Benarkah musyrikin boleh bertauhid rububiyyah?

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

Utusan Malaysia 4 Januari 2010

sujud hamba-hamba-Nya yang soleh semata-mata kerana Allah SWT.


BERTEMU kembali di ruangan Relung Cahaya pada tahun baru 1431 Hijrah. Semoga penghijrahan kita kali ini lebih bermakna dan turut melonjakkan kita dalam perjalanan kita menuju kepada Allah SWT dan Rasul-Nya.

Kembali kepada tajuk tauhid yang sedang kita bicarakan. Setelah kita meneliti beberapa dalil dan jawapan yang menunjukkan kepincangan dan kebatilan tauhid tiga serangkai, ada baiknya kita juga memerhatikan sebahagian dalil yang digunapakai oleh pengikut tauhid ini bagi menegakkan pendapat mereka yang kabur.

Kami telah menerima maklum balas daripada mereka yang berpegang dengan tauhid ini dan mereka telah menyatakan dalil-dalil mereka. Namun, di sini kami hanya akan mengutarakan sebahagiannya sahaja dan jawapan bagi hujah mereka tersebut. Manakala sebahagiannya lagi, kami akan susuli pada ruangan dan kesempatan yang lain, insya-Allah.

Sebelum memanjangkan kalam, kami ingin menyuarakan biarlah perbicaraan kita ini difokuskan kepada tajuk yang dibincangkan, bukannya mencemuh pihak yang tidak sependapat dengan kita. Andai kita merasa kita lebih bijak dan lebih mengetahui, sepatutnya kitalah juga yang lebih bijak dan mengetahui tentang adab-adab berbicara dan berdebat. Bukanlah tujuan kami mengetengahkan tajuk ini untuk menyentuh sensitiviti sesiapa, mencari ruang permusuhan atau mengkafir dan menyesatkan sesiapa. Tetapi tujuan kami hanya untuk melihat kebenaran itu tertegak dan kebatilan itu terpadam.

Berbalik kepada tajuk yang kita bicarakan, kami ingin menegaskan bahawa antara perkara utama yang menyebabkan kami menolak pembahagian tauhid ini ialah pembahagian tauhid ini telah mengkategorikan orang musyrik termasuk di dalam golongan ahli tauhid dengan tauhid rububiyyah, bukannya sifat rububiyyah atau uluhiyyah bagi Allah.

Mereka yang berpegang dengan tauhid ini berpegang dengan firman Allah SWT dalam surah al Zumar ayat 38: Dan demi sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu, “Siapakah yang mencipta langit dan bumi?” Sudah tentu mereka akan menjawab, “Allah.”

Mereka juga berpegang dengan firman Allah SWT: Tanyakanlah lagi, “Siapakah tuhan yang memiliki dan mentadbirkan langit yang tujuh dan tuhan yang mempunyai Arasy yang besar?” Mereka akan menjawab, “(Semuanya) kepunyaan Allah.” Katakanlah, “Mengapakah kamu tidak mahu bertaqwa? (al-Mukminun: 86 dan 87)

Ayat-ayat lain yang serupa dengan ayat ini banyak terdapat di dalam al-Quran.

Kami menyatakan bahawa hujah ini terlalu lemah. Ini kerana orang-orang musyrik hanya mengaku dengan lidah mereka kewujudan Allah ketika mana mereka berada dalam keadaan terdesak setelah dikemukakan hujah-hujah kepada mereka. Sedangkan hati-hati mereka menolak dengan apa yang mereka ungkapkan dan mengingkarinya. Allah SWT telah menjelaskan hakikat mereka melalui firman-Nya: Mereka menjadikan kamu senang hati dengan mulut mereka, sedangkan hati mereka menolaknya. (al-Taubah: 8)

Berikrar

Berikrar dengan lidah semata-mata tanpa ditasdiqkan (dibenarkan) dengan hati, tidak ada nilainya dan tidak dikira pengakuannya itu di sisi syariat Allah.

Untuk lebih jelas lagi, perhatikanlah sambungan ayat daripada surah al-Zumar di atas yang bermaksud: Katakanlah (kepada mereka wahai Muhammad): “Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah selain dari Allah itu? Jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayanya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?” Katakanlah lagi: “Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri. (al-Zumar: 38)

Ayat ini jelas menunjukkan pembohongan dan kepura-puraan perkataan mereka. Mereka ini tetap juga menyandarkan kemudharatan dan manfaat kepada selain Allah. Mereka sebenarnya jahil tentang Allah dan mendahulukan tuhan-tuhan mereka daripada Allah, hatta dalam sekecil-kecil perkara.

Sekiranya jawapan ini belum cukup untuk memuaskan hati pengikut tauhid tiga ini, marilah kita perhatikanlah semula perkataan orang musyrik kepada Nabi Hud AS: Kami hanya boleh berkata bahawa setengah dari tuhan-tuhan kami telah mengenakanmu sesuatu penyakit gila (disebabkan engkau selalu mencaci penyembahan kami itu). (Hud: 54)

Bagaimanakah pengikut tauhid tiga boleh mengatakan orang musyrik mempercayai bahawa hanya Allah yang berkuasa dalam urusan mentadbir, memberikan manfaat dan mudharat sehingga mereka layak dikatakan mempunyai tauhid rububiyyah? Padahal mereka mempercayai bahawa berhala-berhala mereka mampu mendatangkan mudharat dan manfaat?

Seterusnya, perhatikanlah pula ayat 136 dari surah al-An’aam ini: Dan mereka (orang-orang musyrik) memperuntukkan dari hasil tanaman dan binatang-binatang ternak yang diciptakan oleh Allah itu, sebahagian bagi Allah (dan sebahagian lagi untuk berhala-berhala mereka), lalu mereka berkata: “Ini untuk Allah – menurut anggapan mereka – dan ini untuk berhala-berhala kami.” Kemudian apa yang telah ditentukan untuk berhala-berhala mereka, maka ia tidak sampai kepada Allah (kerana mereka tidak membelanjakannya pada jalan Allah), dan apa yang telah ditentukan untuk Allah, sampai pula kepada berhala-berhala mereka (kerana mereka membelanjakannya pada jalan itu). Amatlah jahatnya apa yang mereka hukumkan itu.

Jika orang musyrikin mentauhidkan Allah dari sudut rububiyyah kenapakah mereka telah mendahulukan berhala-berhala mereka daripada Allah daripada sekecil-kecil dan serendah-rendah perkara.

Allah telah berfirman dalam menjelaskan kepercayaaan mereka terhadap berhala-berhala mereka: Dan Kami tidak melihat berserta kamu penolong-penolong yang kamu anggap dan sifatkan bahawa mereka ialah sekutu-sekutu Allah dalam kalangan kamu. Demi sesungguhnya, telah putuslah perhubungan antara kamu (dengan mereka), dan hilang lenyaplah daripada kamu apa yang dahulu kamu anggap dan sifatkan (memberi faedah dan manfaat itu). (al-An’aam : 94)

Perhatikanlah betul-betul ayat-ayat ini, kemudian apakah pendapat kalian terhadap kebenaran tauhid uluhiyyah dan rububiyyah ini yang mengatakan bahawa orang musyrikin dan Muslimin adalah sama dan hanya berbeza pada tauhid uluhiyyah?

Dalil yang lebih menjelaskan lagi perkara ini ialah firman Allah: Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. (al-An’aam: 108)

Adakah selepas memerhatikan ayat-ayat Allah ini, kita masih melihat bahawa pengakuan orang musyrikin sebagaimana dalam surah al Zumar ayat 38 di atas dan ayat yang seumpama dengannya diungkapkan dengan jujur dan ikhlas? Adakah kita masih mahu mengatakan bahawa mereka bertauhid dengan tauhid rububiyyah?

Sesungguhnya kami dan ulama Ahli Sunnah sememangnya tidak pernah menolak penyusunan dan pembahagian ilmu yang banyak dilakukan dalam ilmu-ilmu Islam kerana kebaikannya kepada umat Islam. Tetapi kami tidak boleh menerima pembahagian tauhid ini yang implikasinya sangat memudharatkan umat Islam iaitu membuka pintu kepada mengkafirkan ahli Kiblat. Terlajak sampan boleh berundur, terlajak kata binasa.

Advertisements

Dalil sanggah beza tauhid uluhiah dan rububiah

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

Utusan Malaysia – 14 Disember 2009

MENYAMBUNG persoalan minggu lepas tentang tauhid uluhiah dan rububiah yang dibezakan oleh pereka tauhid ini, adakah terdapat perbezaan di antara kedua-duanya? Maka minggu ini kami memaparkan pula dalil aqal dan naqal yang menafikan sama sekali perbezaan ini.

Kami tegaskan sekali lagi, bahawa dengan membezakan di antara kedua-dua tauhid ini, mereka menganggap orang musyrik sebagai ahli tauhid dengan tauhid rububiah.

Dalam erti kata lain, melalui konsep tauhid rekaan Ibnu Taimiyyah ini, orang musyrik atau orang yang tidak mengucapkan kalimah syahadah dianggap sebagai ahli tauhid atau orang yang mengesakan Allah.

Ini kerana, kononnya mereka percaya dan mengakui bahawa Allah yang mencipta segala sesuatu dan mentadbir segala urusan alam ini, tetapi mereka tidak bertauhid dengan tauhid uluhiah kerana menyekutukan Allah dalam sembahannya.

Maknanya juga, dalam satu masa seseorang itu boleh dikira sebagai ahli tauhid dan musyrik. Inilah salah satu kepincangan tauhid ini yang mendapat sanggahan yang hebat daripada ulama Ahli Sunnah.

Sebagai menjelaskan lagi kepincangan dan kebatilan tauhid ini, marilah sama-sama kita merujuk kepada dalil-dalil ulama dari sudut akal dan naqal.

Dari sudut aqal

Sekiranya orang-orang musyrik termasuk di dalam golongan ahli tauhid rububiah (sebagaimana yang mereka percayai), bermakna mereka ini beriktikad dengan iktikad yang jazam (teguh dan tidak berbelah bahagi).

Dengan iktikad ini, sudah pasti mereka tidak akan meragui bahawa Allah itu Esa pada ciptaan, kekuasaan, pentadbiran, takdir dan perbuatan-Nya serta dalam mendatangkan suatu kesan sama ada manfaat atau pun mudarat, yang kesemuanya ini adalah komponen bagi tauhid rububiah.

Jika inilah keadaannya, bolehkah diterima akal, dengan iktikad sedemikian mereka boleh pula mengambil tuhan selain Allah untuk disembah, sedangkan tuhan yang lain itu tidak berkuasa mendatangkan sebarang manfaat atau mudarat kepada mereka?

Orang-orang musyrik pada setiap zaman dan tempat menyembah pelbagai sembahan selain Allah. Mereka mempercayai bahawa sembahan-sembahan mereka itu boleh melakukan sesuatu perbuatan, mendatangkan kesan, manfaat dan mudarat.

Boleh mendekatkan mereka kepada Allah, boleh mendatangkan sesuatu kebaikan bagi setiap orang yang datang meminta pertolongan kepada tuhan-tuhan mereka dan boleh mendatangkan mudarat kepada setiap orang yang berpaling daripadanya.

Semua kepercayaan ini menafikan tauhid rububiah.

Dari sudut naqal

Nas-nas syariat telah menetapkan secara jelas, terang dan qatie (pasti) bahawa orang-orang musyrik pada setiap masa dan tempat tidak akan mampu bertauhid dengan tauhid rububiah semata-mata dan menafikan uluhiah, tetapi mereka semua adalah orang-orang musyrik pada uluhiah dan rububiah sekali gus kerana kedua-duanya adalah perkara yang satu.

Sebagai contoh, kami sebutkan di sini dalil-dalilnya:

1. Firman Allah SWT dalam menceritakan tentang orang-orang musyrik ketika ditanya tentang rahsia sebenar mereka menyembah berhala selain Allah: Tidaklah kami (orang musyrik) menyembah atau memuja mereka (sembahan-sembahan mereka), melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah dengan sedamping-dampingnya. (al-Zumar: 3)

Ayat ini jelas menunjukkan, orang-orang kafir beriktikad bahawa patung-patung mereka mempunyai kekuasaan untuk memberikan hidayah kepada mereka dan mendekatkan diri mereka kepada Allah. Maksudnya sembahan mereka itu mampu memberi kesan dengan sendirinya.

Maka di manakah letaknya tauhid mereka bagi tauhid rububiah?!.

2. Nabi Hud a.s ketika berdialog dengan orang musyrikin tentang patung-patung sembahan mereka dan ketika diterangkan kepada mereka bahawa sembahan mereka itu tidak berkuasa untuk mendatangkan sesuatu kepada mereka melainkan Allah, mereka berkata: Kami hanya boleh berkata bahawa setengah daripada tuhan-tuhan kami telah mengenakanmu sesuatu penyakit gila (disebabkan engkau selalu mencaci penyembahan kami itu). (Hud: 54)

Kepercayaan bahawa sembahan-sembahan mereka boleh mendatangkan kesan yang buruk, jelas menunjukkan bahawa orang musyrik mempercayai pada sembahan-sembahan mereka ada kekuasaan yang boleh melakukan sesuatu perbuatan dan mendatangkan kesan mudarat atau manfaat.

Ini menunjukkan bahawa orang musyrikin tidakpun mengesakan Allah pada rububiah tetapi menyekutukan Allah dengan tuhan-tuhan yang lain pada tauhid uluhiah. Iktikad mereka ini ternyata berbeza dengan apa yang dipercayai oleh pendokong bidaah pembahagian tauhid.

3. Allah SWT berfirman: Tidakkah engkau pelik memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai tuhannya (Rabb) kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: Tuhanku (Rabbi) ialah Yang Menghidupkan dan Yang Mematikan. Ia (Namrud) menjawab: Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan. (al-Baqarah: 258)

Berdasarkan ayat di atas jelas dapat dilihat, Namrud telah mendakwa dirinya dengan perkara yang berkaitan tentang rububiah seperti mempunyai kerajaan, kekuasaan dan pemerintahan.

