Versi Bahasa Inggeris/English Version

Tulisan dalam Bahasa Inggeris/Articles in English: http://traditionalislamblog.wordpress.com/

Ajaran Dan Pemikiran Sesat Dalam Konteks Islam

Ajaran Dan Pemikiran Sesat Dalam Konteks Islam

Oleh:

Muhammad Uthman El-Muhammady

UEM-2011Ajaran atau pemikiran sesat yang terkait dengan agama Islam boleh menyentuh bidang akidah, hidup kerohanian atau ibadat, akhlak dan hukum. Kalau disebut dari segi bidangnya, maka ianya menyentuh usul al-din, fiqh dan akhlak atau tasawwuf. Insha Allah dalam nota ringkas ini akan disebutkan beberapa aspek kesesatan dalam bidang-bidang berkenaan dengan beberapa cirinya, juga faktor-faktor yang memungkinnya; sebagai tambahan akan disebutkan juga pemikiran-pemikiran sesat dari kacamata Islam demi untuk menjadi panduan dalam hidup beragama.

Kesesatan

“Sesat” dalam “Kamus Dewan” memaksudkan “tidak mengikut jalan yang betul, tersalah, tersilap (jalan), tersalah, terkeliru (perbuatan, kepercayaan dll), menyimpang dari jalan yang benar”.

Dalam kitab “al-Mufradat fi Ghara’ib al-Qur’an” oleh al-Isfahani rh[1] dinyatakan dengan agak panjang maksud istilah “al-dalal” iaitu: keadaan terseleweng daripada jalan yang benar (at-tariq al-mustaqim) dan berlawanan dengan bimbingan hidayah Ilahi. Dinyatakan bahawa keadaan “dalal” ialah tiap-tiap keadaan terseleweng daripada perjalanan yang betul (al-manhaj) baik dengan sengaja atau dengan terlupa, banyak atau sedikit. Dinyatakan dalam hubungan dengan ini bahawa jalan yang benar (at-tariq al-mustaqim) yang berupa jalan yang diredhai itu sangat sukar.

Dalam kitab yang sama dinyatakan bahawa dari segi lain kesesatan (“dalal”) ada dua bahagian, iaitu kesesatan dalam ilmu nazari – ilmu yang bersifat teori – seperti kesesatan dalam hubungan dengan pengenalan atau ma’rifat terhadap Allah dan KeesaanNya, pengenalan terhadap kenabian dan hal-hal yang sepertinya; ini sebagaimana yang diisyaratkan dalam ayat:

ومن يكفر بالله و ملائكته وكتبه ورسله واليوم الاخر فقد ضل ضلالا بعيدا

Yang bermaksud “Dan sesiapa yang kufur terhadap Allah dan para malaikatNya, kitab-kitabNya, para RasulNya, dan Hari Akhirat, maka sesatlah ia dengan kesesatan yang sejauhnya (dari kebenaran)[2]

Dan keduanya kesesatan dalam ilmu-ilmu amaliah seperti ilmu tentang hukum-hukum syara’ berkenaan dengan amalan-amalan ibadat.

Dan “kesesatan yang jauh” (“al-dalal al-ba’id”) isyarat kepada kekufuran seperti yang tersebut dalam ayat yang di atas itu “sesiapa yang kufur”, dan ayat yang satu lagi ialah ayat:

في العذاب و الضلال البعيد

Yang bermaksud: “Mereka itu berada dalam azab (di akhirat) dan kesesatan yang sejauhnya (di dunia)”[3]

Dan ayat yang satu lagi ialah:

ان انتم الا في ضلال كبير

[Yang bermaksud: “Kamu tidak lain melainkan berada dalam kesesatan yang besar.”[4]

 قد ضلوا من قبل واضلوا كتيرا وضلوا عن سواء السبيل

Yang bermaksud:

Mereka telah sesat dahulunya dan menyesatkan ramai (orang lain) dan mereka itu tersesat daripada jalan yang betul.”[5]

Kalau difahamkan bahawa kesesatan itu terdiri daripada dua jenis ini (bahagian ilmu nazari dan ilmu ‘amali) maka kita boleh cerakinkan lagi kesesatan itu kepada bahagian-bahagian seperti: akidah, ibadat, akhlak, dan hukum. Dan nampaknya kesesatan itu ada kalanya menyentuh akidah sampai kepada kekufuran (na’udhu billahi min dhalik), dan ada yang sampai kepada had sesat tanpa membawa kepada kekufuran.

Tanpa menyentuh agama-agama lain selain daripada Islam, dengan memahami Islam yang memandang dirinya sebagai agama sebenarnya dari Allah, maka kesesatan yang dikaitkan dengan Islam, atau pemeluknya asalnya Islam, dalam teks-teks klasik seperti “al-Farqun bainal-Firaq” oleh ‘Abd al-Qahir al-Baghdadi rh, “Maqalat al-Islamiyyin” oleh Abul-Hasan al-Asy’ari rd, “al-Milal wan-Nihal” oleh al-Syahrastani rh, termasuk juga Ibn Khaldun rh dalam ‘al-Muqaddimah”nya, ada beberapa jenis yang besar iaitu:

  • Mu’tazilah
  • Jabariah
  • Khawarij
  • Murji’ah
  • Syi’ah Rafidhah
  • Batiniah

Tanpa berpanjang kalam tentang golongan-golongan ini, kita boleh katakan bahawa kebanyakan daripada firkah-firkah ini sekarang tinggal namanya sahaja, dan ianya tidak berkembang; yang masih ada dengan namanya dan doktrinnya ialah Syiah Imamiah dan juga pecahan-pecahan Syiah yang ghuluw atau pelampau.

Bagaimanapun trend-trend pemikiran firkah-firkah ini masih terdapat masakini yang boleh mengancam akidah Ahlis-Sunnah wal-Jamaah. Akidah yang terjamin benar dan pemikiran yang terjamin benar adalah akidah Ahlis-Sunnah wal-Jamaah dan pemikiran yang berkembang dalam “perimeter”nya secara selamat. Oleh itu maka pengecaman tentang akidah Ahlis-Sunnah wal-Jamaah secara jelas dan nyata serta pemikiran yang terasuh di dalam kawalannya sahaja yang boleh menjamin seseorang daripada terjebak ke dalam kesesatan dari segi fahaman dan juga amalan dan nilai-nilainya.

Mu’tazilah

  • mengajarkan bahawa hamba pencipta amalannya sendiri secara bebas merdeka, dan ia diberikan ganjaran mengikut amalannya. (berbeza daripada Ahlis-Sunnah yang mengajarkan manusia mengusahakan perbuatannya, atas usahanya itu ia diberi balasan, dan manusia tertakluk kepada Qada dan Qadar)
  • mengajarkan kita tidak boleh berpegang kepada ijma’ ulama
  • mengajarkan sikap tidak mementingkan hadith (aliran anti hadith adalah percikan pengaruh Mu’tazila)
  • mengajarkan sikap terlalu “rasional” dalam pendekatan agama (Ahlis-Sunnah pun bersikap rasional dalam batasan-batasannya) tetapi bukan “terlampau sebagaimana golongan Mu’tazilah.
  • tentang Tuhan mereka mengajarkan Allah melihat dengan ZatNya, berilmu dengan ZatNya, mendengar dengan ZatNya demikian seterusnya (berlainan dengan Ahlis-Sunnah yang mengajarkan Allah melihat dengan sifat melihatNya, berilmu dengan sifat IlmuNya, mendengar dengan sifat mendengarNya demikian seterusnya).
  • Mengajarkan Tuhan tidak boleh dilihat dengan mata kepala di akhirat (berlainan daripada Ahlis-Sunnah yang mengajarkan Tuhan dilihat dengan mata kepala oleh mu’minin di akhirat).

Jabariah

  • mengajarkan manusia tidak ada usaha dan ikhtiar
  • manusia seperti bulu ditiup angin (berbeza daripada Ahlis-Sunnah yang mengajarkan manusia ada usaha bukan di”paksa” melakukan sesuatu. Ia diberi balasan mengikut usahanya; yang “menjadikan” amalan perbuatannya ialah Allah; yang “mengusahakan” amalan itu ialah manusia).

Khawarij

  • orang yang melakukan dosa menjadi kafir (berbeza daripada Ahlis-Sunnah yang mengajarkan manusia menjadi fasik dengan melakukan dosa, bukan kafir, kecuali ia mengharuskan dosa).
  • menganggap semua golongan selain daripada mereka halal darahnya.

Murji’ah

  • yang mengajarkan bahawa bila manusia beriman perbuatan dosanya tidak memberi kesan (berbeza daripada Ahlis-Sunnah yang mengajarkan perbuatan itu memberi kesan melemahkan iman)

Syiah

Syiah banyak cawangannya; semuanya berpunca daripada pendewaan mereka yang melampau melebihi batas terhadap Ali rd. Antara akidah Syiah Imamiah yang paling berpengaruh sekarang ini ialah:

  • ajaran mereka tentang imam maksum; bahawa dalam kalangan mereka ada 12 orang imam yang sirinya bermula dengan Ali rd, Hasan dan Husain rd dan seterusnya sampailah kepada Hasanal-Askari dan Muhammad bin Hasan al-Askari yang mereka percaya maksum semuanya dan melebihi nabi dan rasul dari segi darjatnya. (Pada Ahlis-Sunnah yang maksum hanya nabi dan rasul bukan imam-imam).
  • ajaran tentang Mushaf Fatimah – iaitu Quran yang dikatakan mereka diwahyukan kepada Fatimah selepas wafat Rasulullah s.a.w. dan Ali rd menjadi tukang tulisnya. Isinya dikatakan tiga kali ganda besarnya daripada Mushaf Uthman rd. (Ijma’ dalam Ahlis-Sunnah bahawa tidak ada Quran lain selain daripada Quran yang ada sekarang yang terjamin dan terkawal oleh Allah sendiri seperti yang tersebut dalam ayat yang bermaksud “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Quran yang memberi peringatan dan sesungguhnya Kamilah Yang menjaganya”[6]) Ajaran ini menyebabkan seseorang terkeluar daripada ajaran Islam.
  • ajaran mereka bahawa para sahabat rd menjadi murtad selepas wafat Rasulullah s.a.w melainkan empat orang sahaja atau selebihnya tidak sampai sepuluh orang. (Ini berlawanan dengan ajaran Ahlis-Sunnah yang mengajarkan para sahabat rd orang-orang yang adil semuanya, dan mana-mana yang ada melakukan kesilapan di kalangan mereka diampunkan, seperti yang diisyaratkan dalam hadith sahih tentang ahli Badar dan juga hadith-hadith lain, selain daripara ayat Quran yang menyebut “as-sabiqun al-awalun” terdiri daripada Muhajirin dan Ansar).
  • ajaran mereka tentang ar-raj’ah iaitu manusia dihidupkan semula sebelum kiamat untuk menerima balasan daripada imam mereka kemudian selepas itu baharu mereka mati semula, lepas itu baharulah berdiri kiamat. (Tidak ada akidah demikian dalam ajaran Ahlis-Sunnah wal-Jamaah).
  • ajaran mereka tentang taqiyyah, iaitu kepura-puraan sehingga dikatakan ada riwayat di kalangan mereka bahawa Jaafar Sadiq ada menyatakan “Taqiyyah adalah dari agamaku dan agama datuk nenekku” – iaitu dari Nabi Muhammad s.a.w. – na’udhu billlahi mindhalik). (Dalam Ahlis-Sunnah diajarkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersifat dengan sifat sidik, amanah, tabligh dan fatanah, dan bukannya sifat taqiyyah yang bermakna kepura-puraan.
  • mereka mengajarkan nikah mut’ah diharuskan, dengan ada kelebihan-kelebihannya. Nikah mut’ah ialah nikah seseorang dengan seseorang perempuan dengan had masa tertentu, tanpa wali atau saksi. Ini dilarang dengan ijma’ dalam umat ini dan ianya pernah berlaku beberapa waktu kemudian diharamkan oleh Nabi s.a.w.

Batiniyah

  • Secara amnya golongan yang mengajarkan bahawa bentuk-bentuk amalan lahir dan hukum lahir seperti sembahyang, puasa, haji dan seterusnya tidak mempunyai makna apa-apa, boleh dilanggar, yang penting ialah hakikat batinnya. (Ini berlawanan dengan Quran dan Sunnah serta ijma’ yang mementingkan lahir batin kedua-duanya sekali).
  • Orang yang berpegang kepada ajaran yang membatalkan Syara’ ini terkeluar daripada agama Islam, na’udhu billahi min dhalik. Imam al-Ghazali rd menyebut dalam“al-Ihya’” bahawa golongan yang sedemikian lebih berat daripada kafir asli.

Ajaran-ajaran dan pemikiran-pemikiran sesat yang dikaitkan dengan tasawwuf:

Antaranya yang timbul dalam konteks Malaysia:

  • Ajaran Tuhan dalam diri berdasarkan kepada hadith qudsi “Dalam sirr itu Aku” dan penafsirannya yang zindik (banding dengan hadith dalam “Ihya’” yang menyebut “Tuhan dalam hatikamu”.
  • Ajaran bahawa manusia itu Tuhan, “dia Tuhan, kamu Tuhan, aku Tuhan, semua Tuhan” dikatakannya itu hakikat.
  • Ajaran bahawa yang dilihat oleh mata ini “Tuhan belaka” didakwa kononnya itu tasawwuf tinggi, ilmu hakikat.
  • Ajaran yang mengajarkan Syurga Neraka dalam diri, bahkan semua alam dalam diri, tidak ada Syurga Neraka, tidak ada Arasy Kursi, dan lainnya.
  • Tidak ada kiamat, sebab takkan Tuhan bodoh hendak menghapuskan semua ini selepas dijadikanNya.
  • Ajaran yang menyebut hukum Syara’ itu “kulit” tidak perlu dipatuhi oleh orang muntahi yang “sampai kepada hakikat”. Dengan itu sembahyang, puasa, haji dan sebagainya dan juga hukum haram halalnya tidak perlu diamal. Naudhu billahi min dhalik.
  • Ajaran yang mengajarkan Quran yang ada ini kertas sahaja, Quran sebenar Quran hakikat dalam hati manusia.
  • Yang mengajarkan bila dalam suluk tidak wajib sembahyang Jumuat, sebab “penyakit hati lebih berat daripada penyakit jasmani”.
  • Ajaran yang menyebarkan bahawa makna Quran yang sebenar ialah yang batin, makna dalam tafsir seperti “Jalalain” tidak perlu dipakai, ijma’ ulama tidak perlu dipakai. (Quran memang ada takwilnya sebagaimana yang disebut dalam “Lataif al-Isyarat” oleh al-Qusyairi r.d. dan dalam “al-Ihya’” bab bacaan Quran oleh Imam al-Ghazali r.d., tetapi maknanya yang ada dalam tafsir-tafsir yang diakui seperti “Jalalain”, “Baidhawi”, “al-Jamal” dan lainnya wajib dipakai dalam perkara-perkara yang wajib dan mesti diterima pakai.
  • Ajaran yang menyebarkan bahawa guru yang berkenaan seperti Khidhir, seperti Musa mesti taat kepadanya maka murid mesti taat kepada “yang seperti Khidhir” ini.
  • Ajaran yang menyebarkan bahawa kata-kata guru tertentu seperti Quran, kalau melanggarnya seperti melanggar wahyu Quran.
  • Ajaran yang menyebarkan guru tertentu itu “bayangan Mahadi”, atau “akan menjadi Mahadi”.
  • Ajaran yang menyebarkan bahawa kumpulan tertentu “jamaah sebenar” seperti “jamaah Rasulullah” dan di dalamnya ada “orang-orang seperti sahabat-sahabat Nabi” dan di dalamnya ada orang “seperti Abu Bakar”.
  • Ajaran yang menyebarkan ada orang tertentu yang ilmunya “seperti Nabi Yusuf” mengetahui takwil tentang apa-apa yang berlaku.
  • Ajaran yang menyebarkan bahawa jamaah tertentu kalau orang keluar daripadanya “akan mati murtad”, atau “mati munafiqin”, naudhu billahi min dhalik.
  • Ajaran yang menyebarkan bahawa kalau seseorang balik ke kampung daripada berada dalam sesuatu jamaah maka orang itu “murtad secara rohani”.
  • Ajaran yang menyebarkan ada di alamnya orang-orang seperti “Nabi Isa”, “Nabi Musa”, “Khidhir” dan sebagainya.

Pemikiran berkaitan dengan Hukum

  • Ajaran yang menyebarkan bahawa “semua orang boleh berijtihad sendiri tidak wajib ikut mazhab tertentu daripada mazhab-mazhab yang empat” seperti yang tertera dalam kitab “Hal al-Muslim mulzam bi’t-tiba’ al-madhhab al-mu’ayyan mina-Madhahib al-arba’ah” karangan Syaikh Muhammad al-Khojandi al-Ma’sumi.
  • Ajaran yang menyebarkan bahawa orang yang mengikut mazhab tertentu adalah seperti Yahudi dan Nasara yang menjadikan “rahib-rahib dan pendita-pendita mereka sebagai tuhan-tuhan selain daripada Allah”[7].
  • Ajaran yang mengajarkan bahawa boleh seseorang melihat/membaca terjemahan Quran dan terjemahan hadith dan kemudian membina hukum sendiri daripadanya tanpa merujuk kepada kitab-kitab hukum Islam, apa lagi dengan ada internet yang boleh didapati terjemahan Quran dan hadith daripadanya dengan mudah.
  • Ajaran yang menyebarkan bahawa memadai difahami usul al-din daripada terjemahan Quran dan hadith secara bersendirian tanpa mempelajari usul-al-din bahkan bid’ah sebab Nabi s.a.w. dan para Sahabat tidak mengajar usul al-din.
  • Ajaran yang menyebarkan bahawa amalan-amalan wirid, tahlil beramai-ramai, dan lain-lain sebagainya yang ada dalam mazhab Syafi’i antaranya (disebut Syafi’i sebab ini mazhab di Nusantara) adalah bid’ah dhalalah yang menepati maksud hadith yang bermaksud “semua yang dhalalah dalam Neraka”.
  • Ajaran yang disebarkan bahawa tasawwuf adalah bid’ah dan tidak ada dalam Islam serta tidak diamalkan oleh Nabi s.a.w. dan para Sahabat dan orang-orang salaf yang soleh.
  • Ajaran yang disebarkan bahawa orang-orang yang hidup tidak sampai pahala amalannya kepada si mati walaupun diniatkan untuk mereka, kerana ini berlawanan dengan ijma’ sebagaimana yang disebut dalam “Mausu’atul-Ijma’” karangan Sa’di Abu Jaib dan dalam “Majmu’ Fatawal-Kubra” oleh Ibn Taimiyah dalam “kitab al-Jana’iz” jilid 3.

Pemikiran Moden Yang Menyesatkan Dari Perspektif Islam

  • Sekularisme:yang mengajarkan pemisahan total antara hidup jasmani dan rohani, keagamaan dan keduniaan. Memang ada yang bersifat keduniaan antara kegiatan-kegiatan manusia tetapi semuanya terletak di bawah kawalan hukum agama.
  • Materialisme: yang mengajarkan hakikat sebenar yang ada hanya benda sama ada dalam erti fisik klasik sesuatu yang bertempat dan ada beratnya atau fisik quantum yang mentakrifkan benda sebagai gelombang (waves) atau zarah (particles). Benda memang ada tetapi hakikat tertinggi adalah bukan bersifat material, seperti Tuhan dan alam ghaib yang memang ada, dan dalam agama ianya lebih realistik daripada alam benda.
  • Pascamodenisme: yang mengajarkan semuanya nisbi, tidak tetap mutlak dan menentu, meta-naratif dalam bentuk agama-agama besar tidak berguna, dan nilai-nilai baik dan buruk tidak boleh dipakai. Ini menyanggahi akidah Ahlis-Sunnah yang mengajarkan ada ajaran yang mutlak yang tidak berubah-ubah seperti Tauhid, wahyu, kenabian, dan akhirat, ada bentuk-bentuk ibadat yang tetap dan pasti, ada yang baik dan buruk yang tetap dan tentu.
  • Saintisme: yang mengajarkan hanya teori-teori dan penemuan-penemuan sains sahaja yang boleh dipakai sebagai ilmu yang benar, yang lain yang bercanggah dengannya seperti kenyataan-kenyataan dalam ajaran agama dan teks-teks suci mesti ditolak atas alasan bercanggahan dengan sains dan teori-teorinya. Ini bercanggah dengan epistemologi atau faham ilmu Sunni yang mengajarkan adanya tempat yang wajar untuk sains dalam skemanya tetapi kebenaran-kebenaran yang mutlak dalam agama dan wahyu bukan bidang yang boleh dihakimi oleh sains dan teori-teorinya.
  • teori-teori tentang asal usul manusia dan agama dalam kaji sosial (sosiologi)– ini yang perlu diawasi.
  • teori-teori dalam sains seperti evolusi dan yang sepertinya yang perlu diawasi, termasuk kenyataan-kenyataan tentang tenaga (energy), dan benda (matter).
  • teori-teori psikologi seperti konsep seks yang menentu segala dalam fahaman Sigmund Freud, penafsiran pengalaman jiwa oleh Carl Jung dan yang sepertinya yang perlu diawasi. Kita boleh mempelajarinya untuk bahan bandingan tetapi untuk menjadi pegangan diperlukan pengamatan yang tajam dan kewaspadaan intelektuil yang tinggi.

Empat Wacana Agung Yang Menentukan di Nusantara

Sebagaimana yang saya telah nyatakan dalam pertemuan Dunia Islam Dunia Melayu di Melaka baharu-baharu ini[8], demi untuk menjaga jati diri Sunni Nusantara di kalangan Muslimin rumpun Melayu ini, kebenaran pegangan dan amalan mereka serta keseragaman identiti intelektuil dan aksiologi atau faham nilainya, maka perlu diteruskan tiga wacana agung, dengan tambahan-tambahan seperlunya mengikut suasana yang dihadapi:

  • Segi akidah semenjak awal lagi kita dipandu oleh wacana intelektuil dan rohani Sunni dengan ajaran Imam Abul-Hasan al-Asy’ari rd – dengan tambahan-tambahan seperlunya sesuai dengan perkembangan pengetahuan semasa.
  • Segi hukumnya kita dipandu oleh wacana ilmu oleh Imam Syafi’I r.d. dengan tambahan-tambahan seperlunya.
  • Segi kerohanian dan akhlak kita dipandu oleh wacana agung Imam al-Ghazali r.d., dengan tambahan-tambahan seperlunya.
  • Keempatnya saya hendak menambah sebagai syor, iaitu untuk pemerkasaan hidup budaya dan tamadun kita berusaha untuk dipandu oleh wacana agung Ibn Khaldun r.h. dengan ‘al-Muqaddimah’nya, dengan tambahan-tambahan seperlunya.
  • Dengan berpandukan Quran dan Sunnah dan wacana-wacana agung ini serta dengan tambahan-tambahan ilmu pengetahuan dan teknologi semasa yang kita pilih untuk kemanfaatan kita, kita akan selamat dalam menjaga kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Allahuma amin.

