyibul-Ihsan fi Tibbi’l-Insan:

”(Ilmu Tibb) (atau Ilmu Perubatan-p) Menyerukan kami kepada menghimpunkan dia oleh bersangatan hajat jenis (atau bangsa-p) Melayu kepadanya ; dan banyak dharurat hal mereka itu kepada bicaranya  kerana mengubati itu berturut-turut soal mereka itu daripadanya, serta tiada ada sekali-kali daripada mereka itu orang yang me(ng)amat-amati dengan dia; atas kanun yang mudawwan (atau kitab undang-undang perubatan yang tersusun dalam kitab-p) yang membawa kepada mengetahuinya yang mu’tabar yang boleh diperpegang akan dia pada hal ilmu tabib itu daripada sebesar-besar barang yang berhajat kepadanya tiap-tiap manusia sehingga jahil mereka itu akan barang yang melengkapi ia atasnya daripada beberapa banyak rahasia; dan seolah-olah ilmu ilmu tibb itu pada sisi mereka itu sesuatu yang sia-sia; maka meninggal mereka itu akan dia nasyan mansiyya (seperti barang yang tidak terpandang kerana tidak bergunanya-p); dan serta tiada ada pula bagi mereka itu sesuatu daripada kutub (plural bagi kitab-p) pada ini sina’ah (kemahiran-p)  yang boleh diperpegang atasnya; dan dipercayakan dengan nakalnya (yaitu ambilan ilmunya-p)  dan diambilkan dengan ibaratnya dan nasnya; …(kemudian kata beliau tentang kitabnya-p) Dan telah kami harap bahawa membukakan Allah akan hati seorang yang mempunyai hemah yang tinggi maka bersungguh-sungguh ia mencubakan beberapa pohon kayu dan tumbuh-tumbuhan dan lainnya daripada barang yang ada pada bumi Melayu dan memeperiksakan yang demikian itu maka disuratkan  beberapa faedahnya dan khasiatnya dan pangkat segala tabiatnya dan kaifiat isti’malnya (cara menggunakannya-p) seperti barang yang memperbuat demikian itu oleh hukama’ Yunani pada masa yang dahulu dengan beribu-ribu tahun ; kemudian mengambil daripada mereka itu oleh hukama’ Arab dengan hemah setengah daripada raja-raja anak Harun al-Rasyid , maka berkekalan menta’lif (yaitu mengarang kitab-p) mereka itu beberapa banyak karangan ; maka tercawang (yaitu menjadi banyak cawangan-cawangannya-p) daripada demikian itu hingga sekarang (abad ke 19 dan awal abad ke-20) ini tibb segala tabib Furs (Orang Parsi) dan Hind (yaitu India) kemudian beratus-ratus pada yang demikian itu oleh segala tabib Afranj (yaitu Bangsa Barat amnya-p) maka menambah merengkah (atau membuat rekaan-p)mereka itu beberapa banyak rengkahan (atau benda rekaan-p) yang ajib pada hal kita jenis Melayu aula (atau lebih patut melakukan yang demikian itu-p) dengan demikian itu dari kerana  banyak segala ubat-ubat itu pada bumi kita hingga adalah kebanyakan ubat-ubat mereka itu diambilkan daripada bumi kita (hutan tropika kita-p) dan kita terlebih aula (atau terlebih berhak dan patut-p)  pada (me)merintahkan diri kita daripada jenis yang lain daripada kita ; maka bersangatanlah sayugia bagi raja-raja Melayu (sekarang dengtan para pemimpin yang ada-p)  bahawa memalingkan hemah mereka itu kepada mendapatkan barang yang tersebut  dengan menyungguh-nyungguh men yuruh dan menggemarkan manusia pada demikian itu dengan memudahkan jalan bagi demikian itu  dan berdiri dengan belanja bagi demikian itu maka dapat baginya pahala yang jazil (yang amat banyak-p) ; dan berkekalan baginya sebutan yang jamil (indah-p)…(Tayyibul-Ihsan fi Tibbil-Insan, edisi Wan Mohd Saghir Abdullah, Khazanah fattaniyyah, Kuala Lumpur, hlm.3-4).

Apa Yang Diperlukan:

  • Antaranya ialah pengembalian semula kepada epistemology Sunni  dalam hubungan dengan soal-soal tentang keTuhanan, Kenabikan, alam abadi dan segala perkara yang bertalian dengan “world-view” Islam Sunni yang baku, serta dengan pencarian kunci-kunci baharu dari perkembangan budaya dan intelektualiti semasa secara sahih dan tepat, bukan  hanya sebagai pengikut budaya  Barat secara “taklid” begitu sahaja; dengan itu berlakulah penegasan kembali kebenaran-kebenaran itu  yang akan mengembalikan kebenaran itu kepada kedudukannya serta dengan penghayatannya dalam hidup manusia yang mempunyai keyakinan yang tinggi, yang disebutkan oleh alm Said Halim Pasha sebagai “deep hearted men of action”, insan intelektuil yang mendalam keimanannya serta yang berupa manusia yang beramal bukan hanya berbicara.Pengembalian semula kepada epistemology ini bukan sikap sectarian tetapi sikap kembali kepada Islam asal.
  • Juga ini bermakna penegasan kembali iltizam intelektuil dan kerohanian terhadap ajaran  Syariat dalam pembakuannya dalam aliran-aliran mazhab Sunni yang terkenal dengan fiqhnya oleh para mujtahid yang berjasa itu, dengan mengambil kira keperluan tambahan-tambahan dalam hubungan dengan masalah-masalah semasa tanpa terputus kesinambungan intelektuil yang ada dalam umat ini.Dan dalam rantau kita ini alirannya ialah mazhab Syafi’I dengan mengambil panduan dan menafaat dalam fiqh mazhab-mazhab lainnya dalam Ahlis-Sunnah wal-jamaah. Sikap ini akan menjamin kesahihan pegangan serta sifat homogen dalam memahami persoalan yang mjenjadi asas bagi pembangunan tamadun dan budaya di rantau ini.
  • Dalam soal-soal spiritual dan moral panduan perlu diambil daripada wacana agung Sunni di dalam bidangnya, dengan mengambil kira apa-apa yang muktabar dalam bidangnya.Umpamanya panduan Imam al-Ghazali rd adalah diperlukan dalam bidang ini.
  • Dalam soal ketamadunan, budaya, kemasyarakatan, falsafah sejarah, budaya ilmu dan pemikiran serta kesepaduan social umat, maka wacana baku Sunni yang memandu ialah al-Muqaddimah gubahan ibn Khaldun rh.Teks seminal dan luar biasa ini- yang disebut oleh Arnold Toynbee sebagai buku teragung dalam bidangnya, yang pernah diahasilkan oleh suatu akal manusia di mana-mana dan di zaman mana pun—perlu memandu manusia Dunia Melayu dalam pembinaan budaya, tamadun serta pemerkasaan budaya ilmu dan berfikir, disertakan dengan kekentalan keyakinan dan rasa harga diri.Dan oleh Jude Wanniski ia disifatkan sebagai kitab yang terletak dalam senarai lima buah kitab terpenting  dalam seluruh sejarah dunia.Antara terpentingnya teks ini mengandungi teori tentang ‘asabiyah yang perlu digunakan bagi menjayakan perpaduan di Dunia Melayu ini, sebagai inti atau teras kepada kesepaduan dalam membina tamadun bersama dengan masyarakat madaninya di rantau ini.
  • Dalam hubungan dengan ahli-ahli tamadun lain dan agama lainnya, maka umat Melayu Muslim perlu membuat persediaan untuk mengadakan dialog mesra dan beradab, dengan memahami kelainan-kelainan yang ada, dan persamaan-persamaan dalam nilai-nilai sarwajagat, demi untuk membina tamadun bersama dalam menghadapi penghakisan nilai dalam arus “mono-culture”  dari Barat dalam zaman globalisasi yang sangat memprihatinkan.Dialog itu bukanlah berlaku dengan sikap yang kepura-puraan “liberal” mendatar, artificial, yang cetek, tetapi yang bersedia melihat adanya kelainan-kelainan dan juga persamaan-persamaan yang sahih, tepat,  serta belajar hidup beradab dalam kelainan dan persamaan itu; ini berlaku pada zaman Nabi s.a.w. dalam perjanjian Madinah sebagaimana yang direkodkan oleh Ibn Ishaq rh.
  • Untuk membuktikan Islam agama rahmat dan kasih saying serta persefahaman tidak perlu-dari segi intelektuilnya- diambil sikap “liberal”  sampai melemparkan asas-asas agama  yang sudah sepakat benarnya dalam umat, untuk menjayakan persamaan yang direka-reka secara artificial.Bentuk yang demikian tidak boleh bertahan sebab ia bukan ada asas yang teguh, dan bukan direstui oleh kerangka epistemology  yang terhormat dan sahih.

Wallahu a’lam. 

September 24, 2002

Bibliografi Ringkas

Selain daripada yang dinukil dalam teks, antaranya:

Adian Husaini M.A. dan Nuim Hidayat, Islam Liberal, Gema Insani, Jakarta, 2002.

Arnold, Thomas ,The Preaching of Islam, Lahore, Pakistan.

Hartono Ahmad jaiz,Bahaya Islam Liberal, Pustaka Al-Kautsar, Jakarta, 2002.

Mohd Taib Osman dan A.Aziz Deraman(eds), Tamadun Islam di Malaysia, DBP, Kuala Lumpur, 2000;

Riddel, Peter, Islam and the Malay-Indonesian World, Horizon Books, Sinpapore, 2001.

Said, Edward W., Orientalism, Vintage Books, New York, 1979.

Steenbrink, Dr Karel A., Beberapa Aspek Tentang Islam di Indonesia Abad ke-19,Bulan Bintang, Djakarta, 1984.

Yaakob Haron (ed),Kosmologi Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, 2001.