Dia juga mempercayai mempunyai keistimewaan rububiah yang boleh menghidupkan dan mematikan. Kemudian selepas itu, dia berdebat dengan Nabi Ibrahim a.s tentang Rabbnya (tuhan yang menjadikan) dan bukan tentang Ilahnya (tuhan yang disembah) sebagaimana penggunaan istilah dalam ayat tersebut.

Adakah selepas penjelasan ini, masih ada yang mendakwa: Sesungguhnya Namrud adalah ahli tauhid dengan tauhid rububiah dan Nabi Ibrahim a.s telah datang kepadanya untuk mengajak kepada tauhid uluhiah sahaja?

4. Allah SWT telah berfirman dalam menceritakan tentang Nabi Yusuf a.s yang mengajak sahabat-sahabat sepenjaranya kepada akidah tauhid yang suci:

Wahai sahabat sepenjaraku berdua! Memuja dan menyembah berbilang-bilang tuhan (Arbaab – jama’ kepada Rabb) yang bercerai-berai itukah yang lebih baik atau menyembah Allah Tuhan yang Maha Esa lagi Maha Berkuasa? (Yusuf: 39)

Marilah bersama saya memerhatikan perkataan Nabi Yusof a.s ketika mempersoalkan tentang Tuhan yang lebih baik disembah: “Adakah Tuhan-tuhan (Arbab) yang bercerai-berai. Beliau tidak berkata: “Tuhan-tuhan (Aalihah – jamak kepada Ilah).”

Adalah jelas bahawa penghuni penjara menyembah lebih daripada satu Rabb dan lebih daripada satu Ilah.

Adakah masih boleh diterima oleh akal yang sejahtera, jika dikatakan: Orang-orang musyrikin bertauhid dengan tauhid rububiah dan Nabi Yusuf datang kepada mereka dengan membawa tauhid uluhiah sahaja? Maha Suci Allah, ini adalah suatu pembohongan yang besar!.

5. Allah SWT berfirman menceritakan tentang Firaun yang berkata ketika menakut-nakutkan kaumnya agar mereka mentaatinya. Firaun berkata: Akulah tuhan kamu (Rabbukum) yang tertinggi. (al-Naazi’aat: 24)

Demikianlah dakwaan rububiah Firaun bagi dirinya dan dia cuba mengagamakan kaumnya dengan rububiah ini. Maka dari sini, tidakkah ada langsung sebesar zarah perasaan salah bagi mereka yang mendakwa bahawa Firaun dan kaumnya bertauhid dengan tauhid rububiah dan telah datang kepada mereka Musa Kalimullah a.s dengan tauhid uluhiah sahaja?

Di ketika yang lain, Firaun juga mendakwa uluhiah bagi dirinya ketika dia berkata: Wahai orang-orangku, aku tidak mengetahui adanya bagi kamu sebarang tuhan (ilah) selain daripadaku. (al-Qasas: 38)

Ini menunjukkan bahawa tidak ada perbezaan di antara rububiah dan uluhiah. Oleh kerana itu, sesiapa yang mendakwa dirinya dengan rububiah, maka dia telah menjadikan dirinya Ilah (sebagai tuhan yang patut disembah).

Sesiapa yang mendakwa dirinya dengan uluhiah pula, maka dia telah menjadikan dirinya sebagai Rabb (tuhan yang menciptakan, mentadbir dan sebagainya) bagi orang lain.

6. Mayat-mayat yang berada di dalam kubur, masing-masing tidak ditanya tentang uluhiah dan tauhidnya, tetapi malaikat akan bertanya kepadanya: Man Rabbuka? (Siapakah rab (tuhan) kamu?”

Sekiranya tauhid itu seperti yang dipercayai oleh Ibnu Taimiyyah, yang mana semua manusia di sisinya beriktikad dengan tauhid rububiah, kenapakah soalan malaikat ini masih diperlukan dan bermanfaat?

Ini menunjukkan bahawa dakwaan Ibnu Taimiyyah adalah tidak benar dan palsu semata-mata.

Kesimpulannya, orang yang syirik pada uluhiahnya dikira sebagai syirik pada rububiahnya juga. Sesiapa yang syirik pada rububiah maka dia juga adalah syirik pada uluhiah.

Minggu hadapan kami akan mengemukakan dalil-dalil mereka dan jawapan ulama tentang kesamaran dakwaan mereka. Benarlah perumpamaan Quraniy bahawa, sesungguhnya rumah yang paling rapuh ialah rumah labah-labah. (al-Ankabut: 41). Wallahu a’lam.

Usah terpesona tajdid segera Wahabi

Mula abad ke-18 Wahabi menentang ulil amri sehingga musnah kerajaan Islam Uthmaniah

Oleh Muhammad Uthman El-Muhammady

KALI ini perbincangan tertumpu kepada perbandingan antara tajdid cara Wahabiah dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Kerap disuarakan golongan ini sedang laksanakan ‘tajdid’ yakni pembaharuan atau penyegaran semula fahaman yang betul dan amalan dalam agama.

Konsep tajdid terkandung dalam erti hadis riwayat Abu Daud bermaksud: “Sesungguhnya Allah akan membangkitkan bagi umat ini pada permulaan setiap 100 tahun tokoh yang memperbaharui agama ini untuknya.” (Aunul-Ma’bud Sharah Abi Daud, al-malahim).

Maksud memperbaharui di sini ialah menjadikan apa yang dilupakan, diamalkan semula, terkeliru dijernihkan mengikut ajaran sebenar atau salah faham difahami semula dengan betul. Dalam hadis riwayat Muslim ada sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Terus menerus ada dalam umat ini golongan yang tertonjol menang dalam kebenaran sampai datang perintah Allah, tidak mendatangkan mudarat pihak merendahkan mereka sehingga datang perintah Allah (kiamat) walhal mereka dalam keadaan demikian.” (Riwayat Muslim)

Tokoh tajdid sama ada difahamkan peribadi tertentu yang cukup syarat ilmunya mengenai al-Quran dan sunnah serta huraiannya; dan ilmu yang zahir serta mengenai hal kerohanian, dengan peribadinya yang beramanah, atau beberapa peribadi bermula dengan Umar Abd al-Aziz, Syafie, ibn Suraij, al-Asy’ari, al-Baqillani, Sahal, al-Isfara’ini, al-Ghazali, Fakhr al-Din al-Razi, al-Rafi’I, ibn Daqiq al-‘Id atau al-Bulqini, (disebut dalam Aunul-Ma’bud Sharah Abi Daud) dan seterusnya dengan menyebut ulama hadis � usaha mereka ialah menghidupkan sunnah dan menghilangkan bidaah, menghidupkan apa yang dilupakan serta menguatkan apa yang lemah.

Tajdid yang berlaku berhubung dengan tokoh yang disebut dalam teks syarah hadis seperti Syarah Bukhari, Abu Daud dan Muslim menunjukkan jasa menyebarkan keadilan dan pelaksanaan ajaran Rasul, menguatkan sunnah dan pemahaman hukum dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah, penyusunan ilmu dalam Ahli Sunnah, akidah, ajaran kerohanian yang sahih, akhlak yang teguh, mengalahkan hujah yang menyerang Ahli Sunnah dan membantu dalam menjayakan hidup tamadun dalam Ahli Sunnah. Kemunculan Salahuddin al-Ayyubi, misalnya adalah hasil daripada tajdid ulama Ahli Sunnah termasuk ajaran rohaniah Imam al-Ghazali, Waliyullah al-Dihlawi abad ke-18, usaha dakwah abad ke-20 oleh al-Banna dan Said Nursi adalah hasil kesan daripada tajdid sahih Ahli Sunnah.

Kemunculan ulama Dunia Melayu dalam pengembangan ilmu dan amalan Ahli Sunnah hasil daripada tajdid sepanjang zaman itu. Dengan itu, akidah menjadi betul, ibadat dan hidup kerohanian menjadi berjaya, akhlak menjadi jernih, hidup masyarakat tersusun, hubungan antara ulil amri dan rakyat menjadi tersusun, hubungan umara dan ulama terurus walaupun ada gangguan dalam sejarah, amalan dan pegangan Ahli Sunnah terus berjalan dan tamadun Islam wujud sampai sekarang walaupun mengalami zaman kelemahan dan menghadapi cabaran dari luar dan dalam. Dengan tajdid yang sahih Ahli Sunnah menyelesaikan masalah cabaran falsafah yang menyeleweng, ajaran dan akidah sesat, kejahilan, kekeliruan, ilmu Islam tersusun, panduan jelas, dan tamadun menjadi teguh.

Berbanding tajdid Ahli Sunnah kita boleh sebutkan tajdid segera Wahabi bermula dari abad ke-18 itu. Antara yang berlaku ialah tuduhan umat Islam melakukan kesyirikan dan bidaah, lalu atas nama mengembalikan sunnah dan memerangi bidaah, berlaku penentangan terhadap ulil amri waktu itu iaitu kerajaan Uthmaniah Turki yang berabad mempertahankan Islam yang sedang dimusuhi Barat.

Apabila ia dilemahkan dari dalam oleh usaha golongan itu atas nama menegakkan tauhid dan sunnah, akhirnya ia lemah dari dalam, apa lagi apabila golongan itu bermuafakat dengan British dan Perancis seperti tercatat dalam ‘Unwan al-Majdi, akhirnya, jatuhlah khalifah itu dengan Kamal Attaturk memberi pukulan maut ke atasnya. Ertinya tajdid membawa kepada maut khalifah Islamiah. Maha suci Allah! Tajdid yang mereka lakukan muncul dalam bentuk memberi huraian tauhid yang dipecahkan kepada tiga (dikatakan itu huraian orang salaf, walhal tidak demikian), yang dijadikan alat untuk mengkafir dan mensyirikkan Muslimin yang bertawassul dan beristrighothah di kubur nabi dan lainnya, dan mengatakan penyembah berhala ahli tauhid rububiah yang ikhlas tauhidnya.

Tidak pernah berlaku sebelum ini penyembah berhala dikatakan ahli tauhid yang ikhlas walau dalam apa erti dan segi sekalipun. Juga tidak pernah berlaku yang Muslim dikatakan kafir kerana bertawassul dan beristighothah.

Golongan ini, akibatnya senang menghukum kafir sesama Muslimin; tauhid hasil tajdid segera mereka juga membawa kepada timbulnya kepercayaan mujassimah terhadap Allah walau bagaimana kuatnya mereka menolak hal ini dan akibatnya timbul kekacauan dalam masyarakat.

Tajdid mereka juga lahir dalam bentuk menghukum bidaah terhadap amalan Muslimin seperti talkin, qunut Subuh, berdoa beramai-ramai, membaca Yasin malam Jumaat, mengadakan majlis Maulud Nabi, membaca barzanji, mengadakan kenduri arwah, tahlil, berzikir beramai-ramai, mengaji Sifat 20 dan seterusnya ditolak terus, tidak ada bidaah yang baik.

Sebelum ini tidak ada tajdid bermula dengan pembicaraan mengenai talkin, qunut, berzanji dan yang sepertinya kerana itu semua perkara ranting dalam hukum dan amalan. Sikap mereka berhubung hal itu berlawanan dengan pendirian arus perdana Ahli Sunnah.

Itu semua dianggap bidaah yang mesti ditolak sebagai akibat yang timbul daripada sikap mereka memahami bidaah hanya satu jenis yang mesti ditolak. Timbul tajdid melarang orang mengikut mazhab fiqh kononnya seperti menyembah ulama. Ia lahir daripada sikap mereka menyuruh orang membuat keputusan sendiri daripada al-Quran dan sunnah.

Kata mereka senang saja seperti yang terkandung dalam kitab golongan ini Hal al-Muslim Mulzam Bittiba’ Madhhabin Mu’ayyanin min Madhahib al-Arbaah oleh al-Khojandi al-Ma’sumi, yang dipertahankan al-Albani. Berhubung dengan sikap demikian timbul perbuatan menghukum mereka yang sembahyang mengikut imam mazhab bukan melakukan sembahyang nabi. Sembahyang nabi ada dalam huraian golongan mereka seperti yang dalam buku Solatun-Nabi oleh al-Albani.

Kesannya timbul perkelahian dalam masyarakat sampai berlaku perceraian. Di sesetengah negara berlaku pertumpahan darah dan pembunuhan akibat daripada perkembangan sedemikian ini.

Tajdid golongan ini juga berlaku dengan menolak ilmu seperti tasawuf, astronomi dan mantik, perkembangan sains dan teknologi mendapat tentangan, perubahan hanya baru berlaku dalam kalangan mereka yang mengikut aliran ini. Ini berlawanan dengan sikap ulama Ahli Sunnah yang mempunyai sikap terbuka dalam hubungan dengan ilmu sedemikian seperti yang ternyata dalam al-Muqaddimahy ibn Khaldun dan Kashshaf Istiulahat al-Funun oleh al-Tahanawi.

Kesan ‘pembaharuan’ gaya tajdid segera golongan ini timbul perbuatan melanggar peraturan dalam negeri di mana mereka berada. Kalau golongan mereka tidak diberi tauliah untuk mengajar dan berceramah, mereka langgar peraturan itu dengan mengatakan itu bercanggah dengan ajaran Islam yang menyuruh berdakwah, sedangkan mereka terlupa dalam Ahl Sunnah, ulil amri berkewajipan untuk menjaga agama dan amalannya supaya berjalan atas landasan Ahli Sunnah dan mazhab yang diamalkan dalam negeri yang berkenaan.

Contohnya, boleh didapati dalam perbuatan Saidina Ali yang melarang mereka tidak layak daripada mengajar di masjid Basrah, walhal tokoh yang layak seperti Hasan al-Basri dibenarkan mengajar.

Demikian pula al-Mawardi dalam al-Ahkam al-Sultaniyyahnya dalam bab al-hisbah, menyebut keperluan ulil amri mengawal masjid supaya dakwah dan pengajaran berjalan lancar dalam aturan dan mazhab yang ditentukan dan amalan yang baik terlaksana. Ini dapat mengelakkan orang yang memberi penafsiran mengelirukan tidak mengganggu ketenteraman awam.

Ringkasnya perlu kita kembali kepada usaha memahami tajdid dan hasil kerja tajdid yang sebenarnya berlaku dalam ajaran dan sejarah Ahli Sunnah, apa lagi sempena awal Muharram tahun baru Islam 1431 Hijrah ini. Dengan ini kita tidak terpesona dan terpengaruh dengan dakwaan tajdid segera yang dilakukan golongan ini dan cuba ingatkan sejenak di mana timbulnya pemikiran seperti ini adakah kita melihat keamanan di dalamnya? Adakah kerja membina tamadun sebenar di dalamnya? Adakah sama dengan negeri Ahli Sunnah tertentu yang aman? Dengan itu mudah-mudahan kita dapat memiliki kefahaman yang tepat dan bermanfaat mengenai tajdid dan tokoh tajdid yang sebenar dalam umat ini, dan tidak terpesona dengan tajdid segera kelompok ini walaupun disebutkan nama yang hebat untuk mempromosikannya. Wallahu’alam.

Tiada bahasa kiasan dalam fahaman Wahabi

Ahli Sunnah dituduh syirik, lakukan bidaah kerana amalan bertentangan Syeikh Muhammad

Oleh Muhammad Uthman El-Muhammady

PENULISAN ini akan mengupas konsep tauhid dalam Wahabi, antaranya seperti yang ada dalam tulisan pengasasnya, Syeikh Muhammad bin ‘Abd al-Wahhab.

Pertama ialah huraian mengenai ‘Lailahailallah.’ Beliau menyatakan seseorang itu selamat harta dan nyawanya, iaitu tidak dibunuh dan hartanya tidak diambil, dengan lima syarat. Syarat pertama ia mengucap syahadah; kedua, tahu ertinya; ketiga mengaku tiada Tuhan melainkan Allah SWT; keempat, menyeru bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah SWT, menyembah-Nya; kelima, ia kufur terhadap yang disembah selain daripada Allah S.W.T

Tetapi jika syak atau teragak-agak antara percaya dan tidak, maka nyawanya dan hartanya tidak selamat. Kalau mengucap dengan lafaz saja belum selamat nyawa dan hartanya; kalau berlafaz dan tahu maknanya, juga belum selamat; kalau tahu maknanya dan ikrar dengan lidahnya, itupun belum selamat; kalau ikrar dan menyeru kepada Allah SWT itupun belum selamat; harta dan nyawa selamat hanya apabila ia tidak kufur terhadap Allah SWT.

Dalam Ahli Sunnah Wal Jamaah, kalau seseorang mengucap ‘Lailahaillallah’ maka selamat nyawa dan hartanya; kalau berlaku jihad jika ia mengucap maka tidak dibunuh. Dalam hadis sahih ada sahabat yang membunuh orang yang mengucap syahadah kerana katanya orang itu mengucap kerana takut kepada pedang; ia dimarahi oleh Rasulullah SAW. Dalam Ahli Sunnah orang yang mengucap ‘Lailahaillallah’ sahlah imannya. Ia dikira Islam. Kalau tersembunyi syak dalam hati selama ia tidak menzahirkannya, ia dikira Islam. Yang tersembunyi terserah kepada Allah SWT. Kita dalam Ahli Sunnah mengikut yang zahirnya. Tidak demikian halnya pada golongan Wahabi seperti yang ada dalam kitab pengasas mereka.

Dalam perkara tauhid juga mereka membuat huraian membahagikan tauhid atau mengesakan Tuhan dengan membahagikannya kepada tiga iaitu tauhid rububiyah, ertinya mentauhidkan Allah, Tuhan yang menjadikan alam, Dia memberi rezeki dan seterusnya, tauhid uluhiyyah, ertinya menyembah-Nya dan taat kepada-Nya; tauhid asma’ wassifat ertinya menerima nama dan sifat Tuhan seperti yang ada dalam al-Quran dan Sunnah, termasuk kalau ada ayat menyebut Tuhan ada tangan, maka diterima tanganlah , kalau Tuhan ada jari, maka jarilah, kalau Tuhan ada muka, maka mukalah, kalau betis maka betislah, sebab pada mereka tidak ada majaz atau kiasan pada bahasa. Semuanya hakiki, semuanya bererti mengikut zahir lafaz. Ketiga-tiga tauhid ini terpisah antara satu yang lainnya.

Sebab itu kata mereka, penyembah berhala itu ahli tauhid, tauhid jenis rububiyah, hanya mereka tidak ada tauhid uluhiyyah, itu silapnya. Tauhid rububiyah penyembah berhala itu pula kata mereka lebih ikhlas dan murni daripada tauhid seseorang yang mengucap ‘Lailahaillallah.’

Dalam Ahli Sunnah, tidak pernah ada pembahagian kepada tiga yang terpisah; tidak ada dalam al-Quran, hadis, dalam ijmak ulama atau dalam golongan generasi salaf (tiga abad awal Islam). Pembahagian ini muncul pada abad ke-8 Hijrah. Istilah yang digunakan oleh mereka iaitu bidaah muncul pada abad ke-8. Bagaimanapun mereka mengatakan ia aliran salaf padahal ia muncul kemudian?

Dengan tauhid yang dipecah tiga itu, mereka menyatakan bahawa orang yang berdoa di kubur nabi atau orang salih: “Ya Allah dengan kemuliaan dan keberkatan orang salih ini, selamatkanlah hamba dan keluarga hamba daripada bala yang berlaku ini,” orang ini dihukum syirik kerana menyembah orang mati, menyeru kepada orang mati. Tidak boleh bertawassul seperti itu kerana syirik dan boleh dibunuh.

Oleh itu seperti disebut dalam kitab mereka, Tarikh Najdin bahawa Syeikh Muhammad Abdul Wahhab menyatakan Muslimin di dunia tenggelam dalam dosa syirik menyembah berhala seperti orang Musyrikin zaman Jahiliah kerana menyembah kubur seperti itu. Hukum itu tidak pernah ada dalam kitab ulama Ahli Sunnah, sebaliknya dalam kitab golongan ini (Wahabi) saja. Jika kita mengikut cara mereka, maka habislah Melayu tenggelam dalam syirik sebab bertawassul padahal dalam Ahli Sunnah ia dibolehkan dan bukan syirik.

Tauhid yang tidak membenarkan takwilan ayat Quran dan sunnah yang menyebut Tuhan dengan sifat makhluk juga berlawanan dengan pegangan Ahli Sunnah. Katakanlah al-Quran menyebut Tuhan ada muka, pada mereka mukalah, kalau disebut Tuhan ada tangan maka tanganlah, kalau disebut Tuhan turun ke langit dunia pada sepertiga akhir malam, maka Tuhan turunlah. Kalau disebut Tuhan istawa atau bersemayam atas Arasy maka Tuhan duduklah di situ mengikut zahir lafaznya.

Dalam Ahli Sunnah, kita serahkan kepada Tuhan hakikat erti ayat itu atau kalau bimbang tersilap faham orang, kita takwilkan mengikut panduan ulama Ahli Sunnah, seperti kalau ‘muka’ itu maksudnya ‘Zat’-Nya, kalau tangan ‘Kuasa’-Nya, kalau disebut ‘betis’ bukan Tuhan ada betis, tetapi itu kiasan mengenai keadaan teramat dahsyat pada hari kiamat, bukannya bila terbuka ‘betis Tuhan.’

Dengan itu Wahabi memberi sifat Tuhan seperti sifat makhluk, jadilah ia mujassimah (golongan yang mengajarkan Tuhan bersifat seperti makhluk) seperti mujassimah zaman klasik. Daripada sikap ini timbul fahaman mereka bahawa Tuhan memegang langit dengan tangan kanan-Nya dan memegang bumi dengan tangan kiri-Nya apabila kiamat.

Huraian cara ini juga membawa mereka menyatakan Adam AS dan Hawa AS berlaku ‘syirik’ terhadap Allah SWT, iaitu apabila Tuhan kurniakan anak kepada mereka. Mereka didakwa ‘syirik’ kerana taat kepada Iblis dengan memberikan nama anak mereka sebagai Abdul Harith, iaitu hamba Iblis kerana al-Harith itu nama Iblis.

Mengikut Ibn Kathir, riwayat seperti ini mesti ditolak kerana ia daripada ahli kitab yang berlawanan dengan al-Quran dan sunnah, apatah lagi itu berlawanan dengan iktikad Ahli Sunnah mengenai maksumnya Nabi dan Rasul.

Mereka juga menuduh Imam Busiri yang mengarang al-Burdah sebagai syirik sebab ada bait syairnya yang memohon syafaat kepada Nabi SAW. Pada Ahli Sunnah, ini harus dan memang kita memerlukan syafaat Nabi SAW. Inilah beberapa perkara pokok dalam akidah Wahabi yang berlawanan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Wallahu a’lam.

Penulis ialah Felo Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC)

*********************************

MAKLUMAN PEMBETULAN:

Terdapat sedikit kesilapan dalam siaran pada Berita Minggu 15hb Nov, 2009. Para bermula dengan:

Pertama ialah huraian mengenai ‘Lailahailallah’ … ayat akhirnya “kelima, tidak kufur kepada Allah SWT.

Sepatutnya:

kelima, ia kufur terhadap yang disembah selain daripada Allah