Cadangan-Cadangan

  • Perlu disebarkan akidah Ahlis-Sunnah wal-jamaah dengan huraian-huraian yang senang diterima dan berkesan untuk semua golongan sasaran baik di kalangan orang awam dan juga kalangan akademik dan media serta pelajar.
  • Saluran pendidikan ini ialah melalui sistem pendidikan dan juga media dan pemanfaatan institusi-institusi seperti masjid-masjid dan persatuan-persatuan belia.
  • Pendedahan epistemologi Sunni atau faham ilmunya secara menyeluruh perlu diberikan dalam seminar-seminar dan yang sepertinya pada peringkat negeri, kebangsaan, bahkan serantau, demi untuk memandu umat ini dalam berpegang

Kesimpulan:

Sebagai kesimpulannya, inilah makna kesesatan dan ciri-ciri ajaran sesat dalam konteks Islam Sunni yang perlu diketahui dan disedari dalam bentuk-bentuk klasik dan modennya. Maka perlu dibentuk kewaspadaan intelektuil yang tinggi di kalangan umat Islam demi untuk menjaga kebenaran dan kesahihan pegangan, amalan dan pemikiran mereka dalam menghadapi hidup yang mencabar termasuk cabaran globalisasi yang bukan sahaja akan mengubahkan wajah hidup kita dalam ekonomi dan pengetahuan tetapi juga dalam masalah akidah dan pegangan kalau tidak dihadapi dengan baik dengan izin Ilahi. Allahumman amin.

Wallahu a’lam.


Nota hujung:

[1]      al-Mufradat h.306-308

[2]      Surah an-Nisa: ayat 8

[3]      Surah Saba: ayat 8

[4]      Surah Mulk: ayat 9

[5]      Surah Al Ma’idah: ayat 77

[6]       Surah Al-Hijr: ayat 9

[7]      Surah at-Taubah: ayat 32

[8] Konvensyen Dunia Melayu Dunia Islam, 18-21 Oktober 2000

Dikirim dalam artikel. Leave a Comment »

Puisi Ustaz Uthman El-Muhammady: Sempena Mengingati Syaikh Muhammad Arsyad Al-Banjari

بسم الله الرحمن الرحيم

نحمده ونصلى على رسوله الكريم

PUISI: SEMPENA MENGINGATI

SYAIKH MUHAMMAD ARSYAD AL-BANJARI

RAHIMAHU’LLAH*

I

Hampir dua abad terpisah ayahanda dengan kami

Kemilau ilmu ayahanda masih menuntun kami

Di jalan mustakim di saf ilmiawan Sunni

Suara lunak merdu tarbiah tuan kami memerlukannya lagi

Semoga Tuhan Penyayang kabulkan impian kami di sini

II

Tuan antara kutub akli rohani Sunni kami rantau ini

Memancarkan keharmonian akal budi lagi rohani

Ketepatan kehendak Syar’i panduan mujtahid utama Syafi’i

Keunggulan mujahadah bersenjatakan akal budi

Pendidik kami mengerti apa rahasia “al-nasihah” dalam berbakti

III

Tuan penyaring pegangan umat Dunia Melayu ini

Suluhan “Tuhfah al-raghibin” mencahayai akidah Sunni murni

Menghapus zulmat bid’ah kesesatan pegangan manusiawi

Dari zaman purba sampai ke penyelewengan masakini

Dari pemuja akal sejengkal sampai ke penyembah nafsu haiwani

IV

Tuan penegak nizam syar’i dari mujtahid berakal geliga

Imam utama berketurunan Quraisy amat dibangga

Pemancar cahaya hukum Ilahi di Alam Nusantara

“Sabil al-Muhtadin” rujukan para pendita barakal jaga

Murabbi Melayu mengenal Syariat ubudiah si hamba

V

Tuan penyelam rahsia hidup ruhi murni

Dari panduan  mubtadi fardhu ‘ain nan dicari

Sampai para salikin pengikut jalan rohani

Hatta mengenal tauhid ke darjah tinggi kasyfi

Terjemah “Fathur-Rahman” jalan arifin bermakam tinggi

VI

Tuan mendidik “al-din al-nasihah” amali penuh erti

Rahasianya membawa tuan, para pembesar hatta mengerti

Natijah membawa penganjur rakyat hidup berbakti

Jalan tarbiah lagi da’wah yang segigihnya dilalui

Tercipta institusi tarbiah dan da’wah lagi nizam bermufti

VII

Tuan pencipta pengislaman Banjar kesultanannya

Penghimpun umat lagi pemimpin di jalan AgamaNya

Tuan murabbi “qaulan layyinan” kata-kata lembut rahasianya

Rahasia Musa dan Harun mendepani tamadun zamannya

Tuan membentuk umat makan minum sampai penyusunan negerinya

VIII

Tuan penyuluh ilmu umat pontong berasap ke zaman bioteknologi

Suara akidah benar Sunni dari Nabi lagi Sahabi

Dari generasi Salaf umat terpandu di jalan rabbani

Dari akidah Asy’ari, Ghazali, Nasafi sampai ke ulama Jawi

Pemegang akidah hakiki panduan wahyu dan nabi

IX

Pegangan tuan perlu lagi kami fahami kembali

Penyambung akal kami dengan rantai pegangan asli

Penguat akal kami mendepani penyelewengan masakini

Dari tarikat sesat sampai ke pascamodenisme pemusnah rohani

Warisan permata geliga tuan masih bernilai pada kami

X

Bicara akli ruhi tuan relevan lagi bagi kami kini

Mereka nan rabun akal memikir tuan ta’ diperlu lagi

Tersilau minda dengan cahaya sihir pemikiran Gharbi

Intelek mereka perlu dirawati penawar wacana sepadu Ghazali

Agar sembuh tajam pengamatan dalam cahaya wacana rabbani

XI

Tuan  pancaran nur akal jiwa murni lagi rabbani

Di zaman penuh fitnah dengan pergelutan akli

Insan tenggelam dalam laut kerakusan nafsani

Diistilahkan mereka globalisasi nan memperkasai

Adikuasa mabuk harta nafsu geram mendominasi

XII

Gugusan makna bergemerlap di langit bicara tuan

Bersama para ilmiawan hukama umat pilihan

Memberdayai kami di medan juang keyakinan

Sejahtera jaya kami dengan izin Sayang Tuhan

Menaut kembali kemesraan kami sekian lama berpisahan

XIII

Kami anak buah dari seberang berkunjung kemari

Menziarahi ayahanda mengharapkan curahan berkat tak terperi

Harapan melangit tinggi ingin melihat kembali

Wacana Sunni bawaan ayahanda suaranya didengari kembali

Mengalunkan lagi merdu wacana Islami Nusantara masakini

XIV

Menautkan kami kembali generasi demi genaerasi

Dalam keseragaman rohi etika lagi akli

Memberi kerangka peradaban zaman globalisasi

Meleraikan keriuhan suara wacana mereka berkelahi

Di awal abad bergelombang yang kita mula harungi ini

 .

 .

Gubahan Lebai Kembara Dunia Melayu

Muhammad ‘Uthman El-Muhammady

Di Bukit Damansara,

sempena Seminar Serantau

Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari-rahimahu’Llah-

Di Banjarmasin pada 4 Oktober 2003

Video: Ustaz ‘Uthman El-Muhammady – Beberapa Isu Dalam Pluralisme Agama: Satu Pengamatan Ringkas

Pembentangan “Beberapa Isu Dalam Pluralisme Agama: Satu Pengamatan Ringkas” oleh al-Marhum Ustaz (Dr) Muhammad ‘Uthman El-Muhammady, International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC), sempena WACANA ISU-ISU SEMASA AQIDAH: PLURALISME AGAMA bertema: MEMBENTERAS GERAKAN PLURALISME AGAMA DAN PEMURTADAN UMMAH pada 15 Januari 2011 (10 Safar 1432) – Sabtu, di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kuala Terengganu.

***********

Tubuhkan Kerusi Dr. Uthman El-Muhammady

UEM-Tubuh kerusi

Ustaz Uthman – ‘Kehidupannya untuk ilmu pengetahuan’

ISTERI Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, Mariam Hussain menyiram air mawar di pusara Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam UIAM, Gombak, semalam.

KUALA LUMPUR 26 Mac – Jenazah ulama Islam, Dr. Uthman El-Muhammady, 70, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, selepas solat zuhur hari ini.

Antara yang hadir semasa pengebumian itu ialah bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi; bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan Presiden Pertubuhan Jalur Tiga, Datuk Dr. Hasan Ali.

Yang hadir sama, Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad; Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin dan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa.

Pemergian Allahyarham dianggap sebagai kehilangan besar kepada negara berdasarkan jasa-jasanya sebagai ilmuwan dan ulama tersohor yang membantu mempertahankan agama Islam.

Menurut anak ketiga Allahyarham, Ahmad El-Muhammady, 35, sehingga ke saat-saat terakhir, bapanya masih setia bersama buku sebelum tiba-tiba mengadu terasa penat.

“Ahad lalu, semasa keluarga berkumpul meraikan kejayaan cucu-cucu dalam peperiksaan, ayah ada mengingatkan supaya kita teruskan usahanya iaitu mempertahankan ajaran Ahli Sunah Wal Jamaah di negara ini dan mempertahankan daripada pelbagai cabaran pemikiran.

“Allahyarham sihat, cuma akhir- akhir ini nampak penat. Beliau juga ada menterjemah dua buah buku yang belum sempat disiarkan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Sementara itu, Pengerusi Pusat Islamisasi UIAM, Prof. Ulung Tan Sri Dr. Mohd. Kamal Hassan menyifatkan Allahyarham seorang sarjana, intelektual dan ulama yang seluruh kehidupannya adalah untuk ilmu pengetahuan.

“Beliau faham cabaran dunia moden dalam Islam iaitu cabaran mazhab Syiah, fahaman pluralisme dan liberalisme yang cuba disebar dan dikembangkan dengan meluas.

“Selain itu beliau sedar situasi dunia hari ini, cabaran intelektual, usaha mempertahankan identiti Islam, tradisi ilmu mengikut Ahli Sunah Wal Jamaah dan memahami dunia ilmu barat serta ilmu Islam tradisonal hingga kitab klasik,” katanya yang telah bersahabat sejak kecil lagi.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali yang mengenali rapat Allahyarham sejak zaman belajar pula berkata, Allahyarham sering dijadikan sebagai tempat rujukan dalam siasah politik Islam.

“Beliau sentiasa berpesan kepada saya bahawa seorang pemimpin perlu amanah dan jujur kepada rakyat yang menjadi asas.

“Saya melihat Allahyarham adalah intelek Islam setanding dengan sarjana antarabangsa dan ulama tersohor dunia yang tidak menonjolkan diri serta bersikap sederhana. Beza sifatnya dengan sesetengah ulama yang ada,” ujarnya.
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jenazah Dr. Uthman El-Muhammady selamat dikebumi

KUALA LUMPUR 26 Mac – Jenazah cendekiawan Islam, Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, 70, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, selepas solat zuhur hari ini.

Antara yang hadir dalam majlis pengkebumian itu ialah bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi; bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan Presiden Pertubuhan Jalur Tiga, Datuk Dr. Hasan Ali.

Yang hadir sama, Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad; Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin dan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa.

Pemergian Allahyarham dianggap sebagai kehilangan besar kepada negara berdasarkan jasa-jasanya sebagai ilmuwan dan ulama tersohor yang membantu mempertahankan agama Islam.

Menurut anak ketiga Allahyarham, Ahmad El-Muhammady, 35, sehingga ke saat-saat terakhir, bapanya masih setia bersama buku sebelum tiba-tiba mengadu berasa penat.

“Ahad lalu, semasa keluarga berkumpul meraikan kejayaan cucu-cucu dalam peperiksaan, ayah ada mengingatkan supaya kita teruskan usahanya iaitu mempertahankan ajaran Ahli Sunah Wal-Jamaah di negara ini dan mempertahankan daripada pelbagai cabaran pemikiran.

“Allahyarham sihat, cuma akhir-akhir ini nampak penat. Beliau juga ada menterjemah dua buah buku yang belum sempat disiarkan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Sementara itu, Pengerusi Pusat Islamisasi UIAM, Prof. Ulung Tan Sri Dr. Mohd. Kamal Hassan menyifatkan Allahyarham seorang sarjana, intelektual dan ulama Islam yang seluruh kehidupannya adalah untuk ilmu pengetahuan.

“Beliau faham cabaran dunia moden dalam Islam iaitu cabaran mazhab Syiah, fahaman pluralisme dan liberalisme yang cuba disebar dan dikembangkan dengan meluas.

“Selain itu beliau sedar situasi dunia hari ini, cabaran intelektual, usaha mempertahankan identiti Islam, tradisi ilmu mengikut Ahli Sunah Wal-Jamaah dan memahami dunia ilmu barat serta ilmu Islam tradisonal hingga kitab klasik,” katanya yang telah bersahabat sejak kecil lagi.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali yang mengenali rapat Allahyarham sejak zaman belajar pula berkata, Allahyarham sering dijadikan sebagai tempat rujukan dalam siasah politik Islam.

“Beliau sentiasa berpesan kepada saya bahawa seorang pemimpin perlu amanah dan jujur kepada rakyat yang menjadi asas.

“Saya melihat Allahyarham adalah intelek Islam setanding dengan sarjana antarabangsa dan ulama tersohor dunia yang tidak menonjolkan diri serta bersikap sederhana. Beza sifatnya dengan sesetengah ulama yang ada,” ujarnya. – UTUSAN

Sumber: Utusan Malaysia @Utusan Melayu (M) Bhd

*************

Doa Untuk Ustaz Uthman El-Muhammady – Jun 2012

Pemergian Ustaz Uthman Satu Kehilangan Besar – Jamil Khir

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) — Pemergian Tokoh Maal Hijrah 2005 dan pakar dalam bidang pemikiran Islam, Dr Muhammad Uthman El-Muhammady merupakan satu kehilangan besar kepada dunia ilmuan Islam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

“Jasa Allahyarham begitu besar kepada negara bahkan antarabangsa dalam bidang penerbitan buku-buku pendakwahan.”Allahyarham merupakan seorang yang disenangi dan tidak lokek untuk berkongsi ilmu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pengkebumian jenazah Allahyarham di Tanah Perkuburan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak di sini Selasa.

Lebih 100 orang termasuk pelajar UIAM menghadiri majlis tersebut kira-kira pukul 2.30 petang tadi. Turut hadir ialah bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.Sebelum itu jenazah Allahyarham disembahyang di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah,UIAM.

Muhammad, 70, meninggal dunia malam tadi di kediamannya di Taman Duta di sini.Salah seorang anak Allahyarham, Ahmad El-Muhammady, 35, yang juga pensyarah di UIAM berkata bapanya merupakan seorang yang penyayang dan sentiasa mengambil berat perihal keluarga.“Kami semua amat terasa pemergiannya. Beliau sentiasa berpesan kepada kami agar meneruskan ajaran berdakwah dalam mempertahankan negara daripada pelbagai cabaran,” katanya.

Sementara itu Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali menyifatkan Allahyarham seorang intelek Islam dan cendekiawan tersohor sepanjang hayat.“Allahyarham berbeza dengan ulama-ulama lain dan tidak pernah menyentuh hal politik. Beliau seorang ulama yang tulen,” katanya.Allahyarham meninggalkan isteri Mariam Hussain, 65, dan 11 orang anak serta lebih 40 orang cucu.– BERNAMA

Da’wah Sebagai Teras Induk Menegakkan Islam


Teks Ucap Utama bertajuk: Da’wah Sebagai Teras Induk Menegakkan Islam di Seminar Dakwah Nasional 1433H/2012 siri Wacana Pemikiran dan Peradaban Ummah ke 4 bertemakan Dakwah Islamiah Sebagai Kekuatan Ummah pada 8 – 9 Oktober 2012 bersamaan 22 – 23 Dzulqaedah 1433H di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur dianjurkan oleh Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT).

Untuk versi mesra cetak sila klik di sini – format pdf

***************** 

بسم الله الرحمن الرحيم

نحمده ونصلى على رسوله الكريم

Da’wah Sebagai Teras Induk Menegakkan Islam

 

Al-faqir ila’Llah Muhammad ‘Uthman El-Muhammady

ISTAC, IIUM, MIM, Yayasan Karyawan

1. Bi-‘aunika ya Latif! Yang dimaksudkan ‘teras induk’ di sini ialah ia sesuatu dasar yang terpenting, sebagai ‘ibu’ yang berupa ‘paksi’ yang di atasnya berlegar pengembangan kebenaran agama dan natijah-natijahnhya dalam masyarakat umat manusia. Sebab itu ia berupa tugas para anbia dan rasul serta para hukama dan ulama dalam seluruh zaman dalam sejarah bani Adam mulai dari Adamalaihissalam hingga ke zaman nabi Muhammad salla’Llahu ‘alaihi wa sallam.

 

Dasar tentang dakwah

2. Ayat-ayat yang menyentuh dasar dakwah termasuk amar ma’ruf dan nahi munkar yang penting ini (yang berupa sebahagian daripada kurnia Tuhan kepada nabi salla Llahu ‘alaihi wa sallam pada malam Isra’ Mi’rajnya bersekali dengan Islam, jihad, hijrah, amar makruh nahi munkar, sadaqah, hijrah , sudah tentu sembahyang, asas-asas pembinaan peradaban rabbani) antaranya ialah ayat { وَلْتَكُن مِّنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى ٱلْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنْكَرِ وَأُوْلَـٰئِكَ هُمُ ٱلْمُفْلِحُونَ } yang bermaksud ‘Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” (ali ‘Imran: 104).

3. Antaranya juga ialah ayat yang menyebut tentang jati diri umat ini sebagai ‘umat terbaik yang dikeluarkan untuk kebaikaikan umat manusia yang melakukan seruan da’wah dalam ayat { كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِٱلْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ ٱلْكِتَابِ لَكَانَ خَيْراً لَّهُمْ مِّنْهُمُ ٱلْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ ٱلْفَاسِقُونَ } yang bermaksud: Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman) dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik.’’ (ali ‘Imran: 110). Dari ayat ini jelas umat ini adalah umat da’wah sebagai ciri utamanya untuk direalisasikan bagi kebaikan umat manusia seluruhnya.

4. Bersekali dengan jati diri umat yang demikian ada pula ialah realiti umat ini sebagai umat menengah yang utama dan adil (ummatan wasata) dalam ayat (وَكَذَلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطاً لِّتَكُونُواْ شُهَدَآءَ عَلَى ٱلنَّاسِ وَيَكُونَ ٱلرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيداً وَمَا جَعَلْنَا ٱلْقِبْلَةَ ٱلَّتِي كُنتَ عَلَيْهَآ إِلاَّ لِنَعْلَمَ مَن يَتَّبِعُ ٱلرَّسُولَ مِمَّن يَنقَلِبُ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ وَإِن كَانَتْ لَكَبِيرَةً إِلاَّ عَلَى ٱلَّذِينَ هَدَى ٱللَّهُ وَمَا كَانَ ٱللَّهُ لِيُضِيعَ إِيمَانَكُمْ إِنَّ ٱللَّهَ بِٱلنَّاسِ لَرَءُوفٌ رَّحِيمٌ) yang bermaksud: ‘Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan (ummatan wasata) agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu. Dan Kami tidak menetapkan kiblat yang menjadi kiblatmu (sekarang) melainkan agar Kami mengetahui (supaya nyata) siapa yang mengikuti Rasul dan siapa yang membelot. Dan sungguh (pemindahan kiblat) itu terasa amat berat, kecuali bagi orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh Allah; dan Allah tidak akan mensia-siakan imanmu. Sesungguhnya Allah Maha Pengasih lagi Maha Penyayang kepada manusia’(al-Baqarah :143). Dinyatakan dalam Tafsir Baidhawi tentang umat ini sebagai umat menengah yang utama dan adil supaya ia menjadi saksi atas umat manusia dan menyampaikan seruan dakwah dan nasihat kepada mereka; maka sebagaimana Rasul adalah saksi bagi umat ini maka umat ini pula adalah saksi atas umat manusia. (أي لتعلموا بالتأمل فيما نصب لكم من الحجج، وأنزل عليكم من الكتاب أنه تعالى ما بخل على أحد وما ظلم، بل أوضح السبل وأرسل الرسل، فبلغوا ونصحوا. ) (Tafsir Baidhawi jilid 1, 195. Dar al-Kutub al-Arabiyyah al-Kubra, Kahirah, tanpa tarikh, naskhah yang digunakan untuk pengajaran di Azhar tahun ke 6).

5. Yang jelas lagi kenyataan tentang umat ini, umat yang memiliki Quran untuk menjadi penunjuk ‘neraca’ –oleh itu dakwah kepada manusia – ialah ayat {وَأَنزَلْنَآ إِلَيْكَ ٱلْكِتَابَ بِٱلْحَقِّ مُصَدِّقاً لِّمَا بَيْنَ يَدَيْهِ مِنَ ٱلْكِتَابِ وَمُهَيْمِناً عَلَيْهِ فَٱحْكُم بَيْنَهُم بِمَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ وَلاَ تَتَّبِعْ أَهْوَآءَهُمْ عَمَّا جَآءَكَ مِنَ ٱلْحَقِّ لِكُلٍّ جَعَلْنَا مِنكُمْ شِرْعَةً وَمِنْهَاجاً وَلَوْ شَآءَ ٱللَّهُ لَجَعَلَكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَلَـٰكِن لِّيَبْلُوَكُمْ فِي مَآ آتَاكُم فَاسْتَبِقُوا الخَيْرَاتِ إِلَىٰ الله مَرْجِعُكُمْ جَمِيعاً فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ فِيهِ تَخْتَلِفُونَ } yang bermaksud: Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya ( مهيمنا عليه ). Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu) dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing) dan kalau Allah menghendaki nescaya Dia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Dia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Dia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya’ (al-Ma’idah: 48).

6. Jelas dalam ayat ini umat Islam berkewajipan untuk berpegang kepada Quran (dan Sunnah yang datang bersekali dengannya) serta menjadikan Quran sebagain neraca untuk membezakan apa ajaran yang benar dan apa yang tidak benar dan menunjukkan kepada umat manusia apa yang benar dan apa yang sebaliknya; mereka adalah umat yang sepatutnya mempunyai kriteria intelektuil dan kerohanian untuk dijadikan pedoman bagi manusia (erti luas bagi مهيمنا عليه ), jangan ia menjadi pengikut aliran-aliran yang tidak menentu sama ada yang datang dari dalam negara atau luar negara, dari dalam umat atau dari umat lain. Sebagaimana yang ditunjukkan oleh baginda salla’Llahu ‘alaihi wa sallam dalam perlembagaan Madinah bahawa mereka hidup aman damai dengan umat lain; kalau dalam kalangan kita di Malaysia kita hidup dalam keadaan aman dan harmonis antara kita dan umat lain dalam negara yang tercinta (‘in peace and harmony’) sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan negara ini; tetapi ingat-ingat jangan kita hilang pedoman sebab kita mesti menjalankan tugas sebagai ‘muhaiminan ‘alaihi’ dalam hubungan dengan ajaran agama yang kita terima dari para nabi a.s.s. khususnya dari nabi Muhammad salla’llahu ‘alaihi wa sallam. Bagi kita contoh hidup dengan aman dan damai dengan pemluk agama lain, selain daripada contoh zaman baginda dan para khalifah, ialah contoh di Andalusia, antaranya sebagaimana yang digambarkan dalam buku ‘The Ornament of the World’ oleh Maria Rosa Menocal dari Harvard; saya menyebut ini kerana ia datang dari pengakuan sarjana Barat yang menegaskan keadaan hidup harmonis dan aman damai untuk menjadi tauladan itu. Tetapi kita tahu bahawa keadaan di Andalusia berakhir dengan malapetaka kerana perpecahan dalaman sesama Muslimin dan pihak lain mengambil peluang untuk memporak-perandakan umat. Berwaspadalah.

7. Berkenaan dengan da’wah juga khususnya ayat yang selalu disebut-sebut, memang tepat, ialah ayat (ٱدْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلْحِكْمَةِ وَٱلْمَوْعِظَةِ ٱلْحَسَنَةِ وَجَٰدِلْهُم بِٱلَّتِي هِيَ أَحْسَنُ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ وَهُوَ أَعْلَمُ بِٱلْمُهْتَدِينَ ) yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk.” (al-Nakhl: 125).

8. Dalam ayat ini seruan itu berlaku dalam tiga tahap, tahap hikmah kebijaksanaan bagi mereka yang layak digunakan kaedah itu, tahap nasihat yang baik bagi mereka  yang patut digunakan kaedah nasihat yang baik itu, tahap menggunakan kaedah ‘berbahas’, ‘berhujah’ dengan mereka yang agak keras hati dan sesuai diseru dengan kaedah itu. Ini memerlukan orang-orang yang mempunyai persiapan untuk melakukannya; ada orang yang mampu menggunakan ‘hikmah kebijaksanaan’ kerana ia ‘memiliki hikmah kebijaksanaan’ (bukan ‘taktik dan strategi’ yang biasa disuarakan) dengan ilmunya yang mantap dan jiwa yang halus serta faham yang jitu, dengan kehalusan rasa menyelam jiwa dan pemikiran orang; bertuahlah orang yang bertemu dengan orang yang sedemikian; ada orang yang bersedia untuk melakukan nasihat yang baik kerana bahasanya beradab, memberansangkan, menggembirakan, juga ‘menakutkan’ secara wajar, dengan kisah-kisah menarik, dengan niat yang ikhlas untuk membawa manusia melihat kebenaran; bertuahlah orang yang bertemu dengan orang yang sedemikian. Ada orang yang ilmunya mantap, fahamnya betul dan jelas, cahara berbicaranya teratur dengan mantiknya yang baik, ilustrasinya kena pada tempatnya, hujahnya halus dan tajam, menusuk akal dan kalbu, ia bukan hendakkan kemenangan tetapi hendak berkongsi fahaman tentang kebenaran, ia melakukan itu dengan kasihan belas, bukan dengan dendam dan benci; berjayalan orang yang mempunyai persiapan dan kemahiran sedemikian, amin.

9. Hadith yang membawa pengertian tentang da’wah juga ialah hadis yang biasa disebut-sebut iaitu:

منرأى منكم منكرا فليغيره بيده .فإن لم يستطع فبلسانه .ومن لم يستطع فبقلبه .وذلك أضعف الإيمان

)الراوي: أبو سعيد الخدري -: مسلم -: الصحيح)

Sesiapa dari kalangan kamu yang melihat kemungkaran hendaklah ia mengubah dengan tangannya (atau kekuasaannya), kalau ia tidak berupaya melakukan demikian, ubahlah dengan percakapannya, kalau tidak mampu (juga) ubahlah dengan kalbunya (dalam hatinya) itu adalah sedhaif-dhaif iman. (sahih Muslim, Abu Said al-Khudri).

10. Antaranya ialah hadith berikut iaitu:

لتأمرن بالمعروف ولتنهون عن المنكر أو ليسلطن الله عليكم شراركم ثم يدعوا خياركم فلا يستجاب لهم حديث لتأمرن بالمعروف ولتنهون عن المنكر أو ليسلطن الله عليكم شراركم ثم يدعوا خياركم فلا يستجاب لهم أخرجه البزار من حديث عمر بن الخطاب والطبراني في الأوسط من حديث أبي هريرة

Maksudnya: benar-benar kamu akan menyuruh kepada perkara ma’ruf dan mencegah kemungkaran atau (kalau tidak akibatnya) Allah akan meletakkan atas kamu orangorang yang paling jahat kemudian orang-orang yang baik-baik berdoa (kepada Allah) tetapi tidak dimustajabkan doanya –dikeluaran oleh al-Bazzar dari hadis ‘Umar bin al-khattab dan al-Tabarani dalam al-Ausat dari hadis Abu Hurairah.Hadis  yang bermaksud hampir sama ada riwayatnya iaitu hadits:

وللترمذي من حديث حذيفة نحوه إلا انه قال أو ليوشكن الله أن يبعث عليكم عقابا منه ثم تدعونه فلا يستجيب لكم قال هذا حديث حسن معناه تسقط مهابتهم من أعين الاشرار فلا يخافونهم

Maksudnya ada hadis riwayat dari Tirmidhi sepertinya melainkan katanya-katanya (bermaksud) Atau hampir-hampirlah Allah akan timpakan azab hukuman atas kamu (kerana tidak melakukan amar ma’ruf dan nahi munkar) kemudian kamu berdoa kepadanya tetapi tidak dimustajabkan doanya.Katanya ini hadis hasan.Dengan itu maka kehebatan mereka hilang pada pandangan mereka yang jahat lalu mereka tidak merasa takut lagi terhadapnya. (Hadis ini disebutkan di bahagian awal kitab ‘amar ma’ruf dan nahi munkar Ihya’ Ulum al-Din oleh al-Ghazali). Dijauhkan Allah keadaan sedemikian ini.

Da’wah para anbia

Dalam Qur’an dinyatakan kisah-kisah sejarah para anbia dengan seruan dakwah mereka, Nuh, Salih, Ibrahim, Musa, Yusuf, Yunus, Sulaiman, ‘Isa, Musa, dan Nabi Muhammad salla’Llahu ‘alaihi wa sallam dengan umat mereka masing-masing, yang kisahnya terlalu terang dalam Quran. Kemudian dalam sejarah umat ini da’wah dilakukan oleh para mujaddid, imam-imam-mujtahid, para ulama dan ilmuan serta da’i sepanjang zaman. Sejarah itu tidak kita sentuh di sini. Dakwah perlu dilakukan oleh para ulama dan ilmuan demikian juga orang awam mengikut kadar masing-masing tetapi dengan mempunyai persiapan yang seperlunya.

Syarat-syarat dan cara berdakwah

11. Tentang syarat-syarat da’wa itu secara ringkasnya boleh diingatkan syarat pengetahuan agama yang memadai tentang Quran dan Sunnah, akidah, Syariat, akhlak, sejarah, dan sirah, juga pendedahan tentang ilmu dakwah; termasuk ke dalam persiapan ini ialah pengetahuan tentang aliran-aliran pemikiran semasa yang menjadi penghalang kepada dakwah. Selain daripada ilmu pengetahuan ialah syarat pembentukan peribadi da’i yang teguh dan baik supaya ia mampu berhadapan dengan cabaran-cabaran yang ada sama ada cabaran yang menyentuh ilmu atau juga cabaran moral. Ada orang yang boleh berhadapan dengan cabaran ilmu, tetapi tidak mampu berdepan dengan cabaran moral, Allahumma sallimna wal-Muslimin.

12. Dakwah boleh dilakukan secara lisan, tulisan, kalau sekarang melibatkan penggunaan internet, e-mail, facebook, twitter dan yang sepertinya. Dakwah berlaku melalui contoh kehidupan yang amali yang menunjukkan contoh yang baik berdasarkan ‘uswah hasanah’ yang kemuncak keunggulannya ada pada Rasulullahsalla’Llahu ‘alaihi wa sallam. Contoh itu terutamanya ada para hidup peribadi dan keluarga serta juga hidup masyaraklat Muslimin sendiri. Kekurangan-kekurangan yang ada dalam segi-segi tersebut perlu diatasi oleh semua orang yang beriman. Kalau menyebut tentang penulisan maka timbullah keperluan kepada penulisan yang baik tentang ajaran Ahli Sunnah dan penerangan tentang aliran-aliran yang mencabarnya. Dalam hubungan dengan persiapan sedemikian perlu juga disentuk keperluan menguasai setakat yang diperlukan pemikiran yang mencabar Islam yang datang dari luar seperti cabaran pascamodernisme, modernisme, pluralisme, liberalisme, dan yang sepertinya, selain daripada cabaran pegangan-pegangan sesat dalam masyarakat, atau cabaran  dari aliran Syiah dan aliran yang senang menuduh orang Ahli Sunnah sebagai ahli bid’ah tetapi itu disebut sebagai reformasi pemikiran. Maha suci Allah. Lagi pula adakah negeri-negeri yang mengikut kaedah seperti itu menunjukkan bukti kejayaan yang boleh diikuti keunggulannya?

13. Meneruskan bicara tentang dakwah perlu ditekankan ini, yakni da’wah ialah menyeru orang ramai menegakkan agama, menguatkannya, menjaganya daripada gangguan, menerukan keberadaan dan perlaksanaannya dalam umat, ini tugas utama, sebab alam ini dijadikan demi untuk menjadikan manusia mengenal Tuhan, tunduk kepadanya dan beribadat kepadanya serta melakukan amal salih yang menjadi kesejahteraan manusia di dunia dan juga di alam abadi.

14. Ini jelas dalam ayat-ayat Quran seperti {ٱللَّهُ ٱلَّذِي خَلَقَ سَبْعَ سَمَٰوَٰتٍ وَمِنَ ٱلأَرْضِ مِثْلَهُنَّ يَتَنَزَّلُ ٱلأَمْرُ بَيْنَهُنَّ لِّتَعْلَمُوۤاْ أَنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ وَأَنَّ ٱللَّهَ قَدْ أَحَاطَ بِكُلِّ شَيْءٍ عِلْماً } yang bermaksud ‘Allah yang menciptakan tujuh petala langit dan (Dia menciptakan) bumi seperti itu; perintah Allah berlaku terus menerus di antara alam langit dan bumi. (Berlakunya yang demikian) supaya kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu dan bahawa sesungguhnya Allah tetap meliputi ilmuNya akan tiap-tiap sesuatu’ (al-Talaq:12); satu lagi ialah ayat yang menunjukkan alam ini dan hidup manusia adalah untuk menjayakan ibadat kepada Allah dalam ayat {وَمَا خَلَقْتُ ٱلْجِنَّ وَٱلإِنسَ إِلاَّ لِيَعْبُدُونِ} yang bermaksud “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. ‘(al-Dzariyat: 56); satu lagi ayatnya ialah {ٱلَّذِي خَلَقَ ٱلْمَوْتَ وَٱلْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلاً وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْغَفُورُ } yang bermaksud ‘Dialah [Tuhan] yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);‘ (al-Mulk: 2). Jelas dalam ajaran Qur’an bahawa alam dijadikan untuk memberi kepada manusia ni’mat mengenal Tuhan, beribadat kepada-Nya dan juga melakukan amalan salih yang menjadikan hidupnya bermakna dan mendatangkan kepuasan dan kebahagiaan yang sesungguhnya. Amalan-amalan lain yang dilakukan oleh manusia memberi erti dan makna dalam konteks pandangan hidup yang sedemikian. Maka seruan dakwah ialah seruan kepada kehidupan yang sedemikian.

15. Dengan itu maka yang disampaikan ialah kebenaran-kenbenaran agama dalam akidah, ibadat, muamalah, akhlak, cara kehidupan, dengan cabaran-cabaran semasa yang ada. Termasuk ke dalamnya mempertahankan kebenaran agama dalam pelbagi bidangnya serta mendepani aliran-aliran faham yang bercanggah dengannya, baik yang berbentuk tradisional atau baru, yang datang dari luar atau dari dalam masyarakat islam sendiri; termasuk ke dalam perkara ini ialah aliran-aliran dari luar tajaan pihak asing yang mahu menggangu kehidupan umat dan negara; maka da’i perlu ada kepekaan dalam perkara ini.

16. Golongan-golongan yang ditujukan sebagaimana yang ada dalam ‘al-Da’wah al-Tammah’ oleh Syeikh ‘Abdullah al-Haddad, (terbitan Dar al-Al-Hawi,tahun 2000); da’wah perlu dilakukan kepada semua golongan ahli masyarakat; disebut oleh beliau da’wah itu hendaklah ditujukan kepada golongan ulama’ (hal. 53 dan seterusnya), para ahli ‘ibadat dan orang-orang zahid (hal. 89 dan seterusnya), para umara dan salatin serta mereka yang menjaga urusan am (wulat al-umur) Muslimin (hal. 125 dan seterusnya), ahli perniagaan, pertanian dan pertukangan (hal. 153 dan seterusnya), orang-orang fakir dan dhaif serta mereka yang terkenal bala (hal. 179 dan seterusnya), da’wah kepada mereka yang menjadi pengikut-pengikut di bawah jagaan orang yang berpengaruh, termasuk kanak-kanak, para wanita dan hamba orang (sekarang diharamkan oleh undang-undang) (hal. 199 dan seterusnya), da’wah kepada orang-orang yang taat dan juga yang melakukan maksiat (hal. 225 dan seterusnya). Dengan itu semua ahli masyarakat menjadi tumpuan da’wah demi untuk menjayakan agama dan umat dengan erti yang sebenarnya; dan beliau menjadikan amalan da’wah perjalanan hidupnya, Allah memberi rahmat kepadanya, amin. Kitab ini panduan yang sangat memberansangkan bagi para da’i. Ini adalah selain daripada tambahan-tambahan kitab da’wah yang boleh dimunafaatkan daripengarang-pengarang dan da’i zaman kini, seperti kalau di Dunia Melayukita sebutkan Pak Natsir dan Hamka dan yang sepertinya termasuk Syeikh Ahmad al-Fatani dan lainnya. Dan mereka ini hendaklah dilakukan da’wahnya oleh mereka yang layak baginya, mereka yang ada persediaan dari segi ilmu, peribadi, serta kemahiran da’wah dengan ikhlasnya. Kita perlu mencari jalan untuk menjayakan da’wah kepada semua golongan seperti ini, yang memang merupakan tugas umat yang amat berat untuk dilaksanakan, tetapi ia tugas yang mesti dipikul oleh mereka yang layak sebenarnya. Dan tidak harus kita mencari alasan untuk mengelak daripadanya dengan alasan kita tidak beramal dengan amalan yang cukup untuk bersikap sebagai da’i, sebab tiap-tiap orang perlu melakukannya, mengikut kadar kemampuannya. Termasuk ke dalam kategori mereka itu ialah golongan yang tidak membawa iman dan hidup dalam kesyirikan yang perlu diselamatkan; memang ini perlu dilakukan dengan cermat kerana keadaan dan suasana kepelbagaian budaya dan sistem kepercayaan yang ada di sekeliling kita.

 

Jalan ke Hadapan

17. Dalam menyebut tentang ‘jalan ke hadapan’ dalam hubungan dengan  da’wah di Malaysia, maka elok disebutkan beberapa perkara  yang perlu didepani bersama antaranya ialah:

Bagaimana dakwah menonjol dalam tahun-tahun tujuh puluhan melibatkan organisasi-organisasi bukan kerajaan dan penglibatan jabatan-jabatan kerajaan- yang kemudiannya menimbulkan usaha penerapan nilai-nilai Islam; demikianlah momentum berjalan seterusnya dengan kesan-kesannya masih ada sekarang walaupun ada berlaku beberapa darjah kekurangan pada tumpuan dan kegiatannya.Usaha seperti  ini perlu dibaharui semula dengan membetulkan tekad, matlamat, cara, dan penyusunan kerja, termasuk usaha menentukan keutamaan. Janganlah dikorbankan dakwah untuk kepentingan-kepentingan lain, termasuk soal percaturan yang melibatkan kekuasaan. Maha suci Allah.Kalau tidak kita akan berdepan dengan keadaan bilamana kata-kata Said Nursi rh menjadi penuh keabsahannya iaitu kata-kataاعوذ بالله من الشيطان الرجيم والسياسة : Aku mohon perindungan kepada Allah daripada Syaitan yang terkena rejam dan siasah’.

18. Kesan daripada kesedaran untuk mengembalikan ‘kesihatan’ umat, dan keperluan kepada pengetahuan dan dan dakwah, berlakulah apa yang kita lihat: Kemunculan institusi-institusi Islam, universiti-universiti, bank-bank Islam, takaful, sudah tentu Tabung Haji dengan prestasinya yang cemerlang, musalla-musalla di tempat awam, hingga ke pusat-pusat R&R di lebuh-lebuh raya, demikian seterusnya, kemudian selepas masa kecergasan itu, dengan ‘bulan dakwahnya’ dan lainnya usaha dakwah agak ‘menurun’. Mereka yang terlebat di dalamnya hidup dalam keadaan mewah atau agak mewah, dengan kesan-kesan yang memang dimengerti oleh mereka yang membaca falsafah sejarah seperti karangan ibn Khaldun, Toynbee, dan , bahkan Sejarah Melayu, tentang perubahan yang berlaku bila manusia mengecap kemewahan, walaupun bukan semua yang mengikuti jalan seperti itu, dan perkembangan lainnya.

19. Kemunculan fahaman–fahaman yang mencabar umat islam- golongan anti-hadith, golongan yang mendewa-dewan tokoh sehingga menganggapnya akan menjadi Mahadi, atau ‘wakil mahadi’, ‘kerajaan langit’ ‘nabi Melayu’ dan pelbagai lagi; timbul kesedaran tentang kelemahan umat dalam mengamalkan Ahli Sunnah wal-jamaah; dengan itu timbul usaha dalam penegasan kembali ajaran Ahli Sunnah wal-Jamaah secara nyata dengan melihatnya sebagai ‘akidah, epistemologi, dan kerangka peradaban, selain daripada pembicaraan tentang sifat-sifat Tuhan dan rasul dan yang berkaitan dengan keimanan, serta tajuk-tajuk tentang amal ibadat dalam hidup. Muncul sebutan tentang peradaban Islam dan pusat-pusatnya yang terpandu oleh ajaran Ahli Sunnah hingga ke hari ini dan rahmat Ilahi terpancar dari peradaban-peradaban sedemikian hingga ke hari ini. Dan ini perlu dijadikan neraca seutuhnya. Di celah-celah keadaan sedemikian timbul fahaman dari pihak-pihak tertentu yang mencemuh-cemuhkan amalan Muslimin di rantau ini –timbul golongan yang menyebut tentang gerakan ‘pembaharuan’ tetapi melibatkan ‘qunut bid’ah’, tahill bid’ah, zikir beramai-ramai bid’ah, tasawwuf bid’ah, sembahyang mengikut imam mazhab bukan mengikut sembahyang nabi, mengaji usul al-din dan ilmu kalam seperti yang dibuat oleh ulama Ahli sunnah bid’ah- dan pelbagai lagi, -bagaimanakah cara berfikir seperti ini dikatakan sebagai ‘pembaharuan’ dalam pemikiran dan peradaban, walhal masalah-masalah yang menghantui umat sedemikian banyaknya- Islam Liberal, pluralisme agama, Islam agama keganasan, penghinaan terhadap nabi, bahkan ‘thesis Max Weber’ tentang Islam belum diselesaikan; kata beliau dalam bukunya ‘Economy and Society’ dan tulisan-tulisan lainnya membuat komen-komen negative tentang undang-undang Islam; kalau diamal aturan Syarak ikut Islam tak ada keadilan, yang ada ‘keadilan tok kadhi’ (kadhi justice’), seperti kadhi duduk di pasar menyelesaikan kes-kes  begitu sahaja secara ad-hoc, konon katanya ‘keadilan to’ kadhi’, keputusan undang-undang tak teratur, tak boleh diandaikan sebab undang—undang islam ‘tidak rasional’ dan manusia tidak akan maju, yang maju hanya bila ada undang-undang yang rasional, undang-undang Syarak tidak rasional katanya, demikian seterusnya. Maka suci Allah. Alhamdulillah Negara ini, berkat kerjasama umat dan ulil-amri, jelas thesis Max Weber itu tidak benar. Dan terbukti dalam penyelidikan Haim Gerber dalam bukunya State Society in Islam bahawa tohmahan Max Weber meleset bila diteliti fakta-fakta sejarahnya; tetapi sangkaan Weber itu masih terus berjalan terutama di kalangan meraka yang bukan Islam dan yang terpengaruh dengan konsep seperti itu dalam negara ini dan kita Muslimin tidak bermuafakat untuk menyelesaikannya, tetapi kita bercakap tentang reformasi pemikiran dan macam-macam lagi tajuk yang besar-besar namanya. Maha suci Allah.

20. Mendepani cabaran-cabaran Islam Liberal, yang mengajar tidak ada ‘hukum Tuhan’, ‘tidak ada keistimewaan nabi Muhammad’, ‘wahyu berterusan walaupun orang menulis dalam akhbarpun dari wahy’ ‘aturan-aturan hukum agama itu untuk zaman lampau’ demikian seterusnya, dan Pluralisme Agama yang mengajarkan semuanya sama, sama benar, semua membawa ke syurga seperti dakwaan John Hick misalnya dalam bukunya ‘Pholosophy of Religion’ yang mula ada pengikutnya di negeri ini, Kesatuan Transcendent Agama-agama, fahaman Frithjof Schuon kononnya berasaskan metafisika yang berada pada bahagian inti agama-agama, yang mengatasi bentuk rupa lahiriah agama (the external forms of religions) itu perlu diselesaikan dengan berkesan sebab ia membawa Muslimin kepada kemurtadan dan kekufuran, dijauhkan Allah. Yang parahnya ada pihak-pihak yang mengatakan ini diajarkan oleh ulama Islam dahulu seperti ibn Arabi, Jalaluddin Rumi, dan ada yang memasukkan nama Abd al-Ghani al-nablusi ke dalam senarai itu dan lain –lain lagi. Teringat saya kepada da’i wanita terkenal itu Puan Maryam Jameelah katanya bila ia kenal isteri ketiga tokoh pembentang ‘kesatuan transenden agama-agama’ itu dia malu dengan buku-buku karangan tokoh itu, walaupun dahulunya beliau terpengaruh dengannya; ini dinyatakan dalam wawancaranya dalam sebuah majalah Islam di Pakistan tidak lama sebelum ini.

21. Konsep-konsep baru tentang neo-kapitalisme, hidup berdasarkan kepada ‘conspicuous consumerism’, suka membeli dan menggunakan barang-barang untuk menunjuk-nunjuk, yang membawa malapetaka, ‘the curse of the third generation’ kata mereka, bagi kita itu bukan semestinya ‘curse’ tetapi keadaan di mana kita berhadapan dengan ujian dalam kehidupan dan sejarah hidup manusia dengan kemewahannya; bila generasi ketiga merasai ni’mat dan seterusnya ‘lupa daratan’. Ini disebut oleh ibn Khaldun dalam Mukaddimahnya bila ia berbicara tentang generasi-generasi umat manusia dalam mengalami tahap-tahap perkembangannya.

22. Kesilapan fahaman tentang sekularisme dan ‘asabiyyah yang membawa kepada perpecahan dan perbalahan sesama sendiri, hingga putus silaturrahim, tanpa alasan ilmiah yang tepat dan teguh, berdekad-dekad lamanya, keperluan berwaspada terhadap dana asing yang boleh menimbulkan huru hara dalam negara (walaupun pada mulanya tidak kelihatan demikian, tetapi ia berpotensi menimbulkan keadaan huru hara itu atas nama ‘kebebasan manusia sejagat’, ‘usaha menegakkan demokrasi’ dan yang sepertinya. Teringat kita kepada kata-kata seorang bekas pemimpin dalam SUHAKAM yang menyebut bahawa setengah pihak mendapat dana dengan memberi gambaran yang negatif tentang negeri sendiri, semakin buruk gambaran yang diberikan, semakin banyak dana yang didapati dari luar. Maha suci Allah.  

23. Perlu kepada usaha-usaha dakwah yang menjurus kepada prinsip-prinsip dan nilai-nilai dalam wacana arus perdana Islam; kembali kepada ajaran arus perdana yang meliputi seperti yang tersebut tadi bersekali dengan pengajaran tentang adab ikhtilaf yang sangat diperlukan, supaya dielak daripada ikhtilaf yang membawa kepada perpecahan.

24. Perlu ada usaha sungguh-sungguh untuk mengelak daripada kekurangan-kekurangan atau kesilapan-kesilapan (kalau ada) yang telah lalu dengan cara bermuafakat atas dasar kasih sayang dan bukan dengan cabar-mencabar yang memecah-belahkan umat;

25. Hendaklah dielak daripada membuat tuduhan melulu sesama Islam bahawa berlaku perlaksanaan sekularisme Barat, tanpa mengambil pengajaran sebenar daripada erti yang tepat istilah itu dalam tamadun asalnya lalu membawa kepada kegawatan pemikiran dan timbul masalah sosial dan lainnya. Perkara seperti ini sampai termasuk ke dalam alam academia seperti misalnya yang ada dalam buku ‘Nationalism and Globalization East and West’ diselenggarakan oleh Leo Suryadinata, terbitan di Singapura, tahun 2000, lihat bab berkenaan dengan Malaysia tulisan seorang ahli akademik tempatan di salah sebuah universiti tempatan kita. Kita hanya mengurut dada mengeluh panjang dan beristighfar melihat gelagat ahli umat ini yang meletak pisau dileher bangsanya sendiri menyangka itu kenyataan ilmiah. Maha suci Allah.

26. Timbul keperluan untuk mengelak daripada terpesona dengan teori-teori dari tokoh-tokoh tertentu dan melupai ajaran menyeluruh arus perdana umat Islam dan panduan intelektuil dan rohaninya; usaha memahami ajaran arus perdana ini perlu dilakukan, bersekali dengan memahami trend semasa, kerana ini sahaja yang mampu memberi kekuatan kepada umat dan negara dan menunjukkan arah yang menyelamatkan kita, agama dan Negara serta umat. Amin.

27. Perlu diulangi kemestian ada usaha memupuk perpaduan dan mengelak daripada perpecahan bila berusaha menegakkan agama sebab menegakkan agama jangan dengan berpecah-pecah belah sebab itu ayat tentang menegakkan agama bersekali dengan ayat jangan berpecah-belah (huraian Fakhr al-Din al-Razi). Ayatnya ialah ayat 13 Surah al-Syura, yakni yang bermaksud: “Allah telah menerangkan kepada kamu di antara perkara-perkara agama yang Ia tetapkan hukumnya apa yang telah diperintahkanNya kepada Nabi Nuh dan yang telah Kami (Allah) wahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan juga yang telah Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Musa serta Nabi Isa, iaitu: Tegakkanlah pendirian agama dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya” (al-Syura: 13). Perkataan ‘tegakkan agama (iqamamah al-din) disebutkan bersekali dengan ‘jangan berpecah di dalamnya’.Kata Imam Fakhr al-Din al-Razi rh dalam ‘Tafsir al-Kabirnya tentang ayat ini (bahagian ‘jangan berpecah itu dengan kata-kata:

قوله تعالى: أَنْ أَقِيمُواْ ٱلدِّينَ وَلاَ تَتَفَرَّقُواْ فِيهِ } مشعر بأن حصول الموافقة أمر مطلوب في الشرع والعقل، وبيان منفعته من وجوه الأول: أن للنفوس تأثيرات، وإذا تطابقت النفوس وتوافقت على واحد قوي التأثير الثاني: أنها إذا توافقت صار كل واحد منها معيناً للآخر في ذلك المقصود المعين، وكثرة الأعوان توجب حصول المقصود، أما إذا تخالفت تنازعت وتجادلت فضعفت فلا يحصل المقصود الثالث: أن حصول التنازع ضد مصلحة العالم لأن ذلك يفضي إلى الهرج والمرج والقتل والنهب، فلهذا السبب أمر الله تعالى في هذه الآية بإقامة الدين على وجه لا يفضي إلى التفرق

firman Allah taala yang bermaksud ‘Hendaklah kamu dirikan agama dan jangan berpecah belah di dalamnya: difahami bahawa terhasil muafakat itu perkara yang dituntut pada sisi Syara’ dan akal, dan menafaatnya ada beberapa segi: jiwa manusia mendatangkan kesan, bila jiwa mereka menjadi tersusun [melalui fahaman misalnya] dan bermuafakat tentang sesuatu [matlamat] maka menjadi kuatlah kesannya; keduanya bila bersepakat maka jadilah tiap-tiap seorang (atau satu jiwa itu) membantu yang lainnya dalam matlamat yang tertentu itu, dan banyaknya bantuan memestikan terhasil maksud [yang dikehendaki]; bila berlaku perbezaan dan perselisihan dan berlaku jidal atau perbahasan timbul kelemahan  dan maksud tidak terhasil; ketiganya dengan berlakunya perselisihan maka itu berlawanan dengan kemaslahatan alam kerana itu membawa kepada perpecahan dan konflik, pembunuhan dan kemusnahan harta benda; kerana itu Allah menyuruh dalam ayat ini supaya mendirikan agama dengan cara yang tidak membawa kepada perpecahan (al-tafarruq). (Tafsir al-Kabir, al-Syura ayat 143, juz 27, hal. 157 percetakan pertama Medan Jami’ al-Azhar, Kahirah, tanpa tarikh). Maka dalam urusan dakwah hendaklah jangan ada perpecahan terutama dari segi fahaman agamnya dan perjuangannya, walaupun kumpulan boleh berlainan, seperti mazhab dalam Ahli Sunnah wal-jamaah. Dan ketiadaan berpecah ini penting sekali, sebab itu ayat berkenaan dengan mendirikan agama ini disekalikan dengan sebutan ‘jangan berpecah’.

Dan perbincangan ini membawa kita kepada surah ali ‘Imran ayat 103 hingga ayat 108:

[3: 103] Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayatNya.

[3: 104] Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

[3: 105] Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah bercerai-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah) dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar.

[3: 106] (Ingatlah akan) hari (kiamat yang padanya) ada muka (orang-orang) menjadi putih berseri dan ada muka (orang-orang) menjadi hitam legam. Adapun orang-orang yang telah hitam legam mukanya, (mereka akan ditanya secara menempelak): Patutkah kamu kufur ingkar sesudah kamu beriman? Oleh itu rasalah azab seksa Neraka disebabkan kekufuran kamu itu.

[3: 107] Adapun orang-orang yang telah putih berseri mukanya, maka mereka berada dalam limpah rahmat Allah (Syurga), mereka kekal di dalamnya.

Tentang mereka yang muka berseri-seri putih itu maksudnya ‘Ahli Sunnah wal-Jamaah’ dan yang hitam muka itu adalah mereka yang terseleweng daripadanya dan berpegang kepada aliran yang mengikut hawa nafsu mereka. Ini dijelaskan dalam tafsirnya seperti berikut:

وقوله تعالى: { يَوْمَ تَبْيَضُّ وُجُوهٌ وَتَسْوَدُّ وُجُوهٌ } يعني: يوم القيامة، حين تبيض وجوه أهل السنة والجماعة، وتسود وجوه أهل البدعة والفرقة، قاله ابن عباس رضي الله عنهما،  { فَأَمَّا ٱلَّذِينَ ٱسْوَدَّتْ وُجُوهُهُمْ أَكْفَرْتُمْ بَعْدَ إِيمَـٰنِكُمْ } قال الحسن البصري: وهم المنافقون. )

Ertinya: Firman Allah taala: pada hari itu setengah muka manusia putih setengahnya hitam, yakni pada hari kiamat, muka yang putih ialah Ahli Sunnah wal-jamaah dan yang mukanya hitam ialah golongan ahli bid’ah [keluar daripada ahli sunnah] dan firqah lain [daripadanya], demikian kata ibn ‘Abbas radiyaLlahu ‘anhuma. Mereka yang hitam mukanya, adakah kamu kafir selepas daripada beriman, kata Hasan al-Basri mereka golongan munafiqin [seperti Abdullah bin Ubayy); (Tafsir ibn Kathir, melalui altafsir.com. – akses 03-10-2012).

[3: 108] Itulah ayat-ayat keterangan Allah, kami bacakan ia kepadamu (wahai Muhammad) dengan benar dan (ingatlah), Allah tidak berkehendak melakukan kezaliman kepada sekalian makhlukNya.

28. Mengelak daripada melihat isu siasah mengikut kacamata yang terpengaruh dengan aliran liberal Barat atau mengikut kacamata terpengaruh dengan tokoh-tokoh tertentu melupakan ajaran arus perdana Islam yang membawa kepada perpecahan dan kekaburan fahaman.

29. Membetulkan hubungan antara orang ramai dengan ulil-amri sebab hukum berkenaan dengan ulil-amri masih kekal dan ada keabsahan hingga sekarang, kalau tidak dakwah terbantrut dalam perkelahihan antara orang ramai dan ulil-amri atas nama perjuangan tetapi itu mekmakan diri sendiri dan mendatangkan malapetaka. Dalam ajaran Ahli Sunnah wal-Jamaah ketaatan kepada ulil-amri terus berjalan dan mereka tidak boleh ditentang –al-khuruj alal-‘imam adalah haram (الخروج على الامام حرام )dengan ijma’- dan kalau ada perkara-perkara yang ‘tidak kena’ maka hendaklah dilakukan al-din al-nasih dengan syarat-syarat dan adab-adabnya.  Keluar menentang imam hanya dibenarkan berlaku bila zahir kufur yang nyata daripadanya secara tidak boleh ditakwil-takwil lagi. Demikianlah caranya kerjasama antara ulil-amri dan orang ramai berjalan dalam umat.Ajaran menentang ‘imam’ berdasarkan ajaran dar pemikiran liberal dari luar yang membawa kepada kekacauan adalah ditegah dalam agama, dan mereka yang melakukannya sudah banyak terbukti mudharatnya yang tidak padam-padam.Umat wajib diajak kembali kepada ajaran Ahli Sunnah melalui  da’wah yang berterusan secara teratur dan berkesan  bukan pada waktu-waktu tertentu sahaja; ia perlu berterusan sebagaimana hidup manusia adalah berterusan, hingga  sampai ajal mereka. Bangkang semata-mata kerana membangkang kerana hendak menjadi ‘watch dog’ dalam erti pemikiran yang datang dari luar terlarang dalam agama.

30. Dan perlu ditambah: ini bukan soal feudalisme atau soal modernisme sebagaimana yang terfikir oleh setengah pihak, ia prinsip dalam Ahli Sunnah yang diijmakkan berkurun-kurun lamanya dan ia diperlukan oleh umat, dengan ada asalan-alasan nakal dan akal, alasan nas dan alasan intelektuil, ia bukan soal bukan ketinggalan zaman. Mereka yang terpengaruh dengan simpang siur pemikiran Barat (seperti yang digambar oleh Frederick Copleston dalam ‘History of Philosophy’nya dalam beberapa jilid itu atau Will Durant dalam ‘Story of Philosophy’nya dan Bertrand Russell dalam History of Philosohy’nya); orang-orang kita yang terpengaruh seperti itu perlu didedahkan kepada simpang siur pemikiran itu dan akibat-akibatnya hingga sekarang dengan secara objektif dan membandingkannya dengan kestabilan wacana arus perdana Islam dengan ciri-cirinya secara penuh sedar dan objektif. (Lihat misalnya keadaan simpang siur sekarang dengan pihak-pihak yang mencanangkan nilai-nilai dan gaya hidup LGBT serta pluralisme dan liberalisme agama dan seterusnya dengan akibat-akibatnya yang sedemikian mencengangkan kita, mengharu-birukan hidup keluarga dan masyarakat, digabungkan itu dengan konsep kebebasan manusia dan hak-hak sarwajagatnya mengikut kacamata pihak luar dengan tidak mempedulikan nilai-nilai Islam dan peradaban Timur. Maha suci Allah.

31. Ayat tentang bertaqwa kepada Allah dan bertaqwa menjaga hubungan rahim (huraian Baidhawi tentang ittaqu’Llah dan ittaqur-rahim), kalau melalkukan taqwa kepada Allah kemudian rosak hubungan rahim itu tidak dibolehkan. Ayat itu ialah ayat berkenaan taqwa di awal surah al-Nisa’ Ayatnya ialah (يٰأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُواْ رَبَّكُمُ ٱلَّذِي خَلَقَكُمْ مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالاً كَثِيراً وَنِسَآءً وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ ٱلَّذِي تَسَآءَلُونَ بِهِ وَٱلأَرْحَامَ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيباً ) yang bermaksud “Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa) dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu. (al-Nisa’:1). Tentang ayat yang pertama yang menyebut taqwa kepada Allah yang namanya disebut untuk memhohon keperluan kamu disebut dalam tafsir Baidhawi (أي اتقوا الله واتقوا الأرحام فصلوها ولا تقطعوها) yakni bertaqwalah kepada Allah dan bertaqwalah dalam menjaga hubungan rahim, maka hendaklah dihubungkan rahim dan jangan memutuskan hubungan itu. Dan bila ini dihubungkan dengan erti kekeluargaan secara luas ia mencakupi bangsa dan kemaslahatannya yang disuruh oleh Quran dan Sunnah. (Tafsir Baidhawi, jilid 2, hal. 64, Dar al-Kutub al’-Arabiyyah al-Kubra, Kahirah, tanpa tarikh).

32. Isu jangan mengatakan semua manusia sudah rosak semua, ini keadaan yang amat berat sekali. Al-Habib ‘Abdullah bin ‘Alawi al-Haddad dalam bukunya yang sangat indah dan penuh pengajaran yang tepat untuk da’i menganjurkan supaya dilakukan da’wah kepada semua golongan demi menjayakan agama dan menyempurnakan amalannya dalam bukunya yang terkenal ‘al-Da’wah al-Tammah wa al-Tadhkirah al-‘Ammah’, terbitan Dar al-Hawi, tahun 2000.

33. Gerakan dakwah perlu disemarakkan oleh NGO-NGO Islam dengan dana-dana yang mencukupi, dakwah yang teratur, terancang, melibatkan semua peringkat, supaya lahir masyarakat yang beramal dengan islam yang teguh Islamnya, dalam masa yang sama hidupnya harmonis dengan pihak agama lain dan para penganutnya, ‘dalam aman dan harmonis’ (in peace and harmony) sebagaimana yang disebut dalam Perlembagaan Malaysia. Ke dalam gerakan dakwah ini perlu dimasukkan rangka kerja dan panduan dalam dialog antara para pengikut sistem-sistem kepercayaan yang ada di negara ini demi tujuan mencapai keharmonian hidup bersama.

 

Kesimpulannya

34. Dalamperbincangan yang berlaku ini telah ditelusuri secara ringkas masalah kepentingan dakwah dalam umat, keperluan kepadanya, syarat-syarat dan caranya, kesannya yang telah berlaku dalam negara kita, dan beberapa unsur yang perlu didepani dalam jalan ke hadapan. Mudah-mudahan seruan dakwah kita berjalan dengan ‘inayah Allah taala dan terpandu pada pada jalan yang lurus tanpa tergendala, amin.

35. Dengan izin Ilahi diharapkan –Allahumma amin– gerakan seruan dakwah ini akan berjalan terus menerus ke hadapan tanpa hentinya, selepas sekian lama suaranya tidak begitu kedengaran di kalangan kita; maka dengan seminar ini yang dirasmikan oleh TPM Tan Sri Mahyuddin Yasin, dengan jayanya, amin, dengan kertas-kertas mencakupi perbincangan tentang dakwah dan pengukuhan akidah oleh rakan kita Dr. Wan Adli Wan Ramli dari Akademi Islam, UM, tentang dakwah mendepani serangan pascamodernisme, oleh rakan kita Dr. Amran Muhammad dulunya dari UM, persoalan dakwah berhadapan dengan hegemoni Barat, oleh sahabat kita Prof. Dr. Sidek Baba, dari UIA, perbincangan tentang dakwah mendepani usaha pemurtadan umat di negara ini, oleh sahabat kita Sdr. A Karim Omar SUA MUAFAKAT, tentang dakwah sebagai medium integrasi nasional oleh rakan kita Dr. Muhammad Fuad Yeoh Abdullah, dari MACMA, perbincangan tentang dakwah Islamiyyah sebagai instrumen pembinaan tamadun, oleh sahabat lama kita Prof. Dato’ Paduka Mohamad Abu Bakar, perbincangan tentang penulisan kreatif dan kedudukannya dalam dakwah Islamiyyah oleh rakan gigih kita Prof. Datuk Dr. Abdul Latif Abu Bakar dari UPSI, dan sebagai ketua satu GAPENA, perbincangan tentang Dakwah Islamiyyah mendepani kemelut politik di Malaysia, oleh sahabat lama kita Datuk Nakhaie Ahmad, juga perbincangan bidang itu oleh rakan kita Ustaz Nasharuddin Mat Isa dari Pusat Kajian Fiqh Kontemorari, YB Bachok, moga-moga Allah bangkitkan semula kedinamisan dakwah Islamiyyah di negara ini, amin, dan membawa dengannya kejayaan-kejayaan dakwah yang diredhai dan yang menyejukkan kalbu mereka yang beriman, menyelamatkan agama, bangsa dan negara kita, amin ya Rabbal ‘alaimn. Wallahu a’lam. Wassalamu ‘alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Ajaran Syiah dan Bahayanya Kepada Umat Islam

بسم الله الرحمن الرحيم

نحمده ونصلى على رسوله الكريم

AJARAN SYIAH DAN BAHAYANYA KEPADA UMAT ISLAM

Shaykh Muhammad ‘Uthman El-Muhammady

ISTAC, IIUM, IIM

Seminar Hal Syiah di Negeri Sembilan

17 Oktober 2011

Dalam tulisan ini penulis hendak membentangkan dasar-dasar pegangan mazhab Syiah, khususnya Syiah Ja’fariyyah atau Syiah Imam Dua Belas yang sedang berkembang sekarang dalam masyarakat Islam Malaysia bahkan dalam kehidupan antarabangsa.

Pendedahan ini dibuat dengan berdasarkan kepada teks-teksnya yang muktabar. Huraian berkenaan dengan dasar-dasar pegangan itu didahului dengan sedikit maklumat sejarah berkenaan dengan mazhab itu; kemudian disusuli dengan huraian berkenaan dengan pegangannya; dalam penerangan itu akan disebutkan di mana kelainannya dengan mazhab atau pegangan Ahlissunnah wal-Jamaah.

Asal tulisan ini ialah berupa satu bab buku yang akan ditertbitkan tidak lama lagi oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, insha’ Allah.

Tujuan tulisan ini ialah untuk mengajak umat Islam di Malaysia supaya kembali kepada wacana pengetahuan dan pegangan Ahlissunnah wal-Jamaah dalam pengetahuan agama mereka dan mengelak diri daripada pegangan dan amalan-amalan golongan-golongan yang selain daripadanya. Sikap ini perlu diambil oleh Muslimin di negara ini demi untuk menjaga kebenaran agama, meneruskan keseragaman faham dan pegangan yang menyelamatkan dalam kebenaran di kalangan Muslimin. Ini juga penting demi untuk mengelak daripada perpecahan, untuk menjaga kestabilan intelektuil yang menjadi asas bagi pembangunan budaya dan tamadun di rantau ini.

Sebelum ini sudahpun diperhatikan bagaimana hadith-hadith nabi s.a.w. menyebut tentang akan berpecahnya umat ini kepada tujuh puluh tiga golongan[1], dan antara mereka ini yang selamatnya ialah golongan ‘al-sawad al-a’zam’, iaitu golongan majoriti Muslimin yang mengikut ajaran dan amalan Ahlissunnah wal-Jamaah. Ini tidak akan diulang-ulang lagi. Secara ringkasnya perlulah Muslimin mengetahui ciri-ciri ajaran yang menyimpang daripada Ahlissunnah wal-Jamaah supaya mereka mengelak diri daripadanya. Ini adalah selain daripada kewajipan mereka mengetahui pegangan Ahlissunnah wal-Jamaah.

SEJARAH PERKEMBANGAN MAZHAB SYIAH

Sejarah perkembangan Aliran Syiah bermula dari abad pertama sejarah umat Islam lagi. Ia berasal daripada kecenderungan yang melampaui batas dalam memberi sokongan kepada keluaraga nabi s.a.w. (Ahlul-bait) dalam pengertian yang terbatas mengikut cara berfikir orang Syiah sendiri. Pada peringkat kemudiannya kumpulan mereka itu membentuk beberapa kepercayaan yang merupakan kepercayaan-kepercayaan yang berlainan langsung daripada akidah arus perdana umat ini, iaitu aliran Ahlissunnah wal-Jamaah, sebagaimana yang diterangkan dalam bahagian pertama buku ini. Bahkan, pada akhirnya ia terbentuk menjadi suatu agama lain yang bukan lagi diajarkan oleh nabi s.a.w. dan para Sahabatnya (Allah meredhai mereka semuanya).

Di kalangan mereka timbul tanggapan dan kepercayaan bahawa ada Qur’an lain pada sisi mereka yang berlainan daripada Qur’an yang diterima secara ijma’ oleh umat ini; selain daripada itu nampaknya mereka menolak himpunan hadith-hadith yang ada di kalangan Ahlissunnah seperti al-Bukhari, Muslim, Nasa’i, Ibn Majah, Abu Daud dan lainnya dan mereka mempunyai himpunan hadith-hadith mereka sendiri yang kemunculannya adalah kemudian daripada himpunan-himpunan Ahlissunnah.

Di kalangan mereka juga timbulnya kepercayaan tentang imam-imam dua belas mereka yang mereka anggap maksum melebihi para nabi dan rasul a.s.s. yang terakhir antara tokoh yang terkemuka mereka, sebagaimana yang diungkapkan oleh Khumeini. Pegangan mereka tentang imam dua belas mereka adalah pegangan yang berlainan langsung dengan pegangan Ahlissunnah sebagaimana juga pegangan mereka tentang Qur’an dan Sunnah.

Pegangan mereka yang terlalu amat bercanggah lagi dengan Ahlissunnah ialah pandangan mereka berkenaan berkenaan dengan para Sahabat – Allah meredhai mereka semua. Pada mereka para Sahabat menjadi kafir murtad selepas daripada wafat nabi s.a.w. sebagaimana yang disebutkan dalam ‘Rijal al-Kashshi’, kitab rujukan mereka dalam hadith dan perawi-perawi hadith. Adalah perkara yang menakjubkan bila di kalangan mereka disebutkan bahawa Abu Bakar dan ‘Umar –Allah meredhai keduanya- adalah dua berhala Quraisy (‘sanamai Quraisy’) sebagaimana yang ada dalam selawat mereka yang diedarkan kepada orang ramai.Selawat itu antaranya mendapat restu Khumeini.  Selawat itu sebagaimana yang ada dalam ‘al-Khutoot al-Areedah[2] ialah seperti berikut:

Oleh kerana kejayaan mereka dalam revolusi tahun 1979 maka timbul semangat mengkagumi mereka sampai ke tahap ada yang menganggap bahawa mereka adalah wira Muslimin di dunia dan pegangan mereka yang berabad-abad bercanggah dengan Ahlissunnah itu tidak dipedulikan, bahkan dianggap seolah-olah mereka sudah meninggalkan pegangan yang demikian. Penelitian berdasarkan kepada teks-teks mereka yang baharu dan juga teks-teks klasik menunjukkan bukan demikian sebenarnya. Pegangan mereka terus menerus berjalan sebagaimana yang ada dahulunya.

Kalau ditelitikan pegangan-pegangan mereka, walaupun secara ringkas, akan terbukti bahawa mereka masih mempunyai keyakinan seperti dahulu yang bercanggah dengan Ahlissunnah wal-Jamaah, dan Muslimin dalam kalangan Ahlissunnah hendaklah memberi perhatian terhadap kelainan dan percanggahan ini dan jangan terperangkap ke dalam rancangan-rancangan yang boleh merugikan mereka. Kita tidak mahu Malaysia menjadi negeri yang mempunyai masalah berkenaan dengan golongan ini. Biarlah pegangan ini ada dalam negeri mereka sahaja dan bukan tersebar ke dalam kalangan orang kita di sini. Oleh kerana pegangan mereka kekal sedemikian maka rancangan untuk mengadakan ‘taqrib’ yakni persahabatan dan persefahaman bersama tidak tercapai matlamatnya.

Sikap mereka sekarang ini misalnya boleh dilihat, antara lainnya, daripada risalah ‘Tuhfatul-‘Awam Maqbul’[3] yang terkandung di dalamnya salawat yang diakui oleh enam orang penting dalam kalangan Syiah, iaitu termasuk Khumeini dan Shariat-Madari. Di dalam risalah itu terdapat doa melaknatkan Abu Bakar dan Umar radiayallahu anhuma yang disebut sebagai ‘dua berhala Qureisy’ dan juga anak perempuan keduanya. Subhana’Llah. Dan ini masih ada sampai sekarang.

Satu teks lagi, antara lainnya, yang menunjukkan sikap mereka sekarang dengan pegangan mereka ialah kitab Khumeini ‘al-Hukumah al-Islamiyyah’ yang asalnya bertajuk ‘Wilayatul-Faqih’.

Dalam teks ini ada terdapat kenyataan yang mencengangkan kita iaitu antaranya:

‘Bahawa para imam [Syiah yang dua belas orang itu] mempunyai kedudukan terpuji dan darjah yang sangat tinggi serta kekhalifahan ke atas alam semesta (khilafatan takwiniyyatan) yang dengannya maka tunduk kepada pimpinan itu dan otoritinya semua atom-atom ala mini (jami’ dharrati hadhal-kauni); dan dinyatakan bahawa mereka ini mempunyai kedudukan yang tidak tercapai ketinggiannya itu oleh malaikat mukarribin (yang hampir di sisi hadrat Tuhan) dan nabi yang  diutus menjadi rasul [4]

Dalam hubungan dengan kitab ‘al-Kafi’ oleh al-Kulaini yang menjadi rujukan golongan Syiah Khumeini bertanya ‘Adakah kamu fakir bahawa memadai bagi kita semua dalam hubungan dengan agama kita bahawa kita himpunkan hukum-hukum dan arahan-arahannya dalam ‘al-Kafi’ kemudian meletakkannya atas rak (buku) dan membiarkannya?’[5]

Sekarang kerap sekali timbul perbincangan berkenaan dengan pembaharuan dalam fahaman agama dan biasanya orang mencari-cari aliran pembaharuan yang hendak ditonjolkan itu. Ada mereka yang hendakkkan pembaharuan itu berdasarkan kepada penolakan mazhab-mazhab dalam Ahlissunnah sebab disangkanya itu membawa kepada kejumudan berfikir, kemunduran umat dan sebagainya. Dan aliran menolak mazhab inipun tidak ada memberi jasa membawa kembali kegemilangan umat dan kejayaan hidup beragama yang menyejukkan hati kita; bahkan dari segi intelektuilnya nampaknya hasil usaha daripada aliran ini tidak menunjuklkan keperkasaan intelektuil yang memberi harapan kepada kita. Ia hanya banyak menimbulkan konflik dalaman yang tidak berkesudahan atas nama pembaharuan dan pemurnian agama. Ada pula yang merasa tertarik kepada golongan Syiah Imam Dua Belas, tetapi nampaknya ia tidak menunjukkan kekuatan akidah Islam sebenarnya yang boleh menjamin kebenaran dan kejayaan beragama serta kejayaan dalam kehidupan masakini.

Penulis ini percaya dengan keyakinan yang tidak berbelah bagi bahawa kita perlu kembali mengenali ajaran dan amalan Ahlissunnah dan membina kekuatan faham dan ilmu serta kejayaan kehidupan berlandaskan kebenaran dalam Ahlissunnah ini. Sekadar menyebut sejarah sahaja pun memadai untuk kita membaharukan ingatan kita sekarang: bahawa di Madinah zaman awal ajaran dan amalannya adalah Ahlissunnah, hanya istilahnya tidak digunakan dengan meluas; kejayaan dalam masa Umayyah dan Abbasiyyah itu dalam rangka ajaran Ahlissunnah; demikian juga kejayaan di Andalus zaman Islam, kejayaan di Istanbul (sampai ke abad ke 20) sebelum kejatuhannya akibat konspirasi Barat dan kelemahan dan pengkhaianatan dalaman, kejayaan islam di Delhi, di Dunia Melayu, semuanya dalam rangka ajaran Ahlissunnah. Beginilah pengajaran sejarah, dan inilah yang memberansangkan kita dan memberi panduan kepada kita. Hanya kita perlu melihat ajaran itu dan perlaksanaannya dalam hubungan dengan kejayaan masa kini. Apa yang kekal abadi kita kekalkan, seperti akidah, ajaran rohani dan nilai-nilai akhlak yang abadi, mana-mana yang memerlukan perubahan dalam kerangka dan prinsip yang ada, kita ubahsuaikan mengikut keperluan, tetapi masih dalam rangka panduan prinsip-prinsip serta nilai-nilai yang abadi itu.

Selain daripada masalah diatas, ialah soal perpaduan Muslimin di mana-mana, ini juga perlu diasaskan kepada ajaran Ahlissunnah wal-Jamaah; semua pihak perlu merujuk kepada dasar ini; inilah yang menentukan penerimaan atau penolakan sesuatu. Kalaulah ada pihak-pihak yang boleh diajak bersatu padu atas dasar ini maka usaha itu hendaklah dilakukan dengan seberapa daya yang boleh; kalau tidak dapat dilakukan perpaduan atas dasar itu maka hendaklah diajak perpaduan itu atas dasar kemaslahatan mereka yang beriman kepada Allah, Hari Kemudian, kerasulan nabi Muhammad s.a.w. dan sembahyang mengadap ke arah Ka’abah. Perlu Muslimin di negara Malaysia bersatu padu atas dasar ini demi keselamatan agama mereka dan survival mereka sebagai umat yang berpegang kepada Qur’an dan Sunnah serta ijma’ daripada akal dan roh yang terbaik dalam umat ini.

Mereka yang berada dalam mazhab fiqh yang berlainan bersatu padu dalam soal pokok akidah dan tempat ambilan hukum; mereka yang mengamalkan tarikat tasawwuf bersatu padu dalam menundukkan diri kepada Qur’an dan Sunnah serta ijma’; maka para guru mereka perlu memberi penekanan kepada perpaduan Muslimin selain daripada menjayakan kekentalan iman dan ketaqwaan mereka melalui tasawwuf. Demikianlah mereka yang berada dalam NGO Muslimin hendaklah bersatu padu berhadapan dengan bahaya yang mengancam agama mereka. Ringkasnya perpaduan untuk kepentingan agama adalah mengatasi perkara-perkara lain.

BAB  I

SYIAH DAN QUR’AN:

Dalam bab ini akan dibicarakan pegangan Syiah Imamiah berkenaan dengan al-Qur’an yang merupakan punca utama Islam. Dalam teks-teks klasik Syiah berkenaan dengan al-Qur’an ada beberapa perkara yang menunjukkan kelainan mereka daripada Ahlissunnah. Antaranya ialah seperti yang dibicarakan dalam perenggan-perenggan berikut.

Dalam Ahlissunnah, sebagaimana yang diajarkan dalam al-Qur’an, kitab Qur’an kekal dari masa ia mula-mula diturunkan sampai sekarang dengan isi kandungannya tanpa apa apa-apa tambahan atau kekuarangan. Ini berdasarkan kepada ayat Qur’an dan penafsirannya, ayatnya ialah:

(ان علينا جمعه وقرأنه ,   فاذا   فرأنه  فاتبع   قرأنه ,   ثم   ان علينا بيانه)

Sesungguhnya Kamilah yang menghimpunkannya (al-Qur’an) (dalam dada engkau) dan menetapkan bacaan (pada lidahmu); oleh itu apabila Kami menyempurnakan bacaannya (kepadamu dengan perantaraan Jibril) maka bacalah menurut bacaan itu; kemudian sesungguhnya kepada Kamilah terserah urusan menjelaskan kandungannhya (yang memerlukan penjelasan). [6]

Dengan berdasarkan pada panduan ini dan Sunnah Rasulullah s.a.w. serta ijma’ ummat maka timbullah keyakinan semenjak dari awal lagi tentang peri tidak terubah bahkan kekalnya Qur’an sampai sekarang dengan susunan-susunan ayat dan surah-surahnya sebagaimana yang ditentukan oleh nabi s.a.w, antaranya sebagaimana yang tercatit dalam kitab al-Itqan oleh Imam al-Suyuti rh.[7]

Pada sisi orang Syiah Qur’an, sebagaimana yang diriwayatkan dalam ’al-Kafi’ oleh al-Kulaini[8]:

Berdasarkan riwayat daripada Abu Basir yang dilaporkan sebagai berkata: Sekali peristiwa saya pergi bertemu dengan Abu ’Abdillah [yakni Ja’far Sadiq] –alaihissalam- dan bertanya kepadanya: Moga-moga hamba menjadi penebus tuanhamba! Hamba hendak bertanyakan soalan sama seorang; Adakah sesiapa di kalangan dan sekitar kita ini yang boleh mendengar kata-kataku? Periwayat itu berkata: Abu ’Abdillah mengangkat tabir yang memisahkannya daripada ruang yang berdekatan. Kemudian ia masuk ke dalam ruang itu dan berkata: ’Sekarang, tanyalah apa yang engkau mahu tanya’. Periwayat itu berkata: ’Kemudian hamba bertanya; Syiah tuan secara amnya meriwayat bahawa Rasulullah –Allah berselawat kepadanya dan keturunannya- bahawa Ali adalah pintu kota yang membukan seribu pintu? Beliau menjawab: ’Rasulullah –selawat dan salam ke atasnya dan zuriatnya- memberitahu Ali tentang seribu pintu, tiap-tiap satunya membuka kepada seribu pintu. Saya berkata: Demi Allah, ia adalah ilmu. Periwayat itu berkata: Dengan ini (Abu Abdillah) berfikir seketika dan kemudian memberi jawapan: ’Ya, itulah Ilmu’. Ia menambah ‘Wahai Abu Muhammad, pada kami ada ’Jami’ah’. Adakah anda tahu apa ’Jami’ah’ itu? Saya berkata: ’Moga-moga hamba jadi penebus tuan hamba.Hamba ingin tahu apakah ’Jami’ah’ itu. Beliau berkata memberi jawapan: ’’Ia Kitab , panjangnya tujuh puluh hasta Rasul Allah-selawat dan salam atasnya dan zuriatnya-ia ditulis dengan pena, dan Ali sendiri menulisnya dengan tangan kanannya. Kitab itu mengandungi semua perkara yang halal dan yang haram. Bahkan ia mengandungi semua perkara yang manusia dikehendaki mengetahuinya. Ia mengandungi sampai denda kerana kecederaan-kecederaan ringan’. Kemudian ia menunjuk kepada saya dengan jarinya. ’Wahai Abu Muhammad, adakah anda membenarkan saya? Saya menjawab ’Saya jadikan diri saya tebusan tuan hamba. Sesungguhnya hamba bersedia untuk tuan. Perintahkanlah kepada hamba apa yang tuan hamba kehendaki.’ Kemudian periwayat itu berkata: ’kemudian ia mengisyaratkan kepada saya dengan tangannya, katanya ’walaupun denda balasan kerana kecederaan yang sedikit!’ Beliau nampaknya kelihatan marah. Periwayat itu berkata lagi: ’Saya berkata, demi Allah, ini Ilmu!’ Beliau berkata :’Ya, inilah Ilmu! Dan itu bukan semuanya (yakni ada lagi)’. Kemudian beliau berhenti sejenak, dan kemudian ujarnya; ’Ada pada kami ‘al-Jafr’, dan apakah yang mereka tahu tentang ‘al-jafr’ itu? Pencatit itu berkata: ’Saya bertanya’ Apakah itu ‘al-Jafr’? Beliau menjawab: ’Ia bekas daripada kulit yang di dalamnya disimpan ilmu para nabi, para wasi dan pemegang amanah, dan Ilmu dari para ulama terdahulu dari kalangan bani Isra’il’. Periwayat itu berkata: ’’Saya berkata: Ini Ilmu. Ia berkata: ‘Sudah tentu ini adalah Ilmu: dan ini belum lagi tamat semuanya (tetapi masih ada lagi). Kemudian beliau berhenti sejenak dan kemudian berkata: ‘Pada kami ada sebuah naskah Qur’an milik Fatimah( .وان عندنا لمصحف فاطمة) –alaihassalam- dan apakah yang mereka ketahui berkenaan dengan naskah Qur’an milik Fatimah itu? Beliau menjawab: ’Ia naskah Qur’an yang mengandungi apa yang seperti Qur’an kamu, tetapi ia tiga kali ganda daripadanya ( مصحف فيه مثل  قرأنكم هذا ثلاث مرات ). Demi Allah ia tidak mengandungi suatu kalimahpun dari Qur’an kamu( ما فيه   من قرأنكم حرف واحد ).

Dari sini timbul kepercayaan tentang adanya Mushaf Fatimah’ yang menjadi pegangan mereka yang berbeza daripada ‘Mushaf Uthman‘ yang menjadi pegangan seluruh umat Islam. Ertinya mereka mempercayai Qur’an yang ada pada mereka adalah tiga kali ganda besarnya, dan Qur’an yang ada dalam Mushaf Uthman adalah hanya satu pertiga sahaja.

Selain daripada itu terdapat beberapa maklumat berkenaan dengan hal ini dalam ‘al-Anwar al-Nu’maniyyah’[9]

Dalam teks ini terdapat riwayat yang menunjjukan bahawa Qur’an yang yang dikumpulkan oleh Saidina Ali rd adalah asli dan murni dan tidak ada ‘tahrif’ atau perubahan atau pengurangan apa-apa padanya. Riwayat itu ialah seperti berikut :

Terdapat riwayat yang mustafid (yang kurang sedikit daripada mutawatir) bahawa Qur’an yang dikumpulkan oleh Saidina ‘Ali dengan wasiat daripada nabi s.a.w. –yang ia sibuk menghimpunkan enam bulan selepas wafat baginda s.a.w.- kemudian selepas menghimpunnya beliau datang menemui mereka yang tidak segera menjalankan tugas mereka (disebut ‘al-mukakhallifin’) selepas daripada Rasulullah s.a.w., kata beliau: ’Ini Kitabullah sebagaimana yang diturunkan‘. Kata Umar bin al-Khattab kepadanya: ‘Kami tidak memerlukan anda, dan kami tidak memerlukan Qur’an anda. Dengan kami sudah ada Qur’an yang ditulis oleh ‘Uthman. Ali alaihissalam berkata kepada mereka: ’Selepas daripada hari ini anda tidak akan melihatnya lagi dan tidak ada seorangpun yang akan melihatnya sehingga zahirnya anakku (dari zuriatku) al-Mahdi alaihissalam”. dalam Qur’an itu banyak terdapat tambahan-tambahan dan ia sunyi daripada tahrif.[10]

Maka dapat dilihat bahawa al-Qur’an yang sepatutnya menjadi rujukan yang menghimpunkan golongan Ahlissunnah dan Syiah menjadi isu yang membawa kepada perpecahan kerana pendapat mereka yang menyalahi ijma’ ulama umat ini semanjak dari awal lagi. Antaranya disebutkan oleh Muhibbuddin al-Khatib dalam ‘Al-Khutoot al-‘Aridah’ bahawa antara ulama mereka yang menyebut tentang Qur’an tidak murni dan asli ini ialah ulama mereka dari Najaf bernama Mirza Husain bin Muhammad Taqi An-Nawari At-Tabarsi, yang menulis dalam tahun 1292 Hijrah kitabnya ‘Faslul-Khitaab fi Ithbat Tahrif Kitab Rabbil-Arbab’. Kitab ini menarik perhatian para ulama Syiah, dan ia dipertikaikan oleh setengah kalangan dari mereka sebab sebelum ini ajaran tentang ada tahrif pada Qur’an ini diketahui hanya oleh segolongan tertentu ulama mereka sahaja. Bila timbuk kritikan terhadap bukunya itu beliau menulis dua tahun sebelum meninggalnya buku yang mempertahankan pendiriannya itu, berjudul Raddu ba’dush-Shubahaati `an Faslil-Khitaabi fi Ithbati Tahrifi Kitaabi Rabbil-Arbaab.Kerana menghormatinya dengan pendiriannya tentang ada ‘tahrif’ dalam Qur’an golongan Syiah mengebumikannya di tempat suci mereka di Najaf.[11]

Antara yang menakjubkan dalam konsep Qur’an Syiah ini ialah keberadaan Surah al-Wilayah yang mereka membuat tuduhan ia dibuang oleh para Sahabat. Dalam ‘Al-Khutoot al-Areedah’ [12] ditunjukkan ‘Surah al-Walayah’ itu demikian:

Surah itu kalau diterjemah maksudnya lebih kurang seperti berikut:

Wahai orang-orang yang beriman; berimanlah dengan Nabi dan wali (yakni Ali rd) yang Kami bangkitkan keduanya yang memberi hidayat bimbingan kepada kamu ke jalan yang betul. Seorang nabi (Muhammad s.a.w.) dan Wali (yakni Ali) yang setengah dari dua orang itu dari setengahnya dan Aku adalah Maha Mengetahui lagi Maha mendalam TahuNya. Sesungguhnya orang-orang yang menunaikan janji dengan Allah bagi mereka itu Syurga jannatul-Naim; dan orang-orang yang bila dibaca kepada mereka ayat-ayat Kami maka mereka membohonginya; sesungguhnya bagi mereka dalam neraka Jahannam ada tempat yang dahsyat. Bila disebut kepada mereka hari Kiamat (nanti) dimanakah orang-orang zalim yang membohongi para rasul … (diakhiri dengan) dan bertasbihlah kepada Tuhan kamu dan Ali termasuk di kalangan para penyaksi.

Sarjana yang dipercayai Muhammad Ali Sa’udi ketua perunding dan penasihat Kementerian Undang-Undang Mesir waktu itu, juga seorang daripada murid-murid rapat dengan Syaikh Muhammad Abduh berjaya meneliti sebuah manuskrip Parsi dari Iran yang dimiliki oleh Orientalist Brown.

Beliau berjaya membuat fotokopi Surah al-Wilayah itu dengan terjemahan bahasa Parsinya sekali. Keberadaan surah itu diakui oleh Al-Tabarsi dalam kitabnya ‘Faslul–Khitab dan Muhsin Fani al-Ashmeeri dalam bukunya ‘Dabistan Madhahib’ Buku ini yang ditulis dalam bahasa Parsi dicetak banyak kali di Iran, dan Surah al-Wilayah ini disebut oleh Orientalist Jerman Noeldeke dalam bukunya berkenaan dengan sejarah Qur’an.[13]

Bila kitab ‘Faslul-Khitab’ diterbitkan maka para Orientalist yang tidak senang dengan Muslimin dan kitab suci mereka dan para ahli gerakan missionary bergembira; kegembiraan mereka itu mungkin kerana di dalamnya terdapat riwayat-riwayat yang tidak benar dan rekaan yang boleh memberi gambaran buruk tentang keaslian Qur’an dan keutuhan teksnya. Mereka mengusahan terjemahan ke dalam bahasa-bahasa Barat yang boleh mendatangkan menafaat untuk gerakan mereka. Riwayat-riwat di dalamnya menyentuh kedudukan Qur’an, nabi Muhammad s.a.w. dan keagungan para Sahabat yang memberi gambaran yang sangatr negatif tentang semuanya.

Antara riwayat-riwayat Syiah dalam ‘al-Kafi’ oleh al-Kulaini yang membuktikan pendirian Syiah tentang Qur’an, selain daripada di atas ialah seperti berikut.[14]

Saya mendengar Abu Ja’far –alaihissalam- berkata: ‘Tidak ada dari kalangan mereka yang mengaku menghimpunkan Qur’an secara lengkap sebagaimana ia diturunkan melainkan ia pembohong.Tidak ada orang yang menghimpun dan menghafal Qur’an sebagaimana ia diturunkan melainkan Ali bin Abi Talib dan para imam yang selepasnya”.[15]

Dalam kitab Khumeini yang berjudul ‘Kashf al-Asrar’[16] terdapat kenyataan demikian :

“Peribadi-peribadi ini (para Sahabat) tidak ada kena mengena dengan Islam dan al-Qur’an, mereka hanya mahu menggunakan ini semua sebagai jalan untuk keuntungan duniawi dan memegang kekuasaan. Kerana orang yang berusaha untuk menggunakan al-Qur’an demi untuk matlamat-matlamat hina mereka, maka tidak menjadi masalah bagi mereka untuk membuang ayat-ayat (yang menyebut Ali sebagai khalifah selepas nabi s.a.w. dan ketua imamah), untuk membuat tambahan-tambahan dalam ayat-ayat Kitab suci itu, dan menjadikan Qur’an tidak terlihat oleh orang ramai sampai ke akhir zaman. Tuduhan merosakkan (kitab-kitab suci mereka) yang dibuat oleh Muslimin terhadap orang-orang Yahudi dan Kristian mengena ke atas para sahabat ini”.[17]

Dalam kitab yang sama [18] Khumeini  menyatakan:

Kalaulah Imam (untuk memimpin selepas daripada Nabi s.a.w.) disebutkan namanya dalam Qur’an, maka siapakah yang menjamin bahawa tidak akan berlaku perbezaan pendapat di kalangan Muslimin? Ini kerana mereka yang ikut bersama-sama dengan agama Islam dan Nabi Muhammad s.a.w. itu adalah kerana gilakan kekuasaan dan kedudukan, dan semenjak masa yang lama sedang menambahkan golongan penyokong-penyokong mereka, maka mereka ini tidak akan meninggalkan matlamat-matlamat keji mereka kerana ajaran-ajaran Qur’an. Mereka akan menggunakan apa cara sahaja untuk mencapai objektif-objektif mereka, ataupun, kalau demikian, maka perbezaan-perbezaan pendapat yang diadakan itu akan menjadi sedemikian rupa sehingga asas-asas agama Islam itu akan menjadi musnah. Kerana, kemungkinannya ialah kalaulah mereka yang berusaha itu melihat mereka tidak akan mencapai matlamat-matlamat mereka melalui Islam mereka akan bersatu padu pula untu membentuk satu golongan untuk menentang Islam dan akan merosakkannya secara terang-terangan.

Banyak kenyataan-kenyataan Khomeini yang memburuk-burukkan para sahabat terutamanya Abu bakar dan Umar serta Uthman. Allah meredhai mereka. Adalah ajaib sekali bahawa gambaran nabi s.a.w. pada tangan Khomeini sedemikian teruk gagalnya untuk membentuk para sahabat. Adakah ini gambaran yang boleh diterima akal dan agama?

Jelaslah bahawa fahaman berkenaan dengan Qur’an dan para Sahabat yang ada pada golongan Syiah adalah berlainan sama sekali-bahkan bercanggah – dengan apa yang ada pada Ahlissunnah yang merupakan arus perdana umat ini. Orang Barat yang bukan Muslim pun memberi kredit kepada kejayaan nabi s.a.w. membentuk para Sahabatnya.

BAB  II

SYIAH  DAN PENDAPAT MEREKA BERKENAAN  DENGAN SAHABAT:

Golongan Syiah mempunyai pandangan yang sangat tidak menasabah berkenaan  dengan para Sahabat –Allah meredhainya. Mereka menganggap para Sahabat sebagai orang-orang yang berkhianat kepada Rasulullah, mereka murtad selepas wafat nabi s.a.w., mereka mengubah-ngubahkan Qur’an dan mengurang-ngurangkan isinya. Antaranya boleh didapati keterangan berkenaan dengan gambaran ini dalam perenggan-perenggan berikutnya.

Sebelum kita pergi kepada pegangan Syiah berkenaan dengan para Sahabat kita boleh merujuk kepada Qur’an sendiri berkenaan dengan kedudukan mereka itu. Antara ayat-ayat yang menerangkan kedudukan para Sahabat ialah ayat yang berikut:

{‏(والسابقون الأولون من المهاجرين والأنصار والذين اتبعوهم بإحسان رضي الله عنهم ورضوا عنه وأعد لهم جنات تجري تحتها الأنهار خالدين فيها أبدا ذلك الفوز العظيم‏}‏)

Dan orang-orang yang terdahulu yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar” dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.[19]

Ternyata dalam ayat ini kelebihan mereka di kalangan Muhajirin dan Ansar. Mereka yang beriman dengan sebenar-benarnya, bila terbaca ayat ini akan terus tunduk kepadanya dan memuliakan para Sahabat.

Dalam al-Qur’an lagi terdapat ayat berkenaan dengan para Sahabat yang memberi sumpah setia kepada baginda s.a.w. dalam hubungan dengan Perjanjian Hudaibiyyah. Ayat itu ialah:

قَدْ رَضِيَ اللَّهُ عَنِ الْمُؤْمِنِينَ إِذْ يُبَايِعُونَكَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ فَعَلِمَ مَا فِي قُلُوبِهِمْ فَأَنْزَلَ السَّكِينَةَ عَلَيْهِمْ وَأَثَابَهُمْ فَتْحًا قَرِيبًا)

Demi sesungguhnya! Allah reda akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahuiNya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Dia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya;[20]

Ayat ini memberi keterangan berkenaan dengan keutamaan para Sahabat yang berbaiah dengan nabi s.a.w. dan berjanji akan mempertahankan baginda dengan nyawa mereka. Mereka adalah golongan yang mendapat keredhaan Tuhan.  Orang-orang yang beriman akan bersikap dengan sikap yang sebaik-baiknya terhadap para sahabat yang mendapat pendidikan dan asuhan dari baginda s.a.w. dan jauh sekali daripada menentang atau mempunyai sangka yang buruk terhadap mereka.

Tidak syak lagi sebagaimana yang ternyata dalam hadith dan sirah, selain daripada Qur’an, bahawa jasa para Sahabat tidak ada tolok bandingnya. Tanpa para Sahabat yang menyampaikan ajaran Islam kepada kita kita tidak akan mendapat apa-apa dari ajaran yang maha suci ini. Sebab itu kita mendoakan keredhaan Allah terhadap mereka.

Bagaimanakah sikap Syiah terhadap para Sahabat?

Tentang mereka menuduh para Sahabat membuang atau mengubah-ngubah isi Qur’an, sampai tertinggal hanya sepertiga sahaja lagi, itu sudah jelas dari kenyataan sebelum ini dalam hubungan dengan Qur’an.

Dalam hubungan dengan Abu Bakr rd terdapat kenyataan berkenaan dengan nya[21]:

Diriwayatkan oleh Abu Bakr, saya berkata kepada nabi s.a.w. sewaktu saya berada dalam Gua (dalam peristiwa Hijrah): ’Kalau sesiapa dari mereka melihat ke bawah kakinya ia akan melihat kita.Baginda bersabda:’Wahai Abu Bakr! Apakah fikiran anda berkenaan dengan dua orang (iaitu nabi s.a.w dan dia sendiri) yang pihak ketiganya ialah Allah?’

Inilah yang disebutkan dalam Qur’an sebagai ‘orang kedua dari kedua orang’ dan ‘sahabatnya’  dalam ayat:

)إِلَّا تَنْصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللَّهُإِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُواثَانِيَ اثْنَيْنِإِذْ هُمَا فِي الْغَارِإِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَافَأَنْزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِوَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَمْ تَرَوْهَاوَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُوا السُّفْلَىوَكَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

yang bermaksud[22]:

Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Mekah) mengeluarkannya (dari negerinya Mekah) sedang dia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika dia berkata kepada sahabatnya: Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya) dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Ayat ini mengabadikan kemuliaan Abu Bakr rd yang mendapat gelaran ‘orang kedua dalam dua orang’ dan ‘sahabatnya’  dan ‘sahabat dalam gua’.

Yang berjuang dengan Rasulullah s.a.w. dalam peperangannya adalah para Sahabat; yang mengumpulhan Qur’an dan Sunnah adalah para Sahabat. Pendeknya yang menjayakan islam dan membuktikan kegemilangannya adalah para Sahabat; selepas mereka para tabi’in dan  demikian seterusnya. Sejarah Islam tidak akan ada tanpa para sahabat.

Gambaran berkenaan dengan para Sahabat yang ada dalam kalangan umat ini berlainan sekali-bahkan bercanggahan sekali – dengan apa yang ada dalam kalangan orang-orang Syiah.

Dalam hubungan dengan sikap mencela para sahabat ini, antaranya, dinyatakan oleh al-Nawbakhti dalam bukunya ’Firaq al-Syi’ah’[23] bahawa ’Abdullah bin Saba adalah seorang daripada orang-orang yang mencela Abu Bakar, Umar dan Uthman dan lain-lain Sahabat secara terbuka. Ia berlepas diri daripada mereka semua. Dalam suatu peristiwa ia menyatakan bahawa Ali yang menyuruh beliau melakukan demikian. Ali-Allah meredhainya- menghadapinya dan bertanya kepadanya supaya menerangkan tindakannya itu. Ia mengakui kesilapannya. Ali memberi arahan supaya ia dipancung. Orang ramai berteriak: Wahai Amir al-Mukminin! Adakah tuan hamba memutuskan hukum mati atas seorang yang mengajak orang ramai kasihkan tuan hamba dan ahlulbait (keluarga nabi) dan mengajak orang kepada wilayah tuan hamba (supaya menyokong tuan hamba) dan yang berlepas diri daripada bersama-sama dengan musuh-musuh tuan hamba? Maka Ali menmbuangnya ke Mada’in (Ctesiphon) kepala negeri Parsi pada masa itu. Satu kumpulan dari kalangan ahli ilmu dikalangan para Sahabat Ali –alahissalam- meriwayatkan: Abdullah bin Saba adalah seorang Yahudi.Kemudian ia memeluk agama Islam dan menjadi pendokong Ali –alaihissalam.Tetapi Ali biasa berkata : Dia masih Yahudi kerana ia menyatakan Yusha’ bin Nun sebagai ’wasi’ selepas nabi Musa-alaihissalam.Pada masa itu ia berpegang kepada ajaran Islam yang murni, tetapi kemudian daripada wafat Nabi s.a.w. – ia (berubah pegangannya) dan mempunyai kepercayaan berkenaan dengan Ali , yang sama dengan kepercayaannya tentang Yusya’ (bin Nun). (Abdullah) Ibn Saba merupakan orang yang mula-mula sekali yang mengembangkan fahaman bahawa Ali wajib menjadi khalifah (selepas nabi s.a.w.).Ia membersihkan dirinya daripada bersama-sama dengan musuh-musuh Ali .

Dari sini boleh diperhatikan bahawa sesiapa yang menolak golongan Syiah selalu menyatakan: Golongan Syiah dan Rafidah timbul daripada ajaran Yahudi .

Diriwayatkan bahawa bila Abdullah bin Saba sampat ke Ctesiphon sampai kepadanya berita tentang kematian Ali. Ia berkata kepada orang yang menyatakan kematian Ali: ”Kamu berbohong.Kalau kamu membawa otaknya dalam tujh puluh pundi-pundi dan kalau kamu cuba membunuh tujuh puluh orang yang menyaksi kematiannya, kami akan menyatakan bahawa Ali tidak mati atau dibunuh, kerana ia tidak akan mati sehingga ia memerintah seluruh dunia ini.[24]

Ehsan Elahi Zaheer membuat kesimpulan yang menarik berkenaan dengan usaha golongan Yahui yang merosakkan Islam dari dalam. Antara kesimpulan-kesimpulan itu ialah seperti berikut[25]:

Bahawa golongan Yahudi ada membentuk kelompok mereka menggunakan nama Islam  di bawah kendali Abdullah bin Saba; pada zahirnya mereka kelihatan orang Islam tetapi dengan cara rahasia mereka berpegang kepada agama Yahudi; mereka bersedia untuk mengembangkan di kalangan Muslimin kepercayaan dan ajaran yang datang dari agama Yahudi dan yang bersifat kufur.

Mereka nampaknya berusaha untuk memecahbelahkan umat Islam dan juga berusaha untuk menjatuhkan Khalifah ketiga -Allah meredhainya-dan akhirnya mereka menolak bai’ah terhadapnya dan menimbulkan huru hara dalam negara; Muslimin berkelahi sesama sendiri dan perkembangan Islam terhenti. (Pada pandangan penulis ini perkara yang sedemikian ini sesuai dengan kenyataan Qur’an yang menyebutkan bahawa golongan Yahudi dan Nasara tidak akan reda sekali-kali sehingga kamu memeluk agama mereka[26]). Ehsan Elahi Zaheer menganggap bahawa fitnah yang ada dalam zaman awal ini masih ada kesan-kesannya sampai sekarang. Subhana’Llah.

Beliau juga menyebutkan bagaimana golongan Yahudi menimbulkan rasa benci dan dendam terhadap Abu Bakar dan Umar rd serta peribadi-peribadi lain dari kalangan para Sahabat yang memang berjasa dalam menjayakan Islam dan menyampaikannya kepada generasi-generasi kemudian dengan usaha dan pengorbanan mereka yang tidak terkira itu. Mereka menanamkan syak terhadap Qur’an dan kesucian serta kemurniannya dan juga mereka menanamkan kebencian terhadap mereka yang berjasa menjaga Qur’an  dan menyampaikannya sebagaimana yang diamanahkan oleh Rasulullah s.a.w.

Mereka menuduh para Sahabat menjadi kafir murtad selepas nabi s.a.w.-kecuali beberapa orang sahaja di kalangan mereka. Ini tuduhan yang ajaib sekali. Adakah menasabah nabi s.a.w. manusia insan kamil dan penghulu para rasul mempunyai pengikut setia tidak sampai sepuluh orang?

Dalam ‘Rijal al-Kashshi’[27] :’Dari Abu Ja’far –alaihissalam- bahawa: Para Sahabat (kanannas) murtad selepas wafat nabi s.a.w. kecuali tiga orang: Aku bertanya: Siapakah yang tiga itu? Kata beliau: Al-Miqdad bin al-Aswad, Abu Dharr al-Ghifari dan salman al-Farisi…(Jadi semua murtad melainkan tiga orang ini sahaja, ini gambaran yang tidak menasabah sekali pada akal, sejarah, dan bercanggah dengan Qur’an, Sunnah, ijma’ dan jiwa manusia yang sejahtera-uem).

Dalam kitab ‘Ar-Raudah min al-Kafi’ oleh al-Kulaini[28] dinyatakan bahawa dua syaikh itu [iaitu Abu Bakar dan Umar, tidak disebut namanya kerana pada mereka bila disebut ’dua syaikh’ sudah memadai] meninggal dunia [berpisah daripada dunia] walhal keduanya tidak bertaubat dan tidak mendapat pengajaran daripada apa yang dilakukan keduanya kepada Amir al-mu’mini alaihissalam , maka atas keduanya laknat Allah dan para malaikat serta manusia sekeliannya. (Subhana’Llah. Mereka melaknat dua peribadi yang tertinggi dalam Islam selepas nabi s.a.w. Dari segi kerohaniannya Allah mengisytihar perang terhadap mereka berdasarkan hadith Bukhari yang bermaksud ’Sesiapa yang bermusuh dengan waliKu maka Aku isytihar perang terhadapnya (man ’ada li waliyyan faqad adhantuhu bil-harbi…). Pandangan mereka terhadap para Sahabat yang lain boleh diagak daripada sikap mereka terhadap Abu Bakar dan Umar dan juga kenyataan mereka tentang murtadnya Sahabat selepas wafat nabi s.a.w.

BAB III BERKENAAN DENGAN IMAM MAKSUM

Satu daripada dasar-dasar pegangan Syiah ialah kepercayaan mereka tentang Imamah atau imam-imam yang maksum dan kedudukan atau pangkat mereka.

Al-Kulaini dalam kitabnya ‘Al-Kafi’ membuat kenyataan berkenaan dengan kelebihan para imam mereka yang dua belas orang itu (mulai daripada ‘Ali bin Abi Talib, sampai kepada Hasan dan Husain, sampailah kepada Musa Kazim terus akhirnya kepada Muhammad bin Hasan al-Askari yang mereka sedang nanti-nantikan akan muncul di akhir zaman sebagai imam Mahdi mereka).

Setengah daripada kelebihan-kelebihan imam mereka mengikut ‘al-Kafi’ ialah ‘para imam itu mempunyai semua ilmu yang dikurniakan kepada para malaikat, para nabi, dan rasul’; ‘para imam mengetahui bila mereka akan mati , dan mereka tidak mati melainkan dengan pilihan mereka sendiri’; ”para imam itu mengetahui apa yang telah berlaku dan apa yang akan berlaku pada masa akan datang dan tidak ada yang btersembunyi daripada mereka”; ”para imam itu mempunyai ilmu berkenaan  dengan semua kitab suci yang diturunkan , tidak kira dalam bahasa apa kitab-kitab itu  diturunkan”; ”Tidak ada orang yang menghimpunkan Qur’an secara lengkap melainkan para imam, dan mereka mempunyai pengetahuan yang meliputi tentangnya”; ”mukjizat-mukjizat yang ada pada para anbiya ada para para imam”; ”Bila datang masa imam [yang dinanti-nantikan untuk memerintah] mereka akan memerintah mengikut cara nabi Daud dan zuriatnya; para imam ini tidak memerlukan kepada pembentangan dalil-dalil sebelum daripada memutuskan hukuman-hukuman mereka”; ”tidak ada satupun kebenaran yang ada pada sesuatu golongan manusia melainkan itu asalnya daripada imam, dan semua perkara yang tidak timbul daripada imam adalah palsu”; ”seluruh bumi ini milik imam”.[29]

Daripada rujukan klasik mereka sendiri boleh diperhatikan bagaimana golongan Syiah menganggap imam-imam mereka yang dua belas orang itu mempunyai pengetahuan melintasi manusia biasa, bahkan sampai seolah-olah seperti mereka mempunyai kekuasaan seperti Tuhan walaupun mereka tidak menyatakan demikian. Selain daripada itu mereka menafikan pengetahuan tentang perkara yang ghaib oleh Rasulullah s.a.w. walhal perkara yang demikian dikurniakan oleh Allah kepada baginda. Antaranya termasuklah pengetahuan tentang kejadian langit dan bumi serta gambaran berkenaan dengan Syorga dan Neraka. Pendapat seperti ini disebutkan oleh Muhibbuddin al-Khatib dalam ‘al-Khutoot al-‘Areedah’[30] terdapat dalam majalah ‘Risalatul-Islam’ yang diterbitkan oleh Darut-Taqrid, dalam makalah yang berjudul ‘Min Ijtihadati Syi’ah Al-Imamiyyah’ (Setengah daripada ijtihad-Ijtihad Syiah Imamiah). Ketua Mahkamah Tertinggi Syiah  di Lubnan menukil kata-kata Mujtahid Syiah bernama Muhammad bin Hasan Al-Isytiyani:’ Kalaulah nabi membuat kenyataan hukum berkenaan dengan hukum Syara’ berkaitan dengan apa yang membatalkan wudu’ atau hukum-hukum berkenaan dengan darah haidh atau darah lepas beranak, maka wajib kita percaya kepadanya dan wajib kita mengamalkannya. Tetapi kalau Nabi membuat kenyataan berkenaan dengan perkara ghaib tentang penciptaan langit dan bumi, atau para bidadari dalam Syorga dan mahligai-mahligainya, maka tidak wajib kita percaya kepadanya, walaupun diketahui bahawa ia tentu kenyataan yang datang dari dari Nabi”. Ini ajaib sekali bila mereka mempercayai imam-imam mereka mengetahui berkenaan dengan perkara-perkara ghaib tetapi mereka mengambil sikap demikian dengan nabi s.a.w. tanpa apa-apa dalil yang menunjukkan kebenaran sikap mereka itu. Dalam masa yang sama kenyataan itu memberi erti mereka tidak wajib menerima wahyu Tuhan dalam Qur’an yang datang melalui nabi s.a.w. dan juga kenyataan-kenyataan baginda tentang perkara-perkara demikian dalam hadith-hadith yang sahih. (Sikap yang demikian berkait pula dengan sikap mereka yang menganggap para Sahabat murtad selepas wafat nabi s.a.w. melainkan beberapa orang sahaja sebagaimana , antara lainnya, disebutkan dalam ‘Rijal al-Kashshi’ yang sudah disebut di atas).

Dalam ‘al-Hukumah al-Islamiyyah’ oleh Khomeini para imam itu dinyatakan [31] disebutkan mempunyai ‘maqam mahmud’ (dalam Ahlissunnah ia makam khas untuk nabi s.a.w.), ‘darajah yang tinggi’, ‘khilafah takwiniyyatan’-khilafah atas alam semesta (‘cosmic sovereignty’) yang kerana itu semua ‘tunduk kepada kekuasaan atau otoritinya seluruh atom alam ini’. Pada tempat lain dalam kitab yang sama ia disebut selagai ‘tidak terlupa dan lalai’.

Dalam kitab ‘al-Kafi’ oleh al-Kulaini[32] dinyatakan bahawa darjah imamah itu darjah anbia’, pewarisan para wasi (yang menerima pangkat menjadi imam), ia khilafah Tuhan, khilafah Rasulillah,, demikian seterusnya. Dalam sumber yang sama[33] ia disebutkan sebagai ‘…ma’sum, diberi bantuan (oleh Tuhan), diberi taufik, dipandu pada jalan yang betul, aman daripada dosa-dosa, tersilap, tergelincir, Tuhan mengkhususkannya dengan itu semua supaya ia menjadi hujjah atas para hambaNya.

Dinyatakan ia ‘Imam yang bersih daripada dosa, terlepas daripada semua aib, dikhususkan dengan ilmu, ditandai dengan sifat hilm, ia susunan hidup agama, kemuliaan Muslimin, kebinasaan bagi kafirin.[34]

Kepercayaan yang demikian adalah bercanggah  dengan gambaran Qur’an berkenaan dengan para nabi dan rasul serta bercanggah dengan sunnah dan ijma Ahlissunnah yang merupakan ajaran arus perdana umat ini.

Dalam ‘Bihar al-Anwar’ oleh Muhammad Baqir al-Majlisi[35] dinyatakan bahawa para imam Syiah itu ”…menghidupkan mereka yang mati, menyembuhkan penyakit kusta dan juzam, berjalan atas air…”. “apa yang ada pada Rasulullah dikurniakan kepada Ali amir al-mu’minin “ dan kepada para imam Syiah selepas daripadanya.

Berkaitan dengan kepercayaan tentang para imam yang maksum ini ialah kepercayaan tentang imam yang ghaib.Di kalangan mereka ada kepercayaan bahawa imam yang terakhir mereka adalah imam yang ghaib yang akhirnya akan datang ke dunia ini pada akhir zaman untuk menjadi imam Mahdi, Namanya Imam Muhammad bin Hasan al-‘Askari. Mengikut kepercayaan ini imam ke dua belas ini memasuki alam ghaib –ghaibah- di Surra man Ra’a bersekali dengan keluarga dan para pembantu keluarganya sepuluh hari sebelum kematian ayahandanya.Ia akan kembali memerintah  dunia di akhir zaman.[36]

Mungkin orang mempercayai bahawa pegangan ini sudah berubah di kalangan mereka yang memimpin golongan ini. Kenyataan Khomeini dalam ‘al-Hukumam al-Islamiyyah’[37] menunjukkan pendirian mereka adalah seperti dahulu juga sampai sekarang ini, katanya:

Para imam itu mempunyai Makam Terpuji Yang Gemilang (maqam mahmud), kedudukan yang sedemikian mulia dan tingginya yang menjadikannya mempunyai kekuasaan atas alam semesta (khilafatan takwiniyyatan) yang tunduk kepada kekuasaan dan otoritinya seluruh atom alam ini. Dan mengikut apa yang dituntut oleh ajaran agama kita ini yang tidak boleh dibantah-bantah bahawa tidak ada malaikat mukarrabin dan nabi yang diutus menjadi rasul yang sampai kepada darjah imam ini. Sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith-hadith nabi yang agung itu dan para imam wujud dalam bentuk nur mengelilingi Arsy Tuhan dan mempunyai perhampiran dengan Tuhan yang diketahui olehNya sahaja. Sama seperti ahli teologi Syiah Ithna Asyariyyah yang lainnya, selepas lebih daripada seribu tahun akidah ini masih hidup dan menjadi pegangan orang ramai di kalangan mereka.

Sebelum habis bahagian ini kita boleh memberi perhatian lagi kepada tajuk tentang kepentingan para imam ini sebagaimana yang ada tercatit dalam ‘Usul al-Kafi’[38]; dinyatakan bahawa urusan imamah adalah … termasuk ke dalam urusan menyempurnakan agama, dan imamah ini bermula dengan Ibrahim a.s.s. yang disebutkan bagaimana ia dijadikan ‘imam’; terus menerus imamah itu berjalan dalam zuriatnya sampai kepada nabi Muhammad s.a.w. dan selepas baginda ia terjatuh kepada Ali bin Abi Talib. Dengan ini timbul pemujaan mereka terhadap Ali dan para imam mereka  yang melampaui batas. Konsep mereka tentang para imam yang memerimntah alam dengan pelbagai sifat-sifat itu sampai menjadikan mereka seolah-olah menyamai Tuhan sendiri dan mengtatasi para nabi dan rasul a.s.s. Dalam Ahlissunnah tidak ada manusia yang mengatasi nabi dan rasul.

BAB KE IV

PEGANGAN SYIAH BERKENAAN DENGAN SIFAT TUHAN: AL-BADA

Al-bada’ ertinya nyata atau zahir selepas daripada tersembunyi (al-zuhur ba’dal-khafa’).[39] Ini boleh difaham ertinya daripada ayat Qur’an:

(   وبدا   لهم من الله ما   لم   يكونوا يحتسبون  )

Ertinya: Maka menjadi nyatalah bagi mereka, (azab) daripada Allah, yang sebelumnya mereka tidak menyangkanya. [40] Ataupun ertinya ialah timbulnya pandangan baharu yang sebelumnya tidak ada , seperti dalam firman Allah

( ثم   بدا لهم من بعد ما رأوا الايات ليسجننه حتى   حين )

Ertinya: Kemudian timbul  fikiran pada mereka setelah melihat tanda-tanda (tentang benarnya Yusuf dan bersih peribadinya) yang patut mereka memasukkannya ke dalam penjara buat beberapa waktu.[41]

Mereka menisbahkan ’bada’ dalam erti yang tersebut di atas itu kepada Allah taala yang maha mengetahui, maka ini adalah perkara mustahil. Ini kerana kalau demikian kita menisbahkan kepada Allah sifat jahil kemudian timbul ilmu padaNya. Ini kerana Ilmu Allah adalah sifat yang kadim dan abadi kekal bersama-sama dengan zatnya tidak bercerai atau berpisah daripadaNya. Ini jelas daripada ayat Qur’an yang sangat banyak itu. Antaranya ialah ayat ini:

(  وعنده مفاتح الغيب لا   يعلمها الا   هو ويعلم   فى  البر والبحر وما تسقط   من ورقة الا  يعلمها ولا حبة فى  ظلمات  الارض ولا    رطب ولا   يابس الا فى كتاب  مبين  )

Ertinya: Dan pada sisi Allah-lah kunci-kunci semua yang ghaib; tidak ada yang mengetahuinya melainkan Dia Sendiri; dan Ia mengetahui apa yang di darat dan di laut’; dan tiada sehelai daunpun yang gugur melainkan Dia mengetahuinya; dan tidak jatuh sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering melainkan termaktub dalam Kitab Yang Nyata (yakni al-Lauh al-Mahfuz).[42]

Fahaman mereka tentang al-bada yang dinisbahkan kepada Tuhan ini adalah berlawanan dengan akidah Ahlissunnah wal-Jamaah yang berdasarkan kepada Qur’an, Sunnah dan ijma’. Misalnya dalam ‘Al-Arba’in fi Usul al-Din’ oleh Imam al-Ghazali rd yang memberi huraian ringkas tentang sifat ilmu Tuhan dalam Ahlissunnah, katanya :

وأنه عالم بجميع   المعلومات , محيط   بما  يجرى فى تخوم الارضين الى أعلى السموات , لا يعزب عن   علمه مثقال ذرة فى الارض ولا فى السماء , بل يعلم دبيب النملة السوداء على   الصخرة الصماء فى  الليلة الظلماء , ويدرك حركة الذر فى جو الهواء , ويعلم السر وأخفى , ويطلع على هواجس الضمائر , وحركات الخواطر , وخفيات السرأئر  بعلم   قديم أزلى , لم   يزل  موصوفا به فى أزل الآزال , لا   بعلم متجدد حاصل فى ذاته بالتحول والنتقال

Ertinya : Dan Ia (Allah) mengetahui sekelian maklumat, mengetahui secara meliputi semua yang berlaku dari bahagian terkebawah dari semua bumi sampai ke langit-langit yang tertinggi sekali, Tidak terlepas daripada IlmuNya satu zarah di bumi dan di langit, bahkan (tidak terlepas daripada IlmuNya itu) rangkak semua hitam atas batu yang pejal pada malam gelap pekat , (dan IlmuNya) mengetahui gerak atom di angkasa, dan Ia mengetahui yang tersembunyi dan yang lebih tersembunyi lagi daripada itu, Ia mengetahui bisikan hati kecil manusia, gerak fakir mereka, perkara-perkara rahasia dalam batin makhluk, dengan Ilmu Yang Kadim dan Azali,  terus menerus Ia bersifat dengan sifat itu dari azal segala azal lagi, bukannya  dengan ilmu yang baharu datang yang berpindah masuk ke dalam zatNya …[43]

Berkenaan dengan akidah al-Bada ini kita boleh membaca riwayat Syiah dalam kitab ’Usul al-Kafi’ dalam bab yang penuh berkenaan dengan al-bada di namakannya (bab al-bada’). Di dalamnya banyak riwayat-riwayat.Antara yang banyak itu ialah yang bermaksud:

Dari Zurarah bin A’yun dari seorang dari dua (imam), katanya: Tidak ada sesuatu (yang paling utama sekali) yang dengannya Tuhan disembah (oleh hambaNya) (yang sedemikian tinggi nilainya) seperti al-bada’ (ertinya Allah tidak mengetahui sesuatu kemudian bila terzahir baharulah Allah mengetahuinya).[44]

Antara riwayat dalam bab berkenaan dalam kitabnya ialah yang datang dari al-Rayyan ibn al-Salt yang menyatakan bahawa ia mendengar daripada al-Rida (Ali bin Musa, imam ke lapan Syiah) katanya: Allah tidak mengutuskan nabi melainkan ia menyatakan arak itu haram, dan bahawa ia juga mengakui tentang al-bada’ (dalam erti kalau keadaan baharu timbul maka itu boleh menyebabkan berubah ketetapanNya ) bagi Allah.[45]

Antara riwayatnya juga ialah yang berikut: Al-Nawbakhti meriwayatkan bahawa Ja’far ibn Muhammad al-Baqir memutuskan bahawa anaknya Isma’il menjadi imam, dan mengisyaratkan yang demikian itu masa hayatnya. Tetapi Ismail meninggal dunia, dan beliau sendiri masih hidup. Maka beliau dilaporkan sebagai berkata: Sesuatu berlaku dan itu menyebabkan Allah mengubahkan ketentuanNya, sama juga seperti sesuatu perkara berlaku itu menyebabkan Allah mengubahkan ketentuanNya tentang anak lelaki saya Ismail.[46]

Antara riwayat berkenaan dengan al-bada ini ialah: Dilaporkan bahawa al-Kulaini meriwayat: dari Ja’far, katanya: (Pada Hari Kiamat) Abd al-Muttalib akan dibangkit sebagai suatu umat.Ia akan memakai tanda-tanda kebesaran raja-raja dan alamat-alamat kemuliaan para nabi. Ini kerana ia orang yang mula-mula memasyhurkan kenyataan berkenaan dengan al-bada’.[47]

Apapun juga huraian dan alasannya sifat al-bada bercanggah dengan sifat-sifat Allah yang diajarkan dalam Qur’an, Sunnah dan ijma’ umat ini. Oleh itu ia mesti ditolak.

BAB KE V

PEGANGAN SYIAH BERKENAAN AL-RAJ’AH

Satu lagi akidah besar Syiah ialah apa yang diistilahkan sebagai ‘al-raj’ah’; ertinya sebelum daripada berdirinya kiamat semua makhluk dihidupkan semula dan mereka menerima hukuman mereka; selepas daripada menerima hukuman itu baharulah mereka mati dan kemudian berlaku kiamat.

Antaranya disebutkan dalam kitab ’Muntahal Amal’ karangan Syaikh Abbas al-Qummi[48] bahawa dilaporkan yang Ja’far Sadiq berkata: ”Tidak termasuk ke dalam golongan kami orang yang tidak beriman dengan raj’ah kami (yakni akidah raj’ah mereka) dan tidak berpegang kepada halalnya nikah mut’ah”.

Diriwayatkan bahawa Muhammad al-Baqir al-Majlisi menukilkan iaitu maksudnya: Diriwayatkan oleh ibn Babuwaih dalam ‘Ilal al-Shara’i’ dari Imam Muhammad al-Baqir alaihissalam, katanya: Bila Imam Mahdi timbul maka Siti Aisyah (isteri Rasullah, ibu orang yang beriman) akan dihidupkan oleh beliau dan akan dilakukan hukum had atasnya oleh imam itu”.[49]  Ini timbul daripada tuduhan mereka yang siti Aisyah melakukan zina, la haula wa la quwwata illa billahi’l’aliyyil-’azim.

Dalam hubungan dengan al-Raj’ah ini diriwayatkan dari Imam Muhammad al-Baqir alaihissalam, dalam ’Tafsir al-Qummi’ dan ‘Tafsir al-’Iyashi’ maksud dalam ayat ‘al-akhirah’ al-raj’ah, dan erti ‘al-raj’ah’ itu ialah bahawa Rasulullah dan para imam Syiah dan golongan khusus dari orang-orang yang beriman dan golongan khusus daripada orang-orang kafir sebelum berdiri kiamat supaya terserlah dan tinggi kebaikan dan keimanan dan dihukumkan kekufuran dan kemaksiatan.[50]

Diriwayatkan oleh Mulla Muhammad al-Baqir al-Majlisi dalam ’Haqqul Yaqin’ dengan panjang dan sempurna riwayatnya tentang hal raj’ah ini. Kesimpulannya ialah bahawa bila zahir al-Mahdi pada akhir zaman, sebelum berdiri kiamat, maka ia akan membelah jidar pada makam Rasulullah s.a.w. dan dikeluarkannya Abu Bakar dan Umar dari kubur mereka berdua, kemudian akan mensalibkan mereka.[51] La haula wa quwwata billahil-’aliyyil-azim.

Kemudian disebutkan tentang tindakan Mahdi waktu raj’ah itu: Kemudian (Mahdi) akan menyuruh manusia berhimpun, maka kekufuran dan kezaliman yang zahir semenjak dari permulaan dunia sampai ke akhirnya, semua dosa-dosa itu akan ditulis ke atas dua mereka (iaitu Abu Bakar dan Umar) dan juga yang ditumpahkan daripada darah keluarga nabi Muhammad dalam mana-mana zaman bahkan tiap-tiap darah yang ditumpahkan dengan tiada hak yang sebenarnya, dan tiap-tiap jimak yang haram yang berlaku, dan tiap-tiap harta riba atau harta haram yang dimakan, dan tiap-tiap dosa dan kezaliman yang berlaku, sehingga zahirnya Mahdi, semuanya itu akan dikirakan dalam amalan kedua orang itu (iaitu Abu Bakar dan Umar).[52]

Dalam satu lagi riwayatnya tentang akidah rekaan yang paling berat ini ialah seperti berikut.[53]

Dalam riwayat-riwayat dari Ja’far Sadiq: katanya bahawa Amir al-Mu’minin (yakni Ali rd) alaihissalam kembali hidup bersama-sama anaknya Husain dalam raj’ah itu, dan hidup kembali (sebelum kiamat itu) bersama-samanya Banu Umayyah, Mu’awiyah dan keluarga Mua’awiyah dan tiap-tiap orang yang membunuhnya, maka ia akan mengazabkan mereka dengan membunuh dan lain daripada itu.Dan Allah akan menghidupkan kembali (sebelum kiamat) dari orang-orang Kufah seramai tiga puluh ribu orang dan dari kalangan manusia lain tujuh puluh ribu orang.

Demikianlah seterusnya riwayat itu menyebut beberapa perkara rekaan yang sukar difahami dengan akal yang sejahtera.Misalnya Muawiyah dan para sahabatnya akan dihukum bun uh di tempat berperang dahulu di Siffin; kemudian mereka dihidupkan dan dibunuh lagi diazabkan bersama-sama dengan Fir’aun dengan azab yang seberat-beratnya; kemudian berlaku raj’ah lagi bersama-sama dengan nabi s.a.w. berserta dengan para anbia dan nabi s.a.w. menyerahkan benderanya kepada Ali rd dan setiap nabi berada di bawah bendera ini.Demikian seterusnya .[54]

Jelas bahawa akidah raj’ah ini akidah yang tidak ada dalam ajaran Islam. Maka akidah tambahan yang seperti ini membawa kepada binasanya Islam seseorang itu; tambahan lagi pula dengan perkara-perkara rekaan tentang para sahabat dihukum dan manusia lainnya dihukum oleh Imam Mahdi itu.

BAB KE VI

PEGANGAN SYIAH BERKENAAN DENGAN AL-TAQIYYAH

Antara dasar-dasar ajaran Syiah ialah ‘taqiyyah’ iaitu sifat berpura-pura demi untuk menjaga kepentingan mereka. Dalam Bahasa inggeris ’taqiyyah’ diterjemahkan sebagai ‘dissimulation’, yang ertinya berpura-pura demi untuk sesuatu muslihat. Mengikut ajaran ini maka seseorang itu menunjukkan persetujuan walhal ia tidak bersetuju dengan sesuatu itu, kerana hendak beramal dengan taqiyyah; ia menunjukkan sikap tidak bersetuju dengan sesuatu walhal ia bersetuju sebenarnya, kerana hendak beramal dengan taqiyyah untuk mendapat ganjaran daripadanya.

Dalam ‘al-Usul Minal-Kafi’[55] dinyatakan riwayat bahawa Abu ‘Abdillah berkata: ”Bertaqwalah kamu dalam agama kamu dan lindungilah ia dengan taqiyyah, maka sesungguhnya tidak ada iman bagi orang yang tidak mengamalkan taqiyyah…’

Dalam punca yang sama [56]terdapat kenyataan dikatakan dari Abu Abdillah juga bahawa dalam bubungan dengan ayat Qur’an yang bermaksud ‘Tolaklah apa yang buruk itu dengan kebaikan’ katanya ‘apa yang baik’ itu ialah ‘taqiyyah’ dan kejahatan itu berkata benar dengan terang-terang’ (al-idha’ah).

Dalam ‘al-Usul Minal-Kafi’[57] dilaporkan bahawa Abu Abdillah berkata: Adalah bapaku alaihissalam berkata: Apakah sesuatu yang lebih menyejukkan mataku daripada taqiyyah? Sesungguhnya taqiyyah ialah perisai orang yang beriman’ (junnah al-mu’min).

Dalam ‘Tafsir al-Burhan’[58]dilaporkan riwayat dari Ja’far bin Muhammad dari bapanya bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Tidak ada iman bagi orang yang tidak ada taqiyyah, Allah berfirman melainkan mereka menjaga diri daripada mereka kerana takut (sesuatu bahaya daripada mereka).

Dalam tafsir ini disebutkan bahawa ayat Qur’an ini memberi rukhsah untuk seseorang menunjukkan yang zahir padanya yang berlainan daripada yang batinnya…taqiyyah orang mukmin itu katanya ialah keringanan baginya beragama dengan agama orang kafir, sembahyang dan puasa dengan agama itu, bila ia bertaqiyyah, walhal pada batinnya ia beragama dengan agama Allah, yang berlainan daripada yang demikian.[59]

Ajaran berkenaan dengan taqiyyah ini berlawanan dengan sifat Rasulullah s.a.w. yang diajarkan dalam Ahlissunnah wal-Jamaah bahawa baginda itu bersifat dengan sifat siddik dan amanah; kalau nabi s.a.w. pun beramal dengan taqiyyah atau kepura-puraan maka tidak ada lagi sifat benar dan amanah; ini bukannya ajaran Islam. Lagipun soal bertaqiyyah itu timbul bila seseorang itu takutkan bahaya atas diri atau agamanya.Bagi nabi s.a.w. apakah pula yang ditakutkan atas agamanya? Baginda dijamin perlindungan dari bahaya umat manusia.

Kalau orang mukmin bertaqiyyah dalam erti berpura-pura, maka hilanglah daripadanya agamanya.Kalau hendak ditanya: Apakah muslihat nabi s.a.w. bertaqiyyah dengan Abu Bakar, Umar dan Uthman ? Apakah baginda menjadikan mereka itu  bapa mertuanya atau menantunya kerana taqiyyah? Kalau demikian maka Rasulullah bertindak berlawanan dengan apa yang diperintahkan oleh Allah supaya menyampaikan agamanya sebagaimana yang diturunkan kepadanya.

Amalan taqiyyah ini menyebabkan runtuh agama seseorang, dan ia menyebarkan perasaan tidak percaya mempercayai antara orang-orang yang beriman. Dan bila kita mengetahui ajaran ini maka bila ada seseorang Syiah yang sembahyang di belakang imam Ahlissunnah yang pada zahirnya kelihatan baik dan menenangkan hati, sebenarnya itu boleh dipandang sebagai taqiyyah untuk menguntungkannya! Dengan itu hubungan manusia antara satu dengan lain terganggu dan rosak dengan ajaran yang seperti ini.

Memadailah untuk kita melihat dasar taqiyyah ini, yang dikatakan oleh mereka amalan nabi s.a.w. –dijauhkan Allah- dengan kita mengingatkan bahawa dalam ajaran Ahlissunnah para nabi mempunyai sifat-sifat sidik, benar, amanah, tabligh, dan fatanah. Dan benar ertinya mereka tidak berbohong, dan amanah ertinya mereka menjalankan tugas mereka dan berkira bicara dengan manusia dengan jujur dan amanah tanpa pengkhianatan, dan tabligh ertinya mereka menyampaikan kebenaran dengan sebenar-benarnya tanpa berselindung atau berpura-pura.Dan mereka mempunyai sifat fatanah ertinya mereka bijaksana dalam menyampaikan seruan mereka serta menegakkan kebenaran tanpa teragak-agak dan berbelah bagi. Kalau demikian maka mustahil ajaran taqiyyah itu menjadi amalan dan ajaran mereka. Menisbahkan taqiyyah dalam erti berpura-pura itu adalah bercanggah dengan akidah Ahlissunnah dan membawa seseorang yang mempunyai pegangan demikian terkeluar daripada agama ini. Dijauhkan Allah.

BAB KE VII

PEGANGAN SYIAH BERKENAAN DENGAN KAHWIN MUT’AH

Dalam hubungan dengan kahwin mut’ah, ertinya kahwin sementara, terdapat beberapa kenyataan dalam teks-teks Syiah.Antaranya ialah seperti berikut:

Diriwayatkan dalam kitab ‘Man La Yahduruhul-Faqih’[60] bahawa ”Orang mukmin itu tidak sempurna imannya sehingga ia melakukan mut’ah”. Di sini disebutkan syarat sempurna iman ialah dengan melakukan mut’ah.Amat sukar kita memahami bagaimana pemikiran seperti ini muncul, walhal dalam Ahlissunnah wa al-Jamaah  terdapat ijma’ bahawa kahwin mut’ah adalah haram.

Terdapat riwayat yang dicatitkan dalam teks yang sama[61] bahawa Rasullah dikatakan bersabda: Sesungguhnya Allah taala menghalalkan untuk kamu kemaluan (wanita) dalam tiga pengertian: perkahwinan yang kekal (yang biasa berlaku), kahwin yang tidak mendatangkan warisan iaitu mut’ah, dan (kemaluan) hamba milik kamu”

Dalam kitab ‘Bihar al-Anwar’[62] diriwayatkan bahawa Jaafar al-Sadiq berkata :Tidak termasuk golongan kami orang tidak beriman tentang raj’ah kami (merujuk kepada kepercayaan tentang raj’ah) dan tidak menghalalkan mut’ah kami” (dalam ajaran Syiah). Dengan ini disebutkan kepercayaan halalnya mut’ah sebagai syarat berada dalam ajaran Syiah.

Dalam tafsir ’Minhaj al-Sadiqin’[63] dilaporkan pada sisi mereka bahawa Rasulullah bersabda: Siapa yang bermut’ah sekali, maka darjahnya seperti darjah saidina Husain, alaihissalam, dan siapa yang bermut’ah dua kali, darjahnya seperti darjah saidina Hasan, dan siapa bermut’ah sebanyak tiga kali maka darjahnya seperti darjah Ali bin Abi Talib. Dan siapa bermut’ah sebanyak empat kali, darjahnya seperti darjahku (iaitu darjah Rasulullah s.a.w. sendiri).

Dilaporkan dalam tafsir oleh al-Kashani juga[64] bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa yang keluar daripada dunia walhal ia tidak melakukan mut’ah, maka ia orang yang terpotong-potong anggotanya (ajda’).

Dalam tafsir yang sama terdapat riwayat yang menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Dan Jibril datang kepadaku dengan membawa hadiah dari Tuhanku, dan hadiah itu ialah bermut’ah dengan wanita yang beriman walhal Allah tidak pernah memberi hadiah ini kepada seorangpun dari anbia sebelumku…Ketahuilah bahawa mut’ah itu dikhaskan oleh Allah kepadaku kerana kemuliaan darjahku atas sekelian anbia yang terdahulu. Maka siapa yang bermut’ah sekali dalam hidupnya jadilah ia dalam kalangan ahli syurga…dan bila lelaki yang bermut’ah dan wanita mut’ahnya berada dalam satu tempat maka turun atas mereka itu malaikat yang menjaga mereka berdua sehingga mereka berpisah, dan kalaulah mereka berdua bercakap-cakap antara satu dengan lain, maka percakapan mereka itu adalah zikir dan tasbih, dan bila seorang daripadanya menmegang tangan yang seorang lagi itu, maka gugurlah dosa dari jari-jari keduanya , dan bila seorang mencium temannya maka dicatit dengan setiap ciuman itu pahala haji dan umrah, dan dicatitkan hubungan keduanya itu dengan tiap-tiap keinginan syahwat dan kelazatannya pahala seperti bukit  yang menjulang tinggi…

Demikian seterusnya dengan maklumat-maklumat yang sukar dimengerti mengikut akal yang sejahtera.

Dan dalam kitab Khumaini sendiri di bawah ’al-nikah al-munqati’’[65] bahawa nikah mut’ah boleh dilakukan walau dengan isteri orang lain, hanya hukumnya makruh. Subhana’llah.

Dalam kitab ’Biharf al-Anwar’ yang sama diberikan kenyataan tentang kahwin mut’ah itu.[66] (al-Hidayah): Adapun mut’ah itu dihalalkan oleh Rasulullah s.a.w dan tidak diharamkan oleh baginda sehingga baginda wafat. Bila seseorang lelaki hendak melakukan mut’ah dengan perempuan maka hendaklah ia itu wanita yang beragama dan diamankan orangnya, maka tidak harus ia bermut’ah dengan wanita penzina, atau yang tidak diamankan. (Bila terdapat wanita yang wajar untuk mut’ah itu) hendaklah ia berkahwin dengannya dengan berkata: Aku bermut’ah dengan anda untuk diriku mengikut Kitab Allah dan sunnah nabinya s.a.w. dengan nikah yang bukan kekejian dengan sekian sekian dirham (sebagai maskawinnya) hari sekian sampai ke hari sekian; maka bila sampai habis tempohnya berlaku perpisahan tanpa ada talak (lagi), dan dikirakan iddahnya empat puluh lima hari, maka kalau wanita itu datang membawa anak maka wajib lelaki itu menerimanya (sebagai anaknya) dan tidak boleh ia mengingkarinya.

Dalam buku ’Mengapa Kita Menolak Syiah’[67] terdapat hasil persidangan kebangsaan Indonesia tentang Syiah dalam 21 September tahun 1997. Antara isinya ialah menyanggahi konsep Qur’an dan Sunnah yang ada dalam ajaran Syiah, termasuk juga nikah mut’ah yang mendatangkan bencana ke atas para mahasiswi di pusat-pusat pengajian tinggi Indonesia. Persidangan itu menolak ajaran Syiah dan mahu supaya Indonesis kekal dengan ajaran Ahlissunnah wa al-Jamaahnya.

BAB  VIII

SIKAP SYIAH TERHADAP PIHAK BERKUASA NEGERI-NEGERI ISLAM

Sikap Syiah terhadap kerajaan-kerajaan dalam negeri-negeri Islam perlu diberikan perhatian yang serius. Ini kerana pada pandangan mereka-yang timbul daripada akidah mereka tentang imam –imam maksum mereka- bahawa semua kerajaan semenjak kewafatan nabi s.a.w sampai sekarang semuanya tidak sah.Yang sah hanya kerajaan Ali bin Abi Talib dan kerajaan Syiah yang ada sekarang (misalnya sebagaimana yang kerap disuarakan oleh Khumaini). Dengan itu maka orang Syiah tidak perlu setia kepada mana-mana kerajaan yang sedemikian. Bahkan pada mereka mesti diamalkan sikap yan disebut sebagai taqiyyah.

Pada mereka semua kerajaan dalam alam Islam diasaskan dengan kekerasan dan kezaliman dan oleh itu ia tidak sah. Yang sah hanya kerajaan oleh imam dua belas mereka, sama ada pemerintahan mereka itu berlaku secara langsung atau tidak langsung.Adapun kerajaan-kerajaan lain mulai yang dipimpin oleh Abu Bakar, Umar dan Uthman, dan seterusnya adalah kerajaan-kerajaan yang muncul secara zalim dan dianggap para penindas umat. Inilah sikap mereka terhadap semua kerajaan, tidak kira bagaimana besarnya jasa pemimpin-pemimpin itu terhadap agama Islam dan umat serta umat manusia.

Sikap yang sedemikian juga yang diambil oleh mereka dalam zaman Abbasiah kemudiannya bila kerajaan Islam itu berhadapan dengan tentera Hulagu yang menyerang tamadun Islam di bawah khalifah Islam itu. Sebagai contohnya Nasir al-Tusi ahli falsafah dan sarjana Syiah itu menulis syair memuji khalifah al-Musta’sim; kemudiannya peribadi ini mengambil sikap yang berlainan, menimbulkan penentangan terhadap khalifah yang melindunginya, dengan itu mempercepatkan kebencanaan berlaku ke atas Baghdad; di situ beliau memerhatikan sendiri penyembelihan sedemikian ramai Muslimin oleh tentera itu.Al-Tusi yang sama inilah juga yang membenarkan kitab-kitab dilemparkan ke dalam sungai yang menyebabkan airnya menjadi hitam dengan dakwatnya; kitab-kitab yang hilang itu ialah dalam bidang-bidang seperti sejarah, sastera, termasuk kitab-kitab ilmu –ilmu syariat. Ini merupakan kebencanaan budaya tanpa taranya.

KESIMPULAN

Sebagai kesimpulannya kita boleh perhatikan bahawa golongan Syiah bercanggah dengan Ahlissunnah dalam perkara-perkara pokok dan bukannya perkara-perkara cawangan. Biasa kita mendengar kenyataan bahawa golongan-golongan Islam itu semuanya sama dalam perkara-perkara pokok mereka hanya berlainan dalam perkara-perkara cawangan. Sebagaimana yang boleh diperhatikan dalam bab-bab di atas bahawa sebenarnya perbezaan berlaku dalam perkara-perkara yang paling pokok dalam agama dan bukan hanya perkara-percara cawangan.

Golongan Syiah memanggil Abu Bakar dan ‘Umar sebagai ‘al-jibt wa at-taghut’, sampai sekarang dan ini tidak berubah. Mereka tidak menerima golongan yang bukan Syiah walaupun orang-orang dalam kalangan keluarga nabi s.a.w. Mereka menuduh para Sahabat merosakkan Qur’an dengan mengurangkan isinya sampai yang baki hanya sepertiga daripada asalnya; dan mereka menyatakan bahawa mereka mempunyai ‘Sahifah Fatimah’, berlainan daripada ‘Mushaf Uthman’ yang ada pada Muslimin di seluruh dunia itu. Ini bukannya perkara furu’. Mereka mahu kita menolak walaupun isteri nabi s.a.w. seperti Aisyah dan Hafsah; mereka menyuruh kita menolak menantu Rasulullah seperti Umar dan ’Uthman, serta menolak sahabat dan mertua baginda iaitu Abu Bakar. Mereka menyuruh kita percaya kepada Imam Mahdi mereka Muhammad bin Hasan al-‘Askari walhal itu peribadi khayalan yang tidak pernah ada dalam sejarah. Lebih berat lagi ialah konsep mereka tentang raj’ah dan kahwin mut’ah yang boleh memporak-perandakan keluarga dan masyarakat. Muslimin wajib mengelak diri daripada pegangan dan amalan seperti ini; dan kalau sesiapa yang tersilap berpegang kepadanya kerana terpengaruh dengan propaganda pihak mereka wajib ia kembali kepada Islam sebenarnya dan bertaubat daripada kebencanaan fahaman yang tersasul jauh itu. Bagi pemerintah mesti ini difahami dan golongan ini mesti diwaspadai sebab dalam sejarah Islam sudah beberapa kali berlaku pengkhianatan daalam kalangan mereka terhadap pemerintah yang berfahaman Ahlissunnah wa al-Jamaah. Wallahu a’lam.


[1] Dalam perbincangan berkenaan dengan Ahlissunnah wal-Jamaah dalam bahagian pertama buku ini.

[2]Ini boleh dilihat on-line dalam:  http://www.islamawareness.net/Deviant/Shia/khutoot.html

[3] Ibid.

[4] Buku Khumeini ‘al-Hukumah al-Islamiyyah’ halaman 52

[5]Dalam ‘al-Hukumah al-Islamiyyah’.

[6] Al-Qiyamah (75) 17-19.

[7]  ‘Al-Itqan fi ‘Ulum al-Qur’an’ oleh al-Suyuti bab tentant turun Qur’an dan pengumpulannya,  jilid I

[8] ‘al-Kafi fi’l-Usul, kitab al-Hujjah, bab berkenaan sebutan al-sahifah wa l-jafr edisi Tehran jilid 1 halaman 239-241.  Lihat ‘al-Ja’fariyyah’ oleh UstazMuhammad Asri Yusoff,  halam 130. Buku ini banyak mengandungi bahan-bahan terdiri daripada teks-teks utama Syiah .

[9] Oleh Sayyid Ni’matullah al-Mausawi al-Jaza’iri  jilid 2hal.360

[10]Ibid. jld 2 hal.360. Lihat Muhammad Asri op. cit.halm.186.

[11] Ini ada dalam kitab ‘Tuhfah al-Ithna ‘Ashariyyah’ oleh ‘Abd al-‘Aziz al-Dihlawi, juga boleh dilihat  dalam  ‘al-Khutoot al Areedah’ oleh Muhibbuddin al-Khatib dalam http://www.islamawareness.net/Deviant/Shia/khutoot.html

[12] Ibid.

[13]Al-Khutoot Al-Areedah.ibid.

[14] Al-Kulaini, ‘Al-Kafi’

[15] Al-Kulaini, ‘Al-Usul minal-Kafi’ jil.1 Kitab al-Hujjah, hal.228.

[16] Lihat ‘Islam and the Earliest Muslims’ oleh Maulana Abul Hasan ‘Ali al-Nadawi, hal.32, 33.

[17] Dalam ‘Kash al-Asrar’. (edisi Dr Muhammad Ahmad Khatib) ,Dar ‘Ammar linnashr wttauzi’,  1987, hal.131.

[18] Ibid.Hal.130.

[19] Surah al-Taubah: 100.

[20] Surah al-Fath ayat 18.

[21] Hadith al-Bukhari berkenaan dengan kelebihan para Sahabat (kitab 57) no.5 .

[22] Surah al-Taubah ayat 40

[23] Lihat dalam ‘The Shiiites and the Sunna’ oleh Ehsan Elahi Zaheer, terbitan Idara Tarjuman l-Sunnah, Lahore., 1984 hal.31-32.

[24] Al-Nawbakhti, ‘Firaq al-Shi’ah’, edisi Hydariyyah press, Najaf, 1379/1959 hal 33, 34.Lihat ‘The Shiites and the Sunna’, oleh Ehsan Elahi Zaheer, hal 31-32.

[25] ‘The Shiites and the Sunna’, hal 33-35.

[26] Lihat Qur’an al-Baqarah ayat 120.

[27] Rijal al-Kashshi oleh Abu Ja’far Muhammad bin al-Hasan bin ‘Ali al-Tusi , jilid 1 riwayat ke 12 bertajuk ‘Salman al-Farisi’.

[28] Jilid ke 8 edisi 1389 Qamariah/1348 Syamsiah, hal.246 .

[29] Al-Kulaini, ‘Al-Kafi’ dalam ‘kitab al-hujjah’ jilid I yang menyebut tentang keutamaan para imam.

[30] Op.cit.

[31] Hal 52 dan beberapa tempat yang lain  yang menyebut kelebihan para imam yang maksum dan tidak lalai atau terlupa itu..

[32] Jilid I hal.200

[33] Ibid.jilid I hal 203.

[34] Ibid. jilid I, hal.200

[35] Jilid 27 bab para imam menghidupkan orang yang mati, menyembuhkan penyakit kusta dll, ada pada mereka mujizat-mujizat para nabi. Muka 29.

[36] Usul al-Kafi,  202, 207.

[37] Hal.52.

[38] Jilid I hal.199

[39] Lihat ‘Butlan ‘Aqa’id al-Shi’ah’ oleh Muhammad ‘Abd al-Sattar al-Tunaswi, hal.23.

[40] Al-Zumar 47.

[41] Yusuf.35.

[42] Al-An’am.59.

[43] Imam Muhammad al-Ghazali, kitab ‘Al-Arba’in fi Usul al-Din’, hal.5 ,( Maktabah al-Jundi, Kahirah, 1383).

[44]‘Butlan ‘Aqa’id al-Shi’ah’, hal.23.

[45] Lihat ‘The Shites and the Sunnah’, oleh Ehsan Elahi Zahir,Lahore, 1393,  hal.87-88.

[46] Dalam ‘Firaq al-Shi’ah’ oleh al-Nawbakhti, ed.Najaf hal.24. Lihat ‘The Shiites and the Sunnah’ oleh Ehsan Elahi Zahir, hal. 88-89.

[47] ‘Al-Kafi, kitab al-hujjah, jilid 1 hal.232. Lihat ‘The Shiites and the Sunna’, hal 90.

[48] ‘Muntahal-Amal’ karangan Syaikh Abbas al-Qummi, jld 2 hal.341. Lihat Muhammad ‘Abd al-Sattar al-Tunaswi, dalam ’Butlan ’Aqa’id al-Shi’ah’ al-Maktabah al-Imdadiyyah, Makkah, 1408, hal.103.

[49] Lihat ‘Al-Ja’fariyyah’ oleh Ust.Muhammad Asri Yusoff, hal. 597 lampiran 66. Lihat kitab ‘Haqqul-Yaqin’ oleh Muhammad al-Baqir al-Majlisi, hal.347. Lihat ’Butlan ’Aqa’id al-Shi’ah’ oleh Muhammad ’Abd al-Sattar  al-Tunaswi, hal.103.

[50] Lihat dalam ‘Butlan ‘Aqa’id al-Shi’ah’ oleh Al-Tusnawi, hal.   103.

[51] Lihat dalam ‘Butlan ‘Aqa’id al-Shi’ah’ hal. 104.

[52] ‘Butlan ‘Aqa’id al-Shi’ah’ hal.104.

[53] Dalam ‘al-Anwal al-Nu’maniyyah’ oleh Ni’matulah  al-Jaza’iri,jld 2 hal.103

[54] ‘Al-Anwar al-Nu’maniyyah’ jld 2 hal 103.

[55] Jilid2 hal.218

[56] Jilid 2 hal 218

[57]Jilid 2 hal 220

[58] Iaitu ‘Min Kitab al-Burhan fi Tafsiril-Qur’an’ oleh ibn Sayyid ‘Abd al-Jawwad al-Husaini al-Kattani, jilid 3 hal.275.

[59] Ibid. hal.275.

[60] Oleh Syaikh Sadduq Abu ja’far Muhammad bin Ali al-Qummi, jld.3 hal 344

[61] Jld 3 hal. 702

[62] Oleh Muhammad baqir al-Majlisi, jld 100 hal.320 .Lihat Muhammad Asri Yusoff, ‘Al-Ja’fariyyah’, hal.798.

[63] Oleh Mulla Fathullah Kashani , hal.356.Lihat ‘Butlan ‘Aqa’id al-Shi’ah’ hal.85

[64] ‘Minhaj al-Sadiqin’ hal.356.Lihat ‘Butlan ‘Aqa’ih al-Shi’ah’ hal.85.

[65] Dalam kitabnya ‘Tahrir al-Wasilah’ terdiri daripada fatwa-fatwanya,  jilid 2 di bawah tajuk ‘al-nikah al-muntaqi’ – nikah yang putus, yakni yang tidak berterusan.

[66] Ibid. jld.100, hal.320.

[67] Diterbitkan oleh Lembaga Penelitian dan Pengkajian Islam (LPPI), 1997.

Kembali Kepada Fitrah

Nota ceramah Ustaz Muhammad Uthman El-Muhammady pada tahun sekitar akhir 1990an:

Kembali Kepada Fitrah

Fitrah

  • Fitrah dalam erti kejadian asal insan sebagaimana asalnya sebagaimana yang terkandung dalam maksud hadith “Setiap orang bayi dilahirkan dalam keadaan fitrah yang suci bersih; kedua ibu bapanyalah yang menjadikan dia yahudi … (dan seterusnya)”
  • Dan dalam erti sebagaimana yang terkandung dalam ayat yang bermaksud: “Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada ugama Allah (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah (itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui” (Surah ar-Rum: Ayat 30).

Erti Kembali Kepada Fitrah

  • Kembali kepada akidah yang betul dan benar dalam Ahlis-Sunnah wal-Jamaah yang datang dari Nabi s.a.w.
  • Kembali kepada mengabdikan diri kepada Allah dalam seluruh kegiatan hidup sebagaimana yang terkandung dalam iftitah dalam sembahyang: “Sesungguhnya sembahyangku, pengorbananku, hidupku dan matiku adalah bagi Allah Tuhan Yang Mentadbir sekalian alam.”
  • Kembali kepada kehidupan menjaga suruhan-suruhanNya dan menjauhi larangan-laranganNya yang semuanya berupa batasan-batasan sesuai dengan fitrah kejadian asal dirinya.
  • Kembali kepada sifat-sifat manusia yang bersih sesuai dengan fitrah asal bagi dirinya.
  • Dengan kembali kepada sifat-sifat yang sesuai dengan fitrah itu maka manusia mencapai keselamatan hidupnya, kejayaan sebenarnya, kebahagiaan dan kepuasan serta makna hidupnya.
  • Yang berlawanan dengan itu adalah kebalikan daripada semuanya itu: kecelakaan, kegagagalan hakiki, penderitaan, rasa tidak puas, ketiadaan makna hidupnya.

Sifat-sifat Kembali Kepada Fitrah

  • Kembali kepada sifat-sifat yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. kerana suruhan Allah bermaksud “Sesungguhnya bagi kamu ada contoh yang sebaiknya pada Rasulullah …”(Surah al-Ahzab: Ayat 21).
  • Iaitu mengenali dan menghayati sifat sidik – ertinya benar dalam niat, azam, perbuatan, janji, matlamat.
  • Iaitu mengenali sifat amanah dalam semua perkara dan tidak melakukan pengkhianatan dalam semua perkara. (Dalam usuluddin amanah merujuk kepada sifat tidak melakukan dosa; dalam akhlak merujuk kepada sifat menjaga amanah dalam segala perkara: berhubungan dengan Tuhan, diri sendiri, orang lain, pekerjaan, tugas-tugas.)
  • Amanah perlu dikenali kedudukannya sebagai sifat yang mentakrifkan manusia sebagaimana yang ditunjukkan oleh ayat 72 Surah al-Ahzab yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami bentangkan AMANAH kepada langit dan bumi dan bukit bukau, tetapi semuanya tidak mahu memikulnmya kerana takut kepadanya, walhal manusia memikulnya; ia zalim lagi jahil (bila ia mengkhianati amanah dalam hidupnya);
  • Bila amanah dilihat sebagai sifat yang mentakrifkan manusia maka pengkhianatannya merupakan sesuatu yang menjatuhkan darjah kemanusiaannya;
  • Dalam tafsir-tafsir “amanah” itu metrujuk kepada kewajipan-kewajipan dalam agama; seperti rukun Iman dan rukun Islam; kewajipan-kewajipan dalam akhlak dan muamalah; pergaulan; pekerjaan;
  • Tabligh atau sifat menyampaikan maklumat yang betul dan benar serta berfaedah – ini perlu dilakukan dalam hubungan dengan diri sendiri, keluarga, jiran, termasuk rakan sejawat dan seterusnya.
  • Tabligh boleh menjangkau persoalan dalam zaman teknologi maklumat. Ertinya maklumat hendaklah disampaikan kepada sasarannya, baik yang bersifat keagamaan atau yang bersifat bukan keagamaan.
  • Sifat fatanah atau kebijaksanaan dalam erti sifat memahami persoalan-persoalan yang dihadapi dalam hendak mempertahankan kebenaran agama sehingga kebenarannya boleh dipertahankan dengan berkesan, sampai kepada perkara-perkara lain yang menjadi kewajipan manusia memahami dan menghayatinya.
  • Ertinya manusia Muslim mesti mempunyai “fatanah” dalam hubungan dengan ajaran untuk menjayakan kedudukannya sebagai “khalifah Tuhan di bumi dan hambaNya” dalam semua urusan hidupnya, termasuk ibadatnya, akhlaknya, etika kerjanya, tadbirannya, pengurusannya, demikian seterusnya.

Ilmu, Hal Diri dan Amalan

Dalam ajaran Imam al-Ghazali rd manusia mengalami perubahan kepada kebaikan melalui tiga tahap:

  1. Ilmu ertinya seseorang itu mesti mengetahui dengan jelas konsep yang dibicarakan, katakanlah sifat amanah; apa ertinya amanah itu; apa kelebihan-kelebihannya; apa tanda-tandanya; apa kerugian-kerugian yang dialami kalau disia-siakan; apa akibat duniawinya; apa akibat ukhrawinya; apa akibat individunya; apa akibat korporat dan kolektifnya.
  2. Hal keadaan diri ertinya perubahan yang berlaku dalam jiwa, fikiran dan hati seseorang hasil daripada pencerahan yang berlaku kerana ilmu yang memasuki dirinya itu; perubahan dalaman yang berlaku itu – seperti kain yang diwarnai oleh sesuatu warna yang dikehendaki – menyebabkan sifat amanah itu meliputi diri dan jiwa orang yang berkenaan
  3. Amalan (Perbuatan) ertinya dengan adanya perubahan dalaman hasil pencerahan ilmu yang bermula sebagai konsep dalam minda dan hati serta fikiran itu menimbulkan kesan amalan pada anggota badan – percakapan pada lidah, gerak pada kaki tangan dan tindakan seterusnya.
  • Ertinya prinsip dan nilai amanah dalam diri itu menyebabkan perbuahan yang menyebabkan pula timbul perbuatan amanah dalam diri seseorang itu; dengan itu berlakulah amanah dalam hubungan dengan ibadat kepada Allah, perlaksanaan tugas kepada anak isteri, perlaksanaan amanah kepada pihak yang berkenaan dan amanah dalam hubungan dengan tugas-tugas serta etika kerjanya.
  • Dan kalau merata sifat ini berlaku dalam sesuatu institusi maka amanah itu terjelma sebagai budaya korporat di mana ianya berada. Demikian seterusnya.
  • Demikian seterusnya dengan semua sifat-sifat utama yang lain.
  • Atau boleh dilihat pengembalian kepada fitrah dalam erti akhak ini merujuk kepada empat ibu kesempurnaan:
  1. Hikmah kebijaksanaanyang merujuk kepada kesempurnaan dalam ilmu dan kefahaman yang diperlukan
  2. Pengawasan diri yang menimbulkan disiplin terhadap diri yang membawa kepada semua perbuatan dilaksanakan mengikut ilmu dan akal dan bukan perasaan dan keinginan, bahkan keinginan dikawal dan ditarbiahkan
  3. Keberanian atau keperwiraan dalam erti semuanya berlaku dalam rangka usaha perjuangan yang gigih tanpa penat lelah
  4. Keadilan dalam erti semua diletakkan pada tempat letaknya yang sebenarnya.

Inilah pengembalian kepada fitrah dalam akhlak dan amalan perbuatan serta sikap manusia yang menjayakan, menyelamatkan, membahagiakan, serta memberikan makna bagi seluruh hidup dan wujud manusia di dunia.

Wallahu a’lam.