Versi Bahasa Inggeris/English Version
Tulisan dalam Bahasa Inggeris/Articles in English: http://traditionalislamblog.wordpress.com/
dan/and
Laman lama/Our previous homepage: http://www.geocities.com/traditionalislam
(Namun laman ini akan ditamatkan perkhidmatannya oleh geocities pada 26 Oktober 2009)
Artikel-artikel di Laman Lama Akan Dipindah
Memandangkan Geocities akan menamatkan perkhidmatan penyediaan laman web percuma mereka pada 26 Oktober 2009, kami akan memindahkan semua artikel-artikel yang telah disiarkan di laman lama kami (http://www.geocities.com/traditionalislam/) secara berperingkat-peringkat ke blog ini.
Harap maklum, wassalam
Isu Wahhabi: Jangan Jadi Seperti “Empat Orang Buta dengan Seekor Gajah”
http://al-ashairah.blogspot.com/2009/11/isu-wahhabi-jangan-jadi-seperti-empat.html
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh; Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam; Selawat dan Salam ke atas Rasulullah SAW, Rahmat ke seluruh alam; Juga kepada ahli keluarga baginda dan para sahabat r.a. yang telah bertebaran di merata alam;
1 Sudah agak lama penulis tidak dapat meluangkan masa untuk menulis di ruangan ini. Alhamdulillah, pengajaran bagi semester ini telah pun tamat dan para pelajar penulis pada waktu ini sibuk mengulangkaji bagi peperiksaan akhir. Pada semester yang lepas, penulis terpaksa memberi fokus kepada “subjek-subjek baru” di peringkat pasca siswazah. Semoga Blog al-Ashairah dapat terus berkongsi manfaat dalam memahami fitnah yang sangat gelap di akhir zaman ini. Fitnah yang memakai pakaian agama, menggunakan slogan agama yang memukau, namun pada hakikatnya ia adalah racun yang sangat berbisa dan sukar untuk diubati.
2 Dalam banyak pengajaran yang penulis kelolakan, penulis sentiasa menyatakan bahawa “Bid’ah” itu seumpama RACUN dan “Maksiat” itu umpama NAJIS. NAJIS adalah sesuatu yang buruk dari segi luaran dan dalaman. Orang ramai mudah mengelaknya. RACUN pula pada kebiasaannya mempunyai rupa zahir yang elok dan seringkali dihidangkan dengan makanan bagi membunuh mangsanya. Mangsa mungkin tidak sedar dia sedang memakan racun tersebut. Hanya golongan ulama’ lah yang mampu mengenalpasti RACUN “Bid’ah” tersebut.
3 Pada waktu ini, umat Islam Malaysia dilanda dengan Isu Wahhabi. Ia bukanlah isu yang baru, ia adalah bid’ah yang dijenamakan semula dengan pakaian dan gaya persembahan yang baru.
4 Di dalam sejarah umat Islam, bid’ah-bid’ah yang timbul pada akhirnya dapat dipadamkan kerana bid’ah-bid’ah tersebut tumbuh di kalangan para ulama’ yang muktabar. Para ulama’ muktabar terdahulu telah menjalankan kewajipan dengan begitu baik [Semoga Allah merahmati mereka] dalam menguburkan bid’ah-bid’ah tersebut seumpama bangkai yang tertutup rapat.
5 Namun begitu, di akhir-akhir zaman ini, pada waktu para ulama’ muktabar begitu sedikit dan sukar dikenali, kejahilan agama tersebar luas, keilmuan agama hanya dinilai berdasarkan sijil akademik semata-mata [hakikatnya, ini adalah tanda akhir zaman], maka bangkai-bangkai bid’ah yang digali semula oleh sesetengah manusia dibentangkan sebagai ilmu di tengah-tengah masyarakat. Masyarakat yang kebingungan menjadi keliru, lantas mengambil jalan mudah dalam mempelajari agama ini dengan mengambil apa yang ada di hadapan mata, di TV, Internet, Suratkhabar, dll. Sedangkan disiplin ilmu Islam yang sepatutnya berasaskan “Talaqqi” dan “Suhbah” diabaikan.
6 Penulis ingin berpesan kepada umat Islam di luar sana, khasnya para Bloggers, agar tidak mudah-mudah mengeluarkan kenyataan mengenai Wahhabi jika anda tidak tahu. Ini adalah kerana “saham bid’ah” juga mungkin anda perolehi tanpa anda sedari. Penulis telah melihat banyak penulis dan pelayar internet yang meletakkan komen-komen di website dan blog bagi mempertahankan Wahhabi. Tanpa mereka sedari, mereka sebenarnya mempertahankan bid’ah yang sangat dikeji oleh para ulama’. Imam al-Shafie r.a. pernah berkata: “Aku lebih suka untuk engkau bertemu dengan Allah dengan segala maksiat di atas muka bumi ini kecuali syirik, daripada engkau bertemu dengan Allah nanti dengan sedikit daripada ahwa’ (mengikut hawa nafsu dalam agama, iaitu bid’ah).” Elok juga kalau penulis mengarang berkenaan “BAHANA BID’AH” di masa akan datang.
7 Ramai juga Bloggers yang mencipta teori berdasarkan pandangan politik mereka yang sangat sempit. Rasa sedih melanda penulis apabila melihat orang awam mula bercakap-cakap isu yang sangat serius di dalam agama tanpa ilmu yang jelas. Janganlah sampai perkataan kita ini membawa malang yang besar di akhirat nanti. Saidatina Aishah r.a. pernah berkata: “Barangsiapa yang memuji ahli bid’ah, maka dia telah menolong memusnahkan agama Islam.” Lihatlah betapa buruknya bid’ah di mata para sahabat r.a. AGAMA KAMU, AGAMA KAMU….peliharalah.
8 Ramai juga ahli agama yang mahu mengulas berkenaan isu Wahhabi, tetapi tak ubah seperti kisah “Empat Orang Buta dengan Gajah”. Melihat Wahhabi hanya daripada satu perspektif dan tidak menyeluruh. Maka, ada yang kata Wahhabi macam “tali” kerana memegang belalainya, ada yang kata Wahhabi macam “dinding” kerana memegang badannya, ada yang kata Wahhabi macam “tiang” kerana memegang kakinya, ada yang kata Wahabi macam “daun” kerana memegang telinganya. Ada juga yang kata Wahhabi ini isu “tingkap” sahaja, ada Wahhabi yang kata tak kenal apa itu Wahhabi dan bermacam-macam lagi ulasan yang dibuat tidak berlandaskan pandangan MAJORITI ULAMA’ MUKTABAR, tetapi hanya berdasarkan pandangan peribadi.
9 Berdasarkan pengalaman dan pemerhatian penulis berdasarkan kaedah al-istiqra’, Wahhabi boleh dilihat dari lima (5) perspektif, iaitu fiqh, aqidah, tasawwuf & tarikat, sejarah dan keselamatan negara.
10 Mereka yang melihat Wahhabi dari perspektif fiqh (e.g. qunut, air musta’mal, kaifiyyat tayammum, dll) sering menyatakan bahawa Wahhabi isu furu’ (cabang), tak perlu diperbesarkan, isu remeh temeh, dsb. Mereka terlupa bahawa Wahhabi juga banyak menolak hukum-hukum fiqh yang telah menjadi ijma’ (e.g. wajib qadha’ solat yang sengaja ditinggalkan, talak tiga dalam satu majlis jatuh tiga, hukum mengikut mazhab muktabar, dll), mereka juga terlupa bahawa Wahhabi banyak MENGHARAMKAN YANG HALAL di dalam ibadat, bahkan Wahhabi banyak mengkafirkan orang lain dalam isu furu’ dan sehingga mencaci hukum ahkam dan mazhab yang disusun oleh para ulama’ dan awliya, dll. Mereka yang melihat Wahhabi sebagai isu furu’ fiqh biasanya sering berkata: “Tak perlulah kita kecoh-kecoh, ini isu furu’ jer, tak usah gaduh….”. Sebenarnya orang seperti ini tidak mengenal Wahhabi sepenuhnya.
11 Ada juga yang melihat Wahhabi dari perspektif sejarah semata-mata. Mereka mengakui bahawa Wahhabi ada kaitan dengan kerajaan British dalam menjatuhkan kerajaan Turki Uthmaniyyah. Namun begitu, mereka berkata: “Ini isu lama. Tak guna bincang pada hari ini. Benda dah berlalu.” Orang seperti ini juga memandang isu Wahhabi dengan pandangan sebelah mata. Hakikatnya mereka tidak dapat mengenal perkembangan Wahhabi dan fahamannya. Mereka tidak sedar Wahhabi telah memusnahkan begitu banyak kesan sejarah Islam di semenanjung Arab.
12 Penulis mula mengenali Wahhabi dari perspektif Aqidah, berkaitan dengan sifat-sifat Allah dan ayat-ayat mutashabihat. Mereka yang melihat Wahhabi dari perspektif aqidah (e.g. sifat-sifat Allah, ayat-ayat mutashabihat, af’al al-ibad, kewajipan menghormati Rasulullah SAW, kaedah takfir, menolak ijma’, mempertikaikan karamah dan konsep barakah, dll) biasanya kurang bertolak ansur dengan isu Wahhabi. Bahkan, ramai para ulama’ yang menentang Wahhabi memberi penekanan kepada aspek ini. Ini sebenarnya adalah “titik-titik” pertelingkahan dan perbezaan yang besar di antara Wahhabi dan Ahli Sunnah wal Jama’ah. Namun begitu, ramai juga para ilmuan agama yang tidak dapat memahami “titik-titik” ini.
13 Keseriusan isu Wahhabi ini juga dapat dilihat daripada perspekti Tasawwuf & Tarikat. Golongan Wahhabi sangat membenci golongan Sufi. Bahkan mereka begitu benci dengan istilah Tasawwuf. Golongan Wahhabi sering mengkafirkan, bahkan ada yang membunuh golongan ahli Sufi dan Tarikat yang muktabar. Banyak amalan-amalan Tasawwuf yang ditentang dan dikafirkan oleh golongan Wahhabi seperti zikir berjemaah, zikir ism al-dhat – Allah, Allah, penggunaan tasbih, tahlil, hadiah pahala dan banyak isu-isu lain. Golongan Wahhabi terlupa sebenarnya mereka memusuhi ramai para Wali Allah yang besar-besar apabila mereka memusuhi ulama’ Tasawwuf dan Tarikat. Mereka yang menilai Wahhabi daripada isu Tasawwuf dan Tarikat dapat memahami keseriusan isu Wahhabi ini.
14 Ada juga yang mula mengenali isu Wahhabi daripada perspektif keselamatan negara. Pihak berkuasa kerajaan pada kebiasaannya mula mengenal fahaman Wahhabi hasil daripada kajian mereka ke atas golongan berfahaman ekstrim yang ditahan. Hampir kesemua yang ditahan mempunyai latar belakang Wahhabi yang kuat. Mereka menyanjung tokoh-tokoh Wahhabi dan membaca buku-buku mereka serta mudah mengkafirkan umat Islam yang lain dan menghalalkan darah mereka kerana berpegang dengan kaedah takfir fahaman Wahhabi. Isu ini pernah diperkatakan di parlimen Indonesia. Oleh sebab itu, ramai pegawai di bahagian keselamatan negara yang memahami keseriusan isu ini.
15 Oleh itu wahai umat Islam, lihatlah isu Wahhabi ini daripada kelima-lima perspektif ini, pasti anda akan dapat memahi keseriusan para ulama’ menilai fahaman dan gerakan Wahhabi ini. Dan janganlah menjadi seperti “Empat Orang Buta dan Seekor Gajah”.
Ya Allah! Peliharalah kekuatan Ahli Sunnah wal Jama’ah di dalam umat ini, jauhilah mereka daripada fitnah yang melanda agama mereka, bantulah umat ini menolak dan memerangi golongan ahli bid’ah dan musuh-musuh mereka.
16 Marilah kita bersama-sama bersolat hajat, membaca Yasin, membaca Hizb al-Bahr, solat sunat Tasbih, Hajat & Taubat, atau/dan lain-lain, dan berdoa semoga memelihara pegangan Ahli Sunnah wal Jama’ah di Malaysia ini khususnya, dan seluruh dunia amnya. Amin, Ya Rabbal Alamin.
Ikut Mazhab Wajib?
Oleh: Dr Asmadi Mohamed Naim – (http://drasmadinet.blogspot.com/)
Saya didatangi dengan soalan ‘adakah mengikut mazhab itu wajib?’. Saya akan cuba menjelaskan secara ringkas. Secara khususnya, seseorang yang bertaraf mujtahid adalah dilarang mengikut mazhab sebaliknya hendaklah dia berijtihad berdasarkan dalil al-Quran dan sunnah.
Bagaimana pula orang-orang awam? Sepakat ulama-ulama Usul (untuk diiktiraf ulama usul mereka mesti mahir quran & sunnah dan penafsirannya) mengatakan mazhab orang-orang awam ialah mazhab muftinya, kerana sekiranya didatangkan dalil kepada orang-orang awam, dia tidak tahu sahihnya atau dhaifnya; atau dia tidak tahu cara penghujahannya; dan dia juga tidak tahu nasikh atau mansukh. Akhirnya dia juga terpaksa bertaqlid dengan ustaz-ustaz untuk bertanya mana sahih, dan yang mana dhaif; atau bertanya maksudnya. Maka muqallid jugalah tu, Cuma berubah dari taqlid Imam-Imam mazhab kepada taqlid ustaz itu.
Apabila ditanya kepada saya, adakah saya mengikut mazhab, saya katakan: Saya bukan mujtahid, jadi saya mengikut dan mengeluarkan pandangan kebanyakkannya berdasarkan mazhab Imam Shafie Rahimahullah seboleh mungkin.
Saya ditanya lagi: Kalau begitu ustaz seorang muqallid (pentaklid) jugalah? Saya katakan: Antara muqallid dan mujtahid, ada martabat pertengahan iaitu ‘muhafiz’, iaitu berpegang pada pandangan mazhab, dengan juga melihat dalil-dalil. Kalau saya dapat sampai ke tahap ini, saya bersyukur banyak-banyak pada Allah SWT.
Saya ditanya lagi: Kenapa Ustaz berpegang pada pandangan orang dah mati? Saya katakan: Ulama Usul sepakat membenarkan berpegang kepada pandangan orang yang sudah mati sebab yang mati ialah orangnya, tapi ilmunya tidak mati.
Saya ditanya lagi: Kenapa Ustaz tak mengikut mana-mana profesor/Dr/Ustaz sekarang yang boleh bina mazhab sendiri? Saya jawab: Kenapa perlu saya berubah keyakinan dari orang yang dekat zamannya dengan Rasulullah SAW (العالي), kepada orang di zaman sekarang (النازل) yang saya tak tahu sejauh mana ketakwaan dia dan ilmunya!
Saya ditanya lagi: Tak cukupkah ijazah PhD yang ustaz dapat untuk menjadi mujtahid? Saya akan katakan sambil gelak: Tidak ada pun ulama-ulama besar mensyaratkan ada PhD/Prof. Madya sebagai mujtahid. Setahu saya mereka mensyaratkan hafal al-Quran dan sunnah, tahu ijma’ dan qiyas, mahir dalam usul fiqh, mahir bahasa Arab, tahu nasikh dan mansukh dan lain-lain beserta sifat taqwa! Sistem belajar sekarang, kalau saya kaji pasal kuman, saya mahir dalam kuman sahaja, belum lagi bidang lain. Untuk Prof. Madya/prof pula, kena tulis bagi masuk Jurnal-Jurnal terkemuka, buku-buku, buat kajian dan markah-markah persidangan, jawatan dan sebagainya. Tapi kalau banding dengan kitab-kitab ulama dulu yang tebal-tebal dan diiktiraf dalam pelbagai bidang, merah padam dan malu rasanya. Bersyukurlah kalau dapat menjadi hamba yang tahu dirinya……
Saya ditanya lagi: Habis tu, ada orang mendakwa dia mampu berijtihad! Saya katakan lagi: Biarkan Si luncai terjun dengan labu-labunya……. adakah anda mahu terjun sama…silakan….tapi belum pasti selamat….
Mungkin petikan dari kitab al-Sheikh Mahmud Sa’id Mamduh (dalam kitabnya al-Ta’rif bi Auham man qassama al-Sunnan Ila Sahih wa Dhaif, jilid 1, halaman 14) membantu kefahaman pembaca:
Faedah ke 3
Sesungguhnya aku melihat al-Ustaz al-Sheikh ((Muhammad Nasruddin Al-Bani)) melarang beramal dengan sebarang hadis-hadis dhaif, dan mewajibkan membezakan antara sahih dan dhaif –berdasarkan pandangannya- untuk dia mempromosikan kepada orang ramai dengan sesuatu yang dinamakan- “al-fiqh al-musaffa (fiqh tulen/suci) – sila rujuk muqaddimah Sahih al-Adab al-Mufrad, 2000, hal.32, Cetakan Dar al-Buhuth lil Dirasat al-Islamiyyah).
Ketika itu dia mempunyai tugasan untuk menjelaskan apa yang dinamakan ‘fiqh musaffa’; maka beliau melakukan pembahagian kitab-kitab Sunan yang empat kepada dua bahagian:
1. Sahih dan hassan, yang boleh diamalkannya.
2. Dhaif, tidak boleh diamalkannya, dan dia gabungkan dengan hadis-hadis wahiyat(rekaan) dan maudu’at(palsu) dalam satu bab.
Sesungguhnya aku melihat perbuatannya ini, bertentangan dengan jalan para fuqaha dan ulama hadith. Sesungguhnya dia mencipta satu kecacatan besar, dan satu keraguan besar pada dalil-dalil furu’ fiqh yang umum, dan mencabut thiqah (keyakinan masyarakat) terhadap ulama-ulama fiqh, hadith dan terhadap warisan penulisan fiqh, hadith yang diwarisi dan umat bangga dengannya.
Tambahan pula, dia juga diuji dengan mengingkari sebahagian jalan-jalan para fuqaha’ dan ulama hadis pada mensahihkan dan mendhaifkan hadith dan hukum ke atas rawi. Dia menuduh ulama-ulama silam sebagai ‘tidak konsisten’ pada satu ketika, dan pada ketika lain sebagai memudah-mudahkan’.
Maka menyangkalah orang-orang yang tidak mengetahui (jahil), bahawasanya, dengan berbeza pandangan Albani dengan fuqaha’, muhadthin dan para penghafal hadith, Albani telah mendatangkan sesuatu yang sukar bagi ulama-ulama silam (samada Mutaqaddimin atau mutaaakhkhirin) memahaminya dan menguasainya, maka bersegeralah mereka bertaklid padanya, dan orang-orang ini meninggalkan para Imam-imam dan penghafal hadith, dan beramal secara berbeza dari apa yang diwarisi dari Imam-Imam, ijtihad ulama mujtahid; dan Albani menjadi tinggi dari mereka. Maka jadilah Sheikh Muhammad Nasiruddin Albani memindahkan orang ramai dari mengikuti ‘orang yang dekat zamannya dengan Rasulullah’ (العالي), kepada ’seorang yang zamannya jauh daripada Rasulullah’ (النازل), dan menjauhkan mereka daripada mengikuti Imam-Imam Mujtahid dan para penghafal hadith kepada mengikutinya seorang sahaja.” Tamat Nukilan
Terpulang kepada pembaca membuat pertimbangan. Pada saya berpegang pada ijtihad dahulu lebih selamat dari berpegang kepada ijtihad sekarang yang kelihatan carca merba metodenya dan bertaklid dengan orang-orang baru (al-nazil).
Semoga Allah SWT menyelamatkan kita dari kesesatan dan menganugerahkan kita jalan yang lurus.
Wallahu a’lam.
Tauliah elak penyelewengan
Oleh MOHAMMED KHUSRIN MUNAWI
BAHAGIAN Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan pelbagai program dakwah di kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam di Selangor sejak ditubuhkan 58 tahun lalu.
Bagaimanapun, sebagai sebuah negeri yang diiktiraf negeri maju pada 2005, Selangor menjadi tumpuan penduduk yang berhijrah dari negeri lain.
Malah, Selangor juga didatangi oleh rakyat dari pelbagai negara seperti Indonesia, Bangladesh, India, Pakistan, Thailand dan lain-lain. Situasi ini menyebabkan pelbagai pihak dari pelbagai negeri dan negara mendakwa mereka mempunyai kredibiliti untuk mengembangkan ajaran Islam melalui metod ceramah.
Selain itu, perkembangan ajaran salah dan fahaman yang bertentangan dengan amalan majoriti umat Islam di Malaysia semakin berkembang di Selangor dan keadaan ini amat membimbangkan.
Menyedari permasalahan ini memerlukan kawalan, JAIS melalui Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mulai 2003 menguatkuasakan Kaedah-Kaedah Tauliah Tahun 2001 yang memberi panduan mengenai proses permohonan tauliah mengajar atau berceramah di Selangor.
Pada tahun 2008, Kaedah Tauliah tersebut dipinda dan digantikan dengan PeraturanPeraturan Tauliah 2008.
Melalui Jawatankuasa Tauliah MAIS, empat kategori dikeluarkan untuk mengenal pasti penceramah atau tenaga pengajar yang berkelayakan, sesuai dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman yang mereka miliki.
Kategori-kategori tersebut merangkumi: D 1: berceramah; D 2: mengajar fardu ain atau pengajian berkitab; D 3: mengajar al-Quran dan D 4: Khas.
Individu yang berminat untuk mendapatkan tauliah dikehendaki mengisi borang permohonan dan mengemukakannya kepada pihak urus setia iaitu Bahagian Dakwah JAIS melalui Pejabat Agama Islam Daerah.
Setelah permohonan diterima, pemohon akan dipanggil menghadiri sesi temuduga bagi mengenal pasti kemahiran dan kesesuaian permohonan mereka dengan kelayakan yang dimiliki.
Bagi pemohon yang tinggal di luar Selangor, mereka disyaratkan mengemukakan tauliah mengajar atau berceramah dari negeri masing-masing terlebih dahulu sebelum melalui sesi temuduga.
Pihak urus setia akan menghantar senarai nama pemohon kepada pihak Ibupejabat Polis Kontinjen Negeri Selangor untuk tujuan tapisan keselamatan.Setelah mendapat keputusan polis, satu mesyuarat Jawatankuasa Tauliah akan dilaksanakan bagi memutuskan individu yang layak diberi tauliah dan menetapkan kategori tauliah bersesuaian dengan pemohon.
Semua penceramah dan tenaga pengajar yang telah diberi tauliah akan diberikan kemahiran dan ilmu mengenai isu semasa melalui kursus pendekatan dakwah kontemporari, muzakarah, seminar dan kursus mengenai isu semasa.
Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008 telah menetapkan kad tauliah yang diberikan kepada semua pemegang tauliah adalah berkuat kuasa tidak lebih 5 tahun.
Ini bertujuan memudahkan tapisan keselamatan dan kawalan dibuat ke atas penceramah dari semasa ke semasa.
Menurut Seksyen 6 (Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor) EPAINS 2003, MAIS merupakan pihak berkuasa utama selepas Sultan, berhubung dengan semua perkara yang berkaitan agama Islam di Selangor, kecuali perkara-perkara berkaitan dengan hukum syarak dan pentadbiran keadilan. Selanjutnya, menurut EPAINS 2003 , Seksyen 7 (1), MAIS hendaklah bertanggungjawab menggalak, mendorong, membantu dan mengusahakan kemajuan dan kesejahteraan ekonomi dan sosial masyarakat Islam di dalam Selangor selaras dengan hukum syarak.
Dalam menjalankan tanggungjawab sebagai pentadbir agama dan bagi memenuhi kehendak Seksyen 7 (1) EPAINS 2003 tersebut, MAIS menggubal beberapa peraturan dan undang-undang kecil untuk memastikan tanggungjawab itu dilaksana dan dikuatkuasakan melalui agensi pelaksana iaitu Jabatan Agama Islam Selangor.
Ini termasuklah menggubal undang-undang berkaitan dengan pendidikan agama Islam dan tauliah selaras dengan kuasa yang diberi di bawah Seksyen 118 (4) EPAINS 2003. Selaras dengan seksyen tersebut, pada 20 November 2008, Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008 dikuatkuasakan dan Kaedah-kaedah Tauliah (Selangor) 2001 dimansuhkan.
Di Selangor, Seksyen 118, Bahagian X Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan bidang kuasa MAIS terhadap pendidikan agama Islam di negeri, iaitu untuk memantau dan mengawal pengajaran atau pendidikan agama di Selangor.
Pemantauan dan pengawalan ini dilaksanakan oleh Jawatankuasa Tauliah yang dilantik oleh MAIS yang terdiri daripada Setiausaha Majlis sebagai Pengerusi dan tidak lebih daripada tujuh orang ahli yang mempunyai kepakaran, pengalaman dan pengetahuan yang sesuai, termasuklah Mufti Selangor.
Majlis juga boleh membuat peraturan-peraturan berkaitan dengan permohonan dan pemberian tauliah.
Peruntukan yang berkaitan turut dikuatkuasakan di negeri-negeri lain. Antaranya Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Sarawak yang memperuntukkan wujudnya satu jawatankuasa yang diberi kuasa oleh Majlis Agama Islam Negeri untuk memberi atau menarik balik tauliah yang diberi.
Bagaimanapun di beberapa negeri, Jawatankuasa ini dikenali sebagai Jawatankuasa Pengawasan Ajaran Agama Islam.
Seksyen 118 (3) EPAINS 2003 memperuntukkan bahawa Jawatankuasa Tauliah hendaklah mempunyai kuasa untuk memberikan tauliah bagi maksud pengajaran agama Islam atau apa-apa perkara tentang agama Islam dan untuk menarik balik tauliah itu. Peruntukan ini juga sama dengan peruntukan di negeri-negeri lain.
Selanjutnya, menurut Peraturan 8, Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008, Jawatankuasa Tauliah turut mempunyai kuasa untuk menetapkan syarat atau sekatan kepada penerima tauliah.
Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 turut memperuntukkan penalti bagi kesalahan mengajar agama tanpa tauliah. Seksyen 119, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan bahawa:
1. Mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang Islam tanpa tauliah di bawah seksyen 118 adalah melakukan kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara elama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
2. Subseksyen (1) tidaklah terpakai bagi:
n mana-mana orang atau golongan orang yang dikecualikan oleh Majlis di bawah seksyen 121 Enakmen ini; atau
n mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang agama Islam di kediamannya sendiri kepada anggota keluarganya sahaja.
Peruntukan yang sama juga turut dikuatkuasakan di negeri-negeri lain seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Sarawak di mana mereka yang mengajar agama Islam tanpa tauliah adalah merupakan suatu kesalahan dan boleh didenda atau dipenjarakan.
Terdapat perbezaan penalti di antara negeri-negeri tersebut di mana Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Johor dan Sarawak menetapkan denda maksimum sebanyak RM5,000 dan tiga tahun penjara.
Sementara Selangor dan Negeri Sembilan pula menetapkan denda maksimum sebanyak RM3,000 dan dua tahun penjara bagi kesalahan yang sama.
Perbandingan peruntukan undang-undang berkaitan yang digubal sekitar 2001 sehingga 2008 oleh negeri-negeri tersebut menunjukkan adanya usaha untuk menyeragamkan undang-undang yang dibuat oleh pihak berkuasa agama negeri-negeri melalui Sultan atau Yang di-Pertuan Negeri masing-masing.
Menurut EPAINS 2003, MAIS melalui agensinya iaitu JAIS bertanggungjawab untuk memastikan setiap orang Islam di Selangor menerima ajaran Islam yang benar dan selaras dengan hukum syarak dengan bersumberkan akidah Ahli Sunah Wal Jamaah.Ini dilaksanakan melalui program dakwah yang berterusan oleh Jabatan Agama Islam negeri-negeri.
Namun demikian, tidak dinafikan penguatkuasaan undang-undang syariah adalah cara terbaik untuk memastikan objektif tersebut dilaksanakan, kerana melalui penguatkuasaan undang-undang, memberikan kesan pematuhan dan menuntut komitmen umat Islam yang tidak bersalahan dengan hukum syarak.
Peruntukan undang-undang berkaitan dengan tauliah ini, jika dinilai secara zahirnya, seolah-olah menyekat kepada perkembangan dakwah Islam. Ia bertentangan dengan peranan agensi agama seperti MAIS dan JAIS, kerana syarat-syarat yang dikenakan terhadap penceramah mungkin mengurangkan aktiviti penyebaran syiar Islam.
Bagaimanapun, perkara ini perlu dilihat secara holistik iaitu dalam konteks menjaga agama dan akidah umat Islam.
Peruntukan ini diwujudkan untuk memastikan bahawa pengajar dan pengajaran agama yang disampaikan adalah selaras dengan dasar-dasar pihak berkuasa agama dan hukum syarak serta bersumberkan akidah Ahli Sunah Wal Jamaah.
DATUK Mohammed Khusrin Munawi ialah Pengarah, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)
dipetik dari Utusan Malaysia
Berpegang kepada Ahli Sunnah, elak Wahabi cetus konflik ummah
Oleh Muhammad Uthman El-Muhammady
KITA mulakan tulisan ini dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah, pegangan dan amalannya. Mengenai Ahli Sunnah tidak perlu kita berbicara panjang sebab ia diketahui umum. Kalau hendak disebut pun kita boleh membuat beberapa kenyataan seperti istilah itu diterima pakai oleh ulama sejak awal dengan Imam Tahawi, al-Asyari, Abu Hanifah, Imam Syafie, Baqillani, Baghdadi, al-Ghazali, al-Nawawi dan seterusnya sampai kepada Waliyullah al-Dihlawi dan Said Nursi bahkan Syeikh Hasan al-Banna dan Said Hawwa.
Bagaimanapun, boleh disebut bahawa istilah itu dalam hadis Nabi SAW yang dinukil dalam ‘al-Milal wa al-Nihal’ oleh al-Shahrastani dan juga dalam hadis al-Tabarani.
Mengenai pegangan, kita hanya boleh sebut secara ringkas iaitu Ahli Sunnah berpegang kepada Rukun Iman yang enam, Rukun Islam yang lima, berpegang kepada ajaran akidah Imam al-Asyari dan Maturidi dan yang mengikuti mereka sampai masa kini; mereka beriman mengenai Allah memiliki sifat sempurna tidak terhisab, tetapi sekurang-kurang perlu diketahui semua orang ialah sifat ada, sedia kala, kekal, tidak menyerupai semua yang baru, berdiri sendiri, Maha Esa, hidup, mengetahui, berkehendak, mendengar, melihat dan berkata-kata dengan kalam-Nya yang kadim dan azali tidak menyerupai makhluk dalam semua perkara. Zat-Nya tidak seperti zat makhluk, perbuatan-Nya tidak seperti makhluk.
Kalau sesiapa mengatakan ia mempunyai sifat makhluk atau menyerupai makhluk, maka ia terkeluar daripada iman. Sebab itu Imam Tahawi, Syafie, Abu Hanifdah dan seterusnya menyebut Ia tidak bertempat, tidak tertakluk oleh masa, tidak berada dalam ruang.
Tidak boleh dikatakan Tuhan berada di atas, di bawah, di kanan, atau di kiri, di belakang atau di hadapan, sebab ia tidak berpihak.
Dalam Ahli Sunnah, ayat al-Quran dan hadis nabi yang menyebut sifat Allah seperti sifat makhluk, maka disuruh kita sama ada menerima seperti asalnya (tafwidh) menyerahkan erti hakikinya kepada Allah SWT, atau mentakwilkannya dengan sifat yang layak dengan-Nya.
Ini dilakukan umpamanya oleh penghulu orang Salaf al-Tabari.
Orang Wahabi menerimanya secara literal dan hakiki, kalau disebut Tuhan ada tangan, tanganlah, kalau kaki, kakilah, kalau jari maka jarilah. Ini membawa kepada menyerupakan Allah dengan makhluk. Nauzu billahi min zalik.
Seperkara lagi mereka membahagikan tauhid kepada tiga, tauhid Rububiah, tauhid Uluhiah, dan tauhid Asma Wassifat. Setiap satunya terasing daripada yang lain. Rububiah ertinya tauhid mengakui Tuhan Pencipta Alam, Esa, Berkuasa dan lainnya, tauhid Uluhiah ertinya menyembah-Nya dan taat kepada-Nya. Maka dengan skema ini, mereka boleh berkata Abu Jahal itu ahli tauhid dan ikhlas tauhidnya lebih daripada orang yang mengucap ‘Lailahailallah’.
Dengan skema ini juga mereka mengkafirkan orang yang berdoa meminta keberkatan di makam salihin dan anbia dan bertawassul dengan mereka. Ini pula satu tajuk yang tersendiri huraiannya.
Mengenai nabi, Ahli Sunnah mengajarkan, anbia ada sifat maksum (tidak berdosa), apa lagi Nabi Muhammad SAW dan mereka mempunyai sifat benar, amanah, menyampai kebenaran, dan bijaksana; mereka manusia yang makan dan minum serta berkahwin, tetapi mereka sempurna kerana itu diturunkan wahyu kepada mereka oleh Tuhan.
Ini diikuti dengan iman mengenai malaikat, akhirat (termasuk nikmat dan azab kubur), dan qada dan qadar yang menentukan segalanya ialah Allah, manusia diperintah berusaha dan berikhtiar dalam perkara yang baik dan mengelak daripada perkara yang jahat.
Ahli Sunnah mengajarkan kewajipan mengucap syahadah dengan yakin ertinya, menjalankan sembahyang lima waktu, melakukan puasa, menunaikan zakat dan menunaikan haji bagi mereka yang berkemampuan.
Ia mengajarkan kewajipan menunaikan nazar dan sumpah. Ia mengajarkan membaca al-Quran, lebih-lebih lagi dengan mengerti ertinya, melakukan zikir mengingati Allah dan berdoa kepada-Nya. Ia mengajarkan manusia bersangka baik terhadap Allah SWT dan jangan bersangka buruk terhadapnya.
Ahli Sunnah mengajarkan bahawa dosa besar ialah sihir, mencuri, berzina, berjudi, membuat sumpah palsu, memakan rasuah, memakan riba, yang terbesar ialah syirik yang berupa dosa yang tidak terampun, melainkan sebelum mati orang yang berkenaan bertaubat dan kembali kepada tauhid. Seseorang yang beriman tidak menjadi kafir dengan melakukan dosa bagaimana besar sekalipun, ia menjadi kafir hanya kerana kufur iktikad, kata-kata atau perbuatannya seperti ia menyembah berhala, kecuali ia dipaksa seperti diancam bunuh.
Orang Wahabi boleh menghukum orang kafir kerana dosa, bahkan kerana bertawassul di kubur nabi dan yang sepertinya.
Ahli Sunnah mengajarkan bahawa amalan orang hidup sampai kepada orang mati, baik dalam rupa bacaan seperti bacaan al-Quran, bertasbih, berdoa, bersedekah, dan amalan lain asalkan diniatkan untuk orang yang mati itu; kalau anak jika tidak diniatkan pun amalan itu sampai kepada kedua-dua ibu bapanya kerana ia lahir kerana mereka. Fahaman Wahabi mengatakan amalan orang hidup tidak sampai kepada orang mati.
Ahli Sunnah Wal-Jamaah mengajarkan Muslimin wajib taat kepada ulil-amri mereka, tidak boleh derhaka atau keluar menentang mereka, melainkan mereka itu kafir. Orang Wahabi tidak sedemikian sebab itu mereka menentang dan memberontak menentang Sultan Othmaniah dan wakilnya, tetapi mereka berbaik dengan British dan Perancis seperti yang jelas dalam sejarahnya. Ahli Sunnah mewajibkan memberi nasihat yang baik dan ikhlas kepada ulil-amri bukan memberontak. Tidak ada teori memberontak dalam Ahli Sunnah.
Dalam Ahli Sunnah, ulamanya mengajarkan bidaah ada yang baik dan ada yang buruk, tetapi Wahabi mengajarkan semua bidaah tidak dibolehkan; talkin, berwirid ramai-ramai selepas sembahyang, qunut subuh, tahlil arwah, majlis Maulud Nabi dan membaca Yassin pada malam Jumaat.
Banyak lagi perbezaan antara fahaman Wahabi dan Ahli Sunnah jika mahu diperkatakan. Hakikatnya kita melihat fahaman Wahabi berlainan daripada pegangan dan amalan Ahli Sunnah dan kita tidak boleh membiarkan orang Islam di negara ini terpengaruh dengannya kerana banyak implikasi negatifnya. Berwaspadalah. Wallahualam.
Mufti Pahang Sokong Tindakan JAIS
KUANTAN – Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Othman menyokong tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menahan bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin ketika menyampaikan ceramah agama di sebuah banglo di Selangor.
Katanya, Dr Mohd Asri didakwa cuba mengelirukan masyarakat Islam melalui pertikaian mengenai amalan-amalan sunat yang dilakukan umat Islam sebelum ini, di dalam ceramah yang disampaikan.
“Pahang sudah menyedari perkara berkenaan dan tahun lalu, Jaip tidak membenarkan tokoh ulama (Dr Mohd Asri) itu mengadakan ceramah, di sini atas dasar itu.
“Kita tidak mahu masyarakat terkeliru dengan ceramah yang disampaikan mengenai amalan-amalan sunat yang sering dilakukan sebelum ini dan beliau seharusnya menghormati amalan yang diamalkan setiap negeri,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini semalam.
Abdul Rahman berkata, itu tidak bermakna setiap penceramah perlu mendapat tauliah terlebih dahulu sebelum menyampaikan ceramah di negeri.
“Selagi mereka tidak mempertikaikan perkara sedemikian, tidak timbul masalah dalam soal tauliah atau tidak. Yang penting, Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) memandang serius isu berkenaan bagi mengelak berlaku kekeliruan terhadap fahaman dan amalan yang dilakukan.
“Kita mempunyai amalan yang dilakukan mengikut dalil yang sahih merujuk kepada kitab yang diperakui.
“Kita juga tidak mempertikaikan ilmu yang beliau ada, namun pendekatan yang digunakan itu, menggambarkan beliau mahu memecah-belah masyarakat dengan isu sensitif dalam ceramah yang disampaikan,” katanya.
Katanya, Jaip juga sudah mengenal pasti beberapa pihak yang mempunyai niat seumpama itu ketika menyampaikan ceramah di negeri ini.
“Jaip sedang mengawasi pihak yang berkemungkinan cuba menyebarkan fahaman yang cuba mengelirukan masyarakat Islam dan penguat kuasa Jaip juga sudah bersedia untuk mengambil tindakan yang sewajarnya sekiranya pihak berkenaan meneruskan aktivitinya.
“Saya berharap, masyarakat peka dan tidak keliru sekiranya terdapat pihak yang tampil dan cuba menyampaikan dakwah bertujuan untuk mengelirukan dan mempertikaikan amalan yang diamalkan sebelum ini,” katanya.
Kenapa Dr Asri ditahan oleh JAIS?
tulisan seorang Hamba Allah yang dikirim melalui emel:
Komen ringkas saya ia adalah satu tindakan yang betul dan saya menghormati tindakan JAIS dan memuji keberanian JAIS ditengah-tengah masyarakat yang sedang keliru dengan isu ini dan sebahagiannya terjebak dalam kesilapan.
Sebabnya Dr Asri telah menimbulkan rasa keresahan dalam masyarakat, menimbulkan perbalahan, ketegangan hanya kerana alasannya mahu membenteras bidah dan khurafat dalam masyarakat.Malangnya apa yang dilakukan oleh Dr Asri itu adalah pada perkara yang memang berlaku kekhilafan atau perbezaan pendapat dalam masyarakat.
Dr Asri, sebagai seorang yang mempunyai kedudukan dalam masyarakat, iaitu sebagai seorang ilmuan dan bekas Mufti, tidak seharusnya menongkah arus dalam perkara-perkara yang khilaf.
Beliau bukan hanya menongkah arus dengan masyarakat, tetapi tidak sependapat dengan Majlis Mufti Malaysia, sebuah organisasi agama yang tertinggi dalam Negara kita di mana beliau mengeluarkan pendapat yang bercanggah dengan Majlis Mufti, menyelar mereka dalam media terbuka.
Dr Asri tidak melakukan sesuatu yang melanggar hukum Allah seperti melakukan perkara haram, tetapi kedudukannya yang tinggi itu iaitu sebagai bekas Mufti sudah cukup untuk dianggap bersalah apabila melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan keresahan dalam masyarakat, apalagi kalau tulisan atau syarahannya itu menyebabkan perpecahan dalam masyarakat.
Sebagai contoh, serangan beliau terhadap amalan membaca talqin kepada orang yang mati, beliau menyatakan bidah. Bacaan talqin bukan bidah, ada hadith berkenaan perkara tersebut iaitu Laqqinu mautakum.
Yang ulama berbeza pendapat ialah bila bacaan itu dilakukan: ada yang mengatakan sebelum mati kerana perkataan mauta itu bermakna orang yang hendak mati; sebahagian yang lain pula mengatakan mauta itu selepas mati kerana makna mauta juga orang yang telah mati (kata plural). Atas kefahaman itulah ulama berbeza pendapat, tetapi Dr Asri mengambil pendekatan untk memaksa pendapatnya kepada perkara yang khilaf ini.
Jadi kenapa Dr Asri menimbulkan kegawatan dalam masyarakat terhadap perkara yang memang khilaf ini? Ini satu contoh, banyak lagi contoh-contoh lain seperti qunut solat subuh, wirid selepas sembahyang, doa selamat dan lain-lain lagi yang merupakan adalah perkara khilaf dalam perkara pecahan (furu) yang sepatutnya Dr Asri yang mempunyai kedudukan tinggi dalam masyarakat TIDAK membesarkannya.
Beliau sepatutnya mengambil saranan shekh Yusof al-Qaradawi dalam kitabnya iaitu PERBEZAAN PENDAPAT YANG DIHARUSKAN DAN PERPECAHAN YANG DICELA. Sayangnya Dr Asri memilih untuk mencela perbezaan dan mengharuskan perpecahan demi untuk menegakkan perkara yang umat berbeza pendapat padanya.
Beliau sepatutnya tidak memberi ruang kepada gerakan seperti Sisters in Islam untuk bergerak di Malaysia, tetapi berlaku sebaliknya beliau membenarkan SIS ini menjadi salah sebuah organisasi yang menyokongnya! !
Dr Asri perlu diheret semula supaya balik ke pangkal jalan. Tindakan JAIS adalah tindakan yang betul, pada pandangan saya. Semasa beliau ditangkap, orang kenamaan yang ada seperti YB Saari Sungaib dan Dr Zuraidah bukan dari golongan ilmuan agama; mereka hanya insan biasa yang masih tercari-cari kebenaran. Andainya semasa beiau ditangkap, ada tokoh-tokoh agama bersamanya, maka saya akan membela Dr Asri.
Tindakan beliau berkonfrantasi dengan hampir semua mufti di Negara ini adalah satu tindakan yang tidak boleh sama sekali dilihat sebagai tindakan yang betul. Beliau sebenarnya telah tersasar jalan. Saya harap JAIS konsisten dalam tindakannya. JAIS perlu berani untuk berkata NO walaupun kepada YAB Perdana Menteri. YAB Perdana Menteri harus menyerahkan kepada mereka yang arif dalam ugama untuk menguruskan kes Dr Asri ini. Parti-parti politik pula tidak harus mengambil kesempatan dalam isu ini untuk mengeksploitasi keadaan demi untuk meneguk political mileage kepada kumpulan mereka.
Bagi saya, inilah masanya untuk pihak berkuasa memberi kata dua kepada Dr Asri: kembali kepangkal jalan atau menghadapi tindakan.
Sekian pandangan saya. Wassalam,
‘Krisis’ agama rugikan umat
Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN
MELIHAT kepada apa yang berlaku antara Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan bekas Mufti Negeri Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, boleh disimpulkan sebagai isu yang amat membimbangkan.
Sebabnya, polemik ini menambah sengsara umat Islam atau pun orang Melayu. Episod Melayu berpecah akibat perbezaan fahaman politik belum pun selesai, kini kita berhadapan dengan ‘krisis’ dalam bab agama.
Entahlah, apa lagi yang boleh menjadi ‘payung’ kepada umat Islam, kalau dalam bab agama yang suci ini pun kita bercelaru.
Dalam hal ini, yang pastinya gawat dan keliru adalah orang awam. Demikian juga golongan yang sedang ‘mencari’ agama melalui pengajian bukan secara formal di masjid, surau dan sebagainya.
Apa pun isunya, kegawatan ini perlu segera diselesaikan agar umat Islam tidak keliru sehingga membawa kepada perpecahan dan menjadikan umat Islam makin lemah.
Ingatlah firman Allah SWT: “Taatlah kamu kepada Allah dan Rasulnya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati, sesungguhnya Allah berserta orang yang sabar.” (al-Anfaal: 46).
Pada masa yang sama, kita harus berlaku adil kepada JAIS dalam penguatkuasaan tauliah kepada penceramah agama di Selangor.
Yang pasti, tauliah itu berniat baik. Ia bagi memastikan penceramah berlandaskan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dan bersandarkan kepada mazhab Imam Syafie.
Ini bertepatan dengan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 Mac 1996, Sidang Majlis Keselamatan Negara pada 17 Oktober 1996 dan mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan Hal Ehwal Islam Malaysia Ke 27 pada 24 Jun 1997. Kesemua itu memutuskan bahawa hanya akidah ASWJ menjadi pegangan umat Islam di Malaysia. Mana-mana ajaran yang bercanggah dengan fahaman dan amalan ASWJ dilarang dan disekat penyebarannya.
ASWJ berpegang kepada empat sumber utama hukum dalam Islam iaitu al-Quran, sunnah, ijmak ulama dan qias. Pegangan tauhid di atas jalan Imam Abu Hassan al-Asyaari atau disebut fahaman al-Asya’irah.
Walaupun mazhab utama yang diamalkan adalah mengikut Imam Syafie tetapi penggunaan mazhab lain seperti Imam Hambali, Hanafi dan Maliki turut dibenarkan dalam keadaan tertentu.
Ini terkandung dalam Perkara 54 qaul muktamad yang diikuti dalam mengeluarkan fatwa dalam Undang-undang Negeri Selangor, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) 2003.
Dalam mengeluarkan apa-apa fatwa di bawah Seksyen 48 atau memperakukan apa-apa pendapat di bawah Seksyen 53, Jawatankuasa Fatwa hendaklah pada lazimnya mengikut qaul muktamad Mazhab Shafie.
Bagaimanapun, jika berpendapat dengan mengikut qaul muktamad Mazhab Syafie suatu keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam akan terhasil, Jawatankuasa Fatwa boleh mengikut qaul muktamad Mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali.
Perkara berkaitan tauliah ini pula adalah di bawah perkenan Duli Yang Mulia Sultan sebagai Ketua Agama atau ulil amri negeri masing-masing. Dengan kata lain, mematuhi arahan tersebut juga bermakna kita mematuhi arahan pemerintah.
Dalam aspek yang lain, kita juga tidak mahu tradisi menuntut ilmu agama secara informal ini terbantut akibat ‘krisis’ yang berlaku ini.
Semenangnya, pengajian agama di Malaysia terutama di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur kini semakin mendapat perhatian umat Islam.
Kuliah-kuliah sama ada pada waktu zuhur, maghrib, duha dan subuh Ahad sentiasa dipenuhi oleh para jemaah yang dahagakan ilmu.
Di sinilah pentingnya penceramah yang bertauliah supaya ilmu yang disampaikan itu bertepatan dan tidak bercanggah dengan ASWJ dan mazhab Syafie yang dominan di negara kita.
Kebimbangan paling besar adalah jika berlaku penyelewengan akidah terutama di kalangan mereka yang bergelar ‘ustaz dan ustazah’. Sebabnya, penyelewengan oleh golongan ‘agama’ lebih buruk kesannya terhadap akidah dan amalan masyarakat berbanding kerosakan yang berlaku jika ia disampaikan oleh golongan bukan agamawan.
Pada masa yang sama, sebahagian besar jemaah yang mengikuti kuliah di masjid dan surau adalah orang awam. Justeru adalah penting memastikan kuliah tersebut mematuhi ASWJ terutama dalam membicarakan hal berkaitan ilmu tauhid.
Sehubungan itu, ada baiknya diadakan muzakarah atau seminar bagi menjelaskan kepada masyarakat awam di negara kita apakah itu fahaman ASWJ dan bentuk fahaman lain yang perlu ditolak.
Jangan dibiarkan masyarakat awam terus tertanya-tanya dan keliru apakah ajaran Islam sebenarnya yang perlu mereka ikuti.
Negara mempunyai ramai ulama dan cendekiawan Islam yang mampu merungkaikan permasalahan ini supaya isu ini tidak lagi menjadi barah dalam masyarakat.
Kita tidak mahu hanya gah pada bilangan atau kuantiti umat Islam sahaja tetapi tidak ada kualiti. Lihatlah apa yang berlaku kepada umat Islam di Palestin yang diganyang oleh zionis tetapi kita hanya mampu ‘memandang’.
Jumlah umat Islam yang berbilion di seluruh dunia tidak cukup menggerunkan musuh-musuh Islam. Inilah yang digambarkan melalui hadis Nabi SAW: “Hampir tiba masanya kamu akan diserbu oleh bangsa-bangsa lain, sebagaimana orang-orang lapar mengadap hidangan di dalam jamuan”. Sahabat bertanya, “apakah semua itu berlaku disebabkan oleh jumlah kami yang sedikit?”
Rasulullah SAW menjawab: “Bahkan ketika itu jumlah kamu amat ramai, tetapi ramainya kamu tidak lebih dari seumpama buih di permukaan banjir. Allah akan mencabut dari hati musuh-musuh kamu rasa gerun mereka terhadap dirimu, dan dimasukkan ke hatimu penyakit al-wahan”. Seorang sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, apakah al-wahan itu?” Jawab Rasulullah SAW: “Al-wahan ialah cinta dunia dan takut menghadapi maut.” (riwayat Abu Daud daripada Sauban).
PENULIS ialah Pengarang Agama Utusan Malaysia.
Tokoh enggan mohon tauliah dibidas
KUALA LUMPUR: Beberapa tokoh agama Islam kesal dengan sikap segelintir tokoh agama yang menganggap mereka kebal dan tidak perlu mendapatkan tauliah untuk menyampaikan ceramah agama.
Sambil menganggap golongan itu sebagai takbur, mereka berpendapat populariti, kedudukan dan kelayakan bukan ‘lesen besar’ untuk menyampaikan ceramah kerana mereka terikat dengan undang-undang.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, berkata peraturan yang dikuatkuasakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) adalah satu keperluan dan diselaraskan di seluruh negara selepas persetujuan Majlis Raja-Raja.
Katanya, adalah wajar peraturan itu dihormati dan dipatuhi sebagai tanda menjunjung kedaulatan undang-undang dalam prinsip Rukun Negara.
“Sistem pentauliahan bertindak sebagai mekanisme kawalan terhadap mana-mana pihak yang cuba menghidupkan amalan dan ajaran sesat.
“Saya tidak nampak kenapa peraturan seperti itu tidak boleh dipatuhi dan mereka yang enggan mendapatkan tauliah adalah mereka yang takbur. Doktor dan peguam juga perlu mendapat tauliah sebelum dibenarkan berkhidmat.
“Walaupun seseorang dianggap intelektual, dia tidak seharusnya sengaja melanggar undang-undang. Dalam isu ini, Jais hanya menunaikan tanggungjawab dan mereka mempunyai asas membuat tangkapan kerana ada peruntukan. Salah atau tidak, itu isu berbeza dan mereka boleh dibicarakan,” katanya semalam.
Beliau mengulas kenyataan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang mempertikaikan tindakan Jais menahannya kerana berceramah tanpa tauliah kerana menganggap dirinya bukan orang asing di negara ini dan pandangan beliau boleh dibaca dalam akhbar perdana selain mengajar di Universiti Sains Malaysia (USM).
Felo Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), Dr Muhammad Uthman El-Muhammady, berkata semua pihak perlu kembali kepada prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menetapkan Sultan Selangor sebagai ulil amri bagi rakyat negeri itu.
Katanya, rakyat wajib taat kepada baginda sebagai ulil amri dan kuasa yang diturunkan kepada Jais untuk melaksanakan tugas dalam bidang agama.
Beliau berkata, jika seorang tokoh agama menganggap dirinya berpengetahuan, matang serta beradab, maka lakukan dakwah secara intelektual, berdisiplin, beradab dan mengikut saluran sah tanpa provokasi, sensasi atau menangguk di air keruh yang akhirnya memakan diri.
“Kita kembali pada prinsip menyerahkan sesuatu kepada pihak berkuasa. Kita mengawal diri dengan disiplin dan adab secara berkesan untuk melihat isu selesai mengikut syarak,” katanya.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, berkata tindakan Jais tidak wajar dipertikai kerana mengikut enakmen negeri berkenaan.
Katanya, kekeliruan berlaku kerana orang yang ditahan adalah bekas mufti sedangkan hampir semua negeri menguatkuasakan sistem pentauliahan bagi membendung pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan amalan, fahaman dan ajaran sesat.
“Kini ramai penceramah luar negara juga datang memberi ceramah dan jika tiada sistem pentauliahan, akan ada ajaran yang menyeleweng dan menyesatkan umat Islam. Ilmu dan kedudukan seseorang sehingga pernah menjadi mufti bukan lesen besar untuk memberi ceramah tanpa kebenaran,” katanya.
Mashitah turut mendedahkan beberapa penceramah termasuk bergelar datuk yang muncul di televisyen dan mendakwa graduan Universiti Al-Azhar sebenarnya gagal dalam pengajian mereka.
Sehubungan itu, beliau mengesyorkan stesen penyiaran mewajibkan semua penceramah mendapatkan pentauliahan daripada pihak berkuasa agama negeri.
Pendakwah bebas dan perunding motivasi, Datuk Md Daud Che Ngah pula berkata, akidah umat Islam lebih mudah diseleweng jika sistem pentauliahan tidak dilaksanakan.
Bagaimanapun, katanya, jabatan agama Islam wajar memberikan tauliah tanpa memilih bulu kerana ia boleh menyekat dakwah dan usaha meningkatkan syiar Islam.
“Dalam kes Dr Asri, beliau wajar disiasat untuk menentukan kesahihan dakwaan termasuk mengembangkan fahaman Wahabi,” katanya.
Kenyataan Media Ustaz Uthman El-Muhammady
Bismillah al-hamdulillah wassolatu wassalam ‘ala Rasulillah
Dalam berdepan dengan masalah yang dihadapi ini (tentang kes penangkapan bekas mufti Perlis oleh JAIS) pada hemat saya: kita perlu kembali kepada prinsip Islam dalam Ahlissunnah wal-jamaah yang ertinya ialah: bahawa Yang Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Selangor Darul Ehsan adalah ulil-amri bagi rakyat negeri ini, maka wajib kita taat kepadanya sebagai ulil-amri dan kuasa diturunkan kepada JAIS untuk melaksanakan tugas dalam bidang agama, ia oleh itu wajib ditaati.
2. Juga kita kembali kepada prinsip menyerahkan sesuatu kepada otoritas dan kepakaran yang ditugaskan secara sah untuk menanganinya
3. Kita mengawal diri dengan disiplin dan adab secara berkesan untuk melihat perkara yang dihadapi itu berjalan dan menjadi selesai mengikut proses aturan Syara’ dan adat yang sah tanpa menggangunya
4. Akhirnya kalau seseorang itu merasakan dirinya mempunyai pengetahuan dan kematangan serta beradab maka ia lakukan tugas al-din al-nasihat secara intelektuil dalam bahasa yang berdisiplin dan beradab mengikut salurannya yang sah, dengan tidak terpengaruh oleh sentimen kepentingan diri, tanpa melakukan provokasi, mencari sensasi, atau menangguk di air yang keruh, yang kemudiannya, akhirnya akan memakan diri sendiri, baik pada individu kelompok atau institusi.
Wallahu a’lam.
-Muhammad Uthman El-Muhammady Fellow Amat Utama Akademik Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam dan juga Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia
3 November 2009
Menjauhi Maksiat
Petikan dari kitab “Bidayatul Hidayah” karangan al-Imam al-Ghazzali
*****
Ada dua bahagian dari pelajaran agama yang sangat penting untuk diperhatikan. Pertamanya ialah meninggalkan hal-hal yang dilarang oleh agama. Yang kedua ialah menunaikan yang diperintah.
Dalam hal ini bahagaian yang pertama, iaitu meninggalkan larangan, adalah lebih berat dari yang bahagian yang kedua, iaitu menunaikan yang diperintah. Ini adalah kerana pada hakikatnya bahagian yang diperintah boleh dlakukan oleh sesiapa sahaja yang berminat. Walhal, untuk meninggalkan yang dilarang, ianya hanya dapat dilakukan oleh mereka yang berjiwa luhur dan berhati bersih.
Oleh sebab itu, Rasuullah s.a.w. bersabda, ertinya:
“Hijrah yang sebenarnya adalah hijrah (meninggalkan) kejahatan dan jihad yang sesungguhnya adalah memerangi hawa nafsu.”
Ketahuilah jika engkau melakukan maksiat maka sebenarnya yang menjadi sasaran adalah anggita badan kamu sendiri. Padahal anggota badan kamu itu merupakan suatu nikmat [sebutan: ni’mat] dari Allah yang dianugerahkan kepada kamu dan sekalgus menjadi amanah yang harus engkau pertanggungjawabkan. Maka sungguh berdosa jika kenikmatan itu engkau peralat untuk membuat maksiat dan pengkhianatanmu terhadap amanah yang telah diberikan kepada kamu adalah merupakan kedurhakaan yang amat besar.
Seluruh anggota badan jasmani kamu merupakan amanah yang berada di bawah tanggungjawabkamu. Oleh kerana tu hendaklah engkau perhitungkan sejauh mana engkau menjaga, memelihara dan mengurus tanggungjawab itu. Sesungguhnya tiap-tiap diri kamu adalah pemimpin dan setiap diri kamu kelak akan disoal akan tanggungjawab yang engkau pimpin.
Ketahuilah bahawa seluruh anggota badan kamu kelak di hari kiamat akan memberi kesaksian atas diri kamu, dan semuanya akan berkata-kata atas segala amal perbuatan kamu dengan keterangan yang terang dan jelas.
Allah berfirman dalam surah An-Nuur: ayat 24, ertinya:
“Pada hari, yang menjadi saksi atas mereka, lidah, tangan dan kaki mereka sendiri, tentang apa yang mereka lakukan.”
Dalam surah Yaasiin: ayat 65, Allah juga berfirman, ertinya:
“Pada hari itu Kami tutup mulut mereka, dan berbicara dengan Kami, tangan mereka dan menjadi saksi kaki mereka, tentang apa yang telah mereka kerjakan.”
Oleh kerana itu jagalah dirimu baik-baik dari segala kemaksiatan, terutama ketujuh-tujuh anggota badan kamu kerana d dalam neraka terdapat tujuh pintu yang masing-masing disediakan bagi manusia sesuai dengan dosa-dosa yang diperbuat oleh ketujuh-tujuh anggota badan tersebut.
Tujuh anggota badan tersebut ialah:
- Mata
- Telinga
- Lidah
- Perut
- Kemaluan
- Tangan
- Kaki
*********
Ada peluang, Insha Allah, akan disambung